Rabu, 10 Julai 2013

DIALOG RAKYAT

DIALOG RAKYAT


Suhakam: Sosma mungkin langgar hak asasi

Posted: 10 Jul 2013 04:22 AM PDT



 
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bimbang sekiranya Akta Kesalahan Kesalamatan (Langkah-langkah Khas (2012) mengandungi peruntukan yang melanggar hak asasi manusia para tahanan.

Laporan tahunan Suhakam 2012 menyebut, beberapa peruntukan berkenaan tidak selari dengan laporannya pada 2003 berhubung ISA dan saranannya untuk undang-undang keselamatan baru.

Menurut Suhakam, Seksyem 4 Sosma tidak menyediakan peruntukan untuk semakan undang-undang apabila tempoh tahanan dilanjutkan lebih 28 hari.

Seksyen 5 pula, menurut laporan itu, membenarkan polis menghalang akses guaman untuk tempoh sehingga 48 jam.

Seksyen 6, yang turut dipersoalkan, memberi kuasa untuk memintas komunikasi yang boleh mencabul hak peribadi tahanan.

Suhakam juga menggesa agar 15 orang tahanan bawah ISA dibebaskan dan diberikan hak untuk dibicarakan.

Suruhanajaya itu juga mengulangi gesaan agar hukuman mati ditangguh sementara, dan juga menghapuskan hukuman mati mandatori untuk kesalahan mengedar dadah.

'Jangan sampai penjenayah pergi rumah MP'

Posted: 10 Jul 2013 04:08 AM PDT

 


 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyeru agar MP Pakatan Rakyat menyokong usaha menggantikan Ordinan Darurat dengan undang-undang baru untuk mengelakkan lebih ramai individu menjadi mangsa penjenayah.

Usaha itu juga untuk mengelakkan para MP berkenaan turut menjadi mangsa penjenayah terbabit, katanya ketika menjawab satu soalan dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

"Jangan sampai penjenayah yang buta warna (politik) ini pergi rumah Shah Alam (Khalid Samad) dan Gombak (Azmin Ali)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas "realiti" mengenai kejadian jenayah pada waktu ini, yang dibangkitkan Azmin.

Azmin ketika mengemukakan soalan sebelum itu turut membangkitkan mengenai kes rompakan melibatkan kediaman seorang menteri kabinet, Khairy Jamaluddin, pada akhir bulan lalu.

Kejadian itu menyebabkan Khairy tampil dengan kenyataan bahawa kejadian jenayah bukan satu persepsi tapi satu masalah yang nyata.

Mengulas isu yang dibangkitkan Azmin itu, Ahmad Zahid berkata atas alasan itulah beliau meminta semua ahli Dewan menyokong usaha kerajaan untuk menggantikan Ordinan Darurat dengan akta baru.

"EO telah dibatalkan tapi kita mahu EO diganti dengan akta lain. Kita minta persetujuan semua sebab dari segi penangkapan yang berlaku sekarang ini, penjenayah yang ditangkap ialah bekas penjenayah yang dilepaskan oleh EO. Ini realiti," kata Zahid.

Khalid Samad pula, yang disebut oleh Zahid dalam ucapan berkenaan turut bangun dan mendakwa kata-kata itu merupakan satu ugutan kepada para MP Pakatan.

Zahid Hamid pada 4 Julai lalu menyatakan bahawa kementeriannya sedang merangka draf undang-undang baru bagi menggantikan EO.

Beliau berkata demikian bagi menyokong kenyataan pasukan polis sebelum itu, yang mengaitkan peningkatan kadar jenayah berat dengan pembebasan lebih 2,600 tahanan bawah EO selepas undang-undang tersebut dimansuhkan pada 2011.

Bagaimanapun, cadangan untuk  meuwujdkan akta baru bagi menggantikan EO mendapat tentangan antaranya dari Suruhanjaya Hak Asasi Manusia serta parti pembangkang.

PR: Paling lewat selesai penamaan jam 11 pagi

Posted: 10 Jul 2013 04:05 AM PDT

SINAR HARIAN
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof
 
KUALA BESUT - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka proses penamaan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Besut, Jumaat ini, akan selesai selewat-lewatnya pukul 11 pagi.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata proses penyerahan kertas penamaan calon akan dibuka selama sejam bermula 9 pagi di Kompleks Rakan Muda, Kampung Raja Besut di sini.

"Kalau semuanya berjalan lancar, nama-nama calon dijangka diisytharkan menjelang pukul 10.30 pagi atau paling lewat 11 pagi," katanya kepada Bernama hari ini.

SPR menetapkan Jumaat ini hari penamaan calon manakala 24 Julai ini sebagai hari pengundian.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lepas akibat kanser paru-paru.

BN mengumumkan anak tempatan Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, seorang jurutera awam dari Jabatan Pengairan dan Saliran, sebagai calonnya manakala Pas menamakan Endot@Azlan Yusof, 48, seorang kontraktor sebagai calonnya.

Abdul Aziz berkata proses penamaan calon itu tidak akan mengganggu urusan umat Islam setempat dan penyokong parti untuk mengerjakan solat Jumaat.

Beliau berharap kemuliaan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari menyempurnakan kelancaran proses penamaan calon itu.

"Penamaan calon ini adalah langkah pertama PRK ini, kita (SPR) harap semuanya akan berjalan lancar lebih-lebih lagi hari Jumaat adalah cuti umum di Terengganu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, 5 Mei lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut dengan mengalahkan calon Pas Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Dun Kuala Besut mempunyai 17,683 pengundi berdaftar. - Bernama

Pemandu akui pentadbiran Najib lemah tangani rasuah

Posted: 10 Jul 2013 04:04 AM PDT

Oleh Hasbullah Awang Chik

Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) percaya banyak usaha boleh dibuat termasuk mengetatkan akta tertentu dapat mengekang gejala rasuah di negara ini.

Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Anti Rasuah Pemandu, Ravindran Devagunam, berkata kerjasama pelbagai pihak termasuk NGO dan badan profesional juga membantu mengurangkan rasuah.

"Kita mengakui usaha kerajaan belum mencukupi untuk membasmi rasuah, kata. Kita perlu melipat ganda usaha," katanya pada kenyataan media, hari ini.

Berdasarkan kaji selidik Transparency International – Malaysia (TI-M) yang diumum semalam, parti politik dan kakitangan awam termasuk ahli parlimen paling banyak terlibat dengan rasuah.

Kajian sama mendapati kepercayaan rakyat terhadap usaha kerajaan menangani rasuah merosot kepada 31 peratus tahun ini berbanding 49 peratus daripada 1,000 responden pada 2010.

Bagaimanapun, berdasarkan Penunjuk Aras Rasuah Global (GCB), 87 peratus rakyat Malaysia bersetuju orang ramai boleh melakukan sesuatu untuk membanteras rasuah.

Mengulas lanjut, Ravindran berkata, pindaan undang-undang boleh dilakukan kepada Akta Persatuan 1966 bagi mencegah kebocoran dana dalaman dalam parti politik.

"Pendaftar Pertubuhan juga boleh melakukan pindaan menjelang hujung tahun bagi menjamin ketelusan kaedah pengurusan kewangan parti politik," katanya.

Menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memberi keutamaan untuk memerangi rasuah ketika mengumumkan anggota Kabinet Mei lalu. Ravindran berkata, anggota Kabinet juga mengisytihar harta kepada Najib dan SPRM.

Selain itu, katanya, pelantikan bekas Presiden TI Malaysia, Datuk Paul Low sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada kecekapan tadbir urus dan integriti, membuktikan kesungguhan Najib.

Amaran keras SPRM kepada peniaga bazar Ramadan

Posted: 10 Jul 2013 04:02 AM PDT


Peniaga diberi amaran
Peniaga diingat tidak raih keuntungan dengan menjual lot tapak diperoleh - FOTO: SAFWAN MANSOR
 
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegah Rasuan Malaysia (SPRM) mengingatkan peniaga bazar Ramadan  tidak ambil kesempatan meraih keuntungan melalui cara mudah dengan jual lot tapak diperolehi mereka.

Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan  SPRM, Datuk Mohamad Yusoff Akope berkata, tindakan menjual dan ali babakan perniagaan mereka juga termasuk dalam elemen rasuah.

"Pihak kami bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pantau perkara itu. Peniaga telah menandatangani surat akujanji dedikasi yang dimasukkan di dalam borang tawaran untuk tidak terlibat dengan apa-apa unsur rasuah.

"Apabila ada tawaran dilakukan, perkara itu boleh disifatkan sebagai unsur sogokan.  DBKL juga ada tetapkan peraturan pemilik tapak tidak boleh memindah milik atau menjualnya. Sebarang penjualan dianggap sebagai bentuk amalan rasuah dan boleh diambil tindakan jika berserta bukti," katanya kepada pemberita pada sidang media dekat sini semalam.

Katanya, setelah aku janji itu diperkenal, setakat ini tidak ada laporan diterima berhubung perkara itu.

Menerusi Akujanji Penganjur Bazar Ramadan 2013, klausa itu menyebut 'Saya berjanji tidak akan terlibat dalam sebarang perlakuan rasuah sepanjang urusan saya dengan pihak terbabit yang ada kaitan dengan urusan tapak bazar Ramadan dan saya sedar, saya boleh diambil tindakan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 jika saya terlibat dalam perbuatan tersebut'.

Menurut Yusoff, dalam tempoh lima tahun ini pihaknya menerima lebih 20 aduan berhubung salah laku mengenai pengagihan tapak bazar Ramadan khususnya di Jalan Tunku Abdul Rahman dan Masjid India.

"Bagi bendung salah laku itu, SPRM adakan beberapa siri rundingan dengan DBKL untuk bendung isu penjualan tapak bazar Ramadan ini. Sehubungan itu kami temui kata sepakat apabila DBKL menerima syor SPRM untuk memansuhkan 58 tapak kuota khas menteri dan 44 kuota khas persatuan di bawah DBKL," katanya.

Menurutnya, kuota khas itu menjadi isu besar peniaga apabila terdapat aduan tapak-tapak yang bernilai tinggi dijual dengan harga RM20,000 sehingga RM30,000.

Bermula tahun ini, DBKL juga meletakkan syarat tambahan iaitu, setiap pemohon perlu mempunyai lesen penjaja yang dikeluarkan oleh DBKL dan masih sah tempohnya bagi Kawasan Undi-Pusat Bandar sahaja.

Yusoff berkata, empat agensi akan terlibat menjalankan penguatkuasaan dan pantau perjalanan perniagaan bazar Ramadan sepanjang bulan ini.

Hasil tinjauan Sinar Harian di beberapa laman web jualan termasuk Mudah.com mendapati masih ada penjualan tapak dibuat sehingga mencecah RM17,000.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Sosioekonomi DBKL, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya akan tarik lesen peniaga di tapak bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India yang melanggar syarat ditetap pihak berkuasa tempatan.

Lynas tarik balik saman fitnah terhadap SMSL

Posted: 10 Jul 2013 03:59 AM PDT

SINAR HARIAN
Lynas
Lynas
 
KUANTAN - Lynas Corporations Limited dan Lynas Malaysia Sdn Bhd hari ini menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap kumpulan Anti-Lynas 'Save Malaysia, Stop Lynas' (SMSL) di Mahkamah Tinggi Kuantan, di sini.

Keputusan itu dibuat di hadapan Hakim Datuk Seri Mariana Yahya di dalam kamarnya.

Peguam Datuk Bastian Vendargon yang mewakili SMSL ketika ditemui pemberita berkata peguam plaintif, Rishwant Singh memberitahu hakim bahawa kedua-dua syarikat itu mengambil keputusan menarik balik saman tersebut yang dikemukakan mereka pada tahun lepas sebelum prosiding bermula.

Bagaimanapun, katanya, pihak Lynas tidak menyatakan sebarang sebab atau alasan mengapa mereka menarik balik saman fitnah itu.

"Hari ini sepatutnya untuk mendengar permohonan pihak kami untuk mendapat dokumen berhubung kes ini sebelum kami diberitahu bahawa pihak Lynas menarik balik saman ini," katanya.

Beliau berkata Mariana memberitahu kos ganti rugi yang akan dibayar oleh Lynas kepada SMSL akan ditentukan oleh pihak pendaftar.

"Pihak kami akan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan kepada pihak pendaftar bagi menentukan jumlah amaun yang sepatutnya dibayar kepada SMSL secepat mungkin, apa yang paling penting kes ini sudah selesai," kata Vendargon.

Pada 19 April tahun lepas, Lynas Corporation of Sydney, Australia dan Lynas Malaysia menyaman SMSL Sdn Bhd, dua pengarahnya, Tan Bun Teet dan Lim Sow Teow serta tiga sukarelawan iaitu Hang Chong Leung, Lee Chow Fong dan Ismail Abu Bakar, berhubung satu artikel memfitnah yang disiarkan blog kumpulan itu pada 22 Mac tahun lepas di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lynas memohon perintah injunksi memerintahkan SMSL dan lima yang lain membuang artikel bertajuk 'Civil Society Organisations Joint Statement on Lynas Issue: SMSL Malaysian NGO Statement Against Lynas' daripada  blognya sehingga saman itu dilupuskan.

Pada 26 Julai 2012, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk John Louis O'Hara menolak permohonan Lynas untuk mendapatkan perintah injunksi dan memutuskan bahawa pada peringkat itu, mahkamah tidak boleh merumuskan sama ada artikel itu bersifat memfitnah atau sebaliknya, sehingga mendengar keterangan pada perbicaraan penuh kes itu.

Pada 26 September tahun lepas, O'Hara membenarkan permohonan SMSL untuk memindahkan saman itu ke Mahkamah Tinggi Kuantan untuk dibicarakan. - Bernama

Calon Pas mampu buat kejutan, kata Nik Abduh

Posted: 10 Jul 2013 03:53 AM PDT


PRK Dun Kuala Besut

KUALA LUMPUR - "Saya kenal calon ini Che long (Azlan) dan saya rasa dia pilihan terbaik untuk Pas Besut."

Keyakinan itu disuarakan oleh ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz apabila diminta menyatakan pandangannya tentang calon Pas pada Pilihan Raya Kecil (PRK), Dun Kuala Besut, 24 Julai ini.

"Saya yakin masyarakat Besut  akan menerima beliau," katanya lagi ketika ditemui Sinar Harian Online, di lobi Parlimen hari ini.

Dengan nada yakin, Nik Abduh menambah, calon Pas ini mampu memberikan kejutan.

"PRK kali ini sudah pasti sengit.

"Walaupun kita kalah lebih 2,000 undi pada PRU13 lalu kita yakin kita mampu membuat kejutan kerana  PRK adalah berbeza dengan PRU," ujarnya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas.

Che Long atau nama sebenarnya Azlan@ Endut Yusof, 48, merupakan seorang kontraktor Kelas A dan merupakan anak jati Kuala Besut.

Beliau juga merupakan Bendahari Pas Kawasan Besut.

Dalam perkembangan sama, Nik Abduh berkata, Pas tidak mempunyai sebarang halangan untuk berkempen pada bulan Ramadan.

"Saya ingat kita selesa sebab bagi Pas ini peluang terbaik bagi kita untuk  mendekati masyarakat.

"Pada bulan puasa masyarakat tumpu perhatian pada isu ibadah dan puasa, jadi kempen kita lebih mudah," katanya.

Sementara itu, ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, PKR akan sama-sama berjuang bagi memenangkan calon Pas di kerusi terbabit.

"Semua jentera termasuk PKR akan melakukan yang terbaik untuk mendokong dan memenangkan calon PR di Kuala Besut," katanya.

Naib presiden PKR ini turut menyatakan kekecewaannya apabila pimpinan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekarang masih diberi tanggungjawab mengendalikan PRK walaupun kredibiliti mereka dipertikai.

"Mereka harus letak jawatan, kerana kegagalan mereka dalam mengendalikan PRU13 lalu.

"Jadi PR agak kecewa dalam hal ini," katanya.

Tahaluf siyasi terganggu jika PAS tidak dominan?

Posted: 10 Jul 2013 03:51 AM PDT




Oleh Ahmad Lutfi Othman 

Semasa menunggu pesawat untuk pulang ke Kuala Lumpur pagi Ahad lalu, selepas menghadiri Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor sehari sebelumnya di Alor Setar, saya diingatkan oleh seorang teman bahawa usaha untuk menarik PAS daripada Pakatan Rakyat tidak harus dipandang ringan.

Saya ketawa kecil mendengarnya. "Takkan sampai begitu sekali?" tanya saya, serius. "Ketua Pengarang patut lebih tahu," balasnya pantas. Saya mengesan wajahnya; dia juga serius. "Sukar nak percaya ada usaha mahu PAS undur ke belakang dan bertanding secara solo," saya tidak sempat meluahkannya. Dia sudah berjalan ke depan.

Mutakhir ini, banyak persoalan yang timbul, terutama berkaitan isu-isu dalaman parti, termasuk kerjasama dalam Pakatan, juga menyinggung hal-hal sensitif PAS, patut diselidik dan dipastikan kesahihan terlebih dahulu.

Terdapat trend atau kecenderungan yang agak negatif, sehingga perbincangan atau diskusi yang sepatutnya membawa penambahbaikan kepada parti telah tersasar jauh, apatah lagi jika menyangkut faktor-faktor kekalahan dalam PRU13 (atau ada yang menyifatkannya sebagai kemenangan yang tertangguh).

Sesekali apabila melayari media sosial, Facebook, saya tidak dapat mengelak daripada menatap komen-komen nakal, dan ada kalanya serangan peribadi yang agak melampau, sekali gus menyebarkan bahan-bahan fitnah atau 'fakta' yang boleh menimbulkan ketegangan atau permusuhan sesama sendiri. Ruang siber menjadi gelanggang terbuka wacana kritikal, yang bisa "mendedahkan segalanya".

Perbedaan pendapat, hatta membentuk "kumpulan" atau "pasukan" dalam parti, adalah lumrah dan tidak sepatutnya merungsingkan kita, terutama menjelang proses pemilihan kepemimpinan.

Ya, PAS kini sebuah parti besar, berkembang pesat dan mendapat perhatian istimewa masyarakat, selaras slogan "PAS for All". Walaupun mempunyai jumlah ahli Parlimen terkecil berbanding DAP dan KeADILan, tetapi  PAS tetap diakui parti paling tersusun, teramai keahlian, manakala aktivisnya lebih berdisiplin dan komited.

Sedihnya, perdebatan (untuk melonjakkan kemajuan parti) yang sepatutnya berlangsung secara beradab telah dicemari elemen hodoh di luar batasan, dengan bahasa kesat dan terperosok dalam jurang label-melabel. Ia juga terbuka kepada "acara londeh-melondeh".

Keterbukaan media menjadi gergaji bermata dua atau pisau yang boleh membunuh.

Walaupun saya yakin fenomena negatif ini masih terkawal dan lebih ramai yang rasional-waras, namun ia tidak boleh dipandang mudah, bukan hanya disebabkan mampu menggugat keutuhan parti ataupun membantutkan lagi kemenangan, tetapi dibimbangi dapat menghakis ciri-ciri unik gerakan politik Islam.

Apa pun, fikiran saya lebih terganggu dengan peringatan rakan saya tadi -- jika benar ada usaha untuk membawa PAS keluar Pakatan. Bagi saya, ia bukan saja langkah songsang ke belakang, malah mendedahkan kepada "kutukan" penyokong Pakatan yang memberikan sokongan kepada PAS dalam PRU13, dan lebih penting boleh memudarkan integriti Parti Islam.

AJK PAS Pusat, Khalid Samad, ketika membentangkan kertas kerja Tahaluf Siyasi: Ijtihad semasa, teori dan aplikasi, di Seminar Pemikiran Ustaz Fadzil Noor, mengemukakan beberapa persoalan menarik, khususnya mengenai kerajaan campuran dan kongsi kuasa Pakatan di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.

Di negeri-negeri berkenaan, kerajaan tidak dapat dibentuk oleh mana-mana parti secara bersendirian, tidak sepertimana realiti di Kelantan pada 1990 (Angkatan Perpaduan Ummah) dan Terengganu 1999 (Barisan Alternatif), apabila PAS berupaya menerajui kerajaan secara solo.

Lebih unik selepas PRU12 ialah situasi di Perak, Pulau Pinang dan Selangor; mungkin tidak pernah diduga sebahagian pemimpin PAS bahawa dapat berkongsi kuasa bersama DAP dan KeADILan.

"Bagi pimpinan seperti Dr Hasan Ali, bekerjasama dengan KeADILan dan DAP semasa pilihan raya merupakan perkara biasa, tetapi tidak sekali-kali pernah terlintas di pemikiran mereka bahawa PAS akan berkongsi kuasa dengan KeADILan, apatah lagi DAP, dalam dalam keadaan kerusi PAS adalah yang paling kurang," ujar Khalid, merujuk keputusan PRU 2008 di Selangor, PAS hanya memperoleh 8 kerusi, DAP, 13 dan KeADILan, 15.

Bagaimanapun, pada 2013, Pakatan bukan saja terus menafikan majoriti dua pertiga BN di Parlimen, malah meletakkan BN sebagai kerajaan minoriti apabila undi popularnya hanya sekitar 47 peratus. Lebih istimewa di Selangor, bilangan Adun PAS bertambah menjadi 15.

"Memandangkan Tahaluf Siyasi PAS bersama KeADILan dan DAP melalui Pakatan memungkinkan keadaan kongsi kuasa tanpa 'PAS dominan', sama ada di peringkat Negeri atau Persekutuan, amatlah perlu untuk semua khususnya pimpinan PAS meyakini bahawa 'risiko yang sudah diperhitungkan' sememangnya telah benar-benar diperhitungkan dengan tepat dan teliti. Kita perlu yakin, dalam keadaan tidak 'dominan' sekalipun, PAS, dan dengan itu perjuangan Islam, tetap akan mendapat manfaat atau keuntungan," tegas Khalid.

Ahli Parlimen Shah Alam itu turut menjawab kebimbangan jika Pakatan dapat membentuk kerajaan dengan bilangan ahli Parlimen PAS paling kecil. Bagi saya, pandangan Khalid itu wajar ditelaah, termasuk oleh pihak yang mungkin mempunyai pendapat berbeda.   

SPR: Dakwat kekal akan dicelup bukan dicalit pada PRK Besut

Posted: 10 Jul 2013 03:45 AM PDT

THE MALAYSIAN INSIDER

Pengundi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut perlu mencelup jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal yang disediakan pada hari mengundi dan tidak lagi sekadar dicalit oleh pegawai bertugas seperti yang dilakukan pada pilihan raya umum lepas.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (gambar) dalam satu kenyataan mengulangi bahawa penggunaan dakwat kekal merupakan prosedur tambahan pengundian bagi mengelak sebarang percubaan mengundi dua kali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kali ini dakwat kekal akan digunakan pada hari pengundian awal 20 Julai dan pengundian biasa PRK Kuala Besut pada 24 Julai. Selain itu, Abdul Aziz turut menasihati pengundi supaya menyemak senarai pengundi dan memastikan saluran serta tempat mengundi yang betul kerana jika nama pengundi tidak terdapat dalam senarai pengundi di tempat dan saluran yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan mengundi.

Abdul Aziz berkata SPR menetapkan Kompleks Rakan Muda Kg Raja Besut, Kuala Besut sebagai tempat penamaan calon, dan proses penamaan calon bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada 12 Julai.

Beliau menasihatkan para penyokong parti supaya tidak melakukan perkara yang tidak diingini dan melanggar undang-undang untuk memastikan proses penamaan berjalan lancar.

Abdul Aziz turut mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan dalam Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak membenarkan para penyokong atau sesiapa yang mengiringi calon membawa alat-alat muzik, pembesar suara dan membuat ceramah politik pada hari berkenaan.

Ketika proses penamaan calon itu juga hanya calon, pencadang dan penyokong yang dibenarkan masuk ke dalam dewan, katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen hanya bermula selepas pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa ada pertandingan yang akan dijalankan dan kempen akan berakhir pada tengah malam 23 Julai.

Sebuah pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan bagi memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen selaras dengan peruntukan akta berkenaan. - Bernama,

Penahanan enam peguam hak asasi menyalahi undang-undang - hakim

Posted: 10 Jul 2013 03:41 AM PDT

Oleh Rita Jong

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan perbuatan polis menahan enam peguam hak asasi yang mengambil bahagian dalam Hari Hak Asasi pada 2007, menyalahi undang-undang .

Berikutan itu, Hakim Datuk John Louis O'Hara menganugerah setiap plantif RM10,000 sebagai ganti rugi, selain RM60,000 sebagai kos mahkamah.

Mereka ialah R Sivarasa, N Surendran, Latheefa Koya, Eric Paulsen, Amer Hamzah Arshad and Johny Andu @ Abu Bakar Adnan.

Mereka memfail saman pada 8 Disember 2010 terhadap Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara, Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia.

O'Hara berkata:" Mahkamah ini berpeluang melihat rakaman video dan gambar kejadian dan ia banyak membantu mahkamah dalam memberitahu apa sebenanya berlaku pada hari itu.

"Saksi utama ialah Che Hamzah Che Ismail (defendan pertama). Dia kelihatan memberikan arahan yang mengelirukan, konflik dan bertentangan menerusi pembesar suara kepada peserta larian itu untuk bersurai."

Enam peguam itu memfailkan tuntuan sivil pada 8 Disember 2010 terhadap Superintenden Che Hamzah yang pada ketika itu menjawat jawatan Timbalan Ketua Balai Polis Daerah Dang Wangi; Ketua Polis Negara; Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan.

Che Hamzah dinamakan sebagai defendan pertama kerana beliau adalah `komander' untuk operasi menentang acara hari hak asasi manusia itu yang membawa kepada penangkapan tidak sah dan penahanan walaupun beliau sendiri memberi kebenaran kepada peserta untuk berjalan.

Dalam keputusannya, O'Hara berkata, Che Hamzah memberikan masa 10 minit kepada peserta.

"Tetapi, beliau sendiri tidak muktamad dengan arahan itu. Berdasarkan kepada arahannya (daripada rakaman video), saya mendapati ia membawa kepada plantif yakin mereka mempunyai masa 10 minit untuk bersurai," katanya.

Maka, katanya, beliau mendapati penahanan itu tidak sah biar pun mereka dibenarkan berjalan untuk 10 minit.

"Saya juga mendapati plantif dinafikan hak diwakili undang-undang sepanjang tempoh tahanan. Oleh itu, plaintif adalah secara tidak sah ditahan dan tahanan mereka itu juga adalah tidak sah mengikut undang-undang," katanya.

Hakim juga memerintahkan defendan untuk membayar RM5,454 kepada Paulsen untuk tiket penerbangannya pergi balik dari Afrika Selatan ke Malaysia untuk menghadiri prosiding mahkamah.

O'Hara bagaimanapun, memutuskan bahawa Peguam Negara mempunyai prerogative di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan budi bicaranya untuk memulakan prosiding.

Tambahnya, pendakwaan terhadap plaintif di mahkamah tidak dijalankan dengan tidak jujur.

Penangkapan dan penahanan enam peguam hak asasi manusia dan aktivis itu membawa mereka ditahan sepanjang malam dalam lokap polis dan didakwa di Mahkamah Sesyen keesokan harinya dalam perhimpunan tidak sah dengan niat menyebabkan kacau ganggu awam mengikut Seksyen 143 dan 145 Kanun Keseksaan. Mereka juga berdepan tuduhan alternatif di bawah Seksyen 27 Akta Polis atas tuduhan perhimpunan haram.

Selain tangkapan dan tahanan tidak sah itu, peguam dan aktivis itu turut mendakwa mereka adalah mangsa pendakwaan jahat. Mereka berkata, ketika pertuduhan, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berniat tidak jujur apabila membantah permohonan jamin mendakwa mereka tidak mematuhi amaran polis. Mahkamah Sesyen bagaimanapun membenarkan bon personal RM2,000 tanpa penjamin.

Kes mereka didengar pada 16 April 2009 di mana keenam-enam mereka dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Menurut kenyataan tuntutan, mereka mendakwa mereka dibenarkan menyertai jalan kaki aman itu untuk 10 minit tetapi sebelum tamat tempoh 10 minit itu, mereka dikelilingi sekumpulan besar anggota polis.

Mereka berkata, polis mengarahkan mereka bersurai tetapi sementara melakukannya (bersurai), mereka ditangkap.

Defendan pada awalnya memohon membatalkan tuntutan itu dan permohonan itu dibenarkan di Mahkamah Tinggi pada 6 April 2011.

Plantif bagaimanapun, memohon untuk menghidupkan semula tuntutan itu dan dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan pada 27 Julai 2011. Perkara itu kemudian dibicarakan dengan plantif dan defendan masing-masing memanggil sembilan dan 10 saksi.

Peguam, Edmund Bon dan Chan Yen Hui mewakili enam plaintif itu sementara Peguam Kanan Persekutuan, Nadia Hanim Tajudin dan Lailawati Ali mewakili defendan.

Bercakap kepada pemberita, Bon berkata, keputusan mahkamah hari ini adalah `demokrasi hebat untuk hak asasi manusia'.

"Tuntutan ini difailkan untuk menegakkan kebebasan perhimpunan, bukan untuk wang. Ini adalah kemenangan hebat kepada aktivis sosial untuk kebebasan mengadakan perhimpunan," katanya.

Surendran berkata:"Keputusan ini adalah pengakhiran sejarah kepada kekejaman Akta Polis dan ia menunjukkan indikmen kepada pasukan polis.

"Kami ditangkap secara tidak sah dan hak undang-undang kami dirampas. Tangkapan kami bermotivasikan politik di bawah arahan Barisan Nasional untuk menutup mulut pembangkang dan aktivis yang berjuang untuk reformasi negara," katanya.

Sementara itu, Paulsen berkata daripada video, orang ramai boleh melihat peserta jalan kaki itu kira-kira 100 orang tetapi dikepung oleh hamper 500 pegawai polis. "Polis sepatutnya menangkap penjenayah sebenar," katanya.

Biodata Lengkap Calon Pas Pilihanraya Kecil N.01 Kuala Besut

Posted: 10 Jul 2013 03:37 AM PDT

Wartawan Buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/chelong%201.jpgBerikut adalah biodata calon PAS yang akan bertanding pada pilihanraya kecil N.01 Kuala Besut sebagaimana yang telah diumumkan oleh Presiden PAs Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awangdi Kampung Nail, Kuala Besut pada Selasa malam;

Nama :
Haji Azlan @ Endut  Bin Yusof

Umur :
48 tahun

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/IMG_3801.jpgPekerjaan :

Ahli Perniagaan Perkayuan dan
seorang Kontraktor Bangunan dan Kejuruteraan Awam - Kelas A

Asal :
Kampung Baharu, Kuala Besut  (Anak Jati)

Pendidikan:
Sijil Pelajaran Malaysia – Sekolah Menengah Kuala Besut
Sijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian Malaysia

Isteri:
Cik Zabiah Mohammad (44 tahun)

Anak :
6 Orang

Jawatan Dalam PAS:
Bendahari PAS Kawasan Besut

'Che Long' Calon PAS PRK Kuala Besut

Posted: 10 Jul 2013 03:34 AM PDT

Wartawan Buletin

http://buletinonline.net/images/stories/aberita23/chelong%20baiah.jpgBESUT - Calon pilihan ramai, seorang kontraktor Kelas A anak jati Kuala Besut Haji EndUt @ Azlan Yusof, 48, telah diumumkan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan akan mewakili PAS untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) N.01Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut.

Beliau yang lebih dikenali oleh penduduk setempat sebagai 'Che Long' adalah aktivis PAS memegang amanah sebagai Bendahari PAS Kawasan Besut sejak tahun 2009 ditabalkan sebagai calon PRK pada jam 11.40 malam di Majlis Pengumuman Calon PAS di Kampung Nail, Kuala Besut pada Selasa malam, 9 Julai .

Pengumuman itu turut menamatkan teka-teki penduduk DUN Kuala Besut tentang siapakah 'gerangannya' yang dipilih PAS menentang calon Barisan Nasional (BN), Tengku Zaihan Che Omar yang yang diumumkan pada petang Selasa oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada majlis tersebut calon PAS, Haji Endut @ Azlan turut melafazkan bai'ah, janji setia bersama parti dan rakyat, menuruti setiap patah perkataan yang diucapkan oleh Presiden PAS di hadapan hadirin melebih 5,000 orang [Gambar Atas]

Beliau mempunyai kemahiran dan kepakaran dalam kerja-kerja binaan bangunan dan kejuruteraan awam mendapat pendidikan sehingga Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebelum menlanjutkan pengkhususan dalam bidang terbabit dan memilikiSijil Kontraktor Institut Latihan Perindustrian .

Che Long lahir dan bersekolah di peringkat rendah dan menengah di Kuala Besut merupakan tokoh tempatan yang cukup mesra dengan penduduk persekitaran kawasan Dun Kuala Besut.

Beliau mempunyai seorang isteri bernama Che Zabiah Mohammad, 44, serta mempunyai enam orang anak berumur antara dua hingga 18 tahun.

Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasotion, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Nik Muhammad Zawawi Salleh, Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut serta pimpinan PAS Terengganu.

Penghakiman kes Kugan kembalikan semula kontroversi IPCMC

Posted: 09 Jul 2013 07:26 PM PDT

Oleh V Anbalagan

Tanyakan apa sahaja kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, beliau akan jawab.

Tetapi, jangan sesekali tanya cadangan kontroversi yang dibuatnya ketika mengetuai suruhanjaya khas pada 2004 berkaitan perlunya kerajaan menubuh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Ketika itulah, hakim tertinggi yang selama ini aktif dan lantang, menjadi diam.

Kenapa? Apabila The Malaysian Insider bertanya hal itu, beliau cuma berkata: "Setahu saya, kita sudah siapkan laporan dan beri yang terbaik. Itu sahaja yang dapat saya katakan."

Selama sembilan tahun, cadangan mengenai sebuah badan bebas menyiasat polis berjaya menarik minat ramai tetapi langsung tidak digemari polis.

Cadangan itu juga ditolak oleh kerajaan, terbaru Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Zahid Hamidi yang percaya ia membawa kepada masalah pertindihan bidang kuasa.

Tetapi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham menghangatkan kontroversi itu semalam apabila menulis penghakiman mengenai keputusan mahkamah mengenai keperluan untuk mempertimbang kemungkinan penubuhan IPCMC berikutan pertambahan drastik kes kematian tahanan lokap.

Singham juga membentang hujah sama pada 26 Jun lalu ketika menyampaikan keputusan kes kematian A Kugan dalam lokap polis, empat tahun lalu.

Beliau mengulangi cadangan asal Dzaiddin ketika mengetuai Suruhanjaya Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi Dan Pengurusan pada 2004.

Suruhanjaya itu membawa 125 cadangan kepada kerajaan, satu daripadanya ialah menubuh IPCMC - idea yang dibangkang polis.

Dalam kes Kugan, Singham menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu Ketua Polis Selangor.

Bagi beliau, cadangan suruhanjaya diraja itu tidak patut di'peti sejuk' bahkan perlu disegera bagi memastikan orang ramai berasa keselamatan mereka terjamin berikutan wujudkan sesebuah agensi bebas.
Ivy Josiah, Pengarah  Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Wanita memaklumkan The Malaysian Insider, kenyataan Singham dianggap berlebihan, sebaliknya sebagai nasihat kepada badan eksekutif dan perundangan.

"Ini penting kepada kerajaan untuk melakukan perkara yang betul," katanya yang menyatakan memang menjadi kelaziman apabila seseorang hakim berlainan bidang kuasa memberi pandangan berdasarkan kes yang menjadi tumpuan ramai.

Perkara yang dinyatakan Singham itu juga antara yang diharap-harapkan masyarakat awam sejak 10 tahun lalu.

"Mereka sudah meminta penubuhan IPCMC berikutan laporan kematian dalam lokap makin menjadi-jadi," katanya yang menyifatkan pemantauan terhadap polis adalah perkara lazim dalam mana-mana negara demokrasi.

"Polis sendiri patut ada keberanian untuk menyokong IPCMC bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat," kata Josiah.

Mengikut statistik Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ada 218 kes dakwaan kematian dalam lokap di Malaysia antara 2000 hingga Jun lalu, dengan sembilan kes berlaku pada 2012 dan lima tahun ini.

Polis bertekak dengan Suhakam isu EO

Posted: 09 Jul 2013 07:15 PM PDT

 


 
Seorang pegawai polis hari ini tertarik dalam debat dengan Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Hasmy Agam berhubung isu Ordinan Darurat (EO).

Insiden itu berlaku apabila Suhakam melancarkan laporan tahunan suruhanjaya itu bagi tahun 2012, yang membangkitkan bantahan mereka terhadap EO daripada perspektif hak asasi manusia semasa sesi soal jawab.

NONEHasmy (kiri) berkata, beliau "kecewa" dengan gesaan untuk mengembalikan EO - undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa bicara - dan beliau tidak yakin dengan alasan di sebalik cadangan sebegitu.

"Sejurus selepas itu, terdapat draf disediakan. Ia nampak seperti segalanya sudah dirancang.

"Malah orang yang naif di jalanan pun boleh nampak ia sudah dirancang," katanya.

Hasmy yang juga bekas diplomat berkata, perdana menteri patut patut dipuji kerana memansuhkan undang-undang itu dan membawa negara ini ke depan.

"Bagaimanapun kami sangat kecewa, kerana bukan untuk bergerak ke depan, sebaliknya sesetengah pihak mahu kita mengundur ke belakang, hanya kerana apa yang dikatakan peningkatan kadar jenayah," katanya.

NONEKemudian, Penolong Kanan Pesuruhjaya Polis (SAC) Mohad Nazir (kanan), wakil Bukit Aman, bangun daripada kerusi untuk menyatakan sokongannya kepada EO.

Mohad berkata, EO membenarkan penahanan tanpa bicara dan "mencegah lebih baik daripada mengubati".

Tanpa EO, kata Mohad, orang ramai akan menderita dan beliau menyeru Suhakam menyokong usaha polis untuk mengembalikan EO.

'PDRM paling unik dalam dunia'
Mohad: Kamu lihat, kita ada demografi berbeza, landskap berbeza. PDRM pasukan polis paling unik dalam dunia.

Hasmy: Semua pasukan polis unik.

Mohad: Tidak, kamu tidak boleh bandingkan PDRM dengan negara lain. Kami separa tentera, kami inteligen, kami segala-galanya. Semuanya dalam tangan polis.

Mohad kemudian menjelaskan, polis di Singapura tidak mempunyai tanggungjawab yang sama dan tidak patut digunakan sebagai perbandingan.

Mohad: Kami ada lebih tanggungjawab, jadi kami mesti ada tindakan pencegahan.

Hasmy: Ya, saya terima perkara itu. Kami akan sokong semua langkah pencegahan, tetapi ia mesti berdasarkan norma antarabangsa, ia mesti menghormati hak asasi manusia.

Anwar: PR akan pastikan calon Pas menang

Posted: 09 Jul 2013 03:59 PM PDT


PRK Dun Kuala Besut

KUALA LUMPUR - PR akan memberi sokongan padu kepada calon yang bakal diumumkan parti gabungannya, Pas, bagi merampas kerusi Dun Kuala Besut pada 24 Julai depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR akan melakukan apa jua cara  untuk memenangkan calon Pas di Dun berkenaan.

"Majlis Pimpinan Tertinggi PR bersetuju untuk memberikan sokongan padu dan akan membantu dengan apa juga cara yang mungkin untuk menangkan calon Pas di Dun Kuala Besut," katanya pada sidang media di bilik mesyuarat, pejabat ketua pembangkang, di Parlimen, hari ini.

Pas akan mengumumkan calonnya malam ini.

BN pertaruh muka baru di PRK K. Besut

Posted: 09 Jul 2013 03:58 PM PDT


Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman
 
BESUT - BN hari ini mengumumkan, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman sebagai calon itu bagi mempertahankan kerusi Dun Kuala Besut pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 24 Julai ini.

Tengku Zaihan merupakan bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Pengumuman itu dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Besut sebentar tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Tengku Zaihan, 37, merupakan calon terbaik kerana selain anak jati Kuala Besut, pemilihan beliau mendapat sokongan anggota parti di semua peringkat.

"Bagi kita calon muda ini diterima ahli parti dan tidak ada masalah sebagai "orang pantai" kerana beliau dekat dihati rakyat," katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya BN dan pengumuman calon di sini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh mengundi untuk PRK Kuala Besut yang mempunyai 17,683 pengundi dan 12 Julai sebagai tarik penamaan calon.

Kekosongan Dun Kuala Besut berlaku berikutan kematian penyandangnya Dr A Rahman Mokhtar pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.

Penyalahgunaan media sosial di Malaysia terkawal

Posted: 09 Jul 2013 03:54 PM PDT

SINAR HARIAN

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
 
KUALA LUMPUR - Kerajaan percaya kesalahan berkaitan penyalahgunaan media sosial di negara ini ditangani dengan baik meskipun tiada sekatan aliran maklumat di Internet kerana berpegang kepada jaminan kerajaan menerusi Rang Jaminan MSC.
  
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata meskipun rakyat di negara ini bebas menggunakan media sosial namun kawalan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 aktif dikuatkuasakan untuk mengambil tindakan terhadap sebarang penyalahgunaannya.
  
"Di bawah akta ini, lebih 6,000 laman sesawang yang melakukan kesalahan, termasuk menghina kesucian agama dan institusi beraja, telah disekat setakat tahun lepas.
  
"Selain itu, kesalahan lain termasuk menghasut dan memfitnah diambil tindakan di bawah Akta Fitnah dan Akta Hasutan serta Kanun Keseksaan," katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.
  
Dalam pada itu, Ahmad Shabery berkata kempen 'Blackout 505' bertujuan menentang keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) sudah berkubur apabila anggota Parlimen pembangkang mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat.
  
"Kerajaan sedar kalau tengok dari segi keputusan PRU baru-baru ini, ada banyak propaganda yang dimainkan... penyokong disuruh berkumpul sebab nak ambil kerajaan tapi tidak mendapat sambutan, ini menunjukkan rakyat masih rasional dalam menilai fitnah mereka ini tidak benar.
  
"Macam-macam mereka kata kerajaan tipu, 40,000 Bangladesh yang dikata undi hantu, black out lah, kalau betul kat mana? Bila suruh fail petisyenpun tak ada juga," katanya.
  
Ahmad Shabery berkata rakyat akhirnya menilai propaganda itu sebagai penipuan apabila wakil rakyat pembangkang akhirnya mengangkat sumpah jawatan meskipun sebelum itu menyatakan mahu memboikot majlis berkenaan.
  
"Kalau dah selalu bohong, sekali bohong, dua kali bohong, banyak kali bohong tentu orang marah," katanya.
  
Sementara itu, Ahmad Shabery berkata kerajaan menerusi RTM menyediakan saluran khas 'live streaming' untuk persidangan Dewan Rakyat yang boleh diakses melalui rtmparlimen.rtm.gov.my.
 
"Ini merupakan satu permulaan, satu anjakan baharu yang kita cuba lakukan untuk mempertingkat akses kepada rakyat supaya mereka mengetahui apa sebenarnya yang berlaku dan isu-isu yang dibincangkan di Dewan Rakyat," katanya.
  
Beliau berkata siaran langsung persidangan Dewan Rakyat selama sejam setengah menerusi TV1 pula ditonton oleh purata sejuta orang setiap hari.  

Ahmad Shabery berkata ini menunjukkan masyarakat sememangnya ternanti-nanti dan mengikuti isu yang dibincang di Dewan Rakyat.
  
"Saya mendapat maklum balas bahawa penonton siaran ini termasuk masyarakat luar bandar yang mahu melihat isu-isu di kawasan mereka dibincangkan dalam Dewan," katanya.
  
Menteri itu menarik perhatian perhatian bahawa rating tertinggi, iaitu 1.8 juta penonton, dicatat pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat iaitu 24 Jun lepas, yang menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan anggota Parlimen.
  
Persidangan Dewan bersambung esok. - Bernama  

Tarikh dengar bantahan awal kerusi KL 17 Julai

Posted: 09 Jul 2013 03:52 PM PDT

SINAR HARIAN

Mahkamah Pilihan Raya
Mahkamah Pilihan Raya
 
KUALA LUMPUR - Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan tarikh untuk mendengar bantahan awal oleh pempetisyen  dan responden berhubung petisyen pilihan raya difailkan bagi empat kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
  
Hakim Pilihan Raya Datuk Zabariah Mohd Yusoff menetapkan 17 Julai untuk mendengar bantahan bagi kawasan Setiawangsa, 22 Julai bagi kawasan Batu, 23 Julai bagi kawasan Titiwangsa dan 24 Julai bagi kawasan Lembah Pantai.
  
Zabariah menetapkan tarikh itu di dalam kamar selepas berjumpa dengan peguam yang mewakili semua pihak terbabit dan peguam kanan persekutuan yang mewakili pegawai pilihan raya (RO) bagi setiap kawasan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
  
Peguam Rajesh Kumar Sharma yang mewakili Ibrahim Yaacob, calon PKR bagi kawasan Setiawangsa, memberitahu pemberita, anak guamnya juga telah memfailkan permohonan bagi penemuan iaitu pemohon memohon perintah mahkamah untuk membuka peti undi dan paterinya sebelum dihantar kepada pakar tulisan untuk dianalisis.
  
Katanya permohonan mengikut Perintah 26 Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya 1954 itu disokong dua afidavit, dan pempetisyen (Ibrahim) mendakwa dua saksi yang bertindak sebagai ejen pilihan raya telah mengesan corak dan stail pangkah pada kertas undi mempunyai sedikit persamaan yang menunjukkan kemungkinan berlaku manipulasi dalam undi pos.

Rajesh berkata Zabariah hanya akan mengendalikan permohonan Ibrahim selepas mahkamah membuat keputusan mengenai bantahan awal.
  
Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke memberitahu pemberita kedua-dua responden (RO dan SPR) akan mengemukakan bantahan awal (PO) bagi Setiawangsa, Titiwangsa dan Lembah Pantai.
  
Beliau berkata PO itu bertumpu kepada soal tiada pematuhan oleh para pempetisyen mengikut Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya.
  
Semasa ditanya kenapa mereka tidak mengemukakan PO bagi Batu, Alice berkata mereka akan mengendalikan isu itu sekiranya petisyen bagi kawasan itu menjalani perbicaraan penuh.
  
"Para pempetisyen perlu berjaya dalam PO mereka dan sekiranya Mahkamah Pilihan Raya menolaknya, dengan itu berakhir lah perkara itu. Bagaimanapun, mereka masih boleh merayu ke Mahkamah Persekutuan," jelas Alice. - Bernama

Tiada ulasan: