Ahad, 14 Julai 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Zahid Dicabar Buktikan 90% Jenayah Dilakukan Bekas Tahanan EO

Posted: 14 Jul 2013 04:17 AM PDT


KELAB GREENBOC
 
Ahli Parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi membuktikan kenyataan bahawa 90 peratus jenayah di Malaysia dilakukan bekas tahanan Ordinan Darurat (EO).

Beliau berkata, Ahmad Zahid tidak perlu menunggu sehingga September untuk membentangkan statistik dan kajian penuh yang didakwa jika beliau sudah membuat kajian dan memperoleh data.

"Kami hairan, kenapa beliau tidak dedahkan sekarang ketika sesi Parlimen sedang berjalan. Tidak ada masalah, beliau boleh sahaja memanggil sidang media bila-bila pun dan tidak perlu tunggu dua bulan untuk membuktikan 'betapa wajarnya Ordinan Darurat itu diteruskan," kata Pua dalam kenyataan.

Semalam, Ahmad Zahid mendakwa akan membentangkan statistik penuh daripada kajian terhadap jenayah yang berlaku pada sesi Parlimen akan datang untuk mewajarkan EO serta membolehkan polis meletakkan suspek ditahan tanpa bicara selama dua tahun.

Bagaimanapun, Setiausaha Publisiti DAP itu berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu sangat bertentangan dengan apa yang didakwanya sendiri.

"Kalau 'kajian' itu wujud, sudah tentu 90 peratus penjenayah itu sudah boleh dikenal pasti, disiasat, ditahan dan didakwa.

"Tapi, kalau mereka ditahan dan disiasat, dan masih kurangnya laporan, jadi bagaimana mereka tahu jenayah masih berleluasa dan pihak polis masih memerlukan EO. Adakah menteri cuba memberitahu kita bahawa mereka mengenalpasti semua suspek bagi jenayah yang berlaku tetapi tidak mampu menahan dan mendakwa mereka," tambah Pua.

Pada masa yang sama, Pua cuba membayangkan jika dakwaan Zahid yang menuduh kebanyakan penjenayah adalah bekas tahanan EO adalah benar, ia juga tetap bukan bermakna undang-undang zalim itu diperlukan.

"Ia akan hanya menunjukkan pihak polis tidak cekap!" ujarnya.-Roketkini


Terima hakikat polis lemah, NGO kecam KDN guna EO sebagai alasan


Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam sikap Putrajaya yang masih menyembunyikan hakikat sebenar kadar jenayah yang semakin meningkat serta menggunakan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai alasan, kata NGO pemantau jenayah, MyWatch dan hak asasi manusia, Suaram serta menggesa pasukan polis menerima hakikat kelemahan mereka sendiri.

Pertikaian itu kembali diperkatakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan penjenayah yang ditangkap kerana melakukan kesalahan di negara ini adalah bekas tahanan di bawah EO.

"Kerajaan hendak menubuhkan semula akta seperti EO bagi membolehkan mereka melakukan tindakan tahanan tanpa bicara, dan sesuka hati boleh tahan orang yang mereka anggap sebagai ancaman," kata pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan kepada The Malaysian Insider bagi membidas rancangan Ahmad Zahid yang mahu memperkenalkan akta sama seperti EO bagi membanteras jenayah.

Pengerusi MyWatch itu berkata kenyataan Ahmad Zahid membuktikan polis mengakui kelemahan mereka sendiri kerana polis tidak dapat menjalankan siasatan dan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat Malaysia.

"Tindakan ini sama seperti polis tidak percayakan anggota mereka.

"Ini umpama polis tidak percaya daya saing anggota mereka, dan tahap penyiasatan mereka masih lemah," katanya.

Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.

EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berkata indeks jenayah yang dikeluarkan polis pada 2012 menyaksikan penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus berbanding 2011.

Malahan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam membabitkan isu kadar jenayah apabila Ahmad Zahid menyatakan jenayah meningkat tetapi kerajaan sebaliknya pula mengeluarkan statistik menunjukkan jenayah menurun.

"Di mana statistik jenayah yang baru? Saya beri soalan ini kepada Ahmad Zahid semasa penggulungan titah Diraja di Parlimen semalam, tetapi dia tidak beri jawapan yang memuaskan," kata Lim, baru-baru ini.

Suaram turut menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis tidak menyembunyikan perkara sebenar kerana kepentingan dan keselamatan rakyat lebih mustahak.

"Polis dan KDN harus telus dalam isu kenaikan kadar jenayah di Malaysia. Jika kadar jenayah meningkat kerana kegagalan polis untuk menyelesaikannya maka perkara itu harus diakui dan polis harus memperbaikinya.

"Tiada gunanya kadar jenayah yang sebenar disorok hanya kerana mahu jaga imej PDRM dan KDN. Ini membabitkan keselamatan rakyat," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.

Bagaimanapun, Nalini menegaskan pendirian Suaram bahawa tidak wajar menggunakan EO sebagai alasan dan menyifatkan rancangan untuk mewujudkan undang-undang yang sama melanggar hak asasi manusia.

"Kenaikan kadar jenayah tidak boleh diperbaiki dengan mengembalikan undang-undang darurat seperti EO yang mencabul hak asasi manusia dengan membenarkan penahanan tanpa bicara," kata Nalini.

Suaram berkata, undang-undang itu hanya akan menyebabkan polis lebih malas daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

"Undang-undang ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan boleh mewujudkan 'kemalasan' di kalangan polis untuk menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka kembali melakukan jenayah.

Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008.
-TMI

Che Long Turut Disokong Keluarga Calon BN

Posted: 14 Jul 2013 04:15 AM PDT


Calon PAS, Azlan Yusof menziarahi penduduk Pantai Teluk Bayu

KELAB GREENBOC
 
Biar pun ayah calon BN, Che Ku Abdul Rahman mendakwa mempunyai keluarga besar di sini, sebaliknya sebahagian daripada mereka diberitahu bersedia untuk menyokong calon PAS, Azlan Yusof atau Che Long.

Adun Chukai, Hanafiah Mat mendakwa berdasar kepada pertemuan dengan anggota keluarga calon BN, sebahagian mereka memberi komitmen bagi menyokong calon PAS

"Saya sudah berjumpa sebahagian daripada mereka, dan ramai menyatakan kesediaan untuk menyokong Che Long kerana lebih dekat dengan masyarakat di Kuala Besut," katanya pada ceramah di Seberang Barat malam tadi.

Baru-baru ini Che Ku, bekas anggota jawatankuasa Umno Besut mendakwa mempunyai seramai 3,000 anggota keluarga yang memberi kelebihan kepada anaknya.

Seberang Barat sebuah perkampungan nelayan, di mana ramai mendapat bantuan bulanan daripada kerajaan.

Insentif RM200 sebulan membuatkan sebahagian besar nelayan di situ terperangkap dalam jerat Umno. Maka tidak hairanlah ia menjadi kubu kuat Umno di Kuala Besut.

Kira-kira 70,000 nelayan di seluruh negara sejak September 2008 menerima bantuan sara hidup sebanyak RM200 sebulan.

Nelayan diberi kad nelayan bagi melayakkan untuk menikmati elaun terbabit dengan syarat perlu berdaftar dengan Jabatan Perikanan.

Selain itu nelayan juga diberi bantuan bot dan enjin serta pelbagai kemudahan lain. Bantuan tersebut menyebabkan nelayan terpaksa tunduk kepada tekanan Umno.

Tekanan berterusan itu juga menyebabkan tidak ramai penduduk tempatan tampil di hadapan pentas, tempat ceramah diadakan malam tadi.

Sebaliknya mereka dilihat berada dalam gelap di kawasan sekitar. Strategi itu bagi mengelakkan bantuan dinikmati mereka sekarang terjejas.

Ceramah diadakan di Pasti di kampung tersebut. Sepanjang laluan ke tempat ceramah terdapat banyak bendera dacing.

Ada juga petugas BN sibuk memasang bendera dacing di kiri kanan jalan.

Hanafiah berkata, nelayan di Kuala Besut perlu lebih berani bagi mengelakkan mereka terus dipersendakan pemimpin Umno melalui pelbagai bantuan kebendaan.

"Kalau pemimpin Umno beri apa sahaja ambil, tetapi undi belum tentu bagi kepada BN. Nelayan perlu ada keberanian untuk berubah.

"Tengok projek perumahan untuk nelayan di sini sehingga sekarang tidak boleh diduduki lagi. Rumah flat itu sebanyak 300 unit, namun borang yang dikeluarkan sebelum ini difahamkan sebanyak 5,000 keping," katanya.

Difahamkan menjelang pilihan raya umum lalu borang memohon menduduki projek perumahan nelayan diedar kepada golongan muda, sebagai senjata menarik undi kepada BN.

Oleh itu Adun Chukai mengajak nelayan di Kuala Besut membuat perubahan dengan memberi sokongan kepada Che Long untuk membolehkan tekanan politik melampau terhadap mereka dibebaskan.

Kata beliau di tangan pengundi Kuala Besut bakal menentukan nasib kerajaan Terengganu pada 24 Julai ini.

Hadir sama pada program berkenaan Ketua Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof, Che Long dan wakil Dewan Himpunan Penyokong PAS dari Perak, Suria.

Ambil tanah rakyat

Sementara itu difahamkan kerajaan BN Terengganu akan melakukan pecah tanah bagi membina apartment mampu milik setinggi 4 tingkat di atas tanah milik penduduk di Kampung Beris Lampu, Tok Saboh.

Tanah tersebut sebelum ini diluluskan kerajaan negeri ketika ditadbir PAS kepada penduduk, namun 'dirampas' semula kerajaan BN bagi melaksanakan projek komersial. -HD

Kemiskinan jadi aset politik BN – Mustafa Ali

Posted: 14 Jul 2013 04:07 AM PDT

KEADILAN DAILY

mustafa_ali
Mustafa Ali (tengah bersama Dr Dzulkefly Ahmad (kiri) menunjukkan keadaan rumah penduduk Kuala Besut yang daif

KUALA BESUT: Kemiskinan penduduk di Kuala Besut seolah-olah dijadikan aset politik untuk mengikat kebergantungan mereka kepada Umno-BN, kata Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

"Kemiskinan jadi aset politik. Kebergantungan kepada bantuan sangat tinggi," kata Mustafa kepada pemberita pada sidang media di Bilik Gerakan Utama Pas di Kampung Baharu, Kuala Besut hari ini.

Menurutnya, pilihan raya kecil di Kuala Besut mengulangi sejarah tahun 1979 apabila dua calon dari parti sama bertanding pada PRK yang juga diadakan dalam bulan Ramadan.

"Tapi sejak 1979 hingga hari ini, tak banyak beza," kata Mustafa memberitahu banyak isu tempatan yang seolah sengaja tak diselesaikan supaya rakyat terus bergantung kepada Barisan Nasional,

Katanya, berbanding kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN lain dalam Parlimen Besut, DUN Kuala Besut paling dipinggirkan.

Rumah_Besut

"Pembangunan hanya ditumpukan ke Kota Putera dan Jerteh. Bangunan kerajaan, baik negeri mahu pun Persekutuan banyak di Jeteh," katanya.

Tambahnya, DUN Kuala Besut terus terpinggir apabila langsung tidak memiliki sebarang institusi pengajian tinggi, pusat industri dan kemudahan awam.

"Di Kota Putera ada Institut Perguruan, ada Kompleks Taman Ilmu, ada Kompleks Rakan Muda. Di Kuala Besut tidak ada," katanya.

"Ini bukti kegagalan Umno-BN membangunkan Kuala Besut sehingga ramai yang hidup susah dan terpinggir," katanya.

Justeru, kata Mustafa, statristik kemiskinan dalam DUN Kuala Besut akan dimaklumkan dalam masa terdekat

TPPA: Mahathir bidas, tapi Umno BN setuju

Posted: 14 Jul 2013 04:05 AM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Kerajaan Umno BN tetap mahu meneruskan Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) meskipun ia dibantah mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Azan Ismail.

"Tun Dr Mahathir Mohamad membidas TPPA ini kerana didakwa sebagai satu penjajahan baharu. Tetapi pada masa sama, kerajaan Umno BN tetap bertegas akan melaksanakan perjanjian itu walaupun mendapat bantahan pelbagai NGO.

"Ini satu fenomena yang aneh dan saya khuatir terdapat terma dalam perjanjian itu yang bakal memberikan implikasi negatif terhadap kedaulatan tanah air dan rakyat Malaysia," ujar Adun Bandar itu kepada Suara Keadilan.

Mahathir dalam tulisan di blognya semalam menggesa kerajaan mengabaikan rundingan itu kerana  menyifatkan ia sebagai muslihat Amerika Amerika Syarikat untuk menembusi pasaran domestik negara.

Malah katanya perjanjian itu akan merugikan Malaysia dan menyifatkan TPPA sebagai "perkongsian yang tidak sama rata" serta sebuah penjajahan baru atau disebut neo-kolonialisme.

Pada masa yang sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pula berkata, TPPA tidak akan menggadai kedaulatan, bahkan memberi manfaat kepada negara.

Mengulas lanjut, Azan berkata kerajaan perlu mendedahkan isi kandungan perjanjian tersebut supaya diteliti oleh rakyat.

"Umno BN mengharapkan rakyat supaya mempercayai tindakan kerajaan dalam rundingan ini tetapi apabila kita minta dedahkan isi kandungannya, kerajaan menolak.

"Adakah sikap ini membantu untuk memulihkan persepsi negatif rakyat terhadap TPPA dan kerajaan?" soalnya.

Pakatan Rakyat sokong Bersih 4.0

Posted: 14 Jul 2013 04:03 AM PDT

Oleh: Mohd Arif Juhani

KUALA LUMPUR : Pakatan Rakyat amnya menyokong penuh kenyataan Pengerusi Bersama Bersih, Datuk S Ambiga untuk menganjurkan Himpunan Bersih 4.0 sekiranya persempadanan semula dilakukan tanpa pembersihan daftar pemilih.

Bersih

Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berkata,  selain isu daftar pemilih, sehingga hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan mengakui penipuan dilakukan pada pilihan raya umum lalu, termasuk  isu penggunaan dakwat kekal.

"Jika SPR tidak mengendahkan tuntutan Bersih, nampaknya kita tidak mempunyai pilihan lain selain melancarkan protes besar-besaran di jalan raya," ujar Ahli Parlimen Batu itu.

Menyokong tindakan sama, Naib Presiden PAS, Mahfuz Omar berpendapat himpunan Bersih 4.0 wajar bagi memastikan SPR terus ditekan sehingga daftar pemilih yang kotor dibersihkan.

"Kalau tidak, selepas sepuluh kali pilihan raya pun SPR tetap memberi alasan yang sama apabila ditanya mengenai senarai daftar pemilih yang bercelaru dan meragukan.

"Sebagai pemimpin Pas, saya menyokong penuh Bersih 4.0 bagi memastikan rakyat Malaysia pada masa akan datang menikmati proses demokrasi pilihan raya yang lebih telus, adil dan bersih," katanya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena ketika dihubungi.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Dato' Ngeh Koo Ham yakin DAP akan menyokong himpunan itu bagi menuntut hanya pengundi yang sah didaftar sebagai pengundi.

"Sebab itu DAP juga mendesak senarai daftar pemilih dipulihkan segera untuk meyakinkan rakyat bahawa tidak ada pengundi hantu dan haram berada dalam daftar pengundi.

"SPR tidak boleh memberi alasan proses ini sukar dilaksanakan kerana kerajaan mempunyai banyak agensi dan jabatan yang boleh membantu," ujar Pengerusi DAP Perak itu.

Persempadanan Semula: Apa Lagi Helah SPR?

Posted: 14 Jul 2013 03:59 AM PDT


undi SPR sek agama telok gong stok 01

KOMENTAR Persempadanan semula kawasan pilihanraya di Malaysia dilakukan pada 1958, 1966, 1974, 1983, 1992 dan 2003.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan dibawah perkara 113, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diberi amanah untuk melakukan kajian semula persempadanan kawasan pilihanraya setiap 10 tahun.

Persempadanan semula tersebut dilakukan berlandaskan kepada keadaan geografi dan topografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi.

Ia juga atas kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi Parlimen dan DUN.

Tujuan persempadanan semula dilakukan bagi memastikan tidak berlaku ketidak seimbangan sesuatu kawasan berpenduduk yang menyulitkan pentadbiran disebabkan berlakunya pertambahan penduduk.

Keadaan ini lebih ketara berlaku di kawasan bandar akibat peningkatan proses pembangunan yang menjurus kepada migrasi penduduk secara aktif.

SPR garis kuning 01


Maka asas utama persempadanan semula ini samaada Parlimen atau Dun perlu berpaksi kepada rasionaliti jumlah pemilih, keluasan sempadan kawasan dan aksessibiliti yang dapat memudahkan wakil rakyat untuk berhubung dan berkhidmat kepada pengundi.

Berdasarkan tahun akhir persempadanan semula pada 2003 maka SPR tidak ada pilihan selain melakukannya pada tahun ini. Walaupun ura-uranya mahu dilakukan pada 2011 lalu. SPR memberikan alasannya untuk dilakukan selepas PRU 13 kerana tidak mahu mengganggu perjalanan PRU tersebut.

Apapun alasannya SPR yang berada dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa untuk mengkaji semula dan menyiapkan persempadanan kawasan pilihanraya yang baru.

'Gerrymandering' Selamatkan Najib

Pada PRU 10 pada 1999, Ahli Parlimen Pekan yang kini menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 241 undi.

Akibat persempadanan semula pada 2003, SPR telah memasukkan beberapa kem tentera yang sebelum ini berada dikawasan parlimen Kuantan ke dalam kawasan pilihanraya parlimen Pekan.

Sejak itu Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan berada dalam kemenangan selesa dalam setiap kali PRU walaupun Parlimen Kuantan akhirnya tergadai kepada Pakatan Rakyat sejak PRU 2008 hingga kini.

gerrymander
Cara inilah juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh SPR bagi memastikan kemenangan besar Umno-BN dalam PRU selepas melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Walaupun kaedah ini terpaksa menggadai kawasan lain kepada pihak lawan.

Dalam pengajian Sains Sosial dan Sains politik, kaedah yang digunakan oleh SPR untuk meneruskan kemenangan Najib itu disebut sebagai kaedah "Gerrymandering'

Gerrymandering ialah satu tindakan memanipulasi pihak yang mempunyai kuasa politik dalam sesuatu negara/negeri dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbirannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang.

Tindakan ini adalah bertujuan mengurangkan undi parti pembangkang dan membolehkan parti pemerintah memperoleh lebih banyak undi dari keputusan sebelumnya.

Kaedah Gerrymandering ini diasaskan oleh Gabenor Massachusetts di Amerika Syarikat dari parti Republikan, Elbridge Gerry ketika beliau menguasai wilayah tersebut pada 1812.

Gerry telah meluluskan satu dasar undang-undang berkaitan dengan persempadanan kawasan pilihan raya di wilayahnya yang memberi kelebihan kepada partinya.

Tindakan beliau ini juga dikenali sebagai Salamender

kerana perubahan yang beliau lakukan di wilayah itu telah menyebabkan peta kawasan tergambar seolah-olah bentuk seekor binatang "Salamender" yang berlekok-lekok.

Tiga Taktik Leburkan Pakatan

Terdapat tiga kaedah untuk memanipulasi persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Pertamanya konsep 'Excess Vote', dimana Pakatan akan dihadkan menguasai sesuatu kawasan tertentu dengan kelebihan majoriti yang tinggi. Manakala dikawasan sekitarnya undi pembangkang akan 'di tenggelamkan' dalam undi majoriti parti pemerintah.

Contohnya, Kelantan ialah kawasan yang kuat menyokong pihak PAS oleh itu Kerajaan Pusat akan cuba menumpukan perhatian kepada negeri Pahang dan Terengganu dalam pilihan raya bagi memastikan kedua-dua negeri ini tidak akan ditawan oleh PAS.

Ini bermakna parti kerajaan mengehadkan kuasa pihak pembangkang keatas negeri Kelantan sahaja.
Keduanya kaedah 'Wasted Vote' iaitu usaha mengurangkan undi pembangkang secara memasukkan kawasan yang dijangka dimenangi BN kedalam kawasan yang dikuasai PR.

Contohnya kawasan A sebuah kawasan ramai penduduk yang menyokong PR manakala kawasan B pula lebih kepada BN

.pemimpin tinggi PR konvesyen 01

Bagi memastikan BN dapat memenangi kawasan A, penstrukturan dibuat dengan memasukan satu atau lebih bahagian dari kawasan B ke dalam kawasan A dan mengeluarkan satu bahagian atau lebih kawasan A kepada kawasan C.

Tindakan ini akan membolehkan BN memenangi pilihan raya akan datang dengan nisbah 1:2.

Ketiga ialah melalui kaedah wang "stacked". Melalui kaedah ini kawasan yang jauh dari bandar akan dijadikan kubu untuk parti pemerintah mengekalkan kuasanya.

Konsep ini boleh dikatakan seperti konsep 'hutang budi' dimana pemerintah akan menggunakan kaedah wang dan sogokan bagi membangunkan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Adat dan budaya masyarakat luar bandar di manipulasi untuk meletakkan orang kampung dalam situasi hutang budi dan perlu mengenang budi kepada pemerintah.

Pemerintah juga akan bertindak mengugut golongan luar bandar ini dengan tanggapan bahawa menyokong parti pembangkang mereka akan menghadapi masalah kerana rata-rata penduduk luar bandar terdiri dari penduduk miskin.

Persempadanan SPR Akhirnya Menikam BN

Sebelum berlaku tsunami politik pada 2008, BN menggunakan pengaruh etnik sebagai aset kemenangan dalam setiap PRU maupun pilihanraya kecil.

Pengundi Cina dan India sering dijadikan sandaran oleh BN untuk memastikan kemenangan selesa.

Namun gelombang kebangkitan rakyat selepas 2008 dimana hampir 90 peratus ethik Cina dan lebih 54 peratus pengundi India menyokong PR meletakkan BN dan SPR dalam keadaan serba salah untuk meletakkan batu sempadan baru.

Manakala kemenangan undi popular 51 peratus terhadap PR dan hanya 47 peratus kepada BN dalam PRU13 lalu menjadi penanda aras bahawa kesan persempadanan semula yang di buat SPR selama ini sedang memakan diri sendiri.

Berdasarkan kaedah Gerrymandering, tindakan pemerintah memanipulasi kawasan pilihanraya baru secara tidak sihat ini akan menyebabkan masalah dalaman jangka panjang yang akhirnya memberi kesan kepada pihak pemerintah.

Ini disebabkan keputusan yang diperoleh bukan berfakta dari keputusan sebenar tetapi kesan manipulasi persempadanan yang tidak adil.

Dilema SPR

Inilah juga realiti yang sedang dihadapi SPR dan Najib dalam memastikan kemenangan besar dalam PRU14 selepas persempadanan semula sebagaimana berlaku sebelum ini

SPR boleh mencongak persempadanan semula kawasan pilihanraya bersandarkan kepada pemerhatian kemenangan dalam saluran-saluran tertentu yang dimenangi BN semasa PRU 13 lalu.

Kaedah 'wasted vote' yang digunakan sebelum ini telah menyumbang kemenangan kepada BN walaupun gagal memperoleh dua pertiga di parlimen.

Salah satu perbezaaan besar persempadanan semula kali ini adalah faktor etnik yang tidak lagi boleh di jadikan sandaran oleh SPR untuk menjamin kemenangan BN.

Isu besar dari persempadanan semula buat kali ke tujuh pada 2013 ini adalah berlakunya ketidak seimbangan jumlah pengundi dalam kawasan yang disempadankan.

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

Sedangkan tujuan persempadanan semula sepatutnya bagi mengelak dari berlakunya ketidakseimbangan saiz kawasan dan jumlah pengundi.

Contohnya, P125 Putrajaya mempunyai jumlah pengundi 15,791 manakala P109 Kapar mempunyai 144,369 pengundi berdaftar. Kapar mempunyai jumlah pengundi sepuluh kali ganda dari Putrajaya sedangkan dua kawasan tersebut masing-masing diwakili seorang wakil rakyat.

Perkara kedua yang menjadi dilema SPR juga berhubung berapakah jumlah penambahan kerusi Dun dan Parlimen di seluruh negara. Apakah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun yang dipertandingkan pada PRU13 lalu akan dikekalkan?

Apakah juga kalau ada penambahan kerusi-kerusi tersebut akan memihak kepada Umno-BN atau akan memberi lebih kemenangan kepada PR.

Sama ada secara sembunyi atau secara terang lagi bersuluh SPR merupakan junta yang mana BN bertaut untuk memastikan penerusan kuasa.

Persempadanan semula kawasan Pilihanraya tidak ubah seperti rencah, percaturan dan mekanisma SPR untuk memastikan kemenangan BN.

Inilah kesannya apabila agensi tersebut hilang kredibiliti dan keyakinan orang ramai terhadap badan yang sengaja dibentuk untuk kepentingan Umno-BN.

Beranikah kerajaan pimpinan Najib untuk meletakkan SPR dibawah kuasa parlimen sebagaimana di perjuangkan rakyat sekian lama.

Jawapannya, kita hanya mampu tunggu dan lihat buat ketika ini.

Isu bazar Ramadan Reko Sentral : Exco Selangor Tidak Pernah Campurtangan

Posted: 14 Jul 2013 03:53 AM PDT


tapak bazar ramadan reko sentral 05

SHAH ALAM - Exco Kerajaan Selangor tidak pernah terlibat dalam keputusan menutup bazaar Ramadan di Reko Sentral Kajang yang cuba dieksploitasikan oleh pihak tertentu untuk dijadikan isu perkauman.

Menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Khim, beliau memberi kepercayaan penuh kepada Datuk Bandar atau Yang Dipertua dan Ahli Majlis untuk membuat keputusan terbaik untuk kawasan selian masing-masing.

"Saya berterima kasih kepada rakan Exco saya. Setakat ini mereka juga tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal di bawah bidang kuasa saya," kata beliau ketika menjawab dakwaan bahawa exco Kerajaan Selangor mengarahkan penutupan bazar itu.

"Jadi segala tuduhan mengatakan saya campurtangan dalam isu ini adalah tuduhan yang melulu. Itu adalah satu fitnah.

teng mugshot t shirt 01"Saya berharap semua pihak yang kecewa dengan mana-mana keputusan MPKj, jangan salahkan saya.

"Saya tidak pernah campurtangan walau untuk satu kes pun khususnya dalam bulan Ramadan ini jagalah kata-kata. Itu fitnah maka tanggunglah dosa sendiri," katanya ketika ditemui TVSelangor.

Pada 11 Julai lalu, Pegawai Korporat dan Perhubungan Awam MPKj, Kamarul Izlan Sulaiman berkata, keputusan menutup bazaar Ramadan itu dibuat selepas mendapat aduan daripada pengurus kedai di kawasan komersil Reko Sentral Kajang.

Menurut Kamarul Izlan, keputusan itu bagi mengelak salah faham antara pengurus kedai dan penjaja di bazar tersebut. Ia juga bagi mengelakkan kesesakkan lalulintas di kawasan komersial itu.

Ekoran daripada keputusan itu, penguatkuasa MPKj telah menutup Jalan Reko Sentral 2 bagi memastikan penjaja tidak dapat mendirikan gerai mereka dan menghalang sebarang usaha untuk menghidupkan kembali bazar itu.

Beberapa blog cuba mengeksploitasikan keputusan itu dengan mendakwa ia dibuat oleh Exco bukan Islam Kerajaan Selangor iaitu Teng, Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), Hannah Yeoh dan dua Exco Kerajaan Negeri, Ean Yong Hian Wah dan Elizabeth Wong.

Di dalam responsnya hari ini, Teng berkata sejak mengalas tugas pada hari pertama, beliau telah berkali-kali berkata akan memberi kepercayaan penuh kepada PBT, Yang dipertua dan Datuk Bandar bagi menguruskan hal ehwal kawasan masing-masing.

"Setakat ini saya masih berpegang teguh kepada prinsip tersebut dan tidak pernah saya campurtangan dalam apa-apa keputusan yang dibuat oleh PBT," katannya selepas program walkathon 'Charity Walk – The World My Homeland' di Taman Botani Negara di sini.

walkathon taman botani peserta cina 01

Lebih Banyak Lagi Surau Selangor Akan Dinaiktaraf Ke Masjid

Posted: 14 Jul 2013 03:50 AM PDT


sallehin bazarena ramadan malawati 01

SHAH ALAM  : Kerajaan Selangor akan menaiktaraf lebih banyak lagi surau-surau di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai penduduk Islam menunaikan Solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, masjid-masjid yang sedia ada belum dapat menampung kira-kira tiga juta penduduk Islam Selangor untuk menunaikan Solat Jumaat dalam keadaan selesa.

Katanya, masjid di Selangor tidak dapat menampung jumlah umat Islam yang besar sehinggakan ada yang solat di luar kawasan masjid dalam keadaan kurang selesa.

"Rakyat yang berugama Islam di Selangor adalah kira-kira 3 juta orang dengan lelakinya adalah 1 juta maka setiap masjid secara puratanya perlu menampung lebih 1,800 orang.

"Jika sesuatu kawasan itu kurang kemudahan maka kerajaan Selangor akan membina masjid bagi memudahkan jalannya untuk pembinaannya.

"Maka jika di sesuatu kawasan itu juga ada surau yang boleh dinaiktarafnya menjadi masjid maka kerajaan negeri akan membantu usaha itu bagi memudahkan masyarakat," kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Program "Kariah Ramadhan Perdana" di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 di sini.

Karnival ibadah besar-besaran "Kariah Ramadhan Perdana" dianjurkan Kerajaan Selangor dari 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan tema "My Best Ramadhan".

Karnival itu yang diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam itu bermula dengan Majlis Tazkirah Ramadhan pada jam 6.00 petang.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Penghuni Flet Taman Permata : Sudah 15 Tahun Janji Umno-BN Tidak Ditepati

Posted: 14 Jul 2013 03:48 AM PDT


flet taman permata demo 01

DENGKIL,  : Sudahlah tempat tinggal mereka diambil untuk membangunkan Putrajaya, rumah ganti yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan Umno-BN ketika itu hanya tinggal janji dan rumah sementara pula tidak selamat didiami.

Itulah nasih kira-kira 400 buah keluarga yang merupakan "penduduk asal" Putrajaya yang sudah 15 tahun tinggal di dalam Pangsapuri Taman Permata, yang dinding dan silingnya mulai retak sejak mereka mulai tinggal di situ.

Malah ada sekumpulan penduduk yang terpaksa duduk di dalam khemah di tempat letak kereta pangsapuri itu kerana takut bangunan rumah mereka akan roboh setelah retakan menjadi lebih teruk sebulan lalu.

Wakil penduduk, S.Thangaraju, 51, berkata, Kerajaan Persekutuan sebelum ini sudah berjanji untuk membina rumah teres satu tingkat sebagai ganti kepada tanah mereka yang diambil bagi memberi laluan kepada Putrajaya.

Menurutnya, dua buah memorandum telah diserahkan penduduk kepada Kerajaan Persekutuan sejak Jun lalu bagi mendapatkan status mengenai kediaman mereka, namun sehingga kini masih tiada maklumbalas.

"Kerajaan Persekutuan kata rumah ini masih selamat untuk diduduki, penduduk tidak perlu bimbang kerana Kerajaan akan bantu selesaikan masalah kami.

"Kerajaan Selangor pernah maklumkan sebelum ini bahawa mereka sudah sediakan tanah tetapi Kerajaan Persekutuan tidak mahu bekerjasama dan dakwa Kerajaan Negeri hanya berbohong kepada rakyat.

flet taman permata retak 01

"Sudah 33 hari kami di sini, tetapi tiada satu bantuan atau kata putus daripada pihak Kerajaan Persekutuan pun berhubung perkara ini," katanya apabil ditemui.

Tambahnya, penduduk sebelum ini dijanjikan untuk menduduki pangsapuri berkenaan secara sementara sebelum kediaman mereka siap sepenuhnya, tetapi setelah 15 tahun menanti, janji hanya tinggal janji.

Katanya, penduduk Blok 5 terpaksa berkhemah di bahagian tempat letak kereta selagi Kerajaan Pusat tidak menunaikan janji mereka untuk membina rumah baru.

"Kerajaan kata ini cuma rumah sementara, tetapi persoalannya adakah 15 tahun itu dikira sebagai sementara?

"Menteri daripada MIC ada datang ke kawasan ini dan kononnya berjanji untuk membantu kami dengan mengemukakannya di Parlimen, tetapi itu semua janji palsu," katanya lagi.

Penduduk pangsapuri kos rendah itu terdiri daripada 400 penghuni sementara yang merupakan bekas pekerja di Ladang Perang Besar, Medingly, Galloway dan Sedgley.

Apabila mereka berpindah 14 tahun lalu mereka dijanjikan rumah teres satu tingkat.
Sehingga kini, janji tersebut tidak ditepati.

Ketika ini, sebahagian daripada penduduk sudah 33 hari 'berumah sementara' di dalam khemah yang disediakan oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) selepas dikejutkan gegaran kuat.

Pada 13 Julai, Exco Pekerja Ladang, Kemiskinan, Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata Kerajaan Negeri akan memperuntukkan tanah 30 ekar kepada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Peruntukan tersebut bagi membolehkan kerajaan persekutuan melakukan kerja-kerja pembinaan rumah seperti yang dijanjikan mereka sebelum ini.

flet taman permata retak 02

DAP sedia bantu Kerajaan tangani rasuah

Posted: 14 Jul 2013 03:42 AM PDT


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
 
SHAH ALAM - DAP menawarkan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memerangi gejala rasuah yang makin meruncing dalam negara ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, tawaran ini dibuat demi kepentingan semua berdasarkan kaji selidik Transparency National (TI) yang menunjukkan kerajaan semakin hilang arah dalam membasmi gejala itu.

Katanya, apa yang ditawarkan DAP ini amat kena pada waktunya di saat rakyat Malaysia leka disuap dengan pelbagai mainan sentimen agama dan perkauman oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang boleh menggugat keharmonian dan perpaduan Malaysia.

"Negara mengalami kerugian akibat rasuah sekitar RM27 bilion setahun.

"Malah menghampiri satu trilion ringgit dalam tempoh 10 tahun seperti yang dianggarkan Laporan Global Financial Integrity yang berpusat di Washington," jelasnya yang dipetik dari blognya, hari ini.

Februari lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaji selidik TI yang meletakkan Malaysia dalam kategori negara berisiko rasuah dalam perbelanjaan dan operasi ketenteraan dijalankan secara berat sebelah.

Menurut Ahmad Zahid, hasil kaji selidik berkenaan juga merupakan persepsi oleh organisasi berkenaan yang tidak semestinya benar.

"Kita tak izinkan rasuah dan tidak izinkan perkara yang boleh jejaskan imej negara tetapi itu pandangan mereka. Tidak semestinya benar pandangan mereka.

Negara mana yang tidak dianggap rasuah? Itu persepsi mereka. Mereka yang tentukan standard.

"Dari awal lagi dari segi kajian telah berat sebelah. Jika kita belajar tentang metodologi kaji selidik, ini adalah metodologi kaji selidik yang berat sebelah," katanya.

Dalam pada itu, kajian yang dikeluarkan TI-UK itu, seperti dilaporkan, menyebut Malaysia mendapat markah D- dan setanding dengan negara seperti Bangladesh, Pakistan, China, Russia, Kazakhstan dan Jordan.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang mendakwa, parti-parti politik dan pihak polis merupakan antara dua institusi yang dikenalpasti paling korup.

"Skala rasuah yang dicatatkan untuk polis mencecah angka 4.0 manakala parti politik pula sebanyak 3.8.

"Menurut laporan terkini Barometer Indeks Rasuah Global TI Malaysia yang dikeluarkan pada bulan Mac 2013, hanya 31 peratus responden merasakan bahawa kerajaan mengambil langkah efektif membanteras rasuah.

"Ini menunjukkan penurunan berbanding tahun 2011 iaitu sebanyak 49 peratus," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng turut melahirkan rasa sedih apabila bekas Presiden TI Malaysia yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low terus berada dalam sindrom penafian bila mana beliau seolah-olah tidak peduli kepada laporan buruk indeks rasuah yang didedahkan.

"Kita sedih bila beliau kata rasuah ini adalah gejala global dan bukan hanya libatkan Malaysia sahaja.

"Kita tak nafikan tetapi iltizam kerajaan kita tidak seperti negara lain contohnya China yang sangat serius memerangi rasuah di mana bekas menterinya yang disabit kesalahan itu dijatuhi hukuman mati," kata Guan Eng.

Tambah membimbangkan, wabak rasuah ini jelasnya lagi seperti dibaja apabila ia dilihat menjadi budaya amalan kerajaan BN.

"Jika rasuah tidak dibanteras habis-habisan, Malaysia akan mati. Tapi, jika rasuah diperangi, BN akan mati,"dakwanya lagi.

Justeru, Guan Eng berharap supaya kerajaan persekutuan yang dikepalai BN sedia untuk membuktikan caca-marba rasuah yang berlaku dalam negara ini dihapuskan

"Perkara ini boleh dilaksanakan melalui peruntukan undang-undang dan bukan sekadar mainan di mulut sahaja," kata beliau.

Salahuddin: 'Saya takkan lagakan Idris, Ahmad'

Posted: 14 Jul 2013 03:38 AM PDT

SINAR HARIAN
Salahuddin Ayub
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 
KUALA BESUT - Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub berbeza pendapat berhubung pendekatan kempen parti yang menggunakan isu kononnya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh tidak sehaluan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut.

Beliau berkata mengeksploitasi dakwaan wujud pergeseran Idris-Ahmad sebenarnya bukan strategi kempen parti itu dalam PRK itu. "Pas tidak akan guna isu itu," katanya dalam sidang media di markas parti itu di Kampung Baharu di sini hari ini mengulas pendekatan penceramah Pas yang memainkan isu kononnya Ahmad dan Idris tidak sehaluan.

Kenyataan itu dilihat bertentangan dengan saranan Datuk Husam Musa selaku Pengarah Pilihan Raya Pas bagi Pilihan Raya Kecil berkenaan yang sebelum ini meminta penyokong Idris supaya mengundi calon Pas bagi mengimbangi kuasa politik kem Menteri Besar.

Husam dilaporkan berkata kemenangan Pas di Kuala Besut secara tidak langsung merupakan kejayaan bagi pihak Idris yang juga bekas Menteri Besar Terengganu. - Bernama

Ops Piramid dilancar jaga rakyat Malaysia di Mesir

Posted: 14 Jul 2013 03:36 AM PDT

SINAR HARIAN
 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan Malaysia sedang bekerjasama rapat dengan pihak keselamatan Mesir bagi memastikan rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar, berada dalam keadaan selamat di negara itu, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
  
Beliau berkata pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Duta Malaysia di Mesir telah mengadakan perjumpaan dengan pihak keselamatan Mesir iaitu National Security Of Egypt untuk mendapatkan bantuan mereka bagi memberi perlindungan keselamatan kepada pelajar-pelajar Malaysia.
  
"Saya selaku menteri yang diberi tanggungjawab terhadap rakyat Malaysia di sana, termasuk mengendalikan urusan keluar jika perlu, sentiasa memantau keadaan di sana dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Wisma Putra, MKN, Kementerian Pendidikan, Kedutaan Malaysia di Mesir dan Kementerian Pertahanan.
  
"Setakat ini, tiada kejadian tidak diingini berlaku ke atas rakyat Malaysia, khususnya pelajar-pelajar kita di sana," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
  
Beliau berkata di bawah Ops Pyramid, pegawai-pegawai MKN telah memantau dan membuat persediaan perlu sekiranya keselamatan pelajar Malaysia tergugat akibat pergolakan di negara berkenaan sejak 7 hingga 11 Julai lepas.

MKN dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
  
Hishammuddin berkata segala persediaan awal telah disusun dari penempatan pelajar Malaysia di Kaherah, Tanta sehingga ke Iskandariah dan akan bertindak membawa mereka keluar pada bila-bila masa, sekiranya diperlukan.
  
"Pihak MKN dan kedutaan sendiri telah berjumpa dengan pelajar-pelajar kita dan memberi jaminan bahawa kerajaan Malaysia akan lakukan apa saja untuk kepentingan serta keselamatan mereka," katanya.
  
Beliau berkata setakat ini, pelajar-pelajar Malaysia masih belum dibawa pulang kerana sedang menghadapi peperiksaan sehingga 8 Ogos depan.
  
"Mereka akan terpaksa mengulangi pengajian satu tahun lagi dan menduduki peperiksaan semula tahun hadapan sekiranya mereka dibawa pulang pada ketika ini," katanya.
  
Sehubungan itu, katanya, kerajaan akan sentiasa memantau keadaan keselamatan mereka di negara berkenaan selain mendapatkan bantuan daripada pihak keselamatan Mesir untuk melindungi pelajar-pelajar Malaysia. - Bernama

Nurul Izzah: Pakatan fail saman terhadap SPR berhubung dakwat kekal Isnin ini

Posted: 13 Jul 2013 06:08 PM PDT

Oleh Hasbullah Awang Chik

Nurul Izzah bercakap di sebuah forum di Kuala Lumpur. - Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 13 Julai, 2013.Nurul Izzah Anwar mengumumkan Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan saman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Isnin ini berhubung isu kemelut dakwat kekal yang mencetuskan kontroversi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar membuat kenyataan palsu berhubung dakwat kekal serta kandungan nitrat perak yang terkandung dalam dakwat berkenaan.

"Kami mempunyai bukti dan dokumen yang cukup untuk menyaman SPR.

"Mereka tidak boleh menukar kenyataan berhubung kandungan nitrat perak daripada lima ke tujuh peratus ke satu peratus dan kemudiannya mengumumkan hanya pewarna makanan," katanya dalam satu forum yang diadakan di Kuala Lumpur hari ini.

PR akan mengumumkan secara rasmi mengenai saman itu dalam satu sidang akhbar di Parlimen pada Isnin.

Naib Presiden PKR itu juga menyifatkan kegagalan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) dalam membawa 22 syor PR dalam penambaikan perjalanan pilihan raya adalah disebabkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mempunyai suara majoriti sekaligus mengetuai suruhanjaya berkenaan.

"BN mempunyai ahli yang ramai dalam suruhanjaya berkenaan manakala Ahli Parlimen PR mempunyai suara sedikit bagi membantah usul yang diutarakan suruhanjaya berkenaan.

"Cadangan ahli parlimen PR seperti Dr Mohd Hatta Ramli, (Mohamed) Azmin Ali dan Anthony Loke tidak mendapat perhatian sewajarnya daripada PSC. Cadangan yang dikemukakan seperti pendaftaran pengundi secara automatik apabila berumur 21 tahun dan parlimen dibubarkan selepas empat tahun berlangsung turut tidak dilaksanakan," katanya ketika berucap di siri seminar pasca pilihan raya yang dianjurkan Majlis Peguam, hari ini.

Beliau menggesa SPR supaya lebih telus dalam menjalankan proses persempadanan semula yang dijangka dilakukan pada penghujung tahun ini.

"SPR dilihat cenderung memberi kemenangan kepada BN dengan memperluaskan kawasan yang dimonopoli mereka seperti memecahkan kawasan di Sungai Besar, Selangor namun menyatukan kawasan yang tidak diungguli mereka dengan mencantumkan kawasan parlimen Ampang dan Pandan," katanya.

Antara syor yang diketengahkan PSC pada April tahun lalu ialah memberi kemudahan kepada rakyat Malaysia di luar negara sama ada mengundi di perwakilan Malaysia atau secara pos; memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas SPR dan media serta membenarkan pra pendaftaran seseorang warganegara untuk didaftarkan sebagai pemiilih apabila mencapai umur 20 tahun

BN digesa tunai cadangan pembaharuan p'raya PSC

Posted: 13 Jul 2013 06:01 PM PDT

 


 
Ketika selera parti pemerintah terhadap pembaharuan menjadi malap selepas pilihan raya umum, Ahli Parlimen Lembah, Nurul Izzah Anwar hari ini mengingatkan BN tentangnya hutangnya kepada rakyat untuk melaksanakan pembaharuan pilihan raya.

"Kita tidak cuba untuk memulakan sesuatu yang baru. Tiada pelan tindakan yang perlu disediakan.

bar council seminar on ge13 130713"Hanya memastikan kerajaan hari ini melaksanakan cadangannya sendiri," katanya di siri seminar selepas pilihan raya anjuran Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau merujuk kepada cadangan 22 perkara oleh jawatankuasa terpilih Parlimen (PSC) mengenai pembaharuan pilihan raya yang diterbitkan tahun lepas.

Nurul Izzah berkata majoriti cadangan itu sebenarnya dibuat oleh BN sendiri kerana cadangan Pakatan Rakyat ditolak  oleh majoriti anggota gabungan itu dalam jawatankuasa tersebut.

Antara pembaharuan yang terhutang itu, tegas Nurul, ialah pra-pendaftaran pengundi ketika berusia 20 tahun, pembubaran Parlimen hanya selepas empat tahun dalam penggal, akses yang bebas dan adil kepada media, dan pembiayaan politik berdasarkan kerusi dan undi yang diperolehi.

'Tiada revolusi'

Nurul berkata Pakatan komited untuk mengubah sistem yang cacat melalui sistem itu sendiri dan tidak mempunyai niat untuk "revolusi".

Katanya, Pakatan malah bersedia untuk membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah penelitian Parlimen, tetapi butiran mengenai cadangan itu tidak diperolehi.

Najib dalam ucapannya sempena hari jadi Yang di-Pertuan Agong pada bulan Jun, membuat pengumuman untuk meletakkan SPR di bawah Parlimen tetapi sejak itu tidak mengulas mengenai  perkara itu.

Di samping itu, Nurul turut melahirkan kekecewaannya terhadap Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shahidan Kassim yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Parlimen yang menurutnya, tidak mengambil perkara ini dengan serius.

Buat masa ini, Nurul yang juga naib presiden PKR berkata Pakatan merancang untuk menyaman SPR atas kegagalan dalam pilihan raya umum lepas tetapi enggan mengulas lanjut.

"Peguam minta supaya maklumat mengenainya hanya didedahkan pada hari Isnin, jadi itu saja yang dapat saya katakan," katanya  sambil menambah Pakatan juga akan meneruskan siri petisyen pilihan raya.

bar council seminar on ge13 130713 manogaranKemudian, anggota SPR, P Manogaran berkata suruhanjaya itu
tidak pernah lupa tentang pembaharuan tersebut dan masih mengkajinya.

"... kami telah menubuhkan kumpulan-kumpulan untuk mengkaji setiap cadangan tersebut," katanya.

Antara yang dalam proses dilaksanakan, kata beliau, ialah pra-pendaftaran pengundi bagi mereka yang mencapai umur 20 tahun.

Di samping itu, katanya, jawatankuasa berkenaan telah melaksanakan beberapa cadangan sebelum pilihan raya umum lalu seperti pengundian awal dan pengundian di luar negara.

Bagaimanapun, Manogran (kiri) enggan mengulas lanjut mengenai kontroversi dakwat kekal dan menegaskan bahawa laporan mengenai perkara itu akan dikeluarkan tidak lama lagi.

Beliau juga mengakui kelemahan dalam pilihan raya umum lepas, yang antaranya telah menyebabkan pengundi terpaksa berbaris panjng dan tidak selesa.

"Saya memohon maaf untuk itu, perancangan telah dilakukan dengan baik tetapi mereka yang melaksanakannya di bawah tidak melakukan tugas yang baik," katanya.

1,000 redah hujan renyai saksi pelancaran 'Ubah Air'

Posted: 13 Jul 2013 05:58 PM PDT

 


 
Maskot DAP, burung kenyalang Sarawak atau enggang, telah berjaya dilancarkan di pantai Sungai Pinang pagi ini.

Kira-kira 1,000 penyokong menunggu selama kira-kira 15 minit tanpa menghiraukan hujan renyai, dengan berbekalkan payung dan kamera, untuk menyaksikan patung burung itu dilancarkan oleh Ketua Menteri yang juga Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

water ubah launch  130713Suasananya umpama satu pesta ketika orang ramai menunggu pelancarannya ketika mereka mendengar ucapan oleh Lim; pencipta Ubah, Ooi Leng Hang; anggota jawatankuasa kerja pusat DAP Sarawak, John Brian; pengerusi DAP negeri, Ketua Chow Kon Yeow dan Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang.

Ooi berkata maskot itu yang pertama kali diperkenalkan kepada orang ramai sewaktu pilihan raya negeri Sarawak lalu, melambangkan "harapan, dedikasi dan perubahan".

Beliau berkata, burung kenyalang dihormati oleh orang asal dan boleh didapati di kawasan tanah tinggi hutan.

Katanya, idea untuk mencipta maskot itu didorong oleh pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng, yang berbincang dengannya bagaimana untuk menggabungkan simbol parti itu dengan budaya Dayak di Sarawak.

water ubah launch 130713Menurutnya lagi, ia bukan satu tugas yang mudah pada mulanya tetapi kemudian mereka berjaya mencipta maskot yang melambangkan kebebasan, kesaksamaan dan perubahan, bukan sahaja untuk Sarawak tetapi untuk semua rakyat Malaysia.

Dalam ucapannya, Brian berkata burung kenyalang dianggap sebagai "burung berkedudukan tertinggi" oleh masyarakat Iban.

"Setiap tahun semasa sambutan Gawai, kami mempunyai satu upacara untuk mengiktiraf Kenyalang," kata Brian, yang juga seorang Iban.

TPM: Rumah 'durian runtuh' untuk penduduk Kuala Besut

Posted: 13 Jul 2013 05:52 PM PDT



 
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengambil kesempatan berkempen pada hari kedua pilihan raya kecil DUN Kuala Besut apabila merasmi majlis pecah tanah untuk pembinaan Pangsapuri Mampu Milik 4 Tingkat di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut.

Pangsapuri yang bernilai RM 10.35 juta itu mempunyai 72 unit rumah tiga bilik.

Perumahan itu disediakan khususnya kepada penduduk di Pengkalan Atap, Besut yang dilanda di air pasang besar menyebabkan hakisan pantai dan membahayakan keselamatan mereka memandangkan ombaknya melepasi atap rumah.

Muhyiddin dalam ucapan perasmian itu menganggap pembinaan yang dibuat oleh kerajaan Terengganu sebagai 'durian runtuh' apabila memetik ucapan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebelum itu yang menyatakan pangsapuri itu  "mungkin diberi percuma", memandangkan mangsa tidak berkemampuan untuk memiliki dan membayarnya.

"Saya tidak faham apa yang dimaksudkan oleh MB tadi. Mungkin nak bagi percuma kot.

"Ini agak istimewa, kumpulan yang terpaksa dipindahkan dari tepi laut dilambung ombak besar dan berlaku hakisan... Ini satu durian runtuh dan kita perlu mengucap syukur kepada Allah SWT.

"Ini inisiatif yang dilaksanakan. Dasar kita tidak membeza-bezakan orang miskin. Kita tidak abaikan orang susah, yang tidak terbela. Itu bukan dasar BN.

"Kalau ada pihak atau kumpulan tertentu kata dasar BN tidak selaras dengan kita nak cabar kerana, (dasar) perumahan adalah tuntutan agama, kerja amal dan diiktiraf oleh Islam," katanya.

Menurutnya lagi, soal kebajikan rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan tidak bercanggah dengan Islam, malah Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempertikaikan kerja-kerja amal yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Sebelum itu, Ahmad Said dalam ucapannnya berkata kerajaan negeri memutuskan untuk memindahkan penduduk ke kawasan tersebut yang merupakan tanah kerajaan, malah, rakan-rakan mereka yang tidak mempunyai rumah juga akan ditempatkan di kawasan ini.

"Mereka ini miskin, kita tidak jual kepada mereka. Tuan-tuan boleh faham maksud ayat itu. Mereka mungkin tinggal percuma di rumah ini," katanya

Menurutnya lagi, 500 unit rumah lagi akan dibina di Kuala Besut dan menafikan majlis itu dibuat kerana pilihan raya kecil itu, sebalik ia telah dijadual lebih awal sewaktu bekas ADUN dan exco Datuk A Rahman Mokhtar masih hidup.

BERSIH 4.0 jika persempadanan semula tanpa bersih daftar pemilih

Posted: 13 Jul 2013 05:49 PM PDT



 
Gabungan reformasi pilihan raya, BERSIH, mengancam untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meneruskan persempadanan semula tanpa pembersihan daftar pemilih terlebih dahulu.

"... apa yang saya boleh beritahu ialah kami akan melakukan yang terbaik supaya (persempadanan semula) tidak berlaku sebelum daftar pemilih dibersihkan.

"Ia adalah serius, iaitu mesej yang ingin saya sampaikan," kata Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk  S Ambiga kepada wartawan selepas forum pembaharuan pilihan raya di ibupejabat Majlis Peguam di Kuala Lumpur hari ini.

Ambiga masih berharap SPR tidak akan meneruskan persempadanan semula sehinggalah integriti daftar pemilih terjamin.

"Ianya mudah, apa yang mereka perlu lakukan adalah mengatakan bahawa kita akan berhenti dan bersihkan daftar pemilih terlebih dahulu," katanya.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata proses persempadanan semula akan bermula pada akhir tahun ini.

Dua NGO buat laporan polis berhubung `blogger seks’ persenda Ramadan

Posted: 13 Jul 2013 05:48 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan dua bekas penuntut National University of Singapore mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar makanan yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.

Pengerusi Usahanita Cawangan Kulaijaya, Mazanah Mohammad Zain dan Timbalan Pengerusi Persatuan Diabetes Malaysia Cawangan Tanjung Puteri, Fauziah Abdullah membuat laporan berkenaan di Balai Polis Tampoi, Johor Bahru.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan berkenaan, Mazanah, 56, menyifatkan perbuatan pasangan itu sebagai menghina kesucian Islam dan tidak wajar dilakukan atas dasar menghormati masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

"Saya menerima satu sistem pesanan multimedia (MMS) mengenainya pada jam 9.30 pagi ini ketika berada di rumah.

"Saya sangat marah kerana perbuatan ini mempersendakan agama Islam dan sehubungan itu saya mahu pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," katanya.

Akhbar hari ini melaporkan, pasangan Tan Jye Yee, 25, dan Vivian Lee, 24, mencetuskan kontroversi apabila memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh (sup tulang babi)... wangi, enak dan menyelerakan' di laman Facebook mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut meletakkan logo halal pada gambar berkenaan.

Sebelum ini, pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke blog. - Bernama

3 sahabat cedera terkena mercun bola

Posted: 13 Jul 2013 05:43 PM PDT

SINAR HARIAN
KUALA TERENGGANU - Tiga sahabat cedera apabila sejumlah mercun bola milik seorang daripada mereka meletup secara tiba-tiba petang semalam.
  
Kejadian pada pukul 5 petang di Kampung Batu Buruk di sini itu menyebabkan dua remaja lelaki berusia 14 dan 13 tahun cedera parah manakala seorang lagi budak lelaki berusia 12 tahun cedera ringan.
  
Seorang daripada mereka berkata mercun yang diletakkan di dalam plastik itu tiba-tiba berasap dan dia tidak sempat membuangnya apabila ia meletup dan mencederakannya dan dua sahabatnya.
  
"Mercun itu mercun lama," katanya yang cedera ringan ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.  

Tinjauan Bernama di HSNZ mendapati remaja lelaki berusia 14 tahun itu dirawat di unit kebakaran akibat lecur teruk di muka dan keadaannya dilapor stabil.
  
Remaja berusia 13 tahun pula dirawat di wad mata hospital sama dan dijadual menjalani pembedahan untuk membuang serpihan mercun di bahagian mata.
  
Sementara itu keluarga mereka ketika ditemui Bernama enggan mengulas mengenai kejadian yang menimpa anak mereka.
  
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu ACP K. Manoharan ketika dihubungi pula berkata pihaknya belum menerima laporan mengenai kejadian itu. - Bernama

Keadaan makin baik, Azizan mahu buat kenduri

Posted: 13 Jul 2013 05:41 PM PDT


Keadaan makin baik, Azizan mahu buat kenduri
Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah
 
GEORGETOWN - Selepas hampir 67 hari mendapat rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP), keadaan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan dilaporkan stabil dan semakin baik.

Isterinya, Puan Sri Faekah Sheikh Hamzah berkata, keadaannya bertambah baik dan sering dilihat tersenyum setiap kali ahli keluarga dan sahabatnya datang melawat.

"Tan Sri sekarang dalam tempoh pemulihan namun ia mengambil masa untuk beliau kembali pulih sepenuhnya.

"Beliau sudah mampu berkomunikasi namun tidak boleh bercakap dengan lancar sebaliknya akan menggunakan pen dan kertas jika mahu berinteraksi dengan ahli keluarga," katanya ketika ditemui media selepas kunjungan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukriz Mahathir hari ini.

Bersyukur dengan keadaan kesihatan yang semakin baik, Azizan dikatakan berhasrat untuk membuat kenduri dan menyumbangkan seekor lembu kepada HPP.

"Sebelum ini setiap kali Ramadan beliau akan membuat perkara yang sama (menyumbangkan seekor lembu) kepada mana-mana hospital di Kedah namun kali ini beliau memilih memberinya kepada HPP," katanya.

Faekah berkata, Azizan tidak dibenarkan menjalani ibadah puasa tahun ini berikutan keadaan kesihatannya yang memberlukan pemberian ubatan-ubatan secara berterusan.

Beliau berkata, suaminya kini masih lagi makan dan minum menggunakan tiub dan tidak mampu berpuasa sehingga hari ini.

Azizan, 69, yang juga Adun Sungai Limau, menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya pada 9 Mei lalu setelah dimasukkan ke hospital pada 7 Mei akibat komplikasi diabetik.

Beliau dipindahkan ke HPP dari Kedah Medical Centre (KMC) selepas dirawat kerana jangkitan kuman pada kakinya.

MCPF bimbang peningkatan kes keldai dadah libatkan rakyat Malaysia

Posted: 13 Jul 2013 05:39 PM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) menggesa kerajaan mengkaji semula undang-undang dadah ketika ini untuk menangani masalah penyalahgunaan dadah dengan lebih berkesan.

Naib Pengerusi MCPF, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata langkah itu perlu kerana kerajaan berikrar menjadikan Malaysia negara bebas masalah dadah menjelang 2015.

"Masanya sudah tiba untuk kerajaan mengkaji semula pelbagai undang-undang berkaitan isu dadah dan mengambil langkah sewajarnya," katanya pada kenyataan media, semalam.

Beliau berkata, peningkatan jumlah keldai dadah membabitkan rakyat Malaysia, membimbangkan.

"Meskipun diberi kesedaran berkaitan akibat buruk melibatkan diri dalam pengedaran dadah, masih ada rakyat Malaysia yang mudah terpedaya dan sedia mengambil risiko menjadi keldai dadah," katanya. - Bernama,

Menteri: Kita mesti peka sensitiviti agama, kaum

Posted: 13 Jul 2013 05:33 PM PDT

SINAR HARIAN

Tan Sri Joseph Kurup
Tan Sri Joseph Kurup
 
PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pasangan Alvin Tan Jye Yee dan Vivian Lee yang mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik mesej 'Selamat Berbuka Puasa' dalam akaun Facebook sambil menikmati bak kut teh (sup tulang babi).
  
Joseph berkata pasangan terbabit jelas tidak menghormati kaum dan agama lain dan tindakan mereka boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.
  
Beliau melahirkan kekesalan itu ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Bengkel Penyatuan Nasional bertajuk 'Bengkel Perkongsian pelbagai Generasi Malaysia' anjuran Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di Universiti Putra Malaysia, Serdang, dekat sini hari ini.
  
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional Datuk Azman Amin Hassan.
  
Akhbar hari ini melaporkan, pasangan berkenaan yang juga bekas penuntut National Universiti of Singapore mempersendakan bulan Ramadan dengan memuat naik gambar sedang menikmati hidangan dengan kapsyen 'Selamat Berbuka Puasa dengan bak kut teh ... wangi enak dan menyelerakan'.
  
Sebelum ini, pasangan itu pernah mencetuskan kontroversi di Singapura dengan memuat naik gambar dan video lucah mereka ke blog.
  
Joseph, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai tindakan yang boleh dikenakan terhadap pasangan itu, yang tidak peka terhadap sensitiviti agama dan kaum di Malaysia.
  
Mengenai Bengkel Penyatuan Nasional, beliau berkata hasil daripada sumbangan idea dan pandangan peserta dalam sesi dialog itu, satu kertas kerja akan dibuat dalam masa terdekat untuk diserahkan kepada kerajaan.
  
"Objektif bengkel ini adalah untuk mengukur persepsi masyarakat berbilang kaum terhadap dimensi pendorong perpaduan terpilih dengan mencadangkan satu dimensi baharu yang lebih signifikan dan boleh dijadikan amalan masyarakat majmuk di Malaysia," katanya.
  
Beliau berkata bengkel tersebut dapat merumuskan kaedah dan pendekatan untuk menambah baik dan mengukuhkan hubungan pelbagai kaum dan agama pada masa depan. - Bernama

Lewat agihan punca harga ayam melambung

Posted: 13 Jul 2013 05:30 PM PDT

SINAR HARIAN
Ayam

SHAH ALAM – Pakar ekonomi berpendapat harga ayam akan kembali stabil menjelang perayaan Aidilfitri ini.

Pensyarah dari Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharudin berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menangani sebaik mungkin isu tersebut dengan pelbagai mekanisme termasuk pada peringkat logistik.

Menurutnya, jika masalah di peringkat logistik dapat diatasi, pengagihan ayam ke semua kawasan akan mengurangkan isu ayam tidak mencukupi.

"Saya dapati, kekurangan ayam tidak berlaku di semua kawasan. Bekalan ayam import juga tidak menjadi masalah, kerana ia dilakukan dengan baik dan mengikut perancangan. Apa yang berlaku adalah masalah di peringkat logistik iaitu pengagihan bekalan ayam yang tidak dihantar mengikut jadual.

"Apabila lewat, akan ada caj tambahan. Kerana itu, harga ayam di pasaran akan naik mendadak. Jika agihan dilakukan mengikut perancangan, sudah pasti, tiada lagi rungutan daripada pengguna," katanya.

 Katanya, perkara itu dipercayai berlaku akibat pertukaran menteri baru-baru ini dan yakin isu ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Mungkin kerana pertukaran Kabinet, ia agak kelam kabut. Rakyat perlu faham, menteri masih baru, yang diberi mandat sekitar bulan lalu dan usaha beliau harus dipuji untuk menyelesaikan kemelut  ini," katanya.

Dr Amir Hussin berkata, kerajaan perlu ada mekanisme tertentu supaya ia tidak akan berulang pada masa akan datang.

"Salah satunya adalah dengan galakan penternakan ayam kampung yang perlu diperluas sebagai bantuan pada masa akan datang.  Isu ternak ini bukan baru. Permintaan lebih tinggi pada Ramadan berbanding Aidilfitri.

"Ia juga boleh menjana pendapatan. Mungkin ia kelihatan remeh, tetapi apabila di implementasikan, sudah pasti, tiada lagi isu kekurangan ayam selain dapat membantu mengurangkan kemelut harga ayam ini," katanya.

Sebelum ini Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bekalan ayam di pasaran mencukupi tetapi tidak menolak kemungkinan berlaku manipulasi harga oleh peruncit dan menyebabkan harga ayam naik secara mendadak sehingga RM9 sekilogram sekarang.

Harga siling ayam di pasaran telah ditetapkan masih pada kadar RM7.80 untuk satu kilogram.

Terima hakikat polis lemah, NGO kecam KDN guna EO sebagai alasan

Posted: 13 Jul 2013 05:28 PM PDT

Oleh Md Izwan dan Mohd Farhan Darwis

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengecam sikap Putrajaya yang masih menyembunyikan hakikat sebenar kadar jenayah yang semakin meningkat serta menggunakan Akta Ordinan Darurat (EO) sebagai alasan, kata NGO pemantau jenayah, MyWatch dan hak asasi manusia, Suaram serta menggesa pasukan polis menerima hakikat kelemahan mereka sendiri.

Pertikaian itu kembali diperkatakan selepas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kebanyakan penjenayah yang ditangkap kerana melakukan kesalahan di negara ini adalah bekas tahanan di bawah EO.

"Kerajaan hendak menubuhkan semula akta seperti EO bagi membolehkan mereka melakukan tindakan tahanan tanpa bicara, dan sesuka hati boleh tahan orang yang mereka anggap sebagai ancaman," kata pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan kepada The Malaysian Insider bagi membidas rancangan Ahmad Zahid yang mahu memperkenalkan akta sama seperti EO bagi membanteras jenayah.

Pengerusi MyWatch itu berkata kenyataan Ahmad Zahid membuktikan polis mengakui kelemahan mereka sendiri kerana polis tidak dapat menjalankan siasatan dan tanggungjawab untuk memelihara keselamatan rakyat Malaysia.

"Tindakan ini sama seperti polis tidak percayakan anggota mereka.

"Ini umpama polis tidak percaya daya saing anggota mereka, dan tahap penyiasatan mereka masih lemah," katanya.

Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.

EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.

Awal minggu ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara (DAP) Tony Pua berkata indeks jenayah yang dikeluarkan polis pada 2012 menyaksikan penurunan terendah dalam satu dekad dengan 145,891 atau 7.6 peratus berbanding 2011.

Malahan, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang turut mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam membabitkan isu kadar jenayah apabila Ahmad Zahid menyatakan jenayah meningkat tetapi kerajaan sebaliknya pula mengeluarkan statistik menunjukkan jenayah menurun.

"Di mana statistik jenayah yang baru? Saya beri soalan ini kepada Ahmad Zahid semasa penggulungan titah Diraja di Parlimen semalam, tetapi dia tidak beri jawapan yang memuaskan," kata Lim, baru-baru ini.

Suaram turut menggesa supaya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan polis tidak menyembunyikan perkara sebenar kerana kepentingan dan keselamatan rakyat lebih mustahak.

"Polis dan KDN harus telus dalam isu kenaikan kadar jenayah di Malaysia. Jika kadar jenayah meningkat kerana kegagalan polis untuk menyelesaikannya maka perkara itu harus diakui dan polis harus memperbaikinya.

"Tiada gunanya kadar jenayah yang sebenar disorok hanya kerana mahu jaga imej PDRM dan KDN. Ini membabitkan keselamatan rakyat," kata Pengarah Eksekutif Suaram, Nalini Elumalai.

Bagaimanapun, Nalini menegaskan pendirian Suaram bahawa tidak wajar menggunakan EO sebagai alasan dan menyifatkan rancangan untuk mewujudkan undang-undang yang sama melanggar hak asasi manusia.

"Kenaikan kadar jenayah tidak boleh diperbaiki dengan mengembalikan undang-undang darurat seperti EO yang mencabul hak asasi manusia dengan membenarkan penahanan tanpa bicara," kata Nalini.

Suaram berkata, undang-undang itu hanya akan menyebabkan polis lebih malas daripada menjalankan tanggungjawab mereka.

"Undang-undang ini terbuka kepada penyalahgunaan kuasa dan boleh mewujudkan 'kemalasan' di kalangan polis untuk menjalankan siasatan terperinci," katanya.

Ahmad Zahid baru-baru ini menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka kembali melakukan jenayah.

Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008

Rumah ganti tidak siap, pelarian perang Lahad Datu hidup dengan RM15 sehari

Posted: 13 Jul 2013 05:22 PM PDT

Oleh Lee Shi-Ian

 Tunggu rumah ganti tidak siap-siap, penduduk Kampung Tanjung Batu bagaikan 'merempat'Bagi rakyat Malaysia, bukan suatu yang menyenangkan untuk menetap di satu-satunya kem pelarian perang.

Bernard Muddin tinggal beratapkan kayu untuk berteduh dari kepanasan matahari Kampung Tanjung Batu di Sabah – tempat yang semakin dilupakan.

Kampung itu antara kawasan pertempuran beberapa bulan lalu, sesuatu yang tidak pernah dilihat oleh rakyat Malaysia selama beberapa dekad.

Ia menjadi perhatian dunia apabila penceroboh bersenjata dari Filipina menceroboh kawasan Lahad Datu pada Fabuari untuk membuat tuntutan bagi 'sultan' mereka.

Pasukan keselamatan Malaysia menyerang dalam perang terbuka. Pada Mac, 65 orang terbunuh, antaranya enam orang awam di kampung berkenaan.

Sekarang tiada lagi tindakan ketenteraan, tiada lagi laporan media, tiada lagi badan bebas atau sukarelawan, tiada badan bukan kerajaan, tiada personaliti berprofil tinggi yang cuba mencari peluang untuk bergambar.

Muddin hanya duduk dan menunggu rumah baru yang dijanjikan siap bulan lalu. Untuk nasi dan makanan kering yang dihantar dua kali sebulan, untuk RM15 sehari yang keluarganya terima dari Jabatan Pertahanan Awam.

"Kami terpaksa mengemas barang dan dipindah oleh pasukan keselamatan ke pusat pemindahan di Dewan Cenderawasih," kata Muddin kepada The Malaysian Insider merujuk kepada tempat pertama mereka dihantar sebelum tiba di kampung itu.

"Selepas pengganas Sulu dihalau keluar oleh pasukan keselamatan Malaysia, kami fikir boleh pulang ke rumah.

"Sebaliknya, kami dapati yang tinggal di Kampung Tanduo hanyalah sekam dan runtuhan rumah kami," katanya.

Isterinya, Siti Rokiah Julpitli duduk di sebelahnya. Mereka ada lima anak akan tetapi tiga orang lemas di laut. Dua anak perempuannya yang  berumur 19 dan 22 turut menetap di pusat pemindahan itu.

Apakah selamat untuk Muddin dan keluarganya bersama 300 orang yang menetap di pusat pemindahan ini?

Kesan perang masih dirasai penduduk Lahad DatuMereka tidak pasti. Ada khabar angin tentang pemberontak Sulu merancang serangan balas dendam tidak lama lagi. Mereka menyorokkan senjata di kampung itu menunggu masa untuk bertindak.
Akan tetapi, Muddin dan keluarganya sudah menetap selama dua bulan dan mereka hanya mahukan hanyalah rumah tetap seperti dijanjikan.

Kontraktor sepatutnya sudah menyiapkan rumah baru mereka, bulan lalu.

Sebaliknya, tidak sampai separuh daripada 26 rumah yang dijanjikan untuk Kampung Tanjung Batu disiapkan. Di kampung lain, kontraktor masih lagi belum mula membina 47 rumah yang juga dijanjikan.

Rumah baru dijanjikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) ketika melawat Kampung Tanduo akhir Mac lalu bagi meninjau kemusnahan dan membuat keputusan terhadap pampasan kepada keluarga terjejas.

MKN membuat keputusan, setiap keluarga yang kehilangan rumah akan diberi rumah baru bernilai RM 50,000. Kontraktor juga dilantik majlis itu.

MKN dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) melawat dua kampung itu bulan lalu untuk melihat perkembangan pembinaan rumah baru.

Rumah ganti tidak siap jejas kehidupan rakyatAda 17 rumah yang rosak teruk atau musnah di Kampung Tanduo, 26 di Tanjung Batu dan 52 di Tanjung Labian. Akan tetapi tidak sebuahpun rumah ganti yang sudah siap.

"Kami diberitahu oleh ketua Kampung Tanjung Batu Mahmud Mallang, rumah kami akan siap pada Jun. Akan tetapi, tiada berita sehingga sekarang," kata Muddin.

Dalam kumpulan 300 orang termasuk kanak-kanak di dua pusat pemindahan di Kampung Tanjung Batu dan Kampung Tanjung Labian, kebanyakan lelaki keluar mencari kerja seperti membantu nelayan atau petani untuk mendapatkan makanan atau wang.

"Kami ada kehidupan lebih baik dan saya memiliki kebun kecil di Kampung Tanduo dan boleh juga memancing. Sekarang, semuanya hilang," kata Siti Rokiah.

Tiada ulasan: