Sabtu, 8 Jun 2013

Kelab Greenboc

Kelab Greenboc


[KISAH MASYARAKAT] Kerana Dadah, Dua Wanita Sanggup Melacurkan Diri

Posted: 08 Jun 2013 01:01 AM PDT


Chukai – Kegiatan dua wanita yang menawarkan khidmat seks bagi mendapatkan bekalan dadah terbongkar apabila rumah sewa mereka diserbu polis, dengan salah seorang daripadanya yang berstatus janda dicekup bersama pelanggannya dalam keadaan berbogel.

Ketika serbuan di Flat Kampung Fikri, dekat sini, kira-kira jam 11 pagi kelmarin, janda terbabit yang berusia 28 tahun bersama seorang lelaki berusia 37 tahun dan seorang lagi wanita berusia 20 tahun sedang dalam keadaan khayal.

Dalam serbuan yang dilakukan 10 anggota diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah dan seorang kakitangan Pejabat Agama Daerah Kemaman itu, polis turut merampas satu tiub dadah daripada janda berkenaan yang mempunyai seorang anak.

Berdasarkan rekod, polis mendapati suspek berusia 20 tahun itu baru sahaja keluar dari pusat pemulihan akhlak wanita di Negeri Sembilan.

Apabila masuk ke sebuah lagi bilik tidur, didapati janda terbabit dan pelanggannya sedang melakukan hubungan terlarang dan dalam kedua-dua bilik tidur itu turut berselerakan alat-alat yang digunakan untuk menghisap dadah.

Dipercayai kedua-dua wanita itu menetapkan syarat mana-mana lelaki yang mahu meniduri mereka perlu memberi dadah sebagai upah.

Ketua Polis Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, selepas ujian air kencing dilakukan didapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine selain kesemuanya mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Suspek berusia 28 tahun dan lelaki yang berusia 37 tahun juga dipercayai pengedar dadah serta masing-masing mempunyai dua dan enam rekod kesalahan berkaitan dadah, manakala wanita yang berusia 20 tahun mempunyai tiga rekod lampu termasuk turut memiliki satu waran tangkap kerana tidak hadir perbicaraan kes terdahulu," katanya.

Sehubungan itu, semua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan janda terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 12(2) akta sama kerana memiliki dadah. Kesemua mereka dituduh di mahkamah semalam.

Pasangan itu juga turut diserahkan kepada Pejabat Agama Daerah Kemaman dan akan didakwa mengikut undang-undang syariah kerana bersekedudukan. -SH

[VIDEO] Himpunan 15 Jun Diteruskan Sekalipun Polis, DBKL Berdolak- Dalik

Posted: 07 Jun 2013 11:00 PM PDT


Perhimpunan Aman Black505 pada 15 Jun ini akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun berdepan sikap double standard pihak berkuasa yang disifatkan cuba untuk melengah-lengahkannya.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli mendakwa, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) cuba melengah-lengahkan himpunan tersebut apabila mula berdolak-dalik berhubung kebenaran penggunaan Padang Merbok.

Beliau berkata, tindakan polis dan DBKL itu bercanggah dengan Akta Perhimpunan Aman.

"Kita berpendapat kita memenuhi keperluan memberi notis 10 hari kepada polis dan mengemukakan permohonan penggunaan padang kepada DBKL.

"Sebelum ini polis juga mengambil pendirian serupa, kena dapatkan kebenaran pemilik tempat dahulu, tetapi pada masa sama bila kita cuba dapatkan kebenaran daripada pemilik tempat.

"Pemilik tempat pula memberi alasan perlu mendapatkan kebenaran polis dahulu dan ini jadi permainan oleh badan-badan kerajaan ini yang menjaga harta awam untuk melengah-lengahkan dan menyukarkan perhimpunan," kata Rafizi kepada TV Selangor.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad ketika mengesahkan penerimaan notis tersebut memberitahu TV Selangor, penganjur Perhimpunan Aman Black505 gagal mematuhi syarat di bawah Seksyen 10C Akta Perhimpunan Aman kerana tidak mendapat kebenaran DBKL bagi menggunakan Padang Merbok.

Justeru, perhimpunan tersebut dianggap sebagai perhimpunan haram sekiranya diteruskan.


Kerajaan Minoriti BN Terus Tekan Pemimpin Pakatan Rakyat, 5 Lagi Disiasat

Posted: 07 Jun 2013 07:35 PM PDT


Demo pro-Adam Adli: 5 pemimpin Pakatan disiasat

Lima pemimpin pembangkang yang hadir dalam acara nyalaan lilin pada 22 Mei lalu untuk menuntut pembebasan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim disiasat polis hari ini.

Mereka yang disiasat Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub dan empat wakil rakyat: Gobind Singh (Puchong), Tan Seng Giaw (Kepong), Ng Suee Lim (Sekinchan) dan Ronnie Liu (Pandamaran).

Ng memberitahu Malaysiakini hari ini, polis semalam menyamannya ke balai polis Kepong untuk memberikan kenyataan pada Rabu - hari yang sudah pun lepas.

"Gobind sudah menghubungi polis untuk menyusun tarikh lain untuk Gobind, Liu dan saya sendiri untuk memberikan kenyataan.

"Tan sudah memberikan kenyataannya dan Salahuddin dijadual hari ini, menurut laporan media," kata Ng.

Mereka disiasat bawah seksyen 143 Kanun Keseksaan berkaitan perhimpunan haram.

Sebelum ini pemimpin Pakatan sudah ditahan dan dituduh di mahkamah selepas menganjurkan perhimpunan mempertikaikan keputusan pilihan raya 'Black 505'.

[GAMBAR BERBICARA] Al-Kisah Projek Jambatan Kedua P.Pinang!

Posted: 07 Jun 2013 05:07 PM PDT


Keratan akhbar yang pernah menjulang Najib sebagai pemimpin pertama menggunakan jambatan kedua Pulau Pinang.





Dengan penuh riak, angkuh dan bangga, mereka menyatakan ini adalah "Projek Untuk Rakyat Pulau Pinang Daripada Barisan Nasional."



Sekarang ini jawapannya!!! Bukankah ini juga projek Barisan Nasional atau dah tak nak mengaku dan hendak persalahkan kerajaan Pulau Pinang??




SPR Perlu Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

Posted: 07 Jun 2013 07:02 AM PDT


Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

"Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

"Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

"Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya," katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

"Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

"Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah," katanya lagi.

Mengapa Siasatan Kematian 14 Gajah Pigmi Tidak Diumumkan?

Posted: 07 Jun 2013 05:31 AM PDT


Sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan isu-isu alam sekitar – Sahabat Alam Malaysia – menggesa Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengumumkan hasil siasatan kematian 14 ekor gajah pigmi kira-kira enam bulan lalu.

Presiden SAM, S M Mohamed Idris berkata, kementerian dan jabatan tidak boleh menutup mata dan memekakkan telinga terhadap sebarang pelanggaran undang-undang sama ada oleh syarikat pembalakan, petani atau industri kelapa sawit.

"(Mereka) perlu memastikan bahawa mereka yang bertanggungjawab itu mestilah didakwa dengan segera," kata beliau dalam sepucuk surat kepada FMT hari ini.

Beberapa bulan telah berlalu dan SAM masih tertanya-tanya siapa atau apakah yang bertanggungjawab terhadap kematian 14 ekor gajah pigmi itu.

Kata S M Mohamed, amat sukar untuk memahami kenapa ia mengambil masa yang begitu lama untuk analisis itu didedahkan.

Menurutnya, analisis dari negara maju seperti Australia seharusnya mampu untuk mengeluarkan hasil tanpa kelewatan yang berpanjangan.

"Hanya selepas beberapa surat kepada pengarang dari pembaca, baharulah pendedahan dibuat oleh Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah bahawa analisis histopatologi mengesan kehadiran keracunan kaustik," kata beliau lagi.

`Apa yang boleh didakwa'

Menurut S M Mohamed, walaupun polis Sabah telah mengambil inisiatif untuk menyiasat, adalah lebih baik jika mereka boleh memuktamadkannya.

"Mereka perlu mendedahkan apakah kes yang boleh didakwa dan apa yang tidak boleh didakwa.

"Pihak polis masih belum mengumumkan sebarang kes yang akan didakwa atau sebarang kesimpulan ke atas kertas siasatan mereka.

"Tidak terdapat bukti muktamad dari polis Sabah selain daripada petunjuk kepada kematian gajah itu," tambahnya lagi.

Kekurangan usaha penyiasatan untuk mengenal pasti mereka yang bertanggungjawab terhadap pembunuhan gajah-gajah itu satu petanda yang tidak baik bagi Jabatan Hidupan Liar.

Ia juga hanya menunjukkan kelemahan urus tadbir dan sikap ini tidak meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang.

Kerajaan mestilah telus

Menurut S M Mohamed, jika Jabatan Hidupan Liar Sabah prihatin dan benar-benar serius mengenai pemuliharaan dan perlindungan spesies hidupan liar mereka perlu bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada orang ramai hasil penyiasatan dan langkah pencegahan yang diambil untuk mencegah berlakunya kematian misteri pada masa akan datang./

Kerajaan mestilah bersikap telus dan tidak mengambil mudah akan sikap kepintaran dan ingin tahu orang ramai.

Jika alasan kukuh tidak diberikan, akan tiba masanya sebelum orang ramai menyedari bahawa mereka tidak dipedulikan.

Lebih penting orang ramai mestilah diyakinkan bahawa kertas penyias atan itu perlu diumumkan kepada orang ramai, kata S M Mohamed lagi.

SAM berharap perkara ini tidak akan berhenti begitu sahaja, kata S M Mohamed lagi. -FMT


Laporan sebelum ini
klik untuk baca

Tiada ulasan: