Isnin, 15 Julai 2013

edyesdotcom

edyesdotcom


Ketegangan Kaum di Kelang: Tidak Wajar Sorok Berita Sebenar

Posted: 14 Jul 2013 04:46 PM PDT

Kenyataan Media

15 Julai 2013

Ketegangan Kaum di Kelang: Tidak Wajar Sorok Berita Sebenar

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa pihak polis memberi gambaran yang tepat kepada umum mengenai apa yang sebenarnya telah berlaku Klang mutakhir ini. Pengamatan SAMM melalui SAMM Selangor zon Kelang mengesahkan memang berlaku ketegangan kaum namun keadaan dilihat terkawal.

Tindakkan pihak polis yang sengaja menyorokkan berita sebenar kononnya bagi mengekang kejadian lebih buruk, hanya menjadikan keadaan lebih tidak menentu dengan berita berbentuk khabar angin tersebar lebih meluas. Seharusnya, pihak polis bertanggungjawab memastikan khabar angin yang tidak benar dan mempunyai agenda jahat dipatahkan dengan memberi gambaran dan status terkini dari kawasan kejadian. 

Ketegangan kaum di Kelang juga merupakan bahana yang lahir dari politik perkauman melampau. Semata-mata untuk mempertahankan kuasa, soal hubungan antara kaum bukan sahaja tidak dijaga rapi malah turut diapikan sentimen perkauman. Dalam pilihanraya umum lalu, pengundi melayu khususnya dimomokkan dan diugut supaya terus menyokong pemerintah kononnya kuasa melayu terhakis jika kerajaan tumbang. 

SAMM juga menasihatkan semua agar bertenang dan dalam masa yang sama SAMM menyokong tindakan yang tegas dari pihak polis bagi menangani ketegangan ini. Orang ramai juga diminta supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin.

Dalam soal ini juga, kefahaman orang ramai adalah penting. Mujurlah rakyat Malaysia hari ini rata-ratanya tidak terikat dengan ketaksuban perkauman, hanya tinggal segelintir yang didoktrin oleh parti politik berasaskan kaum masih mempunyai pemikiran era pra-kemerdekaan.

Sekian

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Tiada ulasan: