Ahad, 25 Ogos 2013

MIMPI SENJA

MIMPI SENJA


PESANAN : Hati-hati dengan gadis ini

Posted: 25 Aug 2013 09:15 PM PDT


SUNGAI PETANI – Seorang gadis berusia 23 tahun dari bandar ini dikesan licik menjalankan kes penipuan berhubung pakej pelancongan kepada orang ramai sebelum membatalkan perjalanan di saat akhir setelah bayaran dibuat.

Gadis tersebut juga didakwa giat menjalankan pelbagai perniagaan dengan menawarkan khidmat menjadi ejen produk tetapi liat ketika diminta menjelaskan bayaran dengan pelbagai alasan.

Pengadu, Nor Suriani Badri, 34, berkata, dia termasuk 13 individu lain telah membuat tempahan bercuti ke Bali selama empat hari tiga malam melalui ejen berkenaan pada tarikh 11 Ogos lalu, namun perjalanan dibatalkan hanya beberapa jam sebelum bertolak.

"Empat orang sudah pun berada di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) apabila dimaklumkan jam 3 pagi bahawa perjalanan kami dibatalkan atas alasan tidak munasabah," katanya kepada Sinar Harian.

Nor Suriani berkata, walaupun ejen terbabit sudah menjelaskan RM6,500 setelah dipaksa, tetapi mereka tetap mahu bersemuka dengan gadis berkenaan bagi mendapatkan penjelasan.

[KES 2] Mangsa, Nasrul Md Junid, 42, berkata, sebaik sahaja mengetahui perjalanan ke Bali dibatalkan saat akhir, dia bersama 22 ahli keluarga yang membuat tempahan ke Semporna, Sabah September nanti khuatir apabila mengetahui menggunakan khidmat ejen yang sama.

Nasrul berkata, sebaik sahaja mengetahui lawatan ke Bali dibatalkan, dia telah membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan dan tempat penginapan yang didakwa sudah ditempah, namun tiada nama ahli keluarganya.

"Pada Mei lalu, kami telah membayar lebih RM8,000 untuk penerbangan dan hotel selain membuat tempahan sendiri untuk aktiviti sukan di sana lebih kurang RM3,000.

"Pada 16 Ogos lalu, gadis berkenaan telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada salah seorang ahli keluarga mengatakan tiket penerbangan telah ditempah.

"Khuatir ditipu, kami membuat pengesahan dengan syarikat penerbangan tetapi dimaklumkan bahawa ejen hanya membayar RM440 manakala tempahan hotel juga tidak dilakukan," katanya.

Nasrul berkata, maklumat terbaru diperoleh, tempahan untuk ahli keluarganya dibatalkan syarikat penerbangan kerana tiada bayaran sepenuhnya dibuat dalam tempoh tertentu sedangkan dia sudah membuat pembayaran sepatutnya.

Bagi mendapatkan penjelasan, ahli keluarga menghubungi ejen terbabit tetapi semua talian tidak berfungsi. Menurutnya, dia mahukan ejen pelancongan terbabit membuat tempahan semula penerbangan atau memulangkan kembali harga tiket mengikut kadar semasa memandangkan semua persiapan telah dibuat termasuk memohon cuti kesemua ahli keluarga
termasuk yang tinggal di luar daerah.

[KES 3] Mangsa, Rasinah Saad, 37, mendakwa, kegiatan gadis berkenaan dijalankan secara licik di mana modus operandi sama dilakukan melibatkan penipuan wang. "Dua tahun lalu, gadis sama telah menjadi ejen produk penapis air melibatkan kos lebih RM4,000 namun hanya membayar separuh daripadanya," katanya.

[KES 4] Leana Ramli, 29, turut menggunakan khidmat ejen pelancongan sama ketika bercuti ke Hatyai 10 Ogos lalu bersama 30 ahli keluarganya. Menurutnya, khidmat yang diberikan tidak memuaskan selain terpaksa membuat bayaran tambahan kepada pemandu van dan bas setelah tiba di sana.

"Kebanyakan destinasi dituju tidak sama seperti dirancang termasuk pengangkutan terpaksa dibayar dengan wang sendiri," katanya.

Menurut Leana, kebanyakan urusan dilakukan menerusi laman sosial Facebook dan tidak menyangka lebih ramai mangsa ditipu selepas pendedahan dibuat menerusinya.

Gadis tersebut turut dikesan melakukan penipuan kepada pelanggan yang berada di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Terengganu dan Selangor apabila masing-masing menunjukkan laporan polis dibuat menerusi laman sosial berkenaan.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

NOTE : Hubungi polis berdekatan sekiranya tuan/puan didatangi oleh individu berkenaan

Lebih 1,000 Gengster Ditahan Dalam Seminggu

Posted: 25 Aug 2013 08:15 PM PDT


Polis sedang mengawal sebuah kelab malam di Jalan Dr Lim Chwee Leong.
PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menahan kira-kira lebih 1,000 individu kebanyakannya gengster dalam tempoh seminggu dalam satu operasi untuk membendung aktiviti jenayah dan kekerasan.
Operasi itu yang dikenali sebagai 'Ops Cantas Khas' bertujuan membanteras penjenayah dan kumpulan kongsi gelap di seluruh negara.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata kira-kira 1,018 individu ditahan dalam serbuan di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Johor sejak 17 Ogos lalu.
"Kebanyakan mereka yang ditahan merupakan ahli kumpulan Geng 36, Geng 08 dan Geng 04," katanya.
Menurut beliau, polis turut merampas 13 senjata api termasuk pistol, parang dan pisau serta menjumpai 36 kereta curi.
Abdul Jalil berkata orang ramai turut memberikan maklum balas positif dan maklumat penting sejak operasi itu dilancarkan.
"Kira-kira separuh berjaya ditahan hasil maklumat yang diberikan kepada kami. Kerjasama orang ramai banyak membantu sepanjang operasi tersebut.
"Walaupun banyak maklumat diterima, kami menyemaknya dengan teliti bagi mengelakkan sebarang kesilapan ketika melakukan tangkapan," katanya.
Antara maklumat sama yang diterima adalah mengenai pengumpulan individu meragukan di sebuah rumah atau tempat awam tertentu.
Abdul Jali berkata kira-kira 920 anggota polis ditugaskan di bawah operasi tersebut untuk melakukan sekatan jalan raya dan memburu penjenayah dikehendaki.
Katanya, operasi tersebut yang dilakukan antara tengah malam dan 5 pagi setiap hari adalah untuk mengurangkan jenayah serius dan mencegah jenayah lain daripada berleluasa.
"Pada minggu lalu, kami melakukan pemeriksaan ke atas 50,245 orang dan 22,956 kereta kebanyakannya motosikal. Kami tidak akan menghentikan operasi itu sehingga kami berpuas hati dengan kadar penurunan jenayah bagi memastikan negara berada dalam keadaan selamat," katanya.
Ops Cantas Khas melibatkan pegawai dan anggota JSJ dari Bukit Aman, polis kontinjen negeri dan daerah berkaitan.
"Kami menggunakan Akta Pencegahan Jenayah 1959 untuk menahan suspek," katanya.
Di George Town, polis berjaya menahan 77 orang termasuk enam wanita berusia antara 20 dan 40 serta seorang remaja dalam beberapa serbuan pada hujung minggu lalu.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP Mohd Nasir Salleh berkata beberapa lelaki yang ditahan itu merupakan penjenayah dikehendaki atas pelbagai kesalahan jenayah.
Dalam serbuan pertama, polis menjumpai dua bilah parang sepanjang 70cm di dalam sebuah tandas dekat kelab malam di Jalan Dr Lim Chwee Leong.
Enam wanita dan 27 lelaki, tiga daripada warga asing ditahan dalam kelab malam tersebut.
"Tiga lelaki warga asing itu bekerja sebagai pelayan tanpa permit," kata Mohd Nasir.
Dalam serbuan kedua di sebuah kelab malam di Jalan Penang, polis menahan 33 lelaki dan seorang remaja.
"Kami akan mengambil tindakan ke atas pemilik kelab malam itu kerana membenarkan remaja tersebut memasuki premis berkenaan," katanya.
Mohd Nasir berkata polis turut melakukan serbuan ke atas 44 rumah selepas menerima maklumat daripada orang ramai.
"16 suspek terlibat dalam pelbagai kes seperti melakukan rusuhan, mencederakan orang lain, merompak, pecah rumah, peras ugut dan penipuan telah ditahan," katanya.

Itu Lambang Pengakap, bukan Salib - Jehan Miskin

Posted: 25 Aug 2013 04:25 AM PDT

Jehan Miskin dan isteri dengan gambar yang menimbulkan kontroversi.
KUALA LUMPUR: Pelakon Jehan Miskin menegaskan loket yang dipakai bersama isterinya dalam gambar yang dimuat naik melalui akaun instagram adalah merupakan lambang Persekutuan Pengakap Malaysia (Pengakap) dan bukan simbol salip.
Jehan, 34, berkata, aksesori itu merupakan tajaan daripada Thomas Sabo kerana dia dan isteri Julie Camelia Rhee, 29, merupakan antara pelanggan tetap jenama aksesori tersebut.
"Pada saya jika kita positif ia akan jadi positif, begitu juga sebaliknya. Saya cuba jelaskan yang loket itu bukan lambang salib namun masih ada yang mahu bergaduh.
"Saya hanya muat turun gambar tersebut kerana ingin berkongsi bersama peminat tentang koleksi yang saya dan isteri minati, dan tidak terlintas sampai jadi begini," katanya ketika ditemui pada rumah terbuka Media Prima, di sini, Jumaat.
Jehan berkata demikian ketika diminta mengulas tentang gambar di laman sosial instagram yang menimbulkan kontroversi apabila dia dan isteri mengayakan loket lambang Pengakap yang kononya menyerupai simbol agama lain.
Gambar yang dimuat naik awal minggu lalu mencetuskan rasa tidak puas hati peminat dan pengikutnya yang menganggap penerbit drama What If ini sebagai tidak sensitif.
Kata Jehan, tindakan segelintir pengikutnya di laman sosial tersebut yang melemparkan kata-kata negatif dan mencetuskan perbalahan sesama sendiri sebagai tidak rasional.
"Pada mulanya saya sudah jelaskan dan betulkan salah faham itu, saya cuba jelaskan perkara sebenar tapi bila semakin lama semakin ramai yang bergaduh saya malas nak layan.
"Ada juga yang saya terpaksa padam komen-komen yang melampau mereka dan terpaksa memantau lama sosial tersebut supaya tidka keterlaluan," katanya.
Tambah Jehan sebagai seorang yang dilahirkan dan dibesarkan dalam keluarga Islam, dia masih mengetahui batas-batas sebagai seorang muslim dan sensitiviti agama dan masyarakat negara ini.

Tiada ulasan: