Isnin, 26 Ogos 2013

.

.


Mawar Boleh Bertindak Jadi Perunding dan Badan Penasihat Parti

Posted: 26 Aug 2013 02:37 AM PDT

PANDANGAN                                                                                     

Cadangan untuk diwujudkan persatuan atau kelab bekas wakil rakyat dan tokoh veteran Pas Kelantan seperti mana diluahkan oleh bekas Ahli Parlimen Kota Bharu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah merupakan satu cadangan yang baik dan perlu disegerakan.

Wan Rahim, Fatah, Ab Halim tokoh veteran Pas Kelantan..
Badan itu boleh bertindak menjadi 'penasihat' atau penyelia kepada kerajaan negeri atau memberi pandangan kedua berhubung sesuatu isu yang berkaitan dengan polisi atau pendekatan baru diambil kerajaan. Kelab itu juga boleh membantu menjadi pendamai dan jambatan bagi menghubungkan mana-mana pihak yang bertelagah di dalam Pas sekiranya ada lantaran salah faham dan terlebih emos terhadap sesuatu perkara.

Dengan pengalaman yang ada kepada mereka sudah pasti mereka mampu memberi pandangan sihat dan ianya akan dihormati semua pihak baik termasuk generasi muda. Hubungan mesra Wan Rahim dengan kalangan penyokong Pas menerusi sosial media juga menjadi satu aset mendekatkan mereka dengan Pas.

Kebetulan juga mereka adalah veteran Pas yang pernah memegang jawatan penting di dalam kerajaan dan parti, terutamanya sejak Pas mula membentuk kerajaan kali kedua tahun 1990. Jadi mereka ini orang yang matang dan sangat arif mengenai seluk beluk politik Pas.

Antara veteran Pas yang pernah menduduki jawatan penting di dalam Pas dan menjadi pendokong utama kepada kerajaan pimpinan Nik Abdul Aziz yang masih ada, selain Wan Rahim sendiri yang pernah menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Pas Kelantan beliau juga merupakan Setiausaha Politik pertama Nik Abdul Aziz dan bekas ahli parlimen Kota Bharu; mereka ialah Abdul Halim Abdul Rahman merupakan Timbalan Pesuruhjaya Pas dan juga bekas Timbalan Menteri Besar.

Abdul Halim juga bekas ahli parlimen Pengkalan Chepa. Beliau adalah antara veteran yang berperanan besar dalam Pas di Kelantan tokoh yang dilahirkan pada zaman Mohd Asri Muda, pernah juga menjadi Ketua Pemuda serta memegang beberapa jawatan penting peringkat pusat.

Yang lain, Omar Mohamad yang pernah menjadi Setiausaha Kerja Pas, Timbalan Pesuruhjaya manakala dalam kerajaan menjadi Exco Pertanian. Seorang lagi Abdul Fatah Haron yang pernah menjadi Ketua Penerangan dan mengepalai Urussetia Kerajaan Negeri sebagai Pengarah, juga bekas ahli Parlimen Rantau Panjang dua penggal dan bekas Adun Bukit Tuku dua penggal.

Seorang lagi tokoh veteran Pas Kelantan ialah Hashim Haji Omar. Beliau merupakan bekas Wakil Rakyat Pas kawasan Pasir Mas, pernah menjadi Pegawai Khas kepada Menteri Besar Kelantan. Hashim juga antara pendokong utama kepada kepimpinan Tokguru Nik Aziz.

Tenaga dan fikiran mereka ini masih boleh digunakan. Yang penting pengalaman yang ada kepada mereka boleh diadaptasikan dengan politik Pas sekarang. Mungkin mereka tidak ke depan dalam soal merancang dari segi pembangunan ekonomi, tetapi mereka adalah sesuai untuk dianggap sebagai cemin atau pemberi pandangan dari segi sejarah dan bingkai politik Pas. Mereka atau kelab yang bakal ditubuhkan nanti boleh menjadi pemangking kepada kerajaan.

Dalam suasana hari ini sangat elok kalau mereka memain peranan demi menjaga masa depan Pas. Mereka yang ada pengalaman melalui zaman perit dan jaya Pas sudah pasti ada buah fikiran tersendiri untuk memberi panduan dan nasihat agar Pas senantiasa utuh. Formula yang pernah digunakan pakai untuk menghadapi serangan dan adu domba Umno di kala Pas di zaman kritikal sangat berguna.

Apa lagi kebelakangan ini timbul sedikit susana kurang enak di Kelantan bila mana ada pergeseren di antara tokoh tertentu disebabkan persepsi. Sebenarnya pergeseran ini berlaku di kalangan penyokong tokoh berkenaan yang tidak berpuas hati dengan penyusunan kerajaan Kelantan selepas pilihan raya umum ke-13 lalu. Walaupun pergeseran ini perkara biasa, kata orang ribut didalam cawan kedai kopi tetapi ia perlu ditangani agar tidak merebak ke luar sehinggakan membasahi meja.

Sehubunagn itu kritikan demi kritikan yang dilemparkan kepada tokoh tertentu juga dilihat satu perkara yang tidak lendik dan boleh menganggu pentadbiran kerajaan Pas selepas Tokguru Nik Aziz ini terutamanya kosentrasi Ustaz Ahmad Yakub selaku MB.

Dengan adanya kelab atau kesediaan ikhlas bekas-bekas pemimpin Pas khasnya yang pernah menjadi wakil rakyat diharap suasana yang sedikit ribut ini akan tenang. Mereka juga akan senantisa memberi pandangan dan nasihat agar sebarang desas desus yang tidak baik itu akan lenyap begitu saja.

Difahamkan kelab yang bakal wujud itu dinamakan kelab Mantan Wakil Rakyat Kelantan (Mawar). Sangay sesuai nama itu kerana mawar adalah sejenis bunga yang cantik dan indah menyamankan mati dan jiwa sesiapa melihatnya. Dengan durinya yang tertusuk yang boleh digunakan bagi mengajar mana-mana yang degil. Sudah tentu yang akan berhimpun di dalam Mawar ini bukan saja beberapa tokoh itu tetapi termasuklah bekas-bekas wakil rakyat Kelantan yang masih ada.

Antara mereka bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat, bekas Adun Semerak Wan Hasan Wan Ibrahim, bekas Adun Demit Mohamad Mustafa, Mohamad Iraq, bekas Adun Pasir Mas Ismail Noh dan lain-lain.

Khabarnya pernubuhan Mawar ini akan segera dibincangkan. Kelab ini juga bercadang akan mengadakan pertemuan dengan MB atau Exco sekerap yang boleh bagi memberi pandangan dan nasihat demi kestabilan Kerajaan dan politik Pas Kelantan. Adakah diharap Mawar juga akan bertindak menjadi pemangkin kepada kepaduan Pas Kelantan seluruhnya. [wm.kl.4:53 pm 26/08/13]

Protes Terhadap Waytha Moorthy Untuk Jaga Airmuka Najib

Posted: 25 Aug 2013 03:57 PM PDT

SESUDAH SUBUH                                                                               

Pemimpin Hindraf Waytha Moorthy yang dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sebagai hadiah atas sokongan Ngo Hindu itu kepada UBN dalam pilihan raya lalu mungkin sudah mengenal cara-cara Umno berpolitik dan hati budi pemimpinnya. Apa yang berlaku adalah pengajaran buatnya.

Belum sampai setahun berada di dalam kabinet Najib Razak, kini pemimpin Hindarf itu sudah dapat merasai bagai mana veto Umno sebagai sebuah parti menjadi tulang belakang kepada BN. Hendaknya beliau tidak menyesal dengan apa yang berlaku dan itu adalah hukum karma ke atasnya. Waytha Moorthy kini berdepan dengan kecaman dan cemuhan anggota kabinet Melayu. Beliau diminta melepas jawatan dan keluar dari kerajaan.

Setakat ini dua menteri Melayu yang 'menghalau' Moorthy kerana tidak berpuas hati dengan cara Moorty mempertikaikan insiden lima orang samseng India ditembak mati di Pulau Pinang baru-baru ini. Zahid Hamidi kesal dengan sikap Moorthy yang dianggap tidak wajar mempertikaikan kenyataan polis.

Hanya kerana itu Zahid telah menghalau Moorty keluar dari kabinet dan memimpin semula Ngo - Hindraf. Hamuan Zahid itu disokong oleh Hishamuddin Hussein, Menteri Pertahanan yang kini merupakan rakan kongsi erat Zahid Hamidi dalam kabinet Najib.

Sokongan padi Hishamuddin itu dilihat sengaja dibuat untuk memberi peluang kepada Najib memikirkan tindakan ke atas Moorthy. Dalam masa sama juga cemuhan ke atas Moorthy itu dilihat sebagai satu tektik disengajakan untuk memecat Moorthy sekaligus menyelamatkan maruah Najib.

Najib dikecam hebat oleh Ngo Melayu yang merupakan puak redikal apabila melantik pemimpin Hindraf menyertai anggota kabinet. Tindakan Najib itu disifatkan memberi muka kepada orang India. Sebuah Ngo yang bercabuk dengan kepentingan Melayu, melahirkan rasa kesal dan protes dengan perlantikan Moorthy yang disifatkan tindakan tidak bijak dan mencabar Ngo berkenaan yang sebelum ini 'bagaikan nak rak' membantu Umno.

Saya menyimpulkan apa dilakukan Zahid kemudian disokong Hishamuddin itu, keduanya Naib Presiden Umno merupakan proses awal untuk membuang Moorthy dalam agenda menyelamatkan Najib. Najib ada alasan untuk bertindak dengan tindakan Zahid dan Hishamuddin itu. Ini semua dilakukan untuk mengelakkan Najib dari disembur dalam perhimpunan agung nanti lantaran melantik pemimpin Hindraf itu.

Mungkin selepas ini ada seorang dua menteri atau timbalan menteri akan membuat protes sama untuk memperlihatkan kuatnya bangkangan terhadap Moorthy. Dengan apa yang berlaku ia memberi pengajaran kepada pemimpin puak memperjuangkan kepentingan India itu mengenai seluk beluk politik Umno yang mana bersikap membuang tongkat setelah menyeberangi jambatan. Apakah selepas dihalau oleh Umno nanti Moorthy dan Hindraf akan terhegeh-hegeh untuk menyokong Pakatan Rakyat kembali? [wm.kl.6:49 am 26/08/13]

Esok Kakitangan IHSB Akan Serah Memorandum Kepada MB

Posted: 25 Aug 2013 04:12 AM PDT

MAKLUMAT                                                                                       

Esok kakitangan Insaniah Holding Sdn. Bhd. (ISHSB) dan anak-anak syarikatnya akan menyerahkan memorandum kepada MB Kedah menuntut gaji dan apa-apa elaun kebajikan kepada mereka yang tidak dibayar. 

Memorandum itu akan diserah sebelum bermula sidang Dewan Undangan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman bertempat di pintu utama masuk ke Wisma Darul Aman.

Dalam satu email yang dihantar kepada saya, kakitangan Syarikat Insaniah Holding dan anak-anak syarikatnya diminta datang beramai-ramai. Suami isteri, anak-anak serta keluarga juga minta dikerah sama untuk memberi gambaran betapa pentingnya memorandum berkenaan. 

Menurut email itu yang mengandungi empat perenggan pihaknya sudah melakukan apa saja untuk menyelesaikan masalah mereka tetapi tidak berhasil. Mungkin dengan menyerahkan memorandum itu kepada MB, Mukhriz Mahathir ia akan memberi kepedulian terhadap masalah mereka.

Insaniah Holding adalah syarikat yang mengendalikan Kolej Universti Insaniah (KUIN) sebuah Kolej Universiti swasta yang didaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan dimiliki sepenuhnya kerajaan Kedah. Ia ditubuhkan pada tahun 2006 pada zaman BN memerintah Kedah. [wm.kl.7:09 pm 25/08/13] 

Tiada ulasan: