Jumaat, 30 Ogos 2013

Blog-list Malaysia

Blog-list Malaysia


Anwar Singkir Shafee Abdullah

Posted: 30 Aug 2013 01:30 AM PDT

Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah tidak boleh menjadi timbalan pendakwa raya dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana peguam kanan itu berada dalam senarai saksi pendakwaan.

Ini adalah pendirian Anwar untuk menyingkirkan peguam itu sebagai pendakwa utama kes liwat yang akan didengar di Mahkamah Rayuan bulan depan.


"Walaupun Shafee tidak pernah memberikan bukti, beliau ditawarkan kepada pihak pembela sebagai saksi kes itu.

"Shafee adalah sebahagian daripada pihak pendakwaan. Kemungkinan beliau juga memberikan kenyataan kepada polis," kata Anwar dalam afidavit yang ditunjukkan kepada The Malaysian Insider.

Anwar berkata, Shafee tidak seharusnya dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya kerana Jabatan Peguam Negara mempunyai pengamal undang-undang lain yang layak untuk mengendalikan rayuan itu.

Malah, katanya, perbelanjaan untuk menggunakan khidmat Shafee adalah menggunakan wang pembayar cukai.

Shafee pada 22 Julai lalu berkata, pelantikannya mengikut Seksyen 376 (3) dan Seksyen 379 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dibayar amaun minimum kerana mempunyai kontrak masih berjalan di antaranya dengan kerajaan.

Anwar berkata, Seksyen 376 (6) hanya mengenai pelantikan seorang yang layak dan sesuai sementara 379 menyentuh mengenai pekerjaan.

Katanya, Shafee tidak boleh dilantik mengikut dua seksyen itu kerana ia mempunyai maksud lain.

Ketua pembangkang itu berkata, mengikut Seksyen 376 (3), seorang peguam boleh dilantik sebagai Timbalan Pendakwaraya tanpa gaji sementara mengikut Seksyen 379 peguam dipilih dan gaji dibayar menggunakan dana awam.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan selama dua hari bermula 17 September.

Shafee sebelum ini dipetik sebagai berkata, pelantikan sebagai Timbalan Pendakwaraya tidak seharusnya dijadikan isu politik kerana beliau bukan ahli politik atau anggota sebarang parti politik dan beliau dipilih atas kelayakannya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut mempertahankan langkah melantik Shafee, walaupun memperlihatkan Jabatan Peguam Negara berat sebelah dan mengikut rentak kerajaan.

Gani berkata, memberikan lesen kepada peguam persendirian untuk mewakili Putrajaya bukan sesuatau yang baru, menjadikan inkues Teoh Beng Hock sebagai contoh iaitu Datuk Tan Hock Chuan sebagai pegawai bertugas dalam kes itu.

Beliau berkata, pendakwa utama perbicaraan Anwar, Datuk Yusof Zainal Abiden yang bersara pilihan juga pernah mewakili pembangkang.

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara Tan Sri Abu Talib Othman berkata pelantikan Shafee sebagai timbalan pendakwa raya adalah perkara luar biasa dan memberikan persepsi bahawa pegawai dari Jabatan Peguam Negara tidak kompeten.

Menurut Abu Talib yang menjadi Peguam Negara selama 13 tahun sejak 1980, terdapat ramai pegawai berpengalaman untuk menjalankan rayuan yang beliau anggap sebagai kes "straight forward".

Beliau berkata, menjalankan rayuan kes itu mudah kerana Anwar hanya dibebaskan selepas diberikan pembelaan dan persepsi terhadap kerajaan tercemar dengan pelantikan Shafee.

Anwar dibebaskan Januari tahun lalu selepas dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 26, di sebuah unit di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara antara 3.10 hingga 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah ketika menyampaikan keputusannya menegaskan mahkamah tidak dapat memastikan 100 peratus integriti sampel DNA tidak terusik.

Seramai 27 saksi pendakwaan dan tujuh saksi pembelaan memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung melebihi tiga tahun itu.

Anwar memberikan keterangan dari dalam kandang saksi.

-The Malaysian Insider

Kakitangan TNB hampir putus tangan ditetak ketika potong bekalan elektrik

Posted: 29 Aug 2013 08:03 AM PDT

SUBANG JAYA - Seorang kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir terputus pergelangan tangan ditetak dua lelaki ketika melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik di Lot 190 Jalan PJS 7/23 Bandar Sunway di sini petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Tan Ah Chua, dalam kejadian pukul 5 petang itu, berlaku pertengkaran antara mangsa, Muhammad Adni Isa, 42, dengan dua suspek yang tidak puas hati dengan tindakan mangsa memotong bekalan elektrik.


"Mangsa bersama seorang rakan bertugas membuat pe motongan elektrik di hadapan tiang TNB tempat kejadian. Tiba-tiba datang dua lelaki bertanya mengapa potong elektrik.

"Tidak puas hati dengan jawapan diberikan mangsa, berlaku pertengkaran sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah membawa dua bilah parang dan menetak tangan kiri mangsa beberapa kali," katanya ketika dihubungi.

Kata Ah Chua, mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya dan diberi rawatan awal sebelum di hantar ke Pusat Perubatan Pantai Bangsar untuk pembedahan.

Sehubungan itu, Ah Chua mengesahkan, dua suspek yang berusia 33 dan 45 tahun kini ditahan untuk tindakan lanjut.

Kes di siasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau cara-cara yang merbahaya. - KOSMO!


Tiada ulasan: