DUNIACACAMARBA |
- [Gambar] Logo dan Tatu Kongsi Gelap Malaysia
- Lelaki Curi Kabel Telekom Diberkas Orang Ramai
- Hati-hati, Ular Mungkin Berada di dalam kasut Anda
- [Video] Lelaki Mengamuk Rampas Sang Saka Malaya
[Gambar] Logo dan Tatu Kongsi Gelap Malaysia Posted: 31 Aug 2013 05:00 AM PDT [Bernama] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiarkan logo 49 kumpulan kongsi gelap yang diwarta haram. Ketua Penolong Pengarah Kongsi Gelap/Judi/ Maksiat (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata logo berkenaan dipapar dalam laman sosial Facebook PDRM agar orang ramai memahami maksud sesebuah logo itu sekali gus menghindari mereka daripada terlibat dengan sebarang kumpulan kongsi gelap. "Pada peringkat awal ini, kita melalui program kepolisan dan pemeriksaan, akan menasihati orang ramai, yang memiliki atau menampal sebarang logo seperti di kereta dan rumah, supaya menanggalkannya dengan apa cara sekalipun. "Ini juga bagi menghindarkan mereka ditahan pihak polis. Mungkin mereka tidak tahu apa maksud logo berkenaan dan tidak terlibatpun dalam mana-mana kongsi gelap. Namun jika mereka masih berdegil atau dikenal pasti memang terlibat dalam kegiatan itu, tindakan tegas akan diambil," katanya dalam sidang akhbar hari ini. Sidang akhbar itu turut memapar kesemua 49 logo kumpulan kongsi gelap berkenaan dan tatu logo yang dilukis pada badan melalui skrin selain penerangan berkaitan bangsa sesebuah kumpulan. Antara kumpulan kongsi gelap itu ialah Geng 04 yang aktif di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur; Geng 08 aktif di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Perak, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka serta Double 7 yang bergerak aktif di seluruh Semenanjung. Abdul Jalil berkata polis juga akan memantau penggunaan logo terbabit pada kenderaan yang diguna ketika perarakan atau upacara pengebumian. "Kita akan 'turun padang'. Kalau kita lihat ada logo itu diletak pada kenderaan yang membawa mayat, kita akan minta mereka tanggalkannya," katanya sambil meminta ibu bapa memantau pergerakan anak mereka agar tidak terjebak atau menyertai mana-mana kumpulan kongsi gelap. "Melalui risikan dan siasatan kita, setakat ini belum ada laporan pelajar sekolah di seluruh negara mengetuai mana-mana kumpulan kongsi gelap. Namun ada maklumat mengatakan kumpulan ini cuba mempengaruhi pelajar terutama di sekolah yang bermasalah. "Mereka (kumpulan) akan berada di luar kawasan sekolah untuk memujuk pelajar agar menyertai mereka. Ada juga maklumat yang mengatakan kumpulan ini cuba merekrut pelajar di dalam kawasan sekolah, namun hasil tindakan pantas Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta polis yang ditempatkan di dalam sekolah, perkara ini dapat dihindarkan," katanya. Mengulas penglibatan golongan atasan seperti ahli politik dan selebriti dalam kegiatan itu, Abdul Jalil berkata setakat ini, polis tidak mendapat maklumat mereka terlibat, namun siasatan lanjut akan dijalankan. Beliau berkata mereka yang terbabit dalam kumpulan kongsi gelap boleh dihukum mengikut Seksyen 52 (3) Akta Pendaftaran Pertubuhan 1956 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun, atau denda RM15,000, jika sabit kesalahan. Katanya, seramai 28,926 orang dari kaum India dikesan menganggotai kongsi gelap, Cina (8,214) dan Melayu (1,923) manakala tiada penglibatan warga asing dalam kumpulan itu di negara ini. "Ada antara mereka pernah ditahan di bawah undang-undang Akta Darurat," katanya sambil menafikan tumpuan lebih diberikan kepada kaum India kerana mereka paling ramai dikesan terlibat dalam aktiviti itu. Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi, yang mengumumkan nama kongsi gelap terbabit semalam, berkata kumpulan itu dikategori haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013. Beliau berkata kumpulan itu dikesan menjalankan kegiatan yang memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara. |
Lelaki Curi Kabel Telekom Diberkas Orang Ramai Posted: 31 Aug 2013 12:00 AM PDT Tumpas Lepas 9 Jam Dikepung [SH] ALOR KELADI - Usaha dua lelaki meloloskan diri daripada kepungan orang ramai selepas dipercayai mencuri kabel telekom di Kampung Bukit Rambutan, dekat Telaga Nibong tidak berhasil, apabila berjaya ditangkap kira-kira sembilan jam kemudian. Sebelum itu, beberapa penduduk Kampung Kayu Kelat yang berkawal di kawasan tersebut, terserempak dengan kedua-dua lelaki dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta jenis Mazda, kira-kira jam 5 pagi kelmarin. Penduduk percaya mereka adalah pencuri kabel telefon sebelum cuba menahan suspek, bagaimanapun selepas menyedari kehadiran orang ramai mereka melarikan diri dengan kenderaan tersebut. Menurut sumber, penduduk bertindak mengejar suspek, bagaimanapun selepas sampai di Kampung Kayu Kelat, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian, suspek keluar dari kereta kerana dipercayai kenderaan itu tidak dapat bergerak laju akibat berat muatan kabel yang dicuri. "Kedua-dua suspek meninggalkan kereta mereka lalu melarikan diri ke kawasan semak di tengah sawah berhampiran. "Penduduk yang keluar beramai-ramai telah mengepung kawasan belukar tersebut, namun pada jam 7 pagi, dimaklumkan ada orang terserempak dengan suspek berkenaan berjalan kaki di Kampung Gong Duek, Hulu Besut beberapa kilometer dari situ," katanya. Katanya lagi, menyedari mereka dikesan penduduk, suspek menyembunyikan diri dalam semak berhampiran kawasan tanah perkuburan Islam Kampung Gong Duek, sebelum dilihat penduduk kampung pada jam 12.30 tengahari melalui sawah menghala ke arah Kampung Alor Keladi. Sejurus selepas itu, penduduk bertindak mengepung kawasan berkenaan dan berjaya memberkas suspek pada jam 1.30 petang di Kampung Alor Keladi sebelum diserahkan kepada polis pada jam 2 petang. Dalam kejadian itu, salah seorang penduduk cedera ringan akibat bergesel dengan kereta suspek ketika cuba menangkap mereka. Menurut sumber lagi, sebelum ini, suspek berkenaan dipercayai telah empat kali menjalankan aktiviti mencuri kabel telefon di lokasi sama dan kali terakhir pada Ramadan lalu. Malah, mereka juga dikatakan pernah mengugut seorang warga emas dengan parang kerana menegur perbuatan mereka ketika terserempak semasa pulang solat Subuh, pada malam sama. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan tangkapan tersebut. Menurutnya, dua suspek tersebut berusia 24 dan 35 tahun dari Kampung Batu 13, Hulu Besut dan kedua-dua positif dadah selain mempunyai rekod lampau berkaitan penyalahgunaan dadah. "Polis turut menemui kabel telefon dianggarkan sepanjang 250 meter di dalam kereta suspek dipercayai dicuri di tempat kejadian," katanya. |
Hati-hati, Ular Mungkin Berada di dalam kasut Anda Posted: 30 Aug 2013 11:00 PM PDT [SH] KUALA KURAU - Keterujaan seorang remaja bermain sepak takraw hampir mengundang padah apabila dia tidak menyedari kewujudan seekor ular tedung yang berada di dalam kasutnya, petang kelmarin. Mujurlah remaja berkenaan bertindak segera membuka kasutnya setelah merasakan dia terpijak sesuatu benda yang lembik dan sejuk, jika tidak dia pasti dipatuk oleh haiwan berbisa itu. Dalam kejadian jam 6 petang di Kampung Parit Mat Ali di sini, Marzuki Ahmad Pauzi, 18, berkata, dia menyarung kasut yang diletakkan di luar rumah untuk bermain sepak takraw di gelanggang berhampiran. Menurutnya, kaki terasa sejuk dan lembik sewaktu menyarung kasut, namun dia tidak mengendahkan kerana menyangka plastik. "Bagaimanapun, beberapa minit selepas itu, saya merasakan benda 'sejuk dan lembik' itu bergerak-gerak dan saya segera mencabut kasut. "Alangkah terkejutnya apabila mendapati 'benda' yang berada di dalam kasut sepuluh minit lalu merupakan ular tedung senduk dan saya segera melepaskan kasut ini," katanya sewaktu ditemui media di rumahnya di sini semalam. Marzuki berkata, dia mengenali spesies ular itu melalui bentuk seakan-akan huruf 'O' yang terdapat di kepala ular itu sewaktu ia sedang mengembangkan kepala. Menurutnya, haiwan berbisa itu turut menunjukkan isyarat seolah-olah hendak menyerang, bagaimanapun salah seorang abangnya yang kebetulan berada di tempat kejadian bertindak memukul ular tedung senduk itu dengan sebatang kayu. "Saya amat bersyukur haiwan itu tidak mematuk kaki saya sewaktu menyarung kasut, jika tidak sudah pasti perkara buruk terjadi pada saya," katanya. Katanya, ular tedung senduk itu berukuran setengah meter panjang dan dipercayai datang dari arah sawah padi berdekatan. "Saya menjadi serik hendak meletakkan kasut di luar rumah berikutan bimbang 'pisang berbuah dua kali," katanya. |
[Video] Lelaki Mengamuk Rampas Sang Saka Malaya Posted: 30 Aug 2013 09:46 PM PDT Mamat yang merampas bendera Sang Saka Malaya itu kini menjadi pujaan pengguna internet terutamanya yang berbangsa UMNO dan yang tidak mengetahui sejarah Sang Saka Malaya. P/s: Nasib baik kumpulan yang terdiri daripada Pak Samad dan Adam Adli ini tidak bertindak balas. Jika mereka bertindak balas, anda boleh baca cerita sensasi mereka dalam media. |
You are subscribed to email updates from DUNIACACAMARBA (DCM) To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan