Selasa, 16 Julai 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Puasa menjana peribadi Muslim

Posted: 15 Jul 2013 08:37 PM PDT

Oleh DR. AMINUDIN MANSOR

SEBAGAI ibu bapa Muslim, mereka wajib memberikan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan kepada anak-anak yang baharu hendak memulakan ibadah puasa.Penerangan dan penjelasan ini penting kepada anak-anak sebagai asas ilmu pengetahuan mereka tentang ibadah puasa di bulan Ramadan.

 

Disebabkan ibu bapa mengambil mudah dan merasakan penerangan dan penjelasan tentang puasa Ramadan dan puasa-puasa yang lain tidak penting, banyak kalangan anak-anak tidak mengetahui tentang definisi dan hikmah yang tersirat dalam amalan berpuasa.

Jelaskan kepada mereka tentang definisi puasa iaitu puasa dari segi bahasa bermaksud menahan diri daripada sesuatu.

Daripada istilah syarak pula bermaksud menahan diri daripada melakukan perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar sehingga terbenam matahari yang disertakan dengan niat.

Puasa merupakan satu daripada rukun Islam yang wajib ditunaikan oleh setiap individu Muslim pada bulan Ramadan.

Disebutkan dalam sebuah hadis Nabi Muhammad SAW daripada Thalhah bin 'Ubaidillah, sesungguhnya apabila Nabi Muhammad SAW melihat anak bulan. baginda berdoa: "Wahai tuhan yang telah menampakkan awal bulan kepada kami dengan aman dan iman, dengan selamat dan Islam. tuhanku dan tuhanmu ialah Allah, bulan yang benar dan baik." (Riwayat Tirmizi).

Setiap kali Rasulullah SAW menyaksikan terbitnya anak bulan Ramadan yang disebut hilal, baginda mengucapkan doa seperti yang disebutkan di atas.

Doa ini tidak hanya diucapkan baginda ketika hilal bulan Ramadan, tetapi juga pada bulan-bulan lain.

Disebutkan doa ini dalam amaliah Ramadan adalah untuk menyempurnakan sambutan Ramadan.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Daripada Abu Hurairah, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Berpuasalah kamu dengan melihat anak bulan dan berbukalah kamu dengan melihatnya. Jika awan menutup anak bulan, maka sempurnakan hitungan bulan Syaaban 30 hari." (riwayat Bukhari dan Muslim)

Jelaskan kepada anak-anak tentang rukun puasa. Puasa mempunyai dua rukun sahaja, iaitu niat, menahan diri.

Iaitu menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seperti makan dan minum bermula dari terbit fajar (Subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Puasa terbahagi kepada beberapa jenis, iaitu sama ada wajib sunat makruh atau haram. Puasa wajib adalah seperti puasa Ramadan, puasa qada, puasa nazar dan puasa kafarah.

Puasa sunat pula ialah puasa Arafah (9 Zulhijjah) bagi orang yang tidak mengerjakan ibadat haji. Puasa pada 9 dan 10 Muharam. Puasa pada hari Isnin dan Khamis. Puasa enam hari dalam bulan Syawal. Puasa pada tiga hari pertengahan bulan, iaitu 13,14 dan 15 hari bulan pada setiap bulan Hijrah.

Puasa makruh ialah puasa sunat pada hari Jumaat atau Sabtu dan puasa sepanjang tahun. Yang haram pula ialah puasa pada hari raya, sama ada Aidilfitri atau Aidiladha. Puasa pada hari-hari tasyrik, iaitu pada 11, 12 dan 13 Zulhijah. Puasa pada hari syak, iaitu pada 30 Syaaban.

Perlu dijelaskan akibat buruk tidak berpuasa. Antaranya, mendapat kemurkaan daripada Allah SWT, kehidupan menjadi tidak tenteram, mudah berputus asa, dibenci dan dipinggirkan oleh masyarakat seterusnya tidak menyumbang kepada kemakmuran negara.

Golongan orang yang harus berbuka puasa juga patut dijelaskan. Islam agama yang sesuai dengan fitrah dan tidak membebankan.

Antara golongan yang harus berbuka puasa ialah orang yang menghidap penyakit yang memudaratkan.

Orang yang sakit tenat. Orang yang bermusafir melebihi dua marhalah. Orang yang terlalu lapar. Orang tua yang tidak mampu berpuasa. Perempuan mengandung atau menyusukan anak.

Puasa menjana keperibadian Muslim. Bulan puasa iaitu bulan Ramadan akan dapat mendidik amal, iman dan ketakwaan kepada setiap Muslim. Selain berpuasa menahan lapar dan dahaga umat Islam juga diminta menjauhi dusta, fitnah, mengumpat dan melihat perkara yang haram.

Tidaklah sempurna puasa dengan semata-mata meninggalkan makan dan minum, bahkan sesungguhnya puasa adalah disertai dengan meninggalkan atau mendengar perkataan yang sia-sia pada siang hari.

Bulan Ramadan merupakan bulan yang penuh rahmat, berkat, pengampunan dan pembebasan diri daripada azab neraka. Pada bulan ini Allah SWT menurunkan Lailatulqadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Di dalamnya penuh keberkatan dan kesejahteraan sampai terbit fajar.

Ada lima keistimewaan bagi umat Nabi Muhammad SAW pada bulan Ramadan. Pertama, Allah SWT datang melihat mereka, jika ini yang terjadi maka untuk selamanya dia tidak disentuh azab. Kedua, bau mulut mereka yang berpuasa bagaikan minyak kesturi. Ketiga, para malaikat memohon keampunan siang dan malam untuknya.

Keempat, Allah SWT menyuruh syurga menghiasi keadaannya sebagai balasan orang yang berpuasa. Kelima, pada akhir bulan Ramadan Allah SWT mengampunkan dosa mereka semua.

Tiada ulasan: