Alor Setar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merangka undang-undang baru yang membolehkan sesuatu syarikat sama ada tempatan atau luar negara didakwa bagi jenayah rasuah. 

Timbalan Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Sutinah Sultan, berkata undang-undang itu yang akan dikenali sebagai 'korporat liabiliti' kini pada peringkat draf dan dijangka dibentangkan pada sesi Parlimen akan datang. 
Katanya, penguatkuasaan undang-undang baru itu disifatkan penting untuk membasmi amalan rasuah secara menyeluruh di negara ini. 


"Sehingga kini, kita tidak ada undang-undang langsung yang membolehkan kita mendakwa syarikat atau entiti yang terbabit dalam kesalahan rasuah. 

"Sebaliknya, SPRM hanya boleh mendakwa individu yang terbabit dalam jenayah rasuah walaupun kita berasakan individu bertindak demikian bagi pihak syarikat mereka," katanya berucap pada seminar integriti dan pencegahan rasuah bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta, di sini semalam. 

Pada masa sama, Sutinah berkata, undang-undang itu bukan peraturan baru, sebaliknya ia sudah diamalkan di beberapa negara lain.