DIALOG RAKYAT |
- SPR enggan dedah kandungan dakwat Kuala Besut
- Apa ditunggu lagi wahai SPR,samanlah…
- Kanak-kanak maut ditinggal 5 jam dalam kereta
- Dua parah diserang 3 lelaki di parkir motosikal
- PRK: SPR sasar 95 peratus undi awal
- Keputusan PRK diumum 10 malam 24 Julai
- Peguam PI Bala beri keterangan dalam tribunal Scorpene
- Terkejut pendirian Umno dalam isu Allah, Kristian mahu Kabinet laksana penyelesaian 10 perkara
- Kisah PRK: Aktivis Pas bersemangat raih undi
- Dakwat kekal: SPR nafi dakwaan Rafizi
- TG Nik Aziz didiskriminasi sepanjang 23 tahun
- Ambil umpan jangan makan mata kail - Presiden PAS
- PRU13, harga ayam topik pilihan di Parlimen
- Khalid Samad: Jangan manipulasi kenyataan saya
- Penggabungan MCA, Gerakan dan SUPP isu menarik - Aspan Alias
- Shahrizat Ingatkan Azalina Jangan Pecah Belah Wanita Umno
- Pengundi Awal Kuala Besut Tunai Tanggungjawab
- Kementerian Kesihatan siasat dakwaan doktor rasis
- Di Malaysia, semuanya ‘tiada tindakan lanjut’
- PRK Besut: Lebih 1,000 layak undi awal hari ini
- 14 ditahan di Kota Kinabalu kerana bantah TPPA
- Tragedi letupan kuari
- ‘Kalau rakyat Besut minta sungai pasti lulus’
- JK fatwa: Shisha haram bagi umat Islam
- Shabery sedia debat jika tajuk sesuai
SPR enggan dedah kandungan dakwat Kuala Besut Posted: 20 Jul 2013 04:28 AM PDT Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar, berkata dakwat kekal kali ini sudah mendapat kelulusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Kesihatan. "Kandungan nitrat perak itu tidak penting, yang penting bila celup dakwat, kekal. Jakim, Majlis Fatwa sudah beri kelulusan, begitu juga pengesahan Kementerian Kesihatan," katanya kepada pemberita semasa lawatan ke pusat pengundian awal di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, Kuala Besut, hari ini. Wan Ahmad turut memberi jaminan dakwat kekal berkenaan akan benar-benar kekal, malah beliau sendiri telah mencuba dakwat berkenaan dan masih kekal selepas enam hari. "Sebab saya sudah uji, enam hari saya buat, (masih) tidak tanggal, kita yakin dakwat menepati tujuan kita pakai," katanya. SPR juga memperuntukkan sejumlah 74 botol dakwat kekal bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan jumlah dakwat kekal itu disediakan untuk 37 saluran, dengan setiap saluran menerima dua botol dakwat kekal. Ditanya sama ada dakwat sama akan digunakan dalam Pilihan Raya Umum ke-14, Wan Ahmad bagaimanapun berkata perkara itu belum diputuskan dan SPR jelasnya akan mengkaji semula perkara itu. "SPR selepas post mortem di seluruh negara, kita dengar banyak maklum balas, SPR akan kaji semula, memikirkan apakah perkara terbaik yang akan kita syorkan kepada Parlimen, sebab kita sudah beri keyakinan daftar pemilih bersih. "Kalau kita kata sekarang tidak tahu lagi, nanti gunakan dakwat kekal atau tidak," katanya kepada pemberita. Insiden dakwat kekal yang mudah dibasuh dan hilang selepas dicuci mencemarkan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei lalu. Bagi PRK Kuala Besut kali ini, SPR bagaimanapun memberi jaminan dakwat yang digunakan akan "muncul semula walaupun dicuci." Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, sebelum ini berkata bagi membolehkan kesan dakwat kekal pada jari, pengundi dinasihatkan untuk memastikan jari mereka tidak berminyak. "Setelah dicelup, dakwat kekal itu perlu dibiarkan lebih kurang 30 saat untuk kering. SPR mendapati jika dakwat kekal itu dicuci, warnanya akan muncul semula di jari," katanya. Ketika PRU13 lalu, ramai pengundi yang mengadu dakwat kekal yang digunakan ketika mengundi mudah ditanggalkan apabila dibasuh, dan menimbulkan reaksi negatif pelbagai pihak termasuk pemimpin pembangkang dari Pakatan Rakyat (PR) menyelar SPR atas perkara itu. | ||||
Apa ditunggu lagi wahai SPR,samanlah… Posted: 20 Jul 2013 04:21 AM PDT Shahbudin Husin Isu pembekal dakwat kekal terus masuk ke episod yang makin menarik. Selepas Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan nama syarikat pembekal dakwat itu yang didakwanya mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi SPR dan memperolehi projek bernilai RM7.1 juta itu melalui rundingan terus, Pengerusi SPR Aziz Yusof melenting menafikan sama ada beliau atau timbalannya, Wah Ahmad Omar, mengenali atau mempunyai hubungan dengan pemilik syarikat itu. Sambil menyifatkan pendedahan yang dibuat Rafizi di dalam Parlimen itu sebagai fitnah di bulan Ramadan dan kecewa mereka difitnah sedemikian rupa, beliau juga menafikan terlibat dalam urusan pembelian dakwat itu sambil mengatakan ianya diuruskan oleh urusetia SPR yang diketuai oleh Setiausaha badan itu, Kamaruddin Baria. Kamaruddin Baria pula kemudiannya turut menafikan mengenali pemilik syarikat Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd iaitu Mohamad Salleh Mohamad Ali, yang didakwa Rafizi sebagai pembekal dakwat itu sambil menuduh Rafizi sengaja membuat pendedahan mengenainya di dalam Parlimen kerana mempunyai kekebalan daripada tindakan undang-undang. Dengan membuat dakwaan bahawa Rafizi sengaja berselindung di sebalik kekebalan undang-undang sebagai Ahli Parlimen, Kamaruddin seolah-olah memperkecilkan butiran pendedahan yang dibuat oleh Rafizi itu dan dalam masa yang sama takut diambil tindakan mahkamah jika pendedahan itu tidak benar. Dalam erti kata lain atau secara halusnya, Kamaruddin seolah-olah mencabar Rafizi agar membuat dakwaan yang serupa di luar Parlimen agar beliau boleh mempertahankan dirinya daripada segala dakwaan itu dengan mengambil tindakan undang-undang. Dalam masa beberapa hari, isu pembekalan dakwat kekal itu juga menjadi panas dalam perbahasan di Parlimen. Sambil ada Ahli Parlimen yang mahu membawa Rafizi ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa membuat dakwaan tidak benar, Speaker Pandikar Amin Haji Mulia akhirnya membuat keputusan agar Rafizi mengulangi apa yang didedahkannya di dalam Parlimen itu di luar Parlimen pula supaya orang yang dituduhnya dapat mempertahankan diri dan menjawab segala dakwaan yang dibuatnya. Semalam Rafizi telah menunjukkan keberaniannya dengan memenuhi permintaan Speaker itu dan membuat sidang akhbar di luar Parlimen bahawa Mohamad Salleh Mohamad Ali dan syarikat miliknya, Intergrated Challenger (M) Sdn Bhd adalah pembekal dakwat kekal kepada SPR untuk kegunaan dalam pilihanraya umum lalu dan memperolehi kontrak tersebut kerana mempunyai hubungan rapat dengan kepimpinan tertinggi badan itu. Beliau juga membuat pendedahan bahawa sebuah lagi syarikat yang dikawal oleh Mohamad Salleh iaitu Nash Ventures Sdn Bhd, turut mendapat kontrak membekalkan topi kepada SPR. Kedua-dua syarikat itu juga didakwa Rafizi memperolehi kontrak-kontrak tersebut melalui rundingan terus dengan SPR. Nah, sekarang Rafizi sudah memberi peluang kepada SPR yang sebelum ini menafikan segala dakwaan itu dan menuduh Rafizi berselindung di sebalik kekebalan sebagai Ahli Parlimen, untuk menjawab, menceritakan kebenaran dan mengambil tindakan mahkamah sekiranya dakwaan itu tidak benar. SPR melalui Aziz Yusof, Wan Ahmad atau Kamaruddin tidak seharusnya berlengah lagi untuk mengambil tindakan undang-undang jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar. Tiada ruang lagi untuk mereka sekadar menafi tanpa bukti atau berdiam diri selepas ini. Sekarang adalah waktunya untuk mereka mengembalikan keyakinan dan kewibawaan SPR sebagai badan bebas yang betul-betul mempunyai intergeriti di mata rakyat. Setelah SPR begitu banyak dipertikaikan dalam urusan pengendalian pilihanraya tetapi pemberian kontrak dakwat kekal yang akhirnya didapati tidak kekal dan hanya mempunyai campuran pewarna makanan, adalah episod malang dan memalukan bagi SPR. Keyakinan rakyat luntur sebagaimana lunturnya dakwat yang tidak kekal itu. Bagaimana rakyat hendak percaya dan yakin dengan kewubawaan SPR sedangkan untuk memilih dakwat kekal yang cukup mudah itu pun tidak mampu dilakukan dengan sempurna. SPR tiada pilihan lagi sekarang ini. Jika segala dakwaan Rafizi itu tidak benar, saman dan tuntutlah permohonan maaf, gantirugi atau apa saja daripada Rafizi. Berdiam diri atau sekadar menafikan dalam sidang akhbar bukan lagi jawapannya di peringkat ini. Jika SPR terus berdiam diri selepas ini dan tidak juga mahu mengambil tindakan undang-undang, persepsi rakyat amat jelas bahawa mereka adalah dipihak yang salah dan Rafizi dipihak yang benar. Hanya tindakan undang-undang boleh membersihkan nama SPR. Tetapi jika kebenaran tidak mampu dipertahankan lagi, langkah terakhir yang boleh dibuat hanyalah dengan mengundur diri atau menyerahkan surat perletakan jawatan sebagai pengendali badan itu. Berdiam diri dan di ketika yang sama sama terus berada dalam SPR, merupakan tindakan paling memalukan dan tidak bermaruah. Semua pilihan ditangan SPR sepenuhnya sekarang. Penulis pernah menjadi wartawan beberapa akhbar di tahun 80an dan 90an, pernah juga berkhidmat di MARA. Pada tahun 1996-2000 menjadi Setiausaha Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan, Pemuda Umno Malaysia dan 2004-2008 menjadi Naib Ketua Pemuda dan AJK Umno Bahagian Wangsa Maju. Telah menghasilkan dua buah buku politik bertajuk Najib PM Terakhir…dan Kesilapan-Kesilapan Najib.Beliau memiliki laman blog di shahbudindotcom.blogspot.com | ||||
