Sabtu, 17 Ogos 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Guna alasan teknikal, mahkamah ketepi video kecurangan PRU 13

Posted: 17 Aug 2013 12:54 AM PDT


istana kehakiman

SHAH ALAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal berikutan Mahkamah Pilihan Raya mengetepi bukti kecurangan pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) sekalipun dalam bentuk rakaman video.

Naib Presiden PKR, N Surendran kesal kerana petisyen bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh itu disertai bukti kukuh berbentuk rakaman video yang memaparkan perbuatan merasuah RM100 kepada kira-kira 24,000 pengundi.

"Memang kita kecewa dan tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah. Kita harap mahkamah tidak gunakan alasan teknikal untuk tolak petisyen. Kita tidak puas hati dan ia tidak selari dengan undang-undang.

"Petisyen tidak wajar ditolak atas sebab teknikal sehinggakan peguam pemohon membuat penyerahan, ia terus tidak diterima mahkamah, terlalu teknikal," katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah semalam yang menolak petisyen yang difail PKR bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh dengan alasan teknikal yang dianggap remeh.

Ini berikutan dua petisyen yang difail calon kerusi itu, Madhi Hasan dan seorang pengundi parlimen itu, Azmi Sulaiman, ditolak dengan alasan tidak disertakan nama peguam.

Mahkamah Pilihan Raya Ipoh itu dikatakan hanya membenarkan pempetisyen atau peguamnya memfailkan petisyen berkenaan dan bukan firma guaman.

Pada PRU 13, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memperoleh majoriti 2,108 undi, mengalahkan Madhi bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh.

Surendran berkata, keputusan itu boleh menimbulkan tanggapan negatif kewibawaan institusi kehakiman yang sepatutnya bebas dalam mengendalikan petisyen pilihan raya.

Bagaimanapun, katanya, PKR akan meneruskan proses perundangan bagi petisyen Bagan Datoh dengan memfail rayuan.

"Kita akan meneruskan perjuangan membuktikan bahawa kemenangan PRU 13 dicuri oleh BN. Kita tidak akan berhenti berjuang membuktikan fakta itu kepada rakyat," katanya.- FZL

Selangor perkemas usaha tangani keganasan rumah tangga

Posted: 17 Aug 2013 12:53 AM PDT


rodziah pc green 20 jul 01

SHAH ALAM : Kerajaan Umno BN perlu memaksimum penguatkuasaan undang-undang dalam menangani segala bentuk keganasan terhadap wanita, kata Rodziah Ismail.

Sebagai kerajaaan Persekutuan, Exco Hal Ehwal Wanita itu, berkata Umno BN harus bersungguh-sungguh membanteras jenayah berkenaan termasuk penguatkuasaan undang-undang.

"Memang bukan mudah tetapi dengan kesungguhan, ia (pencegahan jenayah rumah tangga) pasti dapat dilaksanakan," katanya pada kenyataan media, semalam.

Beliau mengulas sebaran video berdurasi dua minit 20 saat di media sosial yang memapar kejadian seorang wanita dibelasah suaminya di dalam lif di Pulau Pinang, 12 Ogos lalu.

Video itu dikatakan dimuat naik adik mangsa, Mohd Yunus Ahmad Ramli 31, Selasa lalu selepas kecewa dengan alasan polis yang tidak berbuat apa-apa selepas laporan dibuat.

Suami mangsa, Mohammad Affandi Ismail, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas tuduhan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Di sebalik kegagalan kerajaan Persekutuan, Rodziah berkata, kerajaan Selangor giat memperkemas usaha pencegahan, perlindungan dan pendakwaan bagi menangani jenayah keganasan terhadap wanita.

"Kita akan laksanakan program polis komuniti di kawasan perumahan, letak kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi strategik, beri peruntukan RM500,000 untuk pertingkat perkhidmatan Pusat Krisis Sehenti (OSCC), selain menambah pusat perlindungan," katanya.- FZL

Pemuda PAS Kuala Terengganu dapat ketua baru

Posted: 17 Aug 2013 12:41 AM PDT

BULETIN ONLINE

KUALA TERENGGANU – Mesyuarat Agong Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Terengganu (DPPNT) kali ke 31 yang berlangsung di markaz Tarbiyah Kuala Ibai dekat sini pada Jumaat 16 Ogos, menyaksikan perubahan kepimpinan utama sayap PAS itu bagi penggal 2013 hingga 2015.

Ustaz Wan Mohd Faizul Wan Abas dipilih dan dilantik menjadi Ketua yang baru menggantikan penyandangnya Ustaz Ahmad Kamal Ali yang bersara wajib melepasi usia pemuda 40 tahun.

wan faizul

Sebelas orang ahli jawatankuasa DPPPNT yang baru selain Faizul adalah Azrin Aris, Mohd Nasir Abdul Razak, Tuan Fauzan Tuan Puteh, Al Ghazali Abu Bakar, Najmuddin Mohamad, Khairul Ariffin Che Ali, Wan Mohd Mizan Wan Abdul Latiff, Nafizul Ismail, Syed Ahmad Syed Mohamed, dan Mohd Azhari Abdul Aziz.

Mesyuarat Agong DPPNT tersebut dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS, YB Ustaz Nasruddin Hasan.
Dalam ucapannya, beliau menekankan aspek pemerkasaan parti dan pengukuhan kepimpinan pemuda. Beliau menyatakan harapan agar pemuda menjadi nadi perubahan yang kuat dalam membawa Islam dalam masyarakat.

Nasruddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh berharap perwakilan memilih pimpinan yang mampu membawa pendekatan yang sederhana, dengan ertikata tidak terlalu gopoh dan tidak terlalu lembab dalam gerakerja parti.

Manakala Wan Mohd Faizul Wan Abas, 38, yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Terengganu, berharap para pemuda dapat meningkatkan aspek taqwa dalam melaksanakan aktiviti yang melibatkan hubungan dengan manusia dan Allah.

Beliau berharap para pemuda dapat meningkatkan kerjasama dalam setiap gerakerja pemuda pada masa akan datang dan meminta para pemuda menegur serta memberi nasihat kepadanya, ketika melaksanakan amanah sebagai ketua.

Genius Aulad tadika unik

Posted: 17 Aug 2013 12:22 AM PDT

Genius Aulad Sebanyak 40 cawangan tadika ini dijangka dibuka, menjelang tahun depan.
Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak menjadi salah satu perkara penting kepada pembangunan negara dalam melahirkan modal insan yang berguna.

Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia yang dibentangkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu, kerajaan komited melaksanakan transformasi sistem pendidikan negara untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Justeru itu, pusat pendidikan awal kanak-kanak Genius Aulad International Group Sdn Bhd (Genius Aulad) bertekad menyahut seruan kerajaan dengan memberi tumpuan khusus kepada pendidikan tahun-tahun terawal dalam pembesaran kanak-kanak.

Dengan moto pembelajaran menjangkaui bilik darjah, di Genius Aulad, kanak-kanak bukan sahaja diajar membaca dan menulis, bahkan juga diterapkan nilai-nilai murni agar menjadi insan yang berakhlak mulia serta dihormati.

Pengarah Urusan Genius Aulad, Zaliza Alias berkata, penubuhan Genius Aulad pada asasnya ialah untuk memberi pendidikan Islam yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama.

"Idea untuk menubuhkan pusat ini tercetus pada 2000. Ketika itu, saya bekerja sebagai pensyarah Bahasa Inggeris. Dalam masa sama, saya juga adalah ibu kepada tiga orang anak.

"Melihat tidak adanya pusat pendidikan awal kanak-kanak yang menekankan pendidikan Islam menggunakan Bahasa Inggeris, saya telah mengambil keputusan untuk membuka Genius Aulad yang lebih menitikberatkan bahasa itu," katanya ketika ditemui Sinar Harian, di Shah Alam, baru-baru ini.

Sasar buka 40 cawangan baru

Selain tadika, Genius Aulad juga telah memperluaskan perniagaan dengan menubuhkan Genius Aulad Master yang menguruskan soal operasi sekolah serta francais.

Sementara itu, Akademi Under The Lemon Tree (UTLT) yang menekankan aspek mendidik anak-anak ketika berada di rumah yang melibatkan ibu bapa dan guru turut ditubuhkan, selain memberikan perkhidmatan kepada pembinaan kemudahan di setiap cawangan Genius Aulad.

"Menjelang penghujung tahun depan, kami sasarkan untuk membuka lebih 40 cawangan Genius Aulad di seluruh negara.

"Setakat ini, kami telah beroperasi di sekitar Lembah Klang, Kedah, beberapa tempat di Melaka dan Johor serta tidak lama lagi akan beroperasi di Pahang dan Terengganu," katanya.

Mengulas mengenai perniagaan francais, Zaliza berkata, setiap individu yang ingin membuka francais di bawah jenama Genius Aulad perlu menjalani kursus selama setahun sebelum diluluskan untuk membuka francais tersebut.

"Kami amat menitik beratkan soal kualiti dalam pendidikan. Jadi mereka yang ingin membuka francais perlu menjalani latihan yang akan kami sediakan agar mutu perkhidmatan serta matlamat untuk memberi pendidikan yang terbaik kepada kanak-kanak dicapai.

"Di samping itu, latihan yang dilalui juga dapat mewujudkan dan menjaga hubungan baik dengan bakal francaisi supaya dapat bergerak sebagai satu pasukan. Biasanya apa saja yang dirancang untuk kebaikan tadika ini akan dilakukan bersama-sama dan masing-masing diberikan peluang untuk terlibat,' katanya.

Bukan hanya kelas biasa

Menurut Zaliza, terdapat pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak pengurusan sepanjang sesi pembelajaran berlangsung yang dianggap penting untuk mengasah bakat kanak-kanak serta mendedahkan mereka kepada dunia yang sebenar.

"Antara aktiviti tahunan kerap kami lakukan adalah acara sukan, perkhemahan, lawatan, persembahan teater dan banyak lagi. Uniknya di sini, setiap tahun acara yang berlangsung mempunyai tema.

"Contohnya baru-baru ini, sukan kami bertemakan sukan kampung. Amat menyeronokkan apabila melihat kanak-kanak bermain sukan kampung seperti teng-teng, galah panjang, congkak, batu seremban dan macam-macam lagi," katanya.

Menurut Zaliza, Genius Aulad juga amat menitikberatkan soal keselamatan di kawasan tadika dengan cawangan tadika itu dilengkapi CCTV yang berfungsi sepanjang 24 jam bagi mengawal kanak-kanak, guru-guru serta orang luar.

"Begitu juga dengan permukaan lantai, kami hasilkan sendiri lantai yang tidak mudah licin untuk elak kanak-kanak terjatuh. Lantai kami telah diiktiraf selamat serta menjadi contoh kepada pusat pendidikan yang lain," katanya.

Menurut Zaliza, sepanjang 13 tahun Genius Aulad beroperasi, seramai 11,000 kanak-kanak telah berdaftar di bawah pusat pendidikan awal kanak-kanak itu.

"Alhamdulillah, setakat ini banyak maklum balas yang kami terima, ibu bapa berpuas hati dengan perkhidmatan yang kami sediakan.

"Saya berharap, kami mampu terus bersaing dalam memberikan perkhidmatan pendidikan berkualiti tinggi sejajar dengan saranan kerajaan untuk melahirkan kanak-kanak yang pintar dan cerdas," katanya.

Keputusan petisyen diketahui dalam masa terdekat

Posted: 17 Aug 2013 12:18 AM PDT

SINAR HARIAN

KOTA KINABALU - Mahkamah Pilihan Raya menetapkan 29 Ogos untuk memutuskan bantahan awal berhubung petisyen bagi kerusi Parlimen Kudat dan 10 September sama ada membatalkan petisyen bagi Parlimen Tawau.

Hakim Datuk Yew Jen Kee berkata beliau perlu meneliti lebih lanjut hujah balas petisyen bagi Parlimen Kudat yang difail calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rahimah Majid.

Rahimah menamakan pemenang kerusi itu Datuk Abd Rahim Bakri, yang juga Timbalan Menteri Pertahanan, Pegawai Pilihan Raya Sebastian Lim dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden.

Dalam petisyen itu, antara lain, Rahimah membangkitkan isu rasuah dan amalan rasuah, penggunaan daftar pemilih yang salah, salah laku dan sekatan tidak sah terhadap ejen mengundi.

Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, Abd Rahim yang meraih 21,883 undi menang dengan majoriti 12,736 undi menewaskan Rahimah (9,507 undi), calon Star Jutirim Galibai Galabi (3,083 undi) dan Mojurip Diyun (963 undi) dari Parti Maju Sabah.

Bagi petisyen kerusi Parlimen Tawau, Yew menetapkan tarikh itu bagi membolehkan hujah tambahan serta jawapannya disediakan pada 19 Ogos dan 23 Ogos.

Dalam petisyen itu, calon PKR Datuk Kong Hong Ming menamakan SPR, Pegawai Pilihan Raya negeri Sabah, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Tawau dan pemenang kerusi berkenaan Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai responden.

Kong mendakwa kemenangan Yap, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, tidak selaras prinsip yang mengkehendaki responden pertama dan kedua serta pegawainya mengendali pendaftaran pemilihan secara teratur selain mengekalkan satu daftar yang hanya mengandungi warga Malaysia yang layak mengundi.

Beliau mendakwa daftar pemilih bagi kawasan Tawau dicemari dengan penipuan dan perjalanan pilihan raya berkenaan tidak sah di sisi undang-undang.

Yap memenangi kerusi Parlimen Tawau dalam pertandingan empat penjuru dengan meraih 21,331 undi bagi menewaskan Kong yang memperoleh 16,352 undi, calon SAPP Datuk Dr Chua Soon Bui (633 undi) dan calon Bebas Ahmad Awang (553 undi). - Bernama

Guna ahli keluarga di pejabat MP tidak mengapa

Posted: 17 Aug 2013 12:13 AM PDT

SINAR HARIAN
Najib Tun Razak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
PEKAN - Menteri Kabinet atau Anggota Parlimen boleh menggunakan anggota keluarga mereka sebagai pembantu khas di kawasan parlimen masing-masing, kata Datuk Seri Najib Tun Razak. 

Perdana menteri berkata mereka boleh menggunakan khidmat anggota keluarga asalkan tidak menggunakan peruntukan kerajaan atau mencampuri urusan dalam kementerian.

"Ini prinsipnya, prinsipnya ahli keluarga tidak boleh ditempatkan di pejabat menteri," katanya kepada pemberita di majlis rumah terbuka Aidilfitri beliau di Taman Tasik Abu Bakar di sini hari ini.

Merujuk kepada anak lelaki Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, perdana menteri berkata beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Mohamed Nazri bahawa anaknya, Muhammad Nedim, hanyalah menjalankan tugas sebagai pembantu khas bagi membantunya secara sukarela di kawasan Parlimen Padang Rengas.

"Jadi tiada wang kerajaan yang digunakan untuk membiayai kerja-kerja yang anak beliau lakukan kerana itu kerja sukarelawan semata-mata," katanya.

Ditanya tindakan pihak pembangkang terus mempolitikkan isu itu, Najib berkata pembangkang sebenarnya dilihat lebih teruk daripada isu yang dibangkitkan mereka itu.

"Saya difahamkan ada juga amalan yang lebih berat daripada itu dilakukan oleh pemimpin parti pembangkang, tetapi ia terpulang pada pihak lain untuk tentukan perkara ini," katanya.

Mengulas mengenai pemindahan pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir, perdana menteri berkata kerajaan akan membuat persiapan logistik sekiranya keadaan di negara itu semakin tidak terkawal.

"Kita buat persiapan logistik jika keadaan lebih buruk berlaku, kita tiada pilihan selain membawa pulang rakyat kita di sana terutamanya pelajar-pelajar kita, kita kena utamakan keselamatan mereka," katanya. - Bernama

Penganalisis Gambarkan Keputusan Pemilihan CEC DAP Hampir Sama Dengan Pemilihan Terdahulu

Posted: 17 Aug 2013 12:10 AM PDT



PETALING JAYA: Keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP merupakan cerminan kepada pemilihan pada Disember 2012, kata ahli-ahli politik DAP dan penganalisis.

"Penyelarasan mungkin sedikit berbeza, tetapi muka-muka yang sama mungkin akan menang," kata penganalisis politik Dr James Chin.

"Paling tidak, akan ada dua muka baru. Saya fikir pecahan mengikut kaum juga akan kekal lebih kurang sama - dua muka Melayu dan seorang India, atau mungkin sebaliknya."

Ini juga yang telah disuarakan oleh penganalisis politik bebas Khoo Kay Peng, yang berkata "tiada hasil yang mengejutkan" akan diperolehi.

Khoo berkata "pucuk pimpinan" akan menunjukkan barisan calon dan perwakilan akan bersetuju dengannya.

"Ia hanya satu formaliti untuk berurusan dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS)," katanya kepada The Star Online.

PM Arah Persiapan Bawa Pulang Pelajar Malaysia Di Mesir

Posted: 17 Aug 2013 12:07 AM PDT

MSTAR ONLINE
 
PEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan segala persiapan untuk membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir dilakukan berikutan keadaan di negara itu yang kini di ambang perang saudara.

Beliau berkata kerajaan ketika ini memantau dengan teliti setiap perkembangan terkini yang berlaku di negara itu.

"Sekiranya keadaan itu menjejaskan keselamatan (para pelajar) mereka akan dibawa pulang...segala persiapan akan dibuat sebab keadaan di sana kini dilihat berada di ambang perang saudara sebab kita tak tahu apa yang akan berlaku dalam sehari dua ini," katanya ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri di sini, Sabtu.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri lebih 50,000 pengunjung itu ialah isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Perdana Menteri berkata apa yang berlaku di Mesir itu perlu dijadikan iktibar kerana tuntutan perubahan yang dilakukan rakyat tidak semestinya membawa kepada perubahan seperti yang diharapkan.

"Ini adalah sebagai pengajaran yang boleh diambil iktibar kepada sesiapa yang diberi kepercayaan, bukan sahaja proses demokrasi berlaku, tapi apa yang boleh kita lakukan setelah dapat kepercayaan dari rakyat...kalau kita tuntut perubahan, tapi penyudahnya tidak seperti yang kita harapkan," katanya.

Najib berkata rakyat di negara ini perlu sedar bahawa sebarang perubahan terutamanya hasutan untuk berubah oleh pihak-pihak tertentu tidak semestinya akan membawa perubahan yang memberi manfaat kepada rakyat.

"Ada perubahan yang membawa kebaikan, dan mungkin yang akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk, pengajarannya, rakyat kita jangan terpedaya dengan hasutan seperti 'ubah', 'ini kali lah', kita tak tahu apa kesudahan sama ada pihak yang kita beri kepercayaan itu mampu tadbir negara kita lebih baik daripada yang dikecapi sebelum itu," katanya.

Najib berkata, prinsip demokrasi mestilah mempunyai wasatiyyah dan tidak memerlukan fahaman yang fanatik atau ekstrem.

"Kita mesti ada nilai-nilai yang menolak kekerasan dan fahaman yang fanatik atau ekstrem, kalau tidak ada prinsip wasatiyyah maka berlaku lah keadaan di mana satu pihak akan mengenepikan pihak yang lain," katanya.

Beliau berkata pengalaman dalam menangani isu pencerobohan di Lahad Datu, Sabah misalnya, Malaysia berjaya menanganinya dengan cara yang lebih berhemah tanpa mencabul hak asasi manusia.

"Islam mewajibkan kita mempertahankan kedaulatan, dalam isu Lahad Datu, kita cari jalan perdamaian dan menggunakn budi bicara dan tindakan kita itu adalah tindakan yang tidak mencabul hak asasi manusia, atau memusnahkan nyawa dan harta benda," katanya. - BERNAMA

30 Adakan Protes Di Luar Kedutaan Mesir

Posted: 17 Aug 2013 12:06 AM PDT



KUALA LUMPUR: Lebih daripada 30 orang mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan Mesir terhadap keganasan politik di Mesir.

Kumpulan yang terdiri daripada sembilan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Ikatan Muslimin Malaysia dan Perkasa berkumpul di luar kedutaan di Jalan Ru, di sini pada pukul 10 pagi, Jumaat.

Penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk yang menyokong bekas Presiden Mesir Mohamed Morsi, yang digulingkan oleh tentera pada awal Julai.

"No Sisi, Yes Morsi," antara yang ditulis pada sepanduk dalam demonstrasi aman itu.

Kira-kira 20 anggota polis berada di tempat kejadian.

Bercakap kepada pemberita selepas perhimpunan, Presiden Ikatan Muslimin Malaysia Abdullah Zaik Abd Rahman mengutuk tentera Mesir yang membunuh beratus-ratus orang awam Mesir.

"Kami berada di sini untuk membantah apa yang telah berlaku - pembunuhan orang awam beramai-ramai dan mengambil alih kerajaan yang dipilih rakyat," katanya.

Beliau berkata, keganasan di Mesir bukan sahaja akan memburukkan lagi keadaan di negara itu, tetapi juga akan merebak dan mempengaruhi umat Islam di seluruh dunia.

"Kami tidak menyokong Morsi kerana beliau adalah Morsi, tetapi kerana beliau adalah pilihan yang sah daripada orang-orang (Mesir)," katanya.

Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali menuntut orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai dikecam sebagai penjenayah.

Pengerusi Yayasan Nassar Datuk Nasharudin Mat Isa berkata, beliau kecewa dengan tindakan dunia Islam ke atas keganasan.

Kumpulan itu kemudian menyerahkan satu memorandum kepada pegawai kedutaan sebelum bersurai kira-kira jam 11 pagi.

Harga getah dijangka naik minggu depan

Posted: 17 Aug 2013 12:03 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Harga getah Malaysia dijangka meningkat minggu depan berikutan data ekonomi yang bertambah baik dari China dan Amerika Syarikat, kata para peniaga.

Beliau berkata keadaan permintaan dan penawaran serta pasaran niaga hadapan akan menjadi faktor utama yang akan mempengaruhi harga komoditi tersebut.

Seorang peniaga menjangka pasaran menyaksikan permintaan yang diperbaharui di pasaran tempatan setelah lebih ramai pedagang kembali dari cuti.

 "Pasaran agak lengang minggu ini setelah kebanyakan pedagang belum kembali dari cuti Hari Raya Aidilfitri dan cuti sekolah," katanya. Pasaran getah Malaysia juga akan mengikuti pergerakan di Bursa Komoditi Tokyo (TOCOM) dan Bursa Niaga Hadapan Shanghai minggu depan, katanya. Bagi minggu yang baru berakhir, harga getah bergerak dalam jajaran kecil seiring dengan TOCOM.

Harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi gred tayar SMR 20 meningkat 43 sen untuk mengakhiri minggu pada 776.50 sen sekilogram berbanding 733.50 sen sekilogram pada Rabu lepas.

Lateks pukal menokok 19 sen kepada 533.5 sen sekilogram daripada 514.50 sen sekilogram sebelumnya.

Harga penutup tidak rasmi bagi gred tayar SMR 20 naik tiga sen kepada 780 sen sekilogram dan lateks pukal meningkat 0.5 sen kepada 534 sen sekilogram. - Bernama

Pembangkang: Sesuatu harus dilakukan berhubung peningkatan kes tembak

Posted: 16 Aug 2013 11:52 PM PDT

OLEH LEE SHI-IAN


















Alasan polis peningkatan kes jenayah tembakan yang menggemparkan negara baru-baru ini akibat pergeseran antara kumpulan kongsi gelap, satu alasan yang tidak rasional menurut parti pembangkang DAP.

"Mereka patut jalankan siasatan dan menjadikan usaha memerangi jenayah sebagai satu keutamaan," kata Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua (gambar).

Beliau turut mempersoalkan apakah benar terdapat perang antara kongsi gelap seperti dijelaskan polis melibatkan bekas tahanan Akta Ordinan Darurat (EO).

 "Polis tidak mengumumkan secara spesifik penglibatan bekas tahanan yang dibebaskan pada tahun lalu, lima tahun lalu atau lebih lama dari itu.

Pua memberi contoh kes ahli perniagaan yang keretanya dibom pada Isnin dan polis tidak mwmberi banyak maklumat tentang mangsa kejadian.

"Tanpa maklumat berkenaan, adalah terlalu awal membuat kesimpulan bekas tahanan EO yang terlibat dalam kes tersebut."

Penganalisis jenayah, Profesor Madya P. Sundramoorthy dari Universiti Sains Malaysia (USM) turut sependapat dengan Pua.

"Ada yang berpendapat jenayah yang berlaku membabitkan krisis antara penjenayah namun hal ini tidak wajar berlaku dalam masyarakat," kata Sundramoorthy yang menjelaskan kadar jenayah yang berlaku sebelum ini meningkat dengan ketara.

"Belum pernah berlaku kejadian tembakan yang berleluasa di Malaysia sejak zaman darurat menentang komunis. Bezanya komunis adalah satu ideologi dan kali ini kes jenayah."

"Kami menyarankan agar pindaan undang-undang pencegahan dibuat bagi memastikan ia tidak disalahgunakan," katanya.

Pegawai kanan polis dari Bukit Aman memberitahu The Malaysian Insider jenayah yang berlaku kebelakangan ini hanya membabitkan kumpulan samseng dan orang awam bukanlah sasarannya.

Pegawai itu menjelaskan hampir 2,000 penjenayah tegar yang dibebaskan tahun lalu terdiri daripada ketua kongsi gelap seperti Geng 04, 08 dan 36.

"Sebelum mereka ditahan, mereka mempunyai pendapatan lumayan, kereta mewah dan mempunyai banyak rumah. Semua itu tidak bermakna lagi apabila mereka ditahan.

"Kumpulan ini mempunyai kawasan jajahan masing-masing untuk memungut wang perlindungan dari perniagaan tempatan, menjalankan perniagaan kafe siber secara haram dan mengedar dadah," katanya.

Sundramoorthy berkata satu kajian jenayah pernah dijalankan pihak kerajaan pada 2010 bagi mengenalpasti trend jenayah di antara 1977 dan 2009.

"Salah satu kesimpulan kajian itu ialah selagi EO tidak melanggar hak asasi manusia dan demokrasi, maka wajar undang-undang pencegahan bagi melindungi orang awam itu dikekalkan.

Sumber Bukit Aman itu menjelaskan apabila ketua penjenayah ditangkap, anak buah mereka mengambil peluang merampas kuasa pimpinan terdahulu.

Pemimpin baru pula menguatkan pengaruh dan kuasa dalam jajahan yang pernah "ditakluk" mereka.

"Selepas undang-undang pencegahan dimansuhkan, ketua yang lama mahu kembali ke posisi asal namun telah dirampas oleh anak buah mereka.

"Maka berlakulah perebutan kuasa diantara kedua orang atasan berkenaan," jelas pegawai itu.

Sundramoorthy berkata isu berkenaan tetap mengancam keselamatan awam. Jelasnya, pergeseran kumpulan samseng berkenaan dikhuatiri bakal melibatkan mereka yang tidak berdosa.

Pencemaran Agama: Jangan Cakap Tetapi Perlu Buat

Posted: 16 Aug 2013 05:02 PM PDT



Oleh Mohd Sayuti Omar

Kejadian sebuah surau private di Johor yang digunakan oleh penganut Buddha untuk melakukan meditasi dengan meletakkan tokong Buddha di dalam masjid itu dikecam oleh segenap pihak beragama Islam di negara ini. Kejadian itu dianggap melampau dan menghina agama Islam. Kejadian itu adalah rentetan beberapa kejadian lain sebelum ini yang menyenakkan jiwa umat Islam.

Salah seorang yang turut merasa kekesalan dan mengecam kejadian itu ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) Asyraf Wajdi Dusuki (foto). Beliau baru dilantik menjadi Yang Dipertua yayasan itu belum sampai dua bulan. Ideanya tentu masih gebu.

Katanya perkara itu menyimpang dari agama Islam sebenar dan merupakan petanda fahaman pluralisme agama yang semakin berkembang di negara ini.

Komen Wajdi ini nampanya cuba hendak menarik perhatian mengenai masalah pluralisme yang telah dijadikan isu politik untuk menghentam seseorang menjelang pilihan raya lalu. Asyraf tidak nampak kejadian itu akan kejahilan pemilik surau berkenaan, kerana membenarkan ia disalahgunakan. Adalah tidak adil membuat tuduhan sembrono begitu tanpa ada siasatan atau mendapatkan butiran siasatan terlebih dahulu.

Kejadian di surau itu sedang dalam siasatan polis dan empunya surau berkenaan juga yang juga tuanpunya resort telah direman polis untuk siasatan.

Kenapa terlalu gampang hendak menuduh ia sebagai petanda pluralisme? Surau itu hanya digunakan oleh penganut Buddha saja, lainlah kalau ia juga digunakan oleh penganbut Kristian atau Hindu.

Kegelojahan Asyraf dan mereka yang sepandapat dengannya nampak sangat akan dendam atau motif politik ikan pekasam (hanyir campur hampak). Dengan keilmuan yang ada Asyraf sepatutnya tahu kenapa masalah itu berlaku. Kalau pluralisme berkembang beliau tidak wajar setakat menyebut dan cuba menunding jari kepada pihak lain tetapi mengambil langkah membendungnya segera. Yadim sepatutnya harus turut sama merasa bertanggungjawab itu baru dikatakan hemah dan fatanah.

Antara dan tujuan penubuhan Yadim ialah membantu pengembangan agama Islam, baik dari segi memberi kerjasama berbentuk ilmu (dakwah) atau bantuan lain menterial dan kewangan. Apakah boleh dikatakan bahawa Yadim tidak menjalankan fungsinya sebelum ini sehingga wujudnya pluralisme atau pelbagai ragam kerencaman kegiatan agama lain yang terpesong seperti diangap Asyraf itu?

Dengan peranan dan tanggungjawab Yadim itu, apa yang berlaku seperti di Johor itu ia boleh disalahkan kepada Yadim juga. Yadim harus bertanggungjawab kerana kurang memberi perhatian sehingga berlakukan perkara itu. Demikian juga halnya dengan kegiatan pelbagai rituan agama yang songsang atau pun pembawaan (amalan) aliran pemikiran dan kepercayaan agama seperti Syiah, Wahabi, Qiadani dan sebagainya.

Semua gejalan itu tidak akan berlaku kalau pihak penganut agama dan badan-badan seperti Yadim, Jabatan Agama Islam atau Majlis Agama Islam dan teristimewanya Jakim memainkan peranannya secara serius dan penuh kebertanggungjawaban. Tetapi kerana badan-badan ini bertindak sambil lewa dan wujud semata-mata wujud maka berlaku dan merebakkan elemen demikian.

Peranan badan-badan itu boleh dianggap samalah juga dengan peranan dan tanggungjawab pihak keselamatan dan penguasa lain yang mengawal pintu masuk sempadan negara. Disebabkan kerana pasukan keselamatan dan agensi pengawal lain bersikap acuh tidak acuh (mungkin makan rasuah) menyebabkan pintu sempadan negara kita mudah dibolosi. Akhir-akhirnya kerap berlaku jenayah melibatkan penggunaan pistol atau senjata berat. Ini boleh diletakkan merebaknya gelaja ini ke atas bahu penguasa dan pasukan keselamatan.

Berbalik kepada isu pluralisme seperti mana diandaikan oleh Asywaf Wajdi yang saya rasa berniat serong untuk mengaitkan seseorang, sebaik apa yang patut beliau selaku orang mengepalai Yayasan Dakwah lakukan ialah merangka plan strategi bagaimana hendak memperkemaskan pintu atau sempadan hati umat Islam alias Melayu negara ini dari mudah diresapi unsur-unsur mungkar demikian. Dengan hanya memberi kenyataan akhbar dan membuat ulasan bersifat prejudis atas sesuatu perkara yang tidak menyelesaikan masalah.

Yayasan Dakwah dengan segala fasalitis yang ada boleh memainkan peranan ini. Iya bukan saja perlu gah setakat membentangkan kertaskerja atau memberi formula dan kaedah menyelesaikan masalah sekitar agama tetapi perlu menggerakan pasukan turun ke bawah agar ianya berkesan.

Penyediaan bahan-bahan cetak atau majalah sebagai sumber dakwah tidak mencukupi. Belum tentu buku dan majalah (Dakwah) yang diedarkan dibaca dan dihayati orang. Mungkin method seperti mana pernah atau sedang diamalkan Perkim dalam usaha mendidik dan mendakwah Orang Asli perlu diguna pakai dalam hal ini. Perkim satu masa dahulu menghantar para pendakwah dan ustaznya masuk ke perkampungan Orang Asli untuk mendakwah mereka dan mengajar ilmu-ilmu agama, tahid dan fekah.

Mungkin cara itu boleh diciplak oleh Yayasan Dakwah dalam usaha membentangkan akidah umat Islam negeri ini. Gerakan berpadu dengan kerjasama Jakim, Jabatan Hel Ehwal Agama Islam Negeri atau Majlis Agama dan angensi dan NGO dakwah lain boleh dilakukan. Saya rasa dengan cara itu lebih indah daripada hanya cuba menunding jari kepada pihak-pihak tertentu yang kononnya sengaja memberi ruang kepada kegiatan mencemarkan kesucian agama dan peradaban di negara ini.

Sejajar ini satu soalan cepuemas untuk Asyraf apakah beliau sudah menyelesaikan sebuah akaun induk Yayasan itu di dikatakan telah dibekukan bank sebelum ini?  Menyelesai masalah akauan ini lebih penting dari cuba membuat tohmahan jahat kepada seseorang yang lain.

Rumah Wee Ka Siong diintip helikopter kawalan jauh

Posted: 16 Aug 2013 04:47 PM PDT

 


 
dikemaskini Sebuah helikopter kawalan jauh didapati merakam video rumah Ketua Pemuda MCA, Datuk Wee Ka Siong dan kawasan kejiranannya di Bukit Tiara secara rahsia baru-baru ini.

Dalam sidang medianya hari ini, Wee mendedahkan helikopter dengan enam kipas (hexacopter) yang dilengkapi kamera itu ditemui di atas bumbung balkoni rumahnya pada 8 Ogos lalu oleh jirannya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun.

Selepas menonton video yang dirakam helikopter itu dengan jirannya semalam, Wee mendapati ia dilakukan oleh dua orang lelaki.

Mereka mengendalikan helikopter itu dari satu gelanggang bola keranjang terbuka untuk merakam video rumah Wee dan jiran-jirannya.

Bagaimana pun, helikopter itu melanggar satu tiang pengalir kilat rumah yang diintipnya dan kemudian jatuh ke atas atap rumah Wee. Ia ditemui tiga hari kemudian.

wee ka siong spying case 160813 05Berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Internet Wee, sebuah
hexacopter bernilai AS$399 (RM1,309). Ia biasanya digunakan oleh Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat untuk mengesan pergerakan pengganas.

"Adakah saya seorang pengganas? Mengapa saya mesti tertakluk kepada semua ini? Sila berlaku adil kepada saya," kata Wee.

Beliau berkata terdapat lima rakaman video dalam kamera dan salah satu daripadanya jelas menunjukkan wajah dua lelaki di belakangnya.

"Salah satu daripada mereka yang terlibat dipercayai dari China. Dia bercakap loghat Cina yang pekat dalam video itu," katanya.

Rumah mufti Perlis di Kuching disamun

Posted: 16 Aug 2013 04:44 PM PDT

MALAYSIA KINI


Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya, yang pulang berhari raya ke negeri ini bersama keluarganya disamun dua lelaki bersenjatakan parang yang memecah masuk rumahnya di Jalan Semariang di Kuching semalam.
  
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Abang Ahmad Abang Julai berkata kedua-dua lelaki terbabit mengikat Dr Juanda, isteri dan pembantu rumahnya sebelum menggeledah rumah berkenaan.
  
Mereka kemudian melarikan barangan berharga benilai kira-kira RM30,000, katanya kepada semalam.
  
Beliau berkata kejadian pada pukul 5.30 pagi itu turut menyebabkan isteri dan pembantu rumah mufti berkenaan cedera.
  
"Polis masih meneruskan siasatan dan pasukan forensik telah dihantar ke rumah itu untuk mengumpul maklumat, termasuk mengenai suspek," katanya sambil
memberitahu bahawa suspek dipercayai masuk ke rumah itu melalui pintu belakang.
  
Dr Juanda, yang berasal dari Mukah dan merupakan orang Sarawak pertama dilantik ke jawatan itu pada 2009.- Bernama

'Ahli berhak tentukan kekal pemimpin atau tidak'

Posted: 16 Aug 2013 04:42 PM PDT

MALAYSIA KINI



 
Ahli Umno berhak untuk menilai prestasi seseorang pemimpin parti itu dan seterusnya menentukan sama ada mereka perlu dikekalkan atau tidak dalam jawatan masing-masing, kata Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohd Sadique.
  
Halimah yang juga timbalan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan berkata, sebagai parti yang mengamalkan sistem demokrasi, hak ahli Umno untuk memilih pemimpin adalah terjamin.
  
"Apabila tiba masa pemilihan di dalam Umno, maka hak itu perlu dikembalikan semula kepada ahli parti. Jikalau ahli parti merasakan perlunya kesinambungan (di dalam kepimpinan), terpulang kepada mereka."
  
"Anggota parti berhak membuat penilaian berdasarkan kepada prestasi sepanjang tempoh mereka memimpin," katanya kepada pemberita ketika majlis rumah terbuka Aidilfitri anjurannya di Kota Tinggi semalam.
  
Halimah berkata demikian semasa ditanya sama ada jawatan Ketua Wanita Umno yang kini disandang Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil perlu dipertandingkan.

Ditanya tentang spekulasi yang mengatakan beliau berminat untuk bertanding merebut jawatan tertinggi Wanita Umno itu, Halimah berkata, beliau mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai kemungkinan tersebut.
  
"Pendaftaran (untuk jawatan Ketua Wanita Umno) masih lagi terbuka, so kita tunggu dan lihat," katanya yang juga bekas Ketua Wanita Umno Johor.
  
Selain Halimah, seorang lagi nama disebut-sebut berminat untuk mencabar Shahrizat adalah anggota Parlimen Pengerang dan bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said.
  
Menurut Halimah, apa yang lebih penting bagi Wanita Umno kini adalah tiga perkara iaitu mengukuh dan memperkuatkan parti, menyatupadukan anggota parti serta menyediakan agenda kerja parti untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
  
"Bukan keutamaan sama ada saya bertanding jawatan ini atau itu tetapi adalah tiga perkara itu. Soal siapa yang hendak bertanding apa pada saya adalah tidak penting," katanya.
  
"Soal yang lebih penting kini adalah bagaimana untuk mengukuhkan Umno," tambahnya.- Bernama

Cabar ketua Wanita Umno, Halimah mahu 'tunggu dan lihat'

Posted: 16 Aug 2013 04:40 PM PDT

MALAYSIA KINI


 
Bekas Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Mohd Sadique meneruskan tanda-tanya sama ada beliau akan menandingi jawatan tertinggi sayap itu apabila berkata: "Kita tunggu dan lihat, masa masih panjang."
  
Beliau berkata demikian apabila ditanya pemberita apakah tuan punya badan mahu bertanding atau tidak, ketika ditemui pada rumah terbuka beliau sempena Aidilfitri di Dewan Serba guna Taman Kota Jaya di Kota Tinggi semalam.
  
Ahli Parlimen Tenggara yang enggan memberi jawapan sahih itu, turut menegaskan yang penting sekarang ialah usaha memperkukuhkan parti bukan soal siapa bertanding.
  
"Kita perlu tentukan parti belajar daripada pilihan raya umum (PRU) yang lepas dan siap sedia untuk hadapi PRU14," katanya.
  
Halimah yang juga Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan adalah antara yang disebut-sebut bakal mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi meneraju Wanita Umno pada pemilihan yang dijadualkan Oktober ini.
  
Pendaftaran calon bagi kepimpinan sayap itu dijadualkan pada 21 September. 
  
Bekas Ketua Puteri Umno Datuk Seri Azalina Othman Said sebelum ini dilapor menyatakan minat untuk mencabar Shahrizat.
  
Mengulas lanjut, Halimah berkata beliau mengharapkan pemilihan parti kali ini akan dijadikan platform untuk menyatukan ahli Umno.  - Bernama

SIri 4:'The awakening': Mahathir tak sempat bergaduh dengan Pak Lah

Posted: 16 Aug 2013 04:34 PM PDT


Oleh Aspan Alias


Dr Mahathir menjadi Naib Presiden UMNO pada tahun 1975 selepas beliau dipulihkan oleh Tun Razak keahlian dalam UMNO, kalau tidak silap saya pada tahun 1972 atau tahun 1973 selepas dipecat dari UMNO pada tahun 1969.

Ada pihak-pihak dalam UMNO itu sendiri menyokong kemasukan Dr Mahathir kembali di dalam UMNO tetapi apabila beliau mengemukakan borang untuk menyertai UMNO kembali, beliau memilih untuk menyertainya di Rawang kerana di Kedah tidak begitu ramai yang berminat untuk membawa beliau kedalam UMNO.


Semasa itu di Rawang, Tunku Abdullah ibni Tuanku Abdul Rahman adalah Ahli Parlimen bagi kawasan itu, dan merupakan sahabat Dr Mahathir yang rapat. Maka mudah bagi beliau untuk mendapatkan sokongan untuk kembali kedalam UMNO. Itu sebabnya Dr Mahathir kembali ke dalam UMNO melalui UMNO Rawang dan hanya kembali ke Kedah selepas beliau telah kembali pulih kedudukan beliau di dalam UMNO.


Dr Mahathir menjadi Naib Presiden bersama Tengku Razaleigh yang telah menduduki kerusi ketiga tertinggi di dalam parti itu dua tahun sebelumnya. Seorang lagi tentulah Ghaffar Baba yang telah menjadi Naib Presiden sejak awal tahun enam puluhan lagi. Dr Mahathir mendapat kedudukan yang ketiga dikalangan ketiga-tiga Naib Presiden itu.

Semasa itu Abdullah Badawi belum lagi berada dimana-mana di dalam UMNO kerana beliau masih menjadi Ketua Pengarah Belia dan selepas itu menjadi Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan. Abdullah hanya keluar dari perkhidmatan kerajaan untuk menyertai Pilihanraya 1978 dahulu untuk menggantikan Nordin Sophie bagi kawasan Kepala Batas.

Musa Hitam hanya menjadi Naib Presiden pada tahun 1978. Anwar Ibrahim semasa itu masih tidak terfikir oleh sesiapa dalam UMNO, hanya beliau diingat sebagai bekas pemimpin pelajar dan seorang yang begitu rapat dengan PAS kerana kedudukan beliau sebagai Presiden Angkatan Belia Islam (ABIM) semasa itu.

Anwar hanya menyertai UMNO pada Februari 1982 sahaja dan belum pun kering tanda-tangan keahliannya dalam UMNO beliau telah menumbangkan Haji Suhaimi Kamarudin sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, dengan sokongan Dr Mahathir Mohammed.

Seperti yang saya selalu sebutkan semasa Dr Mahathir mendekati kerusi Perdana Menteri, iaitu semasa beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak mempunyai 'grassroot' yang kukuh. Seperti biasa orang yang paling di khuatiri berada di sisinya ialah Tengku Razaleigh Hamzah. Malahan Mahathir begitu tidak seronok melihat Tengku Razaleigh seolah-olah seorang defacto 'Prime Minister' kerana Perdana Menteri Tun Razak dan Hussein telah memberikan tanggungjawab yang besar kepada TR.

Saat untuk menyekat kemaraan TR tiba apabila beliau mengambil alih jawatan Presiden UMNO pada tahun 1981 diperhimpunan yang sama berlaku pertandingan jawatan Timbalan Presiden diantara Musa dengan Tengku Razaleigh. Musa yang dalam diam-diam juga berminat untuk menaiki takhta kuasa, diambil kesempatan oleh Mahathir dan melagakan Musa dengan Tengku Razaleigh sehingga berlaku pertandingan sengit diantara kedua-dua Naib Presiden UMNO itu untuk jawatan Timbalan Presiden.

Mahathir berada dibelakang TR semata-mata untuk menyekat TR menaiki kuasa. Sesungguhnya Mahathir juga waktu yang sama yang Musa juga mempunyai minat yang kuat untuk menjadi Perdana Menteri. Maka Mahathir menjadikan TR dengan Musa mempunyai kekuatan seimbang bagi mengelakkan tentangan dari salah saorang dari kepimpinan yang dibentuk untuk negara oleh Tunku dan Tun Razak.


Apabila Musa sedar apa yang ada di dalam benak Mahathir itu dan datang pula berbagai-bagai cabaran untuk menyekat kemaraan Musa, maka Musa meninggalkan jawatan Timbalan Perdana Menteri pada awal tahun 1986.


Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri itu telah menjadikan UMNO kelam kabut dan rombong selepas rombongan terdiri dari Menteri-Menteri serta Timbalan-Timbalan Menteri serta Menteri Besar telah berduyun ke London untuk memujuk Musa menarik balik keputusannya untuk meletakkan jawatan itu.

Tunku Abdul Rahman telah bersuara dalam persaraannya dan menyatakan persaraan Musa Hitam itu sepatutnya di iringi oleh satu Perwakilan Khas UMNO untuk berbincang dan membuat ketetapan. Di sini Mahathir tahu jika Perhimpunan Agung Khas itu dipanggil maka Musa akan mendapat 'endorsement' yang kuat dan tidak terkejut jika Musa kembali dan membuatkan dirinya menjadi kuat selepas perhimpunan Agung Khas itu.

Mahathir tidak peduli dan terus memberi kenyataan yang perletakkan jawatan Musa itu diterima dan menutup isu Perhimpunan Agung Khas itu samasekali. Memanggil Perhimpunan Agung Khas UMNO akan membuatkan Musa kuat dan dengan senang sahaja Musa boleh mengambil alih kepimpinan negara dari Mahathir.

Saya dan beberapa orang pemimpin UMNO dibawah-bawah ini berkesempatan bertanya Musa kenapa beliau meletakkan jawatan, Musa menjawab, 'Mahathir has a freezer in him. Hatinya kering dan tidak boleh bersamanya lagi'.

Dalam pada itu UMNO sudah ada Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pemuda dan ini semua memudahkan Musa menjawab apa yang akan berlaku kepada beliau. Anwar seorang muda yang begitu 'ambitious' akan berperanan untuk mengubah scenario politik negara dan akan bermula 'politiking' yang hebat dalam UMNO. Setiap pemimpin yang berwibawa yang pengimbangnya yang disediakan oleh Dr Mahathir dan beliau tahu dengan cara ini sahaja beliau mampu untuk berkuasa selama mana yang beliau idamkan.

Selepas Musa, Ghaffar Baba yang tiga bulan lebih tua dari Mahathir, menggantikan Musa dan di zaman Ghaffar menjadi Timbalannya, Mahathir tidak segelabah dahulu kerana beliau tahu Ghaffar mempunyai banyak kekurangan untuk mengatasi beliau (Mahathir). Entah dimana datangnya cerita pada suatu ketika selepas Ghaffar mengambil alih Musa Hitam itu, Ghaffar percaya yang Mahathir akan bersara dan memberikan jawatan Perdana Menteri buat pertama kalinya dari seorang guru biasa  sekolah.

Orang seperti saya amat susah mempercayai cerita itu dan selepas itu nyata Ghaffar juga menjadi mangsa permainan politik kotor UMNO dan kali ini Anwar pula yang menolak Ghaffar keluar dan tentunya dengan perkenan Dr Mahathir sendiri.

Ghaffar bersara dan mengambil keputusan untuk bercuti dan amat sedih melihat Ghaffar keluar negara dengan menjinjing beg plastik mengandungi buku-buku untuk dibaca dalam penerbangan jauh entah kemana itu.

Maka terjunlah seorang lagi Timbalan kepada Dr Mahathir maka Mahathir memilih pula Timbalan yang baru. Namanya ialah orang yang paling 'famous' pada hari ini bernama Anwar Ibrahim. Anwar ini 'famous' sungguh. 'Famous' dalam segala-galanya.

Abdullah yang selepas Anwar tidak sempat diterjunkan kerana waktu untuk Dr Mahathir bersara sampai tatkala Abdullah dan Mahathir belum sempat bergaduh. Mereka bergaduh hanya setelah Abdullah menjadi Perdana Menteri.

Abdullah lebih bernasib baik dari tiga Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau.

Tiada ulasan: