Sabtu, 10 Ogos 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Awakening Bukan Tulisan Pak Lah - Nik Nazmi

Posted: 10 Aug 2013 12:20 AM PDT

Shah Alam – Buku Awakening, The Abdullah Years in Malaysia bukan hasil tulisan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebaliknya, koleksi artikel penulis berlainan latar belakang termasuk pemimpin pembangkang.

Perkara itu disahkan Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut menyumbangkan artikel di dalam buku tersebut.

Nik Nazmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR berkata, buku yang disunting editor Bridget Welsh dan James UH Chin itu merupakan himpunan pandangan pelbagai pihak mengenai era pemerintahan Abdullah.

"Tema umum buku itu ialah penilaian umum dan pandangan masyarakat sepanjang pentadbiran Abdullah. Kedua-dua editor ada menemubual sendiri beliau.

"Selain itu, buku tersebut turut memuatkan artikel daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin BN dan pembangkang, ahli akademik dan sarjana," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Portal AntaraPos melaporkan artikel dalam buku tersebut turut disumbangkan pemimpin Umno seperti bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohd Khir Toyo, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Bendahari Umno, Datuk Azim Zabidi.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah pula menulis pra-kata buku itu.

Manakala, pemimpin pembangkang pula terdiri daripada Nik Nazmi sendiri, Liew Chin Tong dan Farish Noor.

Bagi sesetengah pihak yang telah membaca sebahagian buku berkenaan mendapati ia lebih kerap membidas Abdullah daripada menceritakan keadaan yang sebenarnya.

Antaranya, Abdullah dilaporkan berkata Tun Dr Mahathir Mohamad adalah seorang pemimpin yang penuh kontradiksi dan sekiranya hasrat bekas perdana menteri itu dituruti, Malaysia hari ini sudah muflis.

Ia juga menceritakan bahawa Abdullah meminta bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu supaya bersara setahun sebelum PRU 2008.

Turut dimuatkan adalah kenyataan Abdullah yang berkata tidak salah memperjuangkan satu-satu kaum di negara ini tetapi perjuangan itu tidak seharusnya seperti yang dilakukan oleh Perkasa.

Bagaimanapun, Tun Mahathir ketika ditemui media baru-baru ini tidak mahu mengulas mengenai dakwaan dalam buku tersebut kerana belum membacanya lagi.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang juga menantu kepada bekas perdana menteri itu juga enggan mengulas lanjut kandungan buku tersebut kerana belum meneliti kandungannya.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, tulisan beliau dalam buku itu lebih memfokuskan kepada kegagalan Abdullah sebagai pemimpin terutamanya selepas PRU 2008.

"Saya melihat Pak Lah mempunyai banyak peluang untuk membuat perubahan. Tetapi beliau gagal menunjukkan kepimpinannya dan mensia-siakan mandat besar diberi rakyat.

"Sebagai penulis, terpulang kepada saya untuk melahirkan pandangan.

Begitu juga terserah kepada pembaca untuk menilainya," katanya.

Pembantu Exco Dari MCA Didakwa Hina Islam Dalam Facebook

Posted: 09 Aug 2013 07:45 PM PDT

Pagoh - Dikatakan berlaku satu lagi kes menghina masyarakat Islam di negara ini menerusi laman Facebook yang didakwa milik seorang pembantu kepada seorang wakil rakyat.

Ia menggambarkan kad hari raya yang tertera kepala babi panggang yang diapit lemang di sebelah kiri dan ketupat di sebelah kanan dengan kata-kata yang menjemput umat Islam menikmati hidangan itu.

Bagaimanapun carian di laman Facebook di akaun yang menggunakan nama 'Alan Tang' mendapati posting kad ucapan itu sudah tidak ada lagi.

Sebaliknya Alan yang merupakan pembantu kepada Anggota Dewan Undangan Negeri Stulang, Andrew Chen Kah Eng dalam posting statusnya mendakwa terdapat individu lain yang meniru foto serta nama pengenalannya di laman Facebook itu dan memfitnahnya dengan posting sedemikian.

"Saya tidak pernah berniat menghina mana-mana agama dan sebaliknya saya amat berbangga kerana berada di negara yang menerima pelbagai agama seperti Malaysia," katanya.

Beliau mendakwa turut menerima panggilan ugutan menerusi telefon pada pukul 9 pagi semalam daripada pemanggil yang menggunakan nombor persendirian.

Alan yang kemudiannya menyedari posting itu lalu membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi, Johor Bharu pada pukul 4.30 petang hari yang sama.

Timbalan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Johor, ACP Nor Azizan Anan mengesahkan polis menerima laporan tersebut dan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasatnya.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut melahirkan rasa kecewa dengan kejadian itu dan berkata ia membuktikan generasi muda kini tidak memahami sensitiviti agama dan kaum.

Beliau yang ditemui pemberita pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Kompleks Seri Pekembar di sini hari ini, berkata negara sudah hampir 60 tahun mencapai kemerdekaan tetapi sejak kebelakangan ini semakin banyak tindakan serta kelakuan antara kaum yang berlaku yang boleh menggugat keamanan negara dan ini amat berbahaya. - Bernama

‘Cina Mahu Zakat’ Satu Hasutan Berbahaya

Posted: 09 Aug 2013 06:30 AM PDT


Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok membuat laporan polis di Balai Polis Sri Petaling, kelmarin terhadap blogger pro-Barisan Nasional (BN) yang memfitnah dengan tuduhan tanpa asas mahu agar wang kutipan zakat 'diberi kepada orang Cina'.

"Saya menolak sekeras-kerasnya hasutan yang menimbulkan kebencian itu, saya juga tidak pernah terfikir supaya wang zakat diberi kepada orang Cina (yang bukan Islam)," tegas beliau.

Pada satu sidang media, Pengerusi DAP Selangor itu menegaskan bahawa artikel 'Cina pun mahu duit zakat – Teresa Kok' yang disiarkan dalam blog, bnbesut.blogspot.com adalah hasutan daripada 'orang gila' dan boleh menimbulkan kebencian orang Islam terhadapnya.

"Ia telah disiarkan di laman sosial secara meluas. Ini adalah jenayah penipuan dan hasutan. Polis perlu menyiasatnya," katanya

Menurut Teresa, beliau juga akan membuat laporan polis terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) terhadap penulis blog itu yang masih belum dikenal pasti.

Teresa menjelaskan, laporan itu amat penting kerana ia adalah tindakan pencegahan daripada 'dihambat' polis sambil merujuk kepada insiden 2008 berhubung isu 'Azan'.

Pada 2008, Teresa Kok pernah menjadi sasaran apabila beliau difitnah pengarang Utusan Malaysia, Zaini Hassan dalam satu artikelnya bertajuk "Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya" yang disiarkan pada 10 September 2008.

Akibatnya, dua hari selepas tulisan itu disiarkan, Teresa Kok ditahan mengikut ISA pada 12 September 2008 selama tujuh hari. Rentetan fitnah yang berbahaya itu, Teresa telah memfailkan saman terhadap Zaini dan Utusan Malaysia pada 9 Oktober 2008 dan perbicaraannya masih belum selesai.

Pada Konvensyen Media Sosial 1Malaysia tahun lalu, Zaini dilaporkan media mengeluarkan kenyataan bahawa sesuatu fakta itu boleh diputar (spin).

"Dalam bentuk penulisan kita ada; satu fakta, satu spin (putar fakta), satu lagi blatant lie (pembohongan terang-terangan)…Kita boleh spin, macam mana kita nak spin sesuatu fakta itu memihak kepada kita, itu okay", kata Zaini

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 lagi, DAP acap kali menjadi sasaran fitnah pihak lawan apabila parti itu dilihat semakin diterima masyarakat Melayu di bandar dan meluaskan pengaruhnya ke kawasan luar bandar dengan pelbagai dakwaan fitnah berbaur perkauman, sentimen keagamaan dan sebagainya.

Hakikatnya, DAP adalah sebuah parti yang jelas dalam perlembagaannya berpegang teguh kepada Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu serta sistem demokrasi berparlimen.-Roketkini

Tiada ulasan: