Isnin, 8 Julai 2013

Kerabu Bersuara ®

Kerabu Bersuara ®


Ngeri! Kereta Honda Berkecai Rempuh Treler Mayat Bergelimpangan

Posted: 08 Jul 2013 08:46 AM PDT

 
tentera_maut
tenteramaut

KOTA BHARU- Hajat empat sahabat untuk menghadiri majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila dua maut dan dua cedera dalam nahas yang melibatkan empat kenderaan di Jalan Kota Bharu-Pasir Puteh di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, kereta jenis Honda Accord yang dinaiki keempat-empat mangsa yang merupakan anggota tentera dari Kem 21 Rejimen Askar Melayu (RAMD 21) Pengkalan Chepa, dipercayai dari arah Kota Bharu ke Melor hilang kawalan selepas gagal mengelak sebuah kenderaan lain yang membuat pusingan U dari arah bertentangan.

Akibat kemalangan itu kenderaan yang dinaiki mangsa, turut melanggar kereta jenis Iswara yang berada di hadapannya sebelum merempuh treler yang diparkir di bahu kiri jalan.

Kedua-dua mangsa yang maut, adalah Firdaus Abd Rani 23, penumpang belakang Mohd Nor Hamidi, 23, manakala Abdul Halim Husin, 24 juga penumpang belakang cedera parah selain pemandu Ferdaus Che Fadzil 29, hanya mengalami cedera ringan,

Saksi kejadian, Nik Hazan Nik Mat, 40 berkata semasa kejadian, dia dalam perjalanan dari Pasir Tumboh ke Kota Bharu, terkejut melihat sebuah kenderaan yang dipercayai milik rakannya hancur selepas terlibat dalam kemalangan.

"Saya terkedu apabila melihat dua mayat bergelimpangan di atas jalan di samping kenderaan yang berkecai serta sebuah lagi kereta jenis Iswara yang turut berada di belakang treler yang diparkir dalam keadaan yang tidak sempurna kesan dari pelanggaran terbabit.

"Melihatkan keadaan itu, saya terus mendekati mayat dua rakan dan melaporkan kepada pihak berwajib mengenai kejadian ini," katanya kepada pemberita di tempat kejadian, malam kelmarin.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Azham Othman mengesahkan menerima laporan, dan mayat Firdaus, yang berasal dari Machang dan Mohd Nor Hamidi yang berasal dari Kulim, Kedah telah dituntut keluarga masing-masing.

"Setakat ini kita masih mengesan pemandu Iswara dan treler berkenaan bagi membantu siasatan dan kes ini disiasat di bawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Isu gaji: Rafizi diminta kemuka bukti

Posted: 08 Jul 2013 08:43 AM PDT


KUALA LUMPUR - Anggota pembangkang Mohd Rafizi Ramli hari ini diminta mengemukakan bukti berhubung dakwaannya bahawa terdapat gaji pekerja syarikat kenderaan diturunkan berikutan langkah syarikat itu menurunkan harga kereta keluarannya.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata maklumat itu perlu kerana setakat ini kementerian tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara itu.

"Kami tidak ada terima laporan bahawa selepas Proton atau Perodua atau Nissan atau Mazda, turunkan harga (kereta), gaji (pekerja) diturunkan, kalau (anggota Parlimen) Pandan ada maklumat, sila beri kepada saya. Saya nak tahu syarikat yang potong gaji.

"Kita juga tidak terima laporan ada syarikat yang kurangkan harga (kereta tertentu) tetapi naikkan (harga) model lain, begitu juga laporan bahawa ada syarikat yang turunkan harga tetapi potong bonus," katanya.

Berucap menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini, Mustapa menggesa Mohd Rafizi (PKR-Pandan) menyerahkan bukti itu bagi membolehkan siasatan dibuat mengenai dakwaan itu.

Mohd Rafizi ketika membahaskan usul sama sebelum ini turut mendakwa langkah kerajaan menurunkan harga kereta secara berperingkat menyebabkan kenaikan harga model lain selain kualiti kereta menurun.

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai serius, Mustapa berkata beliau ingin tahu syarikat yang mengambil tindakan sedemikian supaya boleh dirujuk kepada Tribunal Pengguna.

"Ini satu dakwaan yang serius, saya pun nak tahu juga syarikat mana yang menurunkan kualiti kereta mereka. Jika benar, maka ini boleh dirujuk kepada Tribunal Pengguna atau Persatuan Pengguna.

"Ini satu dakwaan yang berat terhadap syarikat. Saya minta (anggota Parlimen) Pandan beri bukti," katanya.

Beliau menjelaskan terdapat empat faktor yang menentukan harga sesebuah kereta iaitu kos pengeluaran yang melibatkan kos buruh, material dan komponen import, duti eksais, cukai jualan dan margin atau kadar keuntungan yang ditetapkan syarikat.- Bernama

Umat Islam mula puasa Rabu ini

Posted: 08 Jul 2013 05:59 AM PDT




KUALA LUMPUR - Umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa Rabu ini.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad ketika mengumumkan demikian berkata tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia telah ditetapkan pada Rabu, 10 Julai 2013, bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Pengumuman itu disiar secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab. - Bernama

Tiada ulasan: