Rabu, 3 Julai 2013

Addin

Addin


Setelah Kalah PRU13, Ibrahim Ali Mahu Jadi Pemandu Teksi

Posted: 03 Jul 2013 09:36 AM PDT

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali telah memecahkan kesunyian beliau dengan memberi khabar yang beliau mahu menjadi pemandu teksi bagi menyara kehidupan beliau. Saya terbaca berita ini melalui Free Malaysia Today (FMT) hari ini.

Beliau berkata beliau akan memohon permit teksi dan memandu teksi bagi menyara kehidupan beliau. Beliau ingin hidup secara sederhana sahaja kata beliau.

Berita ini sangat menarik perhatian saya kerana Ibrahim ini sudah saya kenali dengan rapat sejak 42 tahun yang lalu, dan saya rasa tidak percaya kenyataan ini keluar dari mulut beliau. 

Tetapi mungkin juga beliau serius kerana manusia ini berubah mengikut umur dan kematangan masing-masing.

Kalau beliau serius untuk menjadi pemandu teksi saya juga serius untuk memberikan nasihat yang jujur terhadap sahabat saya selama 42 tahun ini. Setahu saya Ibrahim tidak begitu cekap memandu, takut-takut ramai pula penumpang teksi yang beliau pandu itu masuk hospital. 

Bagi saya jika di nilai dari cara pemanduan beliau, Ibrahim sepatutnya tidak dibenarkan menjadi pemandu teksi bagi menjamin keselamatan penumpang-penumpang teksi beliau.

Bagi saya Ibrahim hanya layak untuk menjadi taukeh syarikat teksi dan tidak boleh jadi pemandu teksi pula. Kalau ada masa sehari dua ini saya akan berjumpa untuk menasihatkan beliau supaya membatalkan sahaja niat beliau untuk menjadi pemandu teksi, demi menjaga keselamatan penumpang dan pejalan kaki di jalanraya.

Lagi pun takut-takut penumpang-penumpang terpaksa mendengar Ibrahim berceramah pula sambil memandu. Takut beliau tidak memberikan tumpuan untuk memandu dengan selamat.

Kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) elok perhatikan jika ada Ibrahim memohon untuk lesen PSP yang diperlukan untuk membolehkan beliau memandu teksi. Kalau terjumpa permohonan beliau untuk lesen PSP itu, tolaklah permohonan beliau itu. Jangan bahayakan jalan raya dengan membenarkan Ibrahim Ali menjadi pemandu teksi.

Saya tahu Ibrahim tidak serius, itulah sebabnya saya menulis dengan santai sahaja. Kepada Ibrahim, janganlah buat lawak pula kerana beliau mampu melakukan kerja lain yang lebih sesuai untuk beliau.

Saya menulis ini hanya untuk mengusik Ibrahim sahaja. Jangan ambil hati. Saya bersahabat sejak 4 dekad dahulu dan saya tahu Ibrahim Ali tidak serius untuk memandu teksi, dan beliau sendiri tahu yang beliau bukanlah seorang pemandu yang cekap.

Beliau sendiri tahu yang beliau akan membuatkan ramai penumpangnya dalam ketakutan jika beliau yang memandu teksi itu. 



Iklan C (ii)
 


Timbalan MITI Salah Fakta Jawab Di Parlimen.. Ini Buktinya

Posted: 03 Jul 2013 08:10 AM PDT


Kia Rio Honda Rio dan Honda Brio. Kita baca dahulu kata-kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri…

"Ingin saya maklumkan bahawa harga kereta bagi enjin 1.3 liter di Malaysia adalah yang terendah di negara Asean jika dibanding dengan Thailand dan Indonesia.
"(Kereta) Perodua Myvi dan Proton Saga, masing-masing dijual dengan harga RM45,000 ribu dan RM33,888 berbanding dengan model Honda Rio di Indonesia dan Thailand yang berharga RM47,000 ribu," katanya. – Malaysiakini

Pertamanya kita ingin bertanya kerana beliau orang kuat perdagangan antarabangsa dan industri. Sejak bila Honda dan Kia berpakat mengeluarkan kereta yang sama Honda Rio dan KIA Rio?


Sebagaimana yang kita tahu Rio hanya nama kereta keluaran KIA seperti gambar di atas. Honda mengeluarkan kereta mereka iaitu Honda BRIO dan tak ada kereta Honda Rio.


Beliau membuat perbandingan Myvi – RM45 000, Saga – RM33 888 dan Honda BRIO – RM47 000. Lihat gambar Honda BRIO di bawah,


Agak-agaknya kalau Honda BRIO dijual di Malaysia dengan harga RM47 000, agak-agaknya kereta mana yang menjadi pilihan pembeli.




Iklan C (ii)
 


Ahli Parlimen BN Terkencing Dalam Parlimen

Posted: 03 Jul 2013 06:03 AM PDT

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan ahli parlimen BN Simpang Renggam, Liang Teck Meng bahawa laman Wikileaks pernah menerbitkan laporan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya.

"Yang Berhormat Simpang Renggam harus ingat. Yang melibatkan YB Pekan itu melibatkan Wikileaks."Wikileaks mengandaikan Pekan (Najib) terlibat dalam pembunuhan Altantuya.

"Yang melibatkan akaun di Israel yang mengaitkan saya, tidak disebut Wikileaks," kata Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dalam ucapannya di Dewan Rakyat pagi tadi.Liang di Dewan Rakyat semalam mendakwa Anwar mempunyai 20 akaun di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura dan China dengan jumlah mencecah RM209 juta (USD66 juta).

Anwar kemudianya meminta Liang bangun untuk memberi penjelasan, namun tiada jawapan."Tidak ada sama sekali rujukan dalam Wikileaks. Simpang Renggam harus ingat tiada disebut (pendedahan) dalam Wikileaks," katanya."Masa berucap tak berani bagi pencelahan, yang (dia) berani menjerit dari bawah. 

Saya bagi ruang, kalau dia nak bangun, sila bangun," cabar Anwar di Dewan Rakyat.Justeru, Anwar bercadang merujuk Liang ke jawatankuasa hak dan keistimewaan parlimen atas dakwaan menyalahguna kekebalan berhujah di Parlimen.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen, Anwar menyatakan untuk mengemukakan saman ke atas penerbitan yang menyiarkan dakwaan Liang tanpa menyiarkan jawapan balasnya hari ini."Kita semak tidak ada. Ini menunjukkan bukti yang luput. Tidak ada asas sama sekali. Dia kata Wikileaks tetapi bila disemak (mungkin) dia ambil daripada blog Umno," kata Anwar. ~keadilandaily




Iklan C (ii)
 



Punca Ahli Parlimen BN Fitnah Anwar Ada 20 Akaun Tersebar

Posted: 03 Jul 2013 03:25 AM PDT

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui tidak ada laporan mengenai dirinya dalam laman Wikileaks seperti yang didakwa ahli Parlimen Simpang Renggam, Liang Teck Meng.

"Tidak ada rujukan itu sama sekali dalam Wikileaks. Saya merujuk kepada Wikileaks tetapi tidak ada, apakah kita nak berikan pengesahan kalau tidak ada. "Simpang Renggam harus ingat tiada disebut (pendedahan ini) dalam Wikileaks," katanya pada persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Anwar meminta Teck Meng bangun untuk memberi respons tetapi tiada jawapan balas. Katanya, keadaan itu memaksa Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan supaya Dewan Rakyat memberi peluang kepada Teck Meng untuk menjelaskan mengenai pendedahannya.

"Simpang Renggam tak ada (dalam Dewan Rakyat), kalau beliau masih dengan pendiriannya, Yang Berhormat ada hak untuk buat usul (rujuk Jawatankuasa Hak dan Kebebasan ahli Parlimen).

"Ini jadi pengajaran kepada semua, kalau terlajak kata, susah," katanya.

Sementara itu, ketika ditemui di Lobi Parlimen, Anwar berkata, laporan itu mungkin dimulakan oleh blogger-blogger Umno, dan ahli Parlimen Simpang Renggam mengambil maklumat tersebut.

"Membaca teks Umno dan edarkan. Kita semak tidak ada, ini menunjukkan bukti yang luput dan pegang terpaksa disiarkan Umno dan diedarkan. Tidak ada asas sama sekali," katanya.

"Dia kata Wikileaks tetapi bila disemak (mungkin) dia ambil daripada blog Umno, " katanya.

Semalam, Teck Meng dalam Dewan Rakyat mendakwa Anwar mempunyai 20 akaun di bank-bank di Israel, Amerika Syarikat, Singapura dan China dengan jumlah mencecah RM209 juta (USD66 juta).

Teck Meng berkata, setiap akaun mempunyai maklumat terperinci termasuk nama pemegang, jawatan, nombor pasport, jenis, nombor, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang. ~sinar harian


Addin:

Maklumat hanya di ambil dari blog picisan umno..patutla maklumatnya merapu..




Iklan C (ii)
 


Kantoi!! Terbukti Ahli Parlimen BN Pembohong Besar

Posted: 02 Jul 2013 11:59 PM PDT


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzim hari ini menafikan dakwaan yang mengatakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar mempunyai 20 akaun luar negara.

Menurut Tze Tzim, dakwaan tersebut adalah tidak berasas dan berbaur fitnah. "Semalam pihak PKR telah membuat semakan terhadap data yang didakwa oleh penyokong BN itu.

"...hasil semakan mendapati terdapat 17 rekod Wikileaks mengenai Malaysia, namun satu pun tidak ada kaitan dengan pendedahan Anwar miliki 20 akaun," katanya di lobi Parlimen hari ini. ~sinar harian




Iklan C (ii)
 


Ini Bakal Calon BN Di PRK Kuala Besut..

Posted: 02 Jul 2013 09:40 PM PDT


Kekosongan kerusi Dun Kuala Besut berikutan kematian wakil rakyatnya, Dr A Rahman Mokhtar memanaskan kembali iklim politik di Terengganu.

Isu siapa calon yang bakal menjadi taruhan parti antara topik hangat yang dibualkan di mana-mana sahaja.

Beberapa nama disebut-sebut mungkin dalam senarai calon BN Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut, antaranya Pegawai Agama Daerah Dungun, Nik Zulhaiza Ismail.

Beliau mungkin calon sesuai berdasarkan beberapa kriteria seperti latar belakang agama yang dimiliki dan merupakan anak tempatan.

Nik Zulhaiza ketika dihubungi Sinar Harian berkata, sebagai kakitangan awam berkhidmat dengan kerajaan, beliau akur apa sahaja keputusan dibuat pucuk pimpinan.

"Jika saya diberi mandat untuk bertanding, saya akur dengan keputusan itu tetapi ia bukanlah matlamat asal saya.

"Apa yang penting, pengetahuan dan pengalaman yang ada pada saya dapat dicurahkan kepada masyarakat, lebih-lebih lagi di tempat sendiri," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Syariah Setiu, Besut dan Kuala Terengganu.

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Agama Daerah Besut sebelum bertukar ke Dungun.

Nama beliau dikaitkan dengan kerusi panas itu berikutan 'ketandusan' tokoh agama berikutan beberapa Adun sebelum ini digugurkan, selain kalah PRU13, baru-baru ini.

Calon lain yang diramal jadi pilihan ialah Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Besut, Zahanapi Sagaf dari Kampung Pangkalan Sentul, Mukim Bukit Puteri, Kuala Besut.

Beliau yang kini Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan Majlis Daerah Dungun dikatakan antara calon yang turut disebut-sebut pada PRU13 lalu.

Seorang lagi muka baru yang disebut-sebut ialah anak veteran Umno Kuala Besut iaitu bekas Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang kini jurutera JPS di Putrajaya.

Beliau yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam, USM dikatakan antara nama yang disenarai pendek dan dihantar untuk pemilihan pucuk pimpinan parti.

Tengku Zaihan adalah anak jati Kampung Seri Seratus, Mukim Kuala Besut sebelum ini dikatakan mesra Umno dan mempunyai ciri menjadi pemimpin.

Tidak terkecuali, pensyarah Institut Pendidikan Guru Sultan Mizan, Mohamad Mat Kadir dari Kampung Alor Peroi, Mukim Kuala Besut.

Walaupun beliau tidak mempunyai jawatan dalam parti tetapi golongan veteran menyukainya. ~sinar harian




Iklan C (ii)
 


ADUN Bukan Islam Cadang Larang Minum Arak Di Tempat Awam

Posted: 02 Jul 2013 08:26 PM PDT

ADUN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar hari ini mencadangkan agar satu kerajaan memperkenalkan satu undang-undang baru bagi melarang perbuatan meminum minuman keras di tempat awam.

Menurutnya, enakmen itu bertujuan bagi memberi kuasa undang-undang kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan polis untuk menguatkuasakan larangan tersebut di tempat berkenaan.

Kawasan awam yang dimaksudkannya itu termasuk tempat-tempat seperti taman permainan, kawasan rekreasi dan padang bola, kata bekas exco itu.

"Pejabat saya telah menerima banyak aduan dari orang ramai tentang kumpulan yang minum minuman keras di lokasi berkenaan sehingga larut malam dan kemudian meninggalkan botol kosong dan juga pecah yang berselerak di tempat tersebut.

"Keadaan ini menyebabkan kacau dan ganggu kepada keharmonian dan ketenteraman penduduk setempat di kawasan berhampiran," katanya.

Katanya, undang-undang seperti itu dikuatkuasa di beberapa negara seperti Australia, Kanada dan Amerika Syarikat yang menghalang perbuatan membawa dan meminum bahan tersebut di kawasan seperti taman dan pantai.

Selain itu, beliau juga menuntut agar kerajaan mengharamkan penjualan arak murah bagi membendung gejala sosial yang menurutnya semakin serius.

"Saya juga mohon kerajaan negeri melarang dan mengharamkan jualan arak murah yang boleh diperolehi dengan mudah dan berleluasa di kedai runcit, kedai perubatan Cina dan pasaraya di seluruh negeri.

"Yang begitu membimbangkan, pengambilan minuman ini dilakukan oleh ramai dari masyarakat India berpendapatan rendah.

"Ini menimbulkan masalah gejala sosial dan menyebabkan banyak berlakunya kes jenayah dan penderaan rumah tangga di kalangan masyarakat India yang tinggal di kawasan bandar dan luar bandar.

"Pihak berkuasa dan agensi-agensi berkaitan juga mesti terus memantau kedai yang menjual arak ini daripada menjualnya," katanya lagi.

Beliau berkata demikian semasa membahaskan titah Diraja di Dewan Undangan Negeri di Shah Alam hari ini. ~malaysiakini





Iklan C (ii)
 


Ku Li Menjadi Pengerusi Persatuan Beca Se Malaysia?

Posted: 02 Jul 2013 07:42 PM PDT

Tindakan Najib melantik Ahli Parlimen Baling, Azeez Rahim sebagai Pengerusi Tabung Haji yang baru terus menimbulkan persoalan dan menjadi perbualan ramai.

Tidak saja Mahfuz Omar dari Pas dan Nurul Izzah dari PKR yang mempertikaikannya serta menuntut penjelasan Perdana Menteri tentang kriteria perlantikan seseorang sebagai Pengerusi GLC, bahkan rakyat pelbagai peringkat terus bercakap mengenainya.

Di blog dan laman-laman sosial, baik yang pro UMNO mahukan pro pembangkang, perlantikan Azeez itu bukan saja mengundang kecaman dan kritikan, malah dijadikan bahan lawak dan momokan ramai.

Gambar Azeez mencium tangan isteri Perdana Menteri, Rosmah Mansor menjadi topik perbualan paling hangat seolah-olah perlantikan beliau itu lebih bersandarkan kepada kekerapannya mencium tangan Rosmah dan bukannya berdasarkan kelayakan ataupun pengalaman yang dimilikinya.

Jika dibandingkan perlantikan Azeez sebagai Pengerusi Tabung Haji dengan beberapa perlantikan lain yang dibuat oleh Najib, memang wujud tanda-tanya besar terutama mengenai kriteria, kelayakan dan kaitan wibawa seseorang itu dengan GLC atau agensi kerajaan yang diamanahkan kepadanya.

Azeez Rahim yang tidak sampai dua bulan menjadi Ahli Parlimen serta tiada pengalaman dalam dunia korporat, pengurusan serta perniagaan, telah dijadikan Pengerusi Tabung Haji, sebuah GLC yang mempunyai aset dan tabungan berbilion ringgit serta rangkaian perniagaan di seluruh dunia. Tabung Haji juga menjadi tabungan hampir semua umat Islam dan merupakan antara syarikat kebanggaan negara yang ditubuhkan oleh Prof Ungku Aziz bagi memudahkan umat Islam menunaikan rukun Islam kelima iaitu fardu haji ke Mekah.

Dr Latif Ahmad, Ahli Parlimen Mersing yang berpengalaman sebagai Exco Kerajaan Johor dan timbalan menteri, hanya diberikan jawatan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad atau SPNB, sebuah syarikat milik kerajaan yang tumpuan khususnya lebih kepada projek perumahan kos rendah dan memulihkan projek terbengkalai.

Berbanding dengan Tabung Haji, SPNB jauh lebih kecil walaupun Dr Latif seorang yang lebih berpengalaman serta berpengetahuan dalam politik dan pengurusan.

Annuar Musa yang difahamkan akan dilantik sebagai Pengerusi MARA adalah tokoh hebat dari Kelantan dan pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Pembangunan Luar Bandar. Kepandaiannya dalam mengurus menjadikan Persatuan Bolasepak Kelantan atau KAFA yang dikendalikannya kini menjadi kuasa baru dalam bolasepak negara dengan memenangi beberapa kejuaraan utama.

Tetapi beliau hanya diberikan jawatan Pengerusi MARA yang kini semakin mengecil peranannya dalam membantu orang-orang Melayu di bidang perniagaan serta pendidikan berikutan peruntukan kerajaan yang semakin dikurangkan tahun demi tahun. Lebih-lebih lagi setelah Kementerian Pembangunan Usahawan dihapuskan oleh Najib pada 2009 lalu, MARA seolah-olah sudah tenggelam peranannya dalam membantu usahawan-usahawan Bumiputera.

Berbanding dengan Tabung Haji juga, MARA ternyata lebih keci meskipun Annuar Musa yang bakal dijadikan Pengerusi agensi itu adalah individu yang cukup pengalaman dalam politik, pengurusan serta banyak membantu rakyat di pelbagai peringkat sebelum ini.

Syed Hamid Albar yang pernah menjadi peguam dan berpengalaman sebagai menteri di pelbagai kementerian, apabila digugurkan daripada kabinet pada 2009, hanya diberikan jawatan Pengerusi SPAD yang secara kasarnya hanya menjaga bas, lori dan teksi saja. Bahkan pelantikannya sebagai Pengerusi Tabung Haji sebelum ini telah ditarik balik walaupun sudah menerima surat perlantikan itu.

Syed Hamid Albar juga dikenali seorang yang berintergeriti tinggi dan wibawanya diketahui ramai di dalam dan di luar negara. Dibandingkan dengan Tabung Haji juga, SPAD jauh lebih kecil dan seolah-olah tidak padan seorang yang berpengalaman dan berpengetahuan luas seperti beliau hanya ditugaskan menjaga bas, teksi dan lori saja.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Menteri Pertanian dan kini Ahli Parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom yang dikhabarkan telah dilantik sebagai penasihat di JPM. Perlantikan beliau itu lebih kepada untuk memberi jawatan semata-mata sedangkan tiada peranan khusus walaupun pengalaman dan pengetahuannnya dalam politik dan kerajaan selama puluhan tahun sebelum ini sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk peranan yang lebih besar lagi.

Jika dibandingkan dengan Pengerusi Tabung Haji, jawatan sebagai penasihat di JPM ini hampir tidak memberi makna kerana belum tentu ada nasihat Johari yang mahu diterima-pakai oleh Najib yang diketahui sudah pun mempunyai ramai penasihat sebelum ini.

Semua perlantikan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa semakin tinggi pengetahuan, pengalaman dan wibawa seseorang itu, semakin tidak penting dan kecil agensi kerajaan, GLC atau jawatan yang akan diberikan kepadanya manakala mereka yang tiada pengalaman, malah kewibawaannya dipertikaikan akan diberikan tanggungjawab mengendalikan syarikat yang bernilai berbilion-bilion ringgit pula.

Dalam hal ini jika Tengku Razalegh Hamzah, seorang yang mempunyai wibawa, pengalaman dan pengetahuan yang lebih tinggi, pernah menjadi Menteri Kewangan, Pengerusi IMF, Pengerusi Bank Dunia dan pelbagai jawatan lagi serta berperanan menubuhkan Bank Bumiputra dan Petronas, mahu diberikan jawatan oleh Najib, barangkali jawatan yang akan diberikan hanyalah Pengerusi Persatuan Beca SeMalaysia saja.

Ohh Malaysia tanahairku!!


~shahbudin.com




Iklan C (ii)
 


Rahsia Zahid Hamidi Terbarai Lagi.. Saksikanlah!!

Posted: 02 Jul 2013 06:57 PM PDT

KUALA LUMPUR, 1 JULAI: Kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi bahawa hanya dua kes sahaja membabitkan salah laku polis sehingga menyebabkan kematian dalam tahanan adalah statistik palsu.

"Sampai hati Zahid memberikan statistik palsu sedangkan angka itu tidak benar," kata Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran.

"Dharmendran mati disebabkan kesukaran bernafas sebelum dinafikan laporan bedah siasat menunjukkan beliau bukan sahaja diseksa sampai mati, malah kedua-dua telinganya juga di-staple (diketip dengan dawai kokot)," kata Surendran.

Katanya, percanggahan kenyataan polis dengan keputusan bedah siasat menunjukkan bukan yang dicari, tetapi cuba menutup pekung di dada.

"Inilah juga dakwaan polis terhadap punca kematian Kugan, iaitu beliau minum segelas air sebelum jatuh lalu mati," ujarnya ketika persidangan Dewan Rakyat.

Zahid yang juga ahli parlimen Bagan Datoh berkata di Dewan Rakyat 26 Jun lalu bahawa hanya dua kematian dalam tahanan akibat dicederakan pihak polis.

Justeru, beliau mengulangi desakan penubuhan IPCMC disegerakan kerana mampu melindungi lebih banyak nyawa rakyat berbanding bergantung kepada EAIC.

"Saya desak IPCMC segera ditubuhkan. Kesengsaraan setiap ahli keluarga orang mati dalam tahanan sangat berat, malah lebih sukar dilalui berbanding mangsa sendiri," tegasnya. ~keadilandaily




Iklan C (ii)
 


Tiada ulasan: