Jumaat, 2 Ogos 2013

.

.


Ali Rustam Dua Kali Lima Dengan Noh Omar

Posted: 01 Aug 2013 03:39 AM PDT

CATATAN SORE                                                                                   

Apabila bekas Ketua Menteri Melaka Ali Rustam kalah sambil 'menyenggeng' di kerusi parlimen Bukit Katil kepada Shamsul Iskandar Md Akin dalam pilihan raya lalu, saya tercari-cari apakah sebab musababnya. Pening saya mencari faktor kekalahannya. Sebagai seorang Ketua Menteri orang berkuasa dalam negeri Melaka, beliau sudah pasti mencari kawasan paling selamat untuknya. Tentulah kerusi Bukit Katil itu kawasan paling selamat. Tetapi kenapa kerusi itu memalukannya?

Tidak mungkin Ali Rustam memilih Bukit Katil kalau kerana alasan lain. Tetapi kenapa beliau kalah, bukan sedikit dengan majoriti cukup untuk dimakan selama 10 tahun. Situasi itulah yang menjadikan minda saya bergelabu mencari punca kekalahannya.

Jadi apabila beliau membuat ulasan-ualasan selepas kekalahan, termasuk membangkitkan soal khidmat dan jasanya di Melaka selama ini yang tidak dikenang pengundi (Cina) dan kenyataan terbarunya berhubung kekerapan berlaku jenayah berat (tembakan curi) ke belakangan kononnya disebabkan parti pembangkang, baru saya tahu kenapa wajar kalau Ali Rustam kalah.


Pandangan dan pendapat Ali dalam membela diri yang busuk mendedahkan faktor kepada saya kenapa bekas KM Melaka itu patut kalah.

Ali Rustam dalam melahirkan rasa resahnya dengan kejadian jenayah berat ke belakangan ini dengan cuba meletakkan atau mencari salah kepada Pakatan Rakyat. Beliau berpendapat berlakunya jenayah itu ialah apabila Ordinan Darurat (EO) dan ISA dimansuhkan.

Mungkin beliau berpendapat apabila dua akta itu tidak lagi dipakai, maka penjenayah menjadi berani untuk melakukan perbuatan jenayah. Bagi Ali Rustam, kenapa dua akta itu dimansuhkan ialah kerana Pakatan Rakyat beriya-iya agar ia dimansuhkan. Jadi setelah dimansuhkan ia memberi implikasi dan risiko maka Pakatan Rakyat hendaklah bertanggungjawab. Pendapat Ali itu memberi konotasi yang Pakatan Rakyat mahukan kepada kejadian itu.

Senang dan mudah sekali cara Ali menyelesaikan masalah. Dia masih menggunakan teori lama dengan mengheret pihak lain, pembangkang.  Untuk melihat kelemahan dan kesalahan sendiri sama sekali tidak. Kalau iya pun ingin membela Najib dan Umno bukan sanggup menyerlahkan kebodohan dan kebebalan cara kita berfikir.

Apakah Ali yakin seratus peratus pemansuhan dua akta itu semata-mata kerana desakan pembangkang? Apakah tidak ianya atas usaha Najib Razak sendiri yang berjanji untuk melakukan transformasi? Apakah Ali lupa janji-janji Najib sebagai mengangkat sumpah menjadi perdana menteri?

Janganlah pula kerana tindakan Najib buat itu mendatangkan masalah maka ia ditunding kepada pembangkang. Umum tahu keputusan Najib memansuhkan kedua-dua akta itu tidak mendapat persetujuan di kalangan Umno. Muhyiddin Yassin sendiri terkilan dengan cara Najib yang tidak berunding dengan beliau. Ertinya Najib yang bertanggungjawab ke atas pemansuhan kedua akta itu yang kini bagi Ali telah membahayakan negara.

Sebagai orang yang berada dalam Majlis Tertinggi Umno, apakah Ali mengetahui akan hal ini? Atau pun Ali waktu itu tidak dapat menebak awal implikasi daripada cadangan Najib itu? Atau pun kalau tahu Ali menjadi pandir, atau wak long saja kerana ia datang dari Najib. Seorang pemimpin yang hebat ialah berani menegakkan pendirian dan pandangan di hadapan siapa saja.

Dengan pemansuhan akta itu selain daripada hendak membuat transformasi Najib juga mempunyai serampang dua mata di sebalik tindakan itu. Najib mahu menunjukkan dia sebagai seorang pemimpin yang terbuka dan tidak menggunakan akta seweneng-wenengnya. Najib cuba merombakkan akta yang sudah jumud dan usang. Selain itu Najib mengharap dia dan Umno akan mendapat political mileage dengan tindakan itu dan menjadi modal pula untuk menang pilihan raya.

Saya hendak tanya bekas KM itu, apakah dia yakin Najib berbuat begitu atas kehendak pembangkang? Kalau betul Najib bertindak atas kehendak dan desakan pembangkang, banyak lagi desakan pembangkang kepada Najib tetapi kenapa tidak dilaksanakan. Pembangkang bukan saja mendesak agar akta itu dimansuhkan tetapi Akta Darurat 1948 juga minta dimansuhkan. Apakah Najib akur? Akta dan peraturan pilihan raya juga didesak pembangkang agar dipindah tetapi, Najib tidak berbuat apa-apa.

Begitu juga pembangkang mendesak agar ditubuhkan IPCMC, tujuan untuk menyiasat pegawai-pegawai polis, apakah Najib setuju dan sedia menuruti pembangkang? Banyak lagi yang pembangkang desak dan suruh tetapi tidak diendahkan oleh Najib. Jadi dakwaan Ali kononnya Najib mengikut kehendak pembangkang itu adalah 'gombal' semata-mata.

Sebenarnya mengenai kekerapan berlaku jenayah disebabkan kerana mansuhnya dua akta itu seperti ditanggapi Ali, Ali tidak perlu gusar. Beliau boleh cadangkan kepada Najib agar mengguna pakai semua kedua-dua akta berkenaan. Untuk tujuan itu ia tidak memerlukan kelulusan parlimen, sampai peringkat perlu kena pinda perlembagaan negara atau perlu suara majoriti 2/3. Kuasa untuk mengembalinya terletah di tangan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara saja.

Sound kepada Zahid Hamidi pasti dia akan akur sebab Zahid juga ada merit untuk menyalahkan kepada pemansuhan akta itu menyebabkan berlakunya jenayah berat. Saya tidak tahulah apakah tujuan Ali menimbulkan itu kerana dia bermotif politik untuk mengkritik Najib. Dia sengaja bersandarkan kepada pembangkang, walhal niatnya untuk mendedahkan kelemahan Najib sebagai perdana menteri. Bahawa Najib telah melakukan kesilapan besar dan kesilapan itu harus ditebus. Satu-satu cara untuk menebus kesilapan itu ialah Najib perlu meletak jawatan. Begitukah tujuannya?

Konklusinya buat saya ulasan dan pandangan Ali Rustam mengenai hal itu ia lebih kurang sama saja dengana sikap cengeng Noh Omar yang mencadangkan supaya ibubapa yang memasukkan gambar anak mereka makan ditandas agar disiasat di bawah Akta Hasutan.

Tahap pemikiran Ali sama tinggi dan sama level dengan saja Non Omar. [wm.kl.6:20 pm 01/08/13]

Tiada ulasan: