Ahad, 15 September 2013

Anak Sungai Derhaka

Anak Sungai Derhaka


Kaji semula hubungan PAS dengan PKR: Ini Kenyataan Dari TG Nik Aziz..

Posted: 15 Sep 2013 08:42 AM PDT


Saya membaca muka hadapan Sinar Harian hari ini 15 September 2013 yang memuatkan tajuk besar PAKATAN RUGIKAN PAS? dengan memetik ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib yang dikatakan meminta Majlis Syura Ulama mengkaji semula Tahaluf Siyasi (Persefahaman Politik) dalam Pakatan Rakyat.

Saya tidak menghadiri Multaqa Ulama yang diadakan di Kota Sarang Semut semalam sekalipun saya benar-benar berhasrat untuk hadir. Keuzuran dan situasi kesihatan menghalang saya untuk hadir ke program yang saya sifatkan sangat bermakna itu. Justeru, saya tidak mendengar sendiri ucapan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat seperti yang dilaporkan oleh akhbar. Berkemungkinan ia hanya ulasan akhbar dan bukannya ucapan sebenar beliau ataupun sememangnya dipetik dari ucapan beliau, wallahulam.

Walau bagaimanapun, suka untuk saya memberikan respon terhadap tajuk yang digunakan di muka hadapan Sinar Harian iaitu PAKATAN RUGIKAN PAS? Perlu dijelaskan bahawa penyertaaan PAS melalui Tahaluf Siyasi di dalam Pakatan Rakyat bukannya diputuskan oleh beberapa individu sahaja. Ia diputuskan oleh keputusan kolektif pimpinan PAS dan diperkuatkan melalui Muktamar Tahunan PAS yang berlangsung selepas pilihanraya umum 2008.

Saya melihat keputusan ini tidak sekali-kali silap bahkan ia lebih membawa PAS ke hadapan pentas politik di Malaysia. Lebih bermakna daripada itu, PAS berjaya mempersembahkan Islam kepada non Muslim dengan cara yang tidak pernah dilakukan oleh UMNO. UMNO bukan setakat menjauhkan bukan Islam daripada Islam bahkan menjauhkan orang Islam sendiri dari memahami agama mereka.

Senjata UMNO ialah perkauman, lambang UMNO ialah keris tidak bersarung, politik UMNO ialah politik samseng jalanan, sampai bila-bila non Muslim tidak akan melihat keindahan Islam melalui cermin mata politik UMNO yang penuh dengan habuk kebangsaan.

Di dalam Pakatan Rakyat, pendekatan Islam yang dibawa oleh PAS tidak pernah ditentang. Pemimpin-pemimpin DAP khususnya seringkali datang ke pejabat saya berbincang sentiasa tentang nilai-nilai Islam. Ada yang datang mengungkapkan istilah-istilah perundangan syarak yang kadang-kadang pemimpin UMNO sendiri pun barangkali tidak pernah bersua dengan istilah sebegini.

PAS wajib melangkah ke hadapan. Pengalaman sebagai gerakan Islam yang telah berusia lebih setengah abad wajar mengajar PAS bahawa untuk terus relevan di pentas politik negara, PAS wajib memahami suasana politik. Selagi tidak bertentangan dengan prinsip asas syariat, jangan mengurung PAS di dalam kandang pemikiran yang kita sendiri cipta. PAS membawa nama Islam di dalam perjuangannya, maka wajiblah ke atas PAS untuk mempersembahkan Islam dengan wajah terbaik kepada masyarakat Malaysia.

Saya mendegar pengalaman Yang Berhormat Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan yang baru pulang dari lawatan kerja di Johannesburg, Afrika Selatan. Katanya di sana zakat turut diberikan oleh orang Islam kepada bukan Islam. Di Malaysia, di bawah asnaf muallaf, hanya orang yang baru memeluk agama Islam menerima zakat. Sedangkan muallaf juga boleh jadi seorang non muslim yang hampir lembut hatinya untuk memeluk Islam dan juga seorang non muslim yang sangat tegar memusuhi Islam namun jika diberikan zakat, permusuhannya itu kendur.

Ini sebagai contoh bagaimana ada aspek pengamalan Islam secara praktikal di Malaysia masih belum tepat dengan wajahnya yang sebenar. Inilah yang perlu dibaiki dan PAS wajib memainkan peranan. Saya yakin, jika Islam difahami dengan baik tanpa gangguan daripada pihak-pihak yang berkepentingan, ia akan diterima dengan mudah tanpa sebarang syak wasangka oleh rakan-rakan daripada non Muslim.

Di sinilah letaknya misi sebenar PAS di dalam Pakatan Rakyat. Benar, kita ingin memburu kemenangan di dalam pilihanraya, tetapi juga perlu diingat PAS sebagai gerakan Islam juga memikul tanggungjawab dakwah yang besar di pentas politik. Justeru, keberadaan PAS di dalam Pakatan Rakyat sekali-kali bukan merupakan langkah yang silap, bahkan ia merupakan langkah yang sangat tepat dengan realiti politik negara.

Tahniah kepada para ulama yang bermultaqa semalam. Harapan saya agar ia dapat menguatkan iltizam kita semua di dalam memperkukuhkan PAS sebagai parti politik yang berdasarkan Islam.

Berhubung kedudukan PAS di dalam Pakatan Rakyat, jika mahu dikaji, silakan. Tetapi kaji hanya untuk penambahaikan, bukan kaji untuk mengundur ke belakang.

Kaji untuk berundur ke belakang hanyalah memberikan pelampung kepada UMNO yang sedang kelemasan.

Sekian.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, 
Al-Mursyidul Am PAS.
Bertarikh : 9 Zulkaedah 1434H bersamaan 15 September 2013M

Kaji semula hubungan PAS dengan PKR maknanya segerakan penyatuan dengan UMNO?

Posted: 15 Sep 2013 07:24 AM PDT


Kumpulan Ulama Pas ini tidak sedar ialah Pas mendapat pertambahan bilangan kerusi dalam pilihan raya (PRU13) lalu bukanlah disebabkan kekuatannya bertanding sendirian, namun pakatan di antara parti itu dengan beberapa parti pembangkang yang lain

Itu kata Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff..

Lagi apa kata dia bacalah di bawah ni.. dan fahamkan betul-betul ayat-ayat yang aku merahkan..

Resolusi Ulamak PAS yang bersidang di Kedah pada 14 September 2013 menunjukkan kepada saya betapa pemikiran 'mereka' yang mencadangkan resolusi tersebut mengundur ke belakang.

Kenyataannya tidak sesuai dengan perkembangan semasa politik negara. Satu yang kumpulan Ulamak PAS ini tidak sedar ialah PAS mendapat pertambahan bilangan kerusi dalam pilihan raya (PRU) bukanlah kerana kekuatannya bertanding sendirian, tetapi kerana pakatannya dengan beberapa parti pembangkang yang lain.

Sejak keluar dari pakatan BN pada tahun 1978, politik PAS tenggelam. PAS cuma kembali pulih dalam persada politik negara apabila bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah dalam PRU 1990, Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan Pakatan Rakyat pada tahun 2008 dan 2013.
Sekiranya PAS bertanding bersendirian tanpa sokongan dan kerjasama dengan parti lain, saya yakin PAS akan hanya mendapat sokongan dari segelintir orang Melayu yang totok pemikirannya seperti kumpulan ulamak ini sahaja.

Bagi orang Melayu yang sederhana pemikirannya, mereka lebih cenderung menyokong UMNO dan BN kerana kelebihan UMNO ialah tidak memandang serong kepada lebai atau tidak lebainya seseorang.

Satu yang menarik dari resolusi ulamak ini ialah "mencadangkan supaya Tahaaluf Siyaasi bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat khususnya PKR disemak semula oleh Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa PAS Pusat."

Saya ingin sekali cadangan ini dipersetujui oleh kepimpinan PAS dan kita tengok sejauh mana PAS boleh pergi jauh dalam politiknya.

Saya rasa PAS akan meroyan beragam selepas itu kerana tidak ada lagi sokongan kepadanya.
Yang menghairankan saya ialah kenapa pula kumpulan Ulamak ini tidak mencadangkan juga supaya PAS menghentikan kerjasamanya dengan DAP dan sebagai gantinya mencadangkan PAS supaya menggerakkan penyatuannya dengan UMNO.

Saya fikir kenyataan seperti itu lebih jelas supaya penyatuan dengan UMNO dapat disegerakan.
Ini satu cadangan yang lebih praktikal jika betullah kumpulan ulamak ini mahu PAS terus mendapat tempat perdana dalam politik negara.

Cadangan kumpulan Ulamak ini supaya "jawatan Presiden dan Timbalan Presiden PAS sewajarnya daripada kalangan ulama yang memahami dan faqih tentang Islam dan realiti semasa" juga cukup nakal.

Apakah kumpulan ulamak ini ingat hanya ulamak sahaja yang memahami Islam dan realiti semasa? Bagi saya, kumpulan inilah yang tidak memahami realiti politik semasa.

Di kala rakyat sedang bercakap tentang kewujudan sistem dua parti dalam negara, mereka pula menolaknya.

Tindakan kumpulan ini adalah menjauhkan lagi masyarakat dengan PAS dan jika tidak kena dengan caranya boleh menyebabkan ahli dan penyokong PAS lari dari PAS.

Saya hendak sangat tengok ahli PAS lari dari PAS sekiranya kumpulan ulamak jenis ini yang memimpin PAS sebab pemikiran kumpulan seperti ini payah diajar kerana mereka selalu menganggap tindakan mereka sahaja yang Islamik.

Bagi kumpulan ini, jika mereka mengutuk atau mengaibkan orang itu dibenarkan, tetapi jika ahli hanya sekadar berbeza pendapat dengan mereka, maka ahli pula yang dituduh tidak taat kepada pemimpin dan melanggar etika parti.

Tindakan kumpulan ulamak ini tidak demokratik dan hairannya masih ada ahli yang setia dan mendokong kumpulan pemimpin jenis ini.

Apa jadi jika PAS hanya dikuasai oleh ulamak sahaja? Saya yakin, dalam PRU akan datang rakan pakatannya dalam PR akan meninggalkannya dan kekuatan PAS hanya bakal tinggal kenangan.

Maka, untuk seterusnya UMNO dan BNlah yang akan terus menguasai negara. 

Itu kenyataan Prof Agus yang dipetik dari laman FaceBook miliknya, manakala di bawa pula ialah apa yang telah disiarkan oleh Sinar Harian..
Penganalisis politik berpendapat sokongan rakyat terhadap Pas yang ditunjukkan dalam pilihan raya bukan disebabkan parti itu tetapi kerjasama bersama perikatan PR.

Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, Pas tidak akan mendapat sokongan orang Melayu sepenuhnya sekiranya bergerak sendiri dan bergabung dengan parti lain.

Menurutnya, peningkatan kekuatan Pas adalah berdasarkan kerjasama yang dijalinkan bersama PKR dan DAP.

"Kumpulan Ulama Pas ini tidak sedar ialah Pas mendapat pertambahan bilangan kerusi dalam pilihan raya (PRU13) lalu bukanlah disebabkan kekuatannya bertanding sendirian, namun pakatan di antara parti itu dengan beberapa parti pembangkang yang lain.

"Sejak keluar dari BN pada 1978, politik Pas tenggelam.

"Pas cuma kembali pulih dalam persada politik negara apabila bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah dalam PRU 1990, Barisan Alternatif pada tahun 1999 dan PR pada tahun 2008 dan 2013," katanya hari ini.

Semalam, resolusi Mulataqa Ulama Pas meluluskan supaya Pas melihat semula kerjasama politik bersama pakatan pembangkang serta menyarankan agar negeri-negeri yang ditadbir pembangkang memberi ruang munasabah kepada ulama haraki Pas.

Mulataqa juga mahu ulama haraki Pas mengukuhkan gerak kerja menghadapi dan menangani pemikiran yang merosakkan umat Islam.

Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib berkata, ia wajar berikutan kebelakangan ini berlaku pelbagai perkara yang melemahkan Pas selain merosakkan hubungan dalam tahaluf siyasi itu sendiri.

"Saya harap Pas Pusat segera menubuhkan jawatankuasa khas untuk kaji dan menilai semula kemerosotan sokongan pengundi Melayu terhadap Pas termasuk tahaluf siyasi terutama dengan PR dan sejauh mana ia menguntungkan Pas," katanya.

Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, kajian semula tahaluf siyasi itu boleh memecahkan PR dan Pas.

Katanya, walaupun kemungkinan Pas mengambil keputusan itu disebabkan keputusan PRU13 lalu yang kurang memberangsangkan, namun untuk Pas bergerak sendiri agak sukar.

"Itu memang hak parti masing-masing, namun jika perkara ini teruskan PR akan pecah dan musnah.

"Mungkin juga Pas mahu kembali menggunakan cara lama, iaitu bergerak sendiri untuk mendapatkan undi Melayu tetapi ia agak sukar," jelasnya ~ Sinar harian Online
Bagi aku ini satu analisa yang sepatutnya diterima dengan baik.. jangan hanya kerana kenyataannya akan mencetuskan rasa kurang senang diantara kita.. kita belasah dia pulak..

Tok Non.. Sapa bagi budak-budak ni makan ulat?

Posted: 14 Sep 2013 09:42 AM PDT


Dengar cerita kerajaan membelanjakan sekitar RM650 juta setahun bagi menampung biaya PLKN.. tapi persoalannya ialah kenapa boleh timbul perkara begini dengan peruntukan yang besar itu?

Kesian kat budak-budak ni.. sudahlah kehadiran diwajibkan, diberi makan pula menu yang dah berulat dan tempat tidur pula berbau hapak..

Dua atau tiga hari yang lepas kira-kira 200 pelatih PLKN Kem White Resort di Balik Pulau dilaporkan berkumpul dengan beg pakaian masing-masing dan sepakat mahu keluar dari kem berkenaan.

Puncanya ialah kerana tidak puas hari dengan keadaan tempat penginapan dan penyediaan makanan di kem itu.

Seorang daripada bapa pelatih itu yang enggan dikenali berkata anak lelakinya mengadu penyediaan makanan di kem berkenaan tidak bersih selain keadaan kemudahan kem yang uzur dan kotor.

"Seminggu lepas, anak saya telefon mengadu tandas di sini kotor, makanan yang disediakan tercemar selain ada katil yang rosak," katanya kepada pemberita di Balik Pulau hari ini.

Bagaimanapun jurulatih kem berjaya menenangkan keadaan dengan berbincang dan meminta mereka bersurai lapor Bernama..

Hmmm... Tok Non.. sapa bagi budak-budak ni makan ulat?.. depa nak untung banyak sangat ka?.. untung sikit-sikit cukupla..

Kesian kat budak-budak tu.. dahlah mai dari jauh, nak makan pulak ada ulat.. tempat tidoq pulak busuk.. nak tiduq macammana??

Tengok nih.. ADUN Seberang Jaya dah minta kerajaan siasat...

Kenyataan Media : Isu Kem White Resort, Balik Pulau 

Saya merujuk kepada laporan akhbar The Star bertarikh 12 September 2013 tentang kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di White Resort, Balik Pulau yang berada di dalam keadaan yang tidak memuaskan.

Dilaporkan kira-kira 200 peserta kem memprotes dan mengugut meninggalkan kem berkenaan. Perkara ini berlaku rentetan dari keluhan peserta kem yang terpaksa tidur di atas tilam berkulat dan ada peserta yang menjumpai ulat di dalam makanan.

Ini adalah suatu yang cukup memalukan.

Saya difahamkan kerajaan membelanjakan sekitar RM650 juta setahun bagi menampung biaya PLKN; jumlah peruntukan yang sangat besar namun masih belum mampu menzahirkan mutu pengurusan kem yang efektif dan kondusif.

Siasatan terperinci harus dilakukan di kem berkenaan.

Saya mengalu-alukan kenyataan segera Pemangku Ketua Pengarah PLKN, Rozainor Ramli yang memberi masa seminggu kepada Kem White Resort memperbaiki mutu kem tersebut.

Saya menggesa Jabatan Audit Negara, mengaudit semua kem PLKN dengan segera. Hal ini perlu kerana perkara ini menjadi kerunsingan ibu bapa yang melepaskan anak mereka menghadiri PLKN di kem tersebut.

Setiap ibu bapa berhak tahu keadaan sesebuah kem kerana mereka juga merupakan pembayar cukai.

Justeru, saya mengusulkan supaya kerajaan mengkaji semula keperluan program ini berdasarkan banyak laporan negatif yang pernah disiarkan dan demi menjimatkan perbelanjaan negara kepada perkara lain yang lebih perlu.


YB. DR. AFIF BAHARDIN 
Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN
Pulau Pinang
 

Tiada ulasan: