Jumaat, 5 Julai 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Sangkar Kepala Kerana Mahu Berhenti Merokok

Posted: 04 Jul 2013 08:45 PM PDT



[HM] Ankara: Hal ini mungkin dianggap keterlaluan.

Bagaimanapun, ada orang yang sanggup melakukan sesuatu yang tidak pernah diduga oleh akal untuk berhenti merokok. Seorang lelaki Turki bertindak mengunci kepalanya dalam sangkar untuk menghalangnya merokok.

Akhbar Turki, Hurriyet semalam melaporkan, Ibrahim, 42, dari Kutayha, wilayah di barat negara itu, membuat sangkar berbentuk topi keledar dan mengunci kepalanya di dalam sebagai usaha untuk berhenti merokok.

Dia menyerahkan satu daripada dua kunci kepada anaknya dan satu lagi kepada isterinya supaya dia tidak boleh membuka sangkar itu untuk merokok apabila berada di luar rumah.

Ibrahim berkata, dia merokok dua bungkus sehari sejak 26 tahun lalu dan kini mahu menghentikan tabiat itu.

Menurut Hurriyet, lelaki itu mula memakai topi keledar berkenaan dua hari lalu. - Agensi



Siapa Dr Mursi?

Posted: 04 Jul 2013 07:15 PM PDT


[SH] MOHAMED Mursi Isa' al-Ayyat lahir pada 20 Ogos 1951 di al-Udwah, Wilayah As-Syarqiyah. Hidup dalam keluarga sederhana dan beragama. Bapanya petani dan ibunya suri rumah.

Berkahwin pada 1978, mempunyai lima anak dan tiga cucu. Kesemua anaknya adalah hafiz dan hafizah, begitu juga beliau dan isteri.

Mursi melanjutkan pendidikan di Universiti Kaherah dalam bidang Kejuruteraan pada 1970 hingga 1975. Kemudian menyambung pengajian hingga memperoleh Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Metalurgi di universiti sama pada 1978. Pada tahun itu juga, beliau ke Amerika Syarikat (AS) menyambung pengajian Doktor Falsafah di Universiti Southern California dan berjaya memperolehnya pada 1982.

Selepas itu, Mursi dilantik sebagai pensyarah di universiti sama, kemudian menjadi pembantu profesor di Universiti California-North Ridge. Kembali dari AS, beliau dilantik profesor dan Ketua Jabatan Fakulti Kejuruteraan Material Universiti Zaqaziq pada 1985 hingga 2000.

Dakwah dan Politik

Mursi konsisten memperjuangkan keadilan, kebebasan, menentang kezaliman dan kekejaman sebagai ahli Maktab Irsyad (Dewan Syura) Ikhwanul Muslimin dan menjadi Ahli Parlimen (2000-2005).

Pada Pilihan Raya Parlimen 2005, beliau menewaskan pesaing dari parti Hosni Mubarak, Nasional Democratic Party (NDP) namun keputusan tidak berpihak kepadanya hingga pemilihan semula terpaksa dilakukan. Beliau beri perhatian serius terhadap isu Palestin dan Al-Quds. Beliau terpilih ahli Majlis Penentangan Terhadap Zionisme di Wilayah Syarqiyah dan pengasas Jawatankuasa Mesir Menentang Projek Zionisme.

Penjara dan Penangkapan

Mursi antara pendakwah aktif dalam jemaah Ikhwanul Muslim. Sikapnya menentang perilaku rejim zalim, menyebabkan beliau berkali-kali ditangkap. Selepas terjadinya pemalsuan Parlimen pada pemilihan 2005, Mursi menjadi tulang belakang dalam demonstrasi menyokong kehakiman bebas. Akibatnya, pada 18 Mei 2006 beliau ditangkap bersama 500 anggota Ikhwanul Muslimin dan dipenjara tujuh bulan.

Beliau pernah ditangkap bersama sebahagian besar pimpinan Ikhwanul Muslimin pada 28 Januari 2011 bagi menggelakkan beliau terlibat dengan demonstrasi. Keluarganya turut menjadi sasaran. Anaknya, Ahmad ditangkap ketika Mursi mencalonkan diri pada pemilihan 2000.

Menilai prestasinya, Majlis Syura Ikhwanul Muslimin memilihnya sebagai anggota Maktab Irsyad, dan pasca Revolusi Mesir, majlis itu memilihnya sebagai Presiden Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP) iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh Ikhwanul Muslimin.

Tiada ulasan: