Khamis, 18 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


IPCMC: Zahid Perlu Minta Maaf Atau Diheret Ke JK Parlimen

Posted: 18 Jul 2013 01:05 AM PDT

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digesa supaya memohon maaf kepada Dewan Rakyat berhubung kenyataannya sebelum ini yang mendakwa penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming dalam satu sidang media hari ini menyifatkan kenyataan Zahid berhubung penubuhan IPCMC dalam sesi Parlimen baru-baru ini adalah sebagai salah, terpesong dan mengelirukan.

Ini kerana menurutnya, Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan bahawa Parlimen mempunyai kuasa untuk meluluskan undang-undang bagi mengawal dan melaksanakan tindakan disiplin ke atas pasukan polis.

"Mengikut Artikel 140 (1) Perlembagaan Persekutuan secara jelas menyatakan: "Dengan syarat bahawa Parlimen boleh melalui undang-undang membuat peruntukan bagi perjalanan apa-apa kawalan tatatertib ke atas semua atau mana-mana anggota pasukan polis mengikut apa-apa cara oleh mana-mana pihak berkuasa yang diperuntukkan dalam undang-undang itu."

"Zahid perlu memohon maaf kepada Dewan Rakyat atas kenyataan yang dibuat kerana boleh menimbulkan kekeliruan kepada dewan," katanya kepada pemberita.

Tegasnya, sekiranya Zahid gagal melakukan permohonan maaf seperti yang dituntut, beliau boleh dihadapkan ke Jawatakuasa Parlimen di bawah Peraturan 36 (12) Arahan Ketetapan kerana membuat kenyataan palsu dengan niat untuk mengaibkan.

Majlis Peguam, kumpulan masyarakat sivil dan beberapa ahli politik dari kerajaan dan pembangkang mendesak IPCMC ditubuhkan untuk melaksanakan reformasi terhadap pasukan polis.

Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan sehingga hari ini enggan menubuhkan badan tersebut.

IPCMC dicadangkan pada 2005 oleh Suruhanjaya Diraja mengenai penambahbaikan perkhidmatan Polis. Pembentukkan badan tersebut berdasarkan badan pemantau polis di United Kingdom, Australia dan Hong Kong. -selangorku

Pegawai Polis Putus Kaki Kanan Dirempuh Kereta

Posted: 17 Jul 2013 11:20 PM PDT

Kuala Besut- Seorang pegawai polis trafik yang bertugas untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut putus kaki kanan setelah motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di hadapan Sekolah Kebangsaan Alor Peroi di sini, Rabu.

Dalam kejadian kira-kira 4.40 petang itu, Insp Farid Hasni Mamat, 33, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, terhumban kira-kira 10 meter berhampiran tembok sekolah akibat impak rempuhan itu.

Ketika kejadian mangsa bersama Pegawai Penguatkuasa Tadbir Trafik Ibu Pejabat Kontinjen Pahang ASP Zainalabidin Othman, 48, sedang melakukan rondaan berhampiran kawasan sekolah itu.

Menurut Zainalabidin, selepas selesai melakukan pemeriksaan di sekolah tersebut, mereka berdua menuju ke Sekolah Kebangsaan Kampung Baru apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipandu laju memotong sebuah kenderaan lain.

Katanya beliau yang berada kira-kira 50 meter di hadapan mangsa sempat mengelak kereta Proton Saga yang dipandu seorang pemuda berusia 19 tahun itu namun mangsa gagal berbuat demikian.

Zainalabidin berkata selepas melanggar mangsa, kereta berkenaan yang hilang kawalan melanggar tembok pagar sekolah sehingga runtuh.

"Melihat kejadian itu saya menghampiri mangsa dan melihat sebelah kaki mangsa putus dan dijumpai berhampiran tembok yang runtuh," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, di sini.

Menurutnya mereka berdua baru bertemu sejak Sabtu lepas dan ditugaskan untuk membantu kelancaran trafik sempena PRK DUN Kuala Besut.

Mencerita saat beliau menghampiri mangsa, Zainalabidin berkata beliau terdengar mangsa merintih "Apa dosa saya? Kenapa dia langgar saya?".

Mangsa yang berasal dari Kuala Ibai, Terengganu itu dikejarkan ke Hospital Besut dengan ambulan sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu bagi rawatan lanjut.

Keadaannya kini dilaporkan stabil.

Sementara itu Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri Supt Alias Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu.

Katanya suspek yang mengalami kecederaan ringan itu kini ditahan bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Sebab Pulut Santan Binasa: Karpal Buat Laporan Polis Terhadap Tajuddin

Posted: 17 Jul 2013 08:00 PM PDT

Pengerusi DAP Karpal Singh semalam membuat laporan polis terhadap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berhubung kenyataan didakwa berbaur hasutan.

Karpal Singh, diiringi Penasihat DAP Lim Kit Siang, membuat laporan itu di balai polis Tun H.S Lee di sini pada kira-kira 12 tengah hari.

Beliau menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Akta Hasutan kerana didakwa sebagai berkata di Kuala Besut, Terengganu pada 14 Julai lepas bahawa beliau (Karpal Singh) boleh menjadi presiden pertama Malaysia jika pengundi di Kuala Besut membenarkan DAP mengawal Putrajaya melalui PAS.

Pengundi di Kuala Besut akan mengundi pada 24 Julai dalam pilihan raya kecil untuk memilih Anggota Dewan Undangan Negeri berikutan kematian wakil rakyat mereka Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas.

BN mempertahankan kerusi itu dalam pertandingan satu lawan satu dengan PAS.

Lim menyifatkan kenyataan Tajuddin sebagai semberono dan menghasut. - Bernama


Karpal buat laporan polis terhadap Tajuddin


Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Tun HS Lee berikutan kenyataan hasutan Timbalan Menteri Pertanian, Datuk Tajuddin Abdul Rahman terhadap dirinya.

Beliau menegaskan, tindakan tegas harus diambil terhadap Tajuddin kerana mengeluarkan satu kenyataan berunsur serangan peribadi yang sama sekali tidak benar.

"Saya membuat laporan ini supaya satu siasatan polis secara menyeluruh dapat dilaksanakan dan beliau boleh didakwa di mahkamah di atas kelakuan jahatnya itu.

"Saya menggesa polis menyiasat Tajuddin mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, serta mengikut Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di luar Balai Polis Tun HS Lee, tengah hari tadi.

Seksyen 4 (1) menyatakan bahawa adalah satu kesalahan jenayah untuk mengeluarkan sebarang perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan dan lain-lain yang mempunyai kecenderungan menghasut. Jika sabit kesalahan, seseorang itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya.

Tajuddin sebelum ini dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut memberi amaran kepada pengundi di sana dengan mendakwa Karpal akan menjadi Presiden pertama Malaysia jika DAP dibenar menerajui tampuk pemerintahan negara melalui PAS.

Karpal berkata, beliau percaya bahawa kenyataan itu mempunyai kecenderungan menghasut dan berunsur fitnah.

"Kenyataan seperti ini tidak sepatutnya dibenar dan digalakkan sama sekali dalam negara," tegasnya.

Turut hadir menemani Karpal membuat laporan polis itu ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

Kit Siang turut mengecam kenyataan itu yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab dan orang yang melakukannya tidak boleh terlepas daripada hukuman.

"Sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, jentera keadilan negara bukan sahaja perlu adil tetapi dilihat adil di mata umum dan sesiapa saja yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan seperti dilakukan Tajuddin mesti didakwa.

"Apa yang dilakukan Tajuddin itu adalah satu daripada beberapa siri kenyataan berunsur hasutan yang dibuat dalam tempoh enam minggu lalu," ujarnya.
-Roketkini

Hadiah Untuk Rakyat: 1,079 Kamera AES Akan Dipasang Di Seluruh Negara

Posted: 17 Jul 2013 05:10 PM PDT


Kementerian Pengangkutan hari ini mendedahkan, sebanyak 1,079 kamera perangkap kelajuan kontroversi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan dipasang seluruh negara.

Dalam jawapan bertulis daripada soalan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng di Dewan Rakyat, lokasinya belum dikenal pasti tetapi bakal ditentukan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

"Sebanyak 1,079 kamera AES masih belum dipasang di seluruh negara.

"MIROS sedang mengenal pasti lokasi kawasan kerap kemalangan berdasarkan kriteria lebih terperinci menguna pakai data kemalangan kebangsaan yang terkini," kata jawapan bertulis Kementerian Pengangkutan.

Jawapan bertulis kementerian itu juga menyatakan kerajaan mengutip RM20 juta daripada 673,339 saman yang dikeluarkan sehingga 11 Jun 2013.

"Sehingga 11 Jun 2013, sebanyak 628,045 kesalahan memandu melebihi had laju dan 45,294 kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat merah.

"Jumlah kutipan kompaun yang diterima bagi tempoh sama ialah RM20,020,500," kata kementerian lagi.

Putrajaya, bagaimanapun enggan mendedahkan terma dan syarat perjanjian konsesi berikutan ia dokumen terperingkat/rahsia dan tidak dapat dinyatakan dalam Dewan Rakyat.

Projek swasta bernilai RM700 juta itu bermula dengan 14 kamera dalam fasa percubaan tetapi JPJ berikrar melancarkan lebih banyak kamera menjelang akhir 2013. -TMI

"Transformasi" Najib Cemerlang! Kos Lawatan Luar Negara Najib RM44 juta

Posted: 17 Jul 2013 08:50 AM PDT


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membelanjakan hampir RM44.071 juta untuk rombongan ke luar negara dalam tempoh lima tahun bermula Mac 2008 hingga Mei 2013.

Demikian dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawatan bertulis kepada soalan Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Kor Ming berkata jumlah itu bersamaan dengan perbelanjaan RM8,814,200 untuk tempoh setahun atau RM734,516.67 untuk tempoh sebulan.

"Perbelanjaan ini sangat tinggi, kita mahukan penjelasan daripada Perdana Menteri.

"Daripada hasil rombongan ini, apakah hasilnya kepada negara," katanya.

Kor Ming turut mempersoal perbelanjaan Najib yang sangat tinggi berbanding mantan Perdana Menteri Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang membelanjakan RM30 juta bagi rombongan ke luar negara.

"Kenapa perdana menteri sekarang belanja terlalu mewah.

"Kita harap Datuk Seri Najib menunaikan janji beliau untuk menjalankan dasar transformasi yang beliau uar-uarkan selama ini, sepatutnya Najib berhemah ketika belanja," katanya. -HD


Ahli Parlimen BN Malu Besar Kena Tegur Oleh Timbalan Speaker

Posted: 17 Jul 2013 05:01 AM PDT

Teguran kepada MP BN: Jangan bahas seperti di kedai kopi

Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir (gambar) malu besar apabila Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ismail Mohamed Said menegur perbahasan Ahli Parlimen BN itu yang diibarat seperti bercakap di kedai kopi.

Teguran tersebut ekoran Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu itu melabelkan Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali sebagai 'profesor kangkung'.

Penghinaan itu merujuk pujian Azmin terhadap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Kulim Bandar Baharu harus tahu membezakan antara perbahasan di Parlimen dan di kedai kopi," kata Ismail seterusnya meminta Abdul Aziz memohon maaf kepada Azmin dalam Dewan Rakyat sebelum meneruskan perbahasan hari ini.

Terdahulu, Ismail mengesahkan Abdul Aziz telahpun memohon maaf kepada Azmin.

Khalid yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Ekonomi dari Universiti Malaya dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia dilantik sebagai Menteri Besar Selangor sejak 2008 hingga kini atas kehendak rakyat di negeri termaju itu.

Sebelum menyertai politik, beliau berpengalaman dalam pelbagai bidang pengurusan korporat termasuk memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Guthrie Bhd. -KD

Tiada ulasan: