DIALOG RAKYAT |
- Black 505 22 Jun: Wakil Rakyat Menang Wajib Turun – Pengerusi Sekretariat
- Anwar gelak dikaitkan dengan insiden Menara Umno
- Fahaman Syiah: Kerajaan perlu tegas
- Lajim ketua pembangkang Sabah
- Pemimpin Suluk dakwa wakil PKR pendatang Indonesia
- Kalah teruk dorong MCA rangka transformasi
- Teng: Bukan kedekut, S'gor belanja lebih dari cukup
- Arutchelvan: PAS orang tengah pertemuan Pakatan-PSM
- Speaker: BN pilih Pandikar
- 7 tempat berkumpul demo 'Black 505'
- Pendatang haram di Sabah suka diami kampung air
- 'Rosmah dinobat wanita paling berkuasa di M'sia'
- 'Mansuh undang-undang jenayah syariah gesaan sempit'
- Mahathir kesal benar kebebasan internet semasa jadi PM
- Undi popular PAS di kerusi Parlimen NS meningkat
- `Masa Mahathir tidak sama dengan Najib’
- Setuju cadangan Teng
- 6 wartawan NST sertai TMI?
- Kelantan bina jaringan pelaburan Islamik
- Kilang POLENS Bantu Pengeluaran Produk Usahawan Selangor
- Abdul Khalid Jumpa KETTHA Bincang
- Klinik Kesihatan Kapar Daif, Manivanan Tuntut Penjelasan KKM
Black 505 22 Jun: Wakil Rakyat Menang Wajib Turun – Pengerusi Sekretariat Posted: 19 Jun 2013 02:59 AM PDT KELAB GREENBOC Pengerusi Sekretariat Black 505, Datuk Johari Abdul menyeru agar wakil rakyat Pakatan Rakyat yang menang dalam Pilihan Raya Umum 5 Mei lalu menjadi barisan hadapan dalam kebangkitan rakyat melawan penipuan pilihan raya BN. Katanya, jika pihak yang kalah atau yang tiada kena mengena dengan pilihan raya menuntut SPR dibebaskan dan pilihan raya dilaksana secara adil, maka rakyat akan menghukum BN dalam PRU akan datang. "Saya bertemu dengan ramai orang dan mereka berkata mahu melihat wakil rakyat Pakatan yang menang mengetuai penentangan penipuan pilihan raya. "Wakil rakyat yang menang tidak boleh berdiam diri. Kalau mereka menjadi barisan depan, maka lebih ramai rakyat akan turun dan menyokong perjuangan ini. "Anak muda Melayu, Cina, India tidak lagi takut untuk berhimpun. Marilah kita meraikan perubahan baru ini," katanya. Johari juga meminta peserta perhimpunan pada 22 Jun berpakaian hitam sebagai lambang kematian demokrasi. Menurutnya, peserta akan berarak dari beberapa tempat berkumpul seluruh Kuala Lumpur mulai pukul 2 petang dan tiba di lokasi utama Padang Merbok pada pukul 3 petang. -KD | ||||
Anwar gelak dikaitkan dengan insiden Menara Umno Posted: 19 Jun 2013 02:55 AM PDT Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini hanya ketawa apabila cuba dikaitkan dengan insiden runtuhan di Menara Umno Pulau Pinang. Ditanya tentang kenyataan pengerusi Umno negeri Zainal Abidin Osman berhubung perkara itu semalam, Anwar berkata seperti selalu, beliau akan dipersalahkan. "Tak apa, buatlah siasatan. Ini salah Anwarlah. Biasalah. Itu salah Anwar. "Bangunan runtuh salah Anwar. Nanti esok pemilihan dalam Umno (pun) salah Anwar," sindir Anwar. Zainal Abidin semalam berkata, Anwar merupakan orang paling layak untuk menjawab soalan berkaitan Menara Umno negeri yang didakwa dibina sebelum pelannya dihantar. Zainal berkata, Anwar ketika itu timbalan perdana menteri dan pengerusi Umno Pulau Pinang dan mereka tidak mempunyai sebarang jawatan pada masa itu. | ||||
Fahaman Syiah: Kerajaan perlu tegas Posted: 19 Jun 2013 02:51 AM PDT SHAH ALAM - Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menggesa pihak berwajib mengekang fahaman Syiah yang semakin menular di negara ini. Presiden Isma, Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, video yang didedahkan menunjukkan markas Syiah Melayu di Selangor perlu diberi perhatian serius. "... kerajaan khususnya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom untuk mengambil tindakan tegas dengan menguatkuasakan apa sahaja peruntukan bagi menghalang dan menyekat penyebaran ajaran Syiah di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan media. Video bertajuk 'Pembukaan Madrasah Ansar Imam Mahdi di Malaysia' telah tersebar luas di internet. Tegas Abdullah Zaik pihaknya menolak sama sekali usaha mana-mana pihak yang cuba menyebarkan fahaman Syiah dalam kalangan masyarakat Sunni di seluruh negara. "... melalui pendedahan tersebut membuktikan aktiviti ajaran Syiah secara terang-terangan semakin berkembang di Malaysia. "Isma akan terus berusaha untuk mempertahankan Malaysia sebagai negara Sunni kerana meyakini bahawa masyarakat Malaysia harus kekal sebagai masyarakat yang bersatu dalam satu mazhab iaitu mazhab Sunni," tegasnya lagi. Abdullah Zaik turut menyeru mereka yang mengamalkan ajaran Syiah kembali berpaksikan sunnah dan tidak lagi melakukan kesilapan yang akhirnya akan membawa perpecahan sehingga menjadi faktor untuk melemahkan perpaduan masyarakat Islam di Malaysia. | ||||
Posted: 19 Jun 2013 02:47 AM PDT SINAR HARIAN KOTA KINABALU - Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah menerima maklum pelantikan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Seri Lajim Ukin sebagai ketua pembangkang. Speaker Dun Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said berkata pihaknya tiada halangan terhadap pemilihan Lajim yang dibuat berdasarkan amalan konvensional. "Pada ketika ini, dewan menyerahkan kepada mereka (pembangkang) kerana dewan tidak ada hak melantik dan bukan tanggungjawab kita untuk menentukan siapa ketua pembangkang. "Kita mengambil kira sokongan majoriti pembangkang...kita take note tetapi bukan tanggungjawab kita menentukan pelantikan ketua pembangkang di DUN," katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Mohammad Mentek di pejabatnya di Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini. Salleh berkata pihak dewan telah menerima surat dari Lajim berhubung cadangan menjadi ketua pembangkang pada 11 Jun lepas. Surat itu turut ditandatangani lima Adun termasuk dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pengerusi Parti Reformasi Sabah (Star) Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan beserta surat dari ibu pejabat PKR yang ditandatangani oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution. Sementara itu, Lajim, dalam sidang akhbar berasingan, berterima kasih atas perhatian Speaker terhadap pelantikan beliau itu. Beliau turut menafikan tiada kesepakatan di kalangan wakil rakyat pembangkang termasuk DAP, sebaliknya pelantikan itu mendapat persetujuan kesemua yang berkenaan. Pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lepas, BN mengekalkan pemerintahan Sabah dengan majoriti dua pertiga apabila menguasai 48 daripada 60 kerusi DUN. Persidangan DUN kali ini menyaksikan 12 wakil pembangkang daripada DAP, PKR dan Star. - Bernama | ||||
Pemimpin Suluk dakwa wakil PKR pendatang Indonesia Posted: 19 Jun 2013 02:42 AM PDT Berlaku pertengkaran dalam pendengaran suruhanjaya siasatan diraja (RCI) berhubung isu pendatang di Sabah hari ini apabila pemimpin masyarakat Suluk berulang kali menegaskan bahawa seorang anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dilahirkan di Indonesia. Mohd Zaki Harry Susanto berkata, walaupun lahir di republik itu, Christina Liew (kiri) daripada PKR berjaya menjadi wakil rakyat Api-api. Mohd Zaki berkata, mereka mendapat maklumat daripada warganegara Indonesia di Tawau yang mengesahkan Liew seorang Cina Indonesia. Beliau mengetengahkan isu itu kerana hanya kumpulan Bajau dan Suluk disasarkan dalam RCI, jelasnya. "Jangan hanya sasarkan satu atau dua kumpulan etnik sahaja," katanya lagi. Bagaimanapun, seorang pesuruhjaya RCI Henry Chin berkata, beliau pasti Liew lahir di Tawau dan beliau mengetahuinya kerana menjadi ketua polis di daerah di Sabah itu pada masa itu. | ||||
Kalah teruk dorong MCA rangka transformasi Posted: 19 Jun 2013 02:36 AM PDT Selepas kalah teruk dalam pilihan raya umum lalu, MCA kini mengumpul maklum balas daripada akar umbi, orang awam dan NGO berhubung kaedah untuk memberi nafas baru kepada parti itu, kata timbalan presidennya Liow Tiong Lai. Liow (atas) yang juga pengerusi pasukan tranformasi MCA berkata, MCA akan mengumpul maklumat itu dalam tempoh tiga bulan sebelum menyusunnya menjadi sebuah rangka tindakan, yang pertama kali dibuat dalam sejarah parti itu. Rangka dasar itu akan dibawa untuk restu jawatankuasa pusat dan mesyuarat agung tahunan pada 21 Disember untuk dibahaskan oleh perwakilan dan kemudian menjadi garis panduan pelaksanaan MCA, katanya dalam sidang media hari ini. MCA bertanding 37 kerusi Parlimen dan 90 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya umum 5 Mei lalu. Parti Cina itu hanya menang di tujuh Parlimen dan 11 DUN. Pasukan yang diketuai Liow itu ditugaskan menjalankan bedah siasat atas kekalahan itu dan menyarankan cadangan transformasi dalam parti. | ||||
Teng: Bukan kedekut, S'gor belanja lebih dari cukup Posted: 19 Jun 2013 02:34 AM PDT MALAYSIA KINI Exco kerajaan tempatan Selangor yang baru Teng Chang Kim mempertahankan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang dikaitkan dengan pendekatan "kedekut" dalam pentabirannya."Ramai orang fikir kita tidak belanja banyak tetapi sebenarnya kita berbelanja cukup. Hakikatnya, kita berbelanja lebih daripada cukup. Belanjawan 2012 kita berjumlah RM1.4 bilion tetapi di penghujungnya, kita belanja lebih dan ada belanjawan tambahan. "Kita juga ambil RM300 juta dari Menteri Besar Incorporated untuk membantu menyediakan kemudahan di negeri ini. "Jadi, hakikatnya, kita peruntukkan RM1.7 di atas kertas... dan kita ada belanjawan tambahan dengan peningkatan antara RM200 hingga RM300 juta. Kita sudah belanjakan RM2 bilion," kata Teng ketika diwawancara. Dengan perbelanjaan itu, Selangor merakamkan lebihan kewangan lebih RM2.5 bilion pada tahun lalu. | ||||
Arutchelvan: PAS orang tengah pertemuan Pakatan-PSM Posted: 19 Jun 2013 02:33 AM PDT PAS bersetuju menjadi orang tengah untuk menyusun perbincangan antara Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan pemimpin tertinggi Pakatan Rakyat bagi membincangkan sama ada parti haluan kiri itu selari dengan gabungan pembangkang. Setiausaha Agung PSM S Arutchelvan mendedahkan perkara ini ketika dihubungi. Menurutnya lagi, ia merupakan hasil utama daripada mesyuarat panjang mereka dengan kepimpinan PAS di Kuala Lumpur semalam. "Berhubung soalan sama ada PSM boleh dimasukkan atau tidak, mereka kata, persoalan berkaitan ideologi harus dibincangkan dengan Pakatan secara lebih terbuka," katanya. "Setakat pertemuan hari ini, kita tiada kemajuan banyak, tetapi kita masih ada hubungan baik dengan PAS. Kita tidak meragukan mereka dan melihat ke arah pertemuan dengan Pakatan." Arutchelvan berkata, pertemuan semalam bertujuan berdialog ekoran kenyataan presiden PAS bahawa partinya tidak boleh menyokong calon yang menyokong Marxism. | ||||
Posted: 19 Jun 2013 02:25 AM PDT SHAH ALAM - BN telah memilih semula nama Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Yang diPertua Dewan Rakyat bagi penggal persidangan Parlimen 2013-2018 kali ini. Menurut Pandikar Amin, namanya telah dicalonkan sendiri oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak. Beliau berkata, notis di bawah Peraturan Mesyuarat 4 (1). Yang dihantar telah diterima oleh Setiausaha Dewan Rakyat pada 6 Jun lalu. "Di bawah peraturan mesyuarat tersebut saya telah nyatakan kesangguppan saya untuk berkhidmat jika dipilih," katanya kepada Sinar Harian Online. Untuk rekod, Pandikar turut menggalas tugas sama bagi Parlimen penggal lalu. Beliau juga adalah Speaker Dewan Rakyat yang ke-8, bukan daripada kalangan Ahli Parlimen dan merupakan penjawat pertama dari Sabah. Pandikar Amin mula menggalas jawatan itu selepas Tan Sri Ramli Ngah Talib tamat tempoh perkhidmatannya pada 27 April 2008. Pemilihan Speaker Parlimen ke-13 akan ditentukan pada hari pertama Dewan Rakyat pada 24 Jun sebelum majlis angkat sumpah ahli-ahli Parlimen bermula. Sementara itu, PR turut menghantar satu nama untuk calon Speaker Dewan Rakyat ke-13 iaitu bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman. | ||||
7 tempat berkumpul demo 'Black 505' Posted: 19 Jun 2013 02:24 AM PDT MALAYSIA KINI Pakatan Rakyat dan pemimpin NGO akan berkumpul di tujuh tempat di Kuala Lumpur pada Sabtu sebelum bergerak ke Padang Merbok untuk acara perhimpunan 'Black 505'. Tempat-tempat itu: Brickfields - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan dan pemimpin BERSIH Maria Chin Abdullah Masjid Negara - dipimpin oleh anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali Jalan Pudu - dipimpin oleh Timbalan Pengerusi DAP Tan Kok Wai, setiausaha organisasi parti Anthony Loke, pemimpin kumpulan anti-Lynas Wong Tack dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Jalan Raja Laut (pejabat PAS) - dipimpin oleh Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden Mohamad Sabu Jalan Raja Laut (Sogo) - dipimpin oleh Naib Presiden PKR Tian Chua dan NGO bekas-bekas pesara tentera Universiti Malaya - dipimpin oleh aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua Pemuda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan Pekeliling - dipimpin oleh Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK | ||||
Pendatang haram di Sabah suka diami kampung air Posted: 19 Jun 2013 02:12 AM PDT MALAYSIA KINI Kampung air di Sabah, terutama di pantai timur, dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi hadapi ancaman keselamatan, demikian Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang haram di Sabah diberitahu semalam. Pensyarah kanan sains sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS) Wan Shabaruddin Wan Hassan berkata kajian pada 2002-2005 mengenai impak terhadap keselamatan akibat kehadiran pendatang haram di Sabah mendapati pendatang berkenaan terutama dari selatan Filipina, lebih suka mendiami kampung air sebagaimana kebiasaannya di negara asal mereka. "Dalam pemerhatian kami, kampung-kampung air dilihat sebagai berbahaya oleh kerana penempatan ini menjadi sarang kegiatan haram, termasuk penyeludupan senjata yang polis sifatkan bukan sesuatu yang luar biasa. "Semasa lawatan kami ke sebuah kampung air di Lahad Datu, kami terserempak dengan kegiatan mengedar wang palsu Malaysia yang digunakan dengan meluas di situ," kata beliau. Wan Shabaruddin, yang mengajar dasar luar, berkata jenayah kecil seperti mencuri biasa saja berlaku di kampung air seperti di selatan Filipina. Beliau mencadangkan supaya kerajaan memantau dan mendaftar penduduk di semua kampung air daripada meruntuhkan kampung tersebut oleh kerana warga Malaysia juga tinggal di situ. MP Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau memberitahu siasatan terdapat keperluan untuk mengkaji semula pengeluaran kad pengenalan di Sabah. Madius, yang juga setiausaha agung Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), mengsorkan supaya kad pengenalan di Sabah ditarik balik dan dikeluarkan semula kepada mereka yang mempunyai sijil beranak bagi mengenalpasti warga Malaysia tulen. Siasatan diketuai oleh bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong. Turut menyertai panel ialah bekas naib canselor UMS Datuk Dr Kamaruzzaman Ampon, bekas ketua polis Kuala Lumpur Datuk Henry Chin Poy Wu, bekas setiausaha kerajaan negeri Sabah Datuk KY Mustapha, dan bekas timbalan ketua menteri Tan Sri Herman J Luping, yang juga bekas peguam besar Sabah. Siasatan bersambung hari ini. - Bernama | ||||
'Rosmah dinobat wanita paling berkuasa di M'sia' Posted: 19 Jun 2013 02:11 AM PDT MALAYSIA KINI Isteri perdana menteri Rosmah Mansor menggungguli senarai "10 Wanita Paling Berkuasa di Malaysia" yang dimuatkan di the Star hari ini.Dalam senarai yang tidak dinyatakan dikeluarkan oleh pihak mana itu, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhbar Aziz mengikuti rapat di tempat kedua. Tiga pemimpin Pakatan Rakyat turut termasuk dalam senarai itu, iaitu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar (kedudukan kelima), anggota Parlimen Subang Jaya Hannah Yeoh (keenam) dan anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok (ketujuh). Muncul di halaman 5 akhbar milik MCA itu, senarai itu yang disiarkan penuh satu muka, tidak menyatakan dengan jelas sama ada ia berbentuk advertorial atau sebahagian daripada kandungan redaksi. Menurut keterangannya, senarai itu dipilih daripada 1,000 calon merangkumi tujuh kategori iaitu kekayaan, perniagaan, gaya hidup, NGO dan kesukarelaan, politik serta teknologi. "Untuk menentukan kedudukan antara setiap kategori, dan kedudukan keseluruhan dalam senarai 10 teratas, kami menggunakan tiga kayu ukur: wang, kemunculan di media dan impaknya," menurut keterangannya. | ||||
'Mansuh undang-undang jenayah syariah gesaan sempit' Posted: 19 Jun 2013 02:09 AM PDT Wanita Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) memandang serius akan gesaan memansuhkan Undang-undang Jenayah Syariah yang dibuat oleh The Joint Action Group for Gender Equality (JAG) berhubung isu mengenakan sebatan Syariah ke atas pesalah sumbang mahram dan zina. Seramai 22 daripada 39 pesalah dilaporkan wanita. Wanita ISMA merasakan gesaan tersebut dibuat dari kacamata sempit feminisme dan liberalisme yang gagal melihat isu tersebut secara menyeluruh kerana ia melibatkan dosa besar dalam undang-undang Syariah, iaitu sumbang mahram dan zina. Sumbang mahram adalah hubungan seks/kelamin di antara dua individu yang diharamkan berkahwin oleh syariat agama. JAG gagal mempertimbangkan faktor di mana kajian di antara tahun 2000-2008 menunjukkan Selangor dan Johor merekodkan kes tertinggi sumbang mahram, iaitu sebanyak 308 kes. Menurut penolong pengarah kanan Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Mohd Zambri Kambari, sebelum ini, kesalahan tersebut hanya didenda membayar RM5,000 atau penjara 3 tahun. Nyata, kedua-dua hukuman ini, yang mungkin dianggap ringan gagal menghalang kes-kes sebegini daripada terus berlaku. Sumbang mahram, jika tidak dibendung, melahirkan natijah yang lebih buruk iaitu dengan merosakkan susur galur keturunan salasilah keluarga, terutamanya jika hubungan tidak sah ini melahirkan zuriat. Anak-anak yang lahir dari hubungan sumbang mahram juga terdedah kepada trauma psikologi. Wanita ISMA menyokong tindakan JAIJ dalam menguatkuasakan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah negeri Johor kerana ia dilakukan mengikut garis panduan yang mematuhi sebatan Syariah. Sebatan Syariah ini memerlukan wanita hanya di dalam keadaan duduk, tidak seperti lelaki yang terpaksa berdiri. Ini adalah bukti di mana Islam masih menjaga kehormatan wanita, tanpa mengorbankan prinsip asas setiap yang bersalah mesti dihukum, tanpa mengira jantina. Hukuman ke atas wanita juga boleh ditangguhkan sekiranya mereka mengandung atau masih menyusukan bayi. Pesalah juga dirotan dalam keadaan berpakaian penuh, dan sebatan tidak sepatutnya mengenai muka, kepala, alat sulit, perut atau dada. Kayu sebatan juga telah ditetapkan panjang dan saiznya dan perotan tidak boleh mengangkat tangan untuk merotan melebihi kepalanya. Kesemua ini tidak mungkin mendatangkan kecederaan fizikal yang serius, sebaliknya hanyalah untuk mendidk. Undang-undang Syariah adalah asas akidah seorang Muslim. Setiap dari Muslim percaya bahawa undang-undang Syariah yang diturunkan Allah adalah relevan sepanjang zaman. JAG mendakwa bahawa tiada bukti kukuh bahawa sebatan dapat mengurangkan kadar kes jenayah seksual. Pada hakikatnya, undang-undang Syariah tidak pernah diberi peluang beroperasi sepenuhnya bagi menilai keberkesanannya. Islam mengingatkan penganutnya agar menjauhi dosa-dosa besar dengan pendekatan mendidik seperti peringatan membataskan pergaulan bebas dan peraturan-peraturan lain, kerana Islam bukanlah berasaskan kepada hukuman. Islam juga menetapkan syarat-syarat ketat agar hukuman hanya dikenakan selepas ada pembuktian jelas kesalahan tersebut dan pengakuan pesalah. Apabila kesalahan telah terbukti, dan di dalam hal ini Wanita ISMA percaya jabatan-jabatan berkenaan telahpun menjalankan tanggungjawabnya dengan amanah dan teliti, hukuman perlu dilaksanakan tanpa menunjukkan belas kasihan. Menurut Syed Qutb, penulis kitab tafsir Fi Zilalil Quran yang terkenal, belas kasihan pada saat ini adalah tidak wajar, kerana ia akan menjadi kezaliman ke atas masyarakat dan moraliti insaniah. Allah adalah sangat pengasih kepada hambaNya dan Dia telah menurunkan hukuman yang paling sesuai bagi manfaat hambaNya. Apabila Allah telah menetapkan hukumanNya, adalah tidak wajar manusia cuba menentang pilihan tersebut, atau beranggapan bahawa hukuman yang diturunkan Allah kejam dan zalim. Hukuman tersebut sebenarnya lebih berperikemanusiaan dari gejala sumbang mahram dan penzinaan yang bakal melata di kalangan masyarakat jika tidak dibendung. Adalah sesuatu yang amat membimbangkan apabila di sesetengah negara Barat, pandangan yang lebih liberal terhadap sumbang mahram cuba diketengahkan. Baru-baru ini, Universiti of Missouri di Amerika Syarikat telahpun menawarkan kursus "Sumbang Mahram Adik Beradik (Sibling Incest)" bagi semester musim bunga 2013 dalam memahami dan menerima fenomena tersebut. Ini belum lagi mengambilkira serangan berbentuk pornografi yang juga menjadikan hubungan sumbang mahram ini sebagai salah satu genrenya. Wanita ISMA dengan ini menggesa agar semua pihak bersatu membendung gejala sumbang manhram dan zina melalui semua bentuk pendekatan iaitu peningkatan kesedaran, pendidikan, pencegahan maupun hukuman jika perlu. (*) Rafidah Hanim Mokhtar, Unit Penerangan Wanita ISMA | ||||
Mahathir kesal benar kebebasan internet semasa jadi PM Posted: 18 Jun 2013 05:05 PM PDT KL TODAY Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapannya semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet, ia ekoran keputusan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini dimana media baru banyak memainkan peranan.Dr Mahathir berkata beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996. "Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet. "Saya beritahu dia tidak, kami akan jadi sangat bebas… tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali," kata beliau semasa berucap pada majlis penutup CEO Forum 2013 di Berjaya Times Square Convention Centre disini. Beliau juga berkata tidak menyangka keputusannya tersebut menyebabkan perubahan yang drastik sehingga ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab hinggakan orang ramai mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi antara satu sama lain. "Bila berikan kebebasan, kamu fikir tiada banyak yang akan berubah tapi sekali kamu beri mereka kebebasan, mereka cenderung menyalahgunanya. "Sekarang kamu lihat orang ramai melakukan provokasi antara satu sama lain, kenyataan-kenyataan tersebut menyebabkan kita semua tidak dekat antara satu sama lain," katanya lagi. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial. Najib menegaskan kerajaan tidak akan bertindak melesenkan portal berita dan blog sebagaimana dilakukan negara jiran, bagaimanapun, katanya, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan tetap menguatkuasakan undang-undang sedia ada. Media sosial, terutamanya Facebook dan Twitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus "Arab Spring" di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan. Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com. Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun. Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan. | ||||
Undi popular PAS di kerusi Parlimen NS meningkat Posted: 18 Jun 2013 04:57 PM PDT Di kesemua kerusi Parlimen dan DUN, pengundi Melayu merupakan dua pertiga daripada jumlah pengundi. Dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu, PAS Negeri Sembilan meletakkan calonnya bertanding di tiga kerusi parlimen iaitu Jelebu, Jempol dan Tampin. PAS juga bertanding di 12 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Lui, Klawang, Serting, Lenggeng, Senaling, Johol, Labu, Paroi, Chembong, Kota, Bagan Pinang dan Gemencheh. Di kesemua kerusi ini, pengundi Melayu merupakan dua pertiga daripada jumlah pengundi. Calon PAS bertanding satu lawan satu di kesemua kerusi ini. PAS Negeri Sembilan masuk bertanding dalam PRU-13 iaitu di 'medan perang Melayu' (Malay battlefield), iaitu 'medan perang' yang paling sukar ditembusi berbanding dengan lain-lain 'medan perang' di Negeri Sembilan. Kejayaan PAS menawan ''medan perang Melayu' ini bermakna berakhirnya dominan Umno di Negeri Sembilan. Maka Umno mempertahankan 'medan perang Melayu' habis-habisan. Kerusi-kerusi di mana PAS bertanding merupakan benteng tradisi Umno dan penentu hidup matinya Umno Negeri Sembilan. Sebab itu Umno Negeri Sembilan mengambil sikap bahawa kubu tradisi Umno ini mesti dipertahankan dengan apa cara sekali pun (by hook and by crook). Dalam PRU-12, PAS berjaya membuat tembusan dengan menawan DUN Paroi dengan majoriti yang selesa. Sejak dari itu, Umno Negeri Sembilan tidak pernah membuang masa dan tenaga untuk menawan semula DUN Paroi. Asakan balas Umno membawa padah kepada PAS Negeri Sembilan apabila kehilangan satu-satunya kerusi yang dimenanginya dalam PRU-12 yang lalu. Walaupun PAS kalah dalam PRU-13 ini, namun secara keseluruhannya, prestasi PAS terus meningkat berbanding dengan PRU yang pernah ditempohi PAS selama ini. Pertama, undi popular yang diraih PAS di ketiga-tiga kerusi parlimen yang ditandingi calon PAS telah meningkat dengan ketara dari 31 peratus dalam PRU-12 kepada 39 peratus dalam PRU-13 iaitu kenaikan lapan peratus. Parlimen Jelebu Di kesemua kerusi parlimen ini undi popular PAS meningkat dengan parlimen Jelebu merakamkan peningkatan tertinggi dari 28 peratus kepada 39 peratus (kenaikan 11 peratus). Undi popular di Jempol pula naik dari 33 peratus (PRU-12) kepada 41 peratus (kenaikan lapan peratus). Sementara di Tampin dari 30 peratus kepada 37 peratus (kenaikan tujuh peratus). Kenaikan undi popular PAS di parlimen Jelebu adalah yang kelima tertinggi di dalam senarai kerusi parlimen yang ditandingi PAS di seluruh Malaysia. Kedua, pada keseluruhannya, undi popular yang diraih PAS di ke semua kerusi DUN yang ditandingi merosot hanya satu peratus daripada 37 peratus dalam PRU-12 kepada 36 peratus dalam PRU-13. Ini berlaku dalam suasana di mana kadar keluar mengundi meningkat secara mendadak dari sekitar 72-78 peratus dalam PRU-12 kepada 84-88 peratus dalam PRU-13, iaitu kenaikan sebanyak antara 10-12 peratus. Inilah kadar keluar mengundi yang paling tinggi pernah dirakam di dalam sejarah pilihanraya di Negeri Sembilan. PAS berjaya meraih undi popular melebihi 40 peratus di empat kerusi DUN iaitu DUN Klawang (47%), DUN Paroi (45%), DUN Labu (43%) dan DUN Johol (41%). Ia juga berlaku dalam suasana di mana jumlah pengundi di 12 DUN ini telah meningkat dengan ketara sebanyak 22 peratus dalam PRU-13 berbanding PRU-12. Ketiga, calon PAS yang bertanding di kerusi DUN Klawang kalah tipis kepada calon Umno sebanyak 282 undi dalam PRU-13. Ini bermakna majoriti kemenangan calon Umno telah berkurangan dengan ketara daripada 841 undi dalam PRU-12 (2008), iaitu pengurangan sebanyak 559 undi atau 66 peratus. DUN Klawang juga mencatatkan penambahan undi yang diperolehi calon PAS melebihi penambahan jumlah pemilih pada PRU-13 berbanding PRU-12. | ||||
`Masa Mahathir tidak sama dengan Najib’ Posted: 18 Jun 2013 04:48 PM PDT Kenyataan pemimpin tertentu supaya jawatan Presiden Umno tidak ditandingi bererti memperlekehkan Datuk Seri Najib, kata bekas Ketua Penerangan Umno Perlis. PETALING JAYA: Bekas Ketua Penerangan Umno Perlis membidas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dicabar dalam pemilihan Umno hujung tahun ini. Datuk Hashim Suboh berkata, kenyataan bekas Presiden Umno itu sebagai tidak kena, kerana masa Dr Mahathir tidak sama dengan era tranformasi Najib. "Dr Mahathir tidak boleh kata jika ada pertandingan Umno akan berpecah kerana Umno zaman Najib tidak sama dengan zaman dia (Dr Mahathir)," katanya. Hashim berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Dr Mahathir bahawa Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya tidak dicabar dalam pemilihan Umno hujung tahun ini. Pada pemilihan Umno tahun 1987, Dr Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden Umno, manakala Tun Musa Hitam mencabar Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden Umno. Tengku Razaleigh, bagaimanapun kalah kepada Dr Mahathir dan beliau membawa kes itu ke mahkamah menyebabkan Umno diharamkan. Umno Baru dan Semangat 46 Dr Mahathir menubuhkan Umno Baru, manakala Tengku Razaleigh mewujudkan Parti Melayu Semangat 46. Bagaimanapun, Hashim meminta menteri dan ahli majlis tertinggi Umno tidak mengeluarkan kenyataan seperti Dr Mahathir. "Jangan memperlekehkan Datuk Seri Najib, seolah-olah dia pemimpin yang tidak ada wibawa dan boleh dicabar bila-bila masa," kata Hashim lagi. Hashim juga mendakwa, kenyataan bahawa pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno akan membawa perpecahan kepada parti adalah satu perkara yang subjektif. Katanya, perpecahan akan berlaku kerana mereka yang kalah ditinggal dan dicantas oleh pihak yang menang. "Yang kalah, yang ada pengaruh antara 35% dan 40% itu akan bangkit dan bertindak balas," tambahnya. Menurut Hashim, biarlah ahli Umno di peringkat bawah yang memilih pemimpin dan bukan anggota majlis tertinggi dan menteri kabinet cuba menpengaruhi mereka mengikut selera tertentu. | ||||
Posted: 18 Jun 2013 04:46 PM PDT
Saya amat menyokong cadangan Dato' Teng Chang Khim, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian & Penyelidikan supaya diwujudkan pengasingan rumah urut antara lelaki dan wanita. Cadangan ini sebagai salah satu usaha kerajaan negeri Selangor membanteras kegiatan rumah urut yang turut menjalankan kegiatan pelacuran. Cadangan pengasingan antara wanita dan lelaki ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini telah wujud pengasingan gerabak komuter antara lelaki dan wanita demi mengelakkan gangguan lelaki terhadap wanita. Jauh sebelum itu, di Kelantan telah wujud beberapa dasar seperti pengasingan kaunter pembayaran lelaki dan wanita. Di samping itu terdapat juga larangan tukang gunting wanita menggunting rambut lelaki. Hakikatnya, cadangan ini wajar mendapat sokongan dan bantuan daripada semua pihak. Hal ini kerana, bagi menjamin kejayaan penuh, cadangan ini turut membabitkan penguatkuasa daripada negeri dan pusat. Jika hanya satu pihak sahaja, dibimbangi cadangan ini tidak mencapai tahap 100 peratus. Namun, kerajaan negeri perlu melakasanakannya mengikut kadar bidang kuasa yang ada di tangan mereka. Jika tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya. | ||||
Posted: 18 Jun 2013 04:44 PM PDT
Menurut bekas editor kanan akhbar itu, Rocky Bru atau nama sebenarnya Datuk Ahirudin Atan, antara yang mungkin meninggalkan akhbar itu adalah Lionel Morais, editor jenayah kanan akhbar itu. Enam orang wartawan NST dijangka menyertai Morais untuk memenuhi kelompongan di TMI yang ditinggalkan oleh Leslie Lau dan lebih dua puluh yang lain yang meninggalkan TMI. "Berita baiknya, sehingga mereka mendapat pengganti Lionel dan pemberitanya, akan berlaku kejatuhan dalam kadar jenayah, sekurang-kurangnya di muka-muka akhbar NST," tulis Rocky (gambar). Beliau juga mendapat maklumat, beberapa wartawan dari Singapura juga akan menyertai TMI. Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq ketika dihubungi Harakahdaily mengesahkan perkara ini namun tidak menyatakan siapa yang akan menyertai beliau di TMI. "Kita ambil sebahagiannya...semua orang nak masuk sini sekarang," kata Jahabar kepada Harakahdaily. Seorang wartawan kanan NST ketika dihubungi mengesahkan mengenai hal ini. "Terkejut jugalah kami kerana kita tidak tahu apa-apa sebelum ni," kata wartawan berkenaan. Baru-baru ini, kira-kira 25 wartawan, perekabentuk dan jurugambar TMI dengan diketuai Eksekutif Editornya, Leslie Lau berhenti secara berkumpulan dari TMI. Mereka akan menyertai satu laman baru yang dibentuk kumpulan The Malay Mail iaitu Malay Mail Online (MMO). Namun, Jahabar berkata, beliau tidak akan berhenti bahkan akan meneruskan TMI. TMI kini media online yang ke enam dari segi rankingnya sebagaimana yang dicerap oleh Alexa.com. Malaysiakini nombor satu diikuti Sinar Harian (2), The Star (3), Harakahdaily (4), Utusan Online (5) dan TMI. | ||||
Kelantan bina jaringan pelaburan Islamik Posted: 18 Jun 2013 04:31 PM PDT
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meningkatkan usaha misi pelaburan dengan matlamat membina jaringan pelaburan Islamik khususnya di Timur Tengah sebagai keutamaan. Ianya selaras dengan harapan Sultan Muhammad V yang berharap Kelantan mempergiatkan usaha menarik pelabur. Menteri Besar Kelantan, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata di samping mengukuhkan hubungan Jaringan Perdagangan Islam di sebelah timur, termasuk Persatuan Pedagang Muslim di Tanah Besar China, Hong Kong dan Taiwan. Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada sidang Dun Kelantan petang ini. Tegasnya, kerajaan negeri juga berhasrat membina rangkaian makanan halal dengan meningkatkan kemasukan pelabur di halal hub dan akan bekerjasama dengan pembekal makanan halal daripada negara Arab. "Saya sendiri akan menerokai peluang bertemu pelabur Arabian Countries ini selari dengan hasrat perancangan kerajaan negeri untuk menubuhkan Sekretariat Hubungan Kelantan-Arabian Countries. "Menerusi kerjasama ini juga akan menarik kepakaran dalam industri pendidikan, minyak, gas serta pelancongan Islam," ujarnya. Beliau turut memberitahu, hubungan dagang itu diharap dapat dipermudahkan memandangkan beberapa orang Adun dan bekas Adun mempunyai pakar dalam hubungan dengan negara Arab. Pada masa yang sama, Ahmad turut mendedahkan sektor pelancongan dilihat berpotensi sehingga pengusaha di negeri itu berjaya meraih RM1.8 billion bagi pengusaha berkaitan pelancongan. Jelasnya, ia hasil kejayaan urus tadbir Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berteraskan Membangun Bersama Islam. Selain kejayaan lain, katanya Kelantan juga turut wujud persekitaran sejahtera yang menarik minat pusat pendidikan di negeri itu. "Selain beberapa IPTA, kita ada IPTS dan ada yang bertaraf antarabangsa seperti Universiti Lim Kok Wing," ujarnya. Hari ini adalah hari terakhir sidang Dun Kelantan setelah berlangsung selama tiga hari bermula Ahad lalu. Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Dun Kelantan ke-13 tahun ini disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. | ||||
Kilang POLENS Bantu Pengeluaran Produk Usahawan Selangor Posted: 18 Jun 2013 04:29 PM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Selangor mahu menggunakan sebuah kilang kepunyaan anak syarikatnya bagi membantu pertumbuhan usahawan Selangor melalui perusahaan produk pada harga kompetitif. Polens Malaysia sdn bhd, anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) mempunyai pengalaman operasi lebih dari 20 tahun dalam pengeluaran produk makanan. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata kilang tersebut mampu digunakan usahawan di bawah program Kerajaan Selangor seperti Mimbar dan Skimsel untuk menghasilkan produk mereka pada harga yang rendah. "Usahawan kita yang didalam industri kecil yang lain boleh mendapatkan menfaat daripada kewujudan kilang POLENS ini. "Mereka tidak perlu ada satu kilang sendiri mereka boleh menghasilkan produk mungkin dalam skala yang mereka mampu dan boleh dipackaging kan disini. "Sebab POLENS juga memang ada OEM iaitu mereka boleh memberikan khidmat packaging untuk usahawan2 yang lain," kata Daroyah selepas melawat kilang tersebut di sini pagi tadi. Kilang tersebut mempunyai berbagai Sijil Amalan Pengilang Baik (GMP) dan pengiktirafan sijil Halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Kilang tersebut merupakan pengeluar produk-produk herba seperti misai kucing dan madu lebah. "Saya melihat di POLENS ini banyak ruang dan peluang untuk POLENS berkembang pergi lebih jauh. Keduanya POLENS boleh membantu rakan-rakan dalam IKS untuk pergi lebih jauh." | ||||
Abdul Khalid Jumpa KETTHA Bincang Posted: 18 Jun 2013 04:26 PM PDT DAMANSARA : Perbincangan awal mengenai penstrukturan semula industri air dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dijangka akan diadakan minggu depan. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid memaklumkan satu temujanji sudah diatur oleh pejabatnya dengan pihak kementerian. Katanya, pertemuan antara pihak Kementerian itu akan dihadiri oleh beliau sendiri. "Seperti yang kita tahu, Menteri Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili sebelum ini menyatakan persediaan untuk bertemu saya bagi membincangkan perkara ini. "Oleh itu, saya akan bertemu dengan pihak Kementerian minggu depan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Cheque daripada penaja-penaja Kejohanan Golf Worlwide Holdings di Kelab Seri Selangor, di sini. Abdul Khalid menambah temujanji itu akan diadakan sebagai permulaan awal sebelum perbincangan terperinci mengenai isu itu. Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta. Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu. Dalam majlis hari ini, Abdul Khalid berkata sebanyak RM 4.35 juta hadiah termasuk empat buah kereta jenis Toyota ditawarkan untuk kejohanan golf tersebut yang berlangsung daripada 20 hingga 23 Jun ini. Kejohanan Golf Pro Am kali ke enam itu, menampilkan Juara tahun lalu, Thaworn Wiratchant (Thailand) yang dijangka akan mempertahankan kejuaraannya. Turut berentap Lin Wen Tang (Chinese Taipei), Scott Hend (Australia) dan Anirbon Lahiri (India). | ||||
Klinik Kesihatan Kapar Daif, Manivanan Tuntut Penjelasan KKM Posted: 18 Jun 2013 04:25 PM PDT KLANG : Karenah kakitangan kurang sopan dan keadaan klinik yang didakwa tidak mementingkan aspek keselamatan dan kesihatan, adalah antara masalah yang dihadapi penduduk jika mahu mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Kapar. Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, beliau mendapat maklum-balas kurang menyenangkan ini daripada penduduk tempatan berkenaan perkhidmatan klinik yang berusia lebih 30 tahun itu. Menurutnya seorang penduduk Kapar, Mohd Akhir Othman yang mengalami 'lumpuh sementara' pada 9 Jun lalu untuk mendapat rawatan, malangnya kakitangan yang bertugas didakwa bersikap kurang sopan. "Ada khidmat pesanan ringkas (SMS) oleh saksi iaitu Ketua Kampung Kapar, Jamlus Hasan yang mendakwa kakitangan klinik berkenaan mengeluarkan kata-kata seperti, 'jangan ganggu kami, awak pergi tempat lain, apa pasal pagi-pagi sudah kacau," ujarnya. Selain itu, Manivanan mendapati klinik berkenaan mengambil sikap sambil lewa mengenai aspek keselamatan dan kesihatan apabila tidak menutup sepenuhnya kawasan yang sedang dibaikpulih sehingga menyebabkan habuk memenuhi ruang menunggu pesakit. "Ini bukan tapak pembinaan, ini adalah klinik kesihatan, ini tidak sepatutnya berlaku," katanya lagi. Justeru, beliau akan menghantar surat kepada klinik berkenaan supaya masalah berkenaan di atasi secepat mungkin. Manivanan mencadangkan supaya sebarang penambahbaikan boleh dilakukan pada hari Sabtu dan Ahad kerana klinik berkenaan ditutup. Dalam pada itu, sepucuk surat juga akan dihantar kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meminta penjelasan berkenaan infrastruktur klinik yang didakwa tidak mampu lagi berfungsi dan menyediakan perkhidmatan dengan baik. Manivanan juga membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang berjanji akan membina hospital di Kapar sekiranya berjaya menawan Selangor dalam pilihan raya umum lalu. "Pada saya ini tidak adil, dia dah kalah, dia tak nak tubuhkan hospital. "70,000 orang telah undi saya, manakala 50,000 orang undi BN, saya juga menuntut untuk 50,000 orang yang mengharapkan hospital, Najib tak boleh cakap 'kalau menang', dia masih ada orang yang undi BN," ujarnya lagi. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan