Jamil Khir Baharom YAN - Sesiapa sahaja yang mengamalkan Syiah tidak akan diterima fahaman itu di negara ini, sebaliknya akan dikenakan tindakan tegas tanpa mengira status atau fahaman politik mereka, demikian tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
  
Beliau berkata apabila bercakap tentang Syiah, anggotanya amat sukar dikesan kerana golongan itu selalunya menyembunyikan identiti dan sering berbohong bagi mengelakkan diri mereka dikesan menganuti fahaman itu.
  
"Kalau nak kata ada mana-mana pemimpin politik terlibat Syiah, yang tu kita tak tau. Tapi kalau sebut fasal siapa anut Syiah, tak kira dia parti apa akan ditolak di negara kita.
  
"Lagipun kena ada bukti yang kukuh, kita tidak boleh senang-senang tuduh siapa (anut Syiah) sebab mereka dibenarkan berbohong, itu rukun yang mereka pegang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan hari raya untuk golongan kurang bernasib baik dalam Dun Guar Chempedak di sini hari ini.