DIALOG RAKYAT |
- Lebih 80 petisyen PRU 13, pimpinan SPR didesak letak jawatan
- Lebih 50,000 undi ‘hilang’ di seluruh negara, pengundi lapor polis
- Negeri Pakatan cadang mulakan suruhanjaya siasat penipuan PRU-13
- Anwar gesa KDN tangani kematian dalam tahanan, tubuh IPCMC
- Kit Siang dakwa Anwar juga dihalang masuk ke Sabah
- Lagi laporan polis kes hina Agong
- KJ: Pelan hala tuju 5 tahun KBS bulan depan
- Tanda Putera akan ditayang 29 Ogos
- Sirul mahu Mahkamah Rayuan isytihar perbicaraan silap
- Kes Dhamendran: Anggota terlibat akan digantung tugas
- PR mahu anjur Blackout 505 di KL pula
- Pemuda Umno mahu SKMM bertindak tegas individu hina Agong
Lebih 80 petisyen PRU 13, pimpinan SPR didesak letak jawatan Posted: 03 Jun 2013 07:09 AM PDT keadilandailyPETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini sebulat suara mendesak Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof dan Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar meletakkan jawatan."Dalam sejarah ada satu atau dua kes pernah difailkan. Tetapi belum pernah sampai 80 hingga 90 kerusi. "Ini saja sudah cukup untuk pengerusi (SPR) dan timbalannya letak jawatan segera," tegas Anwar ketika sidang media hari ini. Lebih 80 petisyen membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 merupakan bukti Aziz dan Wan Ahmad cuai serta terlibat dalam kecurangan pilihan raya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu memberitahu media bahawa BN turut memfailkan lebih 50 petisyen membabitkan sekurang-kurangnya 37 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala Pakatan Rakyat setakat ini dilaporkan akan mengemuka 35 petisyen dengan 18 daripadanya adalah dari KEADILAN, 14 bagi PAS dan 3 dari DAP. Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menyifatkan bantahan terhadap keputusan PRU-13 dari BN membuktikan kegagalan SPR. "Apabila BN pun failkan petisyen maknanya mereka pun ada yang tak puas hati dengan perjalanan pilihan raya, itu jelas menunjukkan kegagalan SPR menjalankan tanggungjawab mereka," katanya. |
Lebih 50,000 undi ‘hilang’ di seluruh negara, pengundi lapor polis Posted: 03 Jun 2013 07:03 AM PDT PETALING JAYA: Seorang pengundi, Mohd Azlan Mohd Sharif membuat enam laporan polis menuntut siasatan berhubung keputusan pilihan raya umum ke-13 yang digazetkan 22 Mei lalu berbeza dengan yang diumum pegawai pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melalui borang 16. Beliau mendapati sebanyak 53,045 kertas undi 'hilang' melibatkan semua kerusi Parlimen dan DUN seluruh negara kecuali DUN Sungai Acheh, Pulau Pinang, DUN Banggi dan DUN Labuk, Sabah. Borang 16 ialah Borang Pengisytiharan Keputusan pilihan raya daripada 222 kawasan Parlimen dan 505 kawasan Dewan Undangan Negeri di seluruh negara. "Ia satu kesalahan jenayah mengikut seksyen 3(1)(h) dan seksyen 6 (2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954. "Maka jelas polis dan SPR yang bertugas pada hari, masa dan tempat mengundi bersubahat, membenarkan dan melakukan jenayah ini," katanya dipetik dalam laporan polisnya yang pertama. Mohd Azlan, pengundi DUN Sungai Balang dan parlimen Muar, Johor membuat semua laporan itu di balai polis Klang pada 30 Mei. Enam laporan melibatkan kehilangan kertas undi, salah kira undi, maklumat yang sudah berubah, perbezaan kertas undi yang dikeluar di parlimen dan DUN, maklumat kerusi parlimen dan DUN berbeza sebelum dan selepas diwartakan dan kecuaian anggota polis. "Saya tidak nampak, tidak tahu, tidak terdengar, tidak terbaca apa-apa berita mengatakan ada tangkapan oleh SPR atau polis terhadap mana-mana pihak yang membawa keluar atau menghilangkan kertas undi yang telah dikeluarkan," kata Azlan. Katanya. kemenangan semua calon bagi setiap kerusi itu pada PRU lalu adalah tidak sah dan terbatal sehinggalah kertas undi itu disemak dan disahkan semula. "Tujuan enam laporan dibuat agar pihak berkuasa termasuk polis menyiasatnya. Sebagai rakyat Malaysia, saya menjunjung semangat Perlembagaan dan Rukun Negara khususnya Keluhuran dan Kedaulatan Undang-undang. Dalam laporan polisnya yang keenam, beliau mendesak Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengambil tindakan tegas terhadap pegawainya yang cuai menjalankan tugas pada PRU lalu. "Saya minta KPN menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang bertugas pada masa itu disebabkan terbukti cuai, tidak amanah, tidak melaksanakan tanggungjawabnya dan membenarkan jenayah berlaku didepan matanya," katanya lagi. |
Negeri Pakatan cadang mulakan suruhanjaya siasat penipuan PRU-13 Posted: 03 Jun 2013 07:00 AM PDT Aisha GeoffreyPETALING JAYA: Negeri-negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat bercadang menubuhkan Suruhanjaya Siasatan bagi menyiasat perjalanan pilihan raya umum yang lalu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.Persetujuan bersama berdasarkan cadangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng 13 Mei lalu bahawa suruhanjaya di peringkat negeri bagi menyiasat salah laku pilihan raya perlu dibentuk. "Pakatan menyokong gesaan Guan Eng untuk menubuhkan suruhanjaya terhadap perjalanan pilihan raya lalu di Pulau Pinang," kata Anwar . Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 13 Mei lalu dilapor mendapatkan pandangan pakar perlembagaan Tommy Thomas berhubung perkara itu dan disaran meneruskan suruhanjaya dengan 'terma rujukan yang luas' bagi pembentukannya. Difahamkan, Lim telah membentangkan cadangan itu dalam mesyuarat pertama Exco Pulau Pinang dan merujuk kepada laporan polis, SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Anwar menambah, prinsip sama dipersetujui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. "Kita juga telah maklumkan kepada Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dam kerajaan negeri akan buat keputusan mengikut pertimbangan," katanya lagi. "Suruhanjaya tersebut akan pastikan semua kecurangan di negeri masing-masing dikenal pasti dan disiasat," tegasnya. Pengarah Strategi KEADILAN Rafizi Ramli sebelum in mendedahkan ribuan laporan penipuan diterima pasukan 'Siasat PRU 13′ dengan 27 kerusi parlimen yang disenaraipendek untuk siasatan lebih mendalam. |
Anwar gesa KDN tangani kematian dalam tahanan, tubuh IPCMC Posted: 03 Jun 2013 06:57 AM PDT keadilan dailyPETALING JAYA: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bertindak segera dan serius menangani insiden kematian tahanan dalam polisi. "Kita kesal dengan kejadian tersebut. Kita bantah sekeras-kerasnya kejadian yang sudah berulang kali berlaku ini. Desakan kita terhadap penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) tetap diteruskan. "Sebagai tindakan segera kita mahu Menteri Dalam Negeri membuat siasatan telus bagi menghentikan semua kejadian kematian di bawah seliaan polis," kata Anwar pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN, hari ini. 2 Jun lalu, seorang jurutera, P Karuna menjadi mangsa terbaru yang maut dalam tahanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin. Kejadian itu yang ketiga dalam sebelas hari selepas kematian N Dharmendran di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, 21 Mei lalu dan R Jamesh Rao di lokap Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang pada 26 Mei. Pada sidang media sama, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan akan menubuhkan jawatankuasa dengan dua wakil dari setiap parti Pakatan Rakyat untuk mengemukakan usul di Parlimen bagi penubuhan IPCMC. "Kita tetap mahu IPCMC ditubuhkan. Ia akan menjadi agenda utama Pakatan di Parlimen yang akan bersidang 24 Jun nanti. "Dalam masa 11 hari ada tiga kes. Jelas membuktikan EAIC tidak berkesan. Sejak September 2011 sehingga 2012 baru selesaikan satu kes tatatertib melibatkan anggota awam," katanya. |
Kit Siang dakwa Anwar juga dihalang masuk ke Sabah Posted: 03 Jun 2013 05:53 AM PDT malaysia kini Penasihat DAP Lim Kit Siang hari ini mendakwa nama beliau tersenarai bersama sebilangan individu yang dihalang dari memasuki negeri Sabah.Dalam satu tulisan di Twitter, Lim mendakwa ketua menteri Sabah mengarahkan agar namanya disertakan dalam senarai hitam Jabatan Imigresen Sabah itu. "Saya baru dimaklumkan bahawa saya dalam senarai hitam imigresen Sabah, dihalang dari memasuki Sabah atas arahan Ketua Menteri Sabah (Datuk Seri Musa Aman)," katanya. Lim juga mendakwa, turut tersenarai adalah ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengarah strategi Rafizi Ramli dan pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga. |
Lagi laporan polis kes hina Agong Posted: 03 Jun 2013 05:46 AM PDT malaysia kini IPOH - Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat dan 19 badan bukan kerajaan (NGO) di Perak hari ini membuat laporan polis berhubung tindakan dua individu yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah. Laporan itu dibuat di Balai Polis Sungai Senam di sini pada kira-kira 1 petang tadi. Antara NGO berkenaan adalah Persatuan Belia Islam Perak, Persatuan Belia 4B Parit, Persatuan Melayu Manjoi, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Perak, Persatuan Panca Indra Seni Silat Lintar Malaysia dan Persatuan Arah Terpuji Sahsiah. Dalam akaun Facebooknya seorang wanita yang menamakan dirinya Melissa Gooi dan pemilik akaun twitter yang memegang nama Twithandle@10Befiend atau dikenali sebagai Effi Obefiend didakwa menghina Tuanku Abdul Halim. Ketua Pemuda Umno Bahagian Ipoh Barat Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi yang mewakili kumpulan itu berkata perbuatan mereka ini seolah-olah mencabar institusi Perlembagaan Diraja selain dianggap sebagai rasis yang melampaui batas. "Mereka ini perlu dilucutkan kerakyatan. Sekiranya perbuatan sebegini tidak dibendung, sikap biadab mereka ini akan menganggu-gugat keamanan, ketenteraman dan perpaduan kaum di Malaysia," katanya. Beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan tidak bertanggungjawab dua individu terbabit. - Bernama |
KJ: Pelan hala tuju 5 tahun KBS bulan depan Posted: 03 Jun 2013 05:42 AM PDT Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan membentangkan pelan hala tuju pembangunan belia dan sukan sebagai usaha meningkatkan kedua-dua program berkenaan di negara ini. Menterinya Khairy Jamaluddin berkata pelan yang akan dilaksanakan sepanjang tempoh lima tahun itu dijangka akan dibentangkan bulan depan sekali gus memberikan suntikan baru kepada pelbagai program sedia ada. "Buat masa ini kita sedang mengkaji semula operasi dan strategi kementerian. Kita akan bersandarkan kepada trend semasa," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di Johor Baharu hari ini. Khairy berkata pihaknya akan meneliti program belia dan sukan yang perlu ditambah baik, penjenamaan semula atau membuat pengisian baharu memandangkan tidak semua program yang ada kini, kekal relevan sepanjang masa. Menurut Khairy selepas lawatan pertamanya di Johor, beliau akan mengadakan siri lawatan ke seluruh negara bagi mendapatkan maklum balas mengenai program belia dan sukan, selain memperkukuh kerjasama kementerian dan jawatankuasa, di setiap negeri. Katanya, Jabatan Belia dan Sukan setiap negeri juga diminta merangka program yang mempunyai hala tuju sama dengan kementerian dengan menggunakan kreativiti masing-masing. "Kita mahu ada faktor tempatan dalam program yang dirancang. Mereka perlu ada 'trademark' sendiri yang tidak lari dari hala tuju kementerian," katanya. Turut hadir pada lawatan itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Johor Datuk Zulkurnain Kamisan. -Bernama |
Tanda Putera akan ditayang 29 Ogos Posted: 03 Jun 2013 05:39 AM PDT Menteri komunikasi dan multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata filem kontroversi Tanda Putera akan ditayangkan di pawagam pada 29 Ogos. Katanya Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia telahpun mengeluarkan kelulusan tayangan filem tersebut. Filem berhubung tragedi 13 Mei itu diberi penarafan PG13 – yang menetapkan bimbingan ibu bapa untuk penonton bawah umur 13 tahun. Katanya lagi beliau secara peribadi ingin melihat filem berkenaan disiarkan "seawal mungkin". |
Sirul mahu Mahkamah Rayuan isytihar perbicaraan silap Posted: 03 Jun 2013 05:37 AM PDT Bekas anggota Unit Tindakan Khas Polis Sirul Azhar Umar, yang disabitkan kesalahan membunuh model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, hari ini memfailkan permohonan di Mahkamah Rayuan bagi memohon pembebasannya, mendakwa wujud perbicaraan silap oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Notis usul itu difailkan firma guaman The Chambers of Kamarul Hisham and Hasnal Rezua di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan di Putrajaya dalam usaha untuk memasukkan alasan rayuan tambahan. Dalam permohonan itu, bekas Koperal Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada "publisiti buruk" secara meluas semasa perbicaraan itu yang jelas mengelirukan dan prejudis terhadap dirinya, dengan itu menafikan dirinya perbicaraan adil. Beliau memohon Mahkamah Rayuan mengisytiharkan perbicaraan itu sebagai perbicaraan silap, sabitannya diketepikan dan beliau dibebaskan. Sirul Azhar, 39, mendakwa publisiti buruk yang diterimanya telah mewujudkan kebarangkalian bahawa hakim mahkamah tinggi bersikap berat sebelah, menyebabkan sabitannya boleh dipertikaikan. Sirul Azhar mendakwa beliau terdedah kepada publisiti buruk menerusi tiga akuan bersumpah, dua dibuat oleh penyiasat persendirian mendiang P Balasubramaniam dan satu lagi oleh Raja Petra Kamarudin. Beliau berkata akuan bersumpah yang pertama oleh Balasubramaniam, dibuat selepas pihak pendakwaan menutup kesnya pada 23 Jun, 2008, mengandungi perkara-perkara yang prejudis terhadap dirinya kerana perkara itu tidak didedahkan dalam keterangannya (Balasubramaniam) pada perbicaraan. Katanya Balasubramaniam telah, pada 4 Julai 2008, membuat satu lagi akuan bersumpah menyatakan beliau menarik balik akuan bersumpah yang pertama. Sirul Azhar berkata akuan bersumpah itu telah dimuat naik di pelbagai laman web dan telah menjadi punca pelbagai spekulasi, perdebatan dan ulasan daripada orang awam, pengamal undang-undang dan pemimpin yang telah ditafsirkan sebagai mempersoalkan kesahihan dan ketulenan akuan bersumpah itu. Katanya persoalan penting yang bermain di fikiran para pembaca yang mendapat akses kepada bahan itu mungkin ialah, "Apa yang mendorong perayu-perayu untuk membunuh mangsa" dan "Siapa yang memberi arahan supaya pembunuhan dilakukan oleh perayu-perayu". Sirul Azhar berkata Raja Petra telah, pada 21 Jun, 2008, memuat naik akuan bersumpahnya di laman web Internet menyatakan tiga individu lain turut hadir semasa mangsa dibunuh, yang boleh ditafsirkan untuk membawa maksud bahawa beliau (Sirul Azhar) adalah pembunuhnya. Beliau mendakwa Raja Petra juga telah memuat naik satu salinan kenyataan beramaran dipercayai olehnya (Sirul Azhar) menyatakan beliau (Sirul Azhar) telah mengaku membunuh wanita Mongolia itu. Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006. Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya. Rayuan mereka terhadap sabitan dan hukuman mati dijadual didengar Mahkamah Rayuan pada 10 Jun. Peguam yang mewakili Sirul Azhar, Kamarul Hisham Kamarudin berkata salinan notis usul itu akan diserahkan kepada pihak pendakwaan.-Bernama |
Kes Dhamendran: Anggota terlibat akan digantung tugas Posted: 03 Jun 2013 05:29 AM PDT Anggota polis yang didakwa terlibat dalam kes kematian dalam tahanan N Dhamendran akan digantung tugas hariannya, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Menjawab berhubung desakan menggantung empat anggota polis yang kini diberi tugasan pejabat berikutan kematian Dhamendran, secara ringkas Zahid berkata tindakan itu kini "dalam proses". Ahmad Zahid mengulas perkara itu selepas bertemu Ketua Delegasi Serantau bagi Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah Jeremy England di kementeriannya hari ini. Malaysiakini tidak dibenarkan membuat liputan majlis tersebut tetapi hanya mendapat satu rakaman temubual dengan menteri terbabit. Mengulas mengenai tiga kes kematian dalam tahanan dalam tempoh 11 hari lalu, Zahid seterusnya mempertahankan pasukan polis. Katanya, tidak adil jika menyalahkan pasukan polis secara keseluruhan atas tindakan sesetengah anggota yang melampaui garis panduan operasi siasatan. Tambahnya, garis panduan operasi polis itu juga mungkin perlu disemak semula. [Baca berita penuh] Sementara itu Bernama melaporkan Ahmad Zahid menasihatkan semua pihak termasuk parti politik kerajaan dan pembangkang serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) mewakili masyarakat India, supaya tidak beremosi dan mengatur protes jalanan berhubung kematian tiga individu dalam tahanan polis baru-baru ini. Sebaliknya, beliau meminta semua pihak agar memberi kepercayaaan sepenuhnya terhadap jawatankuasa khas diketuai Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam usaha menangani insiden kematian mengejut tahanan di lokap. "Saya ingin memberi jaminan kepada masyarakat umum biarpun mereka terdiri daripada parti bersama kerajaan atau di luar kerajaan, selagi diberikan kepercayaan kepada kami, kami tidak bertolak ansur dalam soal kematian. "Yakinlah, apa yang kami lakukan ialah sesuatu yang mengikut piawaian yang ditentukan di peringkat antrabangsa," katanya ketika ditanya keinginan Pengarah Strategik MIC S Vell Paari bersama NGO berasaskan India untuk menganjurkan protes jalanan sebagai membantah kematian berterusan individu India dalam tahanan polis. Katanya kerajaan memandang serius perkara itu, justeru ketua polis negara sendiri mengetuai jawatankuasa khas siasatan itu dan bukannya pegawai kanan. Ahmad Zahid menegaskan bahawa kerajaan tetap tidak akan berkompromi dalam isu itu yang hangat diperkatakan ketika ini. "Kita cukup prihatin terhadap kematian di tahanan berkenaan. Saya juga menyatakan bahawa kami tidak boleh berkompromi sebarang kematian yang berlaku ketika siasatan dijalankan," katanya. Jelasnya selain kapasiti sebagai menteri, beliau sendiri melihat perkara itu atas dasar perikemanusian yang perlu dicari penyelesaian dan keadilan. "Tidak perlu mengadakan protes jalanan dan sebagainya kerana saya dan timbalan mengambil keprihatinan yang cukup mendalam dalam perkara ini. "Kepedulian ini bukan hanya atas kapasiti sebagai orang yang diberi tanggungjawab untuk mengetahui kementerian ini, tetapi tentang soal kemanusiaan harus diberikan tekanan bagi pelaksanaannya," katanya. Sehubungan dengan itu, katanya, kerajaan juga akan menyemak semula Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dijalankan oleh anggota polis yang bertugas dalam menyoalsiasat tahanan. "SOP akan disemak semula dan jika individu tertentu melakukan siasatan di luar daripada SOP berkenaan maka tanggungjawab itu tidak diletakkan kepada pasukan polis secara keseluruhannya tetapi individu yang berkenaan," katanya. Tiga insiden kematian tahanan terbaru ialah; R Jamesh Ramesh, 40, yang ditemui mati ketika dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada 26 Mei, sehari selepas ditahan atas kesalahan dadah. N Dhamendran, 32, pula mati ketika ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada 21 Mei lepas manakala jurutera P Karuna Nithi, 42, menjadi individu ketiga yang mati ketika dalam tahanan polis di Tampin Sabtu lalu. |
PR mahu anjur Blackout 505 di KL pula Posted: 03 Jun 2013 05:20 AM PDT PETALING JAYA - Walaupun dikecam pelbagai pihak, Pakatan Rakyat (PR) akan tetap meneruskan siri Himpunan Blackout 505, kali ini di ibu negara, 15 Jun ini. Himpunan kononnya bagi membantah penipuan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) itu difahamkan akan dirunding dengan pihak polis terlebih dahulu. Perkara itu diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, hari ini. PR katanya akan berurusan dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan pihak keselamatan bagi memastikan perhimpunan tersebut berlangsung dengan aman. Maklumat lanjut mengenainya ujar Anwar akan dimaklumkan oleh sekretariat himpunan. Untuk rekod, siri himpunan itu yang diadakan di sebuah padang berhampiran Amcorp Mall akhir bulan lalu menyaksikan pelanggaran Akta Perhimpunan Aman 2012 berlaku. Antaranya termasuklah para peserta yang turut membawa anak kecil menyertai himpunan itu. Himpunan itu juga tidak menerima sambutan termasuk dari kalangan parti komponen PR sendiri. |
Pemuda Umno mahu SKMM bertindak tegas individu hina Agong Posted: 03 Jun 2013 05:15 AM PDT JOHOR BAHRU - Pergerakan Pemuda Umno mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak cepat dan tegas terhadap individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah menerusi laman sosial Facebook. Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata perbuatan menyalahgunakan kebebasan untuk menulis dalam media sosial itu tidak boleh dikompromi dan tindakan perlu dikenakan kerana ia melampaui batas. "Pemuda Umno memandang serius beberapa 'posting' yang telah dibuat dalam media sosial terutama dalam Facebook. Yang terkini adalah 'posting' dalam Facebook iaitu kenyataan-kenyataan yang menghina kedudukan Yang di-Pertuan Agong. "Walaupun saya selaku Ketua Pemuda Umno menyokong kebebasan bersuara tetapi ada batasnya dan sikap bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kompleks Belia dan Sukan Negeri Johor, Larkin, di sini, hari ini. Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata pihaknya sudah cuba mendidik dan berhubung dengan pengamal media sosial sejak dahulu lagi, namun, masih terdapat di kalangan mereka yang tetap berdegil dengan terus mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab. Beliau berkata keamanan negara dapat dikekalkan sekiranya undang-undang sedia ada di bawah SKMM dapat dikuatkuasakan tanpa rasa takut. "Kita (Pemuda Umno) sudah melakukan banyak cara untuk mendidik mereka, cuba berhubung tetapi apabila mereka masih lagi degil dan keluarkan kenyataan yang jelas berbaur hasutan, maka SKMM mesti bertindak," katanya. - Bernama |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan