Roslan SMS Corner |
Memelihara maruah wanita (26/7/13) Posted: 26 Jul 2013 12:40 AM PDT Pernah ketika saya menjadi ahli majlis bagi sebuah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor, semasa satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan nya, isu iklan yang memaparkan wanita dalam aksi yang tidak sopan dibangkitkan. Ia dibangkitkan ekoran bantahan penduduk Islam di kawasan itu. Saya telah mengeluarkan hujah mencadangkan agar iklan itu diturunkan dan tiada lagi iklan seumpama itu diluluskan. Sesungguhnya garis panduan bagi iklan-iklan awam pun jelas melarang iklan yang sedemikian. Semasa mesyuarat itu ada dikalangan ahli mesyuarat khasnya yang bukan Islam tidak bersetuju dengan mendakwa seolah PBT mahu mengekang dan mengawal industry pengiklanan yang didakwa sihat. Seorang ahli mesyuarat wanita Islam turut bersetuju dengan cadangan saya. Melihatkan seakan tiada keputusan lalu pengerusi mesyuarat iaitu Yang Dipertua Majlis (YDP) telah meminta pandangan jabatan dan agensi penguatkuasaan yang turut dijemput. Ketika itu YDP meminta pandangan wakil dari Polis Di Raja Malaysia, seorang pegawai berpangkat Inspektor, wanita bukan Islam. Dengan takdir Allah, pegawai berkenaan (walaupun bukan Islam) turut bersetuju dengan pandangan saya dengan menyatakan apa pun janganlah sampai tubuh wanita diperalatkan bagi tujuan komersil. Akhirnya keputusan diambil untuk menurunkan iklan berkenaan. Saya membawa kisah ini kerana dalam akhbar tempatan hari ini dilaporkan Persatuan Pengguna Pulau Pinang atau CAP membantah iklan pada sebuah papan tanda elektronik di Gerogetown, Pulau Pinang yang memaparkan gambar wanita yang berpakaian tidak sopan.
Menurut Presiden CAP Hj SM Mohd Idris, iklan berkenaan di Jalan Burma merendahkan maruah wanita dan perlu diturunkan. Menurut beliau lagi peraturan atau garis panduan pengiklanan yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri jelas melarang iklan seumapam itu. Malah ia turut bertentangan dengan garispanduan yang dikelaurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Di sinilah majlis tempatan atau PBT perlu memain peranan. Sebarang iklan yang berlesen perlu diluluskan oleh PBT sebelum boleh diiklankan. Diharapkan ahli-ahli majlis peka akan perkara ini dantidak bertindak membelakangankan peraturan yang sedia ada. Sekurang-kurangnya di Kelantan, kita boleh menarik nafas lega apabila semua papan tanda iklan di sana sekiranya melibatkan wanita, adalah dalam keadaan berpakaian sopan. Syabas CAP. | ||
Pengislaman anak-anak yang dibatalkan (26/7/13) Posted: 25 Jul 2013 10:12 PM PDT Saya menipu diri jika saya mengatakan tidak terusik hati apabila membaca berita muka depan akhbar The Star hari ini: "Conversion quashed" (Iaitu keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang membatalkan sijil memeluk Islam tiga kanak-kanak berbangsa India yang telah di Islamkan oleh bapa mereka (yang sebelumnya telah bercerai dengan isterinya) pada tahun 2009) Sebagai rakyat Malaysia yang menjunjung undang-undang saya akur suka tak suka perlu menerima keputsan ini (namun keputusanni belum muktamad kerana boleh dirayu di mahkamah yang lebih tinggi). Tetapi sebagai seorang Muslim saya pasti rasa terusik hati. Kanak-kanak yang dimaksudkan itu kini berusia 16, 15 dan 5 tahun. Hasil perceraian ibu-bapa, anak-anak menjadi rebutan dan apabila si bapa pula menukar agama dan memeluk Islam, situasi menjadi lebih rumit lalu naik-turun mahkamah dan inilah keputusannya, anak-anak yang telah di Islam kan oleh si bapa perlu kembali kepada agama asal kerana kata mahkamah (selain aspek teknikal) : "….the mother has equal rights to raise her children in her own religion" (….ibunya turut mempunyai hak yang sama menjaga anak-anaknya menurut agama kepercayaannya) Banyak pihak sebagaimana dilaporkan oleh akhbar dan media sosial mengalu-alukan keputusan ini keranan kononnya menepati Perlembagaan Persekutuan, namun saya yakin ramai juga yang sebaliknya, cuma ketidakpuasan hati mereka tidaklah pula dilaporkan. Sebenarnya keputusan ini pun terus boleh dibahas dan dihujah, mungkin pihak Jabatan Agama perlu mengkajinya (dari aspek dan pentafsiran Perlembagaan Persekutuan). Kalau si ibu punya hak yang sama bermkana kedua-dua ibu dan bapa masing-masing punya hak. Jika demikian apa kata anak-anak tadi dijaga tanpa agama sehinggalah mereka mencecah usia 18 tahun dan kemudian dipanggil mahkamah untuk memilih agama mana yang mahu mereka turuti, agama bapa atau ibu. Jika si ibu diberi hak penjagaan, pastikan si ibu tidak mempengaruhi anak-anaknya mengikuti agamanya. Biarkan mereka bebas tanpa dipaksa apabila melibatkan istiadat serta majlis keagamaan. Pasti sukar. Benar dan saya setuju apabila Hakim Lee Swee Sung dalam keputusannya semalam menyebut: "This is not a victory for anyone but for all to be living in peace and our differences need not divide us" (Ini (keputusan beliau) bukannya kemenangan untuk sesiapa tetapi buat semua agar hidup dalam aman dan perbezaan kita tidak membezakan antara kita) "Regardless of our faiths we must have the highest regard for one another" (Tidak kira agama kita, masing-masing perlu menghormati antara satu sama lain) Saya harapkan kaedah pengislaman melalui Jabatan-jabatan agama diperbaiki dan dikemaskini, jangan longgar sehingga memungkinkan kes seumpama ini berlaku. Konflik antara bidang-kuasa mahkamah syariah dan sivil masih belum beres dalam Negara kita dan kes-kes seumpama ini masih banyak lagi yang belum diputuskan. Apa pun biarlah menarik rambut dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Wallahualam. |
You are subscribed to email updates from Roslan SMS Corner To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan