Sabtu, 13 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


MCA Lapor Polis 2 Blogger Seks Hina Islam

Posted: 13 Jul 2013 01:01 AM PDT


Siasat pasangan blogger melampau

SEREMBAN - MCA negeri membuat laporan polis, semalam berikutan tindakan pasangan blogger, Alvin Tan dan Vivian Lee yang telah mencetuskan kontroversi menerusi foto dipaparkan dalam laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Pengerusi MCA negeri, Datuk Dr Yeow Chai Thiam berkata, pihaknya amat kecewa dengan kelakuan pasa-ngan tersebut dan menyifatkan perbuatan mereka sebagai tidak rasional.

"Bagi kita, ini bukanlah satu perkara lucu yang boleh dibuat main-main. Mereka tidak sepatutnya menghina umat Islam yang sedang menjalani ibadah berpuasa.

"Perbuatan mereka telah menimbulkan kemarahan ramai pihak, termasuk di kalangan kaum Cina sendiri. Sekiranya dibiarkan, kita khuatir akan menjejaskan perpaduan antara kaum dan menimbulkan masalah lebih besar," katanya kepada pemberita selepas membuat aduan di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam.

Kata Chai Thiam, beliau berharap pihak polis dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap pasangan terbabit supaya menjadi contoh, sekaligus amaran kepada orang lain agar tidak mengulangi kesalahan sama.

Terdahulu, pasangan blogger berkenaan yang turut mencetuskan kontroversi sebelum ini apabila memaparkan aksi seks mereka dalam laman blog, telah mengepos satu foto memaparkan mereka sedang menikmati juadah tidak halal sambil mengucapkan selamat berbuka puasa kepada umat Islam.

Turut tertera, logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada sudut bawah kiri gambar berkenaan.

Ulasan GB

GB dan sekalian rakyat sedang tertunggu-tunggu tindakan polis ke atas blogger-blogger seks UMNO kerana membikin, menyiarkan dan menyebarkan video lucah.... hingga kini masih sunyi sepi...

Akta Hasutan: Maruah Zahid Hamidi Tercampak Ke Longkang!

Posted: 12 Jul 2013 11:01 PM PDT


Kabinet kekal keputusan mansuh Akta Hasutan, kata Subra

Kabinet hari ini mengekalkan keputusan untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tahun lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata Akta Keharmonian Nasional yang menggantikan Akta Hasutan kini dalam proses penggubalan.

"Akta Keharmonian Nasional ini akan memastikan kestabilan politik dan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Sebaik perlindungan ada di tempatnya, kita akan menarik balik Akta Hasutan," katanya pada satu sidang media di sini hari ini.

Pada Julai tahun lepas, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan keputusan itu dibuat bagi mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin kebebasan bersuara setiap warga negara dan keperluan menangani kompleksiti kemajmukan yang wujud di negara ini.

Namun, akhir-akhir ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap sesetengah pihak yang mendesak supaya Akta Hasutan 1948 dimansuhkan tanpa memikirkan impak negatifnya.


Ahmad Zahid menegaskan Akta Hasutan harus dikekalkan bagi memelihara empat perkara utama termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan seperti kedudukan agama Islam sebagai agama rasmi, kedudukan Raja-raja Melayu, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang Melayu akan dipersoal sesetengah pihak.

Dalam isu lain, Dr Subramaniam menegaskan sebagai seorang menteri kesihatan beliau tiada kuasa untuk mengiktiraf program ijazah perubatan daripada Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.

"Saranan seorang pemimpin PKR agar saya menggunakan kuasa sebagai menteri agar CSMU diiktiraf Majlis Perubatan Malaysia (MMC) adalah tidak betul. Saya tidak akan guna kuasa itu. Takkan ada penghujungnya. Jika saya lakukan untuk satu kolej, banyak lagi kolej akan memohon perkara yang sama.

"Sehubungan itu, MMC akan membuat pemeriksaan dan penilaian secara profesional dan kementerian akan membuat keputusan," katanya sambil menegaskan bahawa penilaian MMC adalah untuk memastikan graduan perubatan yang dilahirkan berkualiti. - Bernama

Ulasan GB

Demikian jawapan kepada seorang menteri yang dikenali rakyat sebagai seorang "samseng", pukul orang dan bermulut celupar.

Beliau sebenarnya lansung tidak layak untuk dijadikan menteri, dan hukum kebenaran dan keadilan akan berjalan terus.... dia, insyaAllah akan menerima balasan akibat dari segala perbuatannya sendiri.

Che Long Dihina Kerana Tidak Berkelulusan Tinggi... Ini Jawapannya...

Posted: 12 Jul 2013 08:01 PM PDT


Pendidikan calon bukan isu besar - Husam

BESUT: PAS berpendapat calon yang dipilih pada pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut adalah calon yang tepat serta menepati kehendak penduduk setempat.

Pengarah Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut, Datuk Husam Musa menjelaskan perkara tersebut selepas proses penamaan calon pagi tadi.

Menurutnya lagi, calon yang ditampilkan oleh PAS merupakan calon yang disukai oleh penduduk setempat dan beliau yakin rakyat akan terus memberi sokongan pada hari pengundian nanti.

"Calon yang kita tampil ini adalah atas permintaan penduduk di sini, jadi atas alasan tersebut saya yakin calon dari PAS mempunyai kekuatan untuk menghadapi calon Barisan Nasional (BN) pada PRK kali ini.

"Kita tidak tampil calon yang mempunyai bantahan dalaman atau penduduk setempat, calon kita adalah individu yang dihormati serta dikenali," kata beliau.

Sementara itu, Husam ketika ditanya mengenai kelayakan pendidikan calon PAS, Endot@Azlan Yusof menjelaskan calon PAS dipilih untuk mewakili serta membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri bukannya untuk menjadi pensyarah ataupun jurutera.

"Isu pendidikan bukan satu isu yang besar, beliau mewakili dan membawa suara rakyat di dewan, beliau hendak mewakili rakyat bukannya menjadi pensyarah ataupun jurutera di dewan.

"Apa yang penting walaupun pendidikan itu rendah tetapi dapat membawa inspirasi rakyat dan membela hak rakyat itu yang lebih bermakna dari pendidikan tinggi tapi gagal membela rakyat," jelasnya.

Husam yang juga turut yakin dapat mengulangi kemenangan PAS di Dun Kuala Besut sepertimana yang belaku pada tahun 1999.

"Kita di sini mempunyai tugas berat dan kita sedia maklum pada PRK BN akan menggunakan pelbagai pihak atau agensi kerajaan untuk membantu kempen mereka.

"Begitu juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang diragui ketelusannya tetapi oleh kerana calon kita ini disenangi rakyat, saya rasa peluang itu ada.

"Kalau ditakdirkan kita menang kedudukan Dun 16:16, secara tidak langsung rakyat terengganu ada kuasa untuk meminta kerajaan mengagihkan kekayaan Terengganu dengan lebih adil," sambung beliau.

Tambahnya lagi, kemenangan PAS memberi kelebihan kepada rakyat tetapi jika BN terus kekal ia tidak akan membawa apa-apa perubahan besar kepada politik Terengganu.

Katanya, jika kedudukan seri, wakil rakyat PAS akan membawa isu-isu pembangunan ekonomi yang lebih mantap dan rakyat akan mendapat faedah yang berganda.

"Ini peluang untuk rakyat Kuala Besut membuat perubahan, ia tidak berlaku pada PRU13 sebelum walaupun hanya PRK tetapi kesannya amat besar kepada pengaruh politik Terengganu," tambah beliau lagi.

Dalam pada masa yang sama, Husam menyifatkan PRK kali ini juga merupakan pertarungan antara kem Datuk Seri Idris Jusoh dan kem Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. -HD

Ulasan GB

Sekalipun calon PAS yang dikenali sebagai "Che Long" itu hanya berkelayakan SPM, tetapi beliau telah membuktikan bahawa beliau berjaya di lapangan perniagaan dengan menjadi seorang kontraktor Kelas A... berbanding lawannya berpendidikan peringkat universiti tetapi hanya mampu menjawat jawatan makan gaji sebagai seorang jurutera.

Sebagai kontraktor Kelas A, Che Long sudah pastinya mempunyai "pekerja-pekerja" bertaraf "jurutera" di projek-projek kendalian syarikatnya dan disitulah kelebihan orang yang menjalankan perniagaan sendiri berbanding dari mereka yang makan gaji! Seorang peniaga itu, walau sekecil mana pun kelulusannya tetap "seorang tuan yang bebas" berbanding yang mencari rezeki dengan makan gaji yang sentiasa terikat kemana saja dia pergi!

Kedua, ingat pesan Rasulullab, orang berniaga itu ada kelebihannya kerana, 9/10 dari rezeki adalah di dalam dunia perniagaan. Malah Nabi Muhammad sendiri seorang peniaga di masa mudanya sebelum beliau diutuskan menjadi Rasul, dan semasa beliau diangkat menjadi Rasul pun, Rasulullah adalah seorang yang "ummi" (tidak tahu membaca dan menulis) namun baginda beriman dengan ayat-ayat Allah (mafhum surah Al-A'raf: ayat 158).

Ketiga jangan lupa semasa PRK Manek Urai pada pertengangan tahun 2009 dimana Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sempat untuk mengeluarkan kata-kata penghinaan kepada calon PAS ketika itu, Fauzi Abdullah.

Muhyiddin telah dilaporkan berkata:

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini, bukan seorang penjual ikan, dan berkelulusan tinggi."

Kata-kata tersebut jelas ditujukan kepada calon PAS yang merupakan seorang pemborong ikan yang tidak berkelulusan tnggi seperti calon BN.

Namun walaupun dengan segala "emas. intan dan berlian" dicurahkan di Manek Urai disamping penghamburan kata-kata penghinaan UMNO BN terhadap calon PAS yang ramai mengira amat mustahil untuk PAS memenangi PRK Manek Urai itu, namun dengan kuasa dan taqdir Allah, akhirnya calon UMNO BN, Tuan Aziz yang dipukul canang sebagai seorang yang berpendidikan tinggi dan berjawatan sebagai pengurus Kesedar, kalah juga dia di tangan seorang peniaga ikan, Fauzi Abdullah yang tiada kelulusan itu!

Ingatlah wahai UMNO bahawa tentang ayat Allah ayat 106 dari Surah Ali-Imran yang lazim diwiridkan selepas solat:

Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

[VIDEO] Ucapan Osama Mursi: Teruskan Langkahmu Wahai Ayahandaku!

Posted: 12 Jul 2013 05:31 PM PDT


Memakai t-shirt Polo berwarna ungu dan kaca mata hitam Ray Ban, Osama Mursi berjalan menuju ke ruang temu bual dengan tenang dan yakin.

"Apa yang saya nampak pada hari mendatang? Revolusi ini akan berjaya dan pemimpin yang sah bakal kembali.

"Rakyat Mesir tidak akan sesekali takut lagi dengan ancaman penahanan ini," katanya dipetik CNN.

Lebih seminggu lalu, ayah Osama, Presiden Mesir, Mohamed Mursi telah diguling oleh pihak tentera Mesir.

"Ini adalah satu rampasan kuasa revolusi, rampasan terhadap demokrasi, rampasan kuasa Perlembagaan dan kehendak rakyat.

Sementara itu, Menteri Pertahanan pada dasarnya mengatakan kepada jutaan rakyat yang mengundi dalam pemilihan Presiden dan referendum Perlembagaan "anda tidak tahu apa yang terbaik untuk anda. Saya tahu apa yang terbaik untuk anda'," katanya.

Menurut agensi berita Al-Ahram, kerajaan baru sedang dibentuk dan Presiden sementara, Hazem El-Beblawi berkata, 70 peratus pemilihan jawatan di kementerian telah selesai.

Pembentukan kerajaan baru dijangka diumumkan Isnin ini.

Jutaan rakyat Mesir memenuhi jalanan pada 30 Jun lalu dan melaungkan 'pergi' terhadap Mursi, .

Menurut Osama, perkataan 'rampasan kuasa' merupakan penghinaan dan istilah kotor yang merendahkan kepercayaan rakyat selama ini.

Ketika diminta mengulas mengenai Revolusi Redux Osama bagaimanapun tidak bersetuju jika menyamakan ia dengan krisis di Mesir.

"30 Jun bukan revolusi! Sejarah tidak akan pernah merekodkan itu sebagai revolusi.

"....tidak ada sesiapa pun, sama ada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) atau sesiapa saja yang boleh memanggilnya revolusi.

"Kenapa? Kerana tidak ada revolusi di dunia ini yang membawa pemerintahan ketenteraan. Tidak ada revolusi di dunia ini yang membatalkan peti undi," tegasnya.

Sebelum ini, pihak tentera telah memberikan Mursi tempoh 48 jam untuk menyelesaikan krisis.

Dalam pada itu, ulas Osama, bapanya sempat bercakap dengannya untuk kali terakhir sebelum berucap dalam sebuah program televisyen pada 2 Julai lalu.

"Saya beritahu kepada ayah sebagai anaknya untuk dia kekal ingkar dan maju ke depan dan tidak menyerah dengan pihak ketenteraan.

"Mohamed Mursi yang saya kenal ada lambang kebanggaan. Sebagai anak, sekiranya Mohamed Mursi itu berundur atau melarikan diri ia akan sangat memalukan kepada saya, walaupun dia kekal sebagai Presiden," katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap tentera Mesir, Kolonel Ahmed Ali, Mursi sedang ditahan di satu lokasi yang dirahsiakan atas alasan 'keselamatan peribadi' tapi untuk seorang anak yang kehilangan ayahnya, Osama menganggap jaminan itu seolah-olah tidak bermakna.

"Jangan risaukan keselamatan peribadinya. Tak ada sesiapa, bukan menteri pertahanan atau menteri dalam negeri patut risau tentang keselamatannya," kata Osama dengan sinis.

Tambahnya, "jika situasi penahanan yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang, Mursi mesti dibebaskan.

"...dan jika ia berdasarkan penahanan yang sah di sisi undang-undang, saya mengalu-alukannya dan mari kita ikut undang-undang.

Ketika ditanya sama ada dia ada menghubungi ayahnya yang di dalam tahanan, Osama berkata, "saya sebahagian daripada revolusi dan saya cukup kuat dari seorang tentera, benarkan saya bercakap dengan ayah saya.

"Tidak. Kita dalam revolusi. Angin baru bagi revolusi 25 Januari...laluan demokrasi kita, kami tidak akan melepaskannya," katanya.

Revolusi pada 25 Januari 2011 menyebabkan kejatuhan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Ratusan penyokong Muslim Brotherhood kekal di dalam tahanan dan pendakwa raya telah mengeluarkan banyak waran tangkap untuk pimpinan atasan tapi Mursi muda ini memilih untuk bertemu di siang hari, di salah sebuah masjid terkenal di Kaherah.

"Revolusi ini akan berjaya. Revolusi yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan Mubarak akan kekal kuat.

"Ini adalah revolusi keamanan melawan rampasan kuasa tapi revolusi ini akan menjadi lebih penting daripada 25 Januari kerana ia akan turut menghentam akar umbi."

Sebelum mengakhiri temu bual, Osama memandang ke kamera dan menyampaikan mesej ini buat ayahnya.

"Ayah adalah pemimpin yang sah, ayah adalah pemimpin dan Presiden yang terpilih. Kami sokong sebarang keputusan yang ayah buat walaupun ayah memilih untuk meninggalkan pejabat.

"Keluarga ayah, kami semua bangga dengan ayah. Tuhan merahmati ayah."


Anak Mursi turun gelanggang di Dataran Rab'ah


Usamah, anak kepada Presiden Dr. Muhammad Mursi berucap di hadapan jutaan penyokong di Dataran Rab'ah, menyatakan bantahan beliau terhadap rampasan kuasa: "Elakkan pertempuran atas nama Revolusi".

Beliau turut menujukan ucapan kepada ayah beliau Dr Muhammad Mursi dengan berkata:

"Sesungguhnya aku tujukan seruan kepada ayahku, bertahanlah wahai ayahku, teruskanlah langkahmu dan jangan sesekali tunduk dengan mereka yang zalim, dan kami sekeluarga nazarkan dikau kepada kepada tanah air ini, cukup lah Allah bagi kami, dan janganlah terbeban Wahai Ayah terhadap dasar Revolusi kami"

Beliau juga dalam ucapannya di atas pentas Dataran Rab'ah menyeru Pakatan Nasional untuk mempertahankan syar'iyyah, "Aku katakan kepadamu Wahai ayahku, jika kamu dapat mendegarku sekarang, atau Allah pasti akan menyampaikannya kepadamu"

"Seluruh keluarga Mursi berada di dataran, dan aku datang hari ini ke Dataran Rab'ah, bukan untuk berucap atas nama individu atau parti, tapi aku aku berucap atas nama kebenaran, aku mengatakan kepadamu wahai ayah atas nama keluarga Presiden : Pergilah kamu wahai ayahku untuk berperang kerana Tuhanmu maka kami akan berperang bersamamu".

Beliau menyambung lagi,"Aku berwasiat kepada ayahku dan berkata jika kamu melihat darahku mengalir, ketahuilah bahawa aku di atas jalan kebenaran, dan jika kamu melihatku serasi bersama mereka yang batil, maka ketahuilah bahawa aku bersama kebatilan".

Beliau juga memberi ucapan kepada rakyat Mesir, "Aku mengatakan kepada kamu Wahai rakyat Mesir yang mulia, revolusi ini atas nama Mesir, maka bangkitlah dan sempurnakanlah revolusi ini, maka dengan kehendak Allah dan takdirNya jua."

" Kita berada di pihak yang benar bermula hari ini sehinggalah Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan".
(nota: iaitu kemenangan kaum muslimin dan kehancuran kaum musyrikin)

Beliau kemudian meneruskan ucapannya kepada Dr. Muhammad Mursi presiden Mesir,"Aku titipkan kepadamu salam wahai ayah, dan aku berikan penghormatan yang mulia kepada seluruh rakyat Mesir, tetaplah atas jalan kamu, dan dengan nama Allah janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela, dan semoga Allah membantu kita memelihara revolusi ini dengan darah-darah kita". - ikhwanonline



[TERKINI] InsyaAllah, Rejim Zalim Mesir Bakal Tumbang

Posted: 12 Jul 2013 07:40 AM PDT


Insya Allah pemimpin zalim dan ganas Mesir yang dilaknat Allah akan tumbang dalam masa terdekat. Ini pandangan dari seorang pemerhati politik luar Mesir yang melihat penentangan rakyat semakin membuak-buak dan menggerunkan pemerintah zalim Mesir.

"Sampai bila mereka boleh bertahan dan menzalimi rakyat sedangkan majoriti rakyat melihat dengan mata kepala mereka sendiri pembunuhan dan kekejaman yang dilakukan oleh pemerintah zalim ini"

"Kita percaya lambat laun semua rakyat Mesir akan bersama-sama dengan majoriti rakyat menentang golongan zalim ini" ujar pemerhati politik yang tidak mahu namanya disiarkan di sini.

Puluhan juta para penyokong Dr Muhammad Morsi dari seluruh Mesir dijangka akan memenuhi bandar Kaherah hari ini ekoran pengumuman himpunan raksasa oleh pertubuhan Gabungan Kerjasama Kebangsaan yang dianggotai puluhan pertubuhan dan parti politik.

Himpunan tersebut dijadual bermula sejurus selesai solat Jumaat ini dan epat lokasi telahpun ditetapkan oleh pihak penganjur.

Ianya termasuk Medan Raba'ah Adawiyyah (Madinah Nasr) yang menjadi pusat himpunan sejak rampasan kuasa oleh tentera seminggu lalu yang turut menyaksikan pembunuhan puluhan penyokong Morsi dalam tragedi 'Subuh berdarah'.

Selain itu, tiga lagi tempat termasuk Bangunan Stesen Radio dan Televisyen Mesir (Masbero), Pusat Pengeluar Media (bandar 6 Oktober, Giza) dan Dataran Nahdah, Giza.

Himpunan hari ini juga diberi nama Jumaat "Az-Zihaf" atau "Jumaat Kemaraan".

Ekoran himpunan besar-besaran hari ini, Dataran Raba'ah sejak malam tadi sesak dengan lautan manusia yang berpusu-pusu hadir untuk himpunan tersebut.

Beberapa media antarabangsa menganggarkan sudah lebih 4 juta penyokong Morsi berada di Dataran Raba'ah sejak berlakunya tragedi Subuh berdarah Isnin lalu.

Difahamkan, menjelang Subuh pagi ini, Dataran Raba'ah tidak dapat lagi menampung jumlah kehadiran yang begitu ramai.

Jutaan penyokong Morsi khususnya dari luar wilayah Kaherah kini didakwa sedang mara menuju ke kawasan himpunan yang ditetapkan.

Petang semalam turut menyaksikan pihak penganjur mengadakan persiapan secukupnya di dataran Raba'ah.

Antaranya dengan menambah pembesar suara, menukar "back drop" pentas utama dengan tertera tema "Demokrasi Menolak Rampasan Kuasa" dan memasang banner dalam bahasa asing di sekitar dataran bagi menyampaikan mesej kepada dunia apa yang berlaku di Mesir.

p/s dan begitulah juga rejim UMNO BN di negara kita... hukum kebenaran dan keadilan akan tetap berjalan, yang penipu, yang zalim dan yang batil akan tetap musnah akhirnya....

Red Bean Army, Dongeng UMNO Untuk Halalkan Peruntukan RM350 juta

Posted: 12 Jul 2013 05:03 AM PDT


Isu Tentera Kacang Merah (Red Bean Army) sekali lagi dibangkitkan di Parlimen apabila Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu akan mengambil tindakan jenayah dan sivil ke atas Tentera Kacang Merah dan yang sejenis dengannya kerana menyebarkan pembohongan menerusi internet.

Bagaimanapun, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, beliau hairan mengapa sampai sekarang kerajaan belum mengambil sebarang tindakan ke atas Tentera Kacang Merah itu, sedangkan ia tentu tidak sukar bagi polis siber membongkar kegiatan pasukan itu jika ia benar-benar wujud, apatah lagi ada pihak yang memberi 'maklumat' bahawa Hotel Concorde, iaitu sebuah hotel yang kerap dikunjungi pemimpin atasan UMNO/BN, digunakan sebagai pusat operasi utama bagi tentera siber serba mistik itu.

Katanya, ini jelas membuktikan kegilaan melampau UMNO/BN untuk meneruskan dongeng berhubung agenda sulit sebahagian pemimpin atasan UMNO/BN untuk menghalalkan peruntukan RM350 juta bagi memerangi Tentera Kacang Merah yang mereka khayalkan untuk sepanjang lima tahun akan datang.

Menurutnya, tindakan dan kenyataan Ahmad Zahid itu tidak lain adalah percubaan untuk menyelamatkan dongeng Tentera Kacang Merah daripada menjadi bahan ketawa.

Katanya, atas alasan itu juga "Tentera Kacang Merah yang didakwa dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper dengan peruntukan sebanyak antara RM100 juta hingga RM1 bilion sejak enam tahun lalu" perlu diselamat dan dihidupkan semula, kerana tanpa dongeng itu tiada alasan untuk memberi peruntukan sebanyak RM350 juta kepada cybertrooper UMNO/BN bagi meneruskan operasi untuk lima tahun akan datang.


"Maka fahamlah kita sebab-musabab UMNO/BN menunjukkan kegilaan melampau terhadap dongeng Tentera Kacang Merah.

"Minggu lalu setelah disedari tidak wujud tanda Tentera Kacang Merah di Hotel Concorde, sebuah hotel yang kerap dikunjungi pemimpin dan penggerak UMNO, malah tiada kacang merah sekali pun dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel itu, dongeng Tentera Kacang Merah yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper ini menjadi sasaran sindiran, ejekan dan jenaka," katanya dalam kenyataan media di Parlimen, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah hairan apabila Menteri Dalam Negeri yang dianggap bijak dan berlatar belakang baik itu boleh percayai kewujudan "Tentera Kacang Merah" yang kononnya dibiayai DAP dan dianggotai 3,000 cybertrooper dan dengan sokongan polis supaya Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan memberi penjelasan mengenai perkara itu

"Kerana itu juga minggu lalu saya mengetuai sekumpulan Ahli Parlimen DAP membuat lawatan ke Hotel Concorde. Namun, yang kami lihat tempat itu dipenuhi pemimpin dan penggerak UMNO. Bukan saja tiada tanda-tanda kewujudan Tentera Kacang Merah, malah kacang merah sekali pun tidak ditemui dalam ais kacang yang begitu mahal di hotel berkenaan.

"Apakah Menteri Dalam Negeri mempunyai kepakaran yang lebih tinggi dalam bidang teknologi maklumat daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia, memandangkan Timbalan Menteri kementerian itu sendiri sudah mengaku di Parlimen Khamis lalu bahawa beliau tidak tahu apa Tentera Kacang Merah atau samada Tentera Kacang Merah wujud, walaupun cakap-cakap mengenai tentera khayalan ini banyak di dengar di ruang siber dan media yang dikawal UMNO/BN," katanya.-Roketkini

Tiada ulasan: