Warga emas cedera diragut
Jaasa menunjukkan tangannya yang cedera akibat direntap dengan kuat oleh peragut.

BOTA - Seorang warga emas mengalami detik cemas apabila dia diragut di hadapan rumahnya dalam kejadian pagi kelmarin.

Jaasa Jelias, 77, yang menceritakan detik kejadian berkata, sebelum itu dia sedang berehat di kerusi di hadapan rumahnya setelah selesai menjemur kain.

"Saya baru sahaja selesai menjemur kain dan memang sudah menjadi kebiasaan untuk berehat di hadapan rumah.

"Pada ketika itu saya berada seorang diri di rumah kerana anak telah pergi ke klinik untuk mengambil ubat," katanya yang tinggal di Kampung Teluk Bakong.

Kata Jaasa, ketika dia berehat, seorang lelaki datang dengan menaiki motosikal dan meletakkan motosikal itu di garaj rumahnya.

"Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa dan hanya melihat tingkah-laku lelaki berkenaan sebelum dia menegur saya dan bertanya saya tinggal dengan siapa.

"Saya yang menganggap tidak ada apa-apa akan berlaku menjawab tinggal seorang diri dan tiba-tiba dia terus meluru ke arah saya lalu menarik rantai tangan yang ada saya pakai," katanya.

Jaasa berkata, setelah rantai itu putus, lelaki berkenaan terus melarikan diri dan meninggalkannya dalam keadaan kesakitan.

Jelasnya, akibat tarikan kuat itu dia mengalami luka di tangan dan lebam akibat cengkaman kuat lelaki berkenaan.

"Saya terus menjerit memanggil jiran dan mereka yang menolong saya untuk memberitahu anak-anak mengenai kejadian ini," katanya.

Jaasa berkata, dia bukan sahaja kehilangan rantai tangan yang dianggarkan bernilai RM4,000 malahan turut mengalami kecederaan.

"Saya berasa  fobia untuk berada di luar rumah seorang diri ataupun melihat kelibat sesiapa sahaja yang datang ke rumah," katanya yang telah membuat laporan polis di Balai Polis Bota.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.