Seorang pemimpin akar umbi Pemuda Umno hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan nombor satu dalam pergerakan itu yang kini disandang Khairy Jamaluddin.

NONEBagaimanapun, Ketua Pemuda Umno Seputeh Mohd Razlan Muhammad Rafii (kanan, berbaju hijau) berkata, langkah itu hanya akan diambil jika Khairy tidak mempertahankan jawatan itu.

"Setakat ini Khairy masih belum menyatakan pendirian. Saya tidak akan lawan (beliau) sekiranya beliau mengisi borang untuk mempertahankan kerusi itu.

"Saya akan bertanding (ketua Pemuda) jika beliau tidak mengisi borang untuk mempertahankan kerusi tersebut. Kalau dia isi borang, kita kekalkan sokongan (kepadanya)," kata Razlan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Setakat ini Khairy masih belum menyatakan pendirian untuk mempertahankan jawatannya sekalipun menyokong jawatan nombor satu itu dipertandingkan.

Dengan pengumuman itu, Mohd Razlan menjadi individu terawal menawarkan diri merebut jawatan itu.

'Plan B' jika KJ pertahan?
Ketika ditanya 'plan B' beliau jika Khairy akhirnya memutuskan mempertahankan kerusi itu, Razlan hanya menjawab:

"Saya hanya fokus sekiranya KJ tidak pertahan jawatan ketua Pemuda," katanya yang masih belum mahu mencatur peluangnya ekoran lawannya masih belum jelas.

Pengumuman itu sekali gus menyemarakkan bahang menjelang pemilihan Umno, terutamanya di peringkat sayap parti Melayu itu.

NONEMalah, dalam majlis berbuka puasa Pemuda Umno di Masjid As-Syakirin KLCC malam tadi, kelihatan ramai pemimpin bahagian menyatakan hasrat masing-masing bertanding di pelbagai peringkat.

Kira-kira 400 peserta terlibat dalam majlis yang turut meraikan golongan ibu tunggal, anak yatim dan aktivis NGO itu.

Jawatankuasa pemilihan parti menetapkan individu yang berminat bertanding dalam pemilihan Umno yang pertama kali dibuat secara pemilihan langsung perlu mengisi borang pencalonan antara 7 hingga 28 September depan.

Pemilihan jawatan kanan pergerakan Pemuda Umno akan berlangsung pada akhir September depan.

5 dikatakan intai kerusi naib
Selain itu, desus-desus menyebut beberapa pemimpin Umno seperti ahli parlimen Baling Datuk Azeez Abdul Rahim, bekas menteri pelajaran Datuk Puad Zarksyi dan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir turut mengintai kerusi panas itu.

Bagaimanapun, setakat ini belum dapat dipastikan hasrat mereka itu kerana masing-masing masih mengambil sikap kunci mulut.

NONESementara itu, tidak ketinggalan juga, jawatan naib ketua kini turut diintai beberapa pemimpin Pemuda, ekoran kekosongan yang ditinggalkan Datuk Razali Ibrahim (kiri) yang dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatannya sekarang.

Cakap-cakap menyebut beliau akan bertanding jawatan Majlis Tertinggi yang akan berlangsung pada Oktober depan.

Sumber-sumber Pemuda Umno memberitahu Malaysiakini, setakat semalam, lima exco Pemuda Umno disebut-sebut bakal menawarkan diri bertanding jawatan naib ketua Pemuda.

Mereka ialah Ketua Pemuda Umno Perak Khairul Azwan Haron, Ketua Pemuda Lenggong Mohd Iruan Zulkefli, Ketua Pemuda Tenom Jamawi Jaafar, Naib Ketua Pemuda Titiwangsa Nazir Husin dan Exco Pemuda Lokman Noor Adam dan Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Hussein Mydin.

Malaysiakini turut difahamkan, setakat ini kira-kira 60 pemimpin Pemuda dikatakan berminat menawarkan diri bertanding jawatan exco Pemuda Umno.