Kanak-kanak maut ditinggal 5 jam dalam kereta Posted: 20 Jul 2013 04:18 AM PDT Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dipercayai lemas di dalam kereta ibunya selepas ditinggalkan selama lebih lima jam, di sebuah sekolah, di sini, semalam.Mangsa, Nawal Iris Shamsudin ditemui ibunya, Norzatusy Hazwa Abdul Rahim, 32, dalam keadaan kebiruan kira-kira jam 5.30 petang sebelum dibawa ke klinik berhampiran dan disahkan meninggal dunia. Sebelum kejadian itu, Norzatusy Hazwa menghantar adiknya di Lapangan Terbang Subang sebelum terpaksa bergegas ke sekolahnya untuk menghadiri mesyuarat. Beliau yang tergesa-gesa dikatakan tidak menyedari anaknya tidur di bangku belakang kereta. Apabila kembali ke keretanya, Norzatusy Hazwa terkejut mendapati anaknya terbaring di bangku belakang dalam keadaan kebiruan dan kaku. Mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat. | ||||
Dua parah diserang 3 lelaki di parkir motosikal Posted: 20 Jul 2013 04:09 AM PDT GEORGETOWN - Dua parah diserang tiga lelaki tidak dikenali di tempat parkir motosikal di bawah sebuah flat di Paya Terubong awal pagi semalam. Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.10 pagi di tempat parkir di bawah Blok 5, Lintang Paya Terubong 3, Bandar Baru, Air Itam di sini. "Maklumat awal mendapati, kedua-dua mangsa, diserang tiga lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan parang ketika kedua-dua mangsa baru balik dari makan. "Mangsa dikenali sebagai Chan Yong Fang, 35, dan Ooi Lean Keong, 45, yang bekerja sebagai pemandu pelancong. "Kejadian berlaku ketika Lean Kong meminta Yong Fang yang bekerja sebagai mekanik memeriksa motosikalnya yang rosak untuk dibaiki sebelum diserang tiga lelaki yang datang dari arah luar," katanya. Difahamkan ketiga-tiga suspek memasuki kawasan flat itu dengan memanjat pagar dan terus menyerang mangsa. Menurutnya, ketiga-tiga suspek kemudiannya menyerang mangsa dengan parang sehingga kedua-duanya cedera parah. "Selepas menyerang mangsa, suspek kemudiannya melarikan diri dengan menggunakan laluan yang sama. "Mangsa yang cedera parah dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan," katanya. Kong Meng berkata, Yong Fang mengalami cedera di belakang kepala sebelah kanan, belakang badan dan urat tangan kanannya putus dan kini dirawat di HPP. Manakala Lean Keong pula mengalami kecederaan di tangan kiri dan siku kirinya turut patah selain urat tangan kirinya disyaki putus. Kong Meng berkata, kedua-dua mangsa dilaporkan stabil dan pihaknya masih menyiasat motif kejadian. "Kita masih memburu ketiga-tiga penyerang dan minta orang ramai yang ada maklumat, boleh menghubungi balai polis berhampiran atau datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut. "Kes ini disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah," katanya. | ||||
PRK: SPR sasar 95 peratus undi awal Posted: 20 Jul 2013 04:08 AM PDT SINAR HARIAN KUALA BESUT - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal PRK Dun Kuala Besut yang berlangsung hari ini adalah sebanyak 95 peratus. Timbalan Pengerusinya Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata sehingga 11 pagi ini, peratusan keluar mengundi adalah 53 peratus dan jumlah itu dijangka meningkat menjelang petang nanti. "Kalau kehadiran undi awal melebihi 95 peratus maknanya ia satu kejayaan kerana ada pegawai tidak berada dalam kawasan disebabkan terpaksa menghadiri kursus dan jemputan lain," katanya dalam sidang media selepas meninjau proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini yang melibatkan dua saluran. Wan Ahmad berkata pihak SPR telah mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan TUDM Gong Kedak supaya mengatur anggota yang layak mengundi untuk datang ke pusat pengundian secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan selain terpaksa beratur panjang. Seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal PRK Dun Kuala Besut. Para pegawai dan anggota kedua-dua pasukan keselamatan itu serta pasangan mula beratur seawal 7.30 pagi meskipun pusat pengundian hanya dibuka tepat 8 pagi. Undian awal itu juga menyaksikan pengundi mencelup jari ke dalam dakwat kekal berwarna ungu, berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa pilihan raya umum Mei lalu. Menurut polis proses pengundian berjalan lancar. Mengenai pengundian biasa pada 24 Julai ini, Wan Ahmad berkata SPR menjangkakan peratusan keluar mengundi adalah tinggi iaitu lebih daripada 95 peratus walaupun ia diadakan pada hari bekerja iaitu Rabu kerana ramai pengundi Dun Kuala Besut berkerja tidak jauh daripada kawasan pilihan raya itu. Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, peratusan keluar mengundi bagi Dun Kuala Besut adalah 86.7 peratus. Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata SPR bercadang untuk mengumumkan keputusan rasmi PRK Kuala Besut pada pukul 10 malam bagi memberi peluang kepada pemimpin dan penyokong parti-parti yang bertanding untuk berbuka puasa dan seterusnya menunaikan solat sunat Tarawih. "Walaupun semua kertas undi dalam 36 peti undi telah selesai dikira dan tahu keputusan, tapi pengumuman rasmi oleh pegawai pengurus hanya akan dibuat selepas jam 10 malam. "Disebabkan ini bulan puasa maka di waktu malam tentulah pemimpin parti dan para penyokong akan pergi ke masjid, solat Maghrib, Isyak dan Tarawih, kita kenalah hormat," katanya. PRK Dun Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar, 55, yang meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. Pilihan raya kecil itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Tengku Zaihan Che Ku ABd Rahman dan calon Pas Endot@Azlan Yusof. - Bernama | ||||
Keputusan PRK diumum 10 malam 24 Julai Posted: 20 Jul 2013 04:07 AM PDT BESUT – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan keputusan pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut seawal jam 10 malam Rabu depan bagi menghormati bulan Ramadan dan memudahkan umat Islam untuk menunaikan ibadat. Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, pihaknya bercadang untuk membuat pengumuman rasmi keputusan PRK paling awal jam 10 malam bagi memberi laluan kepada pemimpin dan penyokong parti pergi ke masjid menunaikan solat terawih. "Pada waktu malam pemimpin parti dan para penyokong akan pergi ke masjid untuk bersolat jadi kita bercadang untuk mengumumkan keputusan padawaktu tersebut kerana kita jangka mereka sudah pulang ketika itu. "Paling awal kita umumkan keputusan adalah jam 10 malam walaupun keputusan dah sampai daripada 37 peti undi dan sudah dikira pada jam 9 malam," katanya pada sidang media selepas melawat pusat mengundi awal di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, di sini, hari ini. Hari ini, seramai 1,148 anggota tentera dan pasangan termasuk 14 anggota polis layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi awal di Dun tersebut. Wan Ahmad berkata, setakat jam 12 tengah hari tadi, sebanyak 53 peratus keluar mengundi dan jika undi awal tersebut melebihi 95 peratus ia dianggap sebagai satu kejayaan. Menurutnya, SPR berbincang dengan pihak kem supaya pengundi tidak datang serentak bagi mengelakkan kesesakan. "Kita sudah menasihatkan pengundi supaya datang secara berperingkat kerana bimbang keadaan sesak sehingga terpaksa menunggu lama. "Kita jangka 95 peratus keluar mengundi kerana selebihnya ada yang berada di luar kawasan kerana bertugas dan kursus," katanya. Dalam perkembangan sama, SPR mengjangkakan lebih 75 peratus akan keluar mengundi pada hari pengundian Rabu depan. Menurutnya, walaupun PRK kali ini diadakan pada hari waktu bekerja tetapi pihaknya tetap menjangkakan peratusan keluar mengundi tinggi. Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, sebanyak empat botol dakwat kekal dibekalkan semasa pengundian awal hari ini yang mempunyai dua saluran. Wan Ahmad berkata, setiap saluran akan dibekalkan dengan dua botol dakwat kekal. | ||||
Peguam PI Bala beri keterangan dalam tribunal Scorpene Posted: 20 Jul 2013 04:03 AM PDT Peguam kepada mendiang penyiasat persendirian P.Balasubramaniam, Americk Sidhu bersetuju untuk memberikan keterangan dalam satu tribunal di Perancis yang melibatkan rasuah oleh kerajaan semasa Malaysia membeli dua kapal selam Scorpene. Pengarah eksekutif hak asasi manusia (Suaram) Cynthia Gabriel berkata Americk akan memberi bukti di Paris sekitar September depan nanti. "Mahkamah sedang berhubung dengan Americk untuk menentukan masa lapangnya," kata beliau semasa menghadiri majlis makan malam mengumpul dana yang dianjurkan oleh Suaram. Beliau berkata fokus tertumpu kepada pendedahan Balasubramaniam tentang peranan Menteri Pertahanan Datuk Seri Najib Razak dalam pembelian Scorpene. Cynthia juga berkata mahkamah Perancis kini sudah melanjutkan siasatan terhadap keadaan semasa yang membawa kepada kematian Altantuya Shaariibu dan terutamanya jika terdapat salah guna kuasa oleh Najib negara semasa memegang jawatan tersebut. Bagaimanapun Najib telah menafikan tuduhan tersebut dan Balasubramaniam juga telah membuat dua pengakuan bersumpah yang berbeza-beza. Balasubramaniam kemudiaan membuat pendedahan campur tangan Najib dan ahli keluargannya dalam kes tersebut sehinggakan Americk membuat pendedahan susulan pada mesyuarat agung Majlis Peguam pada 16 Mac 2013, beberapa hari selepas penyiasat persendirian tersebut meninggal dunia kerana serangan jantung. "Isunya adalah sama ada SD kedua Balasubramaniam dilakukan atas arahan Najib dan sama ada Najib telah mengarahkan peguam (Tan Sri) Cecil Abraham untuk menyediakan SD2," kata beliau. Americk, tetamu yang dijemput pada majlis anjuran Suaram semalam mengesahkan beliau akan memberi keterangan di Paris. Cynthia juga mendedahkan bahawa seorang lagi rakyat Malaysia telah memberi keterangan bertulis kepada mahkamah sebelum pilihan raya umum Malaysia 5 Mei lalu. Bagaimanapun, beliau berkata saksi itu telah meminta identitinya dirahsiakan. Beliau berkata hakim utama dalam siasatan yang masih dijalankan itu, Roger Le Loire meminta penjelasan tentang bagaimana keterangan baru-baru ini sama ada ia akan memberi kesan kepada siasatan yang sedang dijalankan. Pada tahun 2009, Suaram mengemukakan aduan di mahkamah Perancis hingga membawa kepada siasatan melibatkan dua hakim penyiasat. Pada April tahun ini, Tribunal Grand Instance di Paris memulakan siasatan ke atas dakwaan bahawa firma Perancis DCNS telah membayar kira-kira RM458 juta sebagai rasuah kepada pegawai Malaysia untuk mendapatkan kontrak bagi dua kapal selam tentera laut. Pengkritik di Malaysia mendakwa bayaran itu adalah sogokan, yang menyalahi undang-undang di Perancis, undang-undang Malaysia dan juga antarabangsa. Cynthia berkata, Perancis dan pihak berkuasa Hong Kong juga telah bekerjasama untuk mendedahkan rasuah oleh firma milik rakyat Malaysia, Terasasi yang terlibat dalam pembelian kapal selam Scorpene. "Siasatan meliputi sekitar rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan sembilan syarikat lain dengan hubungan politik di Malaysia," tambah beliau. Americk semalam mendedahkan pihak polis tidak pernah bertanya kepada Balasubramaniam tentang soalan penting melibatkan pembunuhan Altantuya walaupun ditahan selama 14 hari pada tahun 2006. "Tiada siapa yang berminat dalam apa yang dia tahu. Semua keterangan dia berikan telah disunting polis telah disunting dan dibersihkan untuk kegunaan di mahkamah," katanya. Peguam itu berkata hal tersebut mendorong anak guamnya untuk tampil dengan SD1 yang menjadi kontroversi. Beliau juga berkata, kajian yang teliti dan terperinci ke atas SD1 akan mendedahkan tidak ada langsung Balasubramaniam menyebut nama Najib dalam pembunuhan Altantuya. "Apa yang Balasubramaniam kata ialah kedua-dua Abdul Razak Baginda dan Altantuya memberitahunya dia pernah menjadi teman wanita Najib," kata Americk yang mengatakan beliau hanya memperincikan fakta dan bukan andaian. Balasubramaniam kemudian membuat SD2 untuk menarik balik kandungan dalam SD1 dan berhijrah sementara ke India bersama keluarganya. Americk berkata tindakan tergesa-gesa tersebut diambil adalah jelas menunjukkan situasi bahaya yang dihadapi oleh anak guamnya sejurus selepas membuat SD1. Abdul Razak telah dibebaskan pada tahun 2009 kerana bersubahat dalam kes pembunuhan model Mongolia, yang juga bekas kekasihnya. Dua anggota polis bekas Sirul Azahar dan Azilah Hadri juga telah merayu kepada Mahkamah Rayuan untuk membatalkan sabitan Mahkamah Tinggi. | ||||
Terkejut pendirian Umno dalam isu Allah, Kristian mahu Kabinet laksana penyelesaian 10 perkara Posted: 20 Jul 2013 03:57 AM PDT Pengerusi Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) Rev Dr Eu Hong Seng, berkata kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan "tidak dapat dipertahankan dan bertentang dengan penyelesaian 10 perkara diputuskan oleh Kabinet pada April 2011." "Penggunaan perkataan "Allah" dalam Al-Kitab bukan dan tidak pernah kerana kesilapan cetakan seperti didakwa oleh Yang Berhormat Menteri. Cadangan sedemikian tidak sensitif, menghina dan membangkitkan kemarahan. "Kami ulangi ia adalah hak untuk komuniti Kristian menggunakan perkataan 'Allah'," kata Eu dalam satu kenyataan hari ini. "Ia menyinggung perasaan dan tidak boleh diterima bagi Yang Berhormat Menteri cuba untuk merasionalkan seruan Datuk Ibrahim Ali untuk membakar kitab suci kita dengan mengatakan Kitab Suci kita mengandungi kesilapan dalam percetakan," katanya. CFM hari ini turut mengedarkan sepucuk surat dua muka daripada Pejabat Perdana Menteri pada tahun 2011 di mana Putrajaya memberi kelulusan kepada penganut Kristian untuk menggunakan kitab Injil berbahasa Melayu dan beberapa kelonggaran lain. Menurutnya, tindakan Mukhriz mengharamkan bukan Islam daripada menggunakan perkataan "Allah" di negeri Kedah sebagai tidak berperlembagaan. Surat bertarikh 11 April 2011 ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menggariskan 10 perkara utama untuk meredakan ketegangan antara penganut Kristian dengan majoriti penganut Islam ketika itu. "Pada April 2011 kerajaan bersetuju untuk mengumumkan 10 perkara kunci untuk menangani isu Injil dan isu berkaitan lain. "Saya ingin tegaskan ini adalah keputusan bersama Kabinet," kata Najib dalam surat itu. Dalam surat itu, kerajaan turut menyatakan pendirian dalam semua bahasa boleh diimport masuk ke dalam negara termasuk bahasa Malaysia atau Indonesia, serta boleh digunakan di semenanjung Malaysia. "Kitab Injil dalam semua bahasa boleh diimport ke dalam negara termasuk bahasa Malaysia dan Indonesia. "Kitab Injil ini juga boleh dicetak di Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia. Perkembangan terbaru ini akan pastinya dialu-alukan oleh kumpulan penganut Kristian," kata surat itu lagi, tetapi bagi kitab Injil di semenanjung Malaysia muka depannya perlu perkataan "Christian Publication" dan gambar salib. Putrajaya juga menawarkan pemulangan semua kitab Injil yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri tanpa sebarang pembayaran. "Bagi kitab Injil yang ditahan di Kuching, Gideon, pengiimport boleh mengutip semula 30,000 kitab percuma tanpa bayaran. "Tawaran sama juga diberikan kepada 5,100 kitab Injil yang ditahan di Pelabuhan Klang," katanya. Dalam surat itu lagi, Najib juga menegaskan arahan diberikan kepada Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri untuk memastikan pelaksanaan 10 perkara itu dan jika gagal tindakan tegas akan diambil. "Gagal untuk mengikut perintah akan menyebabkan pegawai terbabit dihadapkan ke tindakan disiplin dibawah Arahan Umum," kata Najib lagi. | ||||
Kisah PRK: Aktivis Pas bersemangat raih undi Posted: 20 Jul 2013 03:54 AM PDT KUALA BESUT - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut hari ini telah memasuki fasa-fasa terakhir apabila berlangsungnya proses pengundian awal di Dewan Serbaguna Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Gong Kedak. Seperti sebelum ini, parti-parti politik yang bertanding akan cuba memainkan peranan meraih undi di saat terakhir. Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian Online, mendapati hanya petugas Pas memeriahkan pintu utama pusat mengundi awal. "Kami berada di sini sejak dari pagi tadi dalam jam 8.00 pagi dan memegang banner serta mengibarkan bendera Pas untuk meraih undi. "Ada juga kami minta pengundi yang datang untuk mengundi calon Pas," kata aktivis Pas, Mohd Afif Abd Majid, 24. Beliau dilihat datang bersama dua lagi rakannya yang datang dari ibu kota yang turut bersama-sama memberikan sokongan kepada calon Pas, Azlan@Endut Yusuf. Tambahnya, walaupun berada di bawah terik matahari di bulan Ramadan namun semangat untuk perubahan tidak akan membuatkan penyokong Pas berganjak. "Panas memang panas, tapi demi semangat kita, kita rela," katanya yang turut disokong rakannya yang lain. Beliau yang juga aktivis Pas mengambil bahagian dalam meraih undi saat terakhir akan bergilir-gilir di hadapan pintu pusat mengundi sehingga pukul 5 petang. "Kita bergilir tunggu sini, sampai habis orang mengundi," jelasnya. PRK akan berlangsung pada 24 Julai depan yang akan menyaksikan hampir 18 ribu pengundi yang akan membuat pemilihan calon bagi memilih penyandang BN sebelum ini Dr A Rahman Moktar yang meninggal dunia pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. | ||||
Dakwat kekal: SPR nafi dakwaan Rafizi Posted: 20 Jul 2013 03:49 AM PDT BESUT – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bahawa dua pemimpin tertinggi suruhanjaya itu mempunyai hubungan rapat dengan pembekal dakwat kekal digunakan semasa PRU13 lalu. Timbalan Pengerusinya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan, dakwaan dibuat Rafizi itu adalah tidak benar sama sekali. "Bila dia (Rafizi) sebut Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR ada hubungan rapat dengan kontraktor dan pembekal, ia tidak benar sama sekali. "Saya anggap ia sebagai fitnah dan pembohongan. Bulan puasa macam ini pun dia cakap macam tu," katanya pada sidang media selepas melawat pusat mengundi awal di Pangkalan Tentera Udara Gong Kedak, di sini, hari ini. Rafizi sebelum ini membangkitkan isu tersebut di Parlimen dan mengulangi dakwaan tersebut di lobi Dewan Rakyat setelah diminta untuk berbuat demikian oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mendakwa, kontrak membekal dakwat kekal berkenaan diberi kepada seorang ahli perniagaan dari Singapura. Mengulas lanjut perkara sama, Wan Ahmad berkata, Rafizi seolah-olah mahu wujudkan persepsi kononnya terdapat konspirasi berhubung dakwaannya itu. Tambah beliau, semua urusan perolehan SPR dibuat berdasarkan peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. Katanya lagi, semua pegawai SPR mematuhi segala peraturan yang ditetapkan. "Kami telah memberi amanat kepada pegawai-pegawai SPR supaya jalankan tugas dan kami mempercayai mereka. ".....tetapi Rafizi senang sahaja membuat tuduhan dan menggunakan Parlimen untuk menabur fitnah. "Tidak mengapalah biar dia tanggung, kita tidak ada masa hendak melayan orang yang menabur fitnah. Ahli Parlimen sepatutnya faham dan jangan main hentam sahaja," katanya. | ||||
TG Nik Aziz didiskriminasi sepanjang 23 tahun Posted: 19 Jul 2013 10:28 PM PDT
BESUT: Rentetan dilarang menunaikan solat Maghrib di Masjid TUDM dekat sini, Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat menzahirkan rasa kecewa apabila sering didiskriminasi sepanjang 23 tahun pemerintahannya di Kelantan. Beliau tidak pernah sekali pun diberikan peluang untuk 'memasuki' tv dan radio, disekat daripada berucap di sekolah kebangsaan dan pelbagai lagi bentuk ketidakadilan yang dilakukan Umno sepanjang beliau menjadi Menteri Besar Kelantan, dipetik http://prkkualabesut.pas.org.my Meskipun berkondisi sedikit uzur, bekas Menteri Besar Kelantan itu tetap hadir bagi menyokong calon PAS pada PRK Dun Kuala Besut, Azlan Yusof atau mesra dengan panggilan Che Long. Berucap di hadapan penduduk berhampiran kem tentera udara Gong Kedak, beliau menjelaskan bahawa sekatan dan halangan yang dihadapi, menyebabkan PAS Kelantan mengambil keputusan untuk melaksanakan sendiri projek lebuhraya. Keputusan itu, katanya disambut baik oleh 'orang Siam' dan masyarakat beragama Budha di Kelantan sehingga mereka bersepakat mengutip derma. Jelasnya, walaupun Umno Kelantan banyak menimbulkan isu Kerajaan PAS tidak membina masjid namun PAS Kelantan sebenarnya lebih banyak mendidik masyarakat untuk berfikir dan bertindak mengimarahkan masjid. Mengakhiri ucapan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, "ambo tak mahu bercakap banyok, pakat pilih PAS belako dan kalau boleh calon Umno pun pakoh PAS." | ||||
Ambil umpan jangan makan mata kail - Presiden PAS Posted: 19 Jul 2013 10:16 PM PDT
Antara bahan kempen untuk memastikan kemenangan Che Long. BESUT: Pengundi di Dun Kuala Besut dinasihatkan Presiden PAS supaya menjadi lebih pintar apabila hanya sekadar "mengambil umpan" dan tidak "termakan mata kail" yang disogok pada kempen pilihan raya sekarang. Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pengundi Kuala Besut perlu berlagak sebagai ikan yang lebih cerdik, ketika umpan banyak ditabur bagi meraih simpati pengundi. "Jangan pula kita menjadi seperti ikan yang makan semua sekali umpan dan mata kail. Itu tidak ada kepintaran namanya. Kita perlu lebih pintar dalam perkara ini," katanya pada ceramah di Markas Pemuda di Kampung Nail, malam tadi. Hadir sama Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Leman Raja Lawak. Di tapak ceramah juga diadakan solat tarawih di bawah khemah yang disediakan. Kemeriahan kempen di kawasan itu nampaknya lebih didominasi PAS dan Pakatan Rakyat apabila peniaga mengambil kesempatan melariskan pelbagai produk berlogo Pakatan Rakyat. Selain itu gerai-gerai segera juga banyak wujud bagi memudahkan orang ramai berbuka puasa. Kawasan berkenaan meriah sepanjang malam. Biar pun terdapat sebuah bilik gerakan Umno/BN di kawasan berdekatan, namun ia tenggelam memandangkan tumpuan ramai lebih terarah kepada markas PAS. Ustaz Abdul Hadi juga mengimbau banyak manfaat diperolehi rakyat ketika PAS mentadbir Terengganu pada 1999. "Perkara pertama yang kita lakukan selepas menang pada 1999 ialah menghapuskan tol di Jambatan Sultan Mahmoood bagi mengurangkan bebanan pengguna jalan raya. "Selain itu kita juga menghapuskan cukai pintu yang dikenakan kepada kediaman-kediaman yang terletak di kawasan bandar. "Langkah itu diambil memandangkan kerajaan Terengganu sudah ada sumber hasilnya daripada hasil royalti petroleum yang sudah memadai digunakan bagi membangunkan Terenggganu," ujarnya. Beliau juga mendedahkan apa yang berlaku di Mesir sekarang serupa juga dengan apa yang pernah berlaku di Kelantan pada 1978 apabila Umno mempengaruhi rakyat berdemontrasi bagi menggulingkan kerajaan PAS. Selepas itu apabila keadaan tidak terkawal kerajaan BN yang memerintah pusat mengisytiharkan darurat di Kelantan sebagai langkah permulaan mengambil alih kerajaan negeri daripada PAS. | ||||
PRU13, harga ayam topik pilihan di Parlimen Posted: 19 Jul 2013 10:11 PM PDT SINAR HARIAN KUALA LUMPUR - Selain isu pilihan PRU13 yang menghangatkan Dewan Rakyat apabila persidangan bermula 25 Jun lepas, kenaikan harga ayam ketika Ramadan dan Aidilfitri turut mencuri perhatian anggota parlimen. Harga ayam di pasaran dilapor meningkat secara mendadak di beberapa negeri sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan pengguna. Antara yang membangkitkan isu itu ialah Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Mahfuz Omar (Pas - Pokok Sena) Rabu lepas, dengan Shamsul Anuar turut mempersoalkan kenaikan harga barangan lain walaupun pelbagai program dilakukan kerajaan untuk membendung perkara berkenaan. Dalam jawapannya, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Senator Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menegaskan kerajaan sentiasa berusaha memastikan kestabilan harga barangan keperluan harian demi kepentingan pengguna. Mesyuarat pertama penggal pertama Parlimen ke-13 yang ditangguhkan pada Khamis lepas setelah 16 hari bersidang, turut menyaksikan anggota parlimen BN dan pembangkang sepakat bahawa tindakan tegas mesti diambil terhadap pihak yang mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, terutama menerusi laman sosial seperti Facebook. Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), ketika menyentuh isu itu, melahirkan rasa kesal dan hairan dengan peri laku sesetengah belia yang dilihat begitu semberono sehingga tidak lagi menghormati isu agama dan kaum. Memperkatakan perkara sama, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan perlu diambil sebagai pengajaran kepada pihak lain. Dalam pada itu, pihak pembangkang terus mempertikai kemenangan Barisan Nasional (BN) dan mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus dalam mengendalikan PRU13 pada 5 Mei lepas. Ini termasuk kononnya pemimpin tertinggi SPR mempunyai kaitan dengan individu yang memiliki syarikat membekalkan dakwat kekal yang diguna ketika proses pengundian pada PRU13. Bagi memberi keadilan kepada pihak SPR, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyarankan supaya Mohd Rafizi Ramli (PKR-Pandan) mengulangi dakwaan yang dibuatnya pada Selasa lepas itu di luar Dewan. Sementara itu, beberapa muka baharu di Dewan Rakyat kali ini dilihat mampu menyesuaikan diri dan menonjolkan kredibiliti, sesuai dengan tanggungjawab yang digalas. Antaranya ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bekas tokoh korporat yang kemunculan pertamanya pada minggu kedua persidangan menerima pujian anggota parlimen lain, termasuk yang cuba menguji keupayaan beliau mengendalikan pertanyaan jawab lisan. Dalam pada itu, orang lama yang kembali semula ke gelanggang Dewan Rakyat seperti Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), didapati masih mampu memberi saingan kepada hujah pembangkang dalam sesi perbahasan. Selepas empat minggu bersidang, Pandikar Amin melahirkan rasa puas hati terhadap penglibatan anggota parlimen baik daripada BN mahupun pembangkang yang menurutnya menampakkan kematangan ketika membahaskan isu-isu berbangkit. "Mesyuarat penggal ini sedikit sebanyak telah mula menyaksikan bibit-bibit perubahan. Semoga transformasi ini akan terus dikekalkan pada sesi mesyuarat-mesyuarat akan datang untuk sama-sama kita memartabatkan Parlimen Malaysia sebagai sebuah institusi yang dibanggakan," katanya sebelum menangguhkan persidangan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kemudian. - Bernama | ||||
Khalid Samad: Jangan manipulasi kenyataan saya Posted: 19 Jul 2013 10:01 PM PDT ADALAH jelas video yang disiarkan sebuah portal berita mengenai komen saya berhubung kes Duta Vatican mengandungi terlampau banyak babak 'cut' dan 'edit'. Ia bertujuan memutar-belit komen saya sepertimana yang terpampang jelas dari tajuk video itu sendiri. Saya tidak membela Duta Vatican dan tidak juga menyatakan bahawa ianya merupakan pendirian Pas Selangor. Di dalam temuramah tersebut, saya sekadar menjelaskan bahawa pendirian duta tersebut adalah pendirian serta pendapat peribadi beliau yang tidak mungkin kita ubah. Saya juga menyebut bahawa beliau tidak sepatutnya campur tangan kerana ini adalah urusan negara kita dan sebagai tetamu maka adalah tidak wajar memberi sebarang komen terhadap isu tersebut. Namun saya turut menjelaskan bahawa ianya mungkin disebabkan wujudnya undang-undang yang berbeza dari satu negeri ke satu negeri yang lain dan ini boleh menyebabkan beliau keliru. Terakhirnya saya juga menyatakan bahawa beliau telahpun meminta maaf dan bagi saya ianya adalah memadai dan isu ini tidak perlu dipanjangkan lagi. Pada masa yang sama saya tidak sama sekali menyentuh pendirian majlis fatwa Kedah atau Kebangsaan sepertimana yang telah didakwa pihak tersebut. Amat malang apabila dalam keadaan ketiadaan isu di dalam bulan Ramadan yang mulia ini, 'mereka' begitu terdesak sehingga memutar-belit fakta. Wallahualam. Khalid Samad Ahli Parlimen Shah Alam | ||||
Penggabungan MCA, Gerakan dan SUPP isu menarik - Aspan Alias Posted: 19 Jul 2013 09:59 PM PDT Khabarnya Gerakan bersetuju untuk mengabungkan partinya dengan kedua-dua parti Cina itu dengan hanya meminta satu syarat iaitu, MCA perlu menjadikan parti itu sebagai parti yang 'multiracial' seperti Gerakan dan SUPP. Chang Ko Yuon meminta MCA supaya menjadikan parti itu sebagai sebuah parti 'multiracial' kerana parti yang berdasarkan kepada bangsa sudah tidak relevan lagi. Jika usaha menggabungkan parti itu berjaya maka jumlah keahlian parti-parti dalam BN akan berkurangan menjadi 12 sahaja dan ini akan memudahkan lagi mentadbir BN pada masa akan datang. Saya dikhabarkan yang usaha penggabungan ini adalah satu-satunya cara bagi mengembalikan sokongan rakyat kepada kepada parti yang didominasi kaum Cina. Penggabungan ini satu tindakan perubahan drastik dan ia menampakkan pimpinan parti-parti ini serius dan ini sebenarnya yang mahu dilihat rakyat. Parti atau pertubuhan yang tidak melakukan perubahan adalah sebuah pertubuhan, kewibawaan pertubuhan itu akan beransur-ansur kurang keampuhannya dalam menghadapi rakyat yang ramai. Ketiga-tiga parti ini mengalami kekalahan terbesar dalam sejarah penubuhan parti itu dan ini isu biasa dalam sejarah sesebuah parti itu. DAP pernah menghadapi kekalahan teruk dalam pilihan raya 1995 dan beberapa kali dalam pilihan raya negara, begitu juga PAS. PKR hanya mempunyai satu kerusi di Permatang Pauh suatu ketika dahulu. Tetapi parti ini kembali menjadi besar penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Keadaan berubah mengikut keadaan dan masa. Jika dalam PRU13 yang lalu MCA dan Gerakan serta SUPP menjadi mangsa keadaan politik semasa itu, itu adalah perkara dan kejadian biasa dalam politik bukan sahaja di negara ini tetapi juga di negara lain. DAP sudah sampai ke tahap maksima daripada jumlah kerusi yang boleh dimenanginya. Terutama di Semenanjung Malaysia. Itu sebabnya parti itu menumpukan tenaga di Sabah dan Sarawak bagi mengembangkan pengaruhnya dan menambah bilangan penyertaan mereka dalam Dewan-Dewan Legislatif negara. Hampir semua kerusi di Semenanjung yang dijangkakan boleh dimenangi oleh parti itu telah pun dimenanginya. Jika diikuti formula ilmu statistik DAP sudah sampai ke 'apex' nya dan jika ada pergerakan statistik kepada parti itu ia akan hanya menunjukkan penurunan. Sebagai sebuah parti yang memerintah sebuah negeri seperti Pulau Pinang, DAP akan terjumpa dan berhadapan dengan masalah yang lazim dihadapi oleh sesebuah parti pemerintah. MCA, SUPP serta Gerakan boleh memperbaiki diri semasa dalam kejatuhan dan jika mereka mampu menunjukkan perubahan, tidak terkejut bagi banyak pihak yang parti itu akan bertambah sokongan rakyat dalam pilihan raya akan datang. Lagi pun dalam kekalahan yang mereka hadapi sekarang secara 'natural' nya semua pemimpin yang menjadi isu semasa menghadapi PRU13 lalu akan tiada lagi di barisan pimpinan mereka dan ini akan memberikan imej baru penampilannya kepada rakyat yang begitu mendesak buat masa ini. Tidak ada satu parti pun boleh menguasai bangsa yang mendominasi sesuatu parti. Contohnya DAP cuba mendapatkan kuasa waktu yang terbaik semasa PRU lalu. DAP tahu jika ada pun kesempatan untuk menjadi rakan kongsi dalam kerajaan, PRU13 lalu adalah masa terbaik baginya. Itu sebabnya parti itu beriya-iya memberikan sokongan dan berpadu dengan PKR bagi mendapatkan sokongan 'secondary source' untuk mencukupkan kekuatan menubuhkan kerajaan bersama PKR. Tetapi dalam usaha itu 'coalition' dalam Pakatan Rakyat tidak mendapat kata sepakat dalam banyak isu yang berkaitan dengan keadaan semasa. Dalam usaha mendapatkan sokongan padu kaum bukan Melayu secara total DAP juga melakukan kesilapan dengan menawar isu nama Allah ke depan secara rasmi. Akhirnya Pakatan tidak dapat kerusi yang mencukupi untuk berkuasa bersama rakan kongsi mereka kerana PAS tidak berjaya memenangi kerusi sepatutnya dimenanginya kerana isu Allah itu. PAS menjadi defensif dalam isu ini, dan isu ini adalah isu terlalu 'unnecessary' yang ditimbulkan DAP. Impak jangka panjang kepada DAP adalah besar kerana dengan isu itu mengurangkan keyakinan bangsa Melayu dan strategi menggunakan sokongan PAS dalam Pakatan Rakyat yang dilakukan secara mereka lakukan dalam PRU lalu tidak mungkin boleh diulanginya lagi. Orang melayu rata-rata, termasuk penyokong PAS sendiri berkata dengan nada kecewa yang saya berjumpa berkata, mereka tidak akan 'dipatuk ular dari lubang yang sama' pada pilihan raya akan datang ini. "Once bitten twice shy" kata seorang pemimpin PAS yang hampir dengan saya. Tetapi kita tidak perlu marah dengan DAP berbuat demikian kerana semasa itu parti itu merasakan itu sahaja waktu dan ketikanya bagi mereka mempunyai peluang untuk duduk di Putrajaya bersama rakan kongsinya pimpinan Anwar Ibrahim. Keyakinan mereka terlalu tinggi sehinggakan mereka berpendapat banyak isu dan janji-janjinya tidak perlu dipenuhi dan selepas berkuasa mereka boleh mempertahankan kedudukan dengan pengaruh 'incumbency' yang mereka bakal perolehi. Apa yang dilakukan DAP sememangnya memberikan kebaikan kepada parti itu, tetapi tindakannya itu membantutkan sokongan orang Melayu kepada PAS dan PKR sendiri. Oleh itu, PR akhirnya tidak berjaya memenangi DUN di Negeri Sembilan, misalnya kerana atas beberapa isu yang dilakukan oleh DAP, PKR gagal untuk memenangi satu kerusi pun dalam kawasan Kuala Pilah. PKR yang rata-rata dianggapkan akan memenangi tiga kerusi DUN di kawasan Kuala Pilah akhirnya kecundang kerana ribuan yang sepatutnya memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat kembali memberikan sokongan kepada Umno dan BN. DAP walaupun menang dalam kesemua kerusi yang ditandingi mereka, PKR dan PAS pula kecundang dan rata-rata keluarga dan rakan yang hampir dengan saya memberitahu 'intrigue' dilakukan oleh DAP itu hanya boleh diaplikasikan hanya sekali sahaja. Selepas ini, orang Melayu akan lebih berhati-hati dan akan melihat tindakan parti itu dengan lebih khusus lagi. Tetapi itulah politik di sini. Kadang-kala strategi menjadi, kadang-kala kecundang. Tetapi yang nyata di Negeri Sembilan, misalnya peralihan sokongan dan tumpuan bagi mereka yang berada di atas pagar bermula dari saat parti itu mengumumkan tiada orang Melayu dan Islam menjadi calon dalam pilihan raya itu. Itu amat bertentangan dari janji awalnya. Ia mengakibatkan PAS dan PKR kecundang di kawasan majoriti Melayu di timur negeri itu. Niat dan cita-cita untuk merasakan kuasa di Putrajaya tidak kesampaian dan parti itu terpaksa mencari dan mendapatkan strategi yang baru bagi mendapatkan sokongan kali ini. Oleh itu dalam situasi sebegini jika parti yang didominasi kaum Cina boleh bersatu mereka boleh menjadi saingan kuat kepada DAP di hari muka dan pastinya situasi kali ini akan berlainan secara 'total' jika mereka (MCA,SUPP dan Gerakan) berjaya memperbaiki keadaan. Proses pemulihan bagi parti MCA, SUPP dan Gerakan akan hanya tercapai jika masing-masing sedar betapa perlunya mereka melakukan perubahan secara jelas dan telus. Jika parti ini dapat menunjukkan kejujuran kepada rakyat dengan niat yang difahami bersih, tidak ada sebab kenapa parti itu akan kembali mendapat tempat di hati rakyat yang ramai. – aspanaliasnet.blogspot.com, | ||||
Shahrizat Ingatkan Azalina Jangan Pecah Belah Wanita Umno Posted: 19 Jul 2013 09:51 PM PDT BESUT: Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mengingatkan calon yang berminat bertanding merebut kedudukannya sebagai Ketua Wanita Umno supaya bertanding secara sihat tanpa membawa elemen perpecahan dalam parti itu. Sambil menyambut baik hasrat mana-mana pihak termasuk bekas Ketua Puteri, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menawarkan diri bertanding, Shahrizat berkata beliau menggalakkan lebih ramai pesaing bagi menzahirkan amalan demokrasi dalam Umno. "Kalau Azalina nak masuk (bertanding), masuk secara umum iaitu kerana nak membela wanita. "Saya tak mahu tengok ada kumpulan bekas Ketua Puteri yang masuk ke Wanita Bahagian, bertembung dengan Ketua Wanita Bahagian hingga ada perpecahan dalam Umno. "Saya nak minta kepada Azalina atau sesiapa sahaja, kalau nak kempen...kempen untuk semua, jangan ada perpecahan antara kumpulan Puteri dan bekas Puteri dengan Wanita Umno," katanya ketika ditemui selepas menyertai program Sentuhan Medik anjuran Yayasan Kebajikan Negara (YKN), di sini, Jumaat. Sebelum ini Azalina mengesahkan sedia menawarkan diri bertanding merebut jawatan nombor satu sayap Umno itu menentang Shahrizat. Shahrizat juga mengesahkan akan mempertahankan kedudukannya itu. Mengulas mengenai hasrat Azalina menawarkan diri bertanding adalah bagi melakukan transformasi dalam Wanita Umno, Shahrizat bagaimanapun menyuarakan kembimbangan mengenai matlamat itu. "Saya gembira Azalina nak bertanding atau mungkin lebih ramai lagi yang akan hantar calon proksi, kita tahu akan ada proksi...sila datang masuk gelanggang. "Namun saya tak nak dengar hasrat nak bertanding tapi bawa mesej perpecahan. Kononnya Azalina nak bawa transformasi orang muda nak masuk dalam Wanita Umno. Saya nak minta jangan buat begitu. Masuklah secara umum dengan niat nak bela wanita," katanya. | ||||
Pengundi Awal Kuala Besut Tunai Tanggungjawab Posted: 19 Jul 2013 09:48 PM PDT BESUT: Seramai 1,134 anggota tentera dan pasangan serta 14 pegawai polis layak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi awal bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada Sabtu. Kedua-dua pasukan keselamatan itu melaksanakan tanggungjawab mereka seawal pukul 8 pagi di Dewan Serba Guna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak di sini. Dua saluran disediakan bagi kumpulan pengundi berkenaan. Pilihan raya ini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr A. Rahman Mokhtar daripada BN akibat masalah paru-paru pada 26 Jun lalu. PRK DUN Besut menyaksikan saingan sengit antara dua muka baru iaitu Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman daripada Barisan Nasional (BN) dan Endut @ Azlan Yusof yang mewakili PAS. Tengku Zaihan, 37, merupakan seorang jurutera awam manakala Azlan, 48, ialah seorang kontraktor kayu di Kota Baru, Kelantan. Kedua-dua mereka merupakan anak tempatan di Kuala Besut. | ||||
Kementerian Kesihatan siasat dakwaan doktor rasis Posted: 19 Jul 2013 09:41 PM PDT Kementerian Kesihatan mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang menyiasat kesahihan dakwaan tiga doktor bersikap rasis dan tidak memberi perkhidmatan baik kepada pesakit di sebuah hospital kerajaan di negeri itu. Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata setakat ini kementerian belum menerima sebarang laporan berhubung dakwaan itu. "Kami masih lagi menyiasat. Ini satu perkara yang amat serius dan melanggar etika kedoktoran. Doktor dilatih merawat sesiapa sahaja tidak kira miskin, kaya, tua muda. Memang malang sekali (jika dakwaan ini benar-benar berlaku). "Saya rasa tidak timbul masalah doktor rasis ini. Mungkin berlaku salah faham, mungkin bahasa yang digunakan doktor itu tidak betul dan tidak tepat menyebabkan orang yang mendengar anggap sebagai rasis," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ihya' Ramadan Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) bersama Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas di Masjid Jamek Al-Ehsan, malam semalam. Turut hadir Pengerusi Perda, Shabudin Yahaya, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Nordin Ahmad dan Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad. Hilmi berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng (gambar) yang meminta Kementerian Kesihatan menyiasat kesahihan dakwaan tiga doktor berbangsa Cina yang didakwa bersikap rasis dan tidak dapat memberi perkhidmatan baik kepada pesakit Melayu di sebuah hospital kerajaan. Isnin lalu, Lim dalam kenyataan menggesa Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam menyiasat kesahihan dakwaan berkenaan. Hilmi yang juga anggota Parlimen Balik Pulau berkata jika dakwaan itu benar, kementerian akan memanggil ketiga-tiga doktor terbabit dan memberi nasihat kepada mereka. Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang awal bulan ini menyaksikan pertikaman lidah antara RSN Rayer (DAP-Seri Delima) dan Datuk Roslan Saidin (BN-Pinang Tunggal) berhubung isu perkauman. Kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertelagah setelah Rayer mendakwa Roslan cuba mencetuskan isu perkauman apabila mengutarakan mengenai isu tiga doktor berbangsa Cina yang tidak dapat memberi perkhidmatan baik kepada pesakit Melayu di sebuah hospital kerajaan berikutan 'tsunami Cina' pada pilihan raya umum ke-13. Lim ketika menggulung perbahasan ucapan Yang Dipertua Negeri pada persidangan DUN itu turut meminta pembangkang negeri ini mengemukakan bukti terhadap dakwaan itu. - Bernama, | ||||
Di Malaysia, semuanya ‘tiada tindakan lanjut’ Posted: 19 Jul 2013 09:31 PM PDT Masih menunggu Datuk Ibrahim Ali didakwa kerana mengugut hendak membakar kita bible berbahasa Melayu? Tiada Tindakan Lanjut. Masih menunggu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi didakwa kerana menyebabkan kecederaan? Tiada Tindakan Lanjut. Masih menunggu Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail (gambar) mengambil tindakan terhadap orang kaya dan berkuasa yang campur tangan dalam kehakiman seperti dibentangkan Suruhanjaya Diraja dan Inkuiri? Jangan tunggu. Dalam tempoh 48 jam lalu, tindakan dikenakan kepada pasangan lucah, Alvin Tan dan Vivian Lee (Alvivi), atas kesalahan mereka mempersendakan Ramadan dengan menyiarkan gambar menyentuh sensitiviti umat Islam di laman sosial Facebook mereka, sementara tiada tindakan ketara diambil terhadap individu yang mempunyai kaitan politik walaupun melakukan kesalahan hampir serupa. Polis Diraja Malaysia dipersalahan kerana menjadi pihak yang memainkan peranan besar di dalam negara tetapi tidak boleh melakukan apa-apa terhadap tertuduh yang tinggal di kejiranan mewah atau mempunyai beberapa kaitan dengan orang politik. Gambaran itu semakin jelas bahawa halangan terbesar untuk melaksanakan keadilan dalam lanskap perundangan negara ialah lelaki yang sudah mengangkat sumpah untuk melindungi integriti sistem undang-undang Malaysia: Peguam Negara Gani. Pada sidang akhbar semalam, Datuk Khalid Abu Bakar menangkis kesalahan yang dilemparkan mengenai ketiadaan tindakan terhadap Naib Presiden Perkasa, Zulkifli atas komen berbentuk hinaan yang dikeluarkan terhadap kaum India dan agama Hindu. Beliau berkata, polis sudah melengkapkan siasatan terhadap calon BN Shah Alam itu tetapi dimaklumkan oleh peguam negara bahawa tiada bukti untuk mendakwa beliau. Maka, kes membabitkan lelaki yang mempunyai ikatan mesra dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sejak meninggalkan Pakatan Rakyat itu diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut. Tiada bukti? Mungkin Gani dan penyiasatnya boleh lepas dengan ayat seperti itu pada zaman pra-Internet. Mugkin. Tetapi, berduyun-duyun rakyat Malaysia sudah melihat Zulkifli menghina dan merendahkan martabat kaum India dalam klip video yang tersebar luas di internet. Kami sudah nampak buktinya dan ia memang teruk, dalam cara yang sama beribu-ribu warga Malaysia melihat sampah yang disiarkan oleh Alvivi dan jadi malu dengan kebodohan serta sikap tidak sensitif pasangan itu. Dalam kes Alvivi, peguam negara mendakwa mereka dalam tempoh seminggu selepas siaran di Facebook mereka diketahui umum. Hebat, tindakan pantas untuk rakyat Malaysia. Jadi, tolong beri penjelasan apa yang berlaku kepada fail Ibrahim? Pada 18 Januari di Permatang Pauh, ini kenyataaan yang dikeluarkan:"Orang Islam perlu bersatu untuk melindungi agama mereka. Mereka mesti merampas semua bible, termasuk edisi bahasa Melayu yang mengandungi perkataan Allah dan terma Arab yang lain, dan bakar mereka. "Ini adalah cara menunjukkan kemarahan terhadap mereka yang tidak menghormati sensitiviti kita." Kenyataaan yang mengapi-apikan itu menghasut rakyat setiap hari sepanjang minggu. Tetapi, tujuh bulan kemudian, masih tiada tindakan. Atau Tiada Tindakan Lanjut. Semestinya, pembela Ibrahim seperti Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata Ibrahim yang juga Presiden Perkasa itu tidak berniat untuk menghina Bible. Ibrahim hanya menyatakan cara biasa untuk menghapuskan penerbitan haram. Tetapi, di sini alasan mengarut itu semakin jelas: ia bukan penerbitan haram. Di bawah pelan yang dibawa oleh pentadbiran Najib, bible dalam bahasa Melayu dibenarkan untuk diimport masuk ke dalam negara. Dalam apa juga kes, simpan saja alasan mengenai niat Ibrahim atau motif untuk mitigasi atau rayuan di peringkat perbicaraan. Sebagai bekas menteri dan peguam, Datuk Zaid Ibrahim menulis pada tahun 2011 bahawa peguam negara di Malaysia dianggap mempunyai dua peranan: penasihat undang-undang kepada kerajaan dan Pendakwa Raya. Sebagai Pendakwa Raya, peguam negara perlu memastikan bahawa sistem keadilan jenayah berfungsi dengan baik dan penuh integriti. Sebagai Pendakwa Raya, peguam negara bekerja untuk rakyat, bukan Najib atau kerajaan Barisan Nasional. "Beliau adalah barometer yang digunakan untuk mengukur kejayaan kita sebagai negara yang ditadbir oleh Kedaulatan Undang-undang," kata Zaid, yang ketika bertindak sebagai de facto Menteri Undang-undang cuba memujuk Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Abdullah Badawi untuk membolehkan peguam negara menjawab kepada Parlimen. Sungguh mengejutkan, tetapi menteri Umno dan Abdullah keberatan untuk menimbangkan perubahan struktur pelaporan peguam negara atau mengubah apa-apa yang berkaitan pejabat itu. Mengapa mereka hendak berbuat demikian? Untuk apa mengubah sesuatu yang tidak rosak, betul? | ||||
PRK Besut: Lebih 1,000 layak undi awal hari ini Posted: 19 Jul 2013 09:28 PM PDT Mereka melaksanakan tanggungjawab itu menerusi dua saluran yang dibuka di Dewan Serba guna Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Gong Kedak. Undian awal itu juga menyaksikan pengundi mencelup jari ke dalam dakwat kekal, berbanding kaedah mencalit pada kuku semasa pilihan raya umum Mei lalu. PRK Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar, 55, meninggal dunia 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru. PRK itu menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional, Tengku Zaihan Che Ku ABd Rahman dan calon PAS Endot@Azlan Yusof. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 24 Julai ini sebagai hari pengundian bagi 16,534 pemilih biasa. - Bernama, | ||||
14 ditahan di Kota Kinabalu kerana bantah TPPA Posted: 19 Jul 2013 09:21 PM PDT OLEH LEE SHI-IAN Empat belas aktivis yang ditahan polis kerana membantah perbincangan Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang sedang berjalan di Kota Kinabalu dipaksa melakukan ujian air kencing untuk dadah. Tiga lagi aktivis yang pergi ke ibu pejabat polis di Karamunsing untuk menyatakan sokongan kepada yang ditahan turut ditahan. Menurut Suaram, 11 ditahan ketika sedang membantah pusingan ke-18 perbincangan TPPA yang diadakan di Sutera Harbour di Kota Kinabalu, Sabah. Pengerusi Gabungan Menuntut Hak Rakyat Sabah (GEGAR), Harieyadi Karmin mengatakan bantahan itu berjalan dengan aman dengan sepanduk menentang TPPA. Selepas berunding dengan polis, pihak penganjur setuju untuk berpindah tempat kira-kira 50 meter dari pintu utama Sutera Habour. Namun, setelah berpindah, mereka mendakwa polis datang sekali lagi dan menahan 11 aktivis serta merampas kain rentang protes. Peguam, Abdul Razak Jamil yang mewakili 14 aktivis itu memaklumkan bahawa beliau masih tidak dibenarkan bertemu dengan anak guamnya. Katanya, polis memaklumkan akan menjalankan ujian air kencing ke atas semua tertuduh sebelum melalui proses siasatan seterusnya. Suaram mengutuk tindakan polis menahan rakyat yang hanya mempraktikkan hak mereka yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. "Tindakan polis itu juga jelas tidak menghormati hak kebebasan berhimpun dan hak untuk mengeluarkan pandangan yang termaktub dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat," kata Suaram dalam satu kenyataan hari ini. Sementara itu, Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun mengatakan polis sudah meminta kumpulan itu untuk beredar secara aman. "Kami mengesyaki aktivis ini di bawah pengaruh dadah, jadi kami tahan mereka dan jalankan ujian dadah," katanya. Jauteh mengatakan keputusan ujian dadah hanya akan diketahui pada 3 petang ini dan jika ia negatif, 14 aktivis itu akan dibebaskan. Perbincangan mengenai perjanjian mengenai TPPA yang masih berjalan itu dikritik hebat dari segenap penjuru kerana bimbang ia akan menggadaikan kedaulatan Malaysia. TPPA membabitkan 12 negara dan Malaysia mula terbabit dengan perundingan pada Oktober 2010. Ramai yang mengkritik daripada pelbagai latar dari kumpulan ahli perniagaan, parti politik sehingga bekas Perdana Menteri ,Tun Dr Mahathir Mohamad. Keenganan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk mendedahkan butiran TPPA menimbulkan kemarahan. Bantahan turut diadakan di hadapan pejabat MITI di Jalan Duta, Kuala Lumpur. | ||||
Posted: 19 Jul 2013 05:37 PM PDT PASIR GUDANG - Seorang pekerja kilang maut manakala 10 yang lain cedera selepas terkena bongkah dan serpihan batu akibat kerja-kerja meletup batu dari kawasan berhampiran Jalan Bukit 2, kawasan Malaysia Industrial Ester Limited (MIEL) Bandar Seri Alam, di sini, semalam. Mangsa merupakan warga Nepal berumur sekitar lewat 20-an yang mati di tempat kejadian. Dalam kejadian kira- kira jam 12.50 tengah hari itu, 14 premis kilang dan 18 kenderaan turut mengalami kerosakan akibat letupan di kuari berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter daripada kawasan kilang. Seorang eksekutif akaun sebuah kilang membuat beg plastik, Mazni Nor Izdihar Jani, 24, berkata, dia terdengar bunyi letupan kuat dari arah kuari berkenaan, selain merasai gegaran. "Ketika itu, saya ingin keluar ke sebuah bank sebelum terdengar bunyi letupan yang kuat dari arah kuari berkenaan. Sebelum ini, memang selalu mendengar bunyi letupan, tetapi kali ini ianya lebih kuat," katanya. Kejadian itu juga menyebabkan kereta milik Mazni jenis Proton Saga BLM yang baru sebulan dibelinya remuk teruk akibat terkena serpihan batu. "Mujur ketika itu saya belum sempat ke kereta yang diletakkan di luar kawasan kilang. Jika tidak, saya tidak tahu apakah nasib saya. Saya tergamam selepas melihat keadaan kereta saya namun reda dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. Bagi seorang pengurus kilang membuat beg plastik Dragonpak, Jeffri Jamil berkata, kawasan kilangnya turut mengalami gegaran kuat seolah-olah berlakunya kejadian gempa bumi. "Kami dikejutkan dengan bunyi letupan kuat sebelum satu bongkah batu besar berukuran lebih satu meter turut jatuh ke dalam kilang sehingga terkena pekerja warga Nepal sehingga menyebabkan dia meninggal dunia. "Serpihan batu turut menembusi bumbung premis kami menyebabkan beberapa pekerja tercedera dan ada yang patah tangan," katanya. Sementara itu, pemilik syarikat Lipidchem Sdn Bhd, Cheng Yin Toing menganggarkan menanggung kerugian mencecah RM10 juta akibat beberapa jentera dan tangki minyak menyimpan minyak kelapa sawit di premisnya turut rosak. "Banyak perkakas di bahagian pengeluaran yang rosak. Kami terpaksa menutup operasi kira-kira enam bulan bagi tujuan membaik pulih, manakala seramai 85 kakitangan diberikan cuti bergaji. "Kami juga rugi besar kerana gagal menyiapkan tempahan mengikut kontrak yang telah ditandatangani dengan sebuah syarikat, "katanya yang menjalankan perniagaan menghasilkan bahan kimia daripada minyak kelapa sawit. Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 1.14 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira setengah jam kemudian. "Ketika tiba lokasi, terdapat bongkah dan serpihan batu berselerakan sehingga satu kilometer daripada kuari terbabit selain turut merosakkan 18 kenderaan dan 14 kilang. "Hasil pemeriksaan juga mendapati seorang pekerja sebuah kilang maut, tujuh cedera dan tiga cedera ringan akibat kejadian terbabit. Mayat mangsa dan 10 yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Ismail," katanya. Mohd Rizal memaklumkan operasi mencari dan menyelamat itu membabitkan 37 anggota bomba dari Balai Bomba Pasir Gudang dan dibantu Balai Bomba Johor Jaya. "Dalam operasi berkenaan, kita turut memeriksa kawasan kuari berkenaan. Bagaimanapun tiada kebakaran berlaku manakala pekerja kuari juga tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya. | ||||
‘Kalau rakyat Besut minta sungai pasti lulus’ Posted: 19 Jul 2013 05:29 PM PDT
Tuan Ibrahim dalam kempen ceramahnya juga mempertikaikan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih lagi mengamalkan budaya lama dengan menyogok pelbagai projek pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut. "BN kalau setiap kali pilihanraya semua jenis projek mereka janjikan, kalau rakyat Kuala Besut minta kerajaan buat sungai pun akan lulus. "Tapi sekadar lulus la buat tu belum tentu, ini lah yang berlaku dan BN masih lagi mempermainkan penduduk di sini dengan janji kosong. "Sampai bila BN hendak menipu rakyat, permainkan perasaan rakyat dengan janji pilihanraya yang belum pasti ditunaikan," jelasnya pada ceramah di Kampung Baharu berhampiran Kem Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM). Menurut beliau lagi, rakyat perlu sedar dengan janji-janji pilihanraya yang dikatakan oleh BN. Katanya, BN hanya inginkan undi sedangkan janji pembangunan itu belum pasti akan dilaksanakan jika mereka memenangi pilihanraya. "Janji nak bina flat di Pulau Perhentian untuk rakyat sebanyak 200 unit dengan nilai RM33 juta. "Harga seunit lebih kurang RM600 ribu, siapa nak beli rumah semahal itu, rakyat akan terus terpinggir dan yang mendapat untuk adalah kroni Umno yang dapat projek, akhirnya flat tersebut jadi hotel," sambungnya lagi. Beliau menggesa agar rakyat membuat perubahan baru bagi memastikan hak mereka terpelihara dan tidak mahu rakyat di Pulau Perhentian terus terpinggir kerana pembangunan yang tidak dirancang dengan sempurna. Menurutnya lagi, di Terengganu terdapat pelbagai projek yang mempunyai nilai berjuta-juta ringgit, namun terlalu banyak penyelewengan dalam projek tersebut tetapi perkara itu tidak dapat dihalang kerana tiada pihak yang berani untuk menegurnya. "Siapa berani nak tegur Menteri Besar dalam projek yang penuh dengan kepincangan serta penyelewengan. "Tetapi jika rakyat memilih PAS pada 24 Julai nanti, perkara ini akan dapat diatasi kerana keseimbangan kerusi yang menyebabkan kerajaan perlu akur kepada teguran atau bantahan dari PAS," kata beliau lagi. Pengundian PRK Dun Kuala Besut akan berlangsung pada 24 Julai nanti, manakala pengundian awal pula pada hari ini, 20 Julai di Kem TUDM. | ||||
JK fatwa: Shisha haram bagi umat Islam Posted: 19 Jul 2013 05:23 PM PDT MALAYSIA KINI Muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam memutuskan shisha adalah haram bagi umat Islam. Selain menghisap shisha, muzakarah yang bersidang pada Rabu lepas, turut melarang umat Islam daripada menyediakan perkhidmatan menghisap shisha atau apa-apa aktiviti berkaitan shisha. Ini diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dalam kenyataan hari ini. "Setelah mendengar pembentangan dan penjelasan pakar daripada kementerian kesihatan dan meneliti maklumat serta bukti perubatan dan saintifik terperinci yang dikemukakan dari dalam dan luar negara mengenai kesan dan kemudaratan besar yang dihadapi akibat shisha... maka muzakarah bersetuju memutuskan shisha adalah haram," katanya. Abdul Shukor menjelaskan penggunaan shisha akan memberi kesan dan kemudaratan besar dari segi kesihatan ummah, pembangunan ekonomi negara serta pembentukan generasi akan datang. Muzakarah khas itu, katanya, mendapati semua dapatan saintifik menerusi kajian komprehensif yang dilakukan di negara ini mahupun di peringkat antarabangsa berjaya membuktikan shisha memberi kesan amat berbahaya dan penularannya amat membimbangkan, khususnya dalam kalangan remaja dan wanita. "Dalam hal ini, muzakarah menasihatkan seluruh umat Islam supaya tidak terlibat dengan apa-apa aktiviti berkaitan shisha kerana pengharamannya adalah berdasarkan nas-nas syarak daripada Al-Quran dan hadis serta kaedah Fiqhiyyah," kata Abdul Shukor. Ini, katanya, bagi memastikan lima perkara asas bagi manusia yang terkandung dalam Maqasid Syari'yyah iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan harta dapat dipelihara seperti mana tuntutan syarak. "Shisha jelas memudaratkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan masa dan harta serta dikategorikan sebagai perkara buruk atau keji yang perlu dihindari oleh semua umat Islam," katanya. Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu juga kecewa terhadap perlakuan pihak-pihak yang sengaja menimbulkan isu bagi mencetuskan kemarahan umat Islam, sekali gus menggugat keharmonian hidup masyarakat berbilang agama dan bangsa di Malaysia. "Muzakarah khas berpandangan siri-siri penghinaan yang dilakukan golongan tidak bertanggungjawab ini semacam sudah dirancang dan sengaja dilakukan lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang amat mulia bagi umat Islam," katanya. Menurutnya, perbuatan yang dilakukan golongan itu telah melampaui batas kesabaran umat Islam. "Dengan pelbagai penghinaan yang dilakukan sebelum ini, kita tidak mahu lagi kata-kata atau perlakuan biadap dan tidak bertamadun oleh rakyat Malaysia atau mana-mana warga asing dipandang sebelah mata tanpa diambil tindakan tegas dan hukuman maksimum mengikut undang-undang sedia ada," katanya. Abdul Shukor menekankan tindakan tegas dengan kadar segera perlu dilaksanakan pihak berkuasa supaya perbuatan menghina Islam tidak terus berulang selain menjadi pengajaran buat semua. Beliau menarik perhatian perbuatan menghina dan mengeluarkan kenyataan yang mencetuskan kemarahan umat Islam dan kemudian memohon maaf sudah menjadi mainan pihak-pihak berkaitan, dan ini tidak harus dibiarkan berlaku. Justeru, Abdul Shukor berkata muzakarah khas itu menggesa umat Islam supaya bersatu dalam menghadapi niat jahat pihak-pihak yang biadap itu demi mempertahankan kesucian agama dan maruah umat Islam di negara ini. Bernama | ||||
Shabery sedia debat jika tajuk sesuai Posted: 19 Jul 2013 05:21 PM PDT SINAR HARIAN KUALA BESUT - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau bersedia mempertimbangkan untuk berdebat dengan pembangkang jika cabaran dibuat mengikut prosedur bersama pilihan tajuk yang sesuai. Mengulas cabaran debat yang dilaporkan dikemukakan Pengarah Pilihan Raya Pas bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut Datuk Husam Musa kepadanya, beliau berkata ia tidak boleh disahut begitu sahaja, apatah lagi ia dibuat tanpa memaklumkan kepada pihaknya terlebih dahulu. Bercakap kepada pemberita sebelum berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Tok Has, Bukit Puteri di sini, Ahmad Shabery, yang juga Anggota Parlimen Kemaman, berkata cabaran itu juga boleh disifatkan sebagai tidak adil kepadanya kerana beliau sama sekali tidak dimaklumkan secara jelas. "Saya boleh dan sedia pertimbang untuk berdebat jika cabaran itu dibuat mengikut prosedur di mana saya dan pejabat saya dimaklumkan terlebih dahulu. "Cabaran perlu dinyatakan secara jelas seperti tajuk, tempat, berapa lama dan peraturan yang diguna. Kedua pihak perlu bersetuju, malah pihak keselamatan juga perlu dimaklumkan," katanya. Dalam cabarannya Husam menamakan Pengarah Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli sebagai wakil kepada pakatan rakyat manakala Ahmad Shabery dipilih atas kapasiti Anggota Majlis Tertinggi Umno untuk dipertemukan dalam debat bertajuk 'Bagaimana rakyat Terengganu boleh menjadi kaya seperti pemimpin Umno' yang dijadual selepas solat tarawih malam ini. Ahmad Shabery berkata beliau juga 'terkejut' mengapa Rafizi yang dicadangkan sedangkan masyarakat setempat sedia maklum Anggota Parlimen Pandan itu tidak sayangkan negeri Terengganu apabila memilih untuk bertanding di Selangor dalam pilihan raya umum lepas. "Sebenarnya saya hanya tahu mengenai debat ini beberapa jam yang lalu, malah pejabat saya juga tidak menerima sebarang surat mengenainya. "Dulu masa saya nak berdebat dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim kedua-dua pihak ambil masa lebih sebulan untuk berbincang mengenainya. Jelas ini kaedah yang tak betul, dengan bos dia pun saya berani dan telah berdepan jika kena kaedahnya," katanya. Ahmad Shabery juga menyifatkan cabaran itu sebagai gimik murahan Husam untuk meletakkannya dalam keadaan tidak baik seolah-olah takut untuk berdepan dengan pembangkang dan berharap reaksi beliau terhadap pelawaan berdebat dapat menghentikan pembangkang daripada terus 'meroyan'. "Malam di bulan Ramadan seharusnya diisi dengan beribadah bukannya berdebat," katanya. "Jika nak debat apakah tidak boleh jika diberi tajuk seperti 'Apakah kejayaan Pas sepanjang memerintah Terengganu pada tahun 1999 hingga 2004...adakah mereka berani," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan