Khamis, 4 Julai 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Bergaduh Sampai Gigit Zakar

Posted: 04 Jul 2013 06:30 AM PDT


Sekadar hiasan.

[HM] London: Mahkamah semalam diberitahu, seorang lelaki menggigit zakar jirannya sehingga berdarah selepas mereka terbabit dalam pergaduhan berpunca daripada gangguan bunyi.

Jason Martin, 41, dituduh membongkok dan menggigit Richard Henderson, 39, melalui pijama mangsa seelaps menerima mesej teks meminta dia memperlahankan muzik dipasangnya.

Menurut Henderson, Martin menggigit kemaluannya "seperti satu set sandwic" dan menyebabkan dia mengalami kesakitan melampau.

Diminta menggambarkan serangan itu, Henderson memberitahu juri, kemaluannya "tidak lagi bersambung dengan seluruh anggota badannya." "Saya tak pernah mengalami kesakitan sebegitu dan tidak mahu mengalaminya sekali lagi," katanya.


Sementara itu, polis yang dipanggil ke tempat kejadian mengakui melihat mulut Martin dipenuhi darah. Bagaimanapun, tertuduh menafikan dia menggigit Henderson.

"Bagaimana saya boleh menggigit dia ketika saya tak ada gigi?" katanya.

Sejumlah gambar turut ditunjukkan kepada juri di Mahkamah Canterbury selepas mereka diberi amaran oleh pendakwa bahawa imej itu "tidak menyenangkan" untuk dilihat. Martin menafikan dia berniat untuk menyebabkan kecederaan serius kepada Henderson dalam kejadian Jun tahun lalu itu. Pendakwa, Mary Jacobson berkata, pergaduhan berlaku apabila Henderson dan pasangannya, Michelle Hilton berasa terganggu kerana muzik dimainkan dari rumah Martin pada lewat malam itu.

Sebaik keluar dari rumah masing-masing, kata Mary, Martin dan Henderson bergelut.

"Defendan menolak Henderson ke dinding, membongkok dan menggigit zakar mangsa.

"Henderson meraung kesakitan dan Michelle pula mula menjerit meminta tolong," katanya. Martin berjaya dipisahkan daripada Henderson apabila jiran mula keluar dan cuba meleraikan pergaduhan berkenaan. Perbicaraan bersambung hari ini. - Agensi


Kes Rogol Kontroversi Sabah: Lebam di Bahagian Selaput Dara

Posted: 04 Jul 2013 05:00 AM PDT


Mangsa dakwa dinoda 'Joey' di air terjun

[HM] Kota Kinabalu: Seorang pakar perubatan memberitahu Mahkamah Sesyen di sini, semalam, mangsa memaklumkan seorang lelaki dikenali sebagai 'Joey' merogolnya di kawasan air terjun Kionsom, Inanam, pada 18 Februari lalu.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Dr Munawwirah Ismail berkata, dia diberitahu mengenai perkara itu ketika berbual sebelum melakukan pemeriksaan fizikal terhadap mangsa.

"Saya melakukan pemeriksaan selepas mangsa disyaki dirogol atas permintaan penjaga dan polis.

"Sebelum menjalankan pemeriksaan, saya berbual dengan mangsa dan dia (mangsa) menyatakan dirogol pada 18 Februari 2013 oleh seorang lelaki dikenali sebagai 'Joey'," katanya.

Munawwirah berkata demikian ketika memberi keterangan perbicaraan kes rogol membabitkan Pengurus Restoran Riduan Masmud, 40, yang didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun enam bulan di dalam sebuah kereta di Inanam kira-kira 10 pagi pada 18 Februari lalu.

Ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Ummu Khatom Abd Samad, saksi berkenaan turut mengakui mangsa ada memaklumkan dia dipaksa melakukan persetubuhan.

Terdahulu, perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Effizah Ernie Idris dan Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin manakala tertuduh diwakili Loretto J Padua.

Namun, Munawwirah mengakui tiada koyakan pada selaput dara kerana selaput dara mangsa bersifat kenyal atau elastik, tetapi terdapat kesan calar dan lebam disebabkan tekanan atau kemasukan objek tumpul dan keras seperti jari, zakar atau timun.

Ketika menjawab soalan Effizah, Munawwirah bersetuju kes berkenaan boleh dikategorikan sebagai rogol dengan mengambil kira keputusan ujian asid deoksribonukleik (DNA) Jabatan Kimia yang menemui campuran profil lelaki dan perempuan dalam sampel putik kapas diambil daripada kemaluan mangsa.

Ketika disoal balas Loretto, Munawwirah memberitahu sudah mengendalikan kira-kira 15 kes berkaitan rogol sejak bertugas di bahagian Obstetrik dan Ginekologi.

Perbicaraan bersambung hari ini.


Yusoff Kalla Bantah Tindakan Media Malaysia Putar Belit Kenyataannya tentang Anwar Ibrahim

Posted: 04 Jul 2013 04:00 AM PDT


[KD] KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Bekas Naib Presiden Indonesia, Yusoff Kalla membantah tindakan media arus perdana Malaysia yang memutar belit kenyataannya, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar memberitahu, beliau dihubungi Yusoff pagi ini melalui telefon bahawa rakannya di Indonesia itu tidak menyangka kenyataannya diputar belit sedemikian.

"Tulisan itu tak benar. Saya akan bantah," kata Anwar, membacakan pesanan teks yang dihantar Yusoff Kalla kepadanya.

"Dari awal saya tidak yakin beliau akan mengeluarkan kenyataan sekeras itu," kata Anwar memaklumkan rasa tidak puas hati Yusoff pada sidang media di lobi parlimen hari ini.

Menurut Anwar, artikel itu adalah terbitan sebuah laman blog tajaan Umno.

Tambahnya, Yusoff telah menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pengarang Berita Harian, Eksekutif Berita Harian dan Ketua-ketua Pengarang Kumpulan Berita Harian dan New Straits Times.


"Teman di Jakarta tidak senang. Dia kata ini bukan Pak Yusuff. Bukan caranya dia buat begitu. (Namun) setakat hari ini dan kelmarin belum ada pembetulan," kata Anwar

Justeru Anwar memberitahu, peguamnya dan Yusoff Kalla akan menyelaras tindakan undang-undang terhadap media yang memfitnah kedua mereka.

"Mana-mana ahli Parlimen yang ulang akan kita rujuk kepada jawatankuasa hak dan kebebasan Dewan," katanya.

Berita Harian pada 29 Jun lalu melaporkan berita kononnya Anwar mendapat dana besar pihak asing dari Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk aktiviti perhimpunan Blackout 505.

Laporan tersebut memetik satu wawancara khas Yusoff Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia. 



Amah Saji Teh Campur Air Kencing

Posted: 04 Jul 2013 02:00 AM PDT



[HM] Hong Kong: Kerana tidak tahan dipaksa bekerja dengan teruk, seorang pembantu rumah menyajikan air teh yang dicampurkan dengan air kencingnya dan air bekas basuh baju kepada majikannya.

Akhbar South China Morning Post melaporkan, pembantu rumah berusia 22 tahun itu ditangkap selepas majikannya menyedari bau ganjil pada minumannya.

Majikan terbabit menyoal pembantu rumah itu yang mengaku berbuat demikian.

Pembantu rumah terbabit kini berdepan dengan hukuman penjara tiga tahun jika didapati bersalah terhadap tuduhan mencampurkan bahan berbahaya ke dalam makanan.

Identiti majikan dan pembantu rumah itu tidak dinyatakan.

Tahun lalu, seorang amah warga Indonesia di Dubai yang mencampurkan air kencing ke dalam teh majikannya dipenjara dua bulan. Dia melakukan jenayah itu kononnya untuk membuat keluarga majikannya sukakannya.

"Saya hanya mencampurkan sesudu air kencing ke dalam teh sebelum menyajikan minuman kepada keluarga itu. Saya lakukannya tujuh hari sebulan," kata amah terbabit.

Pada 2007, seorang amah, juga warga Indonesia, dipenjara enam hari di Hong Kong kerana menyajikan majikannnya minuman yang dicampur dengan air kencing nya. - Agensi



Utusan Gegar Isu WWW1, Akhirnya Kena Bayar Saman kepada Nizar

Posted: 04 Jul 2013 01:30 AM PDT



Nizar bersama peguam di mahkamah.


[HD] KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu (M) Bhd.membayar ganti rugi sebanyak RM250,000 kepada Mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin berhubung fitnah terhadapnya berkenaan isu pembidaan plat WWW1 yang berharga RM520,000.

Hakim, Datuk Rosnaini Saub turut mengarahkan ahkbar pro Umno itu membayar kos guaman sebanyak RM30,000.

Peguam Mohammad Nizar, Zamri Ibrahim berkata, plaintif iaitu pihaknya telah berjaya membuktikan wujudnya elemen-eleman asas fitnah didalam laporan berita bertarikh 31 Mei 2012 dan ianya terbukti merujuk kepada plaintif.

Beliau yang mewakili plaintif bersama seorang lagi peguam, Mohd Fitri Asmuni berkata, mahkamah tidak bersetuju dengan defendan (Utusan Melayu (M) Bhd.) yang merujuk kepada alasan penghakiman di dalam saman fitnah Nizar terhadap TV3 kerana ianya melibatkan pihak yang berbeza serta diputuskan oleh Mahkamah Tinggi yang bidang kuasanya setara dengan mahkamah ini.

Zamri berkata, defendan gagal dalam pembelaan justifikasinya apabila mahkamah memutuskan defendan tidak melaporkan berita, sebaliknya memutar belitkan kenyataan plaintif kononnya plaintif membuat komen terhdap Sultan Johor sedangkan plaintif tidak berbuat demikian.

Tambah beliau, defendan juga gagal dalam ulasan saksama apabila perkara yang dilaporkan adalah bukan merupakan komen tetapi suatu pernyataan dan defendan tidak bergantung kepada komen yang adil dan saksama.

"Plaintif menyatakan berkenaan pembelian nombor pendaftaran WWW1 pada harga yangg tinggi tetapi dalam laporan defendan menyatakan Sultan Johor salah guna wang rakyat. 

"Ianya adalah amat jauh tersasar dari komen yang adil," jelasnya.

Ujar beliau, defendan juga gagal dalam pembelaan perlindungan bersyarat walaupun berita itu berkepentingan awam tetapi defendan tidak membuat pengesahan terlebih dahulu daripada plaintif.

"Laporan itu jelas menyentuh paparan Twitter plaintif tetapi defendan tidak paparkan kandungan yang sebenar sebaliknya defendan menokok tambah dengan mengaitkan Sultan Johor sedangkan ianya tiada dalam Twitter plaintif," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Mohammad Nizar ketika dihubungi melahirkan rasa syukur dengan keputusan yang diputuskan oleh hakim itu.

"Ini bukan kali pertama kami (Pakatan Rakyat) menang, sebelum ini berpuluh-puluh saman kami menang, namun mereka (Utusan) tidak serik membuat fitnah.

"Saya bersyukur dengan keputusan ini dan terbukti segala dakwaan yang dilemparkan terhadap saya tentang kes ini (pembidaan plat WWW1) ternyata fitnah sama sekali," jelasnya lagi.

Adun Changkat Jering itu sebelum ini membuat keputusan untuk menyaman akhbar lidah Umno tersebut selepas memfitnah beliau dengan mengatakan beliau menuduh Sultan Johor menggunakan wang rakyat untuk membida nombor kenderaan WWW1 berharga RM520 ribu di keluaran bertarikh 21 Mei 2012.



Pakatan Rakyat KUTUK Rampasan Kuasa di Mesir

Posted: 04 Jul 2013 12:30 AM PDT


[SH] KUALA LUMPUR- Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengutuk tindakan rampasan kuasa (kudeta) oleh tentera Mesir yang menyaksikan penyingkiran Mohamed Morsi sebagai presiden negara itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Morsi telah dipilih oleh rakyat melalui sistem demokrasi secara adil dan telus namun kemenangan beliau dirampas secara zalim.

"Dari segi prinsipnya, kita tidak mendokong kudeta, kerana ia adalah pentadbiran tentera.

"Walaupun tentera Mesir sekarang meletakkan seseorang dari mahkamah Perlembagaan untuk menjadi presiden sementara, namun ia tidak melalui proses demokrasi," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Anwar lagi, sekiranya timbul bantahan terhadap presiden yang dilantik, proses rundingan yang telus perlu dilaksanakan secara baik, bukannya rampasan kuasa.

"Kalau mahu diadakan pilihan raya dengan segera, ia mesti mengikut kaedah demokrasi.

"Pada pilihan raya lalu, keadaan itu tidak seperti di Malaysia, pilihan raya dianggap bebas dan diiktiraf, sebab majoriti memilih Morsi," tegasnya.


Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar turut turut menyatakan bantahan terhadap tindakan yang dikenakan ke atas Morsi.

"Proses pilihan raya telah dibuat secara demokratik, kenapa tiba-tiba tentera boleh melakukan rampasan kuasa," katanya.

"Kami desak masyarakat dunia mengutuk rampasan tersebut dan kerajaan Malaysia perlu memberi kenyataan berkenaan isu ini," tambahnya lagi.

Morsi kini dikenakan tahanan rumah selepas digulingkan oleh pihak tentera.

Ketua Mahkamah Agung Perlembagaan Negara, Adly Mansour bakal menggantikan presiden kerajaan interim negara itu.


P/s: Israel sokong, Arab Saudi sokong, Amerika dan sekutu sokong, Sheikh Al Azhar sokong, Pope Mesir sokong, Turki bantah, PAS kutuk,  Pakatan Rakyat pun kutuk, UMNO dan Najib????


Katak Tebu Punca Buaya Pigmi PUPUS di Australia

Posted: 03 Jul 2013 11:00 PM PDT



[Kosmo] SYDNEY - Spesies kodok tebu kini mengancam populasi buaya pigmi di Australia, kata sepasukan penyelidik semalam.

Kehadiran haiwan beracun itu dibimbangi boleh menyebabkan spesies buaya unik itu pupus pada masa akan datang.

Pasukan penyelidik Universiti Charles Darwin memberitahu, keadaan itu berlaku ekoran buaya pigmi memakan kodok tebu kerana kekurangan sumber makanan lain.

Ketua penyelidik berkenaan, Adam Britton berkata, terdapat 28 ekor buaya pigmi di kawasan kajian berkenaan di Victoria dan Bullo, dalam Wilayah Utara, sebelum kedatangan kodok tebu.

Namun, angka itu menurun kepada 10 ekor selepas pencerobohan habitat berlaku.

"Sejumlah bangkai buaya mati dan penemuan kodok tebu di dalam perut haiwan itu membuktikan reptilia itu pupus disebabkan kehadiran kodok tebu," menurut keputusan kajian.

Buaya pigmi boleh membesar sepanjang 1.7 meter atau 0.7 meter untuk buaya betina iaitu separuh saiz buaya air tawar lain.

Kodok tebu mempunyai kantung racun di kepalanya yang boleh membunuh buaya dan ular. Spesies amfibia itu dibawa ke Australia dari Hawaii untuk mengawal populasi kumbang perosak pada 1930.

Namun, kodok tebu membiak dengan cepat dengan ia pula dianggap sebagai makhluk perosak.

Dijalankan dari 2007 hingga 2008, kajian tersebut disiarkan dalam edisi terbaharu jurnal saintifik, Wildlife Research. - AFP


MP BN Enggan Mohon Maaf atau Tarik Balik Dakwaan Anwar Miliki 20 Akaun Bank

Posted: 03 Jul 2013 10:00 PM PDT



[Bernama] KUALA LUMPUR - Anggota Parlimen Simpang Renggam Liang Teck Meng hari ini menegaskan tidak akan menarik balik atau memohon maaf berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat semalam mengenai Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara, termasuk Israel.

Beliau juga menyifatkan cadangan beberapa anggota Parlimen pembangkang untuk merujuknya ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah bertujuan mengalih perhatian dan menghalang kerajaan menjalankan sisasatan terhadap isu berkenaan. 

Menafikan kenyataannya semalam bersifat tuduhan, Liang berkata hujah yang dikemukakan itu bertujuan mendapatkan penjelasan daripada kerajaan selain mahu siasatan terperinci dijalankan terhadap maklumat yang diperoleh dari laman web Wikileaks itu.

"Kalau meneliti hujah saya, tujuannya untuk menggesa kerajaan menjalankan siasatan apakah ada campur tangan pihak luar untuk menjatuhkan kerajaan kerana ia membahayakan negara.

"Saya hanya minta siasat, kalau tidak ada (dakwaan tidak betul), kenapa mahu merujuk saya ke jawatankuasa khas Parlimen. Usaha merujuk saya ke jawatankuasa khas jelas mahu menghalang kerajaan daripada melakukan siasatan sewajarnya," katanya yang ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat. 

Liang ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong semalam mendedahkan anggota Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Pembangkang itu memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta dengan memetik maklumat daripada WikiLeaks.

Liang dalam pada itu berkata sekiranya pembangkang mahu beliau membuat permohonan maaf, mereka boleh berbuat demikian setelah siasatan terperinci mengenai maklumat itu dijalankan oleh kerajaan mendapati ia tidak benar.

Reaksi Liang itu susulan gesaan Anwar dan beberapa anggota Parlimen pembangkang hari ini yang menuntut beliau menarik balik dakwaan itu atau berdepan tindakan dihadap kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Anwar yang menyentuh isu itu awal hari ini menafikan terdapat sebarang maklumat yang mengaitkan dirinya mempunyai akaun bank Israel, disiarkan oleh laman web Wikileaks.

"(Dakwaan) yang melibatkan akaun Israel yang dikaitkan dengan saya itu tidak disebut dalam WikiLeaks. Saya sudah semak, tiada langsung laporan itu dalam WikiLeaks. 

"Kalau ada pun (maklumat itu disiarkan) dalam Wikileaks, itu bukan keputusan muktamat, itu pandangan Wikileaks berdasarkan maklumat yang dikutip," katanya.

Bercakap kepada pemberita di lobi Dewan Rakyat, Anwar seterusnya menuding jari terhadap blogger Umno berhubung dakwaan itu.

"Ia (dakwaan) tidak berasas. Dia kata daripada WikiLeaks, bila diperiksa ia daripada blogger Umno…. pasport pun lain, nombor pun lain dan semua lain," katanya.

Sebelum itu isu sama dibangkitkan Tian Chua (DAP-Batu) yang mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (9) untuk merujuk Liang ke jawatankuasa berkenaan kerana disifat telah menyalahguna keistimewaan sebagai anggota Parlimen kerana menyentuh peribadi Anwar yang tidak bersabit dengan tugasnya sebagai anggota Parlimen.

"Kalau betul pun ada sesiapa yang mempunyai akaun bank, itu tidak ada urusan dengan beliau sebagai anggota Parlimen, jadi apa yang dibawa (oleh Simpang Renggam) adalah 'abuse of privilage'," katanya.

Mengulas perkara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau akan mendapatkan penjelasan Liang mengenai dakwaan tersebut dan sekiranya anggota Parlimen Simpang Renggam itu berhasrat meneruskan dakwaan itu, usul boleh dikemukakan untuk merujuk beliau ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.

"Mungkin ini boleh dijadikan pengajaran kepada Yang Berhormat semua bahawa kalau sudah terlajak kata...sebab itu saya selalu mengingatkan," katanya. 


P/s: Tolong ulang tuduhan itu di luar Dewan agar DSAI boleh mengambil tindakan undang-undang. Jadi, rakyat malaysia boleh melihat kebenarannya. 

Seperkara lagi, MP BN ini juga perlu membangkitkan soal pembunuhan Altantuya yang benar-benar disebut dalam WikiLeaks. Berani??

Apa kata DSAI?




Sekurang-kurangnya 100 Wanita Jadi Mangsa Serangan Seksual dalam Demonstrasi Anti-Morsi

Posted: 03 Jul 2013 08:44 PM PDT


[HM] Kaherah: Hampir 100 orang wanita menjadi mangsa serangan seksual "berleluasa" di Dataran Tahrir sepanjang tempoh empat hari protes menentang Presiden Mohamed Mursi, kata Human Rights Watch (HRW) semalam.

Menurut kenyataan dikeluarkan pertubuhan hak asasi manusia itu, penyangak melakukan serangan seksual dan dalam sesetengah kes, merogol sekurang-kurangnya 91 wanita di dataran di tengah Kaherah itu.

Memetik maklumat daripada pertubuhan yang mengendalikan talian kecemasan untuk mangsa keganasan seksual, ada 46 serangan dilaporkan ke atas wanita pada Ahad, 17 kes pada Isnin dan 23 kes kelmarin.

Sesetengah mangsa dilaporkan perlu menjalani pembedahan, manakala sebahagian lagi dipukul dengan rantai besi, kayu, kerusi atau diserang dengan pisau.

Timbalan Pengarah HRW Timur Tengah, Joe Stork berkata, serangan seksual meluas itu menampakkan kegagalan kerajaan dan parti politik untuk menangani keganasan dialami wanita Mesir di kawasan awam setiap hari.

"Ini adalah jenayah serius yang mengekang wanita daripada terbabit sepenuhnya dalam kehidupan terbuka ketika Mesir berada pada detik penting," katanya. - AFP


Berita Berkaitan:




Kenyataan Media TG Nik Aziz dan Pendirian PAS terhadap Rampasan Kuasa Tentera di Mesir

Posted: 03 Jul 2013 08:29 PM PDT


Mesir : Detik Hitam Sedang Berulang

Saya melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap apa yang sedang berlaku di Mesir sekarang. Pada saya, inilah saat di mana detik hitam sedang berulang semula dalam sejarah Mesir. 

Saya menyaksikan sidang media tentera yang mengumumkan rampasan kuasa dan diberitakan bahawa Sheikh Al-Azhar juga turut bersama-sama dengan tentera menyokong rampasan kuasa menggulingkan Dr Muhammad Mursi. Ini tandanya tentera tidak yakin dengan kekuatan mereka sendiri lantas menjadikan ulama sebagai sandaran untuk meyakinkan rakyat. Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan Islam. Tebalnya kulit kitab yang dipelajari dan panjangnya ekor serban bukan jamiman seseorang ulama itu celik politik.

Sheikh al-Azhar ialah satu jawatan, jawatan tersebut buat masa sekarang dipegang oleh penjawatnya. Namun ilmu yang ada pada Sheikh al-Azhar turut dimiliki oleh orang lain. Belum tentu jawatan ini kekal dan Allah SWT berhak menggantikan orang lain ke jawatan itu pada bila-bila masa. Samalah juga dengan jawatan mufti. Sesiapa yang menjawat jawatan ini usah sesekali menyangka ia akan kekal selama-lamanya. Sudah berlalu banyak orang yang hanya menjadi alat kepada gerakan sekular untuk melawan Islam. Tiba masanya, mereka dilontarkan ke tepi tanpa sesiapa bepaling lagi ke arah mereka. 

Saya yakin rakyat Mesir tidak akan berdiam diri dengan perkembangan ini. Mursi menaiki takhta presiden dengan pilihanraya yang sah bukan dengan jalan penipuan melalui jalanraya. Jika Hugo Chavez, Presiden Venezuela yang pernah digulingkan tentera suatu masa dahulu namun akhirnya kembali semula ke tampuk kuasa kerana tekanan rakyat, saya tidak nampak ia mustahil berulang di Mesir. Kudeta dan diktator bukannya pilihan manusia lagi di era sekarang.

Insya-allah, sebagaimana Sungai Nil yang tidak berhenti mengalir, begitu juga nadi kebangkitan rakyat di Mesir pasti akan terus bergerak. Pada saya, fi zhilalil quran dan maalim fit toriq sedang melahirkan generasinya pada hari ini!

Doa dan solidariti untuk Mesir.

HAJI NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)

Bertarikh : 25 Syaaban 1434H bersamaan 4 Julai 2013M


Pendirian PAS:

PAS Kutuk Rampasan Kuasa di Mesir
S


[HD] KUALA LUMPUR: PAS mengutuk sekeras-kerasnya rampasan kuasa oleh tentera Mesir terhadap kepimpinan Presiden Dr Mohamed Morsi kerana telah mengenepikan suara rakyat negara itu melalui undi pilihan raya yang adil dan bersih.

Timbalan Pengerusi Lujnah Antarabangsa PAS Dr Syed Azman Nawawi berkata, apa yang terjadi di Mesir sekaligus memberi gambaran negatif bahawa wujud usaha untuk membunuh pendemokrasian yang berlaku di seluruh dunia.

PAS turut menggesa tentera negara itu kembali kepada kedudukan asal mereka dan menyerah kembali kuasa kepada kerajaan Mohamed Morsi yang dipilih oleh rakyat.


Syed Azman juga percaya apa yang berlaku di Mesir adalah merupakan satu rampasan kuasa yang mendapat sokongan kuasa besar dunia.

Katanya, apabila melihat polisi kerajaan dan Presiden Mesir yang tidak menguntungkan pihak kuasa besar maka mereka kembalikan negara itu kepada tentera dengan mengenepikan kuasa rakyat. 

"Ini merupakan penghinaan kepada keputusan rakyat yang memilih kerajaan yang sah melalui pilihan raya bersih.

"Tiba-tiba boleh bagi sokongan rampasan kuasa oleh tentera kerajaan yang sah melalui demokrasi," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau turut mendapat gambaran keadaan di Mesir selepas menghubungi salah seorang pimpinan Ikhwan Muslimin iaitu Dr Essam Arian kelmarin sebelum di tangkap.

"Saya difahamkan beliau sudah ditangkap hari ini. Saya dapat hubungi beliau kelmarin untuk mengetahui bagaimana keadaan disana," jelasnya. 

Pilihan raya Presiden Mesir tahun lepas telah mendapat pengiktirafan seluruh dunia yang memperlihatkan sebuah pilihan raya yang paling telus dan adil.

Ketua angkatan tentera mengeluarkan satu deklarasi petang semalam, menggantung perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara.

Dalam siaran televisyen tempatan, pemimpin tentera dan tokoh politik, Andel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi.

Penyokong Morsi yang berkumpul di pinggir bandar Kaherah sangat tidak puas hati dan penyingkiran pemimpin negara Mesir ini membangkitkan kemarahan mereka dengan pengumuman yang dibuat oleh tentera itu.

Menurut anggota kanan Ikhwan Muslimin, Morsi kini berada di bawah tahanan tentera.

Dua tahun lalu, di Tahrir terdapat perayaan hampir sama selepas Hosni Mubarak ditumbangkan dan Morsi diangkat sebagai presiden pertama dipilih rakyat.



[PANAS] Pergolakan di Mesir: Morsi Dijatuhkan, Tentera Rampas Kuasa

Posted: 03 Jul 2013 05:37 PM PDT

Jeneral Abdel Fattah al-Sisi

Akhbar di seluruh dunia melaporkan pihak tentera Mesir dengan sokongan ahli politik dan agamawan "merampas" kuasa Presiden Dr Mohammed Morsi.

Ketua angkatan tentera Mesir Jeneral Abdel Fattah al-Sisi mengeluarkan satu deklarasi menggantung Perlembagaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan sebagai Ketua Interim negara.

Dalam siaran televisyen, Abdel Fateh diapit oleh pemimpin tentera, pihak berkuasa agama dan tokoh-tokoh politik mengisytiharkan penyingkiran Presiden Mohamed Morsi yang dilantik memegang jawatan itu pada 30 Jun 2012.

Pembantu Presiden memaklumkan Morsi telah dipindahkan ke suatu lokasi yang tidak didedahkan.

Susulan daripada perisytiharan itu, rakyat Mesir yang memenuhi Dataran Tahrir menyambut khabar itu dengan sorakan dan tembakan bunga api ke udara.- DCM/DM

Sambung baca di sini.


P/s: Rakyat Mesir boleh bertahan dengan Hosni Mubarak yang memerintah Mesir lebih 30 tahun, namun tidak dapat bersabar dengan Morsi yang dilihat lebih Islamik dalam membuat pembaharuan ekonomi di negara itu. Apalah yang mampu dibuktikan oleh Morsi dalam tempoh setahun memegang tampuk kuasa. 

Khabarnya, proses rampasan kuasa ini turut disokong oleh Sheikh Al Azhar Ahmed al-Tayyeb. Adakah sekularisme akan menjajah semula Mesir?

Malang!!!!


Kemas Kini:

Morsi Tumbang, Kini dalam Tahanan Tentera

Mohamed Morsi

[SH] KAHERAH-MESIR. Tentera Mesir akhirnya menumbangkan Presiden Mohamed Morsi sekali gus mengumumkan pelan tindakan masa depan politik negara ini yang bakal dilaksanakan oleh sebuah jawatan kuasa perdamaian nasional.

Menurut anggota kanan Ikhwan Muslimin, Morsi kini berada di bawah tahanan tentera.

"Morsi dan pasukan presiden berada di di bawah tahanan rumah ketika ini," kata anak kepada pembantu Morsi, Gehad El-Haddad.

Bapa Hadad, Essam El-Haddad, antara orang kanan Morsi ketika yang ketika ini turut berada dalam tahanan.

Ketua angkatan tentera mengeluarkan satu deklarasi petang semalam, menggantung perlembangaan dan melantik Ketua Mahkamah Perlembagaan Agung, Adly Mansour, sebagai ketua interim negara.

Morsi melalui laman Facebooknya berkata, beliau menolak sekeras-kerasnya rampasan kuasa yang dibuat oleh pihak tentera ini.

Dalam siaran televisyen tempatan, pemimpin tentera dan tokoh politik, Abdel Fattah al-Sisi telah mengisytiharkan penyingkiran Morsi.

Penyokong Morsi yang berkumpul di pinggir bandar Kaherah sangat tidak puas hati dan penyingkiran pemimpin negara Mesir ini membangkitkan kemarahan mereka dengan pengumuman yang dibuat oleh tentera itu.



Tiada ulasan: