Selasa, 3 September 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Najib! Kenapa tak subsidi RON97?.. Kan harganya lebih murah dari RON95 tu..

Posted: 03 Sep 2013 03:39 AM PDT


Kata Najib.. Negara mampu menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion tahun ini melalui pengurangan subsidi minyak dalam usaha menyalurkan dana tersebut kepada golongan yang benar-benar memerlukan. 

Rasionalisasi subsidi itu bertujuan menstrukturkan semula fiskal negara agar pasaran yakin dengan keadaan ekonomi negara, sekali gus membantu mencapai sasaran mengurangkan defisit keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 3 peratus pada 2015.


"Ini adalah langkah untuk membantu rakyat juga. Ekonomi yang stabil akan memberi kesejahteraan kepada rakyat," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sidang akhbar di pejabatnya.

Kerajaan mengambil keputusan mengurangkan subsidi minyak petrol RON95 dan diesel sebanyak 20 sen berkuat kuasa tengah malam semalam selepas mengadakan mesyuarat dengan Jawatankuasa Dasar Fiskal sebelum itu.

Najib berkata, impak pengurangan subsidi itu dilihat memberi kesan yang rendah kepada kadar inflasi dan tidak akan memudaratkan rakyat.

Lagi apa kata dia korang tengoklah dalam video di bawah ni..


Kata Najib pada masa ini kerajaan menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel..

Jumlah subsidi untuk bahan api yang diperuntukkan oleh kerajaan bagi tahun ini ialah RM24.8 bilion.

Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel.

Dengan itu maka harga Petrol RON95 telah meningkat menjadi RM2.10 dari harga sebelumnya iaitu RM1.90 namun begitu kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak RM0.63 bagi setiap liter..

Jadi harga sebenar bagi Petrol RON95 itu ialah RM2.73 bagi setiap liter..

Tahukah anda bahawa RON97 yang dipasarkan di Malaysia harganya bergantung kepada harga minyak dunia? dalam lain ayat ianya bukanlah dikawal oleh Kerajaan.

Dan harganya ialah RM2.70 bagi setiap liter tanpa subsidi kononnya dari Kerajaan walau satu sen pun berkuatkuasa pada 22 Mei 2013 lalu.

Laporan dari Sinar Harian di SINI

Persoalannya disini ialah mengapa Kerajaan Barisan Nasional memilih untuk memberikan subsidi kononnya kepada minyak RON95 yang lebih rendah kualitinya jika dibandingkan dengan RON97 itu?

Sedangkan mengikut apa yang dimaklumkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pimpinan Najib itu RON95 lebih mahal dari RON97?

Dimana harga bagi RON95 ialah RM2.10 seliter dicampur dengan subsidi kononnya sebanyak RM0.63 sen setiap liter, jadi jumlah harganya ialah RM2.73 seliter.

Manakala RON97 pula berharga RM2.70 seliter lebih berkualiti tapi lebih murah sebanyak RM0.03 seliter.

Kenapa tak diberikan subsidi RM0.60 kepada minyak bermutu tinggi RON97 supaya harganya RM2.10 seliter?

Sedangkan jika dilakukan demikian kerajaan akan menjimatkan RM0.03 bagi setiap liter minyak yang diberikan subsidi kononnya..

Tentu lebih banyak yang dapat negara jimatkan dalam hal ini.. tapi kalau setakat jimatkan lepas tu masuk poket kroni apakejadahnya???

Siapa yang bodoh dalam hal ini?.. Najib atau penasihatnya?.. atau kita rakyat yang telah diperbodohkan..


Kenapa dalam setiap perkataan subsidi tu ada konon?.. sila baca di SINI

Subsidi Minyak, Wujud atau sekadar dongeng?.. Baca apa yang Pakar Matematik ini dedahkan!

Posted: 02 Sep 2013 11:17 PM PDT


Sebelum korang baca apa yang didedahkan oleh Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin dalam satu wawancara suatu masa yang lalu tentang subsidi minyak ini, tolong cari jawapan bagi persoalan yang dah lama aku fikirkan ini..

Satu persoalan yang dah lama aku fikirkan.. adakah benar Kerajaan yang ada sekarang ini benar-benar memberikan subsidi terhadap harga Minyak yang digunakan oleh setiap kenderaan yang bergerak dibumi Malaysia ini?

Cukai eksais dan cukai jualan yang dikenakan setiap kereta yang dijual ialah bermula dari kadar minima 85% hingga ke 115% ke atas harga asal kereta..

Katakanlah harga asal sebuah kereta itu ialah RM50,000 dengan menganggarkan cukai yang dikenakan Kerajaan dari harga asal ialah 100% iaitu RM50,000..

Bahagikan jumlah cukai yang dikenakan itu dengan kadar penggunaan petrol dalam satu bulan, dalam hal ini aku sendiri menggunakan kira-kira lebih kurang RM400 untuk petrol bagi satu bulan (pergi balik kerja saja ni..).

 RM50,000 bahagi RM400 jawabnya ialah 125.. 125 Bulan..

125 Bulan bahagikan dengan 12 bulan.. hasilnya ialah 10.42 tahun...

Kadar cukai yang dikenakan itu membolehkan kita mengisi minyak untuk kenderaan kita selama 10.42 tahun..

Jadi sebenarnya dalam hal ini siapa subsidi siapa?.. Kita subsidi Kerajaan atau Kerajaan yang berikan kita subsidi?

Fikir-fikirkan...


Bacalah apa kata Pakar Matematik Gunaan tentang kisah dongeng subsidi petrol ini..

Penyelarasan subsidi ke atas bebearapa bahan keperluan seperti petrol dan gula bukan sahaja memberikan kesan kenaikan harga keperluan asas lain, malah, pelbagai pihak dari sektor perkhidmatan juga menaikkan cas atas alasan tersebut.

Dalam keadaan yang semakin tertekan ini, kakitangan kerajaan yang bergaji RM3,000 sebulan pun sudah boleh dikategorikan miskin, apatah lagi yang tidak bekerja.

Ironinya, setiap kali kenaikan harga barang, golongan ini disaran berjimat cermat. Bagaimanakah lagi caranya hendak berjimat? Adakah sehingga makan sekali seminggu itu yang dikatakan berjimat? Semua saranan ini tentu sekali tidak akan meredakan kemelut sara hidup yang menyeksakan.

Bagi merungkai permasalahan kenaikan harga ini, ikuti wawancara khas wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN (Sinar Harian: 5 Januari 2011) dengan Pakar Matematik Gunaan, Prof Madya Hamid Yeop Yeop Zainuddin. Beliau menggunakan pendekatan Matematik untuk meneliti fakta apakah kenaikan harga minyak mentah di pasaran dunia benar-benar merugikan negara sehingga terpaksa mengurangkan subsidi rakyat.

1) Bolehkah harga bahan api ini diturunkan?

HAMID YEOP:

Ya boleh! Malah boleh diturunkan kepada 30 sen sahaja seliter jika menggunakan formula menurunkan harga minyak dan barang-barang yang sekaligus menghapuskan kemiskinan. Formula ini ditemui semasa kajian pada 2008 yang lalu.

Di pasaran dunia harga bahan api turun dan naik tetapi di Malaysia boleh dikatakan tidak pernah turun asyik naik sahaja.

Sesiapa pun faham ini membuktikan harga minyak di Malaysia tidak ditentukan oleh pasaran dunia. Ketika kita RM2.70 seliter, ada negara lain jual hanya 16 sen seliter (Venezuela).

2) Bagaimanakah boleh dijual begitu murah sekali?

HAMID YEOP:

Untuk memudahkan orang awam faham, ambil contoh kelapa sawit. Kita adalah negara pengeluar. Kalau dulu harga sawit RM1,000 satu tan, sekarang dah naik RM3,000. Kita untung atau rugi? Sudah tentu untung 3 kali ganda.

Begitu juga minyak mentah. Malaysia adalah sebuah negara pengeluar minyak dan menganggotai Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Jika Malaysia jual kira-kira 700,000 tong minyak mentah sehari pada kadar USD130 Setong (dengan kadar tukaran mata wang RM3.80 untuk USD1 satu ketika dahulu), ini bermakna perolehan setahun adalah USD33 billion iaitu melebihi RM126 billion. Dengan anggaran perolehan melebihi satu trillion ringgit untuk 10 tahun pada kadar disebutkan tadi, bolehkah Malaysia menurunkan harga bahan apinya? Jika benar rakyat didahulukan maka sudah tentulah jual murah didalam negara tetapi jual ikut harga pasaran di luar negara. Ini adalah hasil negara yang sepatutnya dinikmati rakyat.

3) Maknanya, kenaikan harga minyak mentah dunia tidak merugikan negara?

HAMID YEOP:

Ya benar. Bukan sahaja tidak merugikan Malaysia, tetapi sebaliknya mendapat keuntungan berganda. Seperti kelapa sawit, ramai yang tahu tetapi tidak ramai yang tahu pasal telaga minyak. Kita rujuk data 2008 dengan anggaran jualan minyak mentah Malaysia sebanyak 700,000 tong sehari. Oleh kerana minyak dijual dalam dollar Amerika, bagi memudahkan perbandingan, anggapkan kadar tukaran RM kepada USD ialah RM3.50 untuk USD1.

Harga minyak pada Januari 2007 adalah USD50 iaitu RM175 setong. Justeru perolehan setahun bagi 2007 adalah melebihi RM44 billion. Jun 2008, harga minyak telah naik kepada USD138 iaitu RM483 setong. Justeru perolahan setahun sehingga Jun 2009 adalah kira-kira RM123 billion. Ini memberikan tambahan lebihan untung sebanyak RM78 billion. Keuntungan tambahan ini tidak termasuk keuntungan lain seperti petrol dan diesel. Oleh itu, keuntungan sebenar hasil kenaikan harga minyak dunia adalah jauh lebih tinggi.

4) Dengan RM78 billion lebihan untung, lebih banyakkah subsidi?

HAMID YEOP:

Kalau tiada subsidi pun harga minyak boleh diturunkan, apatah lagi jika ada subsidi. Tetapi rakyat kini menanggung beban kenaikan harga minyak yang kononnya disebabkan kenaikan harga minyak dunia. Ramai yang ingin tahu kemanakah perginya lebihan untuk RM78 billion ini? Lagilah tidak logik kita terpaksa pula mengurangkan subsidi. Kita bukan Singapura dan kita tidak boleh ikut Singapura kerana ia negara pembeli bukan pengeluar. Harga di kilang tidak sama dengan harga di kedai.

5) Benarkah ada subsidi dan siapakah yang menerimanya?

HAMID YEOP:

Ketika minyak mentah berharga USD130 setong (RM455 pada kadar tukaran RM3.50 kepada USD1), kerajaan mengumumkan harga sebenar petrol di Malaysia adalah RM3.00 seliter dan diberikan subsidi RM0.30 sen menjadikannya RM2.70 seliter.

Jika benar ada subsidi, adakah subsidi diberikan kepada semua syarikat minyak seperti Petronas, Shell, Mobil, Esso, Caltex, BHP dan lain-lain? Tanpa subsidi atau suatu bentuk persetujuan bayaran tertentu kepada syarikat asing tersebut mustahil mereka mahu jual dengan harga sama seperti dijual Petronas, iaitu RM2.70 seliter.

Sekiranya syarikat asing itu tidak mendapat sejumlah subsidi (sama ada daripada kerajaan atau Petronas atau kedua-duanya), tentu mereka menjual mengikut harga yang memberikan keuntungan masing-masing sebagaimana yang dijual di negara lain. Sebab itu harga Shell di Singapura jauh lebih mahal.

Tinjauan saya mendapati stesen minyak membayar tunai dengan harga RM2.70 daripada pembekal syarikat asing. Daripada jumlah itu, mereka hanya memperolehi komisen RM0.095. Ini bermakna, pengusaha stesen minyak bukan penerima subsidi. Justeru kemungkinan besar subsidi tersebut dibayar terus kepada syarikat asing. Lebih 80 peratus daripada RM33 billion subsidi dibayar kepada syarikat asing.

6) Jadi berapakah sebenarnya subsidi minyak kepada rakyat?

HAMID YEOP:

Berdasarkan RM33 billion yang dikatakan tadi, kita boleh mengetahui penggunaan petrol negara ini dalam setahun adalah kira-kira 110 billion liter. Lebih kurang 301 juta liter sehari.

Mengikut laporan pada tahun 2007, terdapat 3,098 stesen minyak di seluruh negara dengan 40% daripadanya, terutama yang di bandar besar dan lebuhraya beroperasi 24 jam.

Ini memberi gambaran purata jualan harian bagi setiap stesen minyak adalah sebanyak 97 ribu liter sehari, atau hampir 3 juta liter sebulan. Suatu angka yang sukar diterima untuk sebuah stesen minyak kerana, secara purata jualan harian mereka tidak melebihi 20,000 liter.

Jika benar ada subsidi maka angka-angkanya mesti selari dengan pengiraan matematik tadi, tetapi kerana angka-angkanya tidak sekena, maka keputusan ini'menidakkan dan menolak kewujudan subsidi petrol berjumlah RM0.30 sen seliter atau RM33 billion setahun.'

Ada atau tidak subsidi minyak untuk rakyat? Andalah yang menentukan jawapannya.

7) Jika tiada subsidi, rakyat terpaksa membeli dengan harga yang mahal?

HAMID YEOP:

Sepatutnya tidak. Salah satu cara terbaik untuk menurunkan harga minyak adalah dengan menyerapkan terus keuntungan Petronas ke dalam hasil minyak (petrol dan diesel) yang dijual di dalam negara.

Penyerapan keuntungan ini akan membolehkan Petronas menjual Petrol dengan harga lebih rendah. Secara langsung akan menaikkan lagi keuntungan Petronas dengan peningkatan penjualan minyak.

Tindakan inilah yang sebenarnya menangkis persoalan ke manakah perginya keuntungan Petronas.

Lagipun bukan semua pengusaha syarikat asing seperti BHP, Esso, Caltex, Shell dan Mobil membeli minyak mentah dari Petronas. Itupun Petronas tetap mengaut untung berbillion ringgit. Sedangkan dengan harga USD50 setong kerajaan mampu menanggung subsidi berbillion ringgit, inikan pula USD138 setong (RM483).

Bila untung 2 kali ganda sepatutnya turun separuh harga.

Benarkah stok minyak kita akan habis?

HAMID YEOP:

Tuhan jadikan Malaysia unik. Laluan gempa bumi pun tidak menempuh Malaysia. Telaga minyak kita macam telaga air di kampung, dicedok banyak mana pun tidak akan habis. Minyak kita, kalau ambil satu tong dia boleh keluar lagi sehingga tiga tong. Saya banyak mmendapat maklumbalas daripada ramai bekas pelajar saya yang menjadi jurutera di Petronas dan di kawsan carigali.

Untuk satu jangka yang amat lama lagi dakwaan ini tidak benar. Kalau habis pun, saya percaya ketika itu minyak bukan lagi merupakan sumber utama tenaga.

9) Formula ini telah Prof cipta semenjak 2008 tetapi tidak diterima kerajaan. Apa komen Prof?

HAMID YEOP:

Sebagai rakyat biasa yang prihatin saya hanya membantu dan mencadangkan setakat yang termampu. Asalnya pun daripada permintaan salah seorang menteri kabinet. Pada pendapat saya, model ekonomi yang digunapakai sekarang adalah betul pada mereka tetapi salah pada rakyat.

10) Akhirnya apakah harapan Prof?

HAMID YEOP:

Menurunkan harga barang menjadi harapan sebahagian besar rakyat. Saya sedia berkongsi formula ini dengan mana-mana pihak terutamanya perti politik yang berhasrat memerintah negara ini, supaya penjelasan dapat diberikan kepada rakyat jelata. InsyaAllah jika pemerintah melaksanakan formula ini, semua rakyat akan jadi kaya dan dalam tiga tahun Malaysia akan jadi 'World Reserved Bank'.

Sisipan: SINAR HARIAN (5 Januari 2011)

oleh wartawan NOR KHALILAH GUSTI HASSAN

Sumber : Kedah Lanie

Minyak Naik Harga, Rakyat Naik Minyak Langgar Pam Minyak..

Posted: 02 Sep 2013 07:24 PM PDT


Akibat kenaikan harga minyak malam tadi, kekecohan berlaku di seluruh negara sehingga menyebabkan sebuah pam minyak di Batu Buruk, Kuala Terengganu dilanggar.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta terlanggar pam minyak di stesen berkenaan menyebabkan kaca dan plastik bertaburan.


Petang semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kenaikan harga minyak RON95 dan Diesel sebanyak 20 sen lagi menjadikannya masing-masing RM2.10 dan RM2.00 seliter.

Ia bakal diikuti oleh kenaikan harga tarif elektrik dan juga pelaksaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) selepas ini.

Ekoran itu, pengguna menyerbu stesen minyak di seluruh negara menyebabkan kekecohan berlaku sehingga tengah malam tadi.

Menurut saksi, kejadian di Batu Buruk itu berlaku ketika semua berebut-rebut untuk mengisi minyak selepas pengumuman mengenai kenaikan harga itu.


Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya , berkata kerajaan BN perlu menggunakan kuasa yang ada bagi mengawal kenaikan harga barangan khususnya selepas kenaikan harga minyak yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Katanya, rakyat sanggup bersusah-payah bersama kerajaan kalau kerajaan menunjukkan pembetulan pada sikap borosnya yang keterlaluan.

"Malangnya ini bukan kesnya. Kenaikan harga minyak ini mesejnya mudah iaitu rakyat mesti ubah gaya hidup, kerajaan boleh terus berboros," katanya ~ The Malaysian Insider

Penjelasan Najib kenapa minyak perlu dinaikkan harga.. Bacalah!!

Posted: 02 Sep 2013 05:30 PM PDT


Puncanya ialah kerana kegagalan beliau sebagai Menteri Kewangan dalam mentadbir ekonomi negara hingga defisit fiskal negara melebar kepada RM14.9 bilion pada tahun ini.

Dan ianya juga membuktikan apa yang dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO bila agensi penarafan global Fitch Ratings meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif ekoran hutang negara meningkat kepada 53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung tahun 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung tahun 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008 adalah benar..


Putrajaya hari ini mengumumkan langkah untuk menaikkan minyak petrol RON95 dan diesel kepada 20 sen seliter, kata Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini.

Najib, yang juga merupakan Menteri Kewangan, berkata kenaikkan tersebut akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

"Selepas berbincang, saya mengumumkan kenaikkan RON95 sebanyak 20 sen seliter," kata Najib.

Pada ketika ini, harga seliter RON95 adalah RM1.90 seliter dan diesel pula RM1.80 seliter.

Menurut Najib lagi, kerajaan ketika ini menanggung subsidi sebanyak subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1.00 seliter bagi diesel, serta menegaskan kerajaan masih lagi memberi subsidi yang banyak kepada rakyat.

"Pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih memberi subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter untuk diesel," kata Najib selepas selesai mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Fiskal (FPC) di Pejabat Perdana Menteri.

Kali terakhir minyak petrol RON95 dan diesel adalah naik pada tahun 2010, dimana mengalami kenaikkan sebanyak 5 sen seliter.

Beliau juga menegaskan langkah tersebut bagi memastikan sasaran kerajaan untuk mencapai defisit fiskal dalam lingkungan 3% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015 dan bajet berimbang menjelang tahun 2020.

"Melalui penilaian FPC, persekitaran luar didapati semakin mencabar. Lebihan akaun semasa imbangan pembayaran (BOP) yang sederhana disamping defisit fiskal yang berterusan boleh mendatangkan risiko jangka sederhana kepada ekonomi.

"Oleh itu, langkah mengukuhkan kedudukan fiskal adalah penting untuk mengekalkan daya tahan ekonomi dan meningkatkan lagi keyakinan rakyat dan pelabur," kata beliau lagi.

Malaysia telah mengalami defisit fiskal selama 15 tahun berturut-turut, malah agensi penarafan global Fitch Ratings baru-baru ini juga meletakkan Malaysia pada kedudukan negatif ekoran hutang negara meningkat kepada 53.3 peratus dalam KDNK pada penghujung tahun 2012 daripada 51.6 peratus pada hujung tahun 2011 dan 39.8 peratus pada hujung 2008.

Beliau turut memberikan alasan langkah pengurangan subsidi tersebut diambil bertujuan untuk memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuklah mereka dikalangan berpendapatan tinggi dan rakyat asing.

"Kita perlu melaksanakan sistem subsidi yang lebih mensasarkan golongan yang memerlukan dan mudah terjejas," ujar Najib lagi yang menyatakan kerajaan ketika ini terpaksa menanggung subsidi bahan api sebanyak RM24.8 bilion untuk tahun ini.

Bagi memastikan kelompok yang lebih memerlukan ini menikmati subsidi, Najib juga mengumumkan pentadbirannya berjanji akan meningkatkan pemberian wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia yang akan diumumkan semasa pembentangan belanjawan 2014 nanti.

"Kerajaan akan meningkatkan pemberian BR1M dalam Bajet 2014 dimana jumlahnya akan diumumkan dalam ucapan Bajet," tambahnya lagi.

Selain itu, Najib juga berkata kerajaan akan menyemak semula pelaksaan projek-projek sektor awam bagi menangani lebihan akaun semasa yang semakin berkurangan.

"Projek-projek yang mempunyai kandungan import yang rendah dan kesan pengganda yang tinggi akan diberi keutamaan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi tidak terjejas.

"Manakala pelaksanaan projek yang mempunyai kandungan import yang tinggi akan disusun mengikut jadual yang sewajarnya supaya tidak mendatangkan kesan negatif kepada imbangan pembayaran," katanya lagi.

Bagaimanapun, Najib menegaskan projek Mass Rapid Transit (MRT) tetap akan diteruskan, namun projek Southern Corridor High Speed Rail (HSR) pula masih dalam rundingan.

Najib menegaskan kesemua langkah yang beliau umumkan hari ini adalah demi memastikan Malaysia dapat berhadapan dengan situasi ekonomi semasa dan global yang semakin mencabar.

"Pelaksanaan semua langkah tersebut bukan sahaja untuk menangani cabaran semasa terhadap ekonomi dan kedudukan kewangan kerajaan tetapi ia juga akan mengukuhkan kemampanan fiskal negara dalam jangka masa sederhana dan panjang," tambahnya lagi.

Defisit fiskal negara melebar kepada RM14.9 bilion pada tahun ini, disamping penurunan mendadak lebihan akaun semasa kepada RM2.6 bilion dalam suku kedua tahun ini.

Najib yang bakal berhadapan cabaran kepimpinan menjelang pemilihan parti Oktober ini, menimbulkan ketidaktentuan janjinya untuk mengurangkan defisit sebanyak 4.5 peratus daripada KDNK, Malaysia antara negara yang mempunyai hutang tertinggi di Asia.

Hishamuddin Rais dan Adam Adli ditahan kerana kibar ‘Sang Saka Malaya’

Posted: 02 Sep 2013 10:58 AM PDT


Aktivis Adam Adli Abdul Halim dan Hishamuddin Rais telah ditahan polis kira-kira jam 8.50 malam tadi dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

The Malaysian Insider berjaya menghubungi dua aktivis itu dan mereka telah mengesahkan ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 dipercayai kerana mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" pada malam sambutan kemerdekaan pada Jumaat.

"Kami ditahan kira-kira jam 9 malam tadi sewaktu sedang menikmati makan malam di Kampung Baru.

"Kami kini masih berada di IPD Dang Wangi dan dibenarkan menghubungi peguam. Kami masih menunggu kehadiran peguam, namun masih belum pasti siapakah yang akan mewakili kami," kata Hishamuddin apabila dihubungi .

Agensi berita nasional, Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid berkata polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera "Sang Saka Malaya" jika ada laporan dibuat mengenainya.

Beliau menegaskan tindakan undang-undang boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang sebagai bendera Malaysia.

Mengulas mengenai kumpulan yang mengibarkan bendera "Sang Saka Malaya" pada sambutan ambang Merdeka di Dataran Merdeka Jumaat lalu, beliau berkata, pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden itu harus membuat laporan polis.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara, soal mempertikai bendera kebangsaan harus dielakkan.

Ni SMS yang aku terima dari Hishamuddin Rais jam 9.40 malam tadi..

Sdg d tahan d rumah pason dang wangi bersama adam adli. Dtahan d bawah akta hasutan. Hidup sang saka. TK
Ni video mengenai isu ini..

Sebelum ini Bernama telah melaporkan..

KUALA LUMPUR - Polis sedia menyiasat pihak yang mengibar bendera 'Sang Saka Malaya' jika ada laporan dibuat mengenainya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid.

Berikutan itu, katanya tindakan undang-undang juga boleh dikenakan terhadap kumpulan yang mempertikaikan status Jalur Gemilang.

Mengulas mengenai kumpulan tertentu yang mengibarkan bendera 'Sang Saka Malaya' pada sambutan ambang Merdeka di Dataran Merdeka Jumaat lepas, beliau berkata pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden itu juga harus membuat laporan polis.

"Kita tidak boleh hina Jalur Gemilang dan mengatakan ia satu malapetaka. Kita tidak harus mempertikaikan perkara ini," katanya kepada wartawan pada majlis rumah terbuka Aidilfitri setiausaha kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh di sini, malam tadi.

Katanya sebagai rakyat Malaysia yang mengaku taat setia kepada negara, soal mempertikai bendera kebangsaan harus dielakkan.

"Tidak sepatutnya ada orang pertikaikan Jalur Gemilang dan mahu menggantikannya dengan bendera lain.

"Kita harus terima hakikat bahawa dalam soal bendera, pengisytihrannya telah dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu," katanya.

Mengenai dakwaan penglibatan sesetengah pemimpin parti politik dalam kegiatan kongsi gelap, beliau berkata kerajaan tidak berkompromi mengenai perkara itu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap mereka. - Bernama

Tiada ulasan: