. |
Majlis Perakan dan Persada Bertembung Lagi Posted: 28 Jul 2013 12:37 AM PDT SEMENTARA BERBUKA Untuk kali keduanya semalam bertembung lagi program berbuka puasa anjuran dua Ngo yang diasaskan untuk menyokong kerajaan Pas Kelantan, Persatuan Anak-Anak Kelantan di Kuala Lumpur dan Selangor (Persada) dan Persatuan Anak Kelantan di Perantauan (Perakan Malaysia). Tahun lepas sudah berlaku pertembungan di antara keduanya yang juga mengadakan majlis berbuka puasa serentak.
Persada mengadakan majlisnya disebuah hotel di Kuala Lumpur manakala Perakan di Shah Alam. Kali ini sekali lagi Persada mengadakan ditempat sama, manakala Perakan berganjak ke Serdang pula. Pertembungan ini sedikit sebanyak menjadi tanda tanya, kenapa berlaku begitu? Apakah ia satu kebetulan atau disengajakan. Bila berlaku pertemubungan begini ia mendatang sedikit masalah kerana ke mana satu pimpinan negeri hendak tuju? Musykilnya kenapa tidak diadakan setempat secara berkongsi acara? Atau kenapa tidak dibahagikan majlis antara pemimpin? Malam tadi saya hadir ke majlis anjuran Persada dan tidak majlis Perakan. Tahun lepas saya hadir di majlis Perakan atas jemputan. Kebetulan pada majlis itu diadakan majlis penyerahan wang derma pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kelantan (LRRK) hasil dari derma pembaca blog saya dan rakan FB. Tahun ini saya tidak diundang atau dijemput walaupun beberapa malam lalu Presiden Perakan Hamzah belanja saya kopitian.
Kebetulan di Persada saya beli satu meja sebagai derma kepada anak-anak yatim. Jadi kalau pun Perakan menjemput saya, saya terpaksa mohon maaf kerana di Persada lebih aulia kerana merai anak-anak yatim dan armalah yang sangat memerlukan keprihatinan semua terutamanya mereka bergelar pemimpin. Majlis semalam meriah juga dengan kehadiran anak yatim, armalah dan jemputan mencecah lebih kurang 200 orang. Berbalik kepada isu bertembung tadi, timbul cakap-cakap yang Persada tidak menjemput pihak kerajaan negeri untuk hadir menerusi surat. Khabarnya jemputan menerusi SMS sahaja. Sebab itu tiada wakil rasmi kerajaan negeri.Tetapi pokok pangkalnya pihak orang yang dijemput tahu akan majlis itu diadakan. Cuma masalahnya tidak ada surat saja. Itu saja. Saya tidak mahu berpihak kepada mana-mana di antara dua persatuan ini. Kedua pemimpinnya saya kenal. Yang memimpin Persada kini juga orang yang minum kopi dengan saya semasa hendak tubuh atau mendaftar Perakan dahulu. Begitu juga dengan presiden Perakan kini, dialah orang yang datang ke rumah saya atau mengajak berbincang dan meminta sesuatu pandangan. Pendeknya mereka adalah adik kakak dan anak beranak belaka. Anih kenapa mereka seakan berenggang dan tidak sebulu? Tentu ada chemistrynya tersendiri kenapa terjadi begitu. Persada tidak akan ditubuh kalau Perakan sempurna. Itu logiknya. Apapun apabila ia sudah ditubuh, kedua Ngo ini kena diterima. Umpama kita kahwin dengan janda beranak, jangan saja terima mak anak juga kena diterima sama. Anggaplah ianya ada hikmah. Makanya pihak kerajaan negeri juga harus melayan kewujudan Persada, tidak hanya melihat kepada Perakan sahaja. Rasanya tidak perlu timbul cakap-cakap mengatakan kerajaan negeri hanya mengikhtarafkan Perakan saja tidak Persada? Yang penting fikir apakah guna dan tujuan Persada ditubuhkan. Bukankah ia untuk membantu parti dan kerajaan Pas Kelantan? Persepsi kononnya Persada ditubuh untuk menaikan seseorang buanglah dari selaput busuk minda. Tidak baik tanggapan demikian. Tanggapan dan persepsi demikian akan menjarakkan lagi di antara satu sama lain. Dalam hal ini pimpinan Pas Kelantan boleh mendamaikan atau menjernihkan keadaan demikian. Kerajaan Kelantan harus bijak dalam menerima keduanya. Menteri Besar dan barisan Exco khasnya Exco yang diberi tugas jaga Ngo, Nasarudin Daud kena layan secara adil dan saksama. Kalau Perakan diberikan peruntukan, hulurlah juga untuk Persada kalaupun tidak sepenuh sesuku pun jadilah sebagai tanda penghormatan. Tetapi dalam soal ini saya kira bagi Persada bukan sangat soal peruntukan tetapi penghormatan dan kepedulian kepada pengorbanan mereka. Berkenaan majlis semalam tanpa kehadiran wakil rasmi kerajaan Kelantan menimbulkan kekesalan kalangan pemimpin Persada. Ia juga tentu menjadi tanda tanya orang ramai terutamanya penyumbang. Mereka merasakan dianak tirikan. Kepada saya alasan tidak ada surat jemputan rasmi maka tiada pemimpin negeri (Exco) yang hadir, keterlaluan. Apakah dengan anak beranak perlu berkira begitu lalu? Soalnya pihak kerajaan atau pejabat MB tahu akan keadaanya. Dalam keadaan-keaqdaan beginilah memerlukan kebijaksanaan dan orang yang telus. Tidak bolehkah diambil inisiatif atas 'kemangalan' Perakan itu. Kalau pun MB tidak dapat hadir wakilkan kepada TMB, kalau TMB tidak dapat hadir wakillah kepada timbalan Exco. Kalau timbalan Exco tak dapat hadir wakil kepada wakil rakyat lain. Semalam tidak ada wakil rasmi yang hadir. Walaupun bekas Adun Semerak Wan Hassan Wan Ibrahim dan Adun Perupok Zaimy hadir saya tidak kira mereka sebagai mewakili kerajaan kerana mereka tidak diadres begitu. Begitu juga Husam Musa yang hadir agak lewat kerana terpkasa hadir satu majlis di Shah Alam bukan mewakili kerajaan negeri. Beliau datang lebih atas undangan peribadi Persada kepadanya. Bagaimana pun dengan kehadiran Husam semalam dan turut menyampaikan sumbangan kepada 40 anak yatim dan 15 ibu tunggal, dianggap sebagai mewakili kerajaan Kelantan dan ia merubatkan sedikit mana-mana hati yang rawan. Untuk lain kali dan masa akan datang hendaknya pertembungan sebegini tidak akan berlaku lagi kerana ia boleh melukakan apa yang terguris. Buruk sangat nampaknya. Ahmad Yakob sebagai MB dan Mohd Amar Nik Abdullah sebagai TMB perlu memberi perhatian mengenai kes-kes remeh begini. Kalau ada persefahaman dan semangat kerjasama saya yakin 'kesilapan teknik' begini tidak akan berlaku. Dan kepada Persada diharap pekemaskan pentadbiran termasuk urusan surat menyurat dan jangan ambil mudah hanya dengan menghantar SMS sahaja. Belajarlah dari si abang, Perakan. Persada hormatilah kerajaan Kelantan yang sedang menuju menjadi sebuah negeri yang pentadbiran fully sistemetik di mana cara dan kaedah manual tidak dilayan lagi. [wm.kl.3:16 pm 28/07/13] | ||||||||||||||||||||
Iftar Ramadhan Di Perkampungan Terasing Posted: 27 Jul 2013 08:55 PM PDT ZIARAH RAMADHAN 1434
Boleh dikatakan ia tidak ada dalam perancangan. Walaupun sudah ada hasrat untuk berbuat demikian selepas buat pertama kali saya menjejaki ke perkampungan ini awal Julai lalu, tetapi tidak menduga ianya termakabul pada Ramadhan ini juga. Semua adalah kehendak Allah dan berkat doa orang-orang di sana telah menarik kami untuk berRamadhan di kawasan mereka. Semuanya bermula apabila SAM RP, sebuah grup sosial (Facebook) terdiri dari anak-anak Rantau Panjang telah menguar-uarkan di dalam FB akan tujuan mereka. Kebetulan saya juga belum memilih mana-mana destinasi untuk dijadikan lokasi ziarah tahun ini, terpanggil untuk bersama SAM RP yang dipimpin oleh sdr Rushdan Mustafa seorang aktivis sosial tidak asing lagi di Rantau Panjang khasnya.
Apabila diberikan sebungkus seorang buat tamar kepada setiap yang hadir, ada yang memeluk erat sambil bersunggut "ini makanan orang berada". Maksudnya buah tamar segar yang diberikan itu bagi mereka sesuatu yang baru dan dianggap bernilai mahal.
Apa juga yang membuatkan saya terharu apabila dikhabarkan beberapa warga emas yang tidak sabar-sabar menanti kedatangan rombongan kami. Katanya sejak Zohor lagi sudah ada yang menanti kami dan bertanya sesama sendiri jam berapa kami akan sampai. Kami sudah memaklumkan akan tiba jam 6:00 petang tetapi sejak selepas Zohor lagi sudah tidak sabar menunggu kami. Pak Hatta salah seorangnya yan tidak dapat menyembunyikan kerinduan, sebaik saya sampai terus diterpa dan dipeluknya saya dengan linangan air mata. Semua itu memberi gambaran betapa mereka merindui orang luar, merindu sanak saudara mereka. Kerana rata-rata mereka masih mempunyai saudara mara atau waris waras yang kesekian lama tidak bersua muka sejak mereka melangkah ke dalam hutan, memilih jalan kiri berduri. Jadi kedatangan kami ditelempiaskan untuk menumpahkan kerinduan mereka. Tentatif atau perjalanan program ziarah itu rengkas saja dan berlangsung dalam tertib yang tinggi sesuai mereka adalah bekas anggota sebuah pasukan perjuang yang cukup terlatih dan berdisiplin. Sebelum berbuka diserahkan sumbangan kepada beberapa orang; penghulu, imam dan wakil kaim wanita sebagai simbolik untuk dibahagi-bahagikan. Antara barangan peralatan sembahyang yang disampikan ialah sebutir kopiah dan sehelai kain palikat untuk lelaki dan telekung sembahyang untuk perempuan. Manakala bagi golongan wanita muda diberikan kain tudung. Selepas berbuka, kami menunaikan solat Maghrib kemudian baru menjamu selera. Saat menjamu selera inilah hati dan perasaan tersentuh apabila sesetengah yang tidak mengenal kueh akok dan tepung bukus bertanya sesama sendiri. Terdengar yang berkata; kawan sudah tak merasa kueh ini sudah hampir 80 tahun...sedap ni... Selesai makan sama-sama mendirikan solat Isyak dan berterawih. Menjelang tengah malam diadakan Qiamulail serta perkisahan perjuangan mereka selama 42 tahun berada di dalam hutan secara santai. Cerita-cerita sukaduka semasa dalam tempoh perjuangan inilah menjadi pengalaman atau ole-ole paling mahal buat kami serombongan. Paling penting dan berharga ialah mengetahui sendiri kenapa dan mengapakah mereka memilih jalan penuh berduri untuk memperjuangkan sebuah kemerdekaan dan bukan jalan lurus dan licin seperti bangsawan lain? Misi ziarah Ramadhan kali ini bukan saja menghidupkan syiar Ramadhan tetapi lebih bererti dari itu menghidupkan tali siltarurahim di antara mereka dengan dunia luar yang terputus sejak lama. Sesungguhnya antara penduduk kampung itu dengan dunia luar saling rindu merindui, kenang mengenani kalau masing-masing memahami apa itu hidup dan apa itu perjuangan. Saya merakam terima kasih banyak kepada para penyumbang dalam menjayakan misi ini. Walaupun tidak ramai tetapi cukup untuk menggerakkan misi ini. Kepada yang ada menghantarkan SMS kononya hendak menyumbang tetapi tidak sempat melaksanakan hajat, mungkin dilain kali. Begitu juga kepada yang berjanji kosong, hendak usahlah berjanji kerana setiap janji itu akan dinanti-nanti, tidak baik memberi harapan tetapi tidak bercadang untuk menunaikannya. Pinggirkan tektik politik dalam urusan berkebajikan seperrti ini. Kepada penjengok blog Merah Tinta dan juga rakan Facebook saya. Rakaman khas saya tujukan kepada anggota rombongan, sdr Rusdhan Mustafa, Dr Wan Suhaimi Wan Daud, Zulkefli suami isteri, sdr Wan Hamdan Wan Ahmad dan sdri Siti Suria. Tidak ketinggalan dua adik al hafiz yang dibawa khas untuk menjadi iman terawih Tengku dan Abang Long. Juga terima kasih banyak kepada seluruh warga juang Ban Chulabhoran Pattana 12 yang sudi menerima kami, merai kami dan berkongsi cerita dan pengalaman hidup dan perjuangan. Didoakan semoga kita semua dirahmati Allah sepanjang hidup. Yang tahu menghayati perjuangan tulen saja dapat membaca erti merahnya darah. [wm.kl.10:59 am 28/07/13] |
You are subscribed to email updates from . To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan