. |
Shabery Chik, Khalid Abu Bakar Sama Cerdik Dengan Pemimpin Perkasa(m) Posted: 05 Sep 2013 01:00 AM PDT ULAS ISU Cara Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar membuat kenyataan berhubung 'kejayaan' polis menahan A Samad Said (foto) untuk disiasat kerana membaca sajak di samping kibaran bendeara Sang Sangka Malaya di malam 31 Ogos lalu seolah-olah kejayaan memberkas Samad itu satu kejayaan besar dan rekod baru bagi PDRM. Ia semacam kejayaan polis memberkas kesemua kepala 49 gengstar seperti mana diumumkan baru-baru ini. Hebat polis. Zahid Hamidi yang menjadi menteri menjaga polis juga boleh tumpang naik semangat dengan kejayaan polis itu. Bolehlah dijadikan modal untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden Umno dalam perhimpunan parti itu kelak. Jarang polis berjaya menahan seorang sasterawan! Kata Khalid polis berjaya menahan Samad selepas Sasterawan Negara itu menyusup ke rumahnya menjalang tengah malam. Polis telah berada di rumah Samad membuat perhatian tetapi tidak berjaya menangkap kerana Samad dikatakan bersembunyi. Selepas Samad pulang menjelang tengah malam baru boleh berjaya memberkasnya. Pak Samad menafikan dakwaan mengatakan dia bersembunyi. Pakat-pakat ukur sendirilah sejauh mana pro-nya polis Malaysia. Penahanan Samad yang sudah lanjut usia itu tidak perlu dihebuh-hebuhkan pun. Nampak sangat polis khasnya Khalid Abu Bakar sengaja perbesar-besarkan isu yang tidak sewajarnya disebut pun. Semua orang kenal Pak Samad dan tahu sejauh mana kekuatannya. Usahkan hendak melarikan diri dari polis hendak halau kambing masuk ke rumahnya sudah tidak mampu lagi. Berbeza dengan Nazri Aziz yang memperlekeh Samad dengan menyoal besarkah Samad Said itu maka beliau tidak perlu menyerah diri kepada polis sehingga memerlukan ada panggilan rasmi. Samad yang dikehendaki polis mempersoalkan tindakan polis kerana beliau tidak dimaklum secara rasmi jadi tidak timbul dia enggan menyerah diri. Pak Samad yang sudah tua itu dijadikan isu. Dari sudut lain ia menaikkan darjat seorang penyair seperti Pak Samad. Sajak-sajaknya kini menjadi lebih tajam dari lidah orang politik. Ia lebih penting dari isu kenaikan harga bahan bakar yang mencerabui kepala rakyat kini. Seorang lagi menteri yang juga menyentuh soal Samad ialah Shabery Chik yang mengemukakan pandangan anugerah Sasterawan Negara yang diberikan kepada Samad boleh ditarik balik. Kualiti menteri Komunikasi dan Multi Media itu lebih kurang pemikiran pemimpin Ngo Perkasa(m) sahaja yang mahu kewarganegaraan Pak Samad dilucutkan. Samad telah membuat ulasan terhadap pandangan Shabery dan Ngo berkenaan. Katanya beliau tidak kisah kalau anugerah itu hendak ditarik, begitu juga dengan kewarganegaraanya. Tariklah dia sedang menunggu-nunggu. "Bapa sedang menunggu-nunggu," uajarnya seperti dilapor. Cara Shabery itu tidak habis-habis teknik mengugut macamlah Samad budak-budak kecil. Begitulah kepala pemimpin Umno bila mereka sudah terdesak dengan sesuatu isu jalan paling mudah ialah dengan mengemukakan cadangan taraf budak. Mungkin Shabery boleh membuat ugutan demikian kepada Khairy Jamaluddin atau pun anak Serlin itu atau mana-mana pemimpin Umno tetapi tidak kepada Samad. Pak Samad sudah matang dengan segala hal. Dia tidak berbuat sebelum dia berfikir semasak-masaknya seperti mana orang politik yang berbuat dahulu baru berfikir. Pak Samad orang seni yang berjiwa halus yang selama ini memejamkan mata mengenai kebobrotan dilakukan pemimpin negara. Apabila beliau bersuara itu menunjukkan kesakitan itu sudah parah. Mengenai anugerah Sasterawan Negara ia bukan sesuatu yang ditagihi Samad. Ia adalah anugerah yang diberikan oleh negara berdasarkan percapaiannya dalam bidang yang diceburinya yang diputus panel khas. Yang mestinya anugerah itu bukan berdasarkan bodek dan pemujaan kepada kerajaan tetapi jasa dan baktinya dalam bidang persuratan dan kebudayaan. Apakah apabila beliau kini dilihat mengeluarkan pendapat yang tidak disenangi kerajaan maka anugerah itu hendak ditarik balik? Buruk siku weii... Cadangan Shabery itu menunjukkan ketidakmatangan menteri berkenaan dan mengeluar pandangan berdasarkan sentimen parti politik. Seorang menteri sepatut tidak bersikap macam ketua Umno cawangan di kampung yang tidak akan menanda-tangani borang untuk mendapat buku pinjaman untuk murid yang bapanya tidak menyokong dacing. Apakah nilai Shabery sama dengan nilai ketua-ketua cawangan Umno? Ahmad Shabery, Khalid Abu Bakar dua kali lima saja dengan pemimpin Ngo Perkasa(m). Adalah diharap Najib Razak dan Muhyiddin Mohd Yassin yang lebih tua dalam kabinet tidak akan terikut dengan pandangan Shabery ataupun cara Khalid yang cuba menunjukkan kehebatan dirinya kerana berharap dia akan disambung kontrek sebagai ketua polis negara dua tiga tahun lagi. Najib dan Muhyiddin perlu menunjukkan mereka lebih kering hingusnya berbanding dengan menteri-menterinya dan juga ketua keselamatan seperti Khalid Abu Bakar itu. Sehari dua ini nampaknya hingus Ahmad Mazlan kering sedikit. [wm.kl.3:59 pm 05/09/13] |
Mengelak Strategi Sama Rakyat Perlu Ubah Otak Kerajaan Posted: 04 Sep 2013 05:26 AM PDT ISENG-ISENGAN Saya selalu tidak gopoh atau pun gila-gila dalam memprotes apa-apa tindakan kerajaan yang dirasakan membebankan rakyat atau diri saya sendiri. Saya suka mendiamkan diri dan melihat rakyat, khasnya yang pandai menulis dan pandai bercakap melayaninya. Kenapa? Jawabannya mudah sahaja, siapalah kita untuk melawan keputusan kerajaan. Kerajaan sama dengan raja, rakyat adalah hamba. Selamanya rakyat akan menjadi abdi kepada raja. Cuma bezanya hari ini pembentukan institiusi itu saja. Raja dilihat bersendiri manakala kerajaan dilihat bersama, demokratik. Walhal raja dengan kerajaan sama sahaja, memerintah mengikut kehendak dan nafsunya. Misalnya dalam isu kenaikan harga bahan bakar hari ini, bukan main lagi rakyat meluahkan perasaan dengan berbagai ragam dan cara. Mereka memperli dan mempersendakan kerajaan terutamanya Najib Razak. Pemimpin pembangkang juga mengambil bahagian sama untuk mengkritik Najib yang motif utamanya agar rakyat berpaling kepada mereka. Yang bijak dengan statistik pula mengeluarkan butiran lengkap dengan carta dan geraf. Ada yang menulis mengenai sejarah kenaikan harga minyak negara dengan detail. Pendeknya semua itu adalah gambaran protes kepada kerajaan yang menaikkan minyak. Tidak dinafikan kenaikan harga minyak memberi kesan kepada beberapa aspek lain kehidupan. Dari tambah 20 sen seliter akhirnya kalau dikumpul rakyat kena menghabiskan RM2.00 atau lebih dalam sehari gara-gara kenaikan itu. Angka inilah yang dilihat besar dan menyusahkan rakyat. Kerajaan telah mengumumkan kenaikan itu alasan mengurangkan subsidi kerajaan yang boleh menjimakkan wang sebanyak RM3.3 billion. Untuk siapa wang itu. Asasnya untuk rakyat juga. Jadi kalau kita berlaku adil dan rasional melihat kepada alasan itu kenaikan itu munasabah dan adil, tidak payah pun diprotes. Soalnya apakah benar wang itu digunakan untuk rakyat? Di sini dalam hal ini saya tidak mahu memprotes kerajaan. Kerana itulah satu-satunya cara Najib untuk mengimbangkan kewangan negara demi rakyat. Ia perlu diterima. Najib dan penasihatnya (para menteri) sudah tidak ada cadangan dan mekanisme lain yang mungkin ada kepada pembangkang. Jika dilihat kenaikan harga minyak itu kontras dengan kempen pembangkang di mana akan menurunkan harga petrol pada malam kemenangan itu juga. Apabila rakyat tidak memilih pembangkang ini bermakna rakyat bersedia untuk tidak menerima penurunan harga petrol, maka kenaikannya kenalah terima. Apakah yang memprotes kenaikan itu semuanya pihak pembangkang? Mungkin dan boleh jadi. Jadi sekarang ini terserah kepada rakyat. Kalau majoriti rakyat merasa terbeban apa yang mereka kena lakukan menukar 'otak' kerajaan. Otak maksud di sini menukar orang yang mentadbir kerajaan. Selagi otak kerajaan otak sama, maka cara dan teknik itu jugalah yang akan digunakan. Dalam hal ini jika diperhatikan strategi untuk membantu pembangunan negara ini dengan menaikkan harga bahan bakar bukan saja dilakukan Najib tetapi perdana menteri sebelum ini juga. Straegi dan tektik ini mentradisi. Bahawa cara Umno mengatasi masalah rakyat menurut acuannya. Berbalik kepada macam mana untuk menghentikan langkah kenaikan harga minyak ini untuk menampung wang kepada rakyat, ia kena tukar kerajaan. Itu sahaja. Kerajaan baru sudah pasti akan mengambil pendekatan dan teknik-teknik berbeza. Penstrukturan semula pengunaan wang kerajaan tentu akan dibuat. Hal ini tidak akan dilakukan kerajaan sekarang kerana ia sudah tepu dan seronok dengan cara itu. Tetapi kalau semua kita merasa senang, tidak terbeban, kita pujalah kerajaan yang ada ini sampai khiamat. Bagi saya secara idealisnya selagi kerajaan tidak kembali kepada apa yang diajarkan Allah maka selama itulah kita akan bergelumang dengan masalah. Kalau kerajaan yang ada kini ditukar dan naik kerajaan baru tetapi melupai atau enggan melaksanakan segala disuruh Allah, maka masalah sama juga akan berulang. Kita tanggunglah sebab dan akibatnya. Satu hal yang kita kena sedari penentu senang atau hidup kita bukan saja ditentukan oleh harga minyak atau pun ekonomi yang mampan, tetapi masih banyak lagi juzuk-juzuk atau aspek yang perlu diperbetulkan. Sosial, budaya, pendidikan dan lain-lain juga menyumbangkan kepada maju mundurnya kehidupan kita. Minyak (ekonomi) hanya satu juzuk saja. Tidak ada guna ekonomi kita mantap tetapi aspek lain, sosio budaya punah dan jenayah bermaharajalela. Jadi dengan kenaikan harga minyak ini kita jangan sampai jadi sasan dan marah. Kita kena renung ke dalam diri tiap daripada kita kenapa ia terjadi begitu ialah disebabkan kelalaian dan kebodohan kita juga yang obses mempercayai kepada slogan janji-janji yang ditepi. Ia perlu dijadikan iktibar dan ikrar ke dalam diri untuk mengubah otak kerajaan. Makanya didalam pilihan raya akan datang ubahlah otak kerajaan dengan mengambil otak lain. Protes ini lebih bermakna kalau ia dilakukan ke dalam setiap sendi-sendi pemerintahan. [wm.kl. 8: 12 pm 04/09/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan