DIALOG RAKYAT |
- Pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan - Mahathir
- Seorang lelaki maut, 2 cedera ditembak ketika minum
- 33 orang didakwa kes himpunan 24 Jun
- Menteri: Haram Syiah tidak sasar PAS
- MP dakwa Sanjeevan mahu dedah memo polis
- MyWatch: Keadaan Sanjeevan makin serius
- Mangsa terbaru mercun buatan sendiri
- Shukri Yahaya tertikam diri sendiri
- Gagasan gesa kerajaan rombak kepimpinan LPF
- 50 Peniaga Di Klebang Hilang Mata Pencarian Dihalau MBMB
- Campur tangan kerajaan penyebab salah guna kuasa dalam pasukan polis
- Pemuda UMNO, Utusan Malaysia dakwa filem ‘The New Village’ muliakan komunisme
- Keabsahan 2 menteri, 3 timbalan diketahui di mahkamah esok
- Cubaan bunuh Sanjeevan kerja profesional, dakwa Rafizi
- Isu petisyen: Anwar gesa Ketua Hakim Negara campur tangan
- Tiada Projek Di Bawah RMK10 Terbengkalai - Shahidan
- Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini
- Jangan Jadikan Kelonggaran Lesen Rebut Jawatan Tinggi Umno - Khairy
- Kehabisan diesel berlaku di mana-mana.
- Tiada yang berani, Umno kekalkan status quo - Kadir
- MB: Bagi Peluang Masyarakat Kampung Nikmati Pembangunan
- Shahrizat digesa berundur, jangan sekat cabaran
- IGP: Jangan terus tuduh polis terlibat kes tembakan
- Abby 'tak takut' bersuami muda
- Jangan salahkan internet, kata Pas
Pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan - Mahathir Posted: 29 Jul 2013 03:59 AM PDT
(Pertemuan Tun Dr Mahathir dengan ahli KelabCheDet - Thechulan.blogspot.com) PUTRAJAYA: "Kalau pemimpin bersin pun ahli Umno tepuk tangan," kata Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sesi dialog bersama NGO KelabCheDet Sabtu lalu di pejabatnya. "Mereka akan sokong tanpa bersoal jawap lagi apa sahaja yang dilakukan oleh pemimpin Umno walaupun yang dilakukan itu merosak kan parti," tambahnya. Bagi beliau, ahli Umno sudah tidak berkualiti lagi,apa tidaknya jika ramai orang yang berpendidikan tinggi dan berpelajaran dihalang masuk ke dalam Umno. "Jika ketua bahagian itu guru besar misalnya dia akan cuba halang orang yang kedudukan taraf dan pangkat yang lebih tinggi dari masuk menjadi ahli kedalam bahagiannya, jika orang itu guru biasa baru lah diluluskan, begitu seterusnya cik gu pula enggan orang yang lebih berpendidikan dari nya untuk masuk, lama-lama yang ada orang yang tiada kualiti dan pendidikan, nak cari calon jadi menteri pun tak ada kerana yang sedia ada semuanya tidak berkelayakan. "Orang-orang yang dihalang masuk ini akan kemudiannya masuk ke dalam parti lawan dan bersaing dengan pemimpin Umno ini, itu sebabnya retired general, pensyarah semua masuk ke dalam parti lawan," ujarnya. "Dulu waktu saya jadi Presiden, MT Umno berdebat sampai pukul 4 pagi, isu Musa Hitam didebatkan malah mereka berhujah sehingga saya akur dan keputusan yang berpihak kepada Musa Hitam dengan kehendak majlis mahu menghantar wakil memujuk Musa," katanya. Bagi beliau, kerosakan Umno bermula dari waktu Pak Lah menjadi pemimpin Umno, dan kemudian Datuk Seri Najib gagal memperbetulkannya menjadikan keadaan bertambah buruk. "Akibat perpecahan perpecahan Melayu orang Cina menjadi penentu kuasa malah kemungkinan kita akan dapat Perdana Menteri Melayu yang ikut telunjuk Cina, ini sudah pun berlaku sekarang. "Lihat sahaja isu EC (Suruhanjaya Pilihan Raya) yang di serah kepada Parlimen, ini semua tanda tunduk kepada desakan kerana kedudukan kita tidak begitu kuat begitu jugalah dengan ISA dan isu keselamatan, ini semua sebab pemimpin nak jaga hati lawan," katanya. "DS Najib nak jadi 'BRAND' dan juga slogan '1Malaysia' kerana dia fikir nama Umno sudah tidak bagus lagi," dakwa Mahathir. Bagi beliau, 1Malayisa tidak dijelaskan dengan betul, ia bermaksud lain pada pihak lain. Pada orang Cina ia bermaksud semua sudah sama Melayu dan Cina, pada orang Melayu ia bermaksud tiada lagi sekolah Cina dan sebagainya. "Keadaan bertambah buruk dengan memiliki penasihat yang tidak faham politik dan sensitiviti, tapi malangnya merekalah yang didengar oleh pemimpin," getus Mahathir. "Pemuda Umno sekarang tidak semacam dulu," ujar Tun Mahathir. Ini amat ketara kerana Pemuda Umno ada agenda dan kepentingan sendiri dan bukan pemankin kepada penentu kuasa orang Melayu. "Nak kira 700 undi pun makan masa 8 jam," katanya lagi. "Kita kini dalam keadaan yang cukup bahaya," jelas Tun Mahathir. "Saya di datangi oleh pelbagai pihak dan pertubuhan Melayu yang mengadu mereka tidak selesa dengan pentadbiran DS Najib , malah ada diantaranya mencadangkan DS Najib di langgar (dalam pemilihan parti)," tambahnya. Tun Mahathir juga berkata banyak pihak yang berjumpa dengannya merasakan Melayu tersisih kerana DS Najib terlalu mahu menarik perhatian pihak yang tidak menyokongnya terutamanya orang Cina. Malah mereka ini sangat di layan dengan istimewa berbanding dengan orang Melayu yang menyokongnya. Walaupun DS Najib naik atas tiket Melayu tapi amat malang dia masih menumpu kepada bukan Melayu untuk dilayan, tambahnya. Tentu sekali pemimpin Umno bukan jenis yang berkata benar kepada DS Najib akan keadaan dibawah kerana mereka seperti di kata bukan lagi ahli yang berkualiti selain hanya mahu mengampu dan memberi kabaran baik sahaja. Tun Mahathir juga turut menyatakan bahawa apa yang kita ada harus berkongsi bersama mereka, tapi apa yang puak itu ada tidak pernah dikongsi bersama orang Melayu. Kini GLC dan beberapa perkara lain harus ada peruntukan untuk orang bukan Melayu, sedang itu sahaja yang Melayu ada. "Adakah sebarang kontrak orang Cina akan serah kepada Melayu?" tanya Tun Mahathir. "Orang Melayu yang dapat tender dan kontrak akhirnya akan sub kepada bukan Melayu juga tapi malangnya apa yang dapat kepada orang Cina tidak pernah dapat kepada orang Melayu," katanya. Tun juga memberi contoh antara institusi milik bukan orang Melayu dan apa yang dibuka oleh orang Melayu untuk bukan Melayu sebagai contoh. "Orang Melayu undi Najib bukan kerana suka kepadanya, tapi kerana takut kepada Anwar dan Lim Kit Siang dan apa yang akan dibawa oleh keduanya, lalu ketakutan mereka diterjemah kepada undi kepada Umno dan DS Najib," kata Tun lagi. "BR1M akan menjadi masalah jika satu ketika nanti rakyat sudah terbiasa dengan pemberian sebegini, dan keadaan akan jadi buruk apabila tidak lagi dapat memberinya," kata Tun lagi. "Saya Ultra Malay tapi orang Cina tahu dan kenal cara saya dan mereka undi saya, ada caranya untuk memikat hati mereka. Pendekatan DS Najib tidak betul dengan sentiasa menghulurkan wang, mereka akan ambil tetapi belum tentu mengundi," kata Tun. "Himpunan besar besaran tidak menentukan sokongan orang Cina," ujarnya. Akhir sekali Tun berkata "Saya akan terus bersuara untuk bumiputera dan Melayu, jika mereka kata saya rasis, Ya saya akan kata saya rasis". Dalam sesi dialog ini nama-nama tertentu dengan kedudukan tertentu juga disebut oleh Tun, tetapi kerana bertaraf "sulit" dan terlalu sensitif, maka tidak perlu di perjelaskan di sini. KelabCheDet juga telah diberitahu oleh Tun tentang hal-hal keselamatan negara dan kedudukan politik individu Umno serta pendapatnya berkenaan tokoh-tokoh tertentu. Pertemuan di akhiri dengan pesanan dan arahan tertentu yang mana pastinya NGO seperti KCD akan berusaha keras untuk merealisasikannya demi kepentingan Alif Ba Ta. | ||||
Seorang lelaki maut, 2 cedera ditembak ketika minum Posted: 29 Jul 2013 03:55 AM PDT Seorang lelaki maut dan dua cedera parah apabila ditembak oleh lelaki yang menaiki sebuah kereta ketika ketiga-tiga mereka sedang minum di bahagian luar sebuah restoran di Kampung Simee di Ipoh pada 10.15 malam tadi. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Sum Chang Keong berkata Jasrafveenderjeet Singh, 25, yang cedera di leher meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh. Dua lagi yang cedera Koo Loo Kong, 55, dan Sarbjit Singh Harder Singh, 28, kini dirawat di hospital yang sama dan keadaan mereka dilaporkan stabil, katanya ketika dihubungi di Ipoh hari ini. "Jasrafveenderjeet yang sedang minum bersama rakan-rakannya telah dihampiri sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki dua suspek. "Mangsa kemudian bangun dan berjalan menuju ke kereta suspek sebelum kedengaran bunyi beberapa das tembakan yang dipercayai dilepaskan dari jarak dekat ke arah mangsa," katanya Beberapa das tembakan itu tersasar dan mencederakan dua rakan mangsa yang berada di meja makan, katanya dan menurutnya semua mangsa dibawa ke hospital berkenaan oleh orang awam. Sum berkata siasatan di tempat kejadian menemui beberapa kelongsong peluru dan polis sedang mengenal pasti dua suspek berkenaan dan menyiasat jenis senjata, kereta dinaiki suspek dan motif tembakan. Katanya polis juga akan merakamkan percakapan saksi yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan. Beliau berkata siasatan mendapati Koo mempunyai 13 rekod kesalahan lampau.-Bernama | ||||
33 orang didakwa kes himpunan 24 Jun Posted: 29 Jul 2013 03:47 AM PDT Pemimpin Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shahrin dan seorang warga emas Anne Ooi hari ini didakwa atas tuduhan berhubung perhimpunan haram dan kekacauan di depan bangunan Parlimen pada 24 Jun lalu. Kedua-duanya merupakan antara 33 aktivis dan siswa yang dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini ekoran perhimpunan tersebut. Seramai 17 daripadanya juga didakwa atas tuduhan merusuh dalam semasa perhimpunan tersebut, yang diadakan bagi mendesak agar pemimpin dan anggota Suruhanjaya Pilihan Raya meletak jawatan. Tertuduh yang kebanyakannya memakai baju hitam, tiba di mahkamah seawal jam 9 pagi tetapi hanya dikemukakan di mahkamah empat jam selepas itu. Kumpulan berkenaan turut menyanyikan lagi sementara menunggu pendakwaan tersebut. Turut didakwa ialah pemimpin siswa Adam Adli Abdul Halim dan Mohd Safwan Anang. Sembilan daripada 33 individu berkenaan merupakan pelajar dan selebihnya 11 orang peniaga kecil-kecilan, 11 orang pekerja dan dua surirumah. Mereka menghadapi hukuman sehingga enam bulan penjara atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan atas kesalahan perhimpunan haram. Bagi kesalahan mengikut Seksyen 147, mereka menghadapi hukuman dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabit kesalahan. Individu lain yang turut didakwa ialah Ahmad Shauqie Abdul Aziz, Muhammad Al Fateh Abd Adzis, Ahmad Syukri Che Abd Razak, Mohammad Yaser Shaikh Abd Rahman, Muhammad Aiman Hakim Zainal Ariffin, Lim Sue Pei, Mah Chee Hoe dan Tong Chan Sang. Turut didakwa, Abdullah Hassan, Muhammad Akram Ahmar, Muhammad Hafizuddin Yahya, Mohd Zairi Shafa'ai, Mohd Sofian Mat Dali, Mohd Mus Ab Abd Habib, Norazimah Mohamad Nor, Muhammad Aliff Hafiz Zainuddin, Ahmad Hizami Mohd Hazir, M Mythreyar, Lew Chee Kong, Ungku Amer Faez Ungku Fauzie, Hong Chee Wang dan Norazizi A Aziz. Enam yang lain ialah Shariful Azmir Mustaf, Amirul Syazwan Narzaruddin Jamil, Edy Noor Reduan, Md Sani Shah, Wan Noor Faril Azli Wan Haron dan Mohd Fauzy Mohd Yusof. | ||||
Menteri: Haram Syiah tidak sasar PAS Posted: 29 Jul 2013 03:44 AM PDT Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak menjadikan PAS sebagai sasaran politik dalam tindakan mengharamkan penyebaran Syiah. "Bagi pihak kerajaan ia bukan soal parti, ia satu ajaran yang kerajaan tetapkan bukan dari Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di Malaysia," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur pagi tadi. Jamil Khir turut ditanya sekiranya kerajaan mempunyai perangkaan jumlah pengikut Syiah mengikut parti politik. Mengulas perkara itu, menteri itu sekadar menyebut bahawa larangan tersebut dibuat tanpa mengira kecenderungan politik. "Kita tak kira dari parti politik mana, asalkan mengamalkan Syiah kita tak benarkan. Tegasnya lagi, ajaran Syiah tidak dianggap sebagai salah satu mazhab dalam Islam dan sama seperti ajaran agama lain yang dibenar untuk diamalkan tetapi tidak untuk disebarkan kepada penganut Islam. "Orang nak amal Kristian, Hindu tak ada orang kacau, termasuk orang Iran nak amal Syiah. "Kita di Malaysia kita pegang Ahli Sunnah Wal Jamaah. Lain drpd itu kita tak benarkan dikembangkan. Itu (Syiah) bukan mazhab," katanya. Beliau ditanya mengenai perkara itu susulan kenyataan PAS semalam yang menjelaskan parti itu bebas dari ajaran Syiah. Sungguhpun begitu, dakwaan yang mengaitkan anggota PAS dengan fahaman tersebut masih timbul, seperti didakwa seorang aktivis parti dalam laporan Utusan Malaysia. Aktivis berkenaan, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin dalam laporan akhbar milik Umno itu mendakwa perkara itu menular di kalangan ahli PAS dan gagal ditangani oleh pucuk pimpinan parti. | ||||
MP dakwa Sanjeevan mahu dedah memo polis Posted: 29 Jul 2013 03:35 AM PDT Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa aktivis anti-jenayah R Sri Sanjeevan yang cedera parah akibat ditembak pada Sabtu lalu merancang untuk mendedahkan satu memo didakwa mengaitkan anggota polis dengan sindiket dadah. Rafizi mendakwa: "Sanjeevan berkata beliau memperolehi satu memo dalaman polis, yang menyenaraikan pengawai polis yang dikenakan siasatan dalam atas (dakwaan) terlibat dalam sindiket dadah". Rafizi dalam satu sidang media hari ini mengulas mengenai pertemuannya selama 20 minit dengan Sanjeevan sehari sebelum kejadian tembakan itu. Rafizi berkata, pengerusi MyWatch itu memberitahunya bahawa kesalahan berkenaan sangat serius dan membawa hukuman berat sekiranya disabit kesalahan. Bagaimanapun, Sanjeevan tidak mendedahkan nama pegawak polis terlibat, kata Rafizi. Katanya, malang sekali Sanjeevan tidak menyatakan nama berkenaan kepadanya. | ||||
MyWatch: Keadaan Sanjeevan makin serius Posted: 29 Jul 2013 03:33 AM PDT Penasihat MyWatch S Gobi Krishnan berkata keadaan Pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan, yang ditembak Sabtu lalu, kini dikatakan semakin teruk. Gobi Krishnan berkata pemindahan Sanjeevan ke Hospital Serdang sedang diatur supaya peluru yang tersangkut di tulang rusuknya dapat dikeluarkan melalui pembedahan. "Keadaan beliau semakin teruk dan kami sedang atur perpindahannya ke Hospital Serdang. Beliau demam dan ia semakin teruk," kata Gobi sewaktu dihubungi. Beliau bercakap dari Hospital Tuanku Ja'afar di Seremban, tempat Sanjeevan diwadkan sejak dua hari lalu. "Beliau ditahan di sini selama dua hari kerana mereka kata Hospital Serdang belum beri kebenaran untuk beliau dipindahkan," katanya. | ||||
Mangsa terbaru mercun buatan sendiri Posted: 29 Jul 2013 03:13 AM PDT SINAR HARIAN KOTA BHARU - Seorang pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Pasir, Tanah Merah menjadi mangsa terbaru mercun buatan sendiri meletup pada Jumaat lepas. Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, Muhammad Arish Irfan Che Omar, 13, dari Kampung Banggol Ketereh, Tanah Merah, cedera di tangan kiri dan perut selepas ditusuk serpihan pelita besi yang dimasukkannya belerang daripada mercun bola, meletup. Bapanya, Che Omar Che Mat, 42, berkata ketika kejadian, beliau sedang tidur sebelum dikejutkan dengan letupan yang kuat di kawasan berhampiran. "Muhammad Arish Irfan kemudian pulang ke rumah dengan tangan dan perut yang berdarah. Saya kemudian bawa anak sulung saya ini ke Hospital Tanah Merah untuk menerima rawatan. "Saya difahamkan Muhammad Arish Irfan bermain dengan adik keduanya, Muhammad Azim yang cedera ringan di kaki," katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) hari ini. Che Omar, seorang buruh, berkata Muhammad Arish Irfan menyucuh mercun buatannya itu menggunakan pemetik api dan tidak sempat membaling pelita berisi belerang yang tiba-tiba meletup di tangannya. Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZII Zaid Ahmad berkata mangsa dirujuk ke hospital berkenaan semalam untuk menjalani pembedahan berikutan terdapat empat serpihan besi di dalam perutnya. "Mangsa akan dibedah dalam masa terdekat bagi mengeluarkan serpihan yang berada di dalam perutnya. Dia turut menerima kira-kira 15 jahitan di tangan kirinya. "Ini merupakan kes ketiga mangsa mercun yang diterima hospital ini sepanjang Ramadan tahun ini," katanya. - Bernama | ||||
Shukri Yahaya tertikam diri sendiri Posted: 29 Jul 2013 03:11 AM PDT Keadaan tangan kanan Shukri yang cedera. - Foto Media Hiburan PELAKON utama, drama Menjinak Ombak, Shukri Yahaya ditimpa kemalangan ketika menjalani penggambaran drama itu, semalam.Shukri tertikam tangan kanannya dan mengakui ia berlaku atas kesilapannya sendiri. Dipetik dari portal Media Hiburan, Shukri menceritakan serba sedikit kejadian yang berlaku kira-kira jam 5 petang itu. "Ini bukan salah sesiapa tetapi kesilapan saya sendiri apabila pisau yang saya pegang tertikam tangan sendiri. Sepatutnya tikaman itu dibahagian tepi tetapi ia terkena di bahagian pergelangan tangan kanan saya. "Saya sendiri terkejut kerana tidak sangka ia tersalah tikam. Mujur Abang Along (Along Kamaluddin) selaku pengarah dengan segera mengambil baju dan mengikatnya tangan saya," katanya. Shukri terus dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan. Bagi mengelakkan sebarang jangkitan kuman pada luka tersebut, Shukri akan menjalani pembedahan pada jam 3 pagi ini. Menurut nya lagi, selepas pembedahan dia diminta berehat selama tiga hari di hospital sebelum menjalani rawatan susulan. Selain Shukri, pelakon lain yang terlibat di dalam drama ini ialah Talha Harith dan Alex Yanz | ||||
Gagasan gesa kerajaan rombak kepimpinan LPF Posted: 29 Jul 2013 03:05 AM PDT Ahmad Zahid Hamidi KUALA TERENGGANU - Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan) menggesa Kementerian Dalam Negeri merombak kepimpinan Lembaga Penapisan Filem (LPF) bagi memastikan kes seperti filem 'The New Village' tidak berulang. Setiausaha Agungnya Syed Anuar Syed Mohamad berkata tindakan LPF meluluskan penayangan filem itu dalam tempoh singkat menunjukkan ada unsur tidak cakna dengan suasana semasa negara. "Gagasan hairan dan terkejut pihak LPF hanya mengambil masa tiga hari untuk meluluskan filem itu sebagaimana kenyataan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam. "Apakah garis panduan dan kriteria yang diguna yang menyebabkan sesingkat itu masa yang diambil berbanding dengan filem 'Tanda Putera'," katanya kepada Bernama, di sini hari ini. Media semalam melaporkan pendedahan sebuah blog mengenai filem 'The New Village' yang dilihat mengangkat Parti Komunis Malaya sebagai 'hero' dan mempersoal bagaimana filem itu boleh ditayang pada bulan kemerdekaan sedangkan filem 'Tanda Putera' yang mengisahkan perjuangan pemimpin negara mendepani insiden 13 Mei terpaksa ditangguh berkali-kali. Dalam reaksi balasnya Ahmad Zahid dilapor berkata penayangan filem 'The New Village' ditangguh bagi membolehkan LPF meneliti semula kandungan filem itu. Mengulas lanjut, Syed Anuar berkata Gagasan juga berpandangan LPF harus memperketatkan syarat tayangan terhadap filem yang dilihat dapat merosakkan fikiran masyarakat seperti memaparkan keganasan melampau, kurafat dan seks. Ini kerana katanya sejak kebelakangan ini terlalu banyak filem kurafat yang berselindung sebagai filem seram keluaran industri filem tempatan dan Indonesia ditayangkan kepada masyarakat di negara ini. - Bernama | ||||
50 Peniaga Di Klebang Hilang Mata Pencarian Dihalau MBMB Posted: 29 Jul 2013 03:02 AM PDT Ke mana kami nak pergi?' KELAB GREENBOC KLEBANG - Hasrat kira-kira 50 peniaga di pesisiran pantai Dataran 1Malaysia di sini, untuk meraih pendapatan bagi menampung perbelanjaan sambutan Aidilfitri musnah apabila mereka diarah mengosongkan tapak niaga oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Lebih mengecewakan, mereka hanya menerima notis arahan mengosongkan tapak niaga itu dalam tempoh waktu yang singkat. Wakil peniaga, Mohammad Bakhtiar Aman, 40, berkata, tindakan itu dianggap tidak wajar apatah lagi kebanyakan peniaga sudah menjalankan perniagaan di kawasan itu sejak lebih tiga tahun lalu, sebelum kawasan Dataran 1Malaysia dibuka. Menurutnya, notis arahan itu dikeluarkan pada 2 Julai lalu dan diberikan kepada mereka pada 4 Julai iaitu sehari sebelum sesi dialog bersama diadakan. "Ada peniaga mendakwa mereka hanya menyedari masalah itu apabila ada antara mereka memaklumkan kegagalan memperbaharui lesen tapak niaga. "Untuk mendapatkan lesen, kami perlu membayar sebanyak RM150 iaitu RM30 kepada MBMB dan bakinya akan diberikan kepada penganjur selain kos sewa satu tapak berjumlah RM150 sebulan," katanya semalam. Bagi peniaga gerai makanan, Noraimi Mat Rejab, 37, dia dan isterinya, Fatimah Zakiah Abdul Rahman, 34, sememangnya bergantung harap pada pendapatan berniaga. "Sebelum ini, kami mampu meraih pendapatan sekitar RM2,000 sebulan, namun kini jumlah itu semakin berkurangan kerana tapak kami meniaga sudah dilindungi dengan tembok zink bagi projek yang dijalankan di kawasan sekitar. "Sudah lama kami menjalankan perniagaan di sini dan tidak pernah berubah ke kawasan lain. Jika kami dihalau keluar, ke mana kawasan yang perlu kami tuju? Malahan untuk memohon tapak bagi menjalankan perniagaan Bazar Ramadan juga sudah penuh," katanya. Peniaga barangan mainan, Norliliyanti Sairon, 35, pula berkata, dia bimbang memikirkan nasib enam anaknya yang masih kecil dan bersekolah. "Pihak berkaitan sepatutnya memaklumkan perkara ini lebih awal dan memberikan cadangan atau tapak untuk kami menjalankan perniagaan. "Mereka seharusnya prihatin dengan nasib yang menimpa kami dan jika boleh, beri kami peluang untuk meniaga sehingga dua minggu selepas hari raya," katanya. Sinar Harian akan cuba mendapatkan komen daripada wakil penganjur berhubung isu berkenaan hari ini. -SH Ulasan GB Mujurlah hal ini berlaku di negeri yang diperintah BN. Kalaulah hal ini berlaku di negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terutama di Selangor, dah digendangnya ke seluruh dunia dan dipaparkan di media massa arus perdana berhari-hari lamanya untuk memburukkan kerajaan PR. | ||||
Campur tangan kerajaan penyebab salah guna kuasa dalam pasukan polis Posted: 29 Jul 2013 02:59 AM PDT Roketkini.com BUKIT MERTAJAM: Campur tangan kerajaan dalam urusan pihak polis adalah punca utama kadar jenayah dalam negara semakin tidak terkawal. Ahli Parlimen DAP Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong berkata, ini berdasarkan pendedahan Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan berhubung pembabitan pegawai tinggi polis dalam sindiket jenayah terancang mengakibatkan beliau ditembak baru-baru ini. Menurut Steven, campur tangan itu bukan perkara baru kerana sebelum ini bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Ramli Yusuf pernah mendedahkan skandal 'Copgate', di mana pegawai polis termasuk bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan sendiri dan pejabat Peguam Negara didakwa bersubahat dengan ketua kongsi gelap. Katanya, Musa sendiri turut menyatakan bahawa kerajaan termasuk Menteri Kabinet sering campur tangan dalam urusan polis yang berkemungkinan untuk kepentingan peribadi mereka. "Semua ini adalah tuduhan yang serius, namun sehingga hari ini tidak ada sebarang langkah yang dilakukan. "Apabila saya membangkitkan pendedahan Musa itu pada persidangan Parlimen lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menolaknya dan mendakwa campur tangan itu hanya bermaksud 'meminta bantuan daripada pihak polis sahaja'. "Sikap itu menunjukkan kekurangan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan perkara itu," katanya dalam kenyataan, hari ini. Beliau yang juga Pengarah Pendidikan Politik DAPSY Kebangsaan turut menyelar tindakan mengecam campur tangan itu yang sengaja dilakukan demi kepentingan politik dan peribadi sehingga mencalar dan menjatuh kredibiliti polis. "Masalahnya jelas, pasukan polis kita tidak bebas. Disebabkan salah guna kuasa polis oleh kerajaan sekian lama, maka wujud pula 'budaya salah guna kuasa' di dalam PDRM, menjadikan pasukan polis kita tidak cekap. "Bagi memastikan polis melaksanakan kehendak politik parti pemerintah, maka kerajaan menutup satu mata terhadap 'budaya salah guna kuasa' ini. "Malaysia bukan China, justeru kita tidak perlu pasukan polis yang berideologi politik untuk membela kepentingan parti pemerintah. Apa yang kita perlu ialah pasukan polis profesional untuk membela keselamatan dan kesejahteraan semua rakyat," tegasnya. Dalam pada itu, beliau juga menggesa kerajaan agar segera melaksanakan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) seperti yang disaran oleh laporan Suruhanjaya Diraja Tun Dzaiddin 2005. "Saya sudah beberapa kali mencadangkan sedikit pindaan kepada IPCMC supaya badan bebas yang ditubuhkan juga diberi kuasa membuat keputusan dalam hal ehwal kenaikan pangkat dalam PDRM. "Ini kerana, pembaharuan yang dilaksanakan tidak dilihat sebagai 'menghukum' polis semata-mata tetapi juga memberi ganjaran kepada 'polis yang baik' dan urusan kenaikan pangkat dalam polis perlu dilaksanakan secara telus dan berdasarkan pencapaian bukan atas faktor campurtangan politik. "Tiada cara lain, selain memasti dan menjamin pasukan polis yang bebas campurtangan politik dan ini tidak dapat dicapai melalui pembaharuan separuh masak seperti Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) yang hilang kredibilitinya," ujarnya.-Roketkini.com | ||||
Pemuda UMNO, Utusan Malaysia dakwa filem ‘The New Village’ muliakan komunisme Posted: 29 Jul 2013 02:55 AM PDT Roketkini.com KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Utusan Malaysia terus bermain api perkauman dan pembohongan bagi memecahbelahkan negara dengan tembok kebencian dan ketakutan apabila mempertikaikan kelulusan sebuah filem berbahasa Cina 'The New Village' yang didakwa memuliakan komunisme. Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaludin Abu Bakar kerana memuliakan komunisme apabila membentuk pakatan antara Pemuda Barisan Nasional (BN) dengan Liga Pemuda Komunis China (CYL). Katanya, kedua-duanya mengkritik filem itu kononnya memutarbelit fakta sejarah dan menghasut masyarakat dengan mengagungkan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira, manakala pihak British diperlihatkan sebagai penjajah kolonial, tentera dan polis dijadikan musuh dan 'orang jahat' yang mesti dihancurkan. "Saya tidak mahu komen mengenai filem itu kerana belum menontonnya. Namun soalan yang mesti diberi perhatian oleh Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO jika mereka ikhlas menentang komunisme, kenapa tidak membantah ikatan diplomatik yang begitu rapat antara Malaysia dan negara komunis seperti China, Cuba dan Vietnam. "Tidak pernah pula kedua-dua pihak terbabit mengkritik bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Nor kerana menandatangani perjanjian damai bagi pihak Malaysia dengan PKM pada 2 Disember 1989," katanya dalam kenyataan media, hari ini. Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, tambahan pula, kenapa kedua-duanya bisu apabil Menteri Belia dan Sukan itu dalam kapasiti sebagai Pengerusi Pemuda BN, mengumumkan penubuhan sekretariat tetap pada 12 Oktober 2009 bagi mengukuhkan ikatan antara Pemuda BN dengan CYL. Menurutnya, jelas Pemuda UMNO dan Utusan Malaysia adalah hipokrit dan mengamalkan double standard kerana gagal menuntut supaya tindakan diambil terhadap Khairy Jamaludin kerana memuliakan komunisme dengan membentuk pakatan antara Pemuda BN dengan Liga Pemuda Komunis China. Khairy Jamaluddin menyebut bahawa sekretariat tetap itu akan menjadi pemudahcara program dua hala berterusan bagi menggalakkan pertalian yang lebih utuh antara kedua-dua pihak. Katanya, ini bukannya hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tetapi hubungan terus antara parti politik dengan parti politik tetapi tidak ada tindakan diambil apabila Khairy secara sedar dan niat yang jelas mewujudkan hubungan langsung dengan CYL melalui sebuah sekretariat. "Jika Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO masih risau dengan komunis yang masih bersembunyi, maka kedua-duanya tidak perlu pergi jauh malah patut memberi perhatian kepada Khairy Jamaluddin dan Pemuda BN kerana mewujudkan hubungan terus dengan CYL. "Utusan Malaysia dan Pemuda UMNO nampaknya sedang bergantung kepada strategi lama mereka dengan mengitar semula taktik mereka dengan menafikan hubungan sendiri dengan pihak komunis, taktik kotor untuk menakut-nakutkan rakyat Malaysia tentang kewujudan konspirasi komunis dan tipu helah demi mengaitkan orang bukan Melayu atau pihak lawan BN dengan pihak komunis," katanya. Guan Eng berkata, taktik terdesak itu tidak berkesan lagi kerana rakyat sudah tidak mahu hidup dalam kegelapan dan kejahilan, 51% undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu serta kehilangan undi popular BN untuk pertama kali dalam sejarah membuktikan rakyat mahu hidup dalam kesedaran, bermaruah, berintegriti, dengan kebebasan maklumat, kebenaran, keadilan dan demokrasi.-Roketkini.com | ||||
Keabsahan 2 menteri, 3 timbalan diketahui di mahkamah esok Posted: 28 Jul 2013 11:18 PM PDT Persoalan mengenai kelayakan dan keabsahan sebagai senator menyelubungi isu pelantikan dua menteri dan tiga timbalan menteri. Mereka ialah Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Paul Low (gambar), selain P Waythamoorthy, Dr Loga Bala Mohan dan Datuk Ahmad Bashah Md Hanipa. Abdul Wahid dan Low dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Waythamoorthy selaku timbalannya manakala Dr Loga (Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan) dan Ahmad Bashah (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri) Mengikut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, sebaik sahaja Perdana Menteri menamakan mereka sebagai senator, mereka terus menjadi ahli Dewan Negara. Bagaimanapun, Ahli Parlimen DAP, M Kula Segaran mempertikaikannya kerana berpendapat, seseorang calon senator mesti mengangkat sumpah di Dewan Negara, terlebih dahulu. Hanya selepas itu, katanya, seseorang senator itu mengangkat sumpah sebagai menteri dan timbalan menteri dan ia menjadi amalan sebelum ini. Masalah interpretasi Perlembagaan Persekutuan itu bagaimanapun, hanya dirungkai di Mahkamah Tinggi, esok. The Malaysian Insider difahamkan, Gani sendiri mewakili kerajaan dalam membantah permohonan Kula Segaran yang diwakili peguam, CK Lim. Jabatan Peguam Negara dalam penyataan bertulis menyatakan hujah Kula Segaran remeh dan tidak perlu diperdebat "Permohonan itu patut diketepi," katanya. Kerajaan berpendapat, sebaik sahaja Yang di Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri melantik seseorang senator, individu itu terus menjadi ahli Dewan Negara. "Artikel 59 Perlembagaan Persekutuan menunjukkan secara jelas dan nyata bahawa seseorang mesti menjadi senator sebelum mengangkat sumpah," kata Gani. Kula Segaran memfail permohonan pada 19 Jun lalu untuk memperoleh pengisytiharan pelantikan mereka sebagai tidak mematuhi Perlembagaan. "Perlu pematuhan tegas terhadap Artikel 43 Perlembagaan Persekutuan. Mereka mesti menjadi ahli sama ada Dewan, yang bermakna mereka mesti dipilih sebagai ahli parlimen atau bersumpah sebagai senator sebelum dilantik menjadi menteri atau timbalan menteri," katanya dalam permohonan itu. Beliau mahu segala keistimewaan dan kelebihan kewangan semua lima respondan itu dipulangkan kepada kerajaan dalam masa tujuh hari yang ditetapkan mahkamah. - | ||||
Cubaan bunuh Sanjeevan kerja profesional, dakwa Rafizi Posted: 28 Jul 2013 11:13 PM PDT Rafizi Ramli hari ini mengesyaki cubaan membunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan yang parah ditembak dua hari lalu, dilakukan penjenayah profesional. Tanpa menolak kemungkinan perbuatan itu dibantu polis yang menyalur maklumat kepada sindiket, Pengarah Strategi PKR itu, berkata cubaan bunuh itu bertujuan menghapuskan bukti yang dimiliki Sanjeevan. "Ini kerja profesional, ia dilakukan oleh sindiket dadah yang berkemungkinan mendapat pertolongan anggota polis. "Ini cubaan untuk menghapuskan bukti," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini. | ||||
Isu petisyen: Anwar gesa Ketua Hakim Negara campur tangan Posted: 28 Jul 2013 11:10 PM PDT Ketua Pembangkang itu bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang kini sudah masuk 10 kes dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen. "Kadar penolakan petisyen atas alasan teknikal dan tindakan mahkamah mengenakan kos yang tinggi adalah tidak munasabah. "Kami menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan untuk menjawab perkara ini," katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini. | ||||
Tiada Projek Di Bawah RMK10 Terbengkalai - Shahidan Posted: 28 Jul 2013 11:07 PM PDT MSTAR ONLINE KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Negara pada Isnin diberitahu tiada projek pembangunan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10) yang terbengkalai setakat ini. Bagaimanapun kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim terdapat 238 projek dengan nilai keseluruhan RM4.48 bilion mengalami kelewatan daripada tarikh siap yang ditetapkan. Daripada jumlah itu sebanyak 61 projek dikategorikan sebagai 'projek sakit' dengan nilai keseluruhan RM1.3 bilion. "Antara sebab kelewatan ialah pengurusan dalaman kontraktor yang lemah, masalah mendapat bekalan bahanan binaan dan masalah tenaga kerja," katanya ketika menjawab soalan Senator Norliza Abdul Rahim di sini. Menurut Shahidan pelbagai langkah pemulihan diambil termasuk mengadakan msyuarat pemantauan dari semasa ke semasa membabitkan jawatankuasa peringkat pusat dan negeri. Di samping itu, beliau berkata kerajaan juga telah menubuhkan jawatankuasa projek sakit yang diketuai oleh ketua setiausaha kementerian, bagi memastikan semua projek terbabit disiapkan secepat mungkin. "Projek yang ditakrif 'sakit' ini adalah projek yang kelewatan pelaksanaanya melebihi dua bulan atau 20 peratus daripada jadual yang ditetapkan manakala projek yang ditakrif sebagai 'lewat jadual' mengalami kelewatan 10 peratus daripada jadual pelaksaan projek," katanya. Mengulas lanjut, Shahidan berkata semua projek pembangunan yang dirancang dalam RMK8 dan RMK9 telah disiapkan. - BERNAMA | ||||
Isu Kantin: Guru Besar Akan Kembali Ke Sekolah Khamis Ini Posted: 28 Jul 2013 11:06 PM PDT PETALING JAYA: Guru Besar SK Seri Pristana di Sungai Buloh yang dihimpit kontroversi berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara sudah bersedia untuk kembali ke sekolah. Mohamad Nasir Mohd Noor berkata, dia akan kembali bekerja pada Khamis sekali gus menafikan laporan bahawa beliau akan kembali ke sekolah, Selasa ini. "Saya sepatutnya kembali bekerja pada Khamis, bukan esok (Selasa)," katanya ketika dihubungi pada Isnin. Bagaimanapun Mohamad Nasir enggan mengulas lanjut. Terdahulu, Nasir menafikan beliau diarahkan untuk mengambil cuti selama seminggu untuk meredakan kemarahan berhubung tindakannya mengarahkan murid-murid SK Seri Pristana untuk makan pada waktu rehat di bilik persalinan. Sebaliknya, beliau memutuskan untuk mengambil cuti selama seminggu secara sukarela selepas menerima dua ugutan bunuh. Pada minggu lalu, beberapa keping gambar yang menunjukkan murid-murid di sekolah tersebut sedang makan di bilik persalinan pada waktu rehat disiarkan di laman sosial Facebook. | ||||
Jangan Jadikan Kelonggaran Lesen Rebut Jawatan Tinggi Umno - Khairy Posted: 28 Jul 2013 11:05 PM PDT MSTAR ONLINE TAPAH: Pindaan perlembagaan parti yang membenarkan pemilihan terbuka jawatankuasa di peringkat bahagian, pusat serta Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak seharusnya dijadikan lesen merebut jawatan tinggi, kata Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin. Beliau berkata anggota dan pemimpin Umno juga perlu menjaga maruah parti, oleh itu kelonggaran itu harus dijadikan semangat kepada mereka untuk terus mengukuhkan parti. "Saya harap anggota parti pilihlah yang betul-betul layak...dan biarlah yang nak bertanding itu juga yang betul-betul layak untuk kerusi atau jawatan yang dipertandingkan," katanya kepada pemberita pada program Ihya Ramadan Parlimen Tapah di Masjid Al-Mukmin, Batu Tiga di sini malam Ahad. Khairy berkata apa yang lebih penting ialah sesiapa yang menjadi calon perlu bertanding secara sihat dengan semangat 'kekeluargaan Umno'. "Kita (Umno) buat pindaan perlembagaan untuk wujudkan satu pemilihan parti yang lebih demokratik, telus serta mencegah politik wang. Saya harap sesiapa yang bertanding, ikutlah prinsip yang dikehendaki parti," katanya. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pemilihan juga tidak perlu dicemari serangan peribadi serta strategi kotor oleh mana-mana calon atau penyokongnya demi maruah serta pengukuhan parti. Mengenai sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sekarang atau bertanding jawatan dalam MT, beliau berkata: "Tidak tahu lagi, kita tengok nanti, mungkin saya akan kekal untuk pertahankan (jawatan) ketua Pemuda atau mungkin saya bertanding jawatan lain atau saya tidak bertanding langsung". Pada mesyuarat MT Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden Umno mengumumkan tarikh pemilihan jawatan MT akan diadakan serentak dengan mesyuarat perwakilan bahagian pada 5 Oktober. Lebih 150,000 perwakilan Umno daripada 191 bahagian di seluruh negara akan membuat pemilihan pucuk pimpinan parti tahun ini, berbanding hanya 2,500 sebelum ini. Sementara itu, pemilihan jawatan tertinggi sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno akan diadakan secara berasingan pada 28 September dan Perhimpunan Agung Umno akan diadakan dari 2 hingga 7 Disember. - BERNAMA | ||||
Kehabisan diesel berlaku di mana-mana. Posted: 28 Jul 2013 11:02 PM PDT
Diesel habis di stesen minyak di lebuhraya Kesas - gambar Syamsuddin Ghazali KUALA LUMPUR: Fenomena kehabisan bekalan diesel di stesen-stesen minyak rupanya berlaku di merata tempat di seluruh negara. Ia berlaku sejak Sabtu lepas lagi apabila ia dikesan oleh pembaca Harakahdaily. Malam tadi, Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menggesa pihak bertanggungjawab agar segera tampil menjelaskan situasi sebenar yang berlaku, serta menyediakan pelan terbaik untuk selesaikan krisis ini. Seorang pembaca Harakahdaily, Syamsuddin Ghazali pula melaporkan, pada Sabtu 27 Julai, beliau telah melalui lebuhraya Kesas pada sebelah malam dari Subang ke Klang. Sepanjang laluan ada 4 atau 5 stesyen minyak yang beliau singgah semuanya kehabisan diesel. "Keesokan pagi masalah yang sama masih berlaku dan saya terpaksa melalui laluan biasa untuk mendapatkan bekalan diesel," tulis pembaca berkenaan kepada Harakahdaily. Di petrol stesen sekitar Jalan Pahang Barat juga menaikkan tanda 'Harap maaf, diesel habis'. Mereka mendakwa, bekalan diesel telah dihabis di pam mereka sejak Jumaat 26 Julai lagi. Sehubungan itu, semua pihak meminta pihak kerajaan memberikan penjelasan segera mengenai masalah ini. | ||||
Tiada yang berani, Umno kekalkan status quo - Kadir Posted: 28 Jul 2013 10:55 PM PDT
KUALA LUMPUR: Pemilihan Umno kali ini dijangka masih mengekalkan status qou bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu, biarpun pemilihan kali ini diuar-uarkan sebagai demokratik dan terbuka, tegas bekas Ketua Editor NST, Datuk A. Kadir Jasin melalui blognya. Menurut A. Kadir, disebabkan tiada watak-watak seperti Harun Idris, Sulaiman Palestin dan Hang Tuah Arshad yang pernah menawarkan diri bertanding menentang jawatan itu, pemilihan kali ini dilihat akan berlaku pengekalan status qou terhadap dua jawatan tertinggi parti itu. "Oleh sebab tidak ada lagi watak-watak seperti Sulaiman Palestin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad dalam Umno, maka kita bolehlah membuat andaian yang menjelang 7 September ini, Mohd Najib Abdul Razak akan 'disahkan' sekali lagi sebagai Presiden Umno dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden," kata beliau. Mulai tahun ini, pemilihan Umno akan berjalan secara langsung melalui mesyuarat agung peringkat bahagian di seluruh negara. Lebih 150,000 perwakilan mesyuarat setiap bahagian layak mengundi untuk semua jawatan kepimpinan utamanya. Pelbagai pihak dalam Umno mencadangkan agar jawatan tertinggi parti itu dikekalkan namun sehingga kini Muhyiddin masih belum memberikan kata putusnya. Tinjauan yang dibuat oleh Pusat Kajian Politik dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) pula mendapati Muhyidin lebih popular dari Najib dalam Umno. Isteri beliau pula, Puan Sri Norainee Abdul Rahman jauh lebih popular dari isteri Najib, Datin Sri Rosmah mansor. Bagi Kadir, dalam tulisannya menyebut ketiga-tiga bekas tokoh Umno, Sulaiman Palesin, Harun Idris dan Hang Tuah Arshad sebagai pejuang dan idealis yang berani menawarkan diri untuk bertanding dan turut mempersoalkan adakah sesiapa dalam Umno seperti ketiga-tiga ini menjelang tarikh tersebut. Menurut Kadir lagi, Sulaiman Palestin membuat kejutan besar dengan bertanding melawan Pemangku Presiden Umno, Tun Hussein Onn dalam pemilihan tahun 1978 dan berjaya mendapat 250 undi berbanding 898 yang dimenangi Hussien walaupun dianggap calon 'outsider'. Dua tahun kemudian, pada 1980, giliran Datuk Harun membuat kejutan apabila bertanding dari Penjara Pudu bagi menentang anak saudaranya, Ketua Pemuda Umno ketika itu, Suhaimi Kamaruddin. Turut bertanding adalah ahli perniagaan Hang Tuah yang lulus dari Universiti Nanyang, Singapura. Persoalannya, adakah bagi pemilihan Umno kali ini, akan ada 'pewaris' ketiga-tiga pejuang ini, sementelah mereka boleh mendaftarkan nama mereka di ibu pejabat Umno negeri masing-masing. Ia berbeza dengan konsep pemilihan sebelum ini yang mana mereka dicalonkan oleh cawangan dan seterusnya peringkat kawasan, sebelum disahkan layak bertanding dan boleh meneruskan hasrat bertanding atau menolaknya. Mungkinkah pada pemilihan kali ini juga akan menyaksikan kedua-dua jawatan penting, presiden dan timbalannya akan dicabar oleh mana-mana pihak, selain jawatan naib presiden yang bakal mempunyai banyak persaingan? Bagi jawatan Naib Presiden, sudah tentu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Hishamuddin Hussien akan mempertahankan jawatan tersebut. Manakala, bekas Ketua Pergerakan Puteri Umno, Datuk Azalina Othman sudah awal-awal lagi menyatakan hasratnya untuk mencabar Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi jawatan Ketua Pergerakan Wanita Umno pada pemilihan kali ini. Apapun, pemilihan Umno kali ini lebih dinanti-nanti untuk memperlihatkan bagaimana konsep pemilihan yang dikatakan demokratik dan terbuka itu benar-benar demokratik dan terbuka. | ||||
MB: Bagi Peluang Masyarakat Kampung Nikmati Pembangunan Posted: 28 Jul 2013 10:47 PM PDT PELABUHAN KLANG : Kerajaan Negeri akan mula berjumpa dengan syarikat-syarikat yang mengendalikan sektor pembangunan bagi merangka pembangunan secara bersama dengan penduduk kampung. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perjumpaan terbabit akan dilakukan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri ini. Katanya, pihaknya sudah membuat kajian bagi mencantumkan ketiga-tiga bahagian di Pelabuhan Klang itu yang terdiri daripada kampung, pembangunan baru dan kawasan perindustrian. "Tujuan saya ini supaya dapat mencantumkan ketiga-tiga bahagian itu agar masyarakat sekitar khususnya kampung dapat merasai pembangunan. "Tiada guna ada bangunan berpuluh tingkat dan beratus juta tetapi orang kampung hanya tengok saja. "Jadi kita mahu syarikat yang mengendalikan pembangunan itu akan merangka pembangunan secara bersama dengan melibatkan penduduk kampung. Jadi kita akan jumpa mereka untuk perlaksanaan itu," katanya dalam ucapannya di Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat bagi Dun Pelabuhan Klang di Masjid Sultan Pulau Indah. Hadir sama Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri dan Ahli Majlis MPK, Norhisham Aziz. Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan beliau sudah meminta untuk berjumpa dengan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah bagi membincangkan untuk memperhebatkan lagi pembangunan di Dun terbabit. "Janji masa pilihanraya umum ke 13, untuk minta Kerajaan Pusat meningkatkan tahap prasarana di sini. "Jadi saya sudah membisikkan perkara ini dengan Menteri itu, saya harap ia dapat dilakukan dalam masa terdekat.Usaha kita ialah usaha berterusan kerana mahu rakyat tidak ketinggalan," katanya. Dalam majlis itu, seramai 100 penduduk dari empat buah kampung menerima Kupon Membeli Belah di bawah program Jom Shopping sempena Hari Raya yang bernilai RM100. Empat kampung itu terdiri daripada Kampung Perigi Nenas, Teluk Nipah, Pinang dan Sungai Kembung. Penerima, Aishah Kasbari, 82, menyifatkan pemberian itu sebagai bantuan meringankan beban keluarga penerima. "Dengan kupon ini, kita dapat membeli barangan keperluan yang akan digunakan menjelang Hari Raya nanti," katanya. | ||||
Shahrizat digesa berundur, jangan sekat cabaran Posted: 28 Jul 2013 10:38 PM PDT Ketua Wanita Umno Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil digesa berundur daripada jawatannya dan tidak menggunakan alasan 'perlawanan emak dan anak' bagi menghalang cabaran bekas ketua Puteri Umno Datuk Azalina Othman Said. Bekas setiausaha wanita Umno Malaysia, Datuk Faridah Abu Hassan berkata Shahrizat dahulu juga mencabar Datuk Seri Rafidah Aziz untuk jawatan itu walaupun didakwa pernah bersumpah atas nama Allah untuk tidak berbuat demikian. "Jadi sekarang ini, kenapa pula dia nak kata Azalina jangan bertanding? "Shahrizat tak boleh sekat mana-mana pihak untuk bertanding dan pertandingan tidak memecahbelahkan perpaduan wanita," katanya sewaktu mengulas perkembangan terkini pergerakan itu menjelang pemilihan parti hujung tahun ini. Beliau ditemui selepas mesyuarat agung tahunan Umno cawangan Jalan Foss yang diketuainya di Kuala Lumpur malam tadi. Bercakap lanjut, Faridah turut menggariskan dua sebab Shahrizat perlu berundur pada pemilihan kelak - prestasi Wanita Umno mutakhir ini dan skandal pinjaman RM250 juta National Feedlot Corporation (NFC). Jelasnya Shahrizat kerap melaungkan tentang keperluan kabinet diisi oleh 30 peratus kaum wanita namun, selepas pilihan raya lalu hanya seorang sahaja exco wanita Umno terpilih menganggotai jemaah menteri. "Pengundurannya perlu (dilakukan) supaya PRU nanti kita boleh ambil hati orang muda untuk menyokong BN kembali. "Kalau Shahrizat melaungkan 30 peratus (perwakilan), tolong namakan pada saya bilangan wanita Umno yang jadi anggota parlimen. "Sekarang ini di kalangan exco yang jadi anggota parlimen cuma satu iaitu (MP Beaufort) Datuk Azizah Mohd Dun. "Datuk Noriah Kasnon (MP Sungai Besar) bukan exco Wanita, Datuk Halimah Sadique (MP Tenggara) bukan exco Wanita Umno," katanya. Shahrizat juga, kata Faridah tidak wajar menggunakan alasan beliau tiada kaitan dengan skandal NFC. Beliau sendiri mendakwa menerima SMS agar mengerahkan Wanita Umno ke mahkamah untuk menyokong Shahrizat setiap kali perbicaraan NFC berlangsung. Beliau juga tidak yakin Shahrizat akan terus kekal popular dalam pergerakan itu memandangkan Shahrizat kini bukan lagi menteri mahu pun pengerusi Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) "Melalui majlis itu dia boleh beri program kepada wanita di setiap bahagian, dalam setahun adalah dalam RM50 ke RM60,000. "Jadi sekarang ini dia tak jadi menteri lagi, dia tak jadi pengerusi MPWK lagi, apa lagi yang dia boleh sumbang kepada wanita? "Tak ada apa-apa," kata Faridah yang menjadi exco Wanita sewaktu ia diketuai Rafidah Aziz. 1. Shahrizat: Sila masuk gelanggang, saya persilakan 2. Azalina akan cabar Shahrizat untuk jawatan Ketua Wanita | ||||
IGP: Jangan terus tuduh polis terlibat kes tembakan Posted: 28 Jul 2013 10:36 PM PDT Ketua polis negara Tan Sri Khalid Abu Bakar meminta agar pasukannya tidak dipersalahkan susulan kes cubaan membunuh ke atas pengerusi MyWatch R Sri Sanjeevan. "Janganlah terus menuduh polis terlibat dalam kes tembakan presiden MyWatch. "Seperti yang saya kata, kami akan siasatan perkara itu dari semua sudut," katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat polis Bukit Aman pagi ini. Katanya, anggota pasukannya tidak akan terlepas dari tindakan sekiranya mereka benar-benar terlibat dalam kes tersebut. "Kami tidak pernah melindungi sesiapa yang telah melakukan jenayah," katanya lagi. Hanya beberapa jam sebelum ditembak pada hari Sabtu lalu, Sanjeevan menulis di Twitter bahawa seorang anggota polis telah mengancam untuk memberi senjata kepada anggota sebuah sindiket untuk menembak rumahnya. Sanjeevan ditembak oleh dua penunggang motosikal semasa dia sedang memandu, di satu persimpangan jalan di Bahau. | ||||
Abby 'tak takut' bersuami muda Posted: 28 Jul 2013 10:34 PM PDT Abby dan suami "SAYA bukan memilih suami kerana dia lebih muda daripada saya tetapi ini adalah jodoh yang ditentukan oleh ALLAH SWT," jelas Abby mengenai perkahwinan keduanya yang berlangsung pada 9 Julai lalu. Menurut Abby, segala-galanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT kerana hanya selepas dua minggu dia dan suami, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, berkenalan mereka telah sepakat untuk mendirikan rumah tangga. "Sebelum ini ada lelaki yang sebaya dan juga lelaki yang lebih tua termasuk suami orang menyatakan hasrat untuk memperisterikan saya, tapi saya tolak dengan cara baik. "Itu adalah pendirian saya yang tidak mahu menjadi isteri kedua atau ketiga sekali pun. Alhamdulillah kerana hubungan saya dan suami dipermudahkan," katanya. Abby atau nama sebenarnya Arbaiyah Abdul Manan, 36, turut berkongsi kebahagiaannya melayari kehidupan berumah tangga setelah lima tahun bergelar ibu tunggal. "Alhamdulillah kehidupan saya semakin bahagia dan menenangkan setelah hampir sebulan melayari kehidupan bersama Farhan," ujarnya. Berkongsi penerimaan tiga anak hasil perkongsian hidup dengan aktor, Norman Hakim iaitu Mohamed Danish Hakim, 10, Marissa Dania Hakim, 8, dan Maria Danisha Hakim, 5, Abby berkata anak-anaknya itu kadangkala berasa cemburu dengan Farhan yang dipanggil Abi. "Lima tahun saya sendiri dan tiada lelaki yang bersama saya, jadi anak-anak sering bersama saya. Jadi bila Farhan datang ke dalam keluarga kami, mula-mula mereka cemburu juga. "Tapi lama-kelamaan mereka sudah menerima Farhan, apatah lagi Farhan pandai mengambil hati mereka, biarpun tidak ada pengalaman menjaga anak sebelum ini. Lucunya kini, mereka suruh kami selalu berkasih sayang pula," katanya yang tidak menolak andai dikurniakan cahaya mata selepas ini. Akui kecewa Ditebak dengan perjalanan karier seninya kini, Abby berkata, biarpun tidak pernah membuat pengumuman rasmi, namun dia kini terpaksa berhenti seketika daripada industri seni. "Maaf cakap, tapi bagi saya industri seni kini tidak mengikut syariat Islam. Jadi lebih baik saya berhenti dan memberi tumpuan terhadap perniagaan dan keluarga," jelasnya. | ||||
Jangan salahkan internet, kata Pas Posted: 28 Jul 2013 10:29 PM PDT Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man SHAH ALAM - "Internet bukanlah punca kekeliruan dalam masyarakat". Demikian kata Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan media hari ini. Menurut Tuan Ibrahim, cadangan untuk menyekat akses internet yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek tidak dapat menyelesaikan masalah kekeliruan rakyat. Tambahnya, kegagalan kerajaan bertindak adil adalah punca rakyat menjadi keliru. "Apabila rakyat tidak dapat merasai kerajaan berlaku adil kepada semua, maka akan timbul pelbagai persepsi dan tanggapan sehingga wujudnya tohmahan kepada kerajaan di internet," katanya. Sebelum ini, Ahmad Shabery sebagai berkata, kerajaan akan mengkaji semula kemudahan dan akses internet di Malaysia bagi mengelak sebarang kekeliruan yang timbul akibat penggunaan internet. Dalam pada itu, beliau turut mendakwa sikap kerajaan yang melakukan "dwi-standard" dalam banyak perkara termasuk kaum, agama dan berkaitan dengan parti politik menyebabkan rakyat menjadi keliru. "Rakyat menjadi keliru adalah akibat sikap dwi standard kerajaan dan agensi penguatkuasa yang semakin ketara. "Contohnya, apabila agensi kerajaan bertindak secara cepat apabila melibatkan para pemimpin Pakatan Rakyat tapi sebaliknya lambat apabila berdepan dengan pemimpin BN. "Begitu dalam soal sensitiviti antara kaum, kerajaan dilihat cepat apabila bertindak pada pihak yang mencemuh Melayu dan Islam tapi tidak pada pihak yang mencemuh agama-agama yang lain," ulasnya. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan