Khamis, 20 Jun 2013

labun KulupSakah...

labun KulupSakah...


kartun, kartunis dan solidariti

Posted: 19 Jun 2013 06:27 AM PDT

Persatuan kartunis sudah wujud sejak awal 90an lagi dengan teraju utama Allahyarham Rejabhad, Zainal Buang Hussein, Tazidi Yusof serta angkatan kartunis yang ramai jika hendak dibariskan di sini. Pada pandangan saya para kartunis perlu bersolidariti atas nama karyawan seni yang bekerja menghasilkan lukisan kartun beserta idea yang hendak disampaikan. Para kartunis harus merapatkan saf kembali untuk memberikan semula nafas kepada industri kartun di Malaysia. Berdiskusi mencari penyelesaian.

Dalam kemelut politik di negara kita pada hari ini, saya berpandangan kartunis terpisah kepada tiga bahagian walaupun hubungan sesama mereka tetap baik. Ia terbahagi kepada:-

1) Kartunis pro pemerintah
2) Kartunis lawan pemerintah
3) Kartunis yang tidak menzahirkan sokongan kepada mana-mana pihak

Sebagai kartunis, saya berpandangan kita harus keluar dari bingkai ini dan bersolidariti sebagai kartunis. Ertinya, walau apa pun pandangan politik, ia haruslah dihormati atas dasar penghasilan karya seorang seniman. Contohnya begini; jika kartunis Zunar dilihat menghasilkan kartun anti pemerintah dan kartunis Nud's mengkritik Pakatan Rakyat, kita menghormati atas dasar kebebasan melahirkan pandangan melalui sebuah karya. Jika karya mereka salah, mereka akan menghadapi tindakan undang-undang sama ada disaman atau didakwa di mahkamah. Tetapi atas dasar solidariti sesama kartunis, kita wajar memberi maklum balas menentang tindakan seperti menahan, menggari, mengugut dan menangkap mereka. Kerana kartunis berkarya sebagai seorang seniman dan kartunis bukanlah ahli politik. Maka pandangan yang dilontarkan di dalam sesebuah karya adalah dari sisi pandangan seorang seniman yang merakam suara rakyat. Walaupun suara itu menyokong belah mana pun.

Namun begitu kartunis mestilah mempunyai tanggungjawab terhadap karyanya yang mana mereka melukis berdasarkan pandangan mereka sendiri dan bukannya diupah oleh pihak lain. Solidariti kartunis mestilah mengutuk karya-karya yang tidak bertanggungjawab seperti karya yang melemparkan imej negatif sama ada fitnah, lucah dan tidak bermoral dengan tidak diketahui siapa pelukis dan penerbit. Karya yang tiada tandatangan pelukis atau menggunakan nama samaran lain yang tidak dapat dirujuk siapa sosok sebenar yang melukis adalah suatu perbuatan yang tidak bermoral.

Kartunis juga bagi saya harus mempunyai tanggungjawab menjaga kedaulatan Bahasa Melayu dengan tidak mengamalkan bahasa yang merosakkan.

Kartunis melalui persatuan digalakkan menganjur berbagai program seperti pameran kartun yang lebih luas skopnya dan tidak terhad atas dasar politik. Selain itu, dialog, forum, diskusi dan seumpamanya harus juga kerap dijalankan untuk kartunis bertukar-tukar pandangan serta merapatkan silaturrahim.
Kartunis juga perlu didedahkan dengan hak-hak mereka terutama dari segi hakcipta dan karya intelek, pembayaran royalti dan harga sebuah karya.

Diharapkan saranan ini dapat diambil perhatian oleh kartunis-kartunis Malaysia yang sebenarnya hebat-hebat belaka.
Sekian, wassalam.

Tiada ulasan: