Kelab Greenboc |
- Minta Campurtangan Tentera: KDN Cuba Takutkan Rakyat
- Libasan Indah & Tajam TG NIk Aziz Terhadap Kenyataan Zainal Kling
- IKHLAS Semasa Menderma, RM10 Dibaluti Dengan RM1
- Jalankan Undi Rahsia Untuk Jawatan Speaker Atau Hadapi 'Perang Besar'
- [BLACK 505] Final Countdown Malam Esok Di KLSCAH
Minta Campurtangan Tentera: KDN Cuba Takutkan Rakyat Posted: 21 Jun 2013 12:15 AM PDT Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, tiada keperluan untuk tentera campurtangan dalam Himpunan Black 505 Sabtu ini dan dakwaan sedemikian sekadar cubaan menakutkan rakyat. Beliau mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Salleh Mat Rasid bahawa polis akan meminta bantuan tentera bagi menangani himpunan itu. "Saya tidak fikir pihak tentera akan campur tangan dalam himpunan ini nanti," "Kita percaya polis juga akan bertindak secara profesional kali ini, tiada keperluan untuk pihak berkuasa berkeras," katanya lagi. Menjadikan himpunan KL112 sebagai contoh, Rafizi yakin suasana akan aman jika tiada sekatan dikenakan terhadap peserta himpunan. "Adalah lebih baik pihak berkuasa membiarkan himpunan ini berjalan tanpa ada gangguan, kita telah buktikan himpunan lepas aman tanpa gangguan pihak berkuasa," ulasnya. Amaran serupa pernah dikeluarkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Julai 2011 untuk mengenakan tindakan Akta Keselamatan Dalam negeri (ISA) dan mengerahkan tentera bagi menangani himpunan Bersih 2.0. Bagaimanapun, tiada sebarang penglibatan tentera mahupun tindakan ISA dikenakan ke atas penganjur atau peserta himpunan itu. -KD
|
Libasan Indah & Tajam TG NIk Aziz Terhadap Kenyataan Zainal Kling Posted: 20 Jun 2013 08:45 PM PDT Cadangan PAS bersama Umno, pungguk rindukan bulan Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling seperti yang tersiar di dalam Sinar Harian hari ini 20 Jun 2013. Saya kira kenyataan yang dikeluarkan sangat tidak terawang-awang dan tidak berpijak di bumi nyata. Nampaknya pandangan karut ini cuba untuk disebarkan atas nama akademik kononnya, padahal jelas nampak kepentingan UMNO timbul di permukaan air. Di dalam kenyataannya itu, beliau mencadangkan agar PAS bergabung dengan UMNO untuk memperjuangkan Islam. Ini kerana parti-parti yang ada di sekeliling PAS semuanya mengkhianati Islam. Hanya UMNO sahaja yang memperjuangkan Islam. Pada saya, kenyataan ini sangatlah tidak berasas. Jika umpama dahan pokok untuk berpaut, profesor ini nyata sekali sedang bergayut di dahan yang rapuh. Barangkali kerana bimbang jatuh ke tanah digigit semut, terus menerus tangan memeluk dahan yang menunggu masa untuk tersemban. Lambat laun sebenarnya dahan ini akan jatuh jua. Amatlah lucu sekali apabila beliau menyatakan bahawa hanya UMNO yang memperjuangkan Islam. Barangkali langkah UMNO membenarkan premis judi di Kelantan sebelum tahun 1990 dahulu salah satu daripada perjuangan Islam menurut kacamata 'orang cerdik pandai' ini? Di Melaka, pernah seorang Ketua Menteri yang merupakan pimpinan tertinggi UMNO mencadangkan agar pusat hiburan dilanjutkan masa pembukaannya sehingga ke awal pagi, inipun juga barangkali perjuangan untuk menegakkan Islam. Itu belum dicampur kenyataan-kenyataan yang menghina Islam yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO sebelum ini. Semuanya termaktub di dalam lipatan sejarah dan generasi kita tidak buta untuk membaca semula catitan ini. Saya ingin bertanya, jika sekarang mahu mengajak PAS bersatu dengan UMNO, apa lebihnya UMNO berbanding dengan PAS dalam hal memperjuangkan Islam? Sewaktu pemimpin parti komponen Barisan Nasional menghina seorang wakil rakyat UMNO di Johor yang mencadangkan hudud dengan label 'hilang akal', di mana pemimpin UMNO menyembunyikan diri? Jika lebihnya UMNO ialah kerana bilangan kerusi, saya suka mencadangkan agar ADUN UMNO di Kelantan menyertai PAS kerana bilangan kerusi yang dimiliki oleh PAS di Kelantan lebih banyak jauh mengatasi UMNO! Jika UMNO memperjuangkan Melayu, kenapa Kelantan dinafikan hak ke atas royalti minyak dalam keadaan majoriti rakyat Kelantan berbangsa Melayu dan beragama Islam? Kenapa UMNO memainkan peranan untuk menyekat pembangunan ke Kelantan dan ini diakui sendiri Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan satu ketika dahulu? Apakah perkataan yang lebih tepat untuk menggambarkan sikap seperti ini selain daripada pengkhianat? Pada saya, Islam yang dibawa oleh UMNO ialah Islam celup. Selagi dasar yang menjadi tunjang perjuangan UMNO ialah kebangsaan, tiada apa-apa nilai terhadap gerak laku UMNO sekalipun nampak seolah-olah ia pro-Islam. Di zaman Rasulullah SAW, masjid Dhirar diperintahkan untuk diruntuhkan sekalipun ia sebuah masjid kerana ia didirikan bukan di atas semangat Islam yang sebenar. Kerana itu, saya tetap berpendirian, PAS tidak akan bersama-sama UMNO selagi UMNO tidak menukar dasar. Berhentilah menjadi pungguk yang rindukan bulan. Saban malam merenung bulan sambil memanggil-manggil, mahu terbang sayap kecil, mahu biarkan sahaja, hati pula tidak sanggup melihat bulan dipagar bintang. Akhirnya si pungguk hanya mampu berbuat bising! Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS) Bertarikh: 11 Syaaban 1434H bersamaan 20 Jun 2013M |
IKHLAS Semasa Menderma, RM10 Dibaluti Dengan RM1 Posted: 20 Jun 2013 05:10 PM PDT Dari FB: "Baru2 ni sempat solat jumaat di kampung halamanku. Siap solat Jumaat, tolong abah kira duit tabung jumaat. Terjumpa duit RM10 digulung dalam duit RM1. Aku berseloroh "Ada juga jenis balut mcm ni". Abah kata "Tiap2 mggu wajib ada dia ni. RM11..duit RM10 mesti dia gulung dgn duit RM1. duit RM1 ja nampak". Aku terfikir..mungkin penderma ni cuba elak agar diri tak menjadi merasa riak. Kita bagaimana?? Bila derma Rm1 rasa seperti Rm100..? Renungan untuk diri. Ulasan GB "mengikhlaskan diri" di dalam setiap tindakan dan perbuatan... apatah lagi di dalam menghulur sumbangan dan derma agar tidak dilihat oleh manusia lain demi untuk mengelakkan perasaan riak, sum'ah dan ujub bertakung di kolam hati.. esok kita ke masjid... sikap pemuda di atas patut kita teladani... |
Jalankan Undi Rahsia Untuk Jawatan Speaker Atau Hadapi 'Perang Besar' Posted: 20 Jun 2013 07:50 AM PDT Blok pembangkang memberi amaran untuk memberi tentangan keras sekiranya pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 24 Jun tidak dijalankan melalui secara undi rahsia. Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Parlimen akan berdepan dengan "perang besar" dari blok pembangkang sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi. "Kalau kamu gagal bersikap jujur dalam Parlimen, kamu nak langgar pemilihan Speaker, kamu berdepan dengan perang besar pada 24 Jun ini," katanya. Beliau mensasarkan amaran tersebut kepada sekretariat Parlimen, yang akan menjalankan pengundian tersebut. Bercakap dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, Anwar sekali lagi menekankan bahawa gabungan parti itu mahu bekas hakim Mahkamah Persekutuan Abdul Kadir Sulaiman dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat. Pakatan juga akan mencadangkan ahli parlimen Tumpat Datuk Kamruddin Jaafar untuk jawatan timbalan speaker. Anwar berkata Pakatan dimaklumkan tempoh speaker bagi sesi lalu akan tamat pada 23 Jun ini. Menurutnya lagi, Pakatan Rakyat secara konsensus meminta beliau menyambung sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat Anwar turut mengulangi bahawa ahli parlimen Pakatan Rakyat akan hadir dalam majlis angkat sumpah bagi menghormati Yang di-Pertuan Agong yang akan merasmikan sesi parlimen kali ini. -mk
|
[BLACK 505] Final Countdown Malam Esok Di KLSCAH Posted: 20 Jun 2013 05:31 AM PDT Gabungan 'Suara Rakyat 505' mengadakan siri jelajah ke seluruh negara dengan menganjurkan flashmob bermula 15 Jun lalu dan kemuncaknya adalah pengiraaan detik akhir (final countdown) pada malam esok, 21 Jun. Malam kemuncak itu akan diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di mana hadirin akan diberi penerangan bagi menghadapi himpunan di Padang Merbok keesokan harinya. Menurut kenyataan dikeluarkan Suara Rakyat 505, gabungan itu juga akan menubuhkan sebuah pasukan sukarela bagi menggembleng kekuatan rakyat pada himpunan itu. "Kami menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman adalah hak rakyat yang diperuntukkan oleh perlembagaan, khususnya bagi menyuarakan kepincangan yang berlaku dalam negara. "Hak ini tidak wajar dicabuli dan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa termasuklah DBKL. Justeru, kami tetap akan teruskan perhimpunan di Padang Merbok walaupun mendapat halangan DBKL," kata penganjur. |
You are subscribed to email updates from KELAB GREENBOC To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan