"BERANI KERANA BENAR!" |
- Mengurangkan kesibukan dunia
- Enam perkara adab berpuasa mesti dijaga
- Rugi ponteng puasa tanpa izin syarie
- Ramadan sarat ganjaran
Posted: 21 Jul 2013 11:43 PM PDT Oleh MOHAMAD DHIYAUDDIN ABDUL KADIR BULAN Ramadan merupakan waktu terbaik untuk kita mendidik diri ke arah kebaikan. Di bulan Ramadan kita bukan sahaja diwajibkan untuk berpuasa dan mengawal hawa nafsu, bahkan turut diseru untuk memperbanyakkan amalan-amalan sunat. Ini bertujuan membentuk hati dan rohani agar akrab kepada Allah SWT di samping mengejar ganjaran yang telah disediakan di bulan Ramadan. Antara perkara yang digalakkan sepanjang Ramadan ialah: 1Bersahur - termasuk salah satu perkara yang dituntut di dalam bulan Ramadan. Bangun pada waktu sahur dan bersahur itu merupakan perbuatan yang membezakan puasa umat Islam dengan puasa penganut agama lain. Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya perbezaan puasa kita (umat Islam) dengan puasa ahli kitab (yahudi dan nasrani) ialah makan sahur. (riwayat Muslim dan Abu Daud) Sahur bukan sahaja memberikan tenaga untuk kita berpuasa di siang hari sebaliknya ia mengandungi keberkatan baik dari sudut waktu sahur dan juga perbuatan sahur itu sendiri. Sabda Rasulullah SAW: Bersahurlah kerana dalam sahur itu ada keberkatan. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim) 2Banyakkan bersedekah - Sedekah merupakan perkara yang amat dituntut kepada umat Islam. Ia merupakan ibadah yang besar ganjarannya di akhirat kelak sebagaimana firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang lelaki yang bersedekah dan orang-orang perempuan yang bersedekah serta mereka memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (ikhlas), akan digandakan balasannya (dengan berganda-ganda banyaknya) dan mereka pula akan beroleh pahala yang mulia. (al-Hadid: 18) Rasulullah SAW merupakan contoh terbaik dalam bersedekah. Beliau seorang yang begitu dermawan lebih-lebih lagi apabila tiba bulan Ramadan. Baginda memperbanyakkan sedekahnya melebihi bulan lain selain Ramadan. Daripada Ibnu Abbas RA berkata: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan beliau lebih dermawan lagi di bulan Ramadan ketika beliau bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus. (riwayat al-Bukhari) 3Membaca al-Quran - Bulan Ramadan merupakan bulan al-Quran. Pada bulan inilah al-Quran diturunkan kepada Rasulullah sSAW dan pada bulan Ramadan juga malaikat Jibril akan menemui Rasulullah untuk mengajarkan al-Quran. Baginda akan membaca dan belajar al-Quran secara langsung dengan Malaikat Jibril pada bulan Ramadan. Ibnu Abbas berkata: Jibril menemuinya setiap malam (di bulan Ramadan) untuk mengajarkan al-Quran. (riwayat al-Bukhari) Oleh itu, kita diseru memperbanyakkan bacaan al-Quran pada bulan Ramadan terutama pada malam hari kerana waktu itu merupakan waktu terbaik untuk beribadat di samping kurang kesibukan dunia ketika itu. 4Memberi makan untuk berbuka - Selain daripada bersedekah, amalan memberi makanan kepada orang yang berpuasa untuk mereka berbuka puasa amat digalakkan. Amalan ini membolehkan pelakunya meraih ganjaran yang sama sebagaimana orang yang diberikan makanan itu. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang memberi makan orang yang berbuka, dia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikitpun." (riwayat Al-Tirmizi dan Ibnu Majah) 5Solat di malam Ramadan - Solat merupakan medan yang menghubungkan seorang hamba kepada Allah SWT. Digalakkan kepada umat Islam untuk menghidupkan malam Ramadan dengan ibadah sunat terutama solat malam seperti solat sunat terawih, solat taubat, qiamullail dan sebagainya. Daripada Abu Hurairah berkata; Rasulullah SAW sangat menganjurkan untuk solat malam Ramadan tanpa mewajibkan dan bersabda: Barang siapa yang melakukan solat malam Ramadan kerana keimanan dan mengharap pahala daripada Allah, nescaya akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. (riwayat Muslim dan Al-Tirmizi) |
Enam perkara adab berpuasa mesti dijaga Posted: 21 Jul 2013 11:41 PM PDT Oleh Engku Mohd Zaki Mohd Alwi Umat Islam dituntut meningkatkan kualiti dan kuantiti amalan ibadat sepanjang Ramadan dan pada masa sama dituntut menahan diri daripada melakukan perkara membatalkan serta mencacatkan kesempurnaan ibadat puasa. Dalam istilah fekah, amalan menahan diri dikenali sebagai imsak. Pada dasarnya, imsak adalah hakikat ibadat puasa yang sebenarnya. Berdasarkan terminologi fekah, imsak bermaksud menahan diri melakukan perkara membatalkan ibadat puasa. Menahan diri bukan daripada makan, minum dan memenuhi nafsu syahwat saja, bahkan puasa menuntut lebih daripada itu. Justeru, setiap Muslim wajib memelihara adab berpuasa sepanjang Ramadan termasuk mengelak daripada mengumpat, mencela, memaki nista serta memfitnah. Sabda Rasulullah SAW: "Barang siapa yang tidak meninggalkan perkataan al-zur (dusta, umpat, fitnah, dengki, permusuhan dan seumpamanya yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah), maka Allah tidak lagi memerlukan dia meninggalkan makan minumnya (Allah tidak akan menerima amalan puasanya)." (Riwayat Bukhari) Jelas di sini menahan diri secara menyeluruh itu yang bakal menghasilkan takwa sebenarnya bagi orang yang berpuasa selaras objektif utama pensyariatan ibadat puasa oleh Allah kepada umat Islam. Oleh itu, Rasulullah SAW menyeru umatnya meninggalkan apa yang jelas diharamkan dan dilarang Allah SWT. Sahabat Nabi SAW, Jabir bin Abdullah berkata: "Jika kamu berpuasa, maka hendaklah kamu berpuasa pendengaranmu, penglihatanmu dan lisanmu daripada perkataan dusta dan segala yang haram. Jangan kamu menyakiti jiran tetangga, hendaklah kamu bersikap tenang dan sabar dan jangan kamu jadikan hari puasamu itu sama dengan hari ketika kamu tidak berpuasa." Budi luhur dan amal soleh Orang yang sebenar-benarnya berpuasa itu mereka yang berpuasa daripada perbuatan dosa dan maksiat. Bicaranya baik dan lembut, amal perbuatannya pula luhur dan soleh. Justeru, Rasulullah SAW menganjurkan umatnya menghiasi diri dengan budi luhur dan amal soleh. Imam Al-Ghazali menegaskan, puasa orang yang menjaga perut daripada makan dan minum serta memelihara kemaluannya disebut sebagai puasa orang awam yang tidak akan mendapat apa-apa melainkan lapar dan dahaga semata-mata. Manakala puasa yang bernilai di sisi Allah ialah puasa khusus iaitu terdapat enam perkara yang harus dipelihara selain daripada menjaga perut dan kemaluannya. Keenam perkara itu ialah menjaga pandangan daripada melihat yang haram dan menjaga lisan daripada dusta, mengumpat, fitnah dan sumpah palsu. Menjaga pendengaran daripada mendengar yang haram; menjaga makanan daripada yang makruh dan haram; menjaga tangan daripada berbuat maksiat dan kaki daripada melangkah ke tempat dilarang; penuh pengharapan dan cemas akan puasa yang dilakukannya. Menurut Imam Al-Ghazali lagi, ada satu lagi darjat puasa yang paling tinggi iaitu puasa lebih khusus daripada yang khusus di samping menjaga enam hal dalam puasa khusus iaitu menjaga hati daripada kecenderungan terhadap pesona dunia. Justeru, takwa adalah satu kesedaran moral dan keinsafan spiritual yang tinggi hanya diperoleh daripada satu bentuk latihan atau amalan yang menuntut kesungguhan serta pengorbanan. Dengan itu, ibadat puasa berupaya melahirkan peribadi terbilang, jujur dan bertanggung jawab. Hasil puasa bukan hanya diukur dengan sekadar menahan lapar dan dahaga sebaliknya dilihat pada aplikasinya dalam sebelas bulan yang seterusnya. Sebab itulah seseorang itu dianggap berjaya dalam ibadat puasanya apabila dia hanya menurut kepada kehendak Ilahi semata-mata. |
Rugi ponteng puasa tanpa izin syarie Posted: 21 Jul 2013 11:39 PM PDT Oleh Nik Salida Suhaila Sebelum tibanya Ramadan, ada yang rindukan sahurnya, buka puasa, malah ada yang teringat akan malamnya yang kudus. Tarawih dan solat malam sudah tentu diisi semaksimum mungkin dan diselang dengan tadarus. Ramai juga yang mengambil peluang mengerjakan umrah dan bersedekah kerana semua ingin menghambakan diri seterusnya menjadi hamba-Nya yang tulus. Kemeriahan Ramadan bukan diukur dengan besarnya atau gamatnya suasana berbuka puasa, tetapi sejauh mana umat Islam mampu merubah diri ke arah yang lebih baik khususnya dengan amalan puasa. Amalan berpuasa yang sebenar-benarnya hanya dapat dilakukan oleh mereka yang beriman. Perkara menghalang seseorang daripada makan dan minum pada saat dahaga atau lapar meskipun ada hidangan lazat terhidang depan mata ialah keimanannya kepada Allah. Perkara menghalang seseorang daripada melakukan maksiat dan berbicara perkara sia-sia juga adalah imannya kepada Allah. Semuanya kerana mereka menahan diri daripada perbuatan yang membatalkan puasa. Sabda Rasulullah SAW: "Bukanlah berpuasa itu menahan diri daripada makan dan minum saja, akan tetapi berpuasa itu juga menahan diri daripada berkata-kata dengan perkataan kotor dan kata-kata kesat." Orang puasa luar biasa Justeru, tiada siapa yang mampu menolak hakikat bahawa orang yang berpuasa ialah orang yang benar-benar luar biasa. Mereka mengejar rahmat pada permulaannya, pertengahannya pengampunan dan penghujungnya terlepas dari neraka jahanam. Mereka yang bersalah memohon maaf, sombong menghulur senyum, jahat mula bertaubat, malas menyinsing lengan, takbur tidak jemu bersujud memohon keampunan, pelepasan daripada dosa yang terhimpun sekian lama. Indahnya Ramadan, paginya hening untuk menginsafi siri, siang bersabar dan malam yang singkat untuk bertaubat. Selain menahan lapar dan dahaga, berpuasa juga menjaga diri daripada melakukan perbuatan maksiat yang lain. Halal dilakukan pada bulan lain menjadi haram pada bulan puasa, seperti makan di siang hari dan melakukan persetubuhan antara suami isteri. Sebab itu orang yang berpuasa dengan sebenar-benarnya adalah orang yang luar biasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183) Orang yang berpuasa ialah orang yang bertakwa dan itulah hakikat tujuan puasa. Mereka menjaga hati daripada berasa sangsi terhadap kekuasaan Allah dan kebaikan saudara seagama. Mereka juga menjaga mata daripada memandang sesuatu yang tidak selayaknya. Menjaga hidung menghidu sesuatu yang mengurangkan pahala, menjaga telinga daripada halwa membuai rasa dan suara membawa berita bohong, menjaga lidah membicarakan hal tidak berfaedah, mengumpat, mencaci, menipu dan memfitnah serta menjaga tubuh badan lainnya. Rugi tinggal puasa tanpa izin syarie Orang yang meninggalkan ibadah puasa tanpa izin syarie tidak akan dapat menggantikan hari itu pada mana-mana hari pun di dunia, meskipun ia berpuasa seumur hidupnya. Daripada Abi Hurairah, katanya, bersabda Rasulullah SAW: "Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkan itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup." Waktu ini juga ibu wajar mengambil peluang keberkatan Ramadan untuk meluangkan masa berganda bersama anak serta mendidik mereka mematuhi hukum agama. Selain puasa, rukun Islam lain wajar ditazkirahkan dan diamalkan bersama supaya hati mereka dekat dengan Yang Maha Pencipta. Anak bukan saja perlu difahamkan dengan apa yang terakam dalam kitab suci, tetapi juga amalan ditunjukkan oleh ibu bapa, pendakwah yang paling hampir dengan mereka. Tunjuk ajar yang betul di peringkat awal usia anak-anak untuk menghadapi Ramadan menjadi batu asas untuk mereka beristiqamah dengan fahaman puasa yang sebenarnya, iaitu bukan hanya berlapar tetapi menjadi hamba yang insaf terhadap hari muka. Sudah tentu setiap isteri pula menantikan tunjuk ajar suami dalam meningkatkan ibadah kepada Allah SWT. Walaupun menyediakan juadah bersahur dan berbuka besar dan banyak pahalanya, ia tidak cukup puas jika tidak berjemaah sewaktu qiyamulail. Khususnya apabila tiba lailatul qadar yang hanya bertandang sekali. Justeru, setiap suami harus mengambil kesempatan ini untuk menyiapkan diri membimbing anak dan isteri menghadapi Ramadan kali ini supaya lebih baik daripada sebelumnya. Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia |
Posted: 21 Jul 2013 11:37 PM PDT Safwak Sa'adallah al-Mukhtar menceritakan, pada suatu hari ada sepasang suami isteri yang kaya raya sedang makan bersama-sama di rumah mereka.Tiba-tiba pintu rumah diketuk seseorang. Setelah dibuka ternyata seorang pengemis meminta-minta. Melihat pengemis itu, isterinya sangat kasihan dan hiba dan ingin memberikan sesuatu. Dia meminta izin daripada suaminya bolehkan dia memberikan sesuatu kepada pengemis itu. Suaminya dengan suara kasar berkata: "Usir sahajalah, tutup pintu itu dan mari makan." Setelah masa berlalu, kehidupan keluarga itu mengalami masa suram. Perusahaan makin merosot dan menanggung banyak hutang. Keluarga itu jatuh miskin, rumah tangga mereka kelam kabut sehingga berlaku perceraian. Kata Safwak, suaminya sangat menderita dan bekas isterinya itu berkahwin pula dengan seorang pengusaha kaya dari daerah lain. Pada suatu hari, ketika pasangan suami isteri yang baharu itu sedang makan bersama-sama, tiba-tiba pintu rumah diketuk. Setelah dibuka, ternyata yang datang itu seorang pengemis yang meminta belas kasihan. Wanita (isterinya) masuk dan meminta izin pada suaminya: "Bolehkah saya memberikan sesuatu kepada pengemis itu?" Lalu dijawab suaminya: "Boleh, boleh... berilah dia makan. Mana tahu dia sangat lapar dan berjalan dari daerah yang jauh." Setelah pengemis itu diberi makan, alangkah terkejutnya si isteri, kerana ternyata yang dia beri makan itu adalah bekas suaminya. Dia menangis kerana merasa prihatin dan hiba. Melihat keadaan itu, si suami dengan hairan lalu bertanya: "Mengapa engkau menangis isteriku, adakah saya salah kalau menyuruhmu memberi makan kepada pengemis itu?" Isterinya menggeleng kepala dengan nada sedih teresak-esak lantas berkata: "Saya sangat beruntung mendapatkan suami yang baik sepertimu. Namun saya sedih melihat perjalanan takdir hidup bagi seseorang yang sungguh menakjubkan hati, maafkan saya." Akhirnya si isteri berkata: "Tahukah engkau suamiku, siapa pengemis yang kita beri makan di luar itu? Dia adalah bekas suamiku yang pertama dahulu." Mendenar kata-kata itu, suaminya terkejut namun tetap memperlihatkan sikap arif. Beberapa saat kemudian, suaminya bertanya: "Tahukah engkau, siapa saya yang saat ini menjadi suamimu ini?" Isterinya menjawab, "Tidak tahu." Kemudian suaminya berkata: "Suamimu ini adalah pengemis yang pernah diusir dahulu oleh bekas suamimu dan Allah berikan kepadaku rezeki hingga aku punya harta dan memberi pula rezeki-Nya hingga kita pun dipertemukan Allah dalam satu ikatan akad sebagai suami isteri yang insya-Allah mawaddah wa rahmah." Kisah di atas mengajar kita bahawa hidup dan kehidupan ini sesungguhnya seperti roda. Kerap kali kita menyangka bahawa apa yang kita peroleh hari ini tidak akan berubah esok atau lusa tetapi tidak mustahil juga hilang dalam sekelip mata. Hanya kerana kecuaian dan keangkuhan kita terhadap sesama insan, kita menutup pintu pada orang yang miskin dan kelaparan. Natijahnya, tertutup pintu rezeki rezeki kita. Dalam al-Quran dinyatakan: "Dalam harta kamu ada hak peminta-minta (sedekah)." Ibadat puasa mendidik kita bahawa sesuatu yang diberikan, waima seteguk air, sesuap nasi atau seulas kurma akan menjadikan kita tetap kaya dalam erti nilaian pahala berlipat kali ganda di sisi Allah SWT. Ibadat puasa dapat menambah apa yang ada, menutupi kekurangan serta membuka pintu rahmat, rezeki, berkat dan hikmah Allah SWT. Untuk mendapatkan apa yang kita perlukan, maka berpuasalah untuk mendapat kemaafan Allah. Berpuasalah untuk memperoleh syurga. Bahkan untuk memohon segala hajat kepada Allah maka berpuasalah. Ibnu Abbas RA berkata: "Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud 'andai umatku tahu tentang rahsia yang terkandung dalam Ramadan, pasti mereka mengharap seluruh bulan dalam setahun menjadi bulan Ramadan, sebab Ramadan menghimpun segala kebaikan, doa-doa yang mustajab (dipenuhi), dosa mereka diampunkan dan syurga merindukan mereka." |
You are subscribed to email updates from "BERANI KERANA BENAR!" To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan