Sabtu, 31 Ogos 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Mayat Bayi Dalam Loji Kumbahan UiTM Dungun

Posted: 30 Aug 2013 11:05 PM PDT

Warga kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, dekat sini gempar apabila mayat seorang bayi ditemui dalam loji kumbahan berdekatan Kolej Redang, dekat sini, pagi semalam.

Mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui terapung dalam keadaan tertiarap tanpa pakaian di permukaan loji kumbahan oleh seorang juruteknik syarikat kontraktor, 39, yang ingin memulakan kerja pembersihan di kumbahan tersebut.

Mayat bayi perempuan yang mungkin baru dilahirkan itu dipercayai agak lama dan berkemungkinan masuk ke dalam loji kumbahan itu melalui saluran najis berukuran kira-kira 20 sentimeter dari tandas asrama.

Pemeriksaan awal mendapati bayi terbabit mengalami kecederaan pada bahagian badan, lengan dan tengkorak kepala pecah dan ia berkemungkinan berusia dalam tempoh 48 jam.

Siasatan awal polis mendapati kawasan kejadian berpagar dan dipercayai tidak berkunci semasa kejadian.

Mayat berkenaan kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hosital Dungun untuk pemeriksaan lanjut serta dibedah siasat bagi mengetahui punca kematian.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ismail Abdullah ketika mengesahkan kes berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci daripada pelbagai sudut termasuk melihat rakaman kamera tertutup (CCTV) serta menyoal siasat beberapa saksi yang boleh dikaitkan dengan kes berkenaan.

Menurut Ismail, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan jika sabit kesalahan mereka yang terlibat boleh dikenakan penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, Rektor UiTM Dungun, Profesor Madya Dr Abdol Samad Nawi ketika dihubungi berkata, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan dan menyerahkan kes itu kepada pihak polis.

"Kita tak boleh komen apa-apa, biarlah polis siasat dahulu kes ini kerana ia adalah kes polis," katanya. -SH

[SERIUS] “Ada Peminjam PTPTN Mahu Bunuh Diri”

Posted: 30 Aug 2013 09:00 PM PDT


Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkongsi sebuah kisah tragis yang ditemui dalam soalan terbuka kepada responden dalam kaji selidik Keberhutangan PTPTN yang bermula pada 23 Ogos lalu.

"Banyak jawapan yang saya terima, ada yang memberitahu tidak makan kerana mahu membayar pinjaman.

"Ada satu kisah nak bunuh diri kerana gagal membayar PTPTN," ujar ahli parlimen Pandan itu ketika membentangkan hasil kajian berkenaan di Perpustakaan MBPJ semalam.

"Pada mulanya saya gelak. Tetapi bila fikir balik, perkara ini sebenarnya serius," katanya.

Menurut Rafizi, respon berkenaan diterima dalam soalan terbuka yang dikemukakan kepada peminjam bagi mengenal pasti apakah punca peminjam gagal membayar pinjaman.

"Kita tidak menyediakan pilihan. Sebab kalau tidak nanti orang ramai anggap kajian ini hanya bertujuan menepati kehendak KEADILAN sahaja," katanya. -KDbr>

PKR lancar kaji selidik profail peminjam PTPTN


Parti Keadilan Rakyat (PKR) merintis jalan memahami masalah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan melancarkan satu kaji selidik keberhutangan golongan itu.

Kaji selidik ini wajar disertai semua peminjam PTPTN dengan mengisi satu borang kajiselidik yang boleh dicapai di laman www.siasatptptn.wordpress.com yang akan disebarkan melalui laman sosial dan blog.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, keputusan kajian ini akan dibentangkan dalam satu perjumpaan 'tweetup#PTPTN' yang akan diadakan 29 Ogos ini, jam 8.30 malam di Perpustakaan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya.

"Semua peminjam, aktivis anti-PTPTN dan pemimpin masyarakat turut dijemput hadir dalam 'tweetup' yang bertujuan menyusun gerakan anti-PTPTN dalam sebuah pertubuhan rasmi yang lebih tersusun.

"Sudah masanya peminjam-peminjam PTPTN membentuk satu pertubuhan lobi yang berpengaruh supaya mana-mana pihak berunding dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat cadangan, bagi mengelak berulangnya peristiwa cadangan penyenaraian Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam PTPTN," kata Rafizi dalam sidang media di ibu pejabat parti itu di sini pagi tadi.

Rafizi berkata, sebelum ini Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan sebarang kajian khusus untuk memahami apakah faktor yang menyebabkan majoriti peminjam PTPTN menghadapi kesukaran membayar pinjaman PTPTN.

Antara faktor penting yang perlu dikaji sebelum satu langkah tersusun yang tepat dapat diambil seperti, profil pendapatan bersih peminjam-peminjam PTPTN, profail kejayaan mendapat perkerjaan yang setaraf dengan kelulusan atau jurusan dan profail kualiti IPTS yang membawa kesan kepada kemampuan seorang pemegang ijazah mendapat kerja.

Mengulas cadangan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh untuk menyenaraikan nama peminjam PTPTN ke dalam CCRIS, Rafizi berkata cadangan tersebut menunjukkan bahawa Kerajaan BN begitu terpisah dengan realiti kepayahan hidup golongan muda yang dibebankan hutang PTPTN.

"BN tidak pernah berminat mendalami masalah keberhutangan golongan muda ini dan mengambil pendekatan kasar dengan memukul rata kononnya semua peminjam PTPTN yang menghadapi kesukaran tidak bersyukur dan tidak bertanggungjawab.

"PKR menggesa Datuk Seri Idris Jusoh supaya tidak lagi memandai-mandai mengumumkan langkah baru menekan peminjam PTPTN sehinggalah maklumat ini dikaji sepenuhnya dan dibentangkan di parlimen," ujar Rafizi lagi.

Terdahulu pengumuman Idris untuk menyenaraikan nama peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman PTPTN di bawah CCRIS mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk pemimpin Pakatan.

Terdesak selepas menerima asakan teruk, Jemaah Menteri yang bermesyuarat semalam menolak cadangan tersebut.
-selangorku

Hormati Patriotisme, 51% Rakyat Undi Pakatan Rakyat

Posted: 30 Aug 2013 04:52 PM PDT


Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyifatkan kelesuan rakyat untuk menyambut Hari Kebangsaan ke-56, Sabtu ini, bukan disebabkan hilangnya semangat patriotisme tetapi wujudnya sesuatu yang tidak kena dalam kepemimpinan negara.

Katanya, beliau juga curiga dengan 'patriotisme' pemimpin yang bersedia memperkayakan diri menerusi korupsi dan penyalahgunaan kuasa sehingga mengorbankan hak rakyat dan kepentingan negara.

"Kalangan yang paling nyaring melaungkan 'patriotisme' selalunya adalah penipu sebenar dalam negara. Ada benarnya ungkapan Dr Samuel Johnson bahawa 'Patriotisme adalah jalan akhir bagi penyangat'," katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, kerajaan seharusnya berpijak di bumi nyata dan kembali kepada realiti sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-56 ini.

"Selepas lebih 100 hari Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, majoriti rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum yang mengundi Pakatan Rakyat (PR) dipandang serong dan menjadi sasaran fitnah.

"Selain menghentam kaum Cina dan India, Perdana Menteri juga gagal membuktikan beliau dan kerajaannya berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia.

"Bagaimanapun, belum terlambat untuk rakyat Malaysia merayakan Hari Kebangsaan ke-56 dalam perpaduan dan keharmonian tetapi langkah sulung yang perlu diambil ialah mengakui dan menghormati patriotisme 51 peratus rakyat yang mengundi Pakatan Rakyat dan 47 peratus mengundi Barisan Nasional (BN) pada PRU-13 baru-baru ini," ujarnya.

Menurut Kit Siang, patriotisme bukan semangat yang boleh dipaksa-paksa tapi ia lahir dalam diri setiap rakyat.

Beliau bersetuju dengan Kee Thuan Chye yang menulis artikel terbarunya mengenai patriotisme dan kemerdekaan yang menyatakan 'patriotisme' adalah semangat yang kita sematkan dalam jiwa kecintaan terhadap negara, ia adalah semangat yang membuatkan kita memutuskan untuk mempertahankannya, barangkali juga untuk mati deminya'

"Saya berkesempatan menyebut di Parlimen bahawa disebabkan semangat patriotisme dan cinta saya terhadap negara, demi mengejar Impian Malaysia untuk mewujudkan sebuah negara yang lebih baik bagi semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan daerah, saya bersedia hilang kebebasan apabila ditahan sebanyak dua kali mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri," ujarnya.

"Saya rasa ada sesuatu yang amat tidak kena dalam menyambut Hari Kebangsaan, Sabtu ini.

"Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah memperkenalkan undang-undang mewajibkan setiap premis mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan Merdeka ini, tetapi tiga hari kemudian hasratnya kendur dan mengakui kecewa kerana pejabat kerajaan di Putrajaya sendiri tidak menunjukkan contoh mengibarkan bendera kebangsaan.

"Mengapa perkara ini boleh terjadi? sedangkan pada perhimpunan raksasa Pakatan Rakyat sebelum ini dan selepas PRU-13, rakyat tanpa mengira kaum, agama, daerah, usia, atau jantina berdiri bangga menyanyikan lagu kebangsaan, ini menunjukkan semangat patriotisme dan kecintaan mereka terhadap negara. Ini membuktikan semangat mereka belum lesap," katanya. -Roketkini

Pemerintah Mesir Kembali Mengganas, Tangkap Pemimpin IM Termasuk El-Betagi

Posted: 30 Aug 2013 05:00 AM PDT


Penangkapan terhadap pemimpin Ikhwanul Muslimin terus dilakukan oleh pemerintahan sementara Mesir. Berpuluh orang pemimpin Ikhwanul Muslimin termasuk pemimpin terkenal IM, Mohammed al-Beltagi ditangkap pada hari Rabu (29/8).

Dalam laporan BBC edisi Khamis (29/8) malam, Beltagi yang merupakan Setiausaha Agong Parti Pembebasan dan Keadilan, sayap politik Ikhwanul dituduh menghasut kekerasan. Mantan menteri buruh Khaled al-Azhari juga ditangkap. Penangkapan terus dilakukan terhadap pemimpin Ikhwanul setelah penggulingan presiden Muhammad Mursi.

Pengadilan memerintahkan penangkapan Beltagi pada 10 Julai. Meski ada perintah penangkapan, Beltagi hampir setiap hari muncul di Rabaa al-Adawiyah, tempat kemah para demonstran pendukung Mursi di Kairo. Mantan perdana menteri tersebut juga sering pidato.

Ratusan orang tewas pada awal bulan ini ketika pasukan keamanan menyerbu kamp protes di ibu kota. Di antara mereka yang tewas adalah putri Beltagi, Asmaa yang berusia 17 tahun.

Kritik terhadap Ikhwanul Muslimin di media lebih banyak difokuskan pada Beltagi yang dituduh berada dibalik aksi kekerasan. Dia terus meminta warga Mesir untuk bangkit melawan militer dalam pernyataan yang direkam di video saat bersembunyi.

Sementara itu demonstrasi lanjutan pro-Mursi dilaporkan berlansung hari ini, Jumaat (30/8). Menteri Dalam Negeri memperingatkan pasukan keamanan akan menggunakan peluru tajam melawan demonstrasi yang menyerang institusi publik.



Juru bicara pendokong Mursi yang menamakan kumpulan mereka sebagai Petubuhan Anti-Kudeta, Salah Goma mengatakan, pihaknya akan rerus melakukan demonstrasi aman.

"Kami menyambut seruan demonstrasi. Kami akan terus melakukan protes dengan sopan dan aman," ujar Goma, seperti dikutip dari The National, Jumaat (31/8/2013).

Tiada ulasan: