Rabu, 26 Jun 2013

DUNIACACAMARBA

DUNIACACAMARBA


Menteri: Dakwat KEKAL Guna Pewarna Makanan

Posted: 26 Jun 2013 07:31 AM PDT



[MK] Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini menjelaskan bahawa bahan kimia yang digunakan dalam dakwat kekal pada Pilihan Raya Umum ke-13 digantikan dengan bahan pewarna makanan.

"Tiada kandungan bahan-bahan kimia digunakan dalam dakwat tersebut sebaliknya ianya digantikan dengan penggunaan bahan-bahan pewarna makanan yang diluluskan. 


"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan. Ianya diimport daripada negara luar," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada MP DAP Segambut, Lim Lip Eng.

Shahidan juga berkata tahap ketahanan dakwat berkenaan berbeza mengikut individu.

Ia bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk menghilangkan dakwat kekal berkenaan, katanya. 

Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak RM400 juta bagi kos perbelanjaan pilihan raya yang lalu. 

Lim kemudiannya menjadikan jawapan bertulis itu sebagai satu bahan jenaka apabila menulis di Twitter bahawa dakwat kekal kini "boleh dimakan". 

Tulisan berkenaan mendapat perhatian pengguna Twitter lain yang turut berjenaka dan bertanya kepadanya sama ada dakwat itu "sedap hingga menjilat jari."

Sementara itu, dalam satu jawapan berasingan, Shahidan berkata kos penggunaan dakwat kekal itu adalah sebanyak RM6.9 juta.

Kos itu meliputi kerja-kerja mereka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat memandangkan ia tiada di pasaran, katanya dalam jawapan bertulis kepada MP DAP Seremban, Anthony Loke.

"Kos tambahan lain meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dakwat kekal adalah sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM7,100,000.

"Pada masa ini SPR tidak bercadang memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan," katanya.


P/s: 1Malaysia kena kelentong!


Bapa Mangsa Rogol & Bunuh Cuba Terjun Bangunan

Posted: 26 Jun 2013 12:41 AM PDT


[BH] Alor Setar: Seorang lelaki yang gagal mengawal emosi setelah tertuduh kes pembunuhan anak perempuannya dibebaskan daripada tuduhan itu, cuba terjun dari Kompleks Mahkamah Alor Setar di sini, semalam. 

Chee Ah Sau, 57, yang kelihatan murung selepas keluar dari Mahkamah Tinggi 4 dengan mata merah dan berair, meluru ke arah kerusi di luar Mahkamah Tinggi 3 sebelum memanjat dan cuba terjun dari bangunan dua tingkat itu. 

Bagaimanapun, dia diselamatkan beberapa petugas media yang berjaya menariknya sebelum menenangkannya beberapa minit kemudian. 

Bapa mangsa

Gagal buktikan kes prima facie 

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab, melepas dan membebaskan Shahril Jaafar, 32, daripada tuduhan membunuh Eksekutif Pemasaran, Chee Gaik Yap, 25, (ketika kejadian) di kawasan Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, antara jam 5.30 petang, 14 Januari 2006 hingga jam 3.05 pagi 15 Januari 2006. 

Tertuduh, seorang jurujual yang juga anak kepada seorang ahli perniagaan bergelar Datuk, dibebaskan selepas Mohd Zaki mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

Mohd Zaki dalam penghakimannya, berkata kes yang dikemukakan pihak pendakwaan gagal membuktikan tertuduh melakukan perbuatan itu kerana ia antaranya hanya bersandarkan kepada fakta bahawa tertuduh tinggal berhampiran tempat kejadian ketika kejadian itu. 
Katanya, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan Shahril yang memandu kereta model NAZA bercermin gelap milik bapa tertuduh seperti yang dilihat oleh saksi di kawasan itu pada hari kejadian. 

"Laporan patologi juga menunjukkan kecederaan di kemaluan Gaik Yap bukan penyebab kematiannya, sebaliknya disebabkan oleh tikaman di bahagian leher kanan. 

"Laporan kimia menunjukkan DNA tertuduh berbeza dengan sampel air mani yang ditemui di kemaluan mangsa dan mahkamah tidak menolak kemungkinan wujudnya penderma ketiga," katanya. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Din, manakala tertuduh diwakili Shamsul Sulaiman.

Bebas



[PANAS] Keluarga A Kugan MENANG Saman, Mahkamah Putuskan KPN Bertanggungjawab Atas Insiden Itu

Posted: 26 Jun 2013 12:21 AM PDT


[TMI] Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Khalid Abu Bakar dipertanggungjawabkan ke atas kematian A. Kugan ketika berada dalam tahanan polis, kerana didera secara fizikal semasa soalsiasat polis empat tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Datuk V. T. Singham mengatakan, Khalid yang pada ketika itu merupakan ketua polis Selangor, cuai untuk memastikan keselamatan tahanan dalam kes ini.

Keputusan hakim ini dijangkakan akan membuka ruang kepada lebih banyak saman kepada pihak polis.

Singham, dalam membenarkan saman kecuaian itu berkata, beliau juga percaya kecederaan yang berlaku ke atas Kugan tidak mungkin dilakukan oleh seorang pegawai.

"Mahkamah juga mendapati beberapa percanggahan ketara antara Khalid dan lain-lain saksi berkenaan dengan penyiasatan ke kematian si mati," katanya.

"Tiada seorang pun dalam mana-mana kedudukan atau pangkat apabila memberi keterangan di mahkamah mengambil mudah mahkamah ini dan cuba menutup kebenaran untuk melarikan diri."

Singham juga memuji peguam hak asasi manusia, N. Surendran yang membawa kes ini dan membantu untuk bedah siasat kedua dilakukan.

"Jika tidak kerana dia, perkara itu telah disapu di bawah karpet."

Beliau juga berkata terdapat keperluan segera untuk mempertimbangkan cadangan suruhanjaya diraja itu dalam menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana peningkatan kematian dalam tahanan.

Singham juga memberikan pampasan sebanyak RM851,700 kepada N. Indra di atas serangan terhadap Kugan, penahanan salah, kecuaian dan pampasan kecederaan dan penderitaan.

Keluarga Kugan telah memfailkan tuntutan RM100 juta terhadap polis dan kerajaan, secara spesifiknya menamakan Khalid, mendakwa beliau cuba menyembunyikan punca kematian Kugan.

Ibu Kugan, N. Indra menamakan salah seorang pegawai penyiasat mangsa, bekas anggota polis V. Navindran sebagai salah satu lagi defendan.

Ibunya mendakwa defendan-defendan gagal untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan Kugan semasa berada dalam tahanan polis. Kugan yang pada ketika itu berumur 22 tahun, ditahan di Puchong pada 14 Januari 2009, satu malam di lokap balai polis Puchong Jaya sebelum polis mendapatkan perintah reman.

Beliau kemudiannya dibawa ke balai polis Taipan USJ, Subang Jaya dua hari kemudian untuk disoal siasat. Akan tetapi, empat hari kemudian, beliau ditemui mati.

Navindran merupakan satu-satunya orang yang dipertanggungjawabkan untuk kematian Kugan. Beliau didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun. Beliau kini merayu di mahkamah berhubung hukuman itu. – 26 Jun, 2013.



ADUN Kuala Besut Meninggal Dunia, Pilihan Raya Kecil Pertama Menyusul

Posted: 25 Jun 2013 09:02 PM PDT



[HD] KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejak minggu lalu, meninggal dunia pagi ini.

Allahyarham, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 9.40 pagi ini.

Beliau disahkan meninggal dunia akibat paru-paru berair.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) 5 Mei lalu, Allahyarham menang terhadap calon PAS, Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Allahyarham mendapat 8,809 manakala Napisah mendapat 6,375 undi.

Kuala Besut mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 17,713 orang dengan peratusan 97.9 peratus adalah Melayu, 1.6 Peratus Cina dan 0.1 peratus India.


P/s: Al-fatihah


Kejam, Budak 7 Tahun Didera Bapa Tiri

Posted: 25 Jun 2013 07:14 PM PDT


[SH] KUALA TERENGGANU - Apa dosaku? Itulah mungkin pertanyaan yang ingin diluahkan oleh kanak-kanak berusia 7 tahun, dipercayai didera dengan begitu kejam sekali oleh bapa tirinya dalam kejadian di Taman Perumahan Gong Badak, di sini, kelmarin.

Kanak-kanak malang itu bukan sahaja dikurung bersendirian dalam tempoh beberapa hari tanpa diberi makan dan minum, malah lebih menyayat hati, seluruh tubuh kecilnya itu turut cedera dengan kesan cucuhan puntung rokok dan melecur di kaki sehingga bernanah.

Bagaimanapun, penderitaan anak sulung daripada tiga beradik itu berakhir jua selepas dia berjaya diselamatkan polis dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyerbu rumah sewa keluarga kanak-kanak tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, seorang pegawai JKM berusia 41 tahun telah menghubungi Balai Polis Gong Badak, kira-kira jam 4.30 petang memaklumkan kejadian malang yang menimpa kanak-kanak terbabit bagi mendapatkan bantuan untuk ke lokasi kejadian.

Manoharan berkata, sebaik berjaya masuk ke dalam rumah, kanak-kanak malang itu didapati berada dalam keadaan yang amat lemah dengan kesan kecederaan di seluruh badan, dipercayai didera sebelum pemeriksaan lanjut turut menemui kesan bengkak di kedua-dua belah kaki mangsa dan melecur pada bahagian kaki sehingga bernanah serta dijangkiti kuman.

"Pemeriksaan turut mendapati terdapat kesan calar di seluruh tubuh mangsa, lebam di mata dan di mulut serta terdapat kesan cucuhanpuntung rokok pada perut mangsa.

"Selain didera dan dikurung, mangsa yang boleh bertutur dengan baik mengadu kelaparanselepas tidak diberi makan dan minum sejak beberapa hari lalu," katanya.

Budak didera bapa tiri

Menurutnya, kanak-kanak terbabit dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Siasatan awal mendapati mangsa didera dan dikurung bapa tirinya yang dikahwini ibunya berusia 29 tahun sejak 10 bulan lalu selepas kematian bapa kandung kira-kira dua tahun lalu.

"Kami difahamkan semasa mangsa diselamatkan, ibunya berada di HSNZ untuk mendapatkan rawatan tangannya yang patah, dipercayai akibat didera suspek," katanya. 

Manoharan berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh dipercayai membawa isteri bersama dua lagi anak tirinya itu, masing-masing berusia 5 dan 2 tahun, lari dari HSNZ sebaik menyedari perbuatannya terbongkar.

"Bagaimanapun, pasangan suami isteri ini berjaya ditahan di sebuah rumah di Rumah Awam Kos Rendah, Gong Badak, di sini, kirakira jam 12 tengah hari, semalam.

"Turut berjaya diselamatkan, dua lagi adik mangsa dan hasil pemeriksaan awal mendapati kedua-duanya mempunyai kesan dera dan dihantar ke HSNZ bagi pemeriksaan lanjut, sementara ibu mangsa juga dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

"Semasa ditahan, suspek dan juga ibu mangsa didapati positif dadah methamphetamine," katanya.


Tiada ulasan: