MIMPI SENJA |
- Siapa Mohamed Salleh [Pembekal dakwat tidak kekal]
- PRK Kuala Besut : Kempen semakin panas, BN dan PAS mula serang menyerang
- Rafizi dedah nama syarikat pembekal dakwat kekal PRU 13
- Mengapa 2 budak Cina persenda Islam dibebaskan? - Datuk Syed Ali Alhabshee.
Siapa Mohamed Salleh [Pembekal dakwat tidak kekal] Posted: 16 Jul 2013 08:25 PM PDT Pencarian siapa Mohamed Salleh Mohamed Ali bermula apabila nama itu diumumkan di Parlimen oleh pembangkang sebagai pembekal dakwat kekal kontroversi yang digunakan semasa Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13). Setakat ini, semakan mendedahkan: beliau adalah ahli perniagaan berumur 47 tahun dan menguruskan syarikat Integrated Challenger (M) Sdn Bhd di Shah Alam. Tiada respon apabila panggilan telefon dibuat ke pejabatnya petang semalam. Semakan juga mendapati Mohamed Salleh mempunyai 11 saman yang belum dibayar dan kenderaan digunakan untuk kesalahan adalah Porsche Cayenne dan Toyota Alphard. Ahli perniagaan ini menjadi terkenal dalam sekelip mata semalam apabila Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberitahu Parlimen beliau adalah pembekal dakwat kekal. Pengarah Strategi PKR itu juga mendakwa Mohamed Salleh rapat dengan kepimpinan tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Tiga minggu lalu Rafizi mencabar SPR untuk mendedahkan pembekal dakwat kekal itu dan jika gagal, beliau berjanji untuk mendedahkannya di Parlimen. Beliau berkata semalam, penyiasatannya mendedahkan pemberian kontrak untuk bekalan dakwat kekal diberikan kepada syarikat yang pemiliknya tidak mempunyai kemahiran dalam urusan itu. Syarikat itu juga tidak mempunyai modal untuk pembelian dakwat kekal dan pemiliknya meminta pinjaman daripada seorang ahli perniagaan dari Kampung Baru sebanyak RM7 juta. Dakwat itu menjadi kontroversi selepas pengundi mengatakan ia mudah dibasuh dengan menggunakan sabun. Sebelum itu SPR berjanji dakwat itu mampu bertahan selama tujuh hari. Pakatan Rakyat (PR) mendakwa oleh kerana dakwat itu gagal, ramai pengundi boleh mengundi lebih dari sekali, menyebabkan berlakunya penipuan. Gabungan pembangkang memfailkan saman di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan keputusan PRU13 dan mahukan pilihan raya semula dengan alasan SPR gagal dalam hal dakwat kekal. Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan berkata, dakwaan pembekal dakwat mempunyai kaitan dengan kepimpinan tertinggi SPR memerlukan siasatan lanjut. "Saya terkejut dengan pendedahan ini. Ia menambahkan keraguan kerana mereka sebelum ini enggan mendedahkan nama pembekal," katanya dan menambah, pendedahan ini menimbulkan lebih banyak keraguan dengan kemampuan SPR untuk menjalankan pilihan raya bersih dan adil. Katanya, kontroversi terbaru berhubung pembekal dakwat menyebabkan keperluan untuk panel bebas menyiasat isu ini. Petang semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menafikan mempunyai kaitan dengan Mohamed Salleh dan menyatakan pihak yang menguruskan pembelian dakwat adalah setiausaha suruhanjaya itu, Datuk Kamarudin Baria. "Setakat yang saya tahu urusan pembelian itu berjalan dengan baik dan mendapat kelulusan Kementerian Kewangan. Lebih baik hal ini dilanjutkan kepada Kamarudin kerana saya dan timbalan tidak mencampuri urusan urusetia," kata Abdul Aziz merujuk kepada timbalannya Datuk Wan Ahmad Wan Omar. – 17 Julai, 2013. |
PRK Kuala Besut : Kempen semakin panas, BN dan PAS mula serang menyerang Posted: 16 Jul 2013 06:41 AM PDT Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut masuk ke fasa kedua. Kalau sebelum ini, kedua-dua pihak yang bertanding menerangkan tujuan mereka menyertai pilihan raya ini, mulai semalam kedua-dua pihak melepaskan peluru serangan kepada lawan masing-masing. Penceramah Barisan Nasional (BN) secara terbuka menyerang tema kempen PAS, 16:16 Kuala Besut cipta sejarah. "Ini bukan cipta sejarah, ini mahu mencipta huru-hara. Kita nak huru-hara dan tak stabil ke adik kakok," kata seorang penceramah BN dalam ceramahnya di perkarangan bazar Ramadan pekan baru Kuala Besut. BN dari awal lagi mengajak pengundi Kuala Besut agar mengundi calonnya bagi menwujudkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negeri Terengganu. Pengarah pilihan raya BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dari awal lagi menegaskan kemenangan BN perlu untuk kestabilan kerajaan dan politik Terengganu. Hanya dengan kestabilan sahaja kerajaan negeri dapat memberikan tumpuan untuk membantu rakyat, kata Muhyidin ketika memperkenalkan calonnya, Tengku Zaihan Cheku Abd Rahman. Jika BN kalah dalam pilihan raya kecil ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN akan sama ramai dengan Adun Pakatan Rakyat (PR) dalam DUN Terengganu iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 anggota itu. Bagi BN ini akan menghasilkan huru hara dan ketidakstabilan kepada politik dan pentadbiran. Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan slogan untuk mencipta sejarah. Ini kerana, apabila ini berlaku, semua pihak akan memberikan tumpuan untuk menjaga rakyat bagi memastikan rakyat menyokong mereka. "Kita mahu jaga kepentingan BN ke rakyat. Kalau BN menang bukan rakyat yang untung tetapi kerajaan BN yang stabil. Bila BN stabil, mereka tidak akan menjaga kepentingan rakyat," kata seorang pemimpin PAS Terengganu. Selain menyerang asas kempen masing-masing, kedua-dua pihak juga mula melepaskan peluru ke pihak lawan. PAS hari ini menyerang secara langsung kegagalan calon BN ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Parit dan Saliran (JPS) Daerah Besut dari tahun 2008 - 2013. Kegagalan paling besar beliau selaku Jurutera JPS adalah membaik pulih Empangan Lowvier Kampung Nangka yang menyebabkan 1,000 ekar sawah padi kering kontang dan tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu. Akibatnya 400 keluarga petani atau kira-kira 2,000 penduduk hilang mata pencarian dan tidak boleh menanam padi sejak tiga musim lalu. "Saya meletakkan kesalahan ini di atas bahu Tengku Zaihan selaku pegawai yang bertanggungjawab," kata Datuk Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat dalam sidang medianya hari ini. BN pula menjadikan kesilapan calon PAS dalam memberikan kenyataannya kepada media. Beliau didakwa mahu lari dari tanggungjawab apabila mahu melantik wakilnya di Kuala Besut jika menang, sedangkan beliau mahu menguruskan perniagaannya di Kelantan. Padahal yang dimaksudkan Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che Long adalah mahu melantik pegawai untuk membantu beliau melaksanakan tugasnya dan semua gaji beliau sebagai wakil rakyat akan digunakan untuk kepentingan rakyat. Che Long adalah seorang kontraktor kelas A. Beliau banyak mendapat kontrak projek kerajaan negeri dan persekutuan berdasarkan rekod syarikatnya. Che Long bermula sebagai seorang peniaga stor kayu dan pasir di Kampung Baru, Kuala Besut. Dari situlah perniagaan beliau berkembang kepada seorang kontraktor yang berjaya. Memang calon PAS tidak berpelajaran tinggi sebagaimana calon BN tetapi faktor beliau sebagai orang yang sangat terkenal di kalangan pengundi Kuala Besut adalah faktor utama kenapa PAS memilih beliau sebagai calon. Sebut saja, golongan mana sekali pun di Kuala Besut ini semuanya mengenal Che Long. Ini menyebakan PAS menjadikan antara tema kempen untuk Che Long adalah 'Mudoh baso, mudoh jembo'. 'Mudoh baso' adalah orang yang senang dibuat kira bicara dalam kehidupan seharian, manakala 'mudoh jembo' adalah orang yang senang ditemui untuk mendapatkan sebarang bantuan. Ramai yang beranggapan, jika PAS menang dalam pilihan raya ini, faktor utamanya adalah calonnya iaitu Che Long berbanding dengan calon BN yang hanya sekolah rendah di Besut, manakala sekolah menengah dan universiti di luar Besut. Beliau juga kini tinggal di Putrajaya dan hanya berharap kepada bapanya seorang bekas guru agama Felda. -16 Julai, 2013. |
Rafizi dedah nama syarikat pembekal dakwat kekal PRU 13 Posted: 16 Jul 2013 03:02 AM PDT Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli hari ini mendedahkan nama syarikat yang didakwa sebagai pembekal bagi dakwat kekal untuk kegunaan semasa pilihan raya umum 5 Mei. Rafizi dalam ucapannya di Dewan Rakyat hari ini turut menyebut nama individu yang didakwa sebagai pemilik syarikat terbabit serta nombor kad pengenalan individu berkenaan. Beliau juga mendakwa, pemilik syarikat tersebut mempunyai syarikat lain yang juga telah mendapat kontrak lain secara rundingan terus dengan kerajaan. Rafizi mendakwa beliau mengetahui demikian dari "maklumat dalaman oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya)". "Maknanya, pemilik syarikat ini pakar perundingan terus kepada kerajaan. Semua dia dapat. Sebab dia rapat dengan pimpinan kerajaan termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi SPR. "Sebab itu saya faham kenapa Kinabatangan (Bung Mokhtar Radin) tak ada (kontrak). Saya faham kenapa Kinabatangan merungut semalam," kata Rafizi. Pengarah strategi PKR itu seterusnya berkata, kaedah rundingan terus tanpa kontrak terbuka itu merupakan antara satu perkara yang menyebabkan peningkatan jumlah belanjawan saban tahun. "Kalau tanpa kontrak yang terbuka dan apabila rundingan dibuat secara terus, tentu kosnya tinggi dan tak tertakluk pada harga pasaran. "Bukan sahaja kos tinggi tetapi banyak keadaan apabila mutu perkhidmatan dan barangan yang didapat itu tidaklah memuaskan dan merugikan wang rakyat," katanya. Beliau seterusnya mengaitkan peruntukan sebanyak RM400 juta yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan kepada SPR untuk menguruskan pilihan raya umum ke-13. "Contoh paling baik yang tersenarai dalam senarai belanja yang diminta untuk diluluskan kali ini adalah mengenai rundingan terus perbekalan barang-barang pilihan raya termasuk baju, topi dan yang paling hebat sekali dakwat kekal (kepada SPR). "Sehingga hari ini, kita masih tunggu jawapan SPR siapa sebenar pembekal dakwat kekal. Bukan sahaja mahal tapi tak boleh pakai. "Oleh SPR dan Menteri tak bersedia terus terangkan maka saya mohon menteri dalam sesi pergulungan mengesahkan maklumat mengenai pembekal dakwat kekal yang telah dimaklumkan dan disiasat," katanya. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam satu jawapan bertulis di Parlimen pada 26 Jun lalu menyatakan bahawa kos untuk penggunaan dakwat kekal itu berjumlah RM6.9 juta. Malaysiakini akan mendapatkan reaksi syarikat dan individu terbabit sebelum menyiarkan nama tersebut. |
Mengapa 2 budak Cina persenda Islam dibebaskan? - Datuk Syed Ali Alhabshee. Posted: 16 Jul 2013 01:08 AM PDT Apakah kita takut bertindak kerana ingin menjaga perasaan orang lain sedangkan maruah agama Islam dihina sebegitu, kata Datuk Syed Ali Alhabshee. PETALING JAYA: Umno Cheras mempersoalkan mengapa pihak berkuasa tidak berani mengambil tindakan terhadap paasangan bukan Islam yang mempersenda Ramadan. Apakah kita takut bertindak kerana ingin menjaga perasaan orang lain sedangkan maruah agama Islam dihina sebegitu, kata ketuanya Datuk Syed Ali Alhabshee. Katanya, jika pihak berkuasa agama dan termasuk mereka yang bertanggungjawab dalam undang-undang tidak bertegas dalam perkara ini, akhirnya 'kepala umat Islam' di negara ini akan terus dipijak oleh bukan Islam. Beliau menambah aruah umat Islam di negara ini akan berterusan berada di tahap yang paling hina jika pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee dilepas begitu sahaja tanpa sebarang tindakan undang-undang. Pasangan itu mencemarkan kemuliaan Ramadan dengan mengucapkan 'selamat berbuka puasa dengan bak kut teh wangi, enak dan menyelerakan. Menurutnya, pasangan tersebut yang sebelum ini terkenal dengan blog seks sepatutnya didakwa di mahkamah dan wajar dijatuhkan hukuman setimpal agar menjadi teladan dan peringatan kepada mereka yang sengaja mempersenda dan menghina kemuliaan agama Islam. Katanya, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail turut menjelaskan bahawa Alvin dan Vivian boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk di bawah Akta Hasutan dan Akta Komunikasi dan Multimedia, tetapi mengapa sehingga ke hari ini tidak ada sebarang tindakan yang dibuat. `Double standard' Syed Ali berkata, beliau bimbang akibat daripada itu, akan menimbulkan pelbagai persepsi di kalangan umat Islam bahawa penguatkuasaan undang-undang berhubung kesucian agama Islam di negara ini dilakukan tidak tegas dan 'double standard'. Beliau menyebut contoh bagaimana pihak berkuasa agama begitu 'tegas' setiap kali datangnya Ramadan terhadap mana-mana individu Islam yang tidak berpuasa dengan peruntukan undang-undang sedia ada yang boleh dipenjara atau dikenakan denda jika sabit kesalahan. "Tetapi dalam isu dua anak Cina yang hina umat Islam dengan sup tulang babi dibiarkan bebas hanya dengan ucapan minta maaf, ini akan menimbulkan kekecewaan dan kemarahan rakyat terhadap ketelusan pihak kerajaan menguatkuasakan undang-undang," tegasnya. Katanya, apabila rakyat marah kepada kerajaan secara tidak langsung mereka akan menunding jari terhadap Umno sebagai parti tonggak kerana tidak berani mempertahankan maruah dan kesucian agama Islam apabila secara nyata dihina oleh bukan Islam. "Ini sesuatu yang serius, saya bimbang masyarakat umum akan menyalahkan Umno dengan dakwaan tidak berani bertindak terhadap bukan Islam yang hina agama kita, akhirnya orang Melayu dan umat Islm mula akan menjauhkan diri daripada parti," tegasnya. Menurut Syed Ali lagi, pihak berkuasa agama seharusnya lebih sensitif dan peka terhadap mana-mana pihak yang berniat jahat untuk menimbulkan kemarahan umat Islam menerusi penghinaan terhadap kesucian agama Islam. "Pihak berkuasa kena siasat secara serius, kenapa mereka berani hina dan cerca agama Islam menerusi laman-laman sosial, apa motif mereka dan siapa sebenarnya dalang disebalik perbuatan biadab itu," tegasnya dalam blognya hari ini. |
You are subscribed to email updates from MIMPI SENJA To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan