Khamis, 18 Julai 2013

BRIGED MP SEGAMBUT

BRIGED MP SEGAMBUT


BILA KHAIRY KJ MULA MENEMBAK:SIAPA AKAN CEDERA?SAKSIKAN

Posted: 18 Jul 2013 07:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Ramai pemimpin Umno berharap timbalan presiden mereka, Tan Sri Muhyiddin Yasin tidak termakan dengan umpan ketua pemudanya, Khairy Jamaludin yang memberikan amaran kekalahan BN di Kuala Besut akan menggugat kedudukan presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Sumber Umno menghubungi Harakahdaily setelah membaca kenyataan Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Muhyidin tidak wajar jatuh dalam perangkap ini.

"Harap Tan Sri Muhyiddin tidak makan umpan Khairy. Pengarah pilihanraya kecil Kuala Besut ialah dia dan bukannya Najib. Jangan cuba ambil peluang ini untuk menjatuhkan Najib. Kerana sekiranya tewas, Najib akan salahkan dia dan bukan Najib dipersalahkan," ujar sumber Umno kepada Harakahdaily.

Di parlimen semalam, Ketua Pemuda Umno itu meramalkan keadaan akan menjadi tidak menentu sekiranya PAS berjaya merampas kerusi Kuala Besut menjadikan kedua-dua parti menguasai jumlah kerusi yang sama banyak iaitu 16-16.

"Sekiranya kita tewas di sini, dan kalau sekiranya ada pilihan raya negeri Terengganu dan DUN Terengganu dibubarkan, satu gelombang – bukan biru – tetapi suatu gelombang, suatu gerakan, suatu goncangan akan berlaku sampai ke Dewan Rakyat.

"Dan kita tak mahu melihat kedudukan BN, kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, pengerusi BN, presiden Umno digugat, oleh kerana apa yang berlaku di Kuala Besut.

"Oleh demikian saya merayu. Saya merayu dan saya mengajak anak muda Kuala Besut sepaya memastikan kemenangan, bukan hanya Kuala Besut, bukan hanya masa depan Kuala Besut, bukan hanya pembangunan Kuala Besut, tetapi memastikan BN terus memerintah Malaysia," katanya.

Sumber Umno tersebut turut bertanya pada Harakahdaily samada telah membaca artikel terbaru John Berthelsen di Asia Sentinel.

John mendakwa kini bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin sedang menguasai Umno dan Najib kini semakin tidak berkuasa.

Menurut sumber yang diperoleh beliau, rata-rata ahli Umno berpendapat politik perkauman Mahathir yang menyelamatkan Umno-BN di PRU13.

Sebaliknya, mereka merasakan tema 1Malaysia Najib yang cuba mencari undi bukan Melayu adalah punca kekalahan teruk pada BN.

Kini kata John, blog-blog Umno juga sedang mendesak agar Najib dihukum – termasuklah Zainuddin Maidin dan A Kadir Jasin, bekas ketua editor NST.

Namun begitu, kata John, Najib akan kekal sebagai presiden Umno kerana mendapat sokongan Mahathir, yang berkata tiada siapa yang layak menggantikan beliau.

"Diharap Tan Sri Muhyiddin dapat melihat semua ini sebagai muslihat untuk mengelirukan beliau sambil menyelamatkan Najib. Muhyiddin kena menang di Kuala Besut. Tapi Umno sedang disabotaj secara dalaman. Keputusan PRK Kuala Besut amat berkait rapat dengan pemilihan Umno akan datang," kata sumber Umno lagi.

Ketika ditanya mengenai pandangan beliau mengenai PRK Kuala Besut, beliau berkata persaingan yang mula-mulanya nampak mudah bagi BN kini sudah bertukar sengit.

"Umno sememangnya menjangkakan PAS menurunkan seorang ustaz ataupun kekalkan calon Muslimat. Tapi tidak, PAS kali ini lebih bijak kerana memilih Che Long, sesuatu yang tidak dijangka Umno. Di Kuala Besut, susah nak cari orang yang tidak pernah dengar kemurahan hati Che Long dari segi membantu orang susah.

"Faktor Che Long seorang sudah menjadikan persaingan yang mudah ini menjadi sengit. Bertambah dengan kempen 16-16, penduduk Kuala Besut dan terutamanya penyokong Umno mungkin akan memberikan undi pada PAS kali ini," tegas beliau.

Ditanya samada beliau ingin melihat 16-16 terjadi, sumber Umno dengan selamba berkata, "Teringin sangat. Ramai di Umno juga berpendapat yang sama.  Tapi di Kuala Besut, duit raya masih menjadi faktor penting menentukan hala undi. 

"Tapi yang lebih menarik, lihatlah tangan-tangan gelap Umno di PRK Kuala Besut yang sudah tersedia mencatur untuk sabotaj keputusan PRK Kuala Besut untuk menguatkan diri dan mencantas musuh masing-masing. Jangan kelip mata daripada pertembungan Ahmad Said dan Idris Jusoh," kata sumber Umno sebelum talian terputus.

APAKAH KETUA POLIS BERBOHONG UNTUK ISU AGAMA DAN KAUM?

Posted: 18 Jul 2013 02:00 AM PDT

Seorang pekerja kafe siber yang diculik, dikasari dan diconteng dengan kata-kata "Saya hina Islam" di bahagian badan oleh sekumpulan lelaki menafikan bahawa beliau telah menghina apa-apa agama, apatah lagi Islam.
Ng Mun Tatt dalam satu sidang media di Klang semalam mendakwa kumpulan lelaki berkenaan menconteng kata-kata tersebut di badannya untuk mengelirukan individu yang boleh membantunya.

Ng, 21, mendakwa kumpulan lelaki tersebut memperlakukan demikian ke atasnya demikian agar beliau dilihat sebagai individu yang menghina Islam.

NONEKatanya, rentetan kejadian itu bermula pada kira-kira jam 4.30 pagi pada awal pagi Isnin lalu ketika beliau sedang minum bersama seorang gadis di sebuah restoran di Shah Alam.

Katanya, dua orang lelaki kemudan bertanya kepadanya sama ada beliau adalah "Ah Keong".

Belumpun sempat beliau menjawab, lelaki berkenaan kemudiannya mengheretnya ke dalam sebuah kereta sedan, dakwanya.

Matanya ditutup dan beliau terpaksa duduk di lantai kereta, dakwanya.

Sementara itu gadis berkenaan, 16, yang turut hadir dalam sidang media terbabit, berkata beliau melihat lelaki berkenaan masuk semula ke dalam restoran kira-kira 10 minit kemudian dengan tiga orang yang lain.

Ng pula mendakwa, beliau dipukul dan kemudiannya dibawa ke satu pangsapuri.

Katanya beliau dipukul lagi di apartmen berkenaan oleh kumpulan lelaki terbabit, yang didakwanya turut menggunakan batang kayu.

NONEBeliau seterusnya mendakwa, individu berkenaan memanggil abang iparnya dan menuntut wang tebusan berjumlah RM5,000.

Jumlah tersebut berjaya ditawarkan kepada RM3,000 dan dirundingkan untuk disalurkan melalui akaum bank Ng.

Ng mendakwa beliau kemudiannya tidak dapat mengingati nombor PIN bagi untuk urusniaga ATM apabila lelaki berkenaan cuba mendapatkan wang berkenaan.

Ng mendakwa, beliau hilang ingatan akibat satu kemalangan beberapa tahun lalu.

Drama itu berterusan apabila beliau dipukul sekali lagi, dakwa Ng, dan beliau seterusnya dibawa ke satu kawasan ladang kelapa sawit.

Ng mendakwa, lelaki berkenaan kemudiannya memaksanya menghidu gam.

NONEBeliau berjaya meloloskan diri apabila kumpulan berkenaan khayal akibat menghidu gam.

Ng mendakwa, beliau sangat kehausan sehingga terpaksa minum air longkang ketika melepaskan diri.

Drama itu berakhir apabila beliau berjaya sampai ke satu kawasan di Lebuh Raya Duta Ulu Kelang dan diselamatkan oleh seorang penunggang motosikal, dakwanya.

Dalam sidang media berkenaan, Ng juga menafikan bahawa penculikannya berkaitan dengan tindakan Alvin Tan dan Vivian Lee - blogger seks yang kini disiasat pihak berkuasa atas dakwaan menghina Islam.
Laporan media yang memetik kenyataan ketua polis negara Tan Sri Khalid Ibrahim pada hari Selasa lalu bagaimanapun menyebut sebaliknya.

MORSI DITAHAN ATAS DAKWAAN LARI DARI TAHANAN?..KA KA KA

Posted: 17 Jul 2013 11:00 PM PDT

Ribuan penyokong Mohamed Mursi, presiden Mesir yang digulingkan, berdemonstrasi di luar pejabat perdana menteri dan berarak di Kaherah pada Rabu bagi menyatakan bantahan terhadap kabinet baru yang disokong tentera, pada hari pertama mereka memulakan tugas.

Kumpulan Islamis menjulang al-Quran dan potret Mursi di tengah-tengah terik matahari di luar bangunan kerajaan sambil menuntut supaya Mursi dikembalikan ke tampuk kuasa selepas digulingkan tentera.

Mereka melaungkan "Allahu Akbar", "Jahanam pemerintahan tentera" dan "Kami semua Mursi".

Krisis di Mesir, yang merentasi Terusan Suez dan mempunyai perjanjian dengan Israel, turut membimbangkan sekutunya di Barat, lapor Reuters.

Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah Catherine Ashton menjadi tokoh antarabangsa terbaru melawat pemerintah sementara Mesir.

Tidak seperti Amerika Syarikat (AS), wakil yang datang dua hari lalu itu turut dijangka bertemu pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin.

Tentera yang menggulingkan presiden pertama Mesir yang dipilih oleh rakyat dua minggu lalu menuduh penyokong tokoh Ikhwan itu menghasut diadakan tunjuk perasaan bersenjata di luar kem tentera.

Bagaimanapun, tunjuk perasaan itu kebanyakannya aman walaupun terdapat pergelutan apabila orang ramai yang berarak merentasi bandar Kaherah dan sepanjang tebing sungai Nil ditahan polis kerana cuba mendekati Dataran Tahrir – tumpuan perhimpunan anti-Mursi.

"Kami hanya ada dua tujuan, hak kekuasaan atau mati syahid," Ahmed Ouda, 27, dipetik sebagai berkata oleh agensi berita antarabangsa itu.

Sementara seorang lelaki menyampuk: "Syahid secara aman".

Seramai 33 anggota kabinet sementara, kebanyakannya teknokrat dan liberal, pada Selasa mengangkat sumpah jawatan masing-masing.

Tiada seorang pun dipilih daripada dua kumpulan Islamis utama yang memenangi lima pilihan raya berturut-turut sejak 2011, kebangkitan selepas penggulingan autokrat Hosni Mubarak.

Selepas majlis angkat sumpah itu pada hari Selasa, pertempuran jalanan semalaman antara penyokong Mursi dan pasukan keselamatan, menyaksikan tujuh terkorban dan lebih 260 cedera, menjadikannya keganasan paling teruk dalam minggu ini.

Mursi ditahan di lokasi yang tidak didedahkan dan belum didakwa atas sebarang kesalahan walaupun pihak berkuasa mengumumkan siasatan ekoran aduan merisik, menghasut keganasan dan merosakkan ekonomi.

Pasukan pendakwa juga membuka semula kes lari daripada tahanan sementara pada 2011, sewaktu tunjuk perasaan menentang Mubarak.

KEJADIAN TEMBAK DAN BUNUH KARENA POLIS TAKDA TARING?

Posted: 17 Jul 2013 09:42 PM PDT

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) semalam meminta Peguam Negara melihat sisi lain polis yang kini menjalankan tugas tanpa "taring" susulan pemansuhan Ordinan Darurat (EO).
Beliau berkata, hanya dengan cara itu mereka akan memahami beban yang terpaksa dipikul pasukan berkenaan dalam membanteras jenayah di negara ini.
"Kami tidak mahu menyanggah apa yang dilakukan Peguam Negara untuk melakukan transformasi. Tetapi fahamilah tugas polis yang 'toothless', yang tidak ada gigi bila EO ini tidak ada.
"Jangan lihat daripada segi perundangan sahaja, lihat aspek bagaimana masyarakat keseluruhan harus dijaga, bagaimana jenayah harus dibanteras dan hukuman harus dibuat kerana tidak semua perlakuan jenayah ada saksi dan bukti yang nyata," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan, malam tadi.
Sehubungan itu, katanya undang-undang baharu yang bakal diperkenal bagi menggantikan EO harus menyamai peruntukan EO bagi memberi kuasa kepada polis memerangi jenayah terutama membabitkan kes berat.
Menurutnya, sejak EO dimansuhkan, kejadian jenayah berat meningkat 90 peratus dan membabitkan bekas penjenayah.
Beliau sebelum ini dilapor berkata, susulan pemansuhan EO, lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam, Johor dibebaskan dan ada antara mereka yang kembali terbabit jenayah.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut meminta masyarakat memahami kedudukan polis yang semakin kehilangan kuasa.
"Kami bukan mohon simpati masyarakat tetapi fahamilah tugas polis, sebab kalau kadar jenayah naik polis yang kena (dipersalahkan), tetapi apabila polis tangkap, dilepaskan,  kononnya masalah teknikal dan pendakwaan yang tidak kukuh," katanya. 
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga meminta undang-undang baharu menyamai EO bagi membendung jenayah terutama membabitkan senjata api yang kerap berlaku kebelakangan ini.
Katanya, ketiadaan EO dan tiada saksi yang tampil membantu siasatan menyebabkan penjenayah semakin berani melakukan jenayah yang radikal dan agresif termasuk membunuh menggunakan senjata api. – Bernama, 18 Julai, 2013.

Tiada ulasan: