Kelab Greenboc |
- Ketua Wanita Bermasalah Ini Liabiliti Kepada UMNO, Perlu Lepaskan Jawatan
- [BONGKAR] Masih Ada Ahli Keluarga Menteri, Timb. Menteri Bekerja Di Kementerian
- [BERGAMBAR] Bas Jatuh Gaung Di Genting Highland, 37 Maut, 16 Cedera
- UMNO Hilang Kewarasan, Kitar Semula Pemimpin Rasuah & Bermasalah
- Pembantaian Mesir: MB Selangor Bidas Sikap Lesu & Bisu Najib
Ketua Wanita Bermasalah Ini Liabiliti Kepada UMNO, Perlu Lepaskan Jawatan Posted: 22 Aug 2013 01:00 AM PDT Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil disaran melepaskan jawatannya pada pemilihan parti akan datang kerana dianggap sebagai liabiliti kepada Umno. Timbalan Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Jayum Jawan berkata, kontroversi melibatkan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu boleh menjadi penghalang kepada hasrat Umno untuk melaksanakan proses transformasi. "Apatah lagi, dengan desakan pembangkang yang menuntut ketulusan dalam Umno. Namun, kontroversi Shahrizat telah mengheret parti ke kancah pertandingan peribadi dan menjadikan beliau sebagai liabiliti kepada parti. "Jika benar Shahrizat sayangkan Umno, beliau akan melakukan sesuatu yang baik untuk parti (melepaskan jawatan). Kita tidak tahu sama ada pencabarnya boleh menjadi sebaik beliau, tetapi Shahrizat patut tahu bila hendak berundur," katanya kepada Sinar Harian, semalam. Baru-baru ini, Shahrizat mengulangi pendiriannya untuk mempertahankan jawatan Ketua Wanita Umno yang disandangnya sejak pemilihan 2009. Pendirian itu, katanya, selaras dengan perlembagaan baru Umno yang membenarkan ahlinya bertanding bagi sebarang jawatan. Dalam pada itu, Jayum berkata, setakat ini tiada calon yang dilihat layak mencabar Datuk Seri Najib Tun Razak bagi jawatan Presiden Umno. "Dengan pelbagai agenda transformasi negara yang dilaksanakan Najib, beliau berada di landasan yang betul. Mereka yang ingin mencabar Najib perlu mengemukakan idea yang lebih baik daripada beliau. -SH |
[BONGKAR] Masih Ada Ahli Keluarga Menteri, Timb. Menteri Bekerja Di Kementerian Posted: 21 Aug 2013 10:25 PM PDT Masih ada ahli keluarga sesetengah anggota pentadbiran Najib dibayar kementerian, bercanggah dengan arahan Putrajaya bahawa mereka hanya boleh bekerja di kawasan Parlimen. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim mempunyai anak perempuan yang bekerja di pejabatnya sementara menantu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut bekerja dengannya. Shahidan enggan memberikan komen apabila ditanya oleh The Malaysian Insider. "Tiada sesiapa yang bercakap mengenai perkara ini dan saya juga tidak mahu bercakap mengenainya," katanya apabila ditemui di Majlis Rumah Terbuka Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya semalam. Apabila ditanya lagi sama ada anak perempuannya Nur Shafizah adalah setiausaha sulitnya satu "jawatan yang diwartakan", Shahidan mengulangi tidak mahu bercakap mengenainya. "Cukup-cukuplah mencari kesalahan saya. Saya sudah mengalami masa yang sukar di Parlimen," katanya. Tajuddin juga tidak mahu mengakui atau menafikan menantunya, Firdaus Mufazal Faiz bekerja dengannya. "Mereka tidak tahu hujung pangkal. Ini adalah politik murahan," kata Tajuddin. Pengambilan ahli keluarga untuk "jawatan yang diwartakan" heboh apabila Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dikatakan menggajikan anaknya Muhammad Nedim untuk bekerja di kementerian, membangkitkan tentang isu nepotisme dan kronisme. Datuk Seri Nazri Aziz dakwa gaji anaknya, Nedim bukan dibayar oleh kerajaan. Bagaimanapun, Nazri menjelaskan anaknya, Nedim tidak dilantik secara rasmi sebagai pegawai khas kementerian akan tetapi bekerja dengannya untuk menguruskan anak muda "Gen Y" di kawasan Parlimen Padang Rengas di Perak. Katanya, gaji Nedim tidak dibayar kerajaan tetapi dibayar sendiri olehnya. Sebagai respon terhadap kritikan kepada Nazri, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengatakan tidak ada masalah jika menteri atau anggota pentadbiran kerajaan mengambil ahli keluarga mereka sebagai pembantu jika tidak melibatkan gaji atau elaun dari kerajaan. "Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh ditempatkan di pejabat menteri. "Jadi tiada wang kerajaan yang digunakan untuk membiayai kerja yang anak beliau lakukan kerana itu kerja sukarelawan semata-mata," kata perdana menteri. Najib juga berkata, anggota pentadbirannya boleh megambil ahli keluarga untuk bekerja di kawasan Parlimen. -TMI |
[BERGAMBAR] Bas Jatuh Gaung Di Genting Highland, 37 Maut, 16 Cedera Posted: 21 Aug 2013 06:35 PM PDT Seramai 37 orang termasuk pemandu bas disahkan terkorban dalam nahas bas ekspres yang terjunam 60 meter ke dalam gaung di KM3.6 Jalan Genting Highlands hari ini. Kemalangan berlaku ketika bas yang membawa 49 penumpang itu menuruni jalan curam dari puncak Genting Highlands menuju ke ibu negara. Penolong Ketua Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Datuk Soiman Jahid berkata mangsa yang ditemui meninggal dunia sehingga 8 malam ini ialah 18 lelaki dan 12 wanita. Bagaimanapun kewarganegaraan mangsa yang maut masih belum dapat dipastikan, katanya. Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga kesemua mangsa ditemui. "Kami akan menggunakan unit pengesan K9 untuk mencari mangsa yang kemungkinan tercampak keluar dari bas bagi memastikan tiada mangsa tertinggal di bawah gaung sana," katanya. Beliau berkata seramai 450 anggota bomba, polis dan Jabatan Pertahanan Awam terlibat dalam operasi itu. Seramai 16 lagi mangsa telah berjaya dibawa keluar daripada bas itu dan kini menerima rawatan di beberapa hospital kerana mengalami pelbagai kecederaan dan ada yang dilaporkan kritikal. Hospital Selayang menerima lapan pesakit, Hospital Kuala Lumpur (lima) , Hospital Sungai Buloh dan Hospital Bentong masing-masing dua mangsa. Soiman berkata punca kemalangan masih belum diketahui dan pihaknya juga masih belum menemui saksi kejadian. "Tapi kami merasakan keadaan fizikal jalan ini menuruni cerun. Memanglah cerun ini agak menjunam, jadi sekiranya ia tidak dikawal dengan sempurna menyebabkan bas tergelincir dan jatuh ke gaung. Ini penilaian awal daripada pihak penyelamat," katanya. Sementara itu Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL Datuk Seri Dr Abu Hassan Assari Abdullah pada sidang media berkata kesemua mangsa yang dirawat di hospital itu dilaporkan stabil. Katanya setakat ini 20 mayat telah dihantar ke HKL. Antara warga asing yang cedera dalam nahas itu ialah dari Bangladesh dan Thailand. Berikut senarai yang menerima rawatan di HKL: 1. Wong Teraphong, 63 - Thailand 2. Ali Haider Syed Haider , 46 - Bangladesh 3. Saidah, 19 - Malaysia 4. Razif, 26 - Malaysia 5. Tan Ming Shing, 26 - Malaysia Berikut nama mangsa yang cedera dan dirawat di Hospital Selayang 1. Raawnok Arefin, 14 - Bangladesh 2. Nu Syamimi Ja'afar, 25 - Malaysia 3. Nur Fathiah Ja'afar, 21 - Malaysia 4. Rashidah Buyah, 50 - Bangladesh 5. Andri Purwadi, 25 - Indonesia 6. Nurul Quraitul Aini, 19 - Malaysia 7. Rezyan Arefin, 24 - Bangladesh 8. Nur Fridil Gusman, 23 - Indonesia -- BERNAMA |
UMNO Hilang Kewarasan, Kitar Semula Pemimpin Rasuah & Bermasalah Posted: 21 Aug 2013 07:31 AM PDT Fuziah: Lantikan Shahrizat bazirkan wang rakyat Tidak rasional dan tiada kewajaran melantik semula Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil kepada kedudukan penasihat khas kepada Perdana Menteri dalam isu berkaitan wanita sedangkan kredibiliti beliau terpalit dengan skandal Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) membabitkan suami dan keluarganya, kata Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh. Fuziah menambah, pelantikan Shahrizat ini tiada tambah nilainya di dalam agenda wanita. Ini kerana beliau sendiri gagal memartabat dan membawa nama baik wanita sewaktu memegang portfolio sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 yang akhirnya meletakkan jawatan pada April 2012 selepas ahli keluarganya terlibat dengan kontroversi NFC. Bercakap kepada TVSelangor, Fuziah berkata, jika benar Shahrizat dilantik, beliau akan kembali ke jawatan yang pernah disandangnya suatu ketika dahulu dan wang rakyat akan dibazirkan sekali lagi untuk membayar gaji beliau sebagai seorang menteri. "Sharizat bukan sahaja mempunyai latar belakang berkaitan skandal lembu NFC, beliau juga adalah seorang menteri yang meletakkan jawatan. "Jadi tidak wajar beliau dilantik kepada kedudukan penasihat khas Perdana Menteri dalam hal ehwal wanita. Pelantikan ini juga hanya membazir wang pembayar cukai dan rakyat. "Yang saya lihat hanya akan menghabiskan duit rakyat untuk membayar gaji seseorang yang tidak layak untuk memegang jawatan ini, " katanya. Fuziah turut berpendapat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, perlu berpendirian teguh untuk memerangi rasuah dan sebaiknya membatalkan hasrat pelantikan tersebut. Tambah beliau, tiada keperluan melantik Shahrizat sebagai penasihat khas sedangkan lebih ramai lagi wakil wanita yang selayaknya dilantik ke jawatan itu. "Seorang pemimpin seperti Shahrizat adalah umpama berada dihujung karier politiknya dan rakyat tidak akan rugi membayar gaji beliau sebagai menteri. "Tak perlu lantik Shahrizat. Ramai lagi calon wanita yang layak dan Najib juga mempunyai penasihat berkaitan wanita di dalam Kementerian Wanita dan Keluarga yang di pegang oleh Rohani Karim," ujar Fuziah Shahrizat juga pernah dilantik senator selepas kalah dalam PRU 12 lalu di Parlimen Lembah Pantai kepada Nurul Izzah Anwar. Beliau kemudiannya dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial pada 2008. Beliau juga dijangka akan mempertahankan jawatan Ketua Wanita pada pemilihan Umno yang dijadualkan pada 12 Oktober depan.
|
Pembantaian Mesir: MB Selangor Bidas Sikap Lesu & Bisu Najib Posted: 21 Aug 2013 03:55 AM PDT Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengkritik kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kerana didakwa gagal memainkan peranan dengan baik berhubung isu keganasan di Mesir. Abdul Khalid berkata, kegagalan Malaysia untuk memainkan peranan utama di peringkat antarabangsa untuk mengajak badan dunia menamatkan krisis itu amat mengecewakan. Menurutnya, krisis di Mesir kini menjadi bencana kemanusiaan yang tidak boleh digunakan untuk mendapat kelebihan politik tempatan. "Ini dibuktikan oleh komen Perdana Menteri pada hari-hari awal krisis, di mana beliau menggunakan penderitaan rakyat Mesir sebagai satu peluang untuk mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati terhadap perubahan. "Malaysia sepatutnya memanfaatkan kedudukannya terutama di kalangan negara-negara Islam untuk membawa penyatuan bagi menolak keganasan ini dengan memberi tekanan di peringkat antarabangsa untuk membincangkan krisis di Mesir termasuk pihak yang terlibat melakukan keganasan tersebut," katanya melalui kenyataan akhbar di sini semalam. Abdul Khalid berkata, keganasan berterusan yang mengorbankan ribuan nyawa rakyat Mesir perlu menjadi satu perkara yang membimbangkan semua pihak. Menurutnya, keganasan dan tindakan keras oleh tentera bukan penyelesaian kepada mana-mana krisis politik. Katanya, dalam jangka masa panjang, tindakan sebegini untuk mencapai matlamat politik sentiasa berakhir dengan kegagalan dan penderitaan bagi rakyat. "Seperti keadaan sekarang yang terus berlaku di luar kawalan, kami menyeru semua pihak dalam konflik Mesir untuk menghentikan keganasan dan kembali kepada proses demokrasi yang aman. "Peningkatan keganasan oleh mana-mana pihak bukan sahaja meningkatkan pertumpahan darah tetapi juga merumitkan lagi krisis politik dan sosial hingga semakin sukar dikawal," katanya. Abdul Khalid berkata, tindakan keganasan oleh tentera Mesir ini mendapat kecaman di seluruh dunia. Menurutnya, penggunaan kuasa tentera hanya akan membawa lebih kematian dan melemahkan pergerakan politik dan sosial. Katanya, pihak yang terlibat dalam keganasan sama ada pemimpin-pemimpin tentera atau sebahagian daripada pemimpin kerajaan mesti dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana melakukan jenayah kemanusiaan seperti yang berlaku dalam kes-kes besar melibatkan pencabulan hak asasi manusia seperti konflik di Bosnia-Herzegovina. Beliau berkata, keadilan mesti dilakukan dan proses politik damai berdasarkan prinsip-prinsip demokrasi tulen perlu dimulakan segera. -SH |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan