Selasa, 16 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Calon PAS Ditawar Projek Beratus Juta Ringgit Supaya Tidak Bertanding

Posted: 16 Jul 2013 01:05 AM PDT


Calon PAS Kuala Besut, Endot @ Azlan Yusof mendakwa, beliau pernah ditawarkan projek bernilai ratusan juta ringgit jika tidak menjadi calon dalam pilihan raya kecil tersebut.

Beliau yang dikenali dengan panggilan Che Long mendakwa lagi, projek tersebut akan ditarik balik jika menjadi calon PAS di Kuala Besut.

"Saya tetap tidak berganjak dengan perjuangan Islam dan bagi saya akhirat itu lebih baik," katanya dalam temubual dengan Harakah.

Che Long di kalangan penduduk tempatan merupakan seorang kontraktor kelas A.

Beliau berdepan dengan bekas jurutera Tengku Zaihan Cheku Abdul Rahman yang merupakan calon Barisan Nasional pada 24 Julai ini.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Abdul Rahman Mokhtar dari BN baru-baru ini.

Che Long turut mendakwa beliau pernah membelanjakan wang RM200, 000 untuk membawa lebih 40 orang ke Makkah menunaikan ibadah haji.

"Dan hampir setiap tahun jika ada duit lebih lagi saya hantar orang ke Makkah, yang nampak ada perubahan dan hendak kembali kepada Islam sebenar," tambah beliau lagi.

Penduduk daif

Che Long berkata, dari pemerhatiannya penduduk di Kuala Besut masih ramai yang daif dan berada di bawah paras kemiskinan dan kehidupan mereka agak susah kerana ada yang bekerja sebagai nelayan.

Beliau tidak menafikan kerajaan BN memberikan bantuan tetapi kadang kala berlaku `pilih bulu' yang menyebabkan terdapat orang yang memerlukan bantuan dinafikan.

Katanya, ini menyediahkan dan tidak sepatutnya berlaku jika kerajaan yang memerintah ikut garis panduan Islam.

Mereka, tambah beliau pelu dibantu secara adil dan saksama tanpa mengira fahaman politik.

"PAS nak bantu pun setakat mana sangat,sebab PAS bukan kerajaan lagi," tambah beliau lagi.

Che Long juga mendakwa BN mengumpan rakyat dengan duit RM200 atau RM300 menyebabkan anak-anak muda yang mendapat wang itu segan datang kepada PAS.

Katanya, BN jadikan duit sebagai senjata untuk `ikat rakyat' dan pengundi supaya memilih calom BN.

Rakyat, katanya rakyat yang mendapat duit seperti termakan budi dengan sumpah janji untuk memangkah BN .

Itu cara Umno berpolitik sebab mereka kaya dan banyak duit, kata Che Long. -FMT

Turki Tak Akui Pemerintahan Baru Mesir

Posted: 15 Jul 2013 10:31 PM PDT


Turki dengan tegas menyatakan hanya mengakui Muhammad Mursi sebagai ketua negara yang sah di Mesir. Perdana Menteri Turki Reccep Tayyip Erdogan, menyatakan akan terus menilai hubungan luar negerinya selepas munculnya rejim "tidak sah" di Kaherah.

"Bagi kami (Turki) Presiden Mursi adalah satu-satunya presiden Mesir yang sah. Dia dipilih oleh rakyatnya dengan cara paling demokratis di negara itu," kata Erdogan seperti disiarkan Today Zaman, Ahad (14/7) dan oleh Egypt Independent Isnin (15/7).

Menurut Erdogan, Mursi adalah cermin kepada kemahuan majoriti masyarakat di Mesir. Jika pembangkang menghendaki untuk memerintah semestinya menjadikan cara yang sama untuk membentuk pemerintahan, yakni pemilihan umum.

"Jika seperti ini terus terjadi di Mesir (penolakan terhadap pelihanraya umum), situasi itu sama saja dengan mengabaikan kemahuan rakyat," katanya. Erdogan juga mengecam kehadiran tentera dalam transisi kekuasaan yang tidak berpelembagaan tersebut.

Today Zaman mengatakan, Erdogan dan Mursi merupakan dua pemimpin negara yang punya pengaruh sama terkait dengan susunan politik di rantau tersebut. Keduanya juga menjadi "representatif" bangkitnya parti-parti Islam modern.

Jika Mursi kuat dengan dokongan politik Ikhwanul Muslimin dan menjadi Ketua Parti Keadailan dan Kebebasan (FJP) di Mesir, Erdogan pula menjadi Ketua Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki. Keduanya merupakan juga teman politik yang amat padan.

Awas Pembohongan Muhyiddin, Rumah Percuma Umpan Politik - Azan

Posted: 15 Jul 2013 08:15 PM PDT


Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Terengganu, Azan Ismail berkata, pengumuman rumah percuma kepada pendudu Kuala Besut sempena pilihan raya kecil adalah umpan politik.

Beliau yang juga Adun Bandar menasihatkan pengundi berhati-hati dengan pengumuman 72 'rumah percuma' di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut.

"Skrip ini persis dengan apa yang menimpa penduduk di Kuala Terengganu beberapa tahun lalu. Tanah mereka diambil kerajaan atas nama pembangunan," kata Azan kepada Keadilandaily.

Kampung Ladang diambil kerajaan Terengganu untuk memberi laluan kepada pembangunan bersepadu KTCC (Kuala Terengganu City Centre) yang tertumpu di kawasan pesisir air, bermula dari Seberang Takir hingga Batu Burok.

Penduduk hanya mendapat pampasan berjumlah sekitar RM6,000 dan ditempatkan semula di Flat 18 tingkat Ladang Gemilang di tapak sama.

Mereka dijanjikan sewa beli sebanyak RM126 sebulan, namun kini menjadi sewa sahaja dan dinaikkan sebanyak RM300 sebulan.

"Penduduk Kuala Terengganu dijanji akan mendapat flet dengan cara sewa beli. Namun akhirnya, penduduk ditipu apabila flet itu sebenarnya hanya sewa, bukan sewa beli.

"Wang pampasan diberi kepada penduduk tak setimpal dengan nilai sebenar tanah mereka," katanya. -KD


BN Tabur Janji Rumah Percuma Untuk 'Umpan' Rakyat Miskin


Medan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut kini menjadi pentas pemimpin Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) menabur 'janji-janji manis' bagi mengumpan rakyat miskin terus bersama parti itu.

Ini kerana, pada hari kedua kempennya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjanjikan kepada 72 keluarga miskin bakal mendapat 'durian runtuh' jika rakyat memilih BN pada 24 Julai ini.

Malah, majlis peletakan batu asas dan pecah tanah projek pembinaan 72 unit pangsapuri tersebut telah diadakan di Kampung Lay Out, Tok Saboh, Kuala Besut pada 13 Julai lalu.

Muhyiddin menganggap pembinaan pangsapuri tersebut oleh kerajaan negeri sebagai durian runtuh kepada rakyat, apabila memetik ucapan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said sebelum itu, yang menyatakan pangsapuri itu "mungkin diberi percuma", kerana mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

Pangsapuri tersebut dijanjikan kepada 46 keluarga mangsa air pasang dan ombak besar di penempatan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Pengkatan Atap, Kuala Besut dan selebihnya kepada penduduk miskin yang lain.

Projek pangsapuri berkeluasan 720 kaki persegi itu mempunyai kemudahan tiga bilik dibina atas tanah kerajaan yang 'dirampas' kembali dari rakyat dengan kos lebih RM10.35 juta.

MB Terengganu, Ahmad Said berkata pangsapuri tersebut akan diberi percuma kepada 46 keluarga mangsa air pasang besar dan bakinya akan diagihkan kepada penduduk miskin lain.

"Dulu jarak air pasang besar kira-kira 50 meter dari penempatan mereka, tetapi sekarang ini jika berlaku air pasang besar terutama musim tengkujuh, ia hampir ke bumbung rumah dan ini membahayakan keselamatan penghuninya.

"Kerajaan negeri meluluskan pembinaan dan pemberian rumah itu secara percuma kerana prihatin dengan nasib penduduk di Pengkalan Atap," ujar Ahmad.

Isu sejarah rampasan tanah rakyat di Tok Saboh berlaku apabila kerajaan Umno-BN Terengganu yang kembali berkuasa pada tahun 2004, bertindak 'merampas' tanah-tanah Lesen Menduduki Sementara (LMS) pemberian kerajaan PAS Terengganu.

Ketika itu, kerajaan negeri diterajui oleh mantan MB Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh yang kini Ketua Umno Bahagian Besut dan Menteri Pendidikan (II) Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kesemua tanah-tanah yang pernah diagihkan semasa kerajaan PAS Terengganu (1999-2004) kepada rakyat di negeri ini dibatalkan serta dirampas kembali oleh kerajaan BN Terengganu.

Pemimpin Umno-BN cuba memadamkan jasa baik bekas kerajaan PAS Terengganu yang berjaya menyediakan lebih 60,000 lot tanah kepada rakyat sepanjang satu penggal pemerintahannya.

Pada 4 Oktober 2012, operasi terakhir melibatkan beberapa rumah rakyat diroboh pihak berkuasa tempatan yang dibina di atas penempatan Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Tok Saboh.

Tinjauan Harakah ketika itu mendapati sejumlah lima buah rumah rakyat yang telah siap termasuk masih dalam pembinaan diroboh oleh pihak berkuasa tempatan.

Pemilik rumah terbabit melahirkan rasa dukacita, sedih dan kecewa dengan tindakan pihak berkuasa atas arahan kerajaan BN Terengganu.

Encik Rosli Jaafar, 50, merupakan salah seorang mangsa rumahnya dirobohkan pihak kerajaan negeri tanpa pampasan.

"Saya rasa sangat dukacita, kecewa, sedih dan keliru dengan kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Pejabat Tanah Besut dan agensi terlibat.

"Tanah lot (RTB Tok Saboh) ini, saya dapat semasa zaman kerajaan PAS memerintah Terengganu lagi. Bila 'bunyi' (ura-ura) kerajaan nok ambil balik tanah, saya pergi jumpa wakil rakyat Umno ketika itu, Dr A.Rahman Mokhtar (Allahyarham) yang juga Exco Kerajaan Negeri.

"Dia (A.Rahman) suruh saya pergi pejabat (Pejabat Tanah Besut) dan bincang. Pada bulan Mac 2012, saya diberi kebenaran bayar lesen Jadual I. Selepas itu, bulan Mei tahun yang sama dia (Pejabat Tanah) datang dan ukur keluasan tanah tapak rumah kami.

"Tiba-tiba, pada 4 Oktober 2012 tahun lalu. Kami anak beranak tidak ada di rumah kerana keluar bekerja, mereka (kerajaan) datang roboh semua rumah yang telah kami duduk sejak enam tahun lalu," jelasnya.

Beliau melahirkan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian tersebut kerana sebelum ini diberi kebenaran membayar Jadual I pada bulan Mac 2012 serta melakukan kerja-kerja mengukur tanah bagi lot PT.1359 berkenaan.

Katanya, tanah lot PT.1359 tersebut diperolehi pada 15 Oktober 2003 ketika kerajaan PAS memerintah Terengganu satu penggal dari tahun 1999 hingga 2004.

Menurutnya, keluasan rumah yang dirobohkan itu bersaiz 35 x 40 kaki persegi yang siap dibina pada tahun 2005 lagi.

Rosli dan keluarganya merupakan anak jati tempatan yang bekerja sendiri mempunyai seorang isteri Puan Faridah Daud serta tujuh orang anak dan lima daripadanya masih bersekolah di peringkat rendah dan menengah.

Beliau mengakui pernah menerima notis roboh dari pihak berkuasa dan masalah tersebut diajukan kepada Allahyarham, Dato' Dr Abdul Rahman Mokhtar, tahun lalu.

Menurutnya, jawapan yang diberikan oleh wakil rakyat berkenaan amat mendukacitakan sekadar menyebut "nasiblah".

Seorang warga emas, Ahmad Awang, 65, pula mendakwa tidak pernah menerima sebarang notis dari kerajaan agar rumah bersaiz 14 x 20 kaki persegi yang masih dalam pembinaan tersebut dirobohkan.

"Ambo (saya) fahamlah selepas PAS kalah (2004) dan kerajaan Umno berkuasa semula, semua tanah rakyat zaman kerajaan PAS 'dirampas' semula oleh kerajaan (BN).

"Zalim lagu (cara) ini. Kita (rakyat) tidak ambil hak orang, ada sikit (duit) buat sikit. Kita (rakyat) orang susah tanah lain tidak ada doh…. Ini pun kerajaan roboh, macam mana kata rakyat diutamakan", jelas ketika menunjukkan lokasi rumahnya yang diroboh itu.

Seorang Ibu Tunggal, Puan Kalsom Abdullah, 60, tidak dapat menahan kesedihannya apabila rumah masih dalam pembinaan siap 70 peratus dirobohkan begitu sahaja.

Beliau mempunyai tujuh orang anak dengan bekerja mengambil upah menyiang ikan menangis sebaik sahaja diberitahu oleh penduduk yang melihat kejadian rumahnya dirobohkan pihak berkuasa.

"Saya orang susah, suami tidak ada…anak ramai, tujuh orang (anak). Saya cari rezeki (kerja) ambil upah siang ikan. Kumpul duit sikit-sikit, baiki (buat) rumah untuk sudah (siap).

"Saya sangat sedih dan tidak tahu hendak kata apa lagi. Harap Tuhan (Allah swt) balas, ganti dengan kerajaan lain," ujarnya.

Sementara itu, kesedihan dan kepiluan mangsa-mangsa perobohan rumah di RTB Tok Saboh itu turut dikongsi bersama dengan Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad.

Katanya, sudah tiba masa rakyat dan pengundi yang menjadi 'tuan' kepada mana-mana kerajaan yang dipilih membuat perubahan.

Menurutnya, kerajaan Umno-BN wajar ditukarganti dengan kerajaan PAS dan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Kecil, 24 Julai ini.

"Umno sudah tidak boleh diharap lagi, sudah tiba masa rakyat dan pengundi di Dun Kuala Besut kena tukar kerajaan (BN). Inilah peluang terbaik untuk rakyat di Kuala Besut.

"Rakyat (pengundi) adalah 'tuan' dan gunakan kuasa kita dengan baik dan bijaksana. Kita (rakyat) kena ganti BN dengan Pakatan Rakyat," tegasnya.

Kata Ustaz Wan Azhar, tanah rakyat satu lot dirampas dan diroboh rumah mereka sedangkan wakil rakyat Umno-BN Terengganu termasuk di Besut ini senang-lenang mendapat tanah.

Dimaklumkan, ketika kerajaan PAS Terengganu memerintah (1999-2004) sejumlah 88 lot disediakan bagi RTB Tok Saboh serta diagihkan kepada rakyat di kawasan tersebut.
-BO

Pemimpin BN Terengganu Bagi-bagi Tanah Macam Mak Mapak Mereka Punya!

Posted: 15 Jul 2013 05:20 PM PDT


4 pemimpin BN miliki seorang sehektar tanah' Ketika rakyat biasa diberikan alasan tiada tanah ketika memohonnya, empat pemimpin Umno Besut didakwa masing-masing memiliki satu hektar tanah di Kuala Besut.

Ahli jawatankuasa Pusat PAS Dr Dzulkefly Ahmad mendakwa, empat pemimpin tersebut: Datuk Abdullah Mohd Zin (PT6964), Nawi Mohamad (PT 6904), Mohamad Pehimi Yusof (PT6903) dan Datuk Seri Idris Jusoh (PT6902).

Pada ketika itu, kata Dr Dzulkefly, Abdullah menjadi ahli Parlimen Besut, Nawi (ADUN Hulu Besut), Mohamad Pehimi (ADUN Kota Putera) dan Idris sebagai ADUN Jertih.

Ia bukan dimiliki pada penggal ini, tambah Dr Dzulkefly lagi.

"Inilah dia, tradisi mendahulukan penguasa politik. Kami cabar supaya terangkan apakah ini sebenar-benarnya hakikat," katanya di Markaz Besar Pilihan Raya PAS Besut di Kampung Baharu, Kuala Besut hari ini.

"(Sedangkan) dalam kempen pilihan raya, mari dengan beri kambing, lembu. Kononnya projek membangunkan Kuala Besut yang paling terpinggir dalam empat DUN dalam Besut," katanya dalam sidang media pagi ini.

Dzulkefly: Dokumen akan didedah

Dalam sidang media itu, Dr Dzulkefly yang juga bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menunjukkan peta dan lokasi lot tanah itu dalam kawasan Bukit Dendong, mukim Tembila, daerah Besut.

Ditanya sama beliau mempunyai dokumen untuk menyokong dakwaannya, Dr Dzulkefly berkata:

"Itu akan didedahkan... Kita tahu... Jangan bimbang. Kami mahu mereka mencabar kami (balik).

"Kita semak. Setakat hari ini tidak ada siapa berani menyahut lontaran kami semalam," katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi keempat-empat pihak yang dinamakan di atas. Setakat ini hanya Nawi yang memberikan responnya dengan mengakui perkara itu.

[VIDEO & GAMBAR] Makmal UITM Kampus Shah Alam Terbakar

Posted: 15 Jul 2013 07:50 AM PDT


Maklumat dari seorang pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam mendakwa sebahagian kawasan kampus itu sedang terbakar ketika ini. Pelajar berkenaan dengan nama Facebooknya Haikal Shafie, telah memuat naik gambar kebakaran tersebut.

Difahamkan anggota-anggota bomba dengan empat jentera bomba sedang berusaha memadamkan kebakaran berkenaan. Kebakaran dikatakan berlaku di sebuah bangunan di hadapan Kolej Perindu. Keadaan terkini kebakaran masih belum diketahui.

Haikal melalui tweetnya memaklumkan anggota bomba kini sedang berusaha mengawal dan memadamkan kebakaran.

"Yang sedang terbakar ialah makmal kimia yang terletak di hadapan kolej Perindu," katanya melalui Twitternya @HaikalShafie. Kami berharap kebakaran akan segera dipadamkan dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa berlaku.






Kenapa Takut Sangat Dedah Pembekal Dakwat Kekal?

Posted: 15 Jul 2013 05:20 AM PDT

Kerajaan diingatkan supaya tidak memberi alasan dangkal ekoran kengganannya mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat ketika pilihan raya umum lalu.

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Shamsul Iskandar Mohd Akin merujuk kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam bahawa kerajaan tidak akan mendedahkan nama syarikat terbabit.

"Apa yang kerajaan Umno BN mahu sembunyikan daripada pengetahuan rakyat? Sebagai pembayar cukai mereka juga berhak tahu nama syarikat pembekal dakwat itu yang jelas gagal membekalkan dakwat kekal.

"Keengganan kerajaan melindungi nama syarikat itu menyebabkan rakyat berasa teraniaya. Duit yang digunakan untuk membeli dakwat kekal bukan sedikit jumlahnya iaitu RM7 juta tetapi hasilnya sangat mengecewakan," ujar Shamsul.

Shahidan semalam berkata kerajaan tidak akan mendedahkan nama syarikat berkenaan kerana khuatir dakwat tersebut akan dibeli oleh orang ramai dan berlaku "kekecohan" semasa hari pengundian.

Mengulas lanjut, Shamsul yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil berkata, alasan Shahidan itu amat memalukan dan sukar diterima.

"Saya bagi analogi mudah, daripada rakyat berebut-rebut membeli dakwat kekal itu, bukankah lebih baik mereka membeli kertas undi yang lebih besar kelebihannya untuk melakukan penyelewengan ketika hari pengundian.

"Shahidan perlu sedar bahawa dolak dalih kerajaan dalam isu ini akan terus memburukkan lagi imej mereka dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya ketika dihubungi.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pelaksanaan dakwat kekal hanya gimik politik antara Umno BN dan SPR.

"Tidak mustahil syarikat pembekal itu adalah kroni Umno BN dan penggunaan dakwat kekal hanyalah gimik politik untuk membaiki imej Umno BN hanya ketika kempen pilihan raya lalu," ujar Pengerusi KEADILAN Melaka itu. -KD

Ulasan GB

Bagi GB, semua pihak yang terlibat di dalam pemesanan dakwat kekal itu perlu didedahkan. Nama syarikat pembekal, nama syarikat yang diberikan tender untuk membekal, siapa yang mengeluarkan pesanan untuk membekal, siapa yang meluluskan syarikat berkenaan...

Kenapa takut sangat untuk mendedahkannya? Berani kerana benar takut kerana salah!

Lambat-laun, satu hari nanti kebenaran akan tetap muncul juga!

Tiada ulasan: