Kelab Greenboc |
- Ketua Menteri, Exco & Adun PR Pulau Pinang Isytihar Harta Secara Terbuka
- Mahkamah Terima Petisyen BN DUN Klian, Kedudukan Lajim Ukin Terancam
- Pak Lah Tolak Perkasa Sebagai Model Perjuangan Melayu
- Ikhwan Tidak Berganjak: Kembalikan Mursi Sebagai Presiden Sebagai Syarat Penyelesaian
- Elak Bil Telefon Bimbit Anda Melambung, Jangan Aktifkan "Data Roaming"
Ketua Menteri, Exco & Adun PR Pulau Pinang Isytihar Harta Secara Terbuka Posted: 07 Aug 2013 01:15 AM PDT Semua 11 ahli exco negeri dan 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Rakyat (PR) Pulau Pinang mengisytiharkan aset mereka semalam. Salinan pengisytiharan aset dari exco dan ADUN dari PR diedarkan kepada pemberita di Komtar, Pulau Pinang. Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata butiran aset termasuk hartanah, pelaburan dan kenderaan bermotor dilaporkan sehingga 5 Mei tahun ini. Berdasarkan pengisytiharan, Lim mempunyai dua rumah kedai di Melaka; dan RM308,368 dalam simpanan tetap, saham dan unit amanah di lapan syarikat. Sebuah rumah kedai dibeli pada harga RM435,000 sementara sebuah lagi dengan harga RM530,000. Lim juga melunaskan pinjaman pembelian dua rumah kedai itu. Beliau tidak mempunyai kenderaaan, menurut The Star hari ini. Phee Boon Poh pula adalah ADUN yang mempunyai hartanah terbanyak di Pulau Pinang dengan memiliki lapan pemilikan hartanah. Phee mengisytiharkan sebuah apartmen di Butterworth; sebuah rumah di Taman Dahlia; sebidang tanah di Teluk Air Tawar; sebuah megapuri di Bagan Ajam dan sebidang tanah di Batu Kawan. Beliau turut mempunyai rumah dan tanah di Hamilton, New Zealand dan mempunyai pegangan saham di 24 syarikat serta enam unit amanah di enam syarikat. Pengisytiharan itu akan dimuatnaik di laman sesawang kerajaan negeri hari ini. - TMI
|
Mahkamah Terima Petisyen BN DUN Klian, Kedudukan Lajim Ukin Terancam Posted: 06 Aug 2013 11:15 PM PDT Kota Kinabalu: Mahkamah Pilihan Raya di sini semalam memerintahkan perbicaraan bagi petisyen kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias yang dimenangi calon PKR, Datuk Lajim Ukin. Hakim Datuk Yew Jen Kee membuat keputusan itu selepas mendapati perkara dibangkitkan calon Barisan Nasional (BN), Isnin Aliasnih berhubung bahan cetak tidak memaparkan nama pencetak dan penerbit serta berlaku rasuah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), perlu dibicarakan. Keputusan itu adalah petisyen pertama diterima untuk dibicarakan oleh Mahkamah Pilihan Raya setakat ini. Jee Kee bagaimanapun memutuskan petisyen terhadap Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Klias dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ditolak kerana perkara ditimbulkan Isnin terhadap dua responden itu tidak memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya. Isnin yang juga Pemangku Ketua UMNO Bahagian Beaufort diarahkan membayar RM10,000 kepada kedua-dua responden terbabit. Pada prosiding itu, Isnin diwakili Jaafar Esteban, Rizuan M Borhan dan Saiful Azian Mokhtar, manakala Lajim oleh Datuk Chau Chin Tang serta Datuk Lawrence Thine. SPR diwakili Peguam Kanan Persekutuan Mohd Radhi Abas. Petisyen Lajim ditolak Pada PRU-13, Lajim menang DUN Klias dengan majoriti 179 undi selepas memperoleh 6,324 undi, Isnin (6,145 undi), Mohd Sanusi Taripin (SAPP) 182 undi, manakala Aliapa Osman (STAR) 71 undi. Pada prosiding sama, Jen Kee turut menolak petisyen Lajim untuk membatalkan keputusan PRU-13 bagi kerusi Parlimen Beaufort dimenangi calon BN, Datuk Azizah Mohd Dun. Keputusan itu dibuat selepas pempetisyen gagal mengemukakan kesalahan pada petisyen mereka mengikut Seksyen 11 (1) (b) Akta Kesalahan Pilihan Raya selain tidak mempunyai merit. -BH |
Pak Lah Tolak Perkasa Sebagai Model Perjuangan Melayu Posted: 06 Aug 2013 07:05 PM PDT Tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum dan komuniti namun ia tidak seharusnya dilakukan dengan cara yang tidak sepatutnya seperti dilakukan Perkasa, kata bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam bukunya. Melalui bukunya berjudul Awakening: The Abdullah Badawi Years In Malaysia, Pak Lah berkata menjadi kesalahan memperjuangkan satu-satu kaum dengan menolak kaum lain. Kumpulan yang diketuai Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zulkifli Noordin mendesak agenda kanan, terutama konsep Ketuanan Melayu, dan mengambil pendekatan keras terhadap mereka yang dilihat sebagai musuh Melayu dan Islam. Menjelang pilihan raya, Perkasa mencetuskan kontroversi apabila mengugut untuk membakar Al-Kitab, Bible berbahasa Melayu, dan juga video menunjukkan Zulkifli mengkritik agama Hindu. Menyentuh konsep Ketuanan Melayu, Abdullah berkata ia tidak seharusnya bermaksud sebagai kuasa mutlak Melayu. "Apa maksud tuan? Bagaimana kamu menjadi tuan? Dengan melakukan apa yang kamu buat - sama ada dalam pembelajaran, profesion, perniagaan. "Hanya kerana kamu Bumiputera, kamu tidak boleh jangka semuanya diserahkan kepada kamu dan panggil kamu sebagai tuan. Ketuanan bukanlah satu hak. Ia perkara yang kamu perlu kerjakan," kata Pak Lah dalam bukunya. Beliau mengakui adanya kebimbangan sesetengah orang Melayu terhadap perjuangan bangsa mereka kerana banyak lagi yang ketinggalan. "Bagaimanapun, kebimbangan itu boleh disalurkan melalui kaedah yang betul, dan bukan melalui cara yang kasar seperti mana tindakan Perkasa,"kata Abdullah. "Saya yakin kita perlu ada sebab dan rasionalnya bila kita berbicara mengenai seseorang," kata Abdullah, yang dipaksa meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2009 selepas Barisan Nasional (BN) yang diketuainya memperolehi keputusan yang teruk dalam pilihan raya. BN buat pertama kali gagal mendapat keputusan dua pertiga dalam pilihan raya itu. Perkasa sentiasa mendapat pembelaan dari bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang sebelum ini mendesak Pak Lah berundur. Ekoran itu ramai pemimpin Umno enggan menyuarakan kritikan terhadap kumpulan berkenaan secara terbuka, khuatir kesan akibat lidah Ibrahim dan akhbar Umno, Utusan Malaysia, satu lagi suara yang memperjuangkan agenda kanan. -TMI |
Ikhwan Tidak Berganjak: Kembalikan Mursi Sebagai Presiden Sebagai Syarat Penyelesaian Posted: 06 Aug 2013 04:05 PM PDT Mesir: Ikhwan Muslimin menegaskan tidak akan menerima sebarang solusi yang dicadangkan mana-mana pihak kecuali pihak tentera bersetuju dengan syarat bahawa Dr Muhammad Morsi perlu dikembalikan sebagai Presiden Mesir yang sah. Kenyataan tersebut dikeluarkan Parti Kebebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul Muslimin sebagai menjawab kepada pertemuan Wakil Menteri Luar Negeri AS, William Burns yang mahu memujuk Ikhwan menerima solusi damai terhadap krisis politik yang berlaku di Mesir. Kunjungan utusan AS itu sendiri adalah yang terbaru dalam penerusan langkah diplomatik menjadi orang tengah antara pendukung Mursi dan pemerintah sementara yang dikuasai tentera. Ikhwan mendakwa, pendirian mereka tidak berubah, agar pihak tentera yang merampas kuasa mengembalikan legitimasi Mesir dengan menyerahkan kembali pemerintahan kepada Morsi yang telah dipilih oleh rakyat negara itu secara sah. Dalam pada itu, Ahram Online melaporkan, Menteri Luar Negeri UEA Abdullah Zayed bersama rakannya dari Qatar Khalid Al-Attiyah serta William Burns telah mengunjungi orang kedua Ikhwanul Muslimin Khairat Asy-Syatir di penjara Tora malam tadi. Ianya sebagai usaha memujuk Ikhwan menerima inisiatif penyelesaian yang mahu dikemukakan bagi menamatkan krisis di negara itu. Namun Al-Jazeera kemudian melaporkan, Asy-Syatir, yang telah ditahan atas "tuduhan rekaan" menghasut pembunuhan, menolak untuk bertemu dengan mereka bertiga itu. "Muhammad Mursi adalah presiden sah Mesir. Mereka harus berbicara kepada Mursi," kata Asy-Syatir seperti dipetik Al Jazeera. |
Elak Bil Telefon Bimbit Anda Melambung, Jangan Aktifkan "Data Roaming" Posted: 06 Aug 2013 05:55 AM PDT Saya terkejut apabila saya mendapat bil seperti itu kerana saya hanya memeriksa e-mel saya semasa makan tengah hari dan makan malam ketika berada di sana. Syarikat telekomunikasi berkata ia disebabkan data roaming saya sentiasa diaktifkan. Walaupun bil saya telah diselesaikan oleh syarikat, saya rasa ia sangat tidak patut," katanya. Seorang pengguna telefon pintar telah berada di Timur Tengah selama 12 hari dan telah menerima satu 'kejutan' bil telefon berjumlah RM122,703 untuk khidmat 'data roaming'. Satu lagi kes berlaku untuk perjalanan selama empat hari ke Singapura dan pengguna dikenakan caj sebanyak RM23,000 kerana memeriksa e-mel dalam tempoh tersebut. Justeru, anda perlu berhati-hati dengan penggunaan telefon pintar. Melayari Internet di telefon bimbit semasa di luar negara boleh menjadikan bil anda melambung tinggi. Jika tidak berhati-hati, ia boleh berakhir dengan caj data yang dikenakan melebihi harga sebuah kereta. Nama-nama besar juga tidak terkecuali berdepan situasi ini. Seorang "mangsa" yang dikenakan caj yang tinggi adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, yang menerima 'bil kejutan' selepas perjalanan yang singkat ke Indonesia. "Saya hanya menggunakan 'data roaming' selama beberapa minit sehingga akhir penginapan saya tetapi saya telah dikenakan bil sejumlah RM4,500 untuk itu," katanya kepada The Star. Menurut Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), aduan terhadap syarikat telekomunikasi meningkat dalam tempoh dua tahun lepas, dengan caj data mudah alih dan caj 'data roaming' menjadi rungutan utama. Pengarah CFM Ahmad Izham Khairuddin menambah: "suatu ketika dulu aduan kebanyakannya mengenai liputan yang buruk, tetapi telah berubah sejak 2011." CFM ditubuhkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2001. Dalam kes yang melibatkan pengadu dengan bil berjumlah RM122,703, CFM menjadi pengantara dan pengguna telah diberi diskaun sebanyak 88 peratus, dengan rebat 10 peratus dan peraturan pembayaran separa. Pengadu, bagaimanapun, masih belum bersetuju dengan penyelesaian tersebut. Dalam kes lain, Sara Kamal (bukan nama sebenar), 45, mengadu bahawa dia telah dihantar bil berjumlah RM23,000 selepas menggunakan servis 'data roaming' selama empat hari semasa perjalanan urusan perniagaan ke Singapura pada tahun 2011. "Saya terkejut apabila saya mendapat bil seperti itu kerana saya hanya memeriksa e-mel saya semasa makan tengah hari dan makan malam ketika berada di sana. Syarikat telekomunikasi berkata ia disebabkan data roaming saya sentiasa diaktifkan. Walaupun bil saya telah diselesaikan oleh syarikat, saya rasa ia sangat tidak patut," katanya. -PBO |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan