Ahad, 1 September 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Selangor bantu keluarga OKU, Adun keluar duit poket tanggung lesen

Posted: 01 Sep 2013 06:11 AM PDT


roda


KLANG : Pemberian bantuan motosikal tiga roda membawa sinar kepada Sri Shanker yang hilang penglihatan untuk memulakan perniagaan makanan bergerak bagi menampung keluarganya.

"Dengan adanya motosikal ini, saya dan isteri mampu menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan makanan bergerak di sekitar kawasan Andalas," katanya.

Penglihatan Shanker yang berusia 33 tahun itu, hilang sejak berusia 17 tahun akibat jangkitan kuman di mata.

Pada masa ini, isterinya, Kalimah a/p Letchmana, 30, hanya bekerja sebagai tukang cuci dan gajinya tidak mampu menampung perbelanjaan sekolah dua anaknya.

Bantuan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Andalas, Dr Xavier Jayakumar di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Andalas, Jumaat lalu.

Melalui inisiatif itu, suami isteri itu dapat menjana pendapatan dengan berdiri atas kaki sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Shanker juga kagum kerana Dr Xavier sanggup mengeluarkan duit poket bagi menampung bayaran ujian memandu isterinya untuk mendapatkan lesen kenderaan.- FZL

Gengster ugut pukul jika pertahankan kuil dari diroboh DBKL

Posted: 01 Sep 2013 05:19 AM PDT


surendran


SHAH ALAM : N Surendran hari ini mengesyaki sekumpulan empat atau lima lelaki mengancam untuk memukulnya jika terus membantah kerja meroboh Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P Ramlee, Kuala Lumpur.

Naib Presiden PKR itu berkata, kejadian berlaku apabila kumpulan samseng itu mula merapatinya dan bertindak kasar dengan menolaknya ketika beliau cuba berunding dengan DBKL.

"Saya sendiri nampak pegawai DBKL 'arahkan' samseng ugut saya. Mereka kata: Tak kira kamu YB (Yang Berhormat) atau tidak, kami akan pukul kamu kalau tidak undur.

"Samseng berkenaan berpakaian biasa sama seperti orang lain dan saya kenal pasti mereka bukan polis tetapi samseng," kata Ahli Parlimen Padang Serai itu.

Surendran yang juga seorang peguam bercadang membuat laporan polis dalam masa terdekat.

Katanya, ia menggambarkan DBKL terdesak kerana tunduk dan mengikut telunjuk syarikat swasta sehingga sanggup mengetepikan sensitiviti keagamaan.

"DBKL harus buka peluang kepada pengurusan kuil untuk berunding, bukan arahkan samseng untuk membelasah orang sesuka hati," katanya.

Dalam kerja meroboh itu, pemimpin PKR, S Jayathas dan wakil pengurusan Kuil ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.-FZL

4 loji melebihi paras, Syabas jangan lambat salur bekalan air

Posted: 01 Sep 2013 05:16 AM PDT


APTOPXGulf Oil Spill


SHAH ALAM : Bekalan air di empat loji rawatan air yang terjejas sebelum ini, mencukupi bahkan ada kalanya melebihi paras yang ditetapkan, kata Elizabeth Wong Keat Ping.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar itu, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) tiada alasan lambat menyalurkan bekalan air kepada pengguna.

"Alasan Syabas masalah itu akan diatasi dalam tempoh hampir lima hari sukar diterima kerana tiada masalah air dihadapi di Sungai Selangor.

"Semua keempat-empat loji dalam kapasiti penuh," katanya kepada TV Selangor sambil menyatakan bekalan air di Lembah Klang dijangka diatasi dalam masa terdekat.

Jumaat lalu, sebahagian penduduk Kuala Lumpur dan Selangor mengalami gangguan bekalan air apabila Sungai Selangor dicemari tumpahan diesel yang menyebabkan empat loji rawatan air terpaksa ditutup.

Beliau berkata, laporan menunjukkan tiga loji rawatan air di Sungai Selangor dan satu di Rantau Panjang yang bermasalah sebelum ini sudah pulih dan beroperasi sepenuhnya.

"Ia berikutan kerja membaik pulih berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Segalanya bagus kecuali kolam air Hicom di Glenmarie.

"Kita akan tengok apa masalah di kolam itu yang keadaannya dikatakan tidak seimbang tetapi saya yakin dapat diselesaikan tidak lama lagi," katanya.

Kolam itu menyalur bekalan air ke Petaling Jaya di SS2, SS3 dan SS4 serta sebahagian Kelana Jaya, sebahagian Subang Jaya dan Seksyen 23 dan 24 di Shah Alam.

Mengulas lanjut, Elizabeth berkata, semua bukti untuk tindakan saman mahkamah terhadap syarikat minyak yang menjadi punca pencemaran Sungai Selangor, sedang dikumpul selepas premisnya disita Jumaat lalu.

"Kita juga akan merampas tanah digunakan syarikat itu. Saya harap mahkamah akan beri hukuman berat walaupun kes alam sekitar biasanya hukumannya ringan," katanya.- FZL

Dyana, dari keluarga Umno kepada bintang DAP

Posted: 01 Sep 2013 05:07 AM PDT

 

    
 
WAWANCARA Bertempat di lobi sebuah hotel, Dyana Sofya Mohd Daud bersiap sedia untuk diwawancara selepas seharian berkunjung ke rumah-rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di sekitar Johor Bahru.

Mengenakan baju kurung merah hati dihiasi kerongsang berwarna keemasan, Dyana sebenarnya baru selesai memenuhi jemputan rumah terbuka mewakili majikannya, Anggota Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

NONEBerasal dari Ipoh, beliau kini bertugas sepenuh masa di kawasan parlimen Gelang Patah sebagai setiausaha politik pemimpin veteran DAP itu selepas pilihan raya umum yang lalu.

Awal tahun 2012, graduan undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini mencuri tumpuan ramai apabila kemasukannya ke dalam DAP diumumkan Kit Siang sendiri pada satu sidang media khas.

Mengimbau kembali pengalamannya di UiTM, Dyana kini berpendirian satu institusi pengajian tinggi awam seperti UiTM perlu diwujudkan untuk orang bukan Melayu.

Dyana kesal melihat sebahagian rakan-rakan bukan Melayunya, baik yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang atau pun tidak, dinafikan peluang melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi awam.

"Golongan bukan Melayu perlu ada peluang sama seperti orang Melayu.

"Sebuah institusi pengajian tinggi yang menerima kemasukan golongan bukan Melayu dan pada masa yang sama mereka hanya perlu membayar yuran yang sama seperti yang kita bayar di UiTM," katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini baru-baru ini.

'Emak saya masih Umno'

Beliau percaya sudah sampai masanya sistem pendidikan di Malaysia bergerak melangkaui garis perkauman dan diacu berasaskan keperluan.  

Walaupun kini bergerak bersama DAP, Dyana sebenarnya datang daripada sebuah keluarga yang aktif di dalam Umno.

NONE"Emak saya masih lagi ahli Umno sehingga sekarang. Beliau adalah setiausaha bahagian wanita yang pertama di Malaysia. Malah, bapa saudara-bapa saudara saya juga terlibat dalam politik (Umno).

"Mereka akan berbincang tentang politik sewaktu perjumpaan keluarga. Saya dengar cerita-cerita mereka dan saya membesar dengan cerita-cerita itu," katanya.

Ditanya tentang reaksi ibunya sewaktu beliau melahirkan hasrat menjadi ahli DAP, Dyana berkata ibunya bersikap memahami dan merestui pilihan beliau.

"Kata ibu kalau itu perkara yang kita percaya, lakukan sahaja kerana kadang-kala elok juga untuk kita melawan arus bagi membuat satu kenyataan," kata peguam muda itu yang mempunyai firma guaman di Cyberjaya.

Stigma curiga DAP

Walaupun percaya politik adalah satu wadah untuk berkhidmat kepada masyarakat, tanggungjawab Dyana di kawasan Gelang Patah tidak sunyi daripada cabaran menguruskan stigma sebahagian orang Melayu Johor yang masih curiga dengan DAP.

Beliau dan dua lagi staf pejabat anggota parlimen Gelang Patah pernah dihalau dari sebuah kampung awal Jun lalu walaupun mereka ke situ untuk mendapatkan butiran masalah penduduk setempat bagi pihak Kit Siang.

NONE"Selepas menang, kami ada menerima panggilan dari penduduk sebuah kampung yang mahu mengadu masalah status tanah yang mereka duduki.

"Sampai di sana ketua kampung datang bertemu kami dan menarik tangan saya dan menyuruh saya balik. Dengan telunjuk betul-betul di depan muka saya dia kata: Kami ada menteri besar kami dan tak perlukan kamu," katanya.

Insiden seperti itu kata Dyana, tidak sama sekali akan menggentarkan semangatnya.

"Walaupun ada risikonya, saya tetap akan terus ke kampung-kampung Melayu ini kerana mereka perlukan saya. Saya akan rasa bersalah jika saya tidak pergi menemui mereka.

"Kesediaan mereka untuk memanggil kami ke sana juga satu kemajuan yang bagus. Sedikit demi sedikit mereka semua pastinya akan tampil ke hadapan untuk berbincang dengan kami," kata Dyana.

Seorang Kakitangan Awam Maut Terjun Hotel

Posted: 01 Sep 2013 04:56 AM PDT


KELAB GREENBOC
 
Selayang: Seorang kakitangan awam terbunuh selepas terjun dari tingkat dua sebuah hotel di Selayang Point, di sini, selepas premis berkenaan diserbu anggota penguat kuasa dalam Op Zina, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa yang berusia 43 tahun ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang hotel selepas panik dengan kehadiran pihak berkuasa yang melakukan pemeriksaan ke biliknya.

Operasi diketuai penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) itu turut dijalankan bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan polis Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak sempena malam ambang kemerdekaan.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, mangsa yang panik dengan kehadiran anggota penguat kuasa nekad terjun dari tingkat dua hotel.

"Ketika serbuan, mangsa dipercayai berdua-duaan bersama teman wanitanya di bilik hotel. Akibat terjatuh dari ketinggian itu, mangsa cedera parah di kepala," katanya. -HM

[VIDEO] GRO Berbaju Kurung Ke Pesta Arak Merdeka

Posted: 01 Sep 2013 04:29 AM PDT


KELAB GREENBOC

Sambutan ambang merdeka yang sepatutnya berlangsung dengan penuh kesyukuran dicemari pesta minuman keras oleh pengunjung beragama Islam di sebuah kelab hiburan di Jalan Sultan Sulaiman, di sini.

Lebih memalukan apabila ia berlangsung dalam keadaan pengunjung wanita berpakaian baju kurung dan kebaya dipercayai sempena tema 'rumah terbuka Aidilfitri' anjuran kelab berkenaan.

Ketika serbuan dijalankan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), kira-kira jam 2 pagi itu, rata-rata pengunjung sedang asyik berhibur bersama 'bintang-bintang' ternama dalam kalangan pengunjung tetap kelab berkenaan, yang menyertai pertandingan karaoke di situ.

Pada awalnya, serbuan kira-kira jam 1.30 pagi itu berlangsung aman, bagaimanapun beberapa pengunjung gagal memberi kerjasama membuatkan pihak penguat kuasa Jawi terpaksa mengambil masa lebih dua jam sebelum dapat menyelesaikan ketegangan yang berlaku.

Beberapa petugas media juga menjadi 'mangsa' sasaran pengawal kelab yang bertindak mengarahkan semua rakaman dipadamkan sambil mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan.

Ketua Penolong Pengarah Cawangan Operasi Jawi, Mohamad Rais Rasid berkata, dalam serbuan berkenaan, seramai 30 pengunjung yang disyaki meminum minuman keras, ditahan untuk siasatan lanjut manakala 20 lagi diberi notis perintah hadir kerana berkelakuan tidak sopan di tempat awam.

"Setiap tahun kita laksanakannya tetapi kali ini agak mencabar kerana membabitkan pengunjung yang terlalu ramai dalam kalangan Melayu Islam dan itu amat menyedihkan kerana tempat ini tidak sesuai untuk sambut merdeka. Ada hidang arak serta pencampuran lelaki dan perempuan," katanya selepas operasi berkenaan.

Operasi bermula jam 12 tengah malam itu berakhir kira-kira jam 4 pagi melibatkan 71 anggota penguat kuasa Jawi dan juga polis.

Mohamad Rais berkata, siasatan turut dijalankan ke atas penjual arak yang mana jika sabit salah boleh membawa didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, dalam operasi sama, dua remaja berusia 20 tahun ditahan kerana berkhalwat hasil serbuan ke atas sebuah hotel bajet di Bandar Tasik Permaisuri, Cheras.

Pihak penguat kuasa Jawi terpaksa menunggu kira-kira empat minit sebelum pintu dibuka dan mendapati remaja perempuan itu cuba menyembunyikan diri dalam tandas bilik hotel dalam keadaan separuh bogel.

Kedua-duanya dibawa ke Jawi sebelum diikat jamin dan kes disiasat mengikut seksyen 27 kerana berkhalwat dan jika sabit salah denda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya. -SH 



LIHAT VIDEO DI SINI


Ops Bersepadu: 414 warga asing ditahan

Posted: 01 Sep 2013 04:17 AM PDT

SINAR HARIAN


MELAKA - Sebanyak 414 warga asing dan seorang rakyat tempatan ditahan dalam Ops Bersepadu 6P yang dijalankan lebih enam jam bermula 12 tengah malam tadi di Melaka.

Pengarah Jabatan Imigresen Melaka Kamalludin Ismail berkata dalam operasi itu yang membabitkan 40 anggota Imigresen dan 50 anggota pelbagai agensi, 11 wanita warganegara China dipercayai pelayan pelanggan (GRO) ditahan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya di sini.

Empat daripada wanita berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri melalui laluan rahsia di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis itu.

"Dinding di sebuah daripada 12 bilik karaoke di tingkat dua premis ditebuk bagi membolehkan GRO melarikan diri melalui tangga ke tingkat satu dengan pintu laluan terletak di bawah tempat sembahyang," katanya kepada pemberita di sini.

Sebanyak 403 lagi warga asing berusia lingkungan sebulan hingga 50-an ditahan di kawasan rumah pangsa di Bachang di sini atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk masuk ke negara ini tanpa dokumen sah dan tinggal melebihi tempoh.

Kamalludin berkata pendatang asing yang ditahan itu membabitkan 203 orang warganegara Indonesia, Myanmar (100), Nepal (63), Bangladesh (21), India (10) dan Vietnam (6).

Seorang lelaki tempatan berusia 40-an turut ditahan mengikut Seksyen 56(1)(d) akta berkenaan kerana menjadi pelindung kepada pendatang tanpa izin.

Di SUNGAI PETANI, Jabatan Imigresen Kedah menahan 130 pendatang tanpa izin termasuk 10 wanita dalam serbuan di dua lokasi dalam Ops Selera di sini awal hari ini.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kedah Nar Azaman Ibrahim berkata pendatang asing berumur antara 14 dan 50 tahun itu didapati melanggar Akta Imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah serta tinggal melebihi tempoh.

Mereka ialah 53 lelaki Myanmar, 40 lelaki Indonesia, 16 lelaki Bangladesh, enam lelaki Nepal, empat lelaki Pakistan, seorang lelaki India, dan 10 wanita masing-masing lima dari Myanmar dan lima Indonesia.

Beliau memberitahu pemberita di sini hari ini sejumlah 192 warga asing diperiksa dalam operasi itu, yang tertumpu kepada rumah kongsi tapak pembinaan Puteri Jaya Hill Park dan Lot 88 Sungai Petani.

Katanya operasi itu yang dijalankan dari 12 tengah malam tadi hingga 6 pagi ini disertai 137 pengawai dan anggota Imigresen dengan dibantu anggota Pasukan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Di    KAMPAR, Jabatan Imigresen Perak menahan 12 warga asing atas pelbagai kesalahan dalam 'Ops Bersepadu 6P' di rumah kongsi kawasan pembinaan Bandar Baru Kampar di sini, awal hari ini.

Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Perak Wan Mahmud Zuhdi Wan Hassan berkata mereka ialah 11 lelaki dan seorang wanita terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh dan Pakistan berusia antara 20-an dan 40-an.

"Mereka ditahan kerana tinggal lebih tempoh, mempunyai pas lawatan kerja sementara palsu dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan," katanya kepada pemberita selepas serbuan itu di kawasan itu.

Operasi itu, hasil risikan sejak dua minggu lepas, telah memeriksa 114 orang iaitu 95 lelaki dan 19 wanita termasuk dua kanak-kanak. Mereka kemudian dihantar ke Depot Tahanan Imigresen di Langkap.

Di JOHOR BAHARU, sejumlah 101 pendatang tanpa izin ditahan dalam Ops Bersepadu 6P di Perkampungan Taman Muhibbah, Ulu Tiram di sini malam tadi.

Pendatang asing terbabit, termasuk 23 kanak-kanak, terdiri daripada 72 warganegara Kemboja, 22 warganegara Vietnam, empat warganegara Myanmar dan tiga warganegara Indonesia berusia lingkungan dua hingga 58 tahun.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor Masri Adul berkata pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal melebihi tempoh.

"Dalam tangkapan ini ada pemegang pas lawatan kerja sementara telah berkahwin atau membawa anak mereka. Mengikut polisi mereka tak boleh kahwin, kita akan ambil tindakan dan kalau ada keperluan, usir dan pas lawatan kerja mereka kita batalkan," katanya ketika  dihubungi hari ini.

Kesemua mereka dihantar ke Depot Imigresen Pekan Nanas untuk tindakan selanjutnya.

Dalam operasi sama, tujuh rakyat tempatan ditahan kerana positif dadah. - Bernama

Lelaki Mati Ditembak Selepas Terkena Tiga Das Tembakan di Kepala

Posted: 01 Sep 2013 04:15 AM PDT



TEMBAK... Anggota forensik menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian setelah seorang bekas anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) S. Jambukeshan ditembak mati dari jarak dekat berhampiran restoran bapanya di Taman Rishah, Silibin di Ipoh, kira-kira 7.30 pagi, Ahad -Foto BERNAMA. 
 
 
IPOH: Seorang lelaki, dipercayai bekas pegawai tentera udara ditembak mati di Jalan Permasuri Mazwin, Taman Rishah, Silibin, di sini, awal pagi Ahad.

Dia dipercayai ditembak sebanyak tiga kali di kepala pada pukul 7.15 pagi.

Mangsa, S. Jambukeshan, 39, yang mempunyai tiga orang anak meninggal dunia ketika dibawa anggota keluarganya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Mangsa yang bersara selepas 19 tahun berkhidmat dengan TUDM kini membantu perniagaan restoran bapanya.

Kejadian berlaku ketika mangsa mahu mengeluarkan barangan dari kereta Perodua Kancil di hadapan sebuah kedai runcit yang terletak kira-kira 30 meter dari restoran bapanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata semasa mangsa keluar dari keretanya, sebuah kereta Toyota Vios berwarna putih perak tiba-tiba menghampiri mangsa dan seorang suspek yang memakai topi keledar dengan cermin muka penuh keluar dari kereta itu lalu melepaskan beberapa das tembakan.

"Suspek kemudiannya terus masuk ke dalam kereta Vios itu dan melarikan diri. Polis percaya terdapat sejumlah suspek di dalam kereta itu.

"Kita akan dapatkan rakaman kamera litar tertutup mengenai kejadian," katanya kepada pemberita di Balai Polis Taman Rishah di sini, Ahad.

Sum berkata polis menjumpai tiga kelongsong peluru dan slug jenis .9mm di tempat kejadian.

Beliau berkata polis sedang menyiasat motif pembunuhan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat agar menghubungi mana-mana balai polis.

DBKL buat kerja baik pulih jalan, bukan roboh kuil

Posted: 01 Sep 2013 04:11 AM PDT

SINAR HARIAN

ACP Zainuddin Ahmad ACP Zainuddin Ahmad
 
KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak merobohkan kuil di Jalan P. Ramlee di sini sebaliknya mereka cuba mengalihkan beberapa patung di dalam kuil itu ke kawasan sementara bagi membolehkan kerja membaik pulih jalan di kawasan kuil itu dilakukan.

Justeru, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad menafikan laporan sebuah portal yang melaporkan DBKL cuba merobohkan kuil berusia 101 tahun itu.

"DBKL cuma nak alihkan patung di kuil itu, bukan nak robohkan. Kalau dah siap (kerja membaik pulih), patung itu akan diletak semula di tempatnya," katanya dalam satu kenyataan.

Zainuddin mengulas penahanan lapan lelaki termasuk Ketua Pergerakan Pemuda MIC Kebangsaan T.Mohan kira-kira 11 pagi tadi kerana dipercayai cuba menghalang kerja-kerja DBKL itu.

Kesemua mereka diambil keterangan bagi membantu siasatan sebelum dibebaskan petang tadi.

"Kita percaya ini adalah salah faham antara kumpulan lelaki itu dan DBKL. Mereka mungkin menyangka DBKL hendak merobohkan kuil tersebut," jelasnya. - Bernama

Ops Cantas: 71 Pati Dicekup Di Seluruh Negara

Posted: 01 Sep 2013 04:09 AM PDT



PUTRAJAYA: Pihak berkuasa menahan 71 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk merampas pedang samurai ketika serbuan di rumah setinggan di sini, ketika Ops Cantas bagi mengusir Pati bermula awal pagi Ahad.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki, 11 wanita, kebanyakannya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar dan Nepal.

Kebanyakan mereka ditahan di Bukit Raja, Klang dan Dengkil kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, permit kerja palsu serta tinggal di negara ini melebihi tempoh yang ditetapkan.

Operasi berkenaan, melibatkan 150 pegawai daripada Jabatan Imigresen, polis, Angkatan Tentera, Rela, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Pendaftara Negara, menjadikan ia operasi terbesar untuk mengusir Pati di negara ini.

Operasi tersebut menyasarkan mereka yang berdaftar di bawah Proses pemutihan Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) namun tidak tampil untuk proses seterusnya termasuk penghantaran pulang secara sukarela.

Ketika proses pendaftaran, yang berjalan selama tiga bulan dan berakhir pada Oktober 2011, kira-kira 1.3 juta daripada 2 juta pendatang asing tanpa dokumen yang sah berdaftar.

Daripada jumlah berkenaan,500,000 permohonan untuk mendapatkan permit kerja yang sah sementara 330,000 lagi dihantar pulang ke negara asal.

Dalam serbuan yang dijalankan pada pukul 3 pagi di Dengkil, ketibaan pegawai mencetuskan huru-hara apabila imigran terlibat melarikan diri dengan bersembunyi dalam hutan berhampiran.

Pihak berkuasa merampas pedang samurai dan tukul besi disorokkan dalam rumah berkenaan serta menahan 21 orang dalam operasi tersebut.

"Saya mahu mendapatkan permit kerja sebenar namun majikan telah menipu saya! Saya memberinya RM3,000 dan dia janji maahu membuat permit untuk saya namun hingga sekarang dia tidak buat langsung.

Saya sangat-sangat marah!," kata Suherman,34, warga Indonesia yang ditahan kerana tidak mempunyai dokumen yang sah.

Ketika disoal oleh pegawai mengapa dia tidak mendapatkan bantuan di bawah Program 6P, Suherman berkata dia bimbang kerana masuk ke negara ini secara haram.

Di Klang, warga Indonesia Faizatul Abror, berusia lingkungan 20an, dikejutkan daripada tidur selepas pihak berkuasa menyerbu kawasan rumah setinggannya di Bukit Raja pada pukul 5 pagi.

Tidak seperti 50 orang yang ditahan lain, Faizatul turut membawa anak lelakinya yang berusia setahun.
Dia berjaya memperoleh lanjutan permitnya selepas dia membaca tentang berita mengenai operasi berkenaan.

"Saya telah bekerja di sini selama lima tahun dan pernah diserbu sebelum ini. Sekiranya saya mahu terus bekerja di sini, saya akan mendapatkan permit kerja yang sah.

"Program 6P bukan mudah, namun ia juga tidak keras. Pihak berkuasa telah memberi peluang jadi saya harus mengikutinya," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (bahagian Penguatkuasaan), Saravana Kumar berkata mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6, 15(4) and 55 Jabatan Imigresen dan akan berdepan dengan tindakan deportasi segera.

"Ini merupakan satu amaran keras kepada majikan jika mereka mengambil Pati sebagai pekerja," katanya.

Saravana berkata fasa pertama operasi yang akan berakhir pada hujung tahun 2013, menyasarkan untuk menahan kira-kira 400,000 pendatang dan 45, 000 majikan rakyat asing.

Operasi tersebut melibatkan 135,000 kakitangan di seluruh negara.

"Operasi kami termasuk serbuan di beberapa kawasan rumah setinggan, ladang, pusat hiburan dan rumah urut di seluruh negara.

"Operasi ini yang telah bermula secara tidak rasmi juga berjaya menahan kira-kira 200 majikan yang menggaji pendatang haram dalam pelbagai bidang perniagaan," katanya.

Sarvana berkata imigran akan segera dihantar pulang sementara majikan boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara hingga lima tahun atau enam sebatan atau ketiga-tiganya sekali.

DBKL Roboh Kuil Hindu Berusia 101 Tahun, Pemimpin PKR, Jayathas Ditahan

Posted: 01 Sep 2013 04:02 AM PDT



Gambar di perkarangan kuil Sri Muneswarar Kaliyaman oleh Latheefa Koya. 
 
 
PETALING JAYA: Kuil Hindu berusia 101 tahun, Sri Muneswarar Kaliyaman yang terletak di Jalan P.Ramlee dirobohkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Ahad selepas DBKL menemui jalan buntu selepas melakukan rundingan selama setahun untuk memindahkan kuil yang dibina di atas tanah rizab milik DBKL.

Pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), S.Jayathas dan dua lagi, yang cuba menghalang operasi perobohan ditahan kerana menghalang tugas pegawai DBKL.

Mereka di bawa ke balai polis Dang Wangi, kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad.
Naib Presiden PKR, N. Surendran, bergegas ke tempat kejadian sebaik sahaja beliau menerima berita berkenaan pada pukul 8 pagi dan cuba berunding dengan pihak berkuasa mengenai isu perobohan tersebut.

Bagaimanapun, usaha beliau gagal dan pihak DBKL meneruskan usaha merobohkan kuil tersebut pada pukul 8.50 pagi.

"Pihak berkuasa menggunakan tukul besi untuk memecahkan patung dalam kuil.

Gambar beberapa patung yang dipecahkan oleh pihak DBKL. 
 
"Peguam dan ahli jawatankuasa kuil juga dikecam oleh pegawai DBKL. Ini adalah proses perobohan secaa haram kerana tidak ada perintah mahkamah dikeluarkan," dakwa beliau.

Menurut Surendran, lebih daripada 200 pegawai, termasuk anggota polis terlibat dalam operasi perobohan tersebut.

Pihak berkuasa berhenti seketika pada pukul 10.30 pagi dan menyambung kembali kerja-kerja merobohkan kuil berkenaan.

Tahun lalu, pemilik kuil tersebut telah menerima notis daripada DBKL yang meminta pemilik kuil berkenaan mengosongkan kawasan tersebut untuk tujuan pembangunan.

Tanah tersebut merupakan rizab DBKL dan mereka mahu mengosongkan tanah itu bagi membolehkan pembinaan bangunan oleh pihak pemaju, Hup Seng Bhd.

Kuil Sri Muniswarar Kaliamman merupakan satu-satunya kuil Hindu yang terdapat di kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Latheefa Koya menulis di twitter, yang menyatakan pihak berkuasa telah mula merobohkan kuil berkenaan pada pukul 9.52 pagi Ahad.

Jamil Khir Mahu Konsert 'Lamb of God' Dibatalkan

Posted: 01 Sep 2013 04:00 AM PDT

 MSTAR ONLINE

YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta pihak bertanggungjawab mengambil tindakan segera membatalkan konsert kumpulan heavy metal 'Lamb of God' yang dijadual membuat persembahan di Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Katanya beliau menyokong keputusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenyataan mendesak pihak berkenaan membatalkan konsert tersebut.

"Saya harap pihak berwajib putuskan segera isu ini kerana masyarakat menentangnya...bukan sahaja Jakim, NGO (badan bukan kerajaan) Muslim juga sepakat konsert ini (perlu) diharamkan dan tidak dibawa ke Malaysia," kata Jamil Khir yang ditemui pemberita dalam program santai bersama penduduk di Sungai Limau Dalam, dekat sini, Ahad.

Katanya beliau tidak pasti sama ada konsert tersebut sudah mendapat kelulusan tetapi sekiranya sudah dikeluarkan ia hendaklah ditarik balik.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha Jakim dalam kenyataan dua hari lepas berkata bantahan itu dibuat berikutan genre muzik kumpulan berkenaan yang pernah membuat persembahan dengan mencampuradukkan lagu metal dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran.

Beliau berkata bantahan itu juga selaras dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa ke-72 bahawa amalan dan perbuatan kumpulan heavy metal adalah sesat serta bercanggah dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Jamil Khir yang juga anggota Parlimen Jerai berkata program santai di kawasannya itu bertujuan mendekati pemimpin dan masyarakat setempat bagi menyelami masalah mereka untuk diatasi bersama.

Katanya pertemuan tidak rasmi seumpama itu memberikan kelebihan untuk mendapat maklumat dan keperluan rakyat dengan lebih jelas. -BERNAMA

Pemilihan pemimpin UMNO

Posted: 01 Sep 2013 03:54 AM PDT

 
DETIK DAILY

UMNO sudah berusia 67 tahun. Semua pengasas-pengasas UMNO sudah meninggal dunia. Mereka yang menyaksikan penubuhan UMNO dari jauh dan dekat tidak ramai yang masih ada. Pemimpin di peringkat bawah pun tidak berapa kerat yang masih ada dan amat kurang yang masih aktif dalam UMNO.


Malah ramai juga antara pemimpin yang ada sekarang yang sudah berumur. Di antara mereka terdapat ramai yang sudah lama berkhidmat sebagai pemimpin di peringkat bawah sampai ke atas. Ahli pun ramai juga yang sudah berumur. Tidak ramai yang muda dan amat berkurangan yang remaja.

Pendek kata UMNO adalah parti politik yang tua. Tidak banyak perubahan kepimpinan terdapat dalam UMNO. Bagi orang muda mereka melihat muka-muka itu sahaja. Dan mereka meluat.

Kita sedar akan "generation gap" yang terdapat dalam mana-mana masyarakat. Tentulah dalam UMNO juga terdapat "generation gap" di mana yang tua dan lama tidak memahami yang muda dan pemikiran mereka.

UMNO sudah tua. Hanya satu sahaja cara yang UMNO boleh mengatasi "generation gap". Ia ialah dengan menerima masuk generasi muda dan memberi tempat kepada mereka dalam parti dan kepimpinannya.

Saya masih ingat tentangan oleh Wanita apabila cadangan untuk menubuhkan Puteri dibincangkan dalam Majlis Tertinggi (MT) UMNO. Wanita berpendapat Puteri tidak perlu kerana mana-mana wanita boleh menyertai Wanita UMNO. Tetapi ramai yang berminat untuk menyertai UMNO tidak senang untuk menyertai Wanita UMNO, menyertai kumpulan yang jauh lebih tua daripada mereka dengan kepimpinan yang tidak berubah tahun demi tahun.

Mereka berpendapat mereka tidak akan berpeluang menyuarakan pendapat mereka, jauh sekali daripada menjadi pemimpin. Mereka perlu berada dalam Wanita bertahun-tahun sebelum dapat memain peranan yang bermakna.

MT membuat keputusan untuk menubuhkan Puteri dan ramailah yang berminat daripada generasi muda yang menyertai Puteri dan menyumbang kepada kecergasan UMNO.

Bagi pemuda sudah lama masalah ini berada. Tetapi aktivitinya bergantung kepada kepintaran, semangat dan personaliti pemimpin. Di masa-masa lampau, terutama Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pemuda ternampak malap dan kurang aktif berkempen. Ini merugikan parti kerana generasi mudalah yang dahulu begitu kuat berkempen untuk kemenangan calon-calon UMNO.

Pemuda sering menuntut supaya lebih ramai daripada mereka menjadi calon dalam pilihan raya bahkan dilantik jadi Menteri. Alasan mereka ialah kerana yang muda dalam parti mestilah diberi tempat dalam parti dan kerajaan kerana sumbangan mereka berkempen untuk parti.

UMNO memang bersetuju. Ramai juga pemuda yang dicalon dan menang menjadi Yang Berhormat.
Malangnya apabila mereka tidak lagi muda, sudah dewasa, mereka tidak ingin melepaskan tempat mereka. Maka sukarlah bagi pemuda lain diberi tempat.

Sebenarnya ramai orang muda ingin menyertai Pemuda UMNO sekarang ini pun. Penyertaan mereka tetap akan memberi darah baru kepada parti. Lebih cekap dan layak mereka, terutama dalam berbagai bidang profesional, lebih banyak sumbangan dapat mereka beri kepada parti. Dan sudah tentu UMNO akan terus bermaya jika yang tua dari ahli dan pemimpinnya diganti dengan yang muda.

Tetapi hari ini pandangan muda-mudi Melayu tidak lagi sama seperti pandangan generasi yang membentuk dan menentu matlamat perjuangan UMNO. Kita dapati ada di antara mereka, termasuk yang terpelajar, yang berpendapat perjuangan UMNO untuk bangsa, agama dan negara tidak lagi relevan. Mereka berpendapat perjuangan untuk bangsa Melayu adalah lapuk dan ketinggalan zaman.

Mereka percaya sokongan kerajaan kepada bangsa Melayu memalukan dan tidak adil kepada bangsa lain.

Yang aneh ialah mereka sendiri berjaya dalam kehidupan mereka kerana menikmati dasar kerajaan untuk menolong mereka. Setelah mereka mengecapi nikmat ini mereka tidak ingin melihat generasi susulan mendapat nikmat yang sama.

Saya telah berjumpa dan berbincang politik dengan beberapa daripada mereka. Maklumat berkenaan politik amat berkurangan dalam kalangan mereka. Yang telah ke negara-negara Barat telah diserap pemikiran dan nilai-nilai Barat berkenaan konsep persamaan (equality), hak asasi manusia dan konsep keadilan Barat.

Tanpa mengambil kira keadaan di negara sendiri, terutama berkenaan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum, mereka luahkan sahaja konsep-konsep Barat yang mengagumi mereka.

Kalau mereka ini menyertai UMNO, besar kemungkinan UMNO akan bertukar menjadi parti yang tidak lagi berjuang untuk bangsa, agama dan tanah air, tetapi parti liberal ala Barat. Sebaliknya orang Melayu belum boleh liberal dengan sedikit yang ada pada mereka. Oleh itu jika kita ingin terima mereka, mereka perlu diberitahu akan kedudukan orang Melayu yang sebenar.

Bagi mereka kursus politik Melayu dan perjuangan UMNO mestilah diadakan. Mereka perlu diberitahu akan ketidakseimbangan kedudukan antara kaum supaya perjuangan untuk mengurangkan keadaan ini dan matlamat untuk bangsa, agama dan negara dapat diteruskan.

Walaubagaimanapun kemasukan mereka adalah penting jika UMNO ingin membersihkan imej UMNO.

Hari ini ramai yang berpendapat UMNO banyak terlibat dengan rasuah. Bahkan pemimpin UMNO di semua peringkat dianggap menyertai UMNO bukan kerana bangsa, agama dan negara tetapi ingin memperkayakan diri.

Hanya dengan memberi kepimpinan UMNO kepada orang yang muda dan belum tercemar barulah pembersihan UMNO boleh menjadi kenyataan, dan diterima oleh masyarakat.

Saya dengar desakan-desakan supaya dikekalkan semua ahli MT yang sedia ada. Jika ini dilakukan maka sukar bagi orang ramai mempercayai yang UMNO ingin membersihkan parti dan menukar imejnya. Mereka akan kekal dengan perasaan jijik mereka terhadap UMNO.

Walaupun saya sokong cadangan supaya tidak ada pertandingan untuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden demi mengekalkan perpaduan dalam parti, tetapi untuk semua jawatan lain, pertandingan perlu diadakan secara tersusun dan teratur. Sesiapa yang mengguna duit perlu dihadapkan ke hadapan Jawatankuasa Disiplin. Hukuman yang dijatuhkan dan pelaksanaannya mestilah sama bagi kesalahan yang sama. Tidak seharusnya pilih kasih diperlihat dalam menjalankan hukuman seperti yang berlaku dahulu.

Sesiapa sahaja dalam parti, Wanita, Pemuda dan Puteri patut diterima sebagai calon. Hanya yang muflis atau terlibat dengan jenayah sahaja yang tidak boleh dibenar bertanding.

Hanya jika ternampak ramai muka baru dan muda barulah UMNO akan dipercayai orang ramai, sudah berubah dan sudah dibersihkan.

Manusia tidak pernah bersih dari kecacatan. Saya yakin walau apa pun sistem yang diguna, walau apa pun hasil yang dihasilkan, akan ada sahaja kecacatan. Untuk ini kepimpinan yang menghubungi yang lama dengan yang baru (dan muda) mestilah bijak dan cekap untuk menangani kepincangan yang akan berlaku.

Saya berdoa dan merayu kepada pemimpin yang sedia ada untuk menerima perubahan dan rela undur.

Janganlah kita melebihi tempoh yang diberi kepada kita. Utamakan UMNO dan ketepikan kepentingan dan cita-cita besar diri sendiri.U/M

Gangguan air: Jangan beri alasan ambil masa

Posted: 01 Sep 2013 03:37 AM PDT


Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
 
 
SHAH ALAM – Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) diingatkan supaya tidak menggunakan alasan gangguan bekalan air mengambil jangka masa yang lama untuk dipulihkan sedangkan masalah pencemaran ini telah pun berjaya dikawal semalam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Loji Sungai Selangor (SSP) SSP1, 2 dan 3 kembali beroperasi semula bermula awal semalam selepas ditutup sementara sejak kelmarin disebabkan pencemaran air akibat tumpahan diesel.

Menurutnya, bermula 12.30 tengah malam hingga 1.30 pagi semalam, SSP1 dan SSP3 kembali beroperasi secara berperingkat setelah pencemaran berjaya dikawal selepas kakitangan serta pegawai yang bertugas mengenal pasti tiada lagi kesan pencemaran.

"Pada jam 4 hingga 6 pagi semalam, pengeluaran air di SSP1 dan SPP3 telah meningkatkan tahap rizab air mentah sebanyak lima meter.

"Kita menjangkakan bekalan air bersih kepada pengguna akan pulih secara berperingkat selepas tengah hari semalam," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dari Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri yang telah bekerjasama dengan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) bagi memastikan loji terbabit beroperasi semula.

"JAS, Luas dan Splash telah menjejaki punca pencemaran ke sebuah pusat selenggaraan lori sampah di Rawang yang mana siasatan awal menunjukkan minyak diesel terpakai dibuang ke longkang dan dibiarkan mengalir ke sungai.

Tambahnya, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) telah pun menyita premis berkenaan dan perintah menghentikan operasi telah pun dikeluarkan.

Nazri dakwa Cina pencetus 13 Mei, tetapi ia hanya kerja orang dahulu

Posted: 31 Aug 2013 10:51 PM PDT

OLEH DIYANA IBRAHIM

















Datuk Seri Nazri Aziz (gambar) mengakui kaum Cina merupakan  pencetus 13 Mei 1969 namun ia cuma dilakukan oleh individu tertentu bukan Cina sekarang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas filem kontroversi Tanda Putera yang dikatakan mempunyai unsur yang boleh mencetuskan ketegangan kaum termasuk adegan kencing di tiang bendera oleh Penasihat DAP Lim Kiat Siang.

Nazri yang mengakui telah menonton filem tersebut berkata, tidak ada unsur yang menganggu seperti yang digembar gemburkan pihak tertentu.
 "Sejarah ialah sejarah, jadi kenapa kita mahu terasa dengan sejarah  itu kisah yang dulu kenapa mahu samakan dengan sekarang," kata Nazri yang berbeza dengan pandangan pengarah filem itu sendiri.
Shuhaimi Baba ketika membuat kenyataan mengenainya berkata, ia bukan cerita sejarah namun fiksyen sahaja.

"Saya telah menonton ia sebuah filem sejarah, kalau kata kononnya filem itu menyalahkah kaum Cina kerana mencetuskan rusuhan maka ia dibuat berdasarkan sejarah samalah seperti fakta sejarah tentang Nazi yang dulunya membunuh beribu-ribu orang Yahudi kita tidak boleh menidakkan sejarah,"kata Nazri  kepada media selepas merasmikan pelancaran ulangtahun sambutan 50 tahun Muzium Negara.

Malah tegas beliau, kaum Cina pada masa kini juga tidak harus menanggung kesalahan yang dilakukan individu terdahulu.

Kata beliau yang merujuk kepada adegan kencing oleh satu kumpulan belia Cina pada tiang bendera Selangor di kediaman Menteri Besar Selangor ketika itu yang turut mengaitkan dengan Lim Kit Siang.

"Kalau itu sejarah maka itulah sejarahnya, kerana itu kita perlu bersifat terbuka dan telus, ia dibuat individu generasi lepas jadi ia sudah tidak ada kena mengena dengan zaman ini,"katanya

Penayangan filem Tanda Putera arahan pengarah Shuhaimi Baba mencetus konterversi dan mendapat kritikan hebat dari DAP menuduh filem tersebut menggambarkan kaum cina kepada pencetus rusuhan 13 Mei.

Filem ini mendapat tentangan hebat dari Lim kit Siang apabila filem itu cuba menfitnah pemimpin itu.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pernah mengeluarkan kenyataan menggesa filem tersebut diharamkan tayangannya di Pulau Pinang.

Bagaimanapun arahan itu kemudiannya ditarik balik apabila Ketua Menteri itu menegaskan itu hanyalah saranan dari beliau dan bukannya arahan yang wajib.

Bagaimanapun filem tersebut mula ditayangkan secara umum pada khamis lalu dan setakat ini menerima reaksi memberangsangkan dari penonton.

"Tanda Putera Taklah Menarik Sangat " - Anwar

Posted: 31 Aug 2013 10:43 PM PDT

alt
 
 Mahirah Zakaria 
 
 
KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sudah menonton sedutan filem Tanda Putera dan beranggapan filem itu 'tidaklah menarik sangat'.
 
Menurut Anwar, beliau menonton kerana suka-suka dan bukannya serius seperti menonton filem Hindi tahun 1964, Sanggam.
 
"Saya tonton filem suka-suka dan bukannya serius seperti Sanggam (filem Hindi tahun 1964)," katanya ketika menyampaikan perutusan Hari Merdeka kali ke-56, di sini, hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Pulau Pinang yang menasihatkan pengusaha pawagam di negeri itu tidak menayangkan filem Tanda Putera.
 
Namun begitu, tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mengarahkan agar filem tersebut tidak ditayangkan mendapat reaksi negatif Anwar.
 
"Saya sendiri tidak bersetuju dengan saranan yang dikemukakan oleh Guan Eng.Tetapi beliau hanya menasihatkan, bukan melarang penayangan Tanda Putera.
 
"Di negara merdeka, sesiapa sahaja berhak memberi pandangan," katanya.
 
Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melalui status terbaru di laman sosial Facebooknya berkata, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) telah diminta untuk memastikan tayangan filem itu di Pulau Pinang diteruskan.
 
Katanya, filem tersebut akan ditayangkan di pawagam di Pulau Pinang mulai Sabtu ini.
 
Sebelum ini, Guan Eng telah mencetuskan kontroversi apabila dilaporkan telah meminta pengusaha pawagam di negeri itu untuk tidak menayangkan filem yang disifatkan pembangkang sebagai kontroversi.
   
Namun, Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia berupa nasihat dan bukannya larangan.

Lelaki Mengamuk Rampas Bendera Sang Saka Malaya

Posted: 31 Aug 2013 10:34 PM PDT

alt

Radhi Razak 

KUALA LUMPUR  - Seorang lelaki telah bertindak merampas beberapa helai bendera 'Sang Saka Malaya' yang dikibarkan sekumpulan penyokong pembangkang di Dataran Merdeka malam tadi.

Kumpulan yang dipimpin aktivis politik, Hishamuddin Rais itu telah mengadakan satu perhimpunan Ambang Merdeka di samping mengibarkan bendera itu bagi menafikan Jalur Gemilang sebagai bendera kebangsaan di Negara ini.

Lelaki tersebut yang bertindak ketika Sasterawan Negara, A.Samad Said sedang menyampaikan ucapan sempat memberi peringatan kepada para penyokong pembangkang bahawa Jalur Gemilang merupakan bendera yang menjadi mercu tanda rakyat di Negara ini. [VIDEO DI SINI]
 
alt
 
Terdahulu, Hishammuddin Rais dalam ucapan ringkasnya berkata, kemerdekaan yang dikecapi selama 56 tahun merupakan Hari Malapetaka buat rakyat Malaysia.

Beliau yang mempertahankan bendera Sang Saka Malaya menegaskan, rakyat Malaysia telah ditipu dengan semangat mengibarkan Jalur Gemilang yang realitinya diciplak dari Amerika Syarikat.

"Jalur Gemilang adalah tipu dari Amerika, bendera sang saka ini adalah tradisi dari pada kerajaan Melayu langka suka.

"Bendera ini dinaikkan pada tahun 1947. Pengisytiharan 31 Ogos bukanlah Hari Kemerdekaan. Akan tetapi merupakan Hari Malapetaka," katanya ketika berucap di hadapan penyokongnya di Dataran Merdeka malam tadi.

Sambutan itu turut disertai Sasterawan Negara, A.Samad Said dan Aktivis Pro Mahasiswa, Adam Adli.
 
alt
 
Beliau juga mengulangi pendirian mempertahankan bendera 'Sang Saka Malaya' sebagai bendera kebangsaan di Negara ini.

Tambahnya, bendera ini bakal diiktiraf sekiranya Kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) berjaya ditumbangkan.

"Inilah bendera rakyat Tanah Melayu apabila negara kita bebas dari Umno." ujarnya. [LAGI VIDEO DI SINI]

Sebelum ini, beberapa Pemimpin Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mendesak pihak berkuasa terutamanya Kementerian Dalam Negeri mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bertanggungjawab mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya'.

Salah seorang pemimpin NGO, Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar menganggap tindakan itu sebagai biadab sekaligus menghina pejuang terdahulu yang banyak berkorban nyawa demi mempertahankan kedaulatan tanah air.

Dialog PR, BN - Anwar Yang Terdesak Atau Pemimpin UMNO Yang Tersedak?

Posted: 31 Aug 2013 10:14 PM PDT



Oleh Shahbudin Husin

Dalam perutusan sempena sambutan merdeka tahun ini, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menawarkan kepada Perdana Menteri, Najib Razak supaya diadakan rundingan meja bulat antara PR dan BN dalam beberapa isu demi untuk kepentingan rakyat dan negara. Antara isu yang disentuh Anwar sebagai wajar dibincangkan bersama ialah berkaitan kaum, agama, jenayah dan ekonomi.

Meskipun Anwar secara jelas menyebut bahawa perbincangan atau dialog itu tidak berkaitan sama-sekali dengan penubuhan kerajaan perpaduan yang diheboh-hebohkan sebelum ini tetapi tawaran ini segera mengundang reaksi yang tidak menyenangkan daripada kebanyakan pemimpin UMNO.

Apatah lagi seiring dengan tawaran kesediaan mengadakan rundingan itu, Anwar juga menyatakan keterbukaan untuk melupakan perbezaan dan persengketaan selama ini serta menerima keputusan pilihanraya umum lalu dan ini seolah-olah memenuhi syarat Najib sebelum ini bahawa sebarang rundingan antara BN dengan PR tidak mungkin diadakan selagi pakatan pembangkang tidak menerima keputusan pilihanraya, malah terus mempertikaikannya.

Beberapa pemimpin UMNO lantas mempertikaikan niat dan keikhlasan Anwar yang secara tiba-tiba membangkitkan soal dialog, rundingan atau kerjasama antara PR dengan BN ini. Mereka menyifatkannya sebagai langkah terdesak Anwar setelah kalah pilihanraya dan hampir kesemua petisyen yang dikemukakan PR ditolak oleh mahkamah. Khairy Jamaluddin, Mukhriz Mahathir dan Hishammuddin adalah antara pemimpin UMNO yang terawal menolak cadangan Anwar itu sambil mempersoalkan niat serta tujuannya.

KJ dan Mukhriz yang diketahui bermusuh dalam UMNO tiba-tiba dilihat senada dan mempunyai hujah penolakan yang hampir sama. Dipercayai juga ramai lagi pemimpin UMNO yang turut menolak tawaran dialog oleh Anwar ini. Bekas Perdana Menteri, Mahathir tentulah lebih diketahui pendiriannya berhubung isu ini.

Sementara Anwar dianggap terdesak kerana mengemukakan tawaran dialog ini, sebaliknya Anwar juga berjaya membuatkan ramai pemimpin UMNO tersedak dengan kejutan yang dibuatnya ini. Beliau yang selama ini dilihat begitu keras dan tidak berkompromi dengan UMNO, bahkan sering mengucapkan perkataan "lawan tetap lawan" seolah-olah sudah berubah dan mengalah berikutan pendirian mahu berdamainya ini.

Reaksi pantas KJ, Mukhriz dan Hishamuddin yang memperlekeh tawaran Anwar itu sambil mempertikaikan niatnya, walaupun dalam perutusan Anwar sudah dijelaskan bahawa ianya demi kepentingan rakyat dan negara, jelas membuktikan mereka terkejut dah mungkin tersedak beberapa kali kerananya.

Mahathir yang sedang berehat di rumahnya sambil minum-minum petang juga mungkin lebih kerap tersedak mendengar berita ini.

Dalam mesyuarat MT UMNO petang semalam, isu itu turut dibincangkan dan mungkin paling ramai pemimpinnya mengambil bahagian serta memberikan pelbagai pandangan mengenai dialog PR dengan BN itu. Jika sebelum ini Anwar mengatakan Najib yang cuba berbaik-baik dengannya, tawaran yang dibuatnya kali ini nyata menggambarkan sebaliknya dan membuatkan mereka tidak senang dengannya.

Benarkah Anwar sedang terdesak dan kini mahu berbaik-baik dengan Najib? Mungkinkah ini petanda Anwar sudah keletihan dan mengakui usianya yang semakin meningkat tidak sesuai lagi meneruskan perjuangan menumbangkan BN? Atau ini adalah merupakan langkah awal Anwar berbaik-baik dengan BN yang mana matlamat akhirnya ialah menubuhkan kerajaan perpaduan walaupun dinafikan pada ketika ini?

Atau mungkinkah ini hanya strategi Anwar untuk meredakan ketegangan memandangkan PRU 14 masih jauh lagi? Mungkin juga ini merupakan percaturan Anwar untuk menyelamatkan kerjaya politiknya dan ingin menempatkan penyokong setianya dalam kerajaan?

Pelbagai kemungkinan boleh diramalkan mengenai isu ini dan apa yang mungkin berlaku disebaliknya. Tetapi sementara menanti yang mana satu kemungkinan itu akan menjadi kenyataan, haruslah disedari bahawa perdamaian Anwar dan Najib bukanlah sesuatu yang mustahil. Politik sentiasa memungkinkan kawan menjadi musuh dan musuh bertukar menjadi kawan.

Mahathir pernah memusuhi Tengku Razaleigh dan Semangat 46 tetapi kemudiannya menawarkan perdamaian sehingga menyebabkan Ku Li membubarkan partinya dan menyertai UMNO secara beramai-ramai pada 1996. Walaupun perdamaian itu dinamakan atas tiket perpaduan Melayu tetapi kemudian disedari bahawa ia semata-mata untuk memudahkan Mahathir menyingkir dan memecat Anwar pada 2 September 1998.

Ketika Mahathir memecat, mengaib dan memenjarakan Anwar, seluruh pimpinan UMNO menyokongnya tetapi siapa sangka apabila Pak Lah menjadi Perdana Menteri, beliau membebaskan Anwar dan menghantar menantunya, KJ ke rumah Anwar di Bukit Damansara untuk menguruskan soal passport Anwar yang perlu menjalani pembedahan tulang belakang di Jerman.

Jika Mahathir memenjarakan Anwar, kemudian Pak Lah membebaskannya, maka tidaklah mustahil Najib pula yang berganding tangan bersatu hati dengan Anwar memimpin negara selepas ini.

Kalau Mahathir boleh berbaik semula dengan Ku Li yang merupakan musuh yang diciptanya sendiri, tidaklah sukar sebenarnya bagi Najib berbaik-baik dengan Anwar kerana Anwar bukanlah musuh yang dicipta oleh Najib. Beliau bermusuh dengan Anwar hanya kerana mewarisi pusaka yang ditinggalkan oleh Mahathir untuknya. Pak Lah telah membuktikan tidak mahu mewarisi permusuhan dengan Anwar yang ditinggalkan Mahathir, maka tidaklah mustahil Najib juga berbuat perkara yang sana.

Demi survivalnya, tidak menjadi kesalahan Najib dan Anwar berbaik-baik, sama seperti tidak menjadi kesalahan ketika Mahathir berbaik-baik semula dengan Ku Li dan kemudian menukar Anwar daripada sahabat kepada musuhnya.

Sama ada dialog PR dengan BN ini akan menjadi kenyataan dan memberi kebaikan kepada rakyat dan negara atau ianya merupakan permulaan kepada penubuhan kerajaan perpaduan atau mungkin tersekat di tengah jalan dan sekadar menjadi perisa yang menambahkan masam manis santapan dunia politik kita, semuanya bergantung kepada keadaan dan perubahan yang berlaku selepas ini.

16 kumpulan gangsterisme dipantau

Posted: 31 Aug 2013 10:09 PM PDT

 
KDN akan terus mendedahkan senarai terkini kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pelbagai aktiviti jenayah di seluruh negara.




KUCHING: Polis negeri ini sentiasa memantau maklumat 16 kumpulan gangsterisme di Sarawak yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Mohd Zinin berkata, KDN akan terus mendedahkan senarai terkini kumpulan kongsi gelap yang aktif melakukan pelbagai aktiviti jenayah di seluruh negara.

Ini kerana, katanya polis masih lagi mengumpul bukti dan maklumat mengenai kegiatan kongsi gelap yang kemudian akan diserahkan kepada KDN untuk tindakan lanjut.

"Daripada 16 senarai nama kongsi gelap di Sarawak yang dikeluarkan semalam, terdapat nama-nama individu yang bukannya daripada nama pertubuhan kumpulan gangster, turut didedahkan oleh KDN.

"Namun demikian, saya yakin dan percaya polis negeri ini akan memantau dan mengawasi pergerakan kumpulan terbabit dari semasa ke semasa sebagai langkah menjamin keselamatan rakyat," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara Perbarisan sempena majlis Serah Terima Tugas Jawatan Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Sarawak di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), Jalan Badruddin di sini, semalam.

Kata Mohd Bakri, walaupun negeri Sarawak tidak mempunyai Akta Pencegahan Jenayah seperti di Semenanjung, namun, pihaknya akan tetap mengambil tindakan sama dengan menggunakan undang-undang sedia ada untuk memastikan individu atau kumpulan terbabit dapat diambil tindakan.

"Justeru, saya menggesa seluruh rakyat Malaysia termasuk media tempatan bekerjasama dengan pihak polis dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka menangani kes jenayah yang akan memberi kesan kepada perkembangan sektor pelancongan mahupun ekonomi di negeri masing-masing," tegasnya.

Ditanya sama ada orang kenamaan turut tersenarai dalam kumpulan terbabit, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa senarai kongsi gelap yang didedahkan semalam juga melibatkan orang-orang ternama.

BN tidak terjejas 

Sementara itu, Ketua Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, tidak ada halangan dan sekatan terhadap sesiapa yang mahu menubuhkan parti baharu di negeri ini.

"Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti yang berdaftar," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Van Jenazah Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) di masjid Jamek di sini semalam.

Menurutnya, beliau melihat penubuhan parti baharu itu tidak menjejaskan parti yang sedia ada di negeri ini.
Lima parti baharu telah menghantar pendaftaran dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Parti berkenaan ialah Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), Parti Bumi Kenyalang (PBK), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), People's Alliance for Justice of Peace dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras).

Penyerahan sebuah van jenazah dari LAKMNS kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Melayu Miri yang akan diletakkan di masjid Ar- Rayyan diperlukan bagi mengimbangi pertambahan populasi di kawasan berkenaan, selain memudahkan lagi urusan membawa jenazah sekiranya berlaku kematian.

Pada majlis itu Taib yang juga Pengerusi LAKMNS menyerahkan van berkenaan kepada Pengerusi Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Melayu Miri Dato Haji Abdillah Haji Abdul Rahim.

SPRM Sarawak catat 29 kes tangkapan

Posted: 31 Aug 2013 10:04 PM PDT

 
Kes tersebut merangkumi penjualan diesel bersubsidi, memberi dan menerima rasuah serta pemalsuan dokumen atau tuntutan. 




KUCHING: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Sarawak telah mencatatkan sebanyak 29 kes tangkapan dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini berbanding 117 tangkapan pada tahun 2012.

Pengarah SPRM Sarawak Dato Bahri Mohd Zin berkata, kes tersebut merangkumi penjualan diesel bersubsidi, memberi dan menerima rasuah serta pemalsuan dokumen atau tuntutan.

"Bermula tahun 2012, hasil tangkapan dan denda yang diperoleh oleh pihak SPRM lebih RM5 juta bagi kesalahan tersebut.

"Bagi kes penjualan diesel bersubsidi pula, hasil rampasan dan denda bernilai RM353,000," katanya, ketika ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, semalam.

Bahri menambah, kes tangkapan untuk penjualan minyak bersubsidi kebanyakannya berlaku di bahagian Kuching dan Miri.

"Insiden ini berlaku di kawasan yang jauh dari pusat bandar. Bagaimanapun, kebanyakan kes dapat diselesaikan oleh pihak kami.

Tangkapan tersebut merangkumi kes yang dilaporkan kepada pihak SPRM tetapi paling banyak adalah kes disiasat kita sendiri.

Siasatan proaktif

"Kita telah menukar strategi daripada siasatan reaktif kepada siasatan proaktif. Ini bermakna kita turun ke kawasan lapangan dengan menggunakan kekuatan kumpulan risikan dan bergerak ke seluruh negeri ini," jelasnya.

Dari segi rasuah pula, beliau berkata, siasatan di negeri Sarawak berbeza dengan negeri lain kerana pihaknya akan menangkap pemberi rasuah berbanding penerima rasuah.

"Tangkapan ke atas pemberi rasuah paling banyak dilakukan oleh pihak SPRM. Contohnya, pegawai kerajaan melaporkan kepada kita mengenai pihak yang ingin memberi rasuah kepadanya. Jadi, kita membuat perancangan dan menangkap pemberi rasuah.

Justeru, agensi penyumbang kepada penangkapan pemberi rasuah adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak Energy Berhad (SEB) dan jabatan lain," tambahnya.

Katanya lagi, hukuman lima kali ganda nilai suapan akan dikenakan kepada pemberi dan penerima rasuah jika didapati bersalah dan penjara tidak lebih daripada 10 tahun.

"Dalam pada itu, denda sampai RM5 juta akan dikenakan kepada pesalah yang disiasat di bawah Akta Anti Wang Haram (AMLA). Memang terdapat kes disiasat di bawah AMLA di Sarawak yang lebih kepada pemindahan wang atau aset tetapi kita tidak boleh dedahkan perkara ini," ujarnya.

Menurut beliau, setakat ini kebanyakan kes rasuah masih disiasat berikutan hanya seorang sahaja hakim yang mengendalikan kes tersebut di negeri Sarawak dan terpaksa mengikut giliran.

Dalam pada itu, Bahri mengucapkan penghargaan kepada setiap jabatan kerajaan yang memberi kerjasama dalam usaha memerangi rasuah di negeri ini seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Beliau berharap lebih banyak pihak tampil untuk membuat laporan sekiranya mengetahui kes rasuah dan identiti pengadu akan dilindungi sepenuhnya.

Nazri: Orang Cina tak perlu rasa bersalah gambaran 13 Mei 'Tanda Putera'

Posted: 31 Aug 2013 05:38 PM PDT


MALAYSIA KINI


Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menggesa masyarakat Cina hari ini agar membuang jauh rasa bersalah terhadap peristiwa 13 Mei yang digambarkan sebagai dicetuskan oleh kaum itu dalam filem Tanda Putera.

"Saya tak fikir seluruh generasi orang Cina hari ini perlu rasa mereka bersalah. Ini atas indidivdu.

"Kalau benda itu dilakukan sesetengah individu, takkan seluruh masyarakat Cina kena bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya wartawan tentang komennya terhadap filem itu yang dianggap sesetengah pihak menonjolkan orang Cina sebagai pencetus peristiwa 13 Mei 1969.

Bercakap lanjut, Nazri menjelaskan parti politik hari ini juga tidak perlu berasa takut dengan kebenaran tentang perbalahan antara kaum yang dicetuskan parti politik seperti digambarkan dalam filem itu.

Walaupun tidak merujuk secara langsung, kenyataannya itu dipercayai ditujukan kepada DAP yang membantah tayangan filem itu di pawagam di Pulau Pinang.

"Sekarang kita bercakap tentang keterbukaan, kenapa rasa takut? Sebab parti itu dulu memang jahat ke?

"Terimalah hakikat, itu parti dulu. Sekarang dah baik dah kot (mungkin). Dah jadi kerajaan dah semuakan...

"Kebenaran perlu dinyatakan," katanya.

S'jaya Tinggi M'sia di Dhaka siasat dakwaan komplot visa

Posted: 31 Aug 2013 05:37 PM PDT


 
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan menyiasat dakwaan  PKR semalam yang pegawai kerajaan Malaysia di Bangladesh terlibat dalam pengeluaran visa pelancong untuk membolehkan ribuan warga negara itu masuk dan bekerja di Malaysia dengan cara meragukan.

Ahli Parlimen PKR Subang, Sivarasa Rasiah mendakwa, tindakan itu dilakukan dengan kerjasama Jabatan Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah agensi pelancongan.

Dalam balasan emelnya kepada Malaysiakini, Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Ahmad Fikri Zakian berkata siasatan lanjut akan dijalankan.
"Terima kasih di atas makluman pihak tuan berkenaan dengan dakwaan yang dinyatakan.

'Pihak Suruhanjaya Tinggi mengambil maklum dan akan menjalankan siasatan lanjut berkenaan dakwaan tersebut," katanya.

Ahmad Fikri turut meminta kerjasama agar nama lima pemegang pasport Bangladesh yang didakwa memperolehi visa mereka secara meragukan, dipanjangkan kepada pihak suruhanjaya tinggi.

Malaysiakini juga sudah menghubungi pihak imigresen berhubung dakwaan tersebut dan masih menunggu reaksi daripada jabatan berkenaan.

1. PKR dakwa komplot bawa masuk warga Bangladesh

Kementerian arah lukisan kontroversi ditarik balik

Posted: 31 Aug 2013 05:33 PM PDT


dikemaskini  Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan mengarahkan sebuah lukisan kontroversi yang dipamerkan dalam satu pameran seni lukis 'M50 Selamat Hari Malaysia' di ibunegara, ditarik balik kerana didakwa menghina agama.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata setiap pameran yang hendak diadakan semestinya melalui satu jawatankuasa yang terdiri daripada Balai Seni Visual Negara (BSVN) yang di bawah kementeriannya.

"Dalam soal (karya seni) itu, ia tak ditunjukkan kepada jawatankuasa, tak melalui jawatankuasa, jadi (apabila) benda itu masuk (dalam pameran), orang yang bertanggungjawab itu tidak jujurlah.

"Apabila item itu dipamerkan, kita dapati ia 'offensive'.

"Jadi kita telah mengarahkan ia digugurkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-50 Muzium Negara.

Menurutnya penganjur pameran itu masih dibenarkan untuk meneruskan aktiviti tu sehingga tarikh akhir sebaik lukisan kontroversi itu ditarik balik.

Kelmarin polis mengambil sebuah karya Anurendra Jegadeve yang dipamerkan dalam pameran M50 Selamat Hari Malaysia untuk siasatan terhadap dakwaan menghina agama.

'I is for Idiot' sebahagian daripada siri karya 'ABC For The Middle-Age Middle Classes' (ABC untuk kelas menengah Zaman Pertengahan), diambil daripada Publika Mall, tempat ia dipamerkan.

Difahamkan laporan polis dibuat terhadap 'I is for Idiot' atas dakwaan menghina Islam, antaranya berhubung tulisan bissmillah dalam bahasa Arab.

Semalam Anurendra menjelaskan bahawa karya seni 'I is for Idiot' itu sebenarnya merujuk kepada peristiwa serangan Amerika Syarikat (AS) di Iraq semasa pentadbiran Presiden George W Bush.

Justeru, kata Anurendra, beliau tidak berniat menghina Islam tetapi menunjukkan pendirian berbeza sebagai kebersamaan dengan "warga jalanan Iraq", yang kebanyakannya orang Islam.

Beliau juga menjelaskan ayat al-Quran yang digunakan sebagai mewakili rakyat Iraq. Ia juga diterbalikkan bagi menggambarkan keadaan dunia ketika itu.

"Perkara ini dilakukan, dengan niat, untuk menggambarkan keadaan dalam sejarah dunia apabila semuanya dilihat secara terbalik," katanya.

89 Ditahan Dalam Ops Cantas Di Kuala Terengganu

Posted: 31 Aug 2013 05:07 PM PDT

 MSTAR ONLINE

KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menahan 89 individu termasuk 10 wanita di dua pusat hiburan di bandar raya ini dalam Ops Cantas Khas, Sabtu.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata kesemua yang ditahan berusia antara 20 dan 60-an dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK)Terengganu bagi memeriksa rekod serta ujian saringan air kencing.

"Kita akan memeriksa kesemua rekod dan identiti mereka sama ada terlibat dengan jenayah atau memang orang yang dikehendaki polis," katanya kepada pemberita di sini selepas operasi dua jam itu berakhir pukul 3 pagi.

Jamshah berkata walaupun Terengganu bebas daripada gejala kongsi gelap polis akan terus melakukan pemeriksaan terutamanya di premis hiburan bagi membanteras kegiatan itu.

Kereta Dengan Beberapa Kesan Tembakan Ditemui Di Bayan Baru

Posted: 31 Aug 2013 05:06 PM PDT

 MSTAR ONLINE

GEORGE TOWN: Sebuah kereta jenis Proton Persona dengan sekurang-kurangnya empat kesan tembakan ditemui di Lebuh Mahsuri Bayan Baru, di sini Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Mohd Hatta Mohd Zain berkata polis menerima aduan daripada orang awam pada pukul 8.40 pagi Sabtu memaklumkan kereta berkenaan mengganggu lalu lintas dan berada dalam keadaan mencurigakan.

"Hasil pemeriksaan forensik mendapati ada tiga kesan tembakan di belakang kereta dan satu lagi tembakan mengenai bahagian hadapan cermin kereta, bagaimanapun tiada kesan darah ditemui di dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata keadaan kereta itu agak terjejas di bahagian bumper dengan tayar belakang pancit, fender pengadang lumpur bahagian depan pecah selain terdapat beberapa kesan calar pada badan kenderaan itu.

Katanya polis percaya kereta itu dikejar kenderaan penyerangnya di satu lokasi lain sebelum ditinggalkan di situ.

Beliau berkata polis turut menemui dua bungkusan dadah jenis heroin di bawah tempat duduk pemandu dan siasatan lanjut mendapati kereta itu dimiliki seorang lelaki yang beralamat di Jalan Van Praagh, di sini.

Mohd Hatta berkata pemilik kereta yang tidak memiliki rekod jenayah lampau itu dipercayai telah menghilangkan diri kerana tidak dapat dikesan di rumahnya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian menghubungi balai polis berdekatan. - BERNAMA

Tiada ulasan: