Khamis, 26 September 2013

Addin

Addin


Ketua Pemuda PAS Pusat Kalah Bertanding Di Kawasan Sendiri

Posted: 26 Sep 2013 10:09 AM PDT

Suhaimi Saad berjaya menewaskan pencabarnya Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hasan (gambar) dalam perebutan jawatan Naib Yang di-Pertua Indera Mahkota pada pertengahan bulan ini.

Menurut laporan Astro Awani, Nasrudin yang memperoleh 60 undi di peringkat kawasan itu tewas kepada Suhaimi yang memperoleh lebih daripada 100 undi namun pendedahan ini tidak disahkan beliau yang masih belum mengetahui jumlah sebenar undi tersebut.

"Saya sebolehnya tidak mahu mengulas perkara ini kerana isu pemilihan PAS masih menjadi perbualan hangat."Kekalahan Nasrudin dalam pemilihan di peringkat kawasan kali bukanlah kerana unsur sabotaj tetapi pewakilan mahu Ahli Parlimen Temerloh itu lebih menyerlah di peringkat pemilihan PAS pusat," kata Suhaimi ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Sementara itu, seorang penganalisis politik yang tidak mahu namanya didedahkan lega apabila dimaklumkan kekalahan Nasrudin di peringkat kawasan itu.Katanya, kekalahan Nasrudin yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat itu adalah akibat sikap keras kepala dan tidak boleh ditegur pemimpin berkenaan.

"Saya setuju dengan kekalahannya. Ini membuktikan golongan profesional mempunyai peluang yang luas untuk memenangi pemilihan PAS di peringkat pusat.

"Ini pengajaran buat beliau dalam arena politik. Kena sekalu bersederhana. Jangan anggap lebai, baik dan syumul tidak boleh ditegur."Ulama' bukan maksum dan mereka perlu berdepan realiti," katanya kepada The Malaysian Insider.

Menjelang Muktamar ke-59, PAS akan mengeluarkan satu garis panduan untuk digunakan oleh pemimpin dan ahli parti itu bagi memastikan proses pemilihan parti berjalan dengan lancar.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar mengatakan baru-baru ini garis panduan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik parti bertujuan memandu ahli dan pimpinan parti bagi memastikan pemilihan berjalan lancar.

Garis panduan ini dibuat ketika ahli dan pemimpin PAS di seluruh negara sibuk bermesyuarat di peringkat kawasan masing-masing menjelang Muktamar PAS ke 59 pada 22-24 November depan di Shah Alam.

PAS dikatakan bimbang, tanpa garis panduan yang jelas, pihak tertentu akan menyusahkan mereka dalam kempen mereka.

Mahfuz berkata berkempen tidak salah tetapi menyerang calon lain ketika kempen adalah tidak beretika.Beliau melihat media baru digunakan untuk menyerang pihak yang tidak senangi dan menghasilkan persepsi tidak baik di kalangan ahli dan pemerhati luar.

Menurutnya lagi, PAS akan membuat garis panduan bagi membantu semua calon yang ingin bertanding serta penyokong masing-masing supaya kempen mereka tidak menyusahkan dan memberikan imej buruk kepada parti.

Selain di peringkat pusat, ia juga akan membantu mesyuarat PAS di peringkat kawasan yang sedang berjalan sekarang. ~the malaysia today






Iklan C (ii)


(Gambar) Ribuan Tunai Solat Jenazah Ustaz Azizan

Posted: 26 Sep 2013 08:07 AM PDT


POKOK SENA: Ribuan rakyat  hadir menunaikan solat jenazah mantan Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak di Markaz PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, dekat sini jam 4.15 petang tadi.

Solat jenazah dimamkan anak lelaki Allahyarham, Izzatul Islam Azizan manakala doa dibacakan ulama tempatan, Tuan Guru Haji Salleh Musa.

Jenazah kemudiannya dibawa ke Muassasah Darul Ulum, 17 km dari sini yang menempatkan  kubur mantan Presiden PAS,  Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor untuk dikebumikan dengan diiiringi ribuan kenderaan.


Kenderaan yang membawa jenazah Allahyarham sampai di pekarangan Muassasah Darul Ulum pada jam 4.55 petang disambut ribuan hadirin.Solat jenazah sekali lagi diadakan dengan diimamkan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din.  

Ustaz Azizan  kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di Unit Kawalan Rapi (ICU), Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar di sisi ahli keluarganya dan pemimpin PAS Pusat dan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.


Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.

Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.

Allahyarham meninggalkan dua  isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan Shamsiah Shafie dengan 14  anak. ~harakahdaily





Iklan C (ii)




'Cengih' Ustaz Azizan Razak Di Geruni Kawan Dan Lawan

Posted: 26 Sep 2013 03:06 AM PDT

BELASUNGKAWA: Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kematian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang pernah memimpin negeri jelapang padi itu selama sepenggal dari 2008 hingga 2013.

Azizan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Penulis dan seorang lagi wartawan The Malaysian Insider, Md Izwan pernah diberikan peluang untuk menemuramah Azizan secara eksklusif pada Mac lalu untuk mendengar sendiri rancangan Pesuruhjaya PAS Kedah itu untuk berhadapan dengan lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketika diwawancara di Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Azizan pada waktu itu yang dikatakan sedang sakit kelihatan segar dan bersemangat.

Semasa ditanya penulis apakah janji yang bakal diberikan kepada pengundi Kedah menjelang PRU13, dengan bersahaja Azizan menjawab: "Tiada janji, kita tambah penambahbaikan sajalah."

Dalam wawancara selama dua jam itu, Azizan kadang kala cengih atau "cengey" iaitu loghat utara yang merujuk kepada garang.Kadang kala beliau membuat lawak jenaka sehingga penulis dan orang yang berada di sekeliling tertawa.

Dengan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman mengajar di universiti tempatan dan luar negara, Azizan menjawab semua soalan yang ditanya dengan mudah.

Selepas wawancara itu, penulis tidak pernah mempunyai kesempatan melihat bekas menteri besar itu lagi.Bagaimanapun, PAS yang dipimpin Azizan gagal mempertahankan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir semasa PRU13 walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Mukhriz selepas itu menjadi menteri besar Kedah yang baru.Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz dalam reaksinya terhadap kematian Azizan, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau itu sering meletakkan kepentingan negeri berbanding perbezaan politik.

"Tan Sri Azizan seorang yang berjiwa besar.  Boleh bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik," kata Ahli Parlimen Jerlun itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Senator Datuk Yusof Husin menganggap pemergian Azizan sebagai satu kehilangan besar bagi negara."Kerja Ustaz Azizan ini orang tidak dapat baca. 

Hanya orang yang rapat dengannya sahaja nampak wawasan dia."Walaupun orang kata, patah tumbuh hilang berganti, tapi tidak akan sama," katanya.Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Azizan atas pemergiannya. Al-Fatihah. ~the malaysian insider






Iklan C (ii)




DAP Sudi Maafkan Utusan

Posted: 26 Sep 2013 01:10 AM PDT

DAP hari ini menerima permohonan maaf akhbar milik Umno, Utusan Malaysia kepada Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng berhubung artikel melibatkan filem kontroversi Tanda Putera.

Pengerusi DAP, Karpal Singh bagaimanapun berkata ini adalah kali terakhir parti itu menerima permohonan maaf akhbar tersebut."Kami terima permohonan maaf mereka namun Utusan tidak lagi boleh terus berbohonng.

Kami berikan peluang ini untuk mereka berubah," katanya dalam kenyataannya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Akhbar berkenaan menulis artikel bertajuk "Cuba sembunyi kebiadapan DAP" yang mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang menghalang tayangan Tanda Putera di negeri berkenaan bagi menyembunyikan perlakuan biadap pemimpin DAP.

Pemimpin yang dipaparkan dalam laporan berkenaan adalah Lim Kit Siang, yang didakwa kencing di tiang bendera di hadapan rumah menteri besar Selangor ketika itu sewaktu insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969.

"Artikel yang disiarkan di muka surat 13 pada 7 September 2013 iaitu `Cuba sembunyi kebiadapan DAP' salah dan tidak menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh Dr Mohd Puad Zarkashi," memetik permohonan maaf Utusan yang diedarkan Karpal kepada pemberita. ~the malaysian insider





Iklan C (ii)


PRK DUN Sungai Limau Bakal Berlangsung

Posted: 25 Sep 2013 11:21 PM PDT

Pulangnya Tan Sri Azizan Razak ke rahmatullah pagi ini menyaksikan pilihan raya kecil (PRK) kedua bakal diadakan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau, Kedah selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).PRK pertama di DUN Kuala Besut, Terengganu pada 24 Julai lalu.

Azizan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau memenangi kerusi tersebut pada PRU13 lalu dengan majoriti 2,774 undi menerusi pertandingan empat penjuru.

Beliau yang mewakili PAS memperolehi 13,294 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan 10,520 undi dan dua lagi calon bebas iaitu Abdullah Hashim dan Sobri Ahmad yang masing-masing hilang wang pertaruhan.

Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi masa 60 hari selepas menerima notis rasmi daripada speaker DUN mengesahkan kekosongan kerusi itu.

Bekas Menteri Besar Kedah itu meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 68 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider.Azizan dilahirkan pada 25 Oktober 1944 dan meninggal dunia sebulan sebelum ulang tahun kelahirannya ke-69.

Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri itu semasa PRU12 pada 2008.Pendidikan awalnya bermula di Sekolah Kebangsaan Sungai Limau, seterusnya ke Maktab Mahmud pada  1959 dan kemudiannya menuntut di Universiti al-Azhar, Mesir dalam jurusan Sarjana Muda Syariah serta mendapat pendidikan undang-undang dari Universiti Kent, Canterbury, United Kingdom.

Antara jawatan yang disandangnya ialah Naib Presiden PAS (2003-2005), Ketua Penerangan PAS Pusat (2001-2003), Ahli Majlis Syura Ulama PAS (1991 hingga kini), Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat (1993 hingga kini) selain menjadi Pesuruhjaya PAS Kedah (2000 hingga kini).

Selain itu, beliau pernah memegang jawatan Setiausaha Perhubungan PAS Kedah pada tahun 2000. Beliau memenangi kerusi DUN Sungai Limau (dahulu dikenali sebagai DUN Sala) sejak 1995 hingga kini. ~the malaysia today






Iklan C (ii)


Bekas MB Kedah, Ustaz Azizan Meninggal Dunia

Posted: 25 Sep 2013 10:03 PM PDT

Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak (gambar) meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 73 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini."Ye, Ustaz sudah meninggal kira-kira lima minit lalu di hospital," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Sejak dua hari lalu, Azizan berada dalam keadaan kritikal apabila kadang-kadang jantungnya berhenti berfungsi dan terpaksa digunakan alat bantuan untuk berfungsi semula.

Pada 9 Mei lalu, selepas pilihan raya umum ke -13, Azizan menjalani pembedahan untuk memotong untuk kedua-dua belah kakinya di Hospital Pulau Pinang akibat kencing manis. ~the malaysian insider






Iklan C (ii)


Bukan Setakat Abu.. Cenderamata Chin Peng Pun Di Larang Masuk Ke Malaysia.. Ini Buktinya

Posted: 25 Sep 2013 08:54 PM PDT

Bahan berkaitan Chin Peng yang dibawa pulang dari Bangkok.Cenderamata itu diperoleh semasa majlis pengebumian dan sesiapa yang hadir diberikan barangan sama, kata seorang pesara yang ditahan polis sebaik tiba dari Bangkok untuk menghadiri pengebumian Chin Peng.

Lelaki berusia 66 tahun itu yang enggan mendedahkan identitinya terkejut apabila ditahan sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada Selasa dan dibawa ke Balai Polis Bayan Baru untuk diperiksa dan disoal siasat.Mengapa?

Polis mengesyaki pesara itu cuba membawa masuk abu mayat Chin Peng atau barangan yang berkaitan dengan komunisme.Pesara itu dan rakannya menjadi perhatian media apabila ditahan polis yang kemudiannya menjumpai beberapa keping cakera padat, cenderamata pengebumian Chin Peng dan 12 buku berkait dengan Parti Komunis Malaya (PKM).

Beliau berkata, barangan tersebut adalah untuk kegunaan peribadi dan sebahagian barangan bercetak boleh didapati di Internet."Tiada barangan yang membawa mudarat," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Semua barangan ini tidak menjadi isu. Mungkin saat ini semua barangan yang berkait dengan Chin Peng menjadi sensitif."Pesara itu berkata, kehadirannya ke majlis pengebumian Chin Peng adalah disebabkan anak pemimpin PKM itu adalah rakannya.

Pesara itu menceritakan pengalaman ditahan bersama rakannya, 59 tahun dari Hong Kong ketika sedang menunggu beg keluar dari perut pesawat dan pada masa itulah mereka dihampiri sekumpulan berpakaian preman yang sedang menunggu di sudut pemeriksaan kastam.

"Kumpulan itu mendekati kami dan bercakap secara sopan. Mereka mahu kami mengikutnya ke balai polis.Saya terkejut tetapi tidak mahu perkara buruk berlaku, kami ikut arahan mereka," katanya.

Ketika di balai, dua lelaki itu disoal siasat dan beg mereka digeledah."Mereka mengambil keterangan dan melepaskan kami beberapa jam kemudian," katanya yang tidak mahu bercerita lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

Media melaporkan semalam identiti lelaki yang ditahan berpangkat Datuk Seri tetapi dinafikan beliau."Sejak akhbar memberikan gelaran itu, saya nikmatinya sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanapi semasa mengadakan sidang media berkata,  tiada abu dijumpai bersama dua lelaki itu.

Beliau bagaimanapun berkata, polis merampas lapan cakera padat, 11 cenderamata program dan 12 buku tentang PKM.Kes disiasat di bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak. ~the malaysian insider






Iklan C (ii)


Khairy Jamaluddin Terkedu Menjelang Pemilihan Umno

Posted: 25 Sep 2013 07:54 PM PDT

Cabaran merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober ini diteruskan lima calonnya termasuk penyandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar setelah tiada individu yang menarik diri selepas tamat "tempoh bertenang" semalam.

Selain Khairy, empat calon lain yang akan bertanding merebut jawatan itu ialah Penolong Setiausaha Pemuda Umno Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Pandan Syed Rosli Syed Harman Jamallulail, Ketua Pemuda Cawangan Bendang Baru, Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi (pic), bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok Abd Karim Ali serta Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak Khalid Izhar.

Pengumuman mengenai calon yang akan bertanding pada pemilihan Umno 2013 dibuat Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tan Sri Tajol Rosli Ghazali di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, hari ini.

Jawatan Naib Ketua Pemuda juga kekal, yang setakat ini menyaksikan empat pemimpin dalam kalangan exco sayap iaitu Lokman Noor Adam, Khairul Azwan Harun, Jamawi Jaafar dan Mohamad Iruan Zulkefli berentap sesama sendiri setelah masing-masing layak bertanding dalam pemilihan parti kali ini.

Seramai 94 individu menawar diri untuk bertanding kesemua 24 jawatan yang dipertandingkan terdiri daripada Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Ketua Pemuda, Naib Ketua Pemuda dan 20 Exco dalam pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti Oktober ini.

Jawatan Pengerusi Tetap Pemuda setakat ini menyaksikan persaingan tiga individu termasuk penyandangnya Datuk Abdul Fattah Abdullah dengan jawatan Timbalan Pengerusi Tetap ditandingi lima calon termasuk penyandangnya Muhammad Yadzan Mohammad dan Exco (77).

Mesyuarat perwakilan dan pemilihan bagi jawatan Exco pusat bagi ketiga-tiga sayap parti itu akan diadakan serentak pada 12 Oktober. ~the malaysia insider





Iklan C (ii)


Ketua Polis Penang Cabar Pemeras Ugut

Posted: 25 Sep 2013 05:36 PM PDT

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya pada Isnin lalu untuk bersemuka.

Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di Pulau Pinang sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.

"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.

"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja, telefon mana mahu jumpa, saya akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya, saya akan pergi," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di Georgetown, malam tadi.

Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kelmarin.Antara kandungan SMS berkenaan ialah "Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best".  

Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk "mengambil" Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya "mengambil" Abdul Rahim.Semua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula jam 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya.

Abdul Rahim berkata, sebagai pegawai polis, beliau sudah biasa dengan SMS berbaur ugutan dan tidak kisah dengan perkara itu kerana apa yang penting ialah menjalankan tugasnya dalam memastikan keamanan serta keselamatan masyarakat.

"Saya langsung tida takut, bimbang dan sebagainya. Kalau saya sebagai Ketua Polis Negeri takut, bagaimana masyarakat? Kalau tunjuk muka takut, masam, bagaimana saya nak kekalkan keamanan. 

Apa yang saya nak takut. Saya akan lebih tegas lagi dalam perkara ini," katanya.Katanya, beliau mengarahkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah negeri menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan. 

Beliau turut mengesahkan timbalannya, Datuk A Thaiveegan yang baharu bertugas minggu lalu, juga menerima SMS berbaur ugutan dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan. ~the malaysia today







Iklan C (ii)


Rakyat Malaysia Bawa Telefon Pintar Bila Melancong - Kajian

Posted: 25 Sep 2013 05:25 PM PDT

Rakyat Malaysia tidak dapat berpisah daripada membawa telefon pintar bersama-sama mereka semasa melancong, menurut satu kajian yang didedahkan oleh Visa Global Travel Intentions Study 2013 hari ini.

Kajian tersebut mendapati sembilan daripada 10 rakyat Malaysia memilih telefon pintar (89 peratus) sebagai peralatan utama yang dibawa bersama, diikuti kamera (76 peratus), komputer (54 peratus) dan peralatan hiburan (21 peratus).

"Peralatan elektronik digunakan untuk mendapatkan maklumat dan mudah untuk berkongsi pengalaman melancong dengan keluarga serta kawan."Ia adalah faktor utama pelancong Malaysia membawa telefon pintar bersama mereka semasa melancong," kata kajian tersebut.

Kajian tersebut juga mendapati rakyat Malaysia yang melancong menggunakan telefon pintar untuk mengakses lima aplikasi utama dalam talian, iaitu membuka emel (56 peratus), pesanan khidmat ringkas (50 peratus), berkongsi gambar (38 peratus), melayari internet (38 percent) dan menghantar status terkini (36 peratus).

Menurut kajian itu lagi, teknologi memainkan aspek penting untuk pelancong Malaysia bagi memudahkan mereka untuk berurusan sepanjang perjalanan. "Teknologi memberi impak daripada setiap aspek kehidupan kita.

"Sumber dalam talian menawarkan ulasan daripada mereka yang kerap melancong serta pelbagai maklumat lain seperti penukar mata wang, gambar, tempahan dan kemudahan diskaun menjadi sumber maklumat pertama untuk kebanyakan pelancong Malaysia," kata kajian itu lagi.

Baru-baru ini, kajian syarikat telekomunikasi terkemuka dunia, Ericsson mendedahkan penggunaan telefon pintar di Malaysia kini dilihat menjadi medium penting sebagai alat perhubungan dan perniagaan. 

Kajian Ericsson Consumerlab mendapati, pengguna internet harian di Malaysia yang menggunakan telefon pintar meningkat daripada 47 peratus pada 2012 kepada 63 peratus pada 2013.

Penembusan tablet pula meningkat hampir tiga kali ganda daripada 14 peratus pada 2012 kepada 39 peratus tahun ini. Perubahan paling ketara ialah peningkatan dalam penggunaan aplikasi daripada 54 peratus pada 2012 kepada 76 peratus pada 2013.

Putrajaya juga telah mengambil inisiatif dengan memberikan rebat bagi pembelian telefon pintar turut menarik minat lebih ramai pengguna memilikinya, faktor yang diambil kira sebagai peningkatan pengguna telefon pintar tersebut. ~the malaysian insider





Iklan C (ii)


Tiada ulasan: