Addin |
- Kajian Yang Mengejutkan Kita Semua.. Saksikanlah
- Anwar Dedah Projek IC Sabah Bermula Zaman Bapak Najib
- Najib Terkejut, Desak Mukhriz Tarik Diri?
- Tidak Munasabah Mahathir Tidak Tahu Projek IC - Anwar
- (Gambar) 13 Peserta 'Ops Bubar' Menang Rayuan, Mahkamah Tinggi Taiping Tangguh Hukuman Penjara
- Bekas Menteri Umno Dedah Tembelang Muhyiddin Dan Umno
- Pak Lah Kalahkan Karpal Singh
- Mike Tyson Dedah Bagaimana Beliau Memeluk Islam
- Bongkar!! Rupanya Bekas SU Politik Shahrizat Jalil Di Siasat SPRM Berkenaan Salah Guna 1AZAM
Kajian Yang Mengejutkan Kita Semua.. Saksikanlah Posted: 19 Sep 2013 09:16 AM PDT Majoriti masyarakat Melayu dan Cina mahu melihat pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) menjalinkan kesepakatan dengan Pakatan Rakyat (PR) selepas pilihan raya umum baru-baru ini, menurut kajian terbaru yang dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL). Dalam pembentangan kajian terbaru hari ini di UM (Universiti Malaya), 69% daripada keseluruhan 1,546 orang responden yang ditemui oleh pengkaji pilihan raya tersebut mahu melihat Datuk Seri Mohd Najib Razak (gambar) melibatkan PR dalam kerajaan persekutuan. "Mereka mahu pemimpin kedua-dua belah pihak bekerja untuk membangunkan negara."Orang ramai dah terlalu penat, sejak menunggu tarikh pilihan raya sehinggalah selepas berakhir pilihan raya," kata pengarahnya, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman dalam pembentangan hari ini. Lebih mengejutkan, sebanyak 70% responden Melayu bersetuju dengan hasrat untuk melihat kerjasama BN dan PR, manakala 67% lain adalah kaum Cina, hasil daripada kajian yang dijalankan daripada 15 Ogos ke 10 September baru-baru ini. Bagaimanapun, Mohammad Redzuan menekankan langkah kerjasama tersebut tidak boleh hanya terarah kepada satu parti dalam PR sahaja, sebaliknya BN perlu menjalin hubungan dengan PKR dan juga DAP. "Kerjasama mesti dengan semua parti dalam PR. Mereka tidak boleh pilih salah satu parti dalamnya," kata beliau lagi. Mohammad Redzuan turut berkata kerajaan BN perlu memberi perhatian utama kepada dua parti dalam PR, iaitu PKR dan DAP memandangkan kedua-duanya mempunyai sokongan akar umbi yang kuat daripada kaum Cina. "Saya tidak fikir BN hanya memfokuskan untuk hanya menjalin kerjasama dengan PAS, kerana sokongan masyarakat Melayu kepada mereka sememangnya sudah kuat. "Yang perlu difikirkan adalah penglibatan masyarakat Cina, kerana tiada wakil kumpulan tersebut dalam kerajaan," katanya lagi. Kenyataan Mohammad Redzuan tersebut hadir bagi mengulas mengenai cadangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu mewujudkan kerjasama dengan PAS. Beliau juga menegaskan sepanjang hampir 50 tahun lebih negara merdeka, kerajaan yang mentadbir Malaysia terdiri daripada pelbagai bangsa dan tidak hanya didominasi oleh satu bangsa sahaja. "Ia sesuatu yang tidak masuk akal, saya tidak boleh bayangkan kerajaan yang didominasi oleh satu bangsa sahaja. "Kaum Cina mengawal ekonomi negara, cuba bayangkan kerajaan yang tiada wakil Cina. Apa akan terjadi?" kata Mohammad Redzuan lagi. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa perutusan sehari sebelum hari kemerdekaan negara ke-56 menyatakan kesediaan untuk bertemu dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara. Ketua Umum PKR itu berkata, meskipun PR mendapat undi majoriti rakyat, namun mereka bersedia melupakan ketegangan dan penyelewengan yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa pilihan raya 5 Mei lalu. Bagaimanapun, pemimpin Umno secara jelas menolak rundingan damai antara BN dan PR. Beberapa pemimpin Umno melahirkan kecurigaan terhadap Anwar yang mengajak dua parti terbesar negara itu untuk berunding. Dalam kajian tersebut lagi, UMCEDEL juga mendedahkan sebanyak 63% responden mengakui suara rakyat bertambah susulan peningkatan ahli parlimen PR selepas pilihan raya lalu. Selain itu, 55 peratus responden juga mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim terus mengemudi PR walaupun gagal untuk merampas Putrajaya pada pilihan raya lalu. Mengenai persepsi orang ramai terhadap prestasi Najib yang gagal memperoleh majoriti dua pertiga, Mohammad Redzuan mengakui ada pihak yang juga mahukan perdana menteri tersebut mengikut jejak Tun Abdullah Ahmad Badawi yang meletak jawatan. "Kalau dahulu Abdullah dipaksa letak jawatan sebab tidak dapat majoriti dua pertiga, sekarang juga ada pihak yang mahukan Najib lakukan perkara sama," katanya lagi. Pada pilihan raya 5 Mei lalu, Najib dan BN kembali berkuasa di Putrajaya dalam satu persaingan sengit yang menyaksikan PR memenangi undi popular tetapi masih tewas dalam pilihan raya. BN menang tipis pada 5 Mei dengan hanya 133 kerusi Parlimen berbanding 89 kerusi oleh PR, lebih rendah daripada 140 kerusi yang mereka menangi pada Pilihan Raya 2008 lalu. Mohammad Redzuan pada akhir pembentangan berkata rakyat majoritinya ketika ini mahu melihat keadaan tenang dan aman dalam negara, serta kurang berpolitik. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
Anwar Dedah Projek IC Sabah Bermula Zaman Bapak Najib Posted: 19 Sep 2013 05:16 AM PDT Isu pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang haram sebenarnya bermula ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, kata ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah, hari ini. "Antara 1972 hingga 1984, ada kebanjiran kemasukan pelarian ke Malaysia dari selatan Filipina. Pelarian ini mahu bebas daripada pergaduhan di sana pada masa itu jadi mereka lari ke Sabah," katanya dalam nada tenang dan berhati-hati. Beliau berkata, isu permasalahan kad pengenalan timbul antara 1979 dan 1999 dan kesalahan patut diletakkan kepada pasukan kerja khas dibentuk oleh Majlis Keselamatan Negara. Anwar mendakwa, pasukan itu yang masih lagi aktif hingga sekarang bertanggungjawab terhadap pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing walaupun mereka tidak berkelayakan. Anwar berkata, ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri itu merahsiakan isu keselamatan negara. Anwar berkata, Dr Mahathir yang juga adalah Menteri Dalam Negeri pada masa itu dan pengeluaran kad pengenalan berada bawah pengawasannya. "Ya, saya tahu pasukan khas itu tetapi saya tidak ada pengetahuan khusus terhadap kerja dan apa sebenarnya tugas mereka. Dr Mahathir adalah orang yang bertanggungjawab dan jika dia memilih untuk tidak membangkitkan isu itu ketika mesyuarat Kabinet, anda perlu tertanya-tanya mengapa," katanya membiarkan soalan itu tidak berjawab. "Percaya atau tidak, ada ahli dalam pentadbiran, malah di kalangan Umno sendiri tidak tahu apa yang berlaku. Tidak ada dokumen Kabinet mengenai isu itu atau ia dibawa ke dalam mesyuarat, anda boleh periksa minit jika tidak percaya kepada saya. "Jika saya ada menghadiri mesyuarat berkaitan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang haram, saya amat pasti ia tentunya dicatat dalam minit. Saya tidak bercakap mengenai pasukan khas biasa, saya merujuk kepada pasukan khas yang tugasnya kurang telus," katanya di hadapan lima panel RCI yang diketuai bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. Anwar mendakwa, pasukan khas itu yag beroperasi dan membabitkan kedua-dua bekas dan perdana menteri sekarang yang ada pengetahuan mengenai kewujudan dan aktiviti seumpama itu. Katanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Razak ada lebih banyak maklumat mengenai pasukan petugas yang ditubuhkan pada 1989 itu. "Pasukan itu yang ditubuhkan Majlis Keselamatan Negara, yang dikenali sebagai badan strategi yang amat penting. Apa yang sesetengah orang tidak tahu ialah majlis itu turut berkhidmat sebagai `war room' Umno dari masa ke masa," katanya. Pegawai perunding RCI, Majoi Kurup bertanya kepada Anwar apa penyelesaiannya untuk menangani pendatang haram yang memegang kad pengenalan bermasalah, seperti didedahkan Jabatan Pendaftaran Negara minggu lalu iaitu kira-kira 113,000 diklasifikasikan sebagai kad pengenalan yang diragui. "Ini adalah mimpi negeri kepada negara yang dicipta oleh eksekutif, ia membabitkan rasuah besar-besaran dan ancaman serius kepada kedaulatan Malaysia. Dan sekarang kita ditanya bagaimana hendak membersihkan kekacauan yang tercipta, yang juga mempunyai kesan amat rumit dalam pilihan raya lalu," katanya tanpa sebenarnya menjawab soalan. Shim: Ada peningkatan populasi di Sabah yang berlaku kira-kira ketika kemasukan Umno ke dalam negeri ini. Adakah anda bertanggungjawab mengetuai kemasukan Umno ke Sabah pada 1991, adakah ia benar? Anwar: Ya, ada alasan yang baik Umno berasakan mereka perlu mempunyai pengaruh kuat di Sabah. Bagaimanapun, anda perlu membezakan antara parti politik yang berjuang dalam peperangan sah dalam sempadan undang-undang dan parti yang tidak. Shim: Ada persepsi yang menyatakan peningkatan populasi itu disebabkan pendatang asing dimasukkan ke dalam komuniti untuk meningkatkan kelebihan bagi sesetengah parti politik. Anwar: Tidak adil untuk menyalahkan parti secara keseluruhan kerana tidak semua orang tahu mengenai perkara itu. Tetapi, pemimpin yang tahu mengenai kejadian itu dan memilih untuk berahsia terhadap tindakan bawah tanah patut dipertanggungjawabkan. Tidak ada sesiapa yang patut membiarkan operasi haram yang mengancam keselamatan negara. Manoi: Apa yang boleh dilakukan untuk menangani isu pendatang haram yang memegang kad pengenalan Malaysia? Anwar: Kita patut adil, tidak semua orang Filipina di Sabah adalah pendatang haram, kita perlu kenal pasti siapa pelarian sebenar. Penarikan semula kad pengenalan mereka adalah salah mengikut undang-undang antarabangsa, walaupun Malaysia tidak menandatangani persetujuan itu. Tetapi, langkah pertama yang perlu kita ambil ialah menghentikan serta-merta pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang haram. Ada pegawai kerajaan atau Umno yang dihantar ke Sepang dan Selayang untuk mengeluarkan dokumen identiti kepada pendatang haram. Kita perlu menghentikannya sekarang tanpa sebarang alasan. Manoj: Apa yang perlu dilakukan kepada pendatang haram yang mempunyai kad pengenalan Malaysia, yang anak dan cucu mereka dilahirkan di sini? Anwar: Ini isu yang amat rumit kerana menarik semula kad pengenalan mereka bermakna mereka akan menjadi orang yang tidak ada negara. Kita perlu memikirkan generasi akan datang dan mempertimbangkan tempat mereka yang sepatutnya di Malaysia. Dalam perkara ini, kita perlu ada belas kasihan, timbang rasa dan berfikir mengikut asas kemanusiaan. Ini adalah hampir serupa dengan orang Mexico yang tinggal di California yang sebenarnya tidak mempunyai kad hijau. Dan isu lain yang perlu dipertimbangkan ialah, jika kita membatalkan kad pengenalan pendatang ini, siapa yang akan menerima mereka? Tentu saja buka Filipina atau Indonesia. Penghantaran pulang pendatang membabitkan persetujuan kedua-dua negara yang menghantar dan menerima. "Saya mengadakan perbincangan dengan bekas presiden Filipina, Fidel Ramos. Beliau menunjukkan keengganan untuk menerima bekas pelarian balik ke Filipina kerana menganggap Malaysia bertanggungjawab terhadap pelarian itu kerana mereka ada di sini," katanya. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
Najib Terkejut, Desak Mukhriz Tarik Diri? Posted: 19 Sep 2013 02:47 AM PDT Blogger Umno Syed Akhbar Ali hari ini mendakwa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir petang tadi. Menurut Syed Akhbar, Najib telah menghantar kiriman pesanan ringkas (SMS) kepada Mukhriz berhubung pertemuan tersebut. "Berbagai teori timbul berikutan perjumpaan tersebut antara tujuannya ialah meminta Mukhriz untuk tidak bertanding "Hasrat Mukhriz untuk bertanding akan menjejaskan pakatan Najib yang bukan saja mengoyahkan kedudukan Hishamuddin malah Zahid Hamidi, Ali Rustam termasuk Shafie Afdal," kata Syed Akhbar di laman blognya merujuk kepada penyandang dan bakal calon naib presiden Umno. Menurut Syed Akhbar, diantara teori lain ialah Mukhriz sendiri yang meminta mengadakan pertemuan bagi meminta nasihat mengenai hasratnya bertanding jawatan naib presiden Umno. Syed Akhbar dalam blognya turut menyatakan sokongan terhadap anak kepada bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad itu. Terdahulu The Malaysia Insider melaporkan Menteri Besar Kedah itu menyatakan hasrat bertanding merebut jawatan itu. Hasrat Mukhriz itu bagaimanapun menjejaskan pakatan Najib yang mahu penyandang naib presiden Umno dikembalikan pada pemilihan akan datang. Mukhriz dilaporkan menerima sokongan sebulat suara daripada pemimpin Umno bahagian di peringkat negeri untuk bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti Melayu terbesar itu pada Oktober ini. Keputusan itu dibuat semasa mesyuarat menteri besar Kedah itu dengan pemimpin bahagian malam tadi. "InsyaAllah, saya akan membuat pengumuman pada Khamis," kata Mukriz kepada pemberita malam tadi. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
Tidak Munasabah Mahathir Tidak Tahu Projek IC - Anwar Posted: 18 Sep 2013 11:31 PM PDT Tidak munasabah jika Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai Projek IC di Sabah kecuali beliau tidak bertanggungjawab atau tidak cekap, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) ketika memberi keterangan di hadapan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai pendatang asing di Sabah, hari ini. Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri ketika projek ini berlangsung, Dr Mahathir sepatutnya bertanggungjawab terhadap skandal itu dan Anwar menolak penjelasan bekas perdana menteri itu bahawa beliau tidak tahu mengenainya. Anwar juga berkata, beliau tidak pernah mendengar mengenai Projek IC ketika berada dalam Kabinet dari 1982 hingga 1998. Anwar berkata demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan Pegawai RCI, Manoj Kurup sama ada beliau tahu atau tidak mengenai projek itu. Bagaimanapun, katanya, beliau mendengar mengenai kewujudan satu pasukan khas yang ditubuhkan untuk memasukkan pendatang asing sebagai rakyat Malaysia. "Antara 1993 hingga 1998, ketika saya timbalan perdana menteri, saya tidak pernah dijemput dalam mana-mana mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN). "Saya ada mendengar satu pasukan khas ditubuhkan oleh MKN pada 1989 tetapi tidak mendapat maklumat lanjut," katanya di hadapan panel lima anggota RCI yang diketuai Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. "Hatta semasa menjadi pemangku perdana menteri selama dua bulan, saya tidak pernah diberi penerangan oleh Ketua Pengarah MKN atau diminta menandatangani apa-apa fail berkaitan dengan MKN," katanya dan turut memberitahu, Projek IC tidak pernah dibawa kepada Kabinet. Berpakaian sut biru gelap dan berbaju putih, Anwar dalam keterangannya berkata, pada masa itu Dr Mahathir adalah Menteri Dalam negeri. Anwar yang memakai cermin gelap sepanjang menjadi saksi itu kerana masalah mata, kelihatan tenang semasa menjawab segala soalan yang dikemukakan kepadanya oleh Kurup, Shim dan wakil daripada Persatuan Peguam Sabah. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
(Gambar) 13 Peserta 'Ops Bubar' Menang Rayuan, Mahkamah Tinggi Taiping Tangguh Hukuman Penjara Posted: 18 Sep 2013 10:15 PM PDT TAIPING 19 SEPTEMBER: Semua 13 peserta demonstrasi dalam insiden rampasan kuasa di Perak pada 2009 menang dalam rayuan pelaksanaan hukuman denda RM5,000 dan dua tahun penjara mandatori. Keputusan itu dibacakan di Mahkamah Tinggi Taiping sebentar tadi. Peguambela, Hanipa Maidin sebelum itu berhujah dan mempersoalkan adakah wajar mahkamah mengenakan hukuman dua tahun penjara sedangkan ini hanya kesalahan bawah Seksyen 145 dan mereka yang terlibat tidak pernah melakukan kesalahan. Beliau juga merujuk kes rogol kanak-kanak lima tahun apabila yang dihukum boleh diikat jamin dan bebas. "Mengapa pula mereka ini tidak boleh ditangguh hukuman," soalnya. Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya bangun dan membantah permohonan penangguhan hukuman dan menyatakan hukuman mandatori adalah wajar. Sementara itu, seorang lagi peguam, Augustine Anthony menegaskan mengenai tahap kesihatan OKZ juga perjalanan kes sebelumnya. Menurut Augustine, ramai mereka yang sudah kehilangan pekerjaan dan sudah pun 'terhukum'. ~keadilandaily Gambar-gambar suasana di Mahkamah Tinggi Taiping.
Sumber gambar dan teks: Facebook Nashita, Jamaluddin, Faeez, Azizul, Dustbin, Naeem, Dr. Mujahid dan Fawi (WatsApp) | ||||||||||||||||||||||||
Bekas Menteri Umno Dedah Tembelang Muhyiddin Dan Umno Posted: 18 Sep 2013 08:15 PM PDT Kesediaan Umno untuk mewujudkan kerjasama dengan pembangkang khasnya dengan PAS hanyalah sekadar usaha memecahbelahkan Pakatan Rakyat (PR), kata bekas menteri dari Umno, Datuk Zaid Ibrahim. Zaid, 63, dalam temuramah eksklusif dengan The Malaysian Insider berkata, kesediaan mewujudkan kerjasama yang dilontarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanyalah untuk memanaskan keadaan dan bukan tindakan ikhlas untuk mewujudkan kerajasama berkenaan. "Muhyiddin mengambil kesempatan, PAS perlu kekal dalam Pakatan," katanya, dan menambah lontaran Muhyiddin dibuat memandangkan wujudnya gesaan dari sayap Ulama PAS untuk mengkaji semula hubungan parti Islam berkenaan dengan rakan komponen pembangkang dari PKR. Zaid yang meningalkan Umno selepas 23 tahun bersama parti Melayu itu berkata, PAS perlu kekal dalam PR bagi mengekalkan sistem dwi parti seperti sedia ada. Muhyiddin pada Selasa lalu berkata, Barisan Nasional (BN) sentiasa terbuka mengambil apa jua langkah termasuk mengadakan perbincangan bersama PAS bagi tujuan menyatupadukan umat Islam. "Kita tidak kisah bekerja bersama PAS atau Pakatan sekiranya ia demi kepentingan Muslim di negara ini dan kita yakin sekiranya Umno bekerjasama dengan PAS banyak yang dapat dicapai," katanya dalam Program Sesi Dialog Timbalan Perdana Menteri bersama pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Gombak. Sementara itu, Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Harun Taib dalam ucaptamanya semasa Multaqa Ulama Se-Malaysia yang dianjurkan PAS mencadangkan kerjasama politik di antara parti Islam itu dan PR terutamanya PKR dikaji semula. Ini ekoran rasa tidak puashati mereka dalam kerjasama dengan PR khususnya PKR. Cadangan itu kemudiannya diangkat sebagai resolusi dalam multaqa itu. "Umno bukan inginkan sangat dia (PAS), tetapi dalam PAS memang ada kumpulan yang inginkan kerjasama dengan Umno," kata Zaid yang pernah bersama PKR selama setahun sebelum mewujudkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA). Kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS telah lama diperkatakan, namun Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat menolak idea berkenaan. "Selagi saya masih hidup saya tidak akan benarkan usaha untuk menjalin kerjasama PAS dan Umno dilakukan," kata bekas Menteri Besar Kelantan itu. "Tidak ada sesiapapun mengatur usaha untuk mengadakan kerjasama antara PAS dan Umno apa lagi secara senyap-senyap, parti ini terbuka kepada orang ramai dan milik ahli," katanya. Umno berjaya menambah kerusi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu, dengan pertambahan kepada 133 daripada 88 kerusi pada pilihan raya sebelumnya. Manakala PAS kehilangan Kedah, namun masih kekal di Kelantan. Nik Aziz mendakwa Umno sejak awal lagi menolak dasar Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh PAS dan selain persoalan dasar parti, banyak lagi perkara yang perlu dikaji terhadap kesilapan Umno dalam perjuangan mereka. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
Posted: 18 Sep 2013 07:20 PM PDT Kedua-dua mereka adalah ahli politik kelahiran Pulau Pinang, namun jualan buku mengenai pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi atau juga dikenali Pak Lah lebih laris berbanding biografi pemimpin DAP, Karpal Singh. Buku 'The Awakening: The Abdullah Badawi years in Malaysia' laris dijual kerana berada dalam pasaran dua minggu lebih awal berbanding 'Karpal Singh: The Tiger of Jelutong' yang baru memasuki pasaran buku tempatan. The Malaysian Insider berkunjung ke tiga kedai buku terkemuka di Kuala Lumpur dan diberitahu bahawa buku pentadbiran Pak Lah laris dijual sejak berada di kedai buku pada awal Ogos lagi. Namun prestasi buku Karpal turut membanggakan apabila kehabisan stok di MPH Pulau Pinang. Wakil tiga kedai buku yang dikunjungi berkata, kejayaan jualan buku Pak Lah mungkin disebabkan laporan media yang banyak mengambil petikan daripada buku tersebut. "Buku Pak Lah semakin popular sejak dua minggu lalu berbanding biografi Karpal kerana media portal pantas mempromosi buku tersebut dengan mengambil petikan sensasi di dalamnya. Itu yang jadi laris," kata seorang kakitangan MPH kepada The Malaysian Insider. Seorang kakitangan di kedai buku Kinokuniya pula mendapati buku Lee Kuan Yew, 'One Man's View of the World' turut diminati. Kakitangan MPH berkata, rangkaian kedai bukunya memiliki lebih 1,000 naskhah setiap buku namun tidak menyatakan berapa banyak yang dipesan. Kinokuniya memesan 200 buku biografi Karpal dan hanya tinggal 59 yang belum terjual. Buku Pak Lah pula hanya tinggal 123 daripada 500 yang dipesan. Kedai Buku Borders masih mempunyai 300 buku Karpal dan 500 lagi buku Pak Lah di seluruh cawangannya. Seorang jurucakap Borders berkata, buku Pak Lah mendapat sambutan yang baik daripada pembaca. "Kita juga sedang memesan biografi Karpal yang dilihat menjadi pencabar terdekat," katanya. Buku Abdullah disunting oleh Dr Bridget Welsh dan Dr James Chin adalah kompilasi pandangan pelbagai pihak dan ramai di antaranya yang mengkritik pentadbiran Pak Lah. "Artikel disumbangkan oleh banyak pihak, seperti pemimpin politik dan ahli akademik. "Kami cuba mencari keseimbangan dengan memberi Pak Lah ruang memberi komentar semasa zaman pentadbirannya," kata penulisnya selepas laporan media yang semakin hangat mengambil petikan daripada buku itu. Buku Karpal ditulis oleh wartawan veteran Vietnam dari New Zealand, Tim Donoghue yang pertama kali berjumpa Karpal pada 1986. Buku yang berkisarkan kehidupan peribadi Karpal menyentuh kerjaya politik dan guamannya yang menggambarkan beliau seorang peguam berkaliber dalam bidang jenayah dan perlembagaan negara. The Tiger of Jelutong memasuki pasaran pada Ogos dua minggu sebelum pelancarannya pada 7 September. Minggu pertama September, buku tersebut berada di tangga kedua paling laris di kedai buku MPH Mid Valley bagi kategori buku bukan fiksyen. ~the malaysian insider | ||||||||||||||||||||||||
Mike Tyson Dedah Bagaimana Beliau Memeluk Islam Posted: 18 Sep 2013 06:59 PM PDT Pada tahun 80-an, tidak ada yang tidak mengenal siapa Mike Tyson. Beliau merupakan juara dunia tinju kelas Heavyweight. Ia sanggup melumpuhkan lawannya di dalam gelanggang tinju hanya dengan satu kali pukulan dalam satu pusingan saja. Beliau menerima julukan sebagai "Iron Mike, "Baddest Man On Earth" dan "Leher Beton" (merujuk pada lingkaran leher Tyson pada masa jayanya yang lebih besar dari ukuran normal, dan tampak begitu kokoh). Beliau kini seorang Muslim dengan nama Malik Abdul Aziz. Tyson menjadi juara dunia tinju kelas Heavyweight termuda di usia 20 pada 1986 dengan mengalahkan Trevor Berbick di perebutan gelaran juara dunia kelas Heavyweight WBC. Setahun kemudian, merebut gelaran juara dunia kelas yang sama WBA dan IBF. Pada 1992, kerjaya Tyson mulai terpengaruh kehidupannya di luar gelanggang tinju. Ketika itu Tyson terpaksa hidup di sebalik jeriji besi selama tiga tahun kerana tuduhan pemerkosaan. Setelah dikalahkan Evander Holyfield pada November 1996, kehebatan Tyson di gelanggang tinju tinggal sejarah. Setelah itu Tyson terpaksa melalui masa sulit termasuk jatuh bangkrap dan hanya beberapa kali melakukan pertarungan sekadar untuk mencari nafkah. Tyson mengungkapkan mengapa kerjaya tinjunya jatuh merudum. "Ketika itu saya seorang yang berperangai buruk, dan seorang yang menghadapi masalah mental. Saya fikir saya juara dunia. Tidak akan ada petinju yang menelan obat-obatan lebih banyak daripada saya. Bahkan saya tidak menyangka boleh hidup lebih dari 30 tahun. Saya beruntung masih hidup. Tinju telah membuat saya gila," jelasnya kepada sebuah media Jerman, Speigel. Tyson memeluk Islam ketika masih dipenjara pada pertengahan tahun 1990. Secara rasmi, tahun 1995, selepas dari penjara di Indiana, Tyson mengumumkan hijrah memeluk agama Islam yang telah dipelajarinya selama di dalam penjara, dengan nama baru Malik Abdul Aziz Tyson kini tinggal di Las Vegas dengan isteri ketiganya, Lakiha, dan dua putera-puteri, Morocco serta Milan. Tyson mengaku senang dengan kehidupan yang dijalaninya ketika ini. "Saya hanya ingin menjadi ayah yang baik. Saya ingin anak-anak memandang saya seorang ayah yang baik. Saya tidak minum alkohol, tidak merokok, tidak minum obat-obatan. Saya juga seorang vegetarian, tidak makan daging dan telur." Pengalaman Spiritual di Kota Nabi Inilah pengalaman spiritual mantan juara dunia tinju kelas Heavyweight Mike Tyson ketika melaksanakan ibadah umrah. Tyson menginjak Tanah Suci untuk kali pertama pada Jumaat, 2 Juli 2010. Selama di Madinah, ia bertemu dengan Dr. Muhammad Al-Uqala, Rektor Universiti Islam, yang menjelaskan kepadanya tentang kemudahan apa saja yang diberikan universiti kepada para mahasiswanya yang berasal dari seluruh dunia. Kunjungannya ke Arab Saudi diatur oleh Asosiasi Da'wah Kanada (CDA),CDA merupakan lembaga da'wah yang banyak membiayai selebriti Muslim baru untuk berkunjung ke Arab Saudi untuk melaksanakan rukun islam. Perjalanan Tyson tersebut diatur oleh Canadian Dawa Association (CDA), iaitu Pertubuhan Da'wah di Kanada yang biasa mengatur perjalanan para muallaf selebriti mengunjungi tempat-tempat bersejarah Islam di Arab Saudi. Shazad Muhammad, Presiden CDA, ikut serta menyambut kedatangan Tyson di Bandar Antarabangsa Raja Muhammad, Madinah. Tyson mengaku memperolehi pengalaman spiritual luar biasa selama menjalani ibadah Umrah di Arab Saudi. "Saya senang punya peminat yang mencintai saya di Arab Saudi. Tapi, saya berharap mereka meninggalkan saya sendiri untuk menikmati saat spiritual di Tanah Suci. Saya tidak mampu menitikkan air mata ketika saya mengetahui bahwa saya berada di salah satu taman surga," ujar Tyson tatkala mengunjungi Masjid Nabawi. Dari Madinah, Tyson melanjutkan perjalanan ke Mekkah melaksanakan umrah. Selesai melakukan umrah di Mekkah, mantan juara tinju dunia ini mengunjungi Jeddah, Abha dan Riyadh. | ||||||||||||||||||||||||
Bongkar!! Rupanya Bekas SU Politik Shahrizat Jalil Di Siasat SPRM Berkenaan Salah Guna 1AZAM Posted: 18 Sep 2013 04:42 PM PDT Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil muncul hari ini mengakui beliau adalah individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan. Semasa mengadakan sidang media di Kelab Tasik Putrajaya petang tadi, Suhaimi berkata beliau disiasat atas pertuduhan salah guna wang program akhiri zaman miskin (1AZAM). Katanya, sekurang-kurangnya tujuh individu dari kementerian lain turut dipanggil bagi membantu siasatan. "Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul," katanya. Menurut laporan, SPRM menyita 10 kenderaan mewah Suhaimi namun beliau menafikan laporan itu. "Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di blog, itu hasil usaha keras saya. Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu." Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang ditahan reman empat hari sejak Jumaat berhubung kes itu dan dibebaskan pada Selasa. Suhaimi tidak bercerita lanjut butiran penyiasatan. "Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya. Ketika ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM, katanya, "Saya telah berikan kerjasama." Berhubung penahanannya, beliau menerima panggilan dari SPRM pada petang Jumaat supaya datang ke ibu pejabatnya di Putrajaya. "Saya datang sendiri dan tiba pada jam 5 petang dan disoal sepanjang minggu." Suhaimi berkata selepas ini beliau mahu memberi fokus kepada perniagaan dan tidak mahu terjebak lagi dalam pertuduhan sedemikian. "Perniagaan saya tiada kaitan dengan kementerian atau program di bawahnya. Namun untuk mengelak sebarang tuduhan, lebih baik saya berdiam diri," katanya. Ketika ditanya adakah dakwaan ini satu usaha mencemarkan bekas orang atasannya itu berikutan pemilihan Umno akan berlangsung tidak lama lagi, Suhaimi enggan mengulas. Beliau mengingatkan media agar berhenti memberikan maklumat yang salah berhubung penahanannya. Program 1AZAM adalah sebuah inisiatif kerajaan dibawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Program itu diperkenalkan pada Januari 2010 bagi memberi peluang perniagaan dan pertanian kepada golongan miskin menceburi bidang tersebut. Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan RM1.35 billion bagi menyediakan bantuan kepada 473, 928 penerima seluruh negara. ~the malaysian insider |
You are subscribed to email updates from Addin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan