Jumaat, 12 Julai 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


Che Long, Calon PAS Kuala Besut Pernah Jadi Ketua Pemuda UMNO Cawangan

Posted: 12 Jul 2013 01:10 AM PDT

Azlan: Dulu tak cerdik, tapi dah baligh dah

Calon PAS untuk pilihan raya kecil Kuala Besut Azlan Yusof hari ini mengakui pernah bergiat sebagai ketua pemuda Umno cawangan di kampungnya tetapi menegaskan ia dilakukan masa "tidak cerdik"

"Zaman dulu orang kampung saya, orang PAS ada lapan orang sahaja," katanya ketika diminta mengesahkan perkara itu oleh pemberita dalam sidang media selepas penamaan calon hari ini.

Diasak oleh wartawan supaya beliau mengakuinya, Azlan (kanan) berkata:

"Betullah... Tapi sekarang ini orang muda kampung saya boleh dikatakan semua bersama saya. Malam tadi hampir semua orang kampung keluar pasang bendera.

"(Masuk Umno) dulu masa tak cerdik, tapi dah baligh dah. Tapi sekarang dah cerdik dah," katanya sambil diiringi ketawa kecil.

Menurutnya ahli perniagaan dan kontraktor itu, beliau menyertai PAS pada 1997.

Azlan juga berkata beliau bersedia berdepan dengan pelbagai tohmahan kepada beliau sepanjang kempen pilihan raya kecil ini dan menganggap tindakan itu "perkara biasa".

"Kita bersedia, janji kita tak buat benda yang dilarang oleh Allah. Orang kata apa, silakan.

'Harap (kurang tohmahan). Calon sana kita kenal keluarga dia, dia kenal keluarga kita.

"Datuk Idris (Jusoh), kita kenal juga, dia juga sayang dekat kita," katanya yang menolak kempen memburukkan peribadi sepanjang proses berkempen.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Azlan dan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman Mokthar daripada BN menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi. Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian A Rahman akibat kanser.

Husam tuntut liputan RTM

Sementara itu, pengarah jawatankuasa induk pilihan raya kecil Kuala Besut PAS Datuk Husam Musa menuntut Menteri Penerangan dan Komunikasi Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek memberi liputan kepada calon PAS di RTM.

"Kita harap mendapat liputan. Jangan footage sahaja, tetapi adalah sikit suara-suara, yang molek-molek," katanya dalam sidang media sama.

"(Tapi) Kita seganlah nak minta, itu eksklusif untuk parti pemerintah," sindir naib presiden PAS itu. -mk

Ulasan GB

Itulah kelebihan calon PAS, tahu kedua-dua parti, dan justeru itu dapat membezakan yang mana kaca yang mana permata...

[BERGAMBAR & VIDEO] Penamaan Calon PRK Kuala Besut: Satu Lawan Satu

Posted: 11 Jul 2013 11:45 PM PDT


Hanya PAS dan Barisan Nasional (BN) sahaja mengemukakan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Pada penamaan yang berakhir sebentar tadi, PRK Kuala Besut menyaksikan pertembungan antara calon PAS, Azlan @ Endot Yusof dengan calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman.

Pegawai pengurus PRK N01 Dun Kuala Besut itu, A. Rahim Jusoh, Azlan ketika mengumumkan demikian berkata, Azlan mengemukakan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi, diikuti Tengku Zaihan tujuh minit kemudian.

Beliau menjelaskan bahawa tiada calon yang ditolak sehingga waktu penamaan ditutup jam 10 pagi.

Penamaan calon bagi PKR Kuala Besut diadakan di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai hari membuang undi PRK Kuala Besut sementara penamaan calon pada 12 Julai.

PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu kerana kanser paru-paru.

Pada PRU13 lalu, allahyarham memperolehi 8,809 undi sementara calon PAS, Napisah Ismail mendapat 6,375 undi. -HD


LAPORAN DARI MALAYSIAKINI


Hari ini bermula kehangatan di Kuala Besut dengan penamaan calon bagi menggantikan bekas ADUN Datuk A Rahman Mokhtar yang meninggal dunia akibat kanser paru-paru.

Cuaca mendung, hujan renyai-renyai serta tiupan angin Laut Cina Selatan bakal menambah lagi semangat calon dan penyokong yang tetap berkumpul sekalipun dalam bulan Ramadan.

Calon PAS Azlan Yusof adalah ahli perniagaan bersama kepimpinan parti itu berhimpun di persimpangan lampu isyarat berdekatan Pejabat Agama Daerah Besut.

Mereka bergerak kira-kira satu kilometer ke pusat penamaan calon - Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja, Besut.

Manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman diiringi kepimpinan parti berkumpul di Rumah Ahmad Saleh - kira-kira 700 meter daripada pusat penamaan calon.

Masa penamaan calon bermula 9 hingga 10 pagi.

Dalam pilihan raya umum lalu, allahyarham A Rahman menewaskan calon PAS Napsiah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Kawasan itu terkenal sebagai kawasan kubu kuat BN.

Kemenangan kali ini penting bagi kedua-dua pihak memandangkan perbezaan kerusi cuma dua di peringkat negeri.

Ini bermakna, jika PAS menang, keputusan akan menjadi 16-16, sekali gus menyebabkan situasi DUN 'tergantung'.

LAPORAN LANGSUNG

10.25 pagi: Pegawai Pengurus pilihan raya A Rahim Jusoh berkata beliau berpuas dengan kertas borang pencalon dan tiada kertas calon ditolak.

Sehubungan itu, katanya, dua calon akan bertanding dalam pilihan raya umum DUN Kuala Besut iaitu Tengku Zaihan dan Azlan Yusof.

Sementara itu, Nik Aziz beredar Kompleks Rakan Muda dan diiringi laungan takbir dan solawat.

10.06 pagi: Penyokong BN tetap setia menunggu diluar kompleks rakan muda kini mengibar-kibar bendera BN sambil menyanyi lagu Umno.

Tepat jam 10 pagi, SPR mengumumkan penamaan calon secara rasminya tamat. Dengan itu, sahlah pertandingan dua penjuru anara Tengku Zaihan dan Azlan.

9.45 pagi: Perkarangan Kompleks Rakan Muda - Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata kemenangan PAS di Kuala Besut akan "membantu Idris Jusoh" yang didakwanya "bertembung" dengan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said.

"Ini kerana Mat Said dilihat tidak mempunyai agenda politik yang mantap. Tidak membawa banyak kemajuan.

"Beliau masih kekal jadi MB tetapi berbeza pendapat dengan Idris Jusoh. Dengan kemenangan ini, kedudukan Mat Said akan tergugat... Masih tak boleh tukar MB sebab dia (Mat Said) terlalu kuat.

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," katanya.

Sementara itu, di luar Kompleks Rakan Muda, penyokong PAS bertakbir, bertahmid, dan bertasbih dan melaungkan hidup Islam.

Penyokong PAS kini mencecah 3,000 orang. Cuaca tadi yang mendung, kini sudah mula panas terik.

9.38 pagi: Abdul Hadi Awang beredar daripada pusat penamaan calon kerana akan bertolak ke luar negara hari ini.

9.23 pagi: Kelihatan seperti pertembungan dua penjuru PAS-BN di Kuala Besut ekoran hanya dua pihak kelihatan di pusat penamaan.

Selepas bercakap kepada media, calon kedua-dua parti kini menunggu pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk memuktamadkan proses penamaan calon.

Masa pencalonan sehingga 10 pagi.

9.20 pagi: Suasana diam penyokong PAS pada awalnya berubah. Mereka mula bertakbir dan melaungkan slogan "hidup Islam" apabila Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat sampai ke pusat penamaan calon.

Beliau diiringi dua pengawal dan beberapa kepimpinan PAS, antaranya Setiausaha Majlis Syura Ulama Nik Zawawi Salleh.

Beliau kemudiannya bersalaman dengan kepimpinan Pakatan yang sedia menunggu di dalam khemah di luar pusat mengundi.

Sementara itu, di pihak BN, mereka melaungkan slogan "Gelombang Biru", melambangkan warga parti itu.

9.15 pagi: Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut Datuk Husam Musa tiba di kompleks rakan muda.

9.05 pagi: Luar Kompleks Rakan Muda - Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut ketika ditemui Malaysiakini bersyukur kerana perjalanan perarakan dan penamaan calon berjalan lancar dalam suasana tenang.

"Hari ini nampak OK, kita akan terus dengan kempen kita berjalan walaupun di bulan puasa. Kita dah susun program Pemuda, Muslimat dan lain-lain.

"Saya selalu kata, pilihan raya ini penting untuk menentukan (calon) Dewan Undangan Negeri... Insya-allah boleh mencapai kemenangan," katanya.

Turut sabar menanti di luar pusat penamaan calon Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, Setiausah Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut berada di khemah luar isteri kepada Azlan Yusof, bersama-sama keluarganya.

9.00 pagi: Diketuai Muhyiddin, Tengku Zaihan dan 2,000 penyokong BN berarah ke pusat penamaan calon. Hujan telah berhenti. Mereka senyap tanpa sebarang slogan dan laungan kata.

8.55 pagi: Sebelum perarakan, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berucap menggesa para penyokong mengundi calon BN pada 24 Julai.

Beliau berjanji kerajaan negeri akan terus membangunkan Kuala Besut seperti yang diharapkan oleh rakyat.

8.50 pagi: Tiga penyokong BN termasuk ke dalam lorong ke arah penyokong PAS dan disorak oleh penyokong PAS.

Hujan renyai-renyai akhirnya berhenti, tetapi langit masih mendung.

8.44 pagi: Ahli Parlimen DAP Gelang Patah, Lim Kit Siang dan Vincent Wu tiba di pusat penamaan calon, dengan Lim melambai ke arah penyokong PAS, yang telah meningkat kepada lebih 2,000 orang.

Turut memasuki pusat penamaan calon adalah bekas exco Selangor Ronnie Liu.

8.40 pagi: TPM Muhyiddin Yassin bari tiba di tempat perhimpunan BN dengan kereta rasminya, 20 minit sebelum penamaan calon.

Beliau tiba bersama-sama dengan beberapa pemimpin Umno lain, termasuk Setiausaha Agung, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Harun dan Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, Menteri Pelajaran Kedua Datuk Idris Jusoh dan Pemangku Presiden Gerakan Chang Ko Youn juga hadir.

8.30 pagi: Kompleks Rakan Muda - calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman tiba di tempat berhimpun.

Hujan renyai-renyai dan terdapat hanya kira-kira 500 orang berkumpul di sini 30 minit sebelum penamaan calon.

Walaupun banyak kemah disediakan, tetapi ramai kelihatan berdiri di luar dengan memakai payung.

Mereka sedang menunggu kedatangan Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memimpin berarak ke pusat penamaan calon kira-kira 700 meter dari situ.

8:25 pagi: Kompleks Rakan Muda - Calon PAS Azlan Yusof tiba di pusat penamaan calon.

Tiga minit kemudian, beliau diiringi Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS yang lain, ke pusat penamaan calon.

Penyokong PAS dan BN dipisahkan pada jarak 100 meter.

8:10 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - penyokong PAS memasuki Jalan Tembila, sambil melaungkan takbir ketika menuju ke Kompleks Rakan Muda, iaitu kira-kira 1 km dari sini.

Bilangan penyokong mencecah kira-kira 1,500.

8:05 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengetuai perarakan calon PAS, Azlan Yusof ke pusat penamaan calon ketika hujan renyai-renyai berterusan. Turut mengiringi Azlan ialah Mengiringi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan kepimpinan PAS Terengganu.

8:00 pagi: Persimpangan Jln Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai itu tidak menghalang kira-kira 300 penyokong PAS menunggu ketibaan Abdul Hadi Awang dan Azlan yang kini berada di Masjid Kg Raja menunaikan solat hajat.

7:30 pagi: Kompleks Rakan Muda - Sekurang-kurangnya 200 anggota polis dilihat sama ada berkumpul atau mengawal tempat pemeriksaan di sekitar pusat penamaan calon, termasuk beberapa anggota unit anti-rusuhan (LSF).

Sebuah helikopter polis juga dilihat berligar di udara.

Malaysiakini juga ternampak beberapa trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) ketika dalam perjalanan ke pusat penamaan calon, tetapi tidak pasti di mana mereka ditugaskan.

7:30 pagi: Persimpangan Jalan Raja-Jln Tembila - Hujan renyai-renyai turun dan penyokong PAS mula berkumpul di persimpangan tersebut.
-mk



PRK Kuala Besut ulang sejarah 34 tahun lalu


KUALA BESUT - Penamaan calon untuk pilihan raya kecil Kuala Besut hari ini, yang menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) dan Pas, mengulangi sejarah 34 tahun lalu, apabila dua calon parti yang sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.

Pada 1979, pilihan raya kecil diadakan untuk Dun Kuala Besut juga dalam bulan Ramadan berikutan kematian wakil rakyatnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima borang pencalonan wakil kedua-dua parti di pusat penamaan calon di Kompleks Rakan Muda Kuala Besut pagi ini.

Calon Pas Endot@Azlan Yusof, 48, menyerahkan borang pencalonannya kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya A.Rahim Jusoh pada jam 9.03 pagi manakala calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, menyerahkan borang pencalonan pada pukul 9.10 pagi.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengarah PRK Kuala Besut mengetuai kira-kira 3,000 penyokong mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon manakala calon Pas pula diiringi bilangan penyokong yang seimbang diketuai Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Calon BN yang mengenakan baju kebangsaan Melayu serba biru memasuki pusat penamaan calon dengan diiringi Datuk Wan Zakaria Abd Rahman selaku pencadang, dan Roslan Ayob sebagai penyokong manakala calon Pas yang berbaju hijau hadir bersama Ayat Hadi Mamat sebagai pencadang dan Zulkarnain Abdullah sebagai penyokong.

Hujan gerimis sejak awal pagi dan kehadiran Ramadan tidak menghalang kedua-dua penyokong parti berarak ke pusat penamaan calon yang mula dibuka pukul 9 pagi dalam suasana harmoni yang dikawal pasukan keselamatan.

Calon BN Tengku Zaihan merupakan seorang jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Putrajaya sebelum ini dan pernah berkhidmat selama lima tahun di JPS Daerah Besut.

Anak kelahiran Kampung Nail, Kuala Besut itu mula mencurahkan bakti kepada masyarakat setempat setelah menyertai JPS 15 tahun lalu dengan memegang jawatan jurutera daerah.

Tengku Zaihan berkata beliau bertekad untuk mengekalkan kerusi itu di tangan BN berdasarkan peluang yang dilihatnya melalui pertandingan satu lawan satu.

"Tiada masalah untuk mendekati rakyat seperti yang biasa saya lakukan sebelum ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas selesai proses pencalonan.
-SH






Laporan Panel: Polis & DBKL Punca Huru-hara Bersih 3.0

Posted: 11 Jul 2013 07:55 PM PDT


PPanel ditubuhkan kerajaan mengesahkan polis Malaysia menggunakan kuasa berlebihan terhadap penyokong berbaju kuning dalam perhimpunan aman Bersih 3.0 tahun lalu sehingga menyebabkan kekacauan di ibu negara Kuala Lumpur.

Sumber dari dalam panel diketuai bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar itu juga menyalahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) atas alasan rapuh mereka dalam tidak membenarkan penganjur perhimpunan menggunakan Dataran Merdeka untuk acara itu dan Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB), kerana menghentikan bas dan keretapi milik kerajaan daripada masuk ke bandar.

Kerajaan menubuhkan panel itu bertujuan menyiasat dakwaan keganansan polis terhadap peserta perhimpunan dan wartawan pada 28 April, 2012. Mereka menyerahkan laporan 500 muka surat terhadap penemuan mereka kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu.

Bercakap kepada The Malaysian Insider dengan syarat namanya dirahsiakan, sumber memberitahu panel mengkritik polis kerana sikap keras kepala dalam berurusan dengan peserta perhimpunan selepas mereka merempuh kawat dawai di Dataran Merdeka.

Laporan menyertakan kronologi sebelum, semasa dan selepas perhimpunan yang diadakan untuk menuntut pilihan raya bebas dan asil.

Penyiasatan sepanjang tahun lalu menyebabkan ahli panel membuat kesimpulan polis menggunakan kekerasan terhadap provokasi.

"Sebelum 3 petang, polis bertindak secara profesional," kata sumber dan menambah maklumat ini diperolehi daripada 70 video yang dihantar pasukan polis kepada panel.

"Tetapi selepas 3 petang apabila beberapa peserta perhimpunan memecahkan kawat dawai di Dataran Merdeka, huru-hara tercetus," katanya.

Polis mengambil tindakan terhadap peserta perhimpunan, mengejar mereka di beberapa tempat di tengah bandar. Majoriti yang menjadi sasaran adalah mereka yang berbaju kuning Bersih.

"Polis mempunyai kekurangannya, tetapi sudah belajar daripada kesilapan melalui apa yang berlaku semasa Bersih 3.0," kata satu lagi sumber.

Buktinya adalah ketika perhimpunan Black 505 yang dianjurkan oleh pembangkang untuk membantah penipuan pilihan raya, kata sumber berkenaan.

DBKL dipersalahkan kerana tidak menguruskan dengan baik sebelum perhimpunan apabila memberikan alasan tidak munasabah mengapa Dataran Merdeka tidak boleh digunakan, tambah sumber itu.

"DBKL boleh menguruskan dengan lebih baik untuk elak kekecohan."

Panel membuat kesimpulan DBKL tidak memberikan alasan munasabah tentang mengapa Dataran Merdeka tidak boleh digunakan. Panel perlu menerima alasan itu kerana DBKL adalah pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap tapak bersejarah itu," katanya.

Panel juga mengkritik syarikat milik kerajaan SPNB kerana pengurusan bas dan keretapi ke ibu kota.

"Pada hari itu keretapi dan bas berhenti masuk ke bandar dalam langkah untuk tidak menggalakkan penyokong Bersih 3.0 daripada masuk ke tengah bandar," kata sumber itu.

Laporan 500 muka surat itu juga mendapati kesilapan pihak lain termasuk media, di mana panel berpendapat gagal untuk menjaga keselamatan wartawan mereka.

"Kebanyakan editor memberitahu wartawan mereka untuk menjaga diri, tetapi tidak ada garis panduan mengenai apa mereka perlu lakukan apabila situasi tidak terkawal seperti yang berlaku pada hari itu," katanya.

Panel juga menyatakan kebimbangan terhadap kesedaran orang ramai mengenai undang-undang dan risiko demonstrasi.

Sumber juga mendedahkan walaupun penyiasatan memanggil 45 saksi, panel tidak hanya bergantung kepada testimoni mereka.

"Panel mengkaji laporan media, blog dan media sosial. Polis dipanggil untuk mengesahkan laporan," kata sumber lain.

Panel itu walau bagaimanapun diboikot pembangkang dan penganjur Bersih 3.0 yang tidak gembira dengan terma rujukannya.

Pembangkang bertegas panel tidak mempunyai kuasa undang-undang dan kredibiliti untuk memanggil mana-mana saksi.

Fakta mengenai pengerusi panel, Hanif yang memberikan komen berat sebelah bagaimana perhimpunan Bersih 3.0 dirancang oleh komunis menambah kepada kehilangan kredibiliti panel berkenaan.

Bagaimanapun, ahli pembangkang terbabit dengan pendengaran Bersih 3.0 dianjurkan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Kekurangan pembabitan orang ramai adalah salah satu sebab mengapa panel membuat keputusan untuk mencari bukti di atas talian.

"Penemuan tidak lengkap seperti diharapkan kerana ramai saksi enggan hadir," kata sumber itu dan menambah sebelum menerbitkan laporan mereka, panel juga menyemak laporan dikeluarkan Suhakam mengenai perhimpunan sama.

Sementara sumber yang diwawancara berpendapat laporan mereka adil, mereka tidak pasti sama ada kerajaan akan mendengar cadangan diberikan oleh panel.

Turut dilaporkan Kabinet akan membuat keputusan sama ada laporan panel akan dikongsi bersama orang awam. -TMI

Aiiiikkk... Ada Acara Rogol Berganti-ganti Di Sukma 2013...

Posted: 11 Jul 2013 05:10 PM PDT

Tiga atlet Sukma didakwa rogol pegawai pengiring

Tiga atlet bola baling lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2013 hari ini masing-masing mengaku tidak bersalah di tiga Mahkamah Sesyen di Petaling Jaya atas pertuduhan merogol seorang pegawai pengiring pasukan bola baling itu, Khamis lepas.

Megat Farzeril Faiz Megat Razali, 19, Mohammad Shaizzad Md Shafie, 19, dan Adib Adha Ismail, 18, masing-masing memohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan tiga hakim iaitu Yasmin Abdul Razak, Abu Bakar Manat dan Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa merogol wanita berusia 20 tahun itu di sebuah bilik di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, antara jam 4 pagi hingga 4.10 pagi, 4 Julai lepas.

Megat Farzeril Faiz didakwa merogol wanita itu pukul 4 pagi, Mohammad Shaizzad pula pada jam 4.05 pagi dan Adib Adha pula 4.10 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan iaitu Adib Adha dan Mohammad Shaizzad perlu melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Mereka juga diperintahkan supaya tidak menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 20 Ogos untuk sebutan kes itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Jian tidak menawarkan sebarang jaminan bagi kesemua tertuduh dengan alasan kes itu berprofil tinggi kerana dikhuatiri semua tertuduh akan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan yang terdiri daripada rakan tertuduh sendiri.

Beliau juga memohon supaya ketiga-tiga kes itu dibicarakan bersama.

Mahkamah membenarkan permohonan itu dan memerintahkan kes itu dibicarakan di hadapan Hakim Abu Bakar.

Peguam Stephanie Wong, yang mewakili Adib Adha memohon jaminan RM5,000 berserta syarat tambahan dikenakan terhadap anak guamnya iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan selain akan memastikan dia tidak mengganggu mangsa dan siasatan polis.

Peguam Datuk Suraj Singh, yang mewakili Megat Farzeril dan Mohammad Shaizzad, memohon supaya kedua-dua anak guamnya dibenarkan diikat jamin selain memberi jaminan mereka tidak akan mengganggu mangsa.

Suraj berkata Megat Farzeril yang membantu ibunya berniaga hanya berpendapatan RM800 sebulan dan dia perlu menanggung empat beradik manakala Mohammad Shaizzad masih menuntut di sebuah kolej tempatan.

Peguam pemerhati Ranjit Singh yang bertindak bagi pihak mangsa, memohon kepada mahkamah agar mengeluarkan perintah larangan kepada pihak media supaya tidak mendedahkan sebarang nama dan identiti mangsa.

Suraj yang menyokong permohonan Ranjit, berkata: "Media juga harus diberi amaran supaya tidak membuat penilaian dalam kes ini sehingga mahkamah membuat keputusan".

Mahkamah membenarkan permohonan itu.

Sebelum prosiding bermula, ketiga-tiga tertuduh kelihatan menangis sambil memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di mahkamah.

- Bernama

Artis Dicekup Tak Berpuasa, Hisap Rokok & Main Mahjong

Posted: 11 Jul 2013 04:01 AM PDT

Puchong – Kesucian 1 Ramadan yang sepatutnya dihormati, dicemari dua wanita Islam termasuk seorang pelakon drama apabila dicekup bermain mahjung di sebuah pusat siber di Bandar Puteri di sini, semalam.

Pelakon yang pernah diberi jolokan nama seorang artis seksi luar negara itu kelihatan resah dan berjalan mundar-mandir dalam bilik berkenaan apabila wajahnya dirakam.

Difahamkan, kedua-dua wanita itu dipercayai tidak berpuasa, menghisap rokok serta menikmati minuman yang terhidang dan memberi alasan sakit perut ketika dicekup di bilik VIP di tingkat tiga premis terbabit.

Ketika serbuan, wanita berusia lingkungan 30-an itu leka bermain mahjung bersama dua lelaki bukan Islam di dalam sebuah bilik kecil yang terletak di sebalik ruang permainan snuker.


Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Mejar (B) Mohd Rasip Rasul berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya melakukan serbuan ke pusat siber yang turut menjalankan aktiviti permainan snuker itu, petang semalam.

Hasil pemeriksaan mendapati perniagaan pusat siber yang turut menawarkan aktiviti perjudian itu tidak mempunyai lesen sah daripada MPSJ.

Dalam serbuan diketuai Penolong Pegawai Penguat Kuasa MPSJ, R Ravinthran bersama 23 anggota, premis itu dikenakan tindakan sitaan manakala peralatan dirampas.

Mohd Rasip berkata, premis terbabit sudah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menawarkan pelbagai aktiviti hiburan kepada pengunjung.

"Kami bertindak merampas 42 set komputer mengandungi perisian perjudian atas talian dan dua televisyen.

"Tindakan diambil di bawah UUK 3 Undang-undang kecil Pusat Siber MPSJ 2007 kerana menjalankan perniagaan pusat siber tanpa lesen daripada MPSJ," katanya.

Beliau berkata, pelakon berkenaan bersama tiga rakannya kemudian dibebaskan selepas butir keterangan diri diambil. -SH

Tiada ulasan: