Ahad, 21 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Ahmad Said Utamakan Zoo Daripada Pendidikan

Posted: 21 Jul 2013 12:31 AM PDT

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said didakwa lebih mengutamakan haiwan dengan pembinaan projek zoo dan juga zon bebas cukai, berbanding melengkapkan projek Taman Ilmu di Tembila, Besut yang dibawa oleh bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh pada 2004.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad Shah mendakwa sejak Ahmad Said mengambil alih tampuk pimpinan Terengganu, projek Taman Ilmu yang di bawa Idris diabaikan, termasuk dari segi kewangan dan keutamaannya.

Projek di atas tapak seluas 700 ekar telah diperuntukkan beberapa universiti dan kolej pendidikan.

"Sehingga hari ini, taman ilmu masih belum disiapkan sepenuhnya dan CF tidak boleh dikeluarkan untuk mana-mana bangunan untuk digunakan.

"Dalam masa yang sama, dua daripada bangunan-bangunan yang dibina telah mengalami masalah struktur di mana satu daripadanya mungkin terpaksa diroboh dan satu lagi mengalami masalah yang hampir sama," katanya.

Malah beliau turut mendakwa, disebabkan faktor kewangan, kontraktor yang dianugerahkan projek berkenaan telah menjalankan "mutual agreement" dengan kerajaan negeri bagi menghentikan pembinaan projek Taman Ilmu yang kini telah pun siap hingga 90%.

"Bila perkara itu diwujudkan Idris Jusoh, pada 2005 tender itu telah diberikan beberapa kontraktor, beberapa universiti juga telah dikenalpasti untuk diletakkan di taman ilmu," katanya ketika sidang media di Markaz PAS di sini.

"Keutamaan yang sepatutnya diberi kepada anak serta penuntut tempatan telah disalurkan kepada projek memelihara haiwan-haiwan liar yang mahal dengan projek bernilai berjuta-juta ringgit.

"Dalam masa yang sama kerajaan sedang berbelanja beratus juta ringgit membina kompleks bebas cukai di Pulau Bayas di tengah ceruk hutan Tasik Kenyir," dakwanya lagi.

Alasan yang digunakan Ahmad Said, jelas Raja Kamarul Bahrin, adalah bahawa projek berkenaan merupakan beban kepada negeri.

"Tetapi pada pendapat saya ia soal keutamaan. Tanpa zoo dan barangan bebas cukai kita masih boleh hidup," tegasnya lagi. -TMI

Ulasan GB

Ringkas saja, UMNO BN mempunyai ramai menteri-menteri & MB/KM cap ayam dan MB Terengganu adalah salah seorang dari mereka.

Agenda 16:16 Paling Menguntung Rakyat Terengganu

Posted: 20 Jul 2013 11:05 PM PDT


PAS memberi jaminan dapat menyelesaikan isu diskriminasi agihan peruntukan kepada DUN yang dimenangi Pakatan Rakyat sekiranya menang kerusi Dewan Undangan (DUN) Kuala Besut.

Walaupun tidak membentuk kerajaan baru yang sah di Terengganu, PAS meramalkan kemenangan 16:16 mampu menyekat Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said daripada menganiayai kawasan-kawasan DUN Pakatan Rakyat.

"Sebelum ini, Menteri Besar pernah berkata kerajaannya tidak memberikan peruntukan perumahan kepada kawasan yang BN tewas," kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya lagi, iika pengundi Kuala Besut menjadikan kedudukan DUN 16:16 24 November ini, perkara ini boleh dielakkan.

"Para penyokong BN di Kuala Besut juga disarankan memberikan undi kepada calon PAS supaya Ahmad Said tidak turut menganiaya penyokong BN yang menyokong mereka di kawasan DUN yang dimenangi pembangkang," kata beliau dalam satu kenyataan.

Beliau berpandangan senario 16:16 mampu menyeimbangkan peranan PAS dalam DUN bagi membolehkannya memastikan segala dasar, perbelanjaan, projek dan pembangunan yang ingin dilaksanakan berjalan dengan lebih adil dan telus.

Beliau bagaimanapun menegaskan Terengganu tetap kekal milik BN kerana perlantikan Menteri Besar dan Speaker telah dibuat, dan Dewan Undangan Negeri telah dibentuk.

"16:16 adalah satu anjakan bagi kepentingan rakyat Terengganu keseluruhannya bagi mengawal pelbagai projek yang membazir, mencari punca kepada pelbagai peristiwa bumbung bangunan runtuh, menyekat penyalahgunaan kuasa dan membendung ketidakadilan dalam pentadbiran kerajaan sekarang.

Rakyat Terengganu adalah pihak yang untung jikalau PAS memenangi PRK Kuala Besut 24 Julai ini," katanya.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum ini menyifatkan usaha PAS mewujudkan pentadbiran kerajaan Terengganu yang tergantung menerusi kempen 16:16 tidak akan diterima rakyat dan ia tindakan populis bagi meraih perhatian pengundi Kuala Besut.


Apa ertinya 'Agenda 16-16' kepada pengundi Kuala Besut?


Ramadhan Mubarak adalah bulan anugerah AlLah SWT buat seluruh ummat Islam. Semua ummat Islam yang diberi Allah usia dan kesihatan layak menjadi peserta dan mengecapi kelebihan berpuasa di bulan yang mulia ini.

Dalam bulan ini juga AlLah SWT memberikan pelbagai 'bonus' istimewa kepada barang siapa yang AlLah pilih. Sukar untuk mendapat kepastian siapa yang terpilih untuk pemberian 'bonus' ini seperti beramal ketika Lailatul Qadr.

Namun satu lagi 'bonus' yang menjadi pemberian AlLah lebih mudah dapat disaksikan siapakah penerimanya pada Ramadhan 1436H ini.

Ya, negara yang baru sahaja selesai pilihanraya umum ke-13 baru-baru ini sedang menyaksikan pilihanraya kecil (PRK) yang pertamanya. Hanya dalam pengetahuan Ilahi, mengapa negeri Terengganu dan khususnya DUN N.01 Kuala Besut, 'dipilih' AlLah SWT sebagai PRK pertama.

Umum sedar bahawa Pilihanraya Kecil sememangnya 'bonus' untuk sesebuah daerah atau kawasan parlimen. Hakikatnya PRK membawa pelbagai 'habuan' dan 'pemberian' dalam beranika rupa untuk rakyat dan pengundi. Pemberian wang tunai, pemberi-milikan tanah, jalan raya ditampal, peruntukan infrastruktur mencecah ratusan juta ringgit termasuk pemberian anak lembu, kambing dan ayam, menjadi amalan lumrah peguasa politik Umno-BN.

Namun mampukah pengundi-rakyat Kuala Besut benar-benar dapat menjadikan peluang ini 'bonus' ini sebagai 'peluang kedua' untuk melakukan apa yang telah 'gagal' mereka capai dalam PRU ke-13 yang lalu.

Peluang seperti ini adalah cukup unik untuk rakyat Kuala Besut yang mungkin tidak akan mereka ketemui dalam jangka hayat mereka lagi. Kebarangkalian peluang ini berlaku, tidak senang diramalkan dan tidak siapa dapat ramalkan mentelahan negara baru sahaja usai 'perang besar'nya dalam PRU ke-13.

Sesungguhnya Takdir AlLah mendahului tadbir manusia. Sebelum kematian AlLahyarham Adun Kuala Besut, Dewan Undangan (DUN) Terengganu terikat dengan keputusan 17-15 dengan BN memilikki lebihan 2 kerusi negeri. Kini sebutan keramat bagi mencapai matlamat kedudukan kerusi '16:16', bukan sahaja menjadi ramalan pihak kolumnis akhbar tempatan bahkan cerdik pandai, ahli akademik dan professor di menara gading. Tidak kurang juga topik ini menjadi mainan di bibir penduduk di kedai-kedai kopi dan sembang selepas more solat tarawikh.

Persoalan Besarnya ialah;

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini untuk melakukan sesuatu yang bakal terakam sebagai satu sejarah politik negara yakni mengikat kedudukan 16-16 ?

Mampukah pengundi-penduduk Kuala Besut mengambil peluang ini melakukan 'kejuta besar' untuk memenangkan calon PAS-Pakatan Rakyat sekaligus mengakibatkan satu senario ini yang belum pernah berlaku dalam sejarah politik negara yang telah Merdeka selama 57 tahun ini?

Persoalan lebih dasar dan wajib dibahaskan dahulu ialah;

Mengapakah pengundi-rakyat Kuala Besut wajar bahkan hampir 'wajib' mempastikan pencapaian 16-16?

Inilah yang akan cuba di yakinkan penulis supaya pengundi-rakyat memahami kemestian untuk bersama-sama untuk menggalas 'amanah besar' ini.

Apa itu 16-16 dan apa pula implikasinya?

Pertamanya, 16-16 bermakna kedua-dua belah pihak samada Barisan Naisonal (BN) atau Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kelebihan kerusi dan undi dalam belah-bahagi yang dilalukan dalam perbahasan enakmen atau usul dalam DUN. Pungutan suara atau belah-bahagi akan bakal berakhir dengan seri 16-16, dengan andaian semua ahli DUN hadir dari kedua-dua pihak.

Peruntukan bahawa Yang Dipertua DUN (Speaker) yang dikatakan mempunyai 'Undi Penentu' atau "Casting Vote" dalam suasana keputusan undian 'belah-bahagi' terikat 16-16, hanya boleh digunakan kalaulah Speaker adalah seorang ahli DUN yang dipilih rakyat dan bukan yang dilantik kerajaan yang secara 'perlantikan' bukan dari anggota-ahli DUN yang dipilih rakyat. Keadaan di DUN Terengganu adalah seperti yang kedua yakni Speaker dilantik.

Ini membawa kita kepada 2 lagi senario atau kemungkinan. Pertama; Tuanku Sultan Terengganu memilih seorang Menteri Besar (MB) dari mana-mana belah pihak samada BN atau PR, yang pada hemat Tuanku Sultan mendapat kepercayaan rakyat Terengganu.

Andainya Baginda tidak mahu memilih maka senario terakhir maka opsyenya ialah membubarkan DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada satu pemilihan kerajaan baru dalam satu pilihanraya negeri Terengganu melibatkan seluruhnya 32 kerusi negeri.

Walaubagaimana pun PAS bersedia dengan kemungkinan Tuanku Sultan akan memilih MB dari BN. PAS bersedia bertindak untuk menjadi pembangkang yang kuat dengan Umno-BN kekal sebagai kerajaan negeri Terengganu.

Penulis berpandangan bahawa bagi mendapatkan sebahagian besar 'pengundi atas pagar', senario Umno-BN kekal berkuasa adalah lebih memberikan 'keselesaan' untuk segmen pengundi ini. Faktor 'Calon', disamping 'Isu dan Jentera' juga adalah kritikal dalam PRK ini. Pelbagai 'isu' sedang sengit diperbahaskan dan berembung dalam PRK ini. PAS disaksikan mendominasikan 'terjahan isu' sementara Umno terpaksa mengikut rentak dan cuba menjawab balas.

Calon PAS Sdra Che Long, seperti diketahui umum mempunyai tarikan dan 'goodwill' tersendiri yang menjadikan 'pengundi atas pagar' selesa dengan beliau. Sangat menasabah segmen pengundi akan memberikan kelebihan undi kepada calon PAS ini.

Maka dalam percaturan strategi seperti itu, adalah realistik mengunjurkan bahawa ' pengundi atas pagar' akan tergalak untuk memberikan kemenangan kepada calon PAS kalau tidak berlaku pertukaran kerajaan.

Ini sekaligus akan menyempurnakan 'Agenda 16-16 PAS' dalam PRK Kuala Besut nanti tanpa mencetuskan pelbagai senario ketidakstabilan dan huru-hara seperti digembargemburkan oleh pemimpin Umno.

Pengundi Kuala Besut menjadi 'King-Maker'?

Dengan kata lain, pengundi Kuala Besut telah menjadi 'King-Maker' dalam penentuan arus politik negeri Terengganu. Walaupun apa pun senario kesudahan selepas 16-16 tercapai, jelasnya keputusan PRK ini akan menentukan masa depan politik negeri Terengganu. Itu yang dimaksudkan bahawa Kuala Besut mencipta sejarah.

Mengapakah rakyat-pengundi Kuala Besut perlu menjadi 'King-Maker' dalam politik Terengganu adalah penting untuk difahami pengundi dalam PRK N 01 ini. Untuk perhatian pengundi Kuala Besut, bukan sahaja keputusan PRK menentukn politik negeri Terengganu, bahkan seperti disebutkan oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Menteri Belia dan Sukan, ia penentu dalam survival kerjaya politik DS Najib Tun Razak sendiri selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO! Bukan kepalang! Huraiannya tidak semudah sebutannya dan di sini bukan pentasnya.

Mengapa pengundi Kuala Besut mesti menjayakan 16-16?

1. Memberikan isyarat yang tajam dan peringatan keras kpada penguasa dan pemimpin politik Umno bahawa kepentingan rakyat di Kuala Besut khususnya dan Besut serta Terengganu amnya, tidak boleh lagi di ambil ringan. Kedudukan kemiskinan dan Kuala Besut serta ranking Terengganu sebagai negeri termiskin mesti ditamatkan dengan keputusan 16-16 dalam PRK ini.

2. 'Agenda 16-16' adalah gagasan membangunkan Kuala Besut khasnya dan Terengganu amnya! Ia adalah semacam 'manifesto' PAS dalam PRK ini untuk mewujudkan 'Pembangunan Mapan' dan 'Keadilan Untuk Rakyat Terengganu' sekaligus membenteras kezaliman serta peminggiran rakyat dalam arus pembangunan serta pembolotan kekayaan oleh penguasa politik.

3. Lebih terperinci 16-16 memberikan amaran kepada pemimpin Umno bahawa Kuala Besut jangan lagi tercicir dan terpinggir dari arus pembangunan berbanding dun-dun dalam kawasan Besut itu sendiri. 16-16 akan mempastikan pembangunan seimbang akan dicapai dan setaraf dengan Jerteh dan Kota Putera. Kuala Besut bakal menjadi Bandar lestari.

4. Memperbaikki sistem perairan-empangan di Kuala Besut seumpama di alami petani sawah di Kampong Nangka, Kampung Baru, Gong Manok dan Kampong Tok Saboh dengan mendayakan kelompok ini dengan infrastruktur perairan-empangan sekaligus menebus guna 1000 ekar tanah terbiar. 16-16 akan mengizinkan penanaman padi dua kali setahun dapat diusahakan bagi meningkatkan pendapatan petani.

5. Memajukan Kuala Besut sebagai kawasan pelancongan yang berdaya maju dan menarik dengan menaikkan taraf jeti Kuala Besut untuk menarik lebih ramai pelancong untuk ke Pulau Perhentian kecil dan Perhentian besar. Pastikan RM250 juta yang dijanji oleh TPM segera di bayar dan perancangan yang lebih mapan perlu disusun dan dilaksanakan.

6. 16-16 akan mempastikan rakyat khasnya kelompok nelayan yang memerlukan akan diberikan tanah untuk kediaman dan menangani aspek gejala sosial khususnya di kalangan muda-mudi. Pendidikan dan persoalan kerjaya mereka ditangani secara berkesan. 16-16 tidak akan mengizinkan tanah tanah berharga seperti dipesisir pantai dan di pulau-pulau pelancongan di'anugerahkan' kepada wakil-wakil rakyat seperti amalan lama sementara rakyat ternafi.

7. 16-16 akan dapat menjadikan Dewan Undangan Negeri sebagai pentas semak-imbang paling berkesan dalam perbelanjaan RM1.8 bilion wang ihsan dan dana khas dalam perbelanjaan ybajet negeri (RM2 bilion) yang akan dipertanggungjawabkan secara telus.

8. 16-16 akan menuntut ruang pekerjaan kepada pelbagai pihak khususnya golongan muda dan wanita untuk dimajukan dalam pelbagai sektor pekerjaan khasnya mengambil berteraskan pelancongan.

9. Secara kesimpulannya 16-16 akan memberikan ruang untuk persaingan lebih sihat dan sengit di dewan undangan negeri dalam memajukan sebuah pelan pembangunan untuk negeri Terengganu amnya dan daerah Kuala Besut khasnya.
-Dr Dzulkefly Ahmad/HD

DAP Akui Che Long Ada Kelebihan Peribadi

Posted: 20 Jul 2013 08:15 PM PDT

Besut: DAP Terengganu berkeyakinan tidak mustahil calon PAS yang bertanding Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut bakal membuat kejutan pada hari mengundi, 24 Julai nanti.

Pengerusinya, Ng Chai Hing berkata populariti calon PAS, Endot@Azlan Yusof yang mesra dengan panggilan Che Long di kalangan masyarakat setempat diakui benar.

Menurutnya, tinjauan kempen DAP di Kuala Besut ini mendapati rakyat terutama pengundi tempat rata-rata mengenali Che Long yang bertanding pilihan raya ini.

"Saya lihat calon kita (Pakatan Rakyat) yang diwakili oleh PAS ini boleh buat kejutan menang pada hari mengundi. Sebab, beliau dikenali ramai oleh penduduk setempat walau pun di kalangan orang Umno.

"Calon PAS ini tidak ada masalah dengan rakyat, suka tolong orang, baik dan mesra dengan rakyat. Ramai orang kenali dia, itu kelebihan peribadi Che Long.

"Saya dan rakan-rakan DAP telah buat kempen di Kuala Besut ini dan sambutan cukup baik kerana calon kita tidak ada masalah dengan orang ramai," ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau memulakan kempen di Kuala Besut bagi mencari serta mengenal pasti pengundi Tionghua yang terlibat dengan pilihan raya kali ini.

Justeru, kata Chai Hing, jentera kempen PAS dan Pakatan Rakyat perlu bekerja lebih kuat bagi mempastikan Che Long menang meski pun dengan kelebihan satu undi.

Tambahnya lagi, rakyat di Kuala Besut ini perlu mengambil peluang besar ini untuk membuat perubahan bagi menjadikan kuasa politik Terengganu seimbang. -HD

Abby Abadi Di Kuala Besut Dengan Suami ‘Orang Jamaah’

Posted: 20 Jul 2013 04:15 PM PDT


Besut: Selebriti Abby Abadi mengumunkan bahawa beliau datang berkempen pada PRK Dun Kuala Besut bersama suami tersayang, Farhan dari Kelantan yang merupakan 'orang jamaah'.

Perkara itu dimuatkan dalam laman http://prkkualabesut.pas.org.my malam tadi seperti di bawah.

Malam ini di UPU Seberang Barat, Kuala Besut, Abby Abadi secara rasminya mengumunkan bahawa beliau datang bersama suami tersayang, sdr Farhan dari Kelantan dan 'orang Jamaah' didalam ceramah beliau bersama sama Ust Zulkifli Yaakob untuk mengajak semua pengundi DUN Kuala Besut memangkah PAS dalam PRK 24 Julai nanti.

Abby yang aktif dengan dunia politik Islam turut serta berkempen bagi membantu kemenangan calon PAS, Endot@Azlan Yusof atau mesra dengan paggilan Che Long.

Ketika program Bicara Keluarga Bahagian di pentas "Jom Bersama Che Long" anjuran Markaz Unit Peti Undi (UPU) Kampung Baharu, Abby Abadi turut mengajak rakyat terutama pengundi pilihan raya kecil N1 Kuala Besut memilih Islam.

Ini kerana, katanya sama ada seseorang yang beragama Islam itu suka atau tidak mesti bersama-sama dengan dasar dan perjuangan Islam.

Beliau turut melahirkan rasa syukur kerana kenal dengan perjuangan Islam setelah bersama-sama dengan PAS.
-HD

Erdogan Bertegas Enggan Layan ElBaradei

Posted: 20 Jul 2013 08:00 AM PDT


Akhbar harian Turki, Zaman melaporkan Perdana Menteri Recep Tayyip Erdogan enggan berbicara dengan Naib Presiden Mohamed ElBaradei dari Mesir apabila beliau menawarkan diri untuk mengadakan rundingan dengan Turki.

Sebaliknya Erdogan menempelak ElBaradei dengan mengatakan beliau bukan dilantik ke jawatan itu secara sah tetapi pelantikannya adalah hasil dari rampasan kuasa tentera.

Kata Erdogan, beliau menerima sepucuk surat dari ElBaradei memohon diadakan perbualan telefon berikutan kritikan keras beliau terhadap rampasan kuasa oleh pasukan tentera di Mesir.

"Kenapa saya perlu bercakap dengan awak? Awak bukan (naib presiden) yang dilantik. Awak seorang naib presiden yang dilantik hasil dari kudeta tentera," kata Erdogan merujuk kepada ElBaradei pada satu majlis di Ankara.

ElBaradei, bekas Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), dilantik sebagai naib presiden Mesir untuk hubungan luar selepas tentera mengguling Presiden Dr Mohamed Morsi pada 3 Julai lalu dan mengisytiharkan ketua hakim mahkamah perlembagaan, Adli Mansour sebagai presiden sementara.

Sikap Erdogan ini berbeza dengan sikap kebanyakan pemimpin Arab yang lain yang merestui tindakan tentera Mesir menggulingkan Morsi dari parti Ikhwanul Muslimin. Para pemimpin negara Arab, terutama Arab Saudi, Qatar, Emiriyah Arab Bersatu dan Jordan menyatakan sokongan secara terang-terangan menyokong tindakan tentera Mesir itu.

Malahan bantuan kewangan berjumlah ratusan juta dolar dari negara-negara tersebut datang mencurah-curah bagi menandakan sokongan mereka. Negara-negara Arab ini jugalah yang menyemarakkan api peperangan saudara di Syria dengan membiayai para pemberontak di negara itu.

Dengan berselindung di sebalik imej Islam, mereka inilah yang sebenarnya bekerja untuk Amerika Syarikat dan Israel bagi mengucar-kacirkan rantau Afrika Utara dan Timur Tengah demi kepentingan kedudukan mereka untuk terus menerajui kerajaan dan merampok harta kekayaan milik negara.

Kestabilan politik Mesir dan hasrat kerajaan pimpinan Morsi untuk melaksanakan syariat Islam menjadi ancaman terbesar kepada negara haram Israel. Maka sebab itu, apabila kerajaan Morsi ditumbangkan maka arahan pertama dari Israel ialah agar tentera Mesir merobohkan terowong bawah tanah ke Gaza dan menutup pintu Rafah.

Terowong bawah tanah ini merupakan urat nadi atau 'nyawa' bagi para penduduk Gaza untuk berhubung dengan dunia luar kerana melalui terowong-terowong ini segala bentuk bantuan terutama keperluan makanan disalurkan.

Tindakan jahat, khianat

Tindakan tentera meroboh dan menutup terowong-terowong ini adalah satu tindakan jahat dan khianat terhadap umat Islam dan rakyatnya sendiri serta sekali gus penduduk Palestin di Gaza terkurung dan terpenjara dalam negara mereka sendiri.

Dalam pada itu, tentera Mesir akan terus menangkap dan menahan para pemimpin Ikhwan dan para penyokongnya sehingga kebangkitan rakyat di negara itu dihampuskan atau kembali reda. Mereka melakukan kekejaman ini untuk memenuhi nafsu tuan-tuan mereka, Amerika dan Israel.

Tetapi rakyat Mesir yang memilih Ikhwan Muslimin untuk menerajui kerajaan melalui pilihan raya baru-baru ini dalam sistem demokrasi yang adil terus menganjurkan demonstrasi secara besar-besaran agar kerajaan tentera mengembalikan kuasa kepada Morsi.

Penggulingan Morsi melalui kudeta tentera merupakan satu contoh di mana sistem demokrasi diperkotak-katikkan dan hanya menjadi alat untuk Barat dan Amerika untuk menguasai dunia Islam yang kaya dengan minyak itu.

Jika sistem demokrasi itu tidak memihak dan menguntungkan mereka maka mereka akan berusaha untuk menggulingkan kerajaan pilihan rakyat. Dalam kes Mesir, kononnya Morsi tidak pandai mentadbir pada hal beliau hanya setahun menjadi presiden.

Rampasan kuasa tentera juga pernah berlaku di Algeria apabila pilihan raya presiden itu memihak kepada parti Islam FIS di mana Ali Benhaj dipilih sebagai presiden dan dengan bantuan Perancis kerajaan pilihan rakyat itu digulingkan.

Erdogan mungkin satu-satunya pemimpin Arab yang tinggal, selain Mahmud Ahmedinejad dari Iran yang berbangsa Parsi, yang secara berani dan lantang mengkritik dan menentang Barat dan sekutu-sekutunya.

Keberanian Erdogan jelas kita lihat apabila beliau menempelak Presiden Israel, Simon Peres dalam satu forum ekonomi di Geneva berhubung tindakan tentera Israel menyerang kapal Flotila yang membawa bantuan kemanusiaan untuk para penduduk Palestin dan Gaza.

Di samping mengkritik ElBaradei, Erdogan juga mengkritik Barat sebagai tidak mempunyai pendirian dan harga diri untuk mengecam apa yang berlaku di Mesir.

Sudah tentu kita mahu melihat lebih ramai lagi para pemimpin Arab untuk terus tampil dan dengan berani mempertahankan kedaulatan dan maruah negara-negara masing-masing dari terus dihina dan dihinjak-hinjak oleh kuasa Barat dan sekutunya.

Masjid dan Surau Lebih Aktif di Bawah Pakatan Rakyat

Posted: 20 Jul 2013 05:20 AM PDT

Peranan masjid dan surau di sekitar kawasan negeri Selangor dilihat lebih aktif dalam menganjurkan program yang bukan hanya berbentuk keagamaan, malah turut merangkumi aktiviti kemasyarakatan sejak negeri itu ditadbir Pakatan Rakyat (PR) pada Mac 2008.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin berkata, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berjaya mengembalikan fungsi masjid dan surau sebagai tumpuan masyarakat Islam untuk beribadah dan mendapat ilmu.

Menurutnya, bagi merancakkan program Ihya Ramadan pada tahun ini, Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta untuk diagihkan kepada semua masjid dan surau di negeri ini.

Katanya, bagi masjid peruntukan sebanyak RM1,650 akan diserahkan, sementara surau yang mengadakan solat Jumaat akan menerima sumbangan sejumlah RM1,250 dan RM1,000 pula akan diberikan kepada surau di seluruh Selangor.

"Masjid dan surau diamarahkan dengan begitu baik sekali sejak PR memerintah, malah jauh lebih baik daripada 10 tahun yang lalu.

"Saya menerima banyak respon positif daripada masyarakat setempat yang begitu berpusu-pusu untuk mengunjungi masjid di sekitar Selangor kerana teruja terhadap aktiviti dan program keagamaan serta ilmu yang dianjurkan," katanya semasa menghadiri Majlis Penyerahan Kurma kepada Masjid di sekitar DUN Pelabuhan Klang, di sini.

Dalam majlis itu, Faekah yang mewakili Abdul Khalid menyerahkan kira-kira 2,000 pek buah kurma kepada setiap 10 buah masjid di sekitar DUN itu.

Antara masjid yang menerima sumbangan tersebut ialah Masjid Bukit Tinggi, Masjid Pendamar, Masjid Kampung Idaman, Masjid Ar Rahman dan Masjid Ubudiah.

Agihan kurma telah dilaksanakan sejak tahun 2008 lagi bagi beberapa kawasan di sekitar Selangor di mana tidak kurang 10,000 pek akan diagihkan kepada rakyat. -selangorku

Tiada ulasan: