Kerabu Bersuara ® |
Pengerusi SPR Kesal Isu Dakwat Kekal? Posted: 16 Jun 2013 10:44 PM PDT Dakwat kekal: Berduka dalam kebenaran LAILATUN KHALILAH NASIR&ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD FOTO: ROSLI TALIB "KALAU orang tanya saya sekarang ini, apakah perkara yang paling menyedihkan dalam hidup saya, saya akan jawab dakwat kekal," luah Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusuf. Kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Kesedihan dengan kisah dakwat kekal tidak dapat disembunyikan. Rasa kesal dan dukacita itu dizahirkan Abdul Aziz ketika kunjungan beliau ke pejabat Sinar Harian baru-baru ini. Kita merancang, ALLAH SWT yang menentukan segala-galanya. Namun kisah dakwat kekal bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan asas oleh sesetengah pihak untuk menuduh SPR membenarkan pengundi membuang undi lebih dari sekali. Jauh sekali membolehkan mereka menuduh SPR menipu untuk memberi kemenangan kepada parti yang memerintah. Bersama Editor Sinar Harian, LAILATUN KHALILAH NASIR dan wartawan ROBIATULADAWIYAH ABD RASHAD serta jurufoto ROSLI TALIB, orang nombor satu SPR ini meluahkan banyak lagi perkara yang wajar diketahui umum terutamanya apa yang terjadi ketika hari bersejarah 5 Mei lalu Pilihan Raya Umum Ke-13 sudah selesai, tetapi sesetengah pihak tidak puas hati atau sahaja mahu cetus provokasi? Saya merasa keadaan yang sangat aneh. Berduka cita dalam kebenaran. Sebagai orang Islam, kena percaya apabila berusaha dengan pelbagai cara, tetapi berjaya atau tidak, ALLAH SWT yang berkuasa. Dalam erti kata lain, pilihan raya ini, yang menjadi raja dan penentu memilih wakil rakyat adalah pengundi, bukan SPR. SPR sediakan gelanggang berlandaskan Perlembagaan. Bertandinglah sepuasnya untuk meraih undi rakyat. Kita jalankan ikut undang-undang sedia ada. Proses undang-undang kita sangat dinamik, dari tahun 50an sehingga sekarang, dinamik ini mengikut perlembagaan dan tuntutan rakyat semasa. Semua rakyat menunggu begitu lama dan teruja untuk mengetahui tarikh 5 Mei 2013, sehingga berlaku sejarah apabila Dun Negeri Sembilan terbubar sendiri. Apabila keputusan diumumkan, ada yang pertikai, marah dan tuduh macam-macam hingga kata kami (SPR) berkomplot. Ia amat pedih untuk kami terima tetapi itulah yang berlaku sekarang. Provokasi hingga ke jalanan. Saya ingin tegaskan, SPR sebuah badan bebas yang tidak boleh tunduk dengan arahan atau diarah oleh orang lain. Bukan kita bongkak tetapi peruntukan undang-undang mahu kita seperti itu, bebas. Tetapi bebas ini sangat subjektif, Pengerusi, Timbalan Pengerusi bekas pegawai kerajaan, sekarang ini kami yang bertugas di SPR, kami anggap sebagai berkhidmat untuk negara. Ketika ditawarkan jawatan ini saya tidak sampai hati mahu tolak. Ramai yang tidak mahu jawatan ini ia sangat memberi tekanan. Tetapi atas dasar semangat dan cinta pada negara, saya terima dan khidmat saya yang boleh diberikan untuk Malaysia. Bagaimana boleh timbul dakwaan SPR mengikut arahan kerajaan memerintah? Ketika ini persepsi yang dibuat seolah-olah SPR bawah telunjuk kerajaan pemerintah. Sejak saya dilantik jadi Pengerusi SPR, tidak pernah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, "Aziz buat ini, buat itu...", tidak pernah. Tetapi dari segi cadangan sesiapa sahaja boleh beri cadangan daripada Perdana Menteri sehinggalah budak pejabat. Sebab yang memutuskan apa-apa cadangan adalah tujuh panel yang diletakkan di bawah SPR, kita bebas buat keputusan. Maknanya, dari segi membuat keputusan dan operasi SPR, SPR bebas. Dalam politik SPR paling hampir dengan parti politik yang menentukan kalah menang seseorang parti politik, kalau menang mereka pujilah SPR, kalau kalah, lainlah bunyinya, mereka akan cari kelemahan lain. SPR seperti jadi kambing hitam. Persepsi ini tidak semestinya betul, kalau berkali-kali kata ini bukan putih, ini hitam, maka ia akan jadi hitam, itu politik. SPR pengadil, tugas kita sangat penting dalam PRU. Saya lihat pada PRU13 semua parti politik membuat fokus, mereka kata boleh menang negeri ini, kawasan itu. Contoh kerajaan pemerintah kata boleh ambil Kelantan dan Selangor. Tetapi dalam realiti tidak jadi begitu, Selangor makin teruk, Pulau Pinang lagi teruk begitu juga Kelantan kecuali Kedah. Ini maknanya apa? Maksudnya kita hanya boleh merancang ALLAH SWT yang menentukan. Dalam kes ini, pengundi jadi penentu. Boleh ke parti pemerintah dikatakan bersekongkol dengan SPR ang juga dicop sebagai ibu segala penipuan? Kalau SPR betul-betul penipu, maka menanglah negeri yang dicitakan parti pemerintah. Tapi apa yang berlaku tidak seperti itu bukan? SPR dalam mesyuarat rasmi dan tidak rasmi, tidak ada terlintas untuk menipu, tidak ada perancangan atau agenda untuk menipu bagi memenangkan mana-mana pihak. Yang kita bincangkan, bagaimana untuk PRU berjalan dengan teratur sempurna dan saksama, di bawah kawalan kita. Ramai yang melihat pembangkang berterusan menekan SPR, apa yang akan dilakukan? Apa yang boleh kita buat adalah pujuk dan terangkan. Kalau mereka nak ikut, ikutlah dan tak nak ikut apa boleh buat, kita tiada kuasa. Apa yang berlaku sekarang ini, PRU13 berjalan dengan baik dan lancar, mana pengundi suka pada calon berkenaan maka menanglah calon dan parti itu. Contoh, Lim Kit Siang bertukar tempat bertanding, menang di Gelang Patah, kalahkan bekas Menteri Besar Johor Ghani Othman. Sebab apa dia menang? Pengundi di Gelang Patah suka beliau, bukan sebab SPR tolong. Kita sediakan tempat untuk bertanding. Banyak calon lain yang memang boleh menang di mana-mana sebabnya pengundi suka. Keputusan 5 Mei lalu paling awal diumumkan 11.10 malam dan paling lewat 2.10 pagi, tidaklah begitu teruk jika dibandingkan PRU12. Tetapi, kita tetap dituduh lewat dan macam-macam lagi. Tetapi masih ada yang tidak mengiktirafnya dan menganggap banyak penipuan oleh SPR? Kalau kita rasional dan pegang pada ajaran agama, terimalah hakikat yang kita menang PRU dan dapat jadi wakil rakyat dan berhujah mewakili rakyat. Dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau tidak dapat tubuh kerajaan walaupun katanya dapat undi popular. Sistem yang diguna pakai tidak begitu, kita guna first-past-the-post. Adakah wajar untuk kita tukar proses situ selepas PRU13? Kecuali undang-undang dipinda. Kepada siapa yang bertanding terima hakikat, menang syukur, kalah cuba lagi lima tahun akan datang. Jangan kita pengaruhi budak muda untuk berhimpun, buat tuduhan melulu dan memesongkan persepsi mereka daripada yang benar kepada tidak betul. Macam-macam tuduhan, contoh 40,000 warga Bangladesh, memang tidak masuk akal, kalau orang Jawa ke susah juga kita nak kesan, tapi ini Bangladesh dalam jumlah yang banyak. Bagaimana isu lampu padam pada PRU13 boleh timbul? Malam selepas mengira, kita telefon semua tempat, esok kita tanya polis, mereka kata tidak ada lampu padam, tidak puas hati dengan jawapan itu kami telefon TNB, dan mereka tetap kata tidak ada lampu padam. Tetapi penghujung Mei timbul dalam akhbar ada lampu padam di Serdang, rupanya ada terputus bekalan elektrik di saluran tiga. Namun, masa lampu terang undi yang dikira BN menang, tapi dalam lampu padam itu, Pas menang, patutnya BN lah menang tinggi kalau kata kita nak menipu. Jadi bukan kata soal lampu padam itu. Setiap saluran ada ajen dan tahu berapa kertas undi keluar. Bukan kita berbohong atau berlakon, tetapi pada hari kejadian kami hubungi orang tertentu semua kata tidak ada. Jika benar keadaan itu, tetapi kemenangan itu berpihak pada pembangkang. Maknanya bukan sengaja lampu itu dipadamkan untuk memenangkan BN. Komen Tan Sri mengenai tuntutan Blackout505 yang mendesak anggota SPR meletak jawatan? Anggota SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-raja sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Berdasarkan peruntukan itu seseorang anggota SPR hanya akan terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 66 tahun atau anggota itu sendiri meletakkan jawatannya dengan rela hati. Seluruh anggota SPR tidak akan meletak jawatan atas desakan pihak berkenaan. Saya menerima banyak panggilan telefon untuk saya tidak tunduk dengan desakan itu. Apa salah kita? Seluruh dunia akan ketawa jika kita tunduk hanya sebab desakan itu. Buktikan dalam petisyen bahawa SPR melakukan banyak kesilapan dan pembohongan salah laku, rasuah sehingga kalah orang itu, menang orang ini. Buktikan, barulah ada asas untuk letak jawatan. Kami tidak akan letak jawatan, kalau mereka nak tuntut juga kita letak jawatan, pertama sekali mereka perlu fail petisyen, nampak jelas bahawa kita menipu dan melanggar undang-undang baru kita akur. Bagaimana cara untuk melucutkan jawatan anggota SPR? Seseorang anggota SPR boleh dipecat menurut peruntukan undang-undang. Pemecatan mana-mana anggota SPR boleh dibuat melalui suatu perintah oleh Yang di-Pertuan Agong jika anggota itu bankrap, terlibat dalam apa-apa jawatan berbayar di luar tugas jawatannya atau apabila mereka menjadi ahli mana-mana satu Majlis Parlimen atau Dun. Selain itu, perlucutan jawatan itu juga boleh dibuat melalui satu tribunal mengikut cara yang sama untuk memecat Hakim Negara. Bagaimanapun, jika gesaan dari mana-mana parti politik berhubung dengan pemecatan anggota SPR ini mendapat pertimbangan kerajaan maka suatu tribunal hendaklah ditubuhkan mengikut tatacara yang ditetapkan. Bagaimana dengan tuntutan kedua Blackout505, untuk adakan pilihan raya semula di sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen? Di bawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan, tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau Dun sesuatu negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya. Sehinggalah pengisytiharan dibuat oleh Mahkamah Pilihan Raya bahawa pilihan raya itu tidak sah, barulah boleh. SPR tidak ada kuasa untuk adakan pilihan raya semula kecuali meninggal dunia selepas Speaker memaklumkan. Saya pun pelik macam mana mereka hanya boleh suruh itu ini, lebih baik mereka kumpul bukti banyak bawa ke mahkamah. Tuntutan ketiga, mahu SPR menghentikan semua kajian persempadanan semula pilihan raya sehingga anggota baru SPR dilantik? Ini adalah satu daripada fungsi SPR untuk mengkaji semula persempadanan bahagian pilihan raya diperuntukkan di bawah Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan. Di bawah perenggan (i) Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, kajian semula hendaklah dibuat setelah tamat tempoh lapan tahun. Tempoh lapan tahun itu telah tamat pada 21 Mac 2011, jadi tidak wajar untuk dilengahkan dan hendaklah dibuat dalam tempoh yang munasabah kerana ini merupakan tuntutan tugas SPR di bawah Perlembagaan Persekutuan. Kenapa kita tidak buat pada 2011, kerana ketika itu ada khabar mengatakan PRU13 akan diadakan, jika kita tengah berbincang dan ketika itu bubar Parlimen keadaan akan lebih kelam kabut. Oleh itu kita tangguh lepas PRU13. Maka tahun ini kita akan mula bersama Sabah dan Sarawak. Bagaimana proses persempadanan itu berjalan? Untuk buat persempadanan semula bukan senang, satu kumpulan dilantik untuk bergerak ke negeri-negeri untuk menilai jumlah penduduk dan keadaan kawasan. Sudah 11 tahun berlalu, jadi bilangan penduduk semakin besar, migrasi dari kampung ke bandar semakin banyak. Cara kita bekerja dengan melihat realiti Malaysia, ada Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan. Jadi kita tidak boleh samakan dengan keadaan kampung, semi urban dan bandar. Jadi tidak adil dengan keadaan luar bandar dan bandar. Kita perlu ambil kira infrastruktur kawasan itu bagaimana wakil rakyat boleh berhubung dengan rakyat. Prosesnya begitu, kita juga mendengar banyak cadangan, antaranya pecahkan lagi banyak kawasan bandar, kalau Kuala Lumpur dari 11 jadi 20, adakah itu adil? Sedangkan rakyat senang berhubung antara satu sama lain, jadi itu antara perkara yang perlu difikirkan. Seboleh mungkin kita mahu jadikan kawasan tersebut satu pemimpin, satu undi dan satu nilai. Selain itu, beberapa negeri juga kita akan tukar dari angka genap kepada angka ganjil begitu juga dengan jumlah kerusi Parlimen, tidak lagi seperti angka sekarang 222, supaya ia tidak tergantung. Kalau ganjil tidak akan sama, jadi kita akan bincang mengenainya. Adakah kajian itu bermula? Sudah bermula, bagi negeri-negeri Semenanjung kajian utama telah dilakukan, kita sudah tahu berapa pertambahan kawasan dan kita akan mula di Sabah dan Sarawak. Tetapi menambah kawasan ini perlu mendapat kelulusan untuk pinda Perlembagaan, kita hanya boleh mencadangkan, tetapi perlu ada suara majoriti. Untuk parlimen akan dibahaskan di Parlimen, dan negeri bahas di negeri, bagi kawasan yang mempunyai majoriti dua pertiga lebih mudah. Tetapi kalau tidak cukup suara yang setuju maka jumlah kerusi Parlimen akan kekal. Ada suara mengatakan persempadanan semula ini hanya menguntungkan BN? Ini bukan soal untuk BN atau siapa, pada kita adalah untuk tentukan bilangan pengundi sebolehnya sama rata. Contoh untuk Parlimen berapa ribu ke atas, bagi semi urban pula berapa ribu begitu juga dengan kawasan kampung. Pendapat Tan Sri dengan cadangan jawatankuasa khas parlimen untuk memantau SPR? Apa yang akan dipanggil jawatankuasa itu kita tidak tahu, tetapi jawatankuasa ini akan jadi orang tengah antara SPR dan Parlimen. Maksudnya dari segi struktur SPR tidak lagi diletakkan di bawah mana-mana jabatan, dari segi operasi, SPR perlu membuat dasar atau undang-undang jadi kepada siapa kita mahu merujuk? Jika dulu kita rujuk pada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, oleh itu perlu pinda Perlembagaan untuk kita rujuk. Banyak syor yang dibawakan oleh PSC belum dilaksanakan, contoh mengkaji semula sistem pilihan raya, menyusun semula tugas SPR, supaya ada tiga suruhanjaya dengan tiga tugas dan sebagainya. Ada perkara yang memerlukan kajian untuk memperkasakan SPR. Siapa yang akan duduk dalam jawatankuasa itu akan dibincangkan kemudian. Banyak baiknya kepada SPR jika ada satu jawatankuasa itu, selagi ia menjadi tempat SPR merujuk, berbincang dan mendapatkan pandangan. Tetapi jawatankuasa ini tidak boleh mengarahkan SPR untuk lakukan apa-apa sahaja, kecuali dengan pinda Perlembagaan bahawa SPR bukan badan bebas boleh ikut arahan. Adakah dengan adanya jawatan kuasa mampu mengubah persepsi pembangkang? Pada saya susah nak dijangka, politik tetap politik, kalau kalah buat macam mana pun mesti ada benda yang tidak kena. |
Wanita, anak muda pemacu politik baru negara Posted: 16 Jun 2013 06:06 PM PDT NAMA: Liow Cai Tung UMUR: 27 STATUS: BUJANG PENDIDIKAN: Jurusan Ijazah Biochemistry dari Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) JAWATAN: Ketua Biro Pembangunan Remaja dan Ahli Majlis Eksekutif Pemuda Sosialis DAP Penyertaan ramai anak muda ke kancah politik adalah pemangkin ke arah politik baru dengan gagasan idea lebih segar untuk memecah tembok 'status quo' politik lama yang masih terperangkap di dalam skop politik rasuah dan perkauman sempit. Wartawan Roketkini, Aliff Fikri dan Hafiz Zainuddin baru-baru ini berpeluang menemuramah wakil rakyat termuda DAP ini untuk membincangkan perihal pemilihan serta kepercayaan rakyat yang memberi mandat kepada beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, penyertaan anak muda dan wanita dalam proses politik negara. Foto: Wira Andika. Setelah memenangi pilihan raya umum lalu, apa agenda utama saudari untuk Johor Jaya? Selepas sebulan, saya berjaya menyelesaikan beberapa aduan penduduk berhubung masalah mereka contohnya seperti longkang tersumbat, jalan berlubang, sampah tak dikutip dan aduan lain. Walaupun kita cuba mendidik mereka ke mana dan agensi mana sepatutnya mereka mengadu tapi mereka tetap mengharapkan ADUN sebagai penyelesai. Saya rasa ini disebabkan mereka sudah terbiasa dengan cara begitu yang diamalkan wakil rakyat sebelumnya. Sebelum ini Johor Jaya dikuasai MCA, dia lakukan semuanya mengenai masalah penduduk di sini sebab itu harapan mereka kepada saya lebih tinggi berbanding yang pernah dilakukan MCA. Jadi bagaimana dengan masalah penduduk, adakah berjaya ditangani? Sebaik saja kita mendapat aduan, kita akan menulis surat kepada agensi yang sepatutnya. Selain masalah kebiasaan penduduk, apakah masalah utama di Johor Jaya? Masalah keselamatan. Bukan isu insfrastruktur? Tidak dinafikan insfrastruktur adalah perkara penting kerana Johor Jaya adalah kawasan lama yang berusia lingkungan 20-30 tahun dan kebanyakan tempat di sini menghadapi masalah kesesakan lalu lintas, walaupun ia merupakan satu daripada isu tapi keselamatan menjadi masalah utama kerana ia berlaku setiap hari di sana. Jenayah seperti ragut, kecurian berlaku setiap hari. Sekarang saya sedang merangka untuk mengadakan sesi dialog bersama penduduk untuk mencari jalan terbaik demi keselamatan mereka. Sebenarnya Johor Jaya, kadar jenayahnya sangat tinggi. Sebelum pilihan raya baru-baru ini kadarnya amat tinggi, hanya beberapa bulan menghampiri pilihan raya baru ianya menurun sedikit tapi selepas pilihan raya naik balik. Apa sebabnya? Saya tidak pasti samada pihak polis ada membuat rondaan sekerap mungkin atau tidak. Daripada apa yang pihak polis beritahu, mereka mempunyai dua kereta peronda, jadi jika penduduk membuat sebarang aduan mereka akan sampai ke destinasi berlakunya kejadian jenayah secepat mungkin di antara 10 hingga 15 minit. Saya rasa untuk membasmi jenayah ini, pihak polis patut menambah lagi anggota untuk melakukan rondaan di seluruh kawasan , bukan sekadar tertumpu di tempat tertentu saja. Sebagai tenaga muda, apa pandangan saudari mengenai pembabitan anak muda terutama wanita dalam arena politik sekarang? Adakah ia perkembangan positif? Ya, sudah tentu semakin memperlihatkan perkembangan positif, di mana wanita semakin mendapat tempat. Mana-mana negara sekalipun, lelaki dan wanita harus bekerjasama antara satu sama lain. Pada saya, kenapa lelaki dilihat lebih mendominasi dalam keseluruhan politik negara, ia disebabkan jumlah pembabitan wanita itu sendiri yang tidak ramai. Tetapi kita di Pakatan Rakyat, DAP khususnya memiliki contoh yang baik, di Selangor Hannah Yeoh diberi mandat sebagai Speaker. Ini secara umumnya merupakan satu pengiktirafan kepada wanita. Apa pula pendapat saudari mengenai ramai rakyat yang bekerja di Singapura? Ia sudah tentu disebabkan mata wang dan nilai tukaran wang mereka yang lebih tinggi. Sebab itu ada di antara mereka yang tinggal di Johor Bahru tapi sanggup berulang-alik ke seberang kerana ingin mendapat gaji lebih lumayan. Adakah saudari mahu melihat mereka terus bekerja di sana? Sudah tentu tidak. sebab itu kita perlukan perubahan supaya mereka boleh kembali bekerja di negara sendiri kerana kerajaan sedia ada jelas tidak mampu memberi jaminan pekerjaan dan keselasaan hidup kepada mereka. Selain peluang pekerjaan terhad? Apa lagi masalah yang saudari lihat membelenggu orang muda di Johor? Adakah pendidikan? Dari segi pendidikan, saya lihat tidak ada banyak masalah sebabnya kebanyakan rakyat yang bekerja di Johor Bahru adalah golongan terpelajar, jadi ia bukan kerana mereka tidak memiliki pendidikan yang cukup dan menjadikannya penyebab untuk tidak bekerja di negara sendiri. Mereka sebenarnya memilih peluang pekerjaan yang bagus mungkin untuk membantu keluarga, malangnya ianya tidak dapat diperoleh di negara sendiri. Kesimpulan saudari mengenai kemenangan besar Pakatan Rakyat di Johor? Adakah kerana rakyat sudah mula bangkit atau disebabkan isu kaum? Kemenangan ini saya kira disebabkan rakyat terinspirasi daripada kesedaran politik yang berlaku di Singapura, di sana rakyat sudah mula menuntut perubahan daripada pemerintah sedia ada untuk kehidupan yang lebih stabil. Mengapa saya kata rakyat menjadikan Singapura sebagai contoh? Sebab kita di Johor, jaraknya dari Kota Singa itu sangat dekat, jadi setiap perkembangan atau berita dari sana dapat kita perolehi setiap hari. Malah kita juga mendapat saluran televisyen dari sana, jadi ia menjadi sumber rujukan berguna kepada kita. Sebelum pilihan raya ramai rakan saya tidak tahu apa perkembangan di Johor, ketika rakyat di Pulau Pinang, Perak dan seluruh negara mahukan perubahan tapi Johor tetap kekal begitu seolah-olah tidak akan berlaku apa-apa. Selain perkembangan Singapura, kesedaran itu lahir dan merebak berpunca daripada pengaruh media sosial seperti Facebook. Mengenai isu perkauman yang sentiasa dimainkan Barisan Nasional (BN) setiap kali pilihan raya umum, ia hanya berjaya di kampung, manakala di bandar cubaan menggunakan racun perkauman sudah tidak memberi makna. Jika mereka terus memainkan sentimen itu sekali pun, rakyat di kawasan bandar tidak mempercayainya. Rakyat kini tidak lagi termakan dengan politik tidak sihat berasaskan kaum yang direka BN. Jadi kesimpulannya Pilihan Raya Umum lalu adalah kebangkitan anak muda dan penduduk bandar? Ya, daripada jumlah undi saya kita dapat melihatnya kerana sebelum Pilihan Raya Umum ke-12, kawasan saya mempunyai pengundi seramai 38,000 orang dan untuk pilihan raya terbaru jumlahnya bertambah kepada 51,000. Saya menang dengan majoriti 1,087 undi, ini hasil sokongan pengundi muda yang mengundi buat kali pertama. Majoriti kemenangan agak kecil ini pada saya merupakan motivasi untuk bekerja lebih kuat. Bagaimana pula dengan undi Melayu? Undi Melayu yang saya dapat adalah antara 29 hingga 30 peratus. Johor Jaya adalah kawasan campuran dengan 47 peratus Cina, 44 peratus Melayu. 30 peratus pada jumlah yang agak bagus untuk saya sebagai calon baru. Tapi saya masih perlu bekerja keras terutamanya di kawasan Melayu sebab ada beberapa kawasan di kampung jumlah undi yang saya dapat agak sedikit. Perlu lebih melakukan banyak aktiviti, kerana aktiviti sebelum ini tidak cukup. Saudari rasa perlukah orang muda Melayu terlibat langsung dengan politik dan membantu DAP? Sudah semestinya dan kita sentiasa menerima dengan tangan terbuka, kita perlukan bantuan untuk meningkatkan lagi kesedaran di kawasan pedalaman dan kampung. Kemunculan ramai golongan muda menjadi Yang Berhormat, adakah saudari merasakan kelompok senior atau 'orang lama' masih relevan? 'Orang lama' tidak boleh kita ketepikan, memang kita sebagai golongan muda lebih bertenaga daripada mereka, tapi kita kurang daripada segi pengalaman. Kita tetap perlukan 'orang lama' untuk membimbing dan memberi pandangan. Generasi muda memang memiliki lebih banyak idea, tapi kecekapan 'orang lama' tidak boleh dinafikan. Sebab itu, pada saya dua generasi ini perlu bergabung untuk mendapatkan hasil lebih baik. Harapan saudari pada pilihan raya umum akan datang? Tentunya saya mengharapkan kita berjaya mengubah Malaysia. Saya juga berharap pada masa akan datang lebih ramai orang muda terutamanya wanita membabitkan diri dalam politik supaya ada imbangan baik antara lelaki dan wanita agar kita dapat berkongsi pemikiran masing-masing demi membentuk sebuah negara yang lebih maju, membangun serta dapat memberi kesenangan kepada semua rakyat.-Roketkini.com - See more at: http://roketkini.com/2013/06/17/wanita-anak-muda-pemacu-politik-baru-negara/?utm_source=feedburner&utm_medium=feed&utm_campaign=Feed%3A+RoketKini+%28roketkini.com%29#sthash.ASTv9XBA.dpuf |
You are subscribed to email updates from Kerabu Bersuara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan