DIALOG RAKYAT |
- Gerakan pecat seorang ahli, gantung dua lagi
- Perhimpunan: 14 individu dibebaskan dengan jaminan polis
- Tambang bas ekspes: Pelajar, golongan muda bantah
- Kadar 30% hanya perangkap untuk naikkan tambang
- Kerajaan T'ganu mula tunjuk politik balas dendam
- RED BEAN ARMY YANG SAHIH merungut dilayan sebagai kelas kedua
- Keluarga dihalang jumpa tahanan ISA di Hari Bapa
- Pendakwa jenayah perang akan kendali tribunal BERSIH
- Kerajaan kawal internet: Makin ramai kata TIDAK
- Peniaga Tentang 'Sekeras-kerasnya' Perobohan Pasar Besar Kedai Payang
- Dulu 'Kafir Harbi', Selepas PRU-13 Umno Pelawa DAP
- Lebih 1,000 Umat Islam Malaysia Bantah Kekejaman Rejim Bashar Assad
- Tinggal Di Bangsal Tanpa Kemudahan Selepas Rumah Diroboh
- Selangor Laksanakan Perkhidmatan Bas Tempatan Dalam Dua Bulan
- Tangkap penyokong liar, Kafa tawar RM1,000
- Hina Agong: 'Melissa Gooi' beri keterangan
- 15 peserta 'flashmob' ditahan depan Sogo
- Pembangkang pilih Lajim ketua pembangkang DUN Sabah
- Pesawah rugi RM 400,000 sawah ditenggelami air
- Exco negeri Johor letak semua jawatan dalam MCA
- Hampir seluruh petugas tinggalkan TMI
Gerakan pecat seorang ahli, gantung dua lagi Posted: 16 Jun 2013 06:58 AM PDT Gerakan memecat seorang anggotanya dan menggantung keanggotaan dua yang lain kerana melanggar peraturan, termasuk menentang calon yang dipilih mewakili parti itu dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini. Pemangku presidennya Datuk Chang Ko Youn hari ini berkata keputusan itu diambil pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) Gerakan semalam. "Sebelum ini, lima anggota mengambil keputusan mengundur diri...sebabnya, ada daripada mereka bertanding sebagai calon bebas dan esetengahnya pula menentang calon kami. Terdapat juga beberapa aduan lain," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sesi percambahan fikiran parti itu di ibu pejabatnya di ibunegara. Bagaimanapun, Chang tidak menyatakan nama tiga anggota terbabit dan menjelaskan bahawa siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap aduan lain yang diterima parti itu. Mengenai sesi percambahan fikiran itu, beliau berkata ia diadakan untuk untuk mengkaji kekuatan dan kelemahan parti berkenaan dan Barisan Nasional dalam PRU13. "Kami ada kira-kira empat atau lima tahun lagi untuk mendapatkan kembali keyakinan pengundi, kami perlu susun rancangan yang konkrit," katanya.- Bernama | ||||
Perhimpunan: 14 individu dibebaskan dengan jaminan polis Posted: 16 Jun 2013 06:51 AM PDT Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata 13 lelaki dan seorang wanita dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 10 malam. "Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun turut dibawa ke IPD dalam insiden itu kerana ibunya dipercayai terlibat dalam perhimpunan itu dan polis tidak menahan kanak-kanak itu," katanya kepada Bernama. — Bernama | ||||
Tambang bas ekspes: Pelajar, golongan muda bantah Posted: 16 Jun 2013 05:38 AM PDT SHAH ALAM - Cadangan kenaikan 30 peratus tambang bas sebelum musim perayaan ternyata tidak dipersetujui pelajar dan golongan muda. Tinjauan Sinar Harian mendapati, mereka menolak cadangan dikemukakan itu kerana dianggap tidak berpatutan. Juruukur bahan, Muhd Faris Aziz Mohd Nor, 24, berkata, sekiranya cadangan kenaikan sebanyak 30 peratus itu dilaksanakan, ia bakal membebankan pengguna. Muhd Faris berkata, kebanyakan pihak menggunakan bas untuk pulang beraya terdiri daripada pelajar dan tidak mempunyai kenderaan. Menurutnya, dia merasakan caj tambahan itu hampir menyamai 50 peratus yang disifatkan sangat tinggi. "Saya biasanya pulang ke kampung di Kelantan untuk beraya dan jika tambang naik memang rasa sangat bebannya. "Saya fikir cadangan kenaikan itu juga agak melampau. Harap cadangan ini tidak dilaksana," katanya ketika ditemui di Seksyen 2, semalam. Pelajar, Nurhazirah Ismail, 22, berkata, dia tidak bersetuju cadangan itu yang dianggapnya mahal. Menurutnya, dia berharap harga tambang sama seperti sebelum ini. "Pelajar seperti saya mana ada duit banyak sangat. Harap harga akan tetap kekal macam sebelum ini," katanya. Nurhazirah berkata, dia turut mencadangkan supaya pengusaha syarikat bas meningkatkan mutu perkhidmatan. Menurutnya, jumlah tiket sempena musim perayaan perlu ditambah bagi memudahkan pengguna untuk mengelak kehabisan tiket. Sementara itu, Intan Shafinas Ab Razak, 20, seorang pelajar berkata, cadangan seperti itu sememangnya tidak berpatutan dan dianggap mahal bagi pelajar sepertinya. "Saya rasa memang tak patut dinaikkan dan harap ia kekal. Fikirkan rakyat kerana ia akan membebankan," katanya. | ||||
Kadar 30% hanya perangkap untuk naikkan tambang Posted: 16 Jun 2013 05:29 AM PDT
Pengerusinya Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan tidak sepatutnya menaikkan tambang bas ekspress walaupun kenaikan satu, 10 atau 15 peratus sekalipun. "Isu sebenarnya bukan 30 peratus, isunya adalah kenaikan harga tambang. Kalau bawah 30 peratus iaitu 15 peratus bermakna pengguna akan beli. Ini adalah perangkap kepada pengguna supaya bincang kenaikan harga tambang. Hakikatnya harga tambang pasti akan naik," katanya kepada Harakahdaily. Beliau yang juga Naib Presiden PAS berkata, tidak wajar kenaikan harga tambang bas berlaku dalam keadaan harga minyak dan tol tidak diturunkan. Malah katanya, banyak cara lain yang boleh mengelakkan kenaikan harga tambang sama ada tambahkan subsidi ataupun kurangkan kos sama cukai tayar dan alat ganti kepada pengusaha bas. "Yang paling penting turunkan harga minyak, tol dan tambahkan subsidi kepada pengusaha bas, ini akan membawa kepada tidak perlu kenaikan harga tambang," katanya. Jelas Mahfuz, tawaran Pakatan Rakyat dalam Buku Jingga iaitu turunkan harga minyak dan tol sekali gus pengguna akan menikmati kadar tambang yang lebih murah. "Hari ini jelas membuktikan kenaikan harga tambang akhirnya ditanggung oleh pengguna. Kerajaan sengaja bermain dengan istilah 30 peratus ini," katanya. Sebelum ini, Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) kekal dengan pendirian untuk menaikkan tambang bas ekspres sebanyak 30 peratus walaupun ada pihak menyifatkannya sebagai terlalu tinggi. Presidennya, Datuk Ashfar Ali berkata, kenaikan itu bukan disebabkan musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, tetapi sebagai semakan semula yang biasa dilakukan dalam empat atau lima tahun sekali. Bagaimanapun pihak PMBOA, menunggu keputusan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam dan Darat (SPAD) untuk mengumumkan kenaikan harga tambang baru. PMBOA telah memohon kenaikan harga tiket itu beberapa kali sebelum ini daripada SPAD dan kali terakhir pada 22 Mei lalu. | ||||
Kerajaan T'ganu mula tunjuk politik balas dendam Posted: 16 Jun 2013 05:26 AM PDT
Adun Bandar, Azan Ismail berkata, selepas beliau menang di Dun tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, beberapa pemohon bantuan kerajaan negeri dari Dun Bandar mula dinafikan hak mereka. Menurut Azan, pihaknya mendapati lebih 200 borang permohonan Kem Bakti Remaja yang dihantar oleh pemohon dan disahkan oleh beliau ditolak. Kem Bakti Remaja merupakan bantuan yang diberikan Kerajaan Negeri kepada pemohon dari keluarga berpendapatan kurang daripada RM1,500. "Malangnya perkembangan terkini mendapati permohonan mereka dari Dun Bandar ditolak kerana beranggapan mereka menyokong Pakatan Rakyat. "Tindakan ini bercanggah dengan perlembagaan negeri dan hal-hal pentadbiran negeri tidak boleh dicampur aduk dengan hal kepartian," kata beliau pada sidang media di pejabat PKR, dekat sini hari ini. Tegas beliau, tindakan kerajaan negeri itu jelas menganiaya rakyat dan melanggar undang-undang. "Saya sempat bertanya kepada Adun BN selepas majlis angkat sumpah tadi dan mereka kata tidak sepatutnya berlaku sedemikian. "Siapa yang bertanggungjawab menolak permohonan ini sedangkan borang permohonan sah walaupun ditandatangan oleh Adun PR kerana saya dipilih oleh rakyat. | ||||
RED BEAN ARMY YANG SAHIH merungut dilayan sebagai kelas kedua Posted: 16 Jun 2013 05:18 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE Unit Media Baru (UMB) yang menjalankan tugas perang siber Barisan Nasional (BN) mendakwa dilayan seperti kelas kedua, kata pengerusinya Tun Faisal Ismail Aziz, sambil mempertahankan mereka tidak wajar dipersalahkan kerana prestasi buruk pada pilihan raya umum ke-13 lalu. Tun Faisal berkata tidak adil hanya pihak mereka dipersalahkan kerana dikatakan memainkan peranan, sebaliknya mempersoalkan sikap pemimpin atasan yang lebih mementingkan blogger-blogger upahan yang mementingkan wang. "Jangan bila ada peruntukan, beri pada orang lain. Bila mesyuarat, panggil orang lain. Bila makan-makan ajak orang lain. Bila jalan sana sini ajak orang lain. Bila ada maklumat bagi pada orang lain. Bila operasi turunkan orang lain. Bila buat latihan, bayar orang lain atau guna modul yang bukan cadangan UMB. "Tetapi bila gagal, salahkan UMB. Banyak cantik...," tulis Tun Faisal dalam laman blognya tunfaisal.blogspot.com tetapi tidak merujuk secara khusus terhadap individu yang dimaksudkannya. Tun Faisal juga mendedahkan UMB sering dijadikan "kambing hitam" oleh blogger upahan apabila berlaku sesuatu kegagalan dalam sesuatu misi walhal kumpulan tersebut menerima arahan dan peruntukkan daripada pihak atasan. "UMB sering dijadikan scapegoat oleh pihak tertentu untuk menafikan kegagalan mereka," kata beliau. "Mereka akan terus menyalahkan UMB sebagai jentera parti. Mereka akan kata kami bukan jentera parti, apa jentera parti buat? Sedangkan arahan dan peruntukan diberikan kepada mereka, bukan kepada jentera parti," tambahnya lagi. Disamping itu, Tun Faisal juga mempertahankan blogger-blogger yang berada dalam UMB sebagai individu yang berpengalaman diperingkat akar umbi dan memahami keadaan semasa, bukannya seperti blogger upahan yang disifatkannya sebagai mereka yang seronok sendiri walaupun mempunyai pengalaman dan pengaruh yang luas di alam maya. "Jelasnya mereka ini mempunyai pengikut dan kekuatan tersendiri; dan yang paling penting, mereka bukan bukan menulis, berfacebook atau bertweet hanya dari dalam bilik, sebaliknya mereka orang yang masak dengan pengalaman operasi di lapangan. Terdapat kira-kira 13 juta pengguna Facebook di Malaysia, dengan 64 peratus terdiri daripada mereka yang berusia antara 18 dan 34 tahun, menurut sumber Socialbakers yang merupakan sebuah syarikat pemantau media sosial. Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun. Malahan, "Tsunami Politik" pada Pilihan Raya 2008 lalu juga dikatakan berpunca daripada peranan media baru yang terdiri daripada Facebook, Twitter, blog dan banyak lagi, dimana menyaksikan BN hilang majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dan hilang empat negeri kepada PR sebelum Perak jatuh kembali ke pangkuan mereka pada tahun 2009. Sebahagian daripada kekalahan itu telah dikaitkan dengan BN meninggalkan laman web media sosial pada tahun 2008 apabila bilangan pengundi celik internet semakin bertambah. Susulan keputusan mengejutkan tersebut, pemimpin atasan kerajaan pemerintah mula menyedari tentang peranan media baru tersebut dan telah membelanjakan jutaan wang untuk memperkuatkan jentera siber mereka pada pilihan raya 5 Mei lalu. Walaubagaimanapun, keputusan sebaliknya yang berlaku apabila BN masih gagal menyaingi kekuatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR) yang lebih ke depan dalam perang siber dimana ia sendiri diakui oleh Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Mansor sebelum Pilihan Raya 2013 lalu. Selepas pilian raya 5 Mei lalu, BN mengekalkan kuasa untuk mentadbir negara selepas memenangi 133 daripada 222 kerusi Parlimen. PR berjaya menambahkan tujuh kerusi menjadikannya 89. Buat pertama kali BN hilang undi popular semenjak tahun 1969 walaupun masih kekal memerintah negara. Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.- The Malaysian Insider | ||||
Keluarga dihalang jumpa tahanan ISA di Hari Bapa Posted: 16 Jun 2013 05:16 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE Beberapa keluarga tahanan ISA kecewa dengan layanan pihak pengurusan kem Kamuntung apabila tidak membenarkan lawatan tahanan ISA sempena Hari Bapa. "Pagi tadi beberapa keluarga tahanan ISA hadir ke Kem Kemunting. Ramai isteri tahanan ISA membawa anak mereka untuk melawat sempena hari bapa. "Walaupun ada ahli keluarga tidak pernah bertemu sejak ditahan, permintaan keluarga ini untuk diberi kesempatan bertemu dihalang," kata Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh kepada Keadilandaily. Kata Syed, pihak pengurusan kem Kamunting berkeras tidak membenarkan pertemuan walaupun selepas rundingan bersama ahli jawatankuasa Gerakan Mansuh ISA (GMI) Antara alasan diberikan kononnya Pengarah Kem tiada di pejabat untuk memberi kebenaran. Fadzullah bekas tahanan ISA, Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Setiausaha GMI, Syukri Razab di depan Pusat Tahanan Kamunting "Apabila keluarga ini sudah beredar dan jauh dari kem, kita dihubungi semula dan dimaklumkan kebenaran telah diberikan. "Namun ahli keluarga tersebut memutuskan tiada perjumpaan lagi akan dibuat. Mereka nampaknya terkilan dengan pihak pengurusan yang seolah mempermainkan mereka yang datang dari jauh," tambahnya lagi. Empat keluarga tahanan ISA yang terdiri daripada isteri dan anak-anak tahanan tiba dari Tawau, Sabah di Kuala Lumpur, sejak Khamis lalu bagi sebuah program lawatan anjuran GMI. GMI sebelum ini mendesak kesemua tahanan ISA dibebaskan segera dan kerajaan perlu mewujudkan Suruhanjaya Rekonsiliasi bagi menyiasat semua salah laku di bawah ISA. Difahamkan, keluarga tahanan akan mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Hak Asasi Mausia (Suhakam) dalam masa terdekat.- Keadilan Daily | ||||
Pendakwa jenayah perang akan kendali tribunal BERSIH Posted: 16 Jun 2013 05:12 AM PDT MALAYSIA CHRONICLE Seorang peguam terkenal yang merupakan ketua pendakwa Tribunal Jenayah Perang di Kuala Lumpur, akan membantu mengendalikan tribunal rakyat untuk menyiasat dakwaan penipuan dalam pilihan raya umum ke-13 bulan lalu, kata badan pemantau pembaharuan pilihan raya, BERSIH. "Gurdial Singh Nijar Sadu Singh adalah seorang peguam yang dihormati dan seorang profesor undang-undang, akan membentangkan kes itu di tribunal tersebut," kata Pengerusi Bersama BERSIH, Datuk S Ambiga kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam. Ambiga berkata pelantikan lima anggota tribunal rakyat itu hampir selesai dan sedang menunggu pengesahan beberapa anggotanya. Bagaimanapun, Ambiga yang juga bekas presiden Majlis Peguam berkata nama-nama mereka akan hanya akan diumumkan apabila semua anggota mengesahkannya bagi mengelak sebarang campurtangan. Menurutnya, anggota tribunal itu adalah mereka yang dikenali sebagai orang berpendirian bebas. Ambiga berkata pergerakan itu menyasarkan pendengaran tribunal rakyat akan bermula pada bulan September.- Malaysiakini | ||||
Kerajaan kawal internet: Makin ramai kata TIDAK Posted: 16 Jun 2013 12:49 AM PDT KL TODAY Pengguna Internet dan pengawal atur kerajaan memberikan respons dengan mengatakan 'Tidak' kepada sekatan tambahan di laman sosial sambil menegaskan undang-undang sedia ada sudah memadai.Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, isu yang lebih besar adalah mendidik pengguna Internet supaya mengawal diri sendiri. "Saya tidak mengenakan lebih banyak undang-undang. Saya mahu mereka melakukan kawalan terhadap diri sendiri," katanya ketika dihubungi. Beliau berkata, sekiranya mana-mana individu bertanggungjawab sepenuhnya untuk tidak menyiarkan mesej tidak bertanggungjawab, jadi tiada apa yang perlu dirisaukan. "Ini adalah apa yang disokong SKMM untuk sekian lama. "Ibu bapa harus memantau apa yang dibaca oleh anak-anak mereka di Internet dan orang ramai harus mengetahui apa yang benar dan salah," katanya. Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta orang ramai untuk mencadangkan jenis-jenis 'peraturan yang positif'. "Saya mahu membuka perkara ini kepada orang ramai dan pengguna media sosial supaya mencadangkan jenis-jenis kawalan positif yang perlu kita laksanakan untuk memastikan penggunaan bertanggungjawab dan maklumat yang disebarkan tidak melanggar undang-undang," kata Najib pada majlis penganugerahan Hadiah Kewartawanan Malaysia Institut Akhbar Malaysia (MPI)-PETRONAS 2012. Beliau berkata, kerajaan tidak akan melaksanakan sekatan ke atas portal berita secara online sebagaimana dilakukan di Singapura, di mana portal yang popular perlu dilesenkan. Peguam paten Teknologi dan IT, Foong Cheng Leong berkata, undang-undang sedia ada sudah mencukupi. "Sebarang cubaan untuk membuatkan pemilik blog tanpa nama atau pengguna media sosial untuk mendedahkan identiti sebenar mereka akan tidak mengikut Perlembagaan," katanya. Memetik perintah Mahkamah Persekutuan, beliau berkata Perlembagaan yang memberikan hak kepada kebebasan peribadi juga termasuk hak persendirian atau privasi. Menurutnya, pemilik blog dan pengguna Internet yang didapati melakukan perbuatan menyalahi undang-undang sentiasa boleh didakwa di bawah undang-undang sedia ada. Sehingga kini, pengendalian Internet dikawal oleh Kanun Keseksaan, Akta Hasutan dan Akta Fitnah. Foong berkata, teknologi itu sendiri membolehkan kerajaan dan pihak berkuasa mengesan pemilik laman web yang identitinya dirahsiakan. "Jika kerajaan Malaysia mempunyai hubungan baik dengan negara di mana laman media sosial beroperasi, pengguna tersebut akan lebih mudah dikesan," katanya. Pemilik blog terkenal, Datuk Ahirudin Attan yang mengendalikan blog rockybru.com.my turut bersetuju dengan pandangan bahawa ia akan menjadi tidak praktikal untuk mengenakan lebih banyak peraturan. "Kita harus beritahu kepada orang ramai bahawa adalah lebih baik mereka mempunyai kebebasan bersuara tetapi terdapat had terhadap apa yang boleh dilakukan," katanya. Pada masa sama, Ahirudin berkata beliau sentiasa menyuarakan pandangan bahawa pemilik blog tidak harus merahsiakan identiti mereka dan harus bertanggungjawab terhadap setiap penulisan mereka. -Mstar | ||||
Peniaga Tentang 'Sekeras-kerasnya' Perobohan Pasar Besar Kedai Payang Posted: 16 Jun 2013 12:44 AM PDT KELAB GREENBOC Kuala Terengganu - Para peniaga menentang sekeras-kerasnya tindakan Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Ahmad Said yang berdegil mahu merobohkan Pasar Besar Kedai Payang. Seorang peniaga suratkhabar dan makanan ringan, Ahmad Fazli Mohd Fahmi, 44, sebaliknya bersetuju sekiranya 'pasar warisan' tersebut dibaik pulih dan dinaiktaraf, dan bukannya dibangunkan sebuah hotel dan 'apartment'. "saya tidak bersetuju sekeras-kerasnya tindakan Datuk (Seri) Ahmad Said, dengan tindakan beliau dan apa cara sekali pun untuk membangunkan Pasar Payang dengan cara begitu (merobohkan), "bagi saya saya cukup (ia boleh) sekadar dibaik pulih atau menaikkan taraf Pasar Payang tidak berhubungan (berkaitan) dengan dibina hotel dan apartmen,"ujarnya ketika ditemui. Ahmad Fazli menegaskan, sekiranya Ahmad Said tetap dengan keputusannnya mahu merobohkan dan mendirikan bangunan baru, beliau mewakili rakan-rakannya akan mengambil 'sesuatu' tindakan menyekat hasrat MB Terengganu itu. -BO | ||||
Dulu 'Kafir Harbi', Selepas PRU-13 Umno Pelawa DAP Posted: 16 Jun 2013 12:37 AM PDT Wartawan Buletin"antara yang saya ajukan soalan ke Sidang Parlimen akan datang (24 Jun) ini adalah pembinaan jalan sepanjang 2.17 kilometer di Bandar Dungun yang tak siap-siap sehingga hari ini, "ia amat memalukan, dibina sejak tahun 2008 sampai sekarang..........berapa tahun buat? sekarang sudah 2013 sudah PRU13, lima tahun tak siap lagi.........mana NKRA?,"ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah sempena Majlis Kesyukuran di Kampung Paya Berenjut dekat sini, Jumaat malam 14 Jun. Turut menyampaikan ucapan pada majlis tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Neeri (ADUN Chukai Haji Hanafiah Mat. Menurut Wan Hassan, sebelum jalan tersebut dinaiktaraf, ia adalah dalam keadaan baik, mempunyai pembahagii jalan dan lampu yang sempurna pada waktu malam. Namun tindakan kerajaan Umno-BN umpama 'tikus membaiki labu', apabila diperbaiki, bukan sahaja tidak siap-siap, bahkan jalan tersebut berlubang-lubang dan membahayakan para pengguna jalanraya. Beliau yang juga Yang DiPertua PAS Dungun menolak dakwaan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR) yang mengatakan tidak ada pengundi warga asing menjadi pengundi dan mengundi pada pilihanraya umum kali ke-13 pada 5 Mei lalu. Katanya, beberapa orang warga Indonesia yang bekerja di sebuah ladang Padang Kubu Kemaman telah ditangkap ketika mengundi kali kedua di salah satu pusat pebuangan undi dalam kawasan Parlimen Dungun. Yang mengejutkan, kata beliau, warga Indonesia itu telah membawa sekeping surat akuan dari Ketua Umno Cawangan, memaklumkan warga asing tersebut adalah akan mengundi di kawasan itu. Sehubungan itu, beliau mengajak semua rakyat mengenali sifat Umno sebagai sebuah parti yang tidak mempunyai pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja demi untuk mengekalkan kuasa. Wan Hassan yang juga mantan ADUN Sura berkata, pada sidang DUN terakhir hujung tahun lalu, bekas ADUN Tepoh telah mendakwa DAP adalah golongan 'kafir harbi' yang mesti ditentang, berbanding MCA yang dianggap sebagai 'kafir dzimmi'. Tetapi, kata beliau, apabila MCA tidak mahu menerima sebarang jawatan dalam kerajaan selepas orang Cina menolak parti itu pada PRU-13, tiba-tiba Umno mengajak DAP, bersama-sama dalam kerajaan bagi menggantikan MCA. | ||||
Lebih 1,000 Umat Islam Malaysia Bantah Kekejaman Rejim Bashar Assad Posted: 16 Jun 2013 12:34 AM PDT KUALA LUMPUR : Lebih 1,000 umat Islam berarak dan berhimpun di hadapan bangunan Kedutaan Syria di Kuala Lumpur bagi membantah kekejaman rejim Presiden Bashar Assad terhadap rakyat negara itu. Bantahan ini diadakan bagi menyahut seruan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia, Prof Dr Yusuf Al-Qardawi yang menyeru seluruh umat Islam di dunia menjadikan hari ini sebagai 'Hari Untuk Syria'. Mengetuai bantahan itu adalah Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub, Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan, Timbalannya, Nik Abduh Nik Aziz dan Ketua Penerangan Pemuda PAS, Riduan Mohd Nor. Turut hadir ahli NGO Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) serta Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (Gamis). Rombongan memorandum itu dimulai sejurus selesai solat Jumaat di Masjid Tabung Haji dan berarak lebih dua kilometer ke bangunan kedutaan Syria. Konflik di Syria yang telah berlangsung selama dua tahun telah mengakibatkan kehilangan 94,000 nyawa. Himpunan tersebut turut mendapat kerjasama polis yang mengawal keadaan. Tiga orang wakil iaitu Salahudin, Nasrudin, Nik Abduh cuba masuk untuk menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan Syria. Bagaimanapun, wakil kedutaan berkenaan enggan menerima memorandum itu. Antara isi kandungan memorandum itu mendesak agar Bashar kembali ke meja rundingan bagi menyelesaikan kemelut di negara bergolak itu. Dalam pada itu, Nasrudin yang juga MP Temerloh itu mengutuk keganasan dan tragedi pembunuhan masyarakat Islam di negara itu. "Bashar Assad telah menunjukkan kesombongannya kerana tidak menerima memorandum yang kita hantar ini. "Kita mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan kejam terhadap masyarakat Islam di Syria," katanya. Selain itu, satu memorandum juga turut dihantar ke Kedutaan Turki hari ini bagi menuntut penjelasan terhadap demonstrasi jalanan yang berlaku di negara itu. Memorandum berkenaan diterima wakil kedutaan Turki dan menjelaskan bahawa Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan kini sedang melakukan perbincangan bersama kumpulan demonstrasi bagi menyelesaikan kemelut yang melanda. | ||||
Tinggal Di Bangsal Tanpa Kemudahan Selepas Rumah Diroboh Posted: 16 Jun 2013 12:32 AM PDT KUALA SELANGOR : Sudahlah rumah yang didiami selama lebih 20 tahun dirobohkan, malah janji pemberian pampasan hanya tinggal janji. Penduduk Kampung Desa Pengasih, Robaiah Abdul Rahman, 56, kini belas ehsan daripada pihak berkuasa agar bagi membantu keluarganya setelah rumah mereka dirobohkan. Robaiah yang ditemui Selangor Kini mendakwa masih belum menerima pampasan sebanyak RM 7,500 seperti yang dijanjikan daripada pemilik tanah tapak rumah mereka, iaitu sebuah syarikat berkaitan (GLC) Kerajaan Persekutuan. Katanya kini mereka sekeluarga terpaksa tinggal di bangsal gerai buah-buahan di tepi jalan Puncak Alam tanpa kemudahan air dan elektrik sejak 3 Jun lepas. Jelasnya, beliau terpaksa menanggung risiko tinggal disitu kerana tidak mampu untuk mencari kediaman baru dan menyewa rumah kerana suaminya hanya bekerja sebagai pemandu teksi. "Saya mempunyai dua orang anak kecil dan sudah empat malam tinggal di bangsal ini kerana tidak mampu menyewa kerana rumah sewa di sini terhad dengan kadar sewa lebih daripada RM 700 sebulan, itu belum masuk lagi bayar air dan elektrik. "Saya mengharapkan pihak-pihak terbabit dapat memberikan perhatian kepada masalah ini dengan menyediakan kemudahan rumah sementara kerana kami memang daripada keluarga susah," kata beliau yang merupakan anak jati Selangor. Tinjauan ke Kampung Desa Pengasih mendapati kerja-kerja merobohkan rumah di kampung itu sudah dilaksanakan beberapa hari lepas. Menurut penduduk, kampung tersebut dibangunkan sejak 1990-an, sebelum tanah tersebut dibeli oleh syarikat GLC itu pada 2004, di zaman pentadbiran Umno-BN di bawah Dr Mohamed Khir Toyo. Menurut laporan Harakah Daily, penduduk kampung itu mula menerima notis perintah mahkamah untuk mengosongkan kawasan itu pada 2012, dan syarikat itu mula memfailkan saman pemula ke atas penduduk pada 14 Mei 2013 lalu melalui Mahkamah Tinggi Shah Alam. Notis itu mengatakan semua penduduk kampung terbabit perlu mengosongkan kawasan itu selewat-lewatnya pada 28 Mei lepas. Bagaimanapun, para penduduk memohon untuk menangguhkan pengosongan tersebut dengan meminta jasa baik pihak berkenaan untuk menyediakan satu penempatan bagi mereka, selain menuntut pampasan hasil tanaman yang diusahakan selama ini. Menurut seorang lagi penduduk, Yahaya Denan,50, sepatutnya syarikat itu membayar pampasan tersebut sebelum rumah mereka dirobohkan bagi memastikan mereka boleh mencari kediaman lain yang sesuai. "TM tidak adil dalam pemberian pampasan ini kerana tidak semua yang dapat pampasan, mereka merobohkan tanpa apa-apa pampasan," kata beliau. Jelasnya, jumlah pampasan sebanyak RM 7,500 tidak memadai kerana beliau membangunkan rumah disitu sebelum ini dengan kos kira-kira lebih RM 60,000. Katanya, Kampung Desa Pengasih ini sudah wujud lebih daripada 23 tahun yang mengandungi kawasan penempatan yang ramai pada mulanya. "Kita sepatutnya menerima pampasan yang sewajarnya tetapi tidak menerima pampasan sedangkan ada pihak yang diragui statusnya menerima pampasan dan masih ramai lagi yang belum menerima pampasan," kata beliau. Ujarnya, bayaran pemindahan sebanyak RM 500 adalah jumlah yang tidak munasabah kerana tidak dapat membantu untuk pemindahan rumah. Difahamkan, tanah seluas 217.5794 hektar itu pernah dipohon oleh penduduk ketika Selangor dibawah BN dan bekas menteri besar, Tan Sri Muhammad Muhd Taib pada 8 September 1992. Bagaimanapun, status permohonan penduduk itu tidak diketahui hujung pangkalnya, sehingga pada tahun 2004, tanah tersebut turut dipohon oleh GLC itu. Permohonan itu kemudiannya diluluskan Dr Mohd Khir, bagi tujuan membina sebuah universiti. Bagaimanapun universiti itu tidak diteruskan. | ||||
Selangor Laksanakan Perkhidmatan Bas Tempatan Dalam Dua Bulan Posted: 16 Jun 2013 12:29 AM PDT SHAH ALAM : Kerajaan Negeri berhasrat untuk menyempurnakan serta menambah baik beberapa perkara dalam pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebagai memenuhi Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama). Ini termasuk menyediakan perkhidmatan bas tempatan di peringkat PBT dan menyelaraskan undang-undang kecil e-lesen untuk bangunan perniagaan. Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim dalam sidang media berkata, antara rangka lain yang dikenal pasti ialah penambah baikan sistem pengauditan dan pemantauan cara kerja. Selain itu, tumpuan turut diberikan kepada peningkatan kerja warga PBT dan perlesenan burung walit. "Usaha ini akan diselaraskan untuk seluruh negeri di mana kita akan membuat perbincangan dari semasa ke semasa mengenai perkara tersebut. "Berhubung perlesenan burung walit, pihak Kerajaan Negeri akan berjumpa dengan pengusaha burung walit sebelum kita membuat keputusan terakhir. "Butirnya akan diumumkan kemudian bila kita sudah mempunyai langkah yang konkrit," katanya selepas sesi perjumpaan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam semalam. Perkhidmatan bas tempatan pula akan dilaksanakan sebagai menepati janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 Pakatan Rakyat Selangor. | ||||
Tangkap penyokong liar, Kafa tawar RM1,000 Posted: 15 Jun 2013 04:41 PM PDT SINAR HARIAN BUAT julung kali, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menawarkan ganjaran RM1,000 kepada mana-mana penyokong mereka yang dapat menangkap penyokong sendiri yang cuba mencetuskan kekacauan pada final Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (JDT), 29 Jun ini. Timbalan Presidennya Datuk Afandi Hamzah berkata inisiatif itu, yang mendapat persetujuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), bertujuan mendisiplinkan penyokong Kelantan pada perlawanan itu di Stadium Nasional Bukit Jalil. "Mana-mana individu yang dapat menangkap penyokong yang bertindak liar seperti melempar batu, botol dan sebagainya akan mendapat imbuhan RM1,000," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Agung Kafa kali Ke-58 dan 59 di sini, hari ini. Afandi berkata FAM juga telah bersetuju untuk membenarkan persatuan negeri Kelantan dan Johor meletakkan 100 marsyal masing-masing bagi mengawal penyokong kedua-dua pasukan yang hadir pada perlawanan itu. Beliau berkata ganjaran dan pelantikan marsyal itu adalah salah satu cara yang efektif untuk mengawal penyokong daripada melakukan tindakan tidak sepatutnya yang kelak boleh menyebabkan Kafa berdepan dengan hukuman. Katanya sokongan penyokong adalah amat penting dalam pertemuan akhir itu namun dalam masa yang sama Kafa berharap penyokong Kelantan agar menjaga tingkah laku dan sentiasa mengelak daripada mencetuskan suasana tegang. Menurutnya FAM telah meminta penyokong Kelantan agar memasuki pintu stadium sebelah kiri manakala penyokong Johor DT pintu sebelah kanan bagi menyaksikan perlawanan itu. "Kelantan juga telah diperuntukkan sebanyak 30,000 tiket yang akan dijual pada 24 Jun ini dengan harga RM40 setiap tiket," katanya. - Bernama | ||||
Hina Agong: 'Melissa Gooi' beri keterangan Posted: 15 Jun 2013 04:38 PM PDT KUALA LUMPUR - Seorang wanita yang dikehendaki polis berhubung kes menghina Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini untuk memberi keterangan. Wanita itu tiba di IPD tersebut pada pukul 1.15 tengah hari ditemani peguamnya. Pada 1 Jun lepas, akaun Facebook yang menggunakan nama 'Melissa Gooi' didakwa mengeluarkan kenyataan menghina titah ucapan Tuanku Abdul Halim. Susulan itu, pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan membuat laporan polis supaya tindakan tegas diambil terhadap pemilik akaun fb itu. - Bernama | ||||
15 peserta 'flashmob' ditahan depan Sogo Posted: 15 Jun 2013 04:31 PM PDT Seramai 15 peserta 'flashmob' termasuk seorang wanita dan kanak-kanak ditahan sewaktu mengadakan 'flashmob' di hadapan gedung membeli-belah Sogo sekitar jam 2.50 petang tadi. Mereka ditahan sewaktu mengadakan acara tersebut menjelang himpunan Black 505 di Padang Merbok pada 22 Jun ini. Di antara yang terawal ditahan adalah Pengarah Propaganda NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan Menurut seorang pegawai polis memaklumkan bahawa mereka di bawa ke ke Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, dengan kenderaan Black Maria untuk tindakan lanjut. Selepas kenderaan itu beredar, aktivis pelajar Ekhsan Bukharee dan seorang peserta lagi kemudiannya ditahan selepas membuat pengumuman supaya orang ramai berhimpun di depan balai Dang Wangi sebagai tanda solidariti kepada peserta yang ditangkap. Mereka dibawa IPD Dang Wangi dengan berjalan dalam keadaan bergari dan diiring dua anggota polis. Penahanan tersebut berlaku selepas kira-kira 30 peserta 'flashmob' berkenaan menyeru orang ramai supaya turun ke himpunan membantah dakwaan berlakunya penipuan dalam pilihan raya umum lalu. Mereka berdiri di hadapan gedung Sogo berhadapan Jalan Tuanku Abdul Rahman selama kira-kira 30 minit bermula sekitar jam 2.15 petang. Sebahagian daripada mereka memegang plakad bertulisan 'Pengerusi SPR sila letak jawatan' dan 'Mari turun 22 Jun Blackout'. Kira-kira 30 orang termasuk petugas media kini berada di hadapan ibu pejabat polis ini untuk mengetahui perkembangan lanjut mereka yang ditahan. Aktivis mahasiswa, Adam Adli adalah antara yang menunggu di hadapan balai ketika ini. Seorang peguam, New Sin Yew yang tiba di pintu masuk IPD Dang Wangi itu untuk menemui mereka yang ditahan polis. Anggota polis yang berkawal di pintu masuk tidak membenarkan New masuk atas alasan beliau perlu menunggu arahan pegawai atasan sebelum dibenarkan berbuat demikian. "Saya kenal Eddy secara peribadi dan saya di sini untuk menemui beliau," katanya. Beliau kemudiannya dibenarkan masuk selepas bertegas mahu membuat laporan kerana dihalang mewakili mereka yang ditahan. Sementara itu, Bernama melaporkan lima belas individu termasuk kanak-kanak lelaki 10 tahun ditahan selepas ingkar arahan bersurai dalam perhimpunan di hadapan pusat membeli belah di Jalan Tunku Abdul Rahman di ibu negara hari ini. Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zainuddin Ahmad dalam satu khidmat pesanan ringkas (SMS) berkata 13 lelaki, seorang wanita dan kanak-kanak itu ditahan dalam perhimpunan bermula pukul 2 petang. "Kita tahan mereka kerana tidak mahu bersurai bila diarahkan dan membuat gangguan awam di hadapan pusat membeli belah itu. Siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman," katanya. Difahamkan, perhimpunan tersebut diadakan bagi menggesa orang ramai menyertai satu lagi perhimpunan di Padang Merbok, di sini 22 Jun depan untuk membantah keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) | ||||
Pembangkang pilih Lajim ketua pembangkang DUN Sabah Posted: 15 Jun 2013 04:18 PM PDT Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kilas, Datuk Seri Lajim Ukin sudah bersedia untuk menjadi pemimpin pembangkang negeri di Dewan Undangan Negeri Sabah. Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Dr Roland Chia berkata Lajim menang dalam proses pemilihan dalaman di kalangan ahli-ahli pembangkang. Menurutnya proses pemilihan itu telah diadakan sebaik sahaja selesai majlis angkat sumpah Anggota DUN Sabah di Bangunan DUN Sabah di Likas, dekat sini, pada 13 Jun lepas. "Seperti dinyatakan oleh Speaker (Datuk Seri Salleh Tun Said), bahawa pelantikan ketua pembangkang di DUN Sabah tidak termaktub atau tidak ada dalam perlembagaan negeri atau peraturan mesyuarat DUN Negeri. "Jadi kami telah mengambil inisiatif untuk menentukan pemimpin pembangkang kami di DUN negeri menerusi kaedah pemilihan konvensional. "Hari ini, saya ingin mengumumkan bahawa Lajim disyorkan sebagai Ketua Pembangkang," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu. Turut hadir ialah Lajim dan ADUN Api-Api Christina Liew. Chia juga turut mengumumkan Liew sebagai 'whip' PKR di Sabah. Whip berperanan menguatkuasakan disiplin parti dan memastikan kehadiran wakil rakyat dari parti itu pada persidangan DUN. Dalam pilihan raya umum ke-13, 5 Mei lepas, Barisan Nasional (BN) mengekalkan kuasa di Sabah dengan majoriti dua pertiga selepas memenangi 48 daripada 60 kerusi DUN. Sesi pertama persidangan DUN ke-13 dijadual dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, Isnin ini.- Bernama | ||||
Pesawah rugi RM 400,000 sawah ditenggelami air Posted: 15 Jun 2013 04:17 PM PDT Lebih 400 pesawah dalam kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ason, dekat Jitra, kerugian kira-kira RM400,000 setelah 282.7 hektar sawah padi yang mereka usahakan ditenggelami air, Khamis lepas. Antara kawasan sawah padi terlibat adalah di Kampung Kubang Pasu, Kampung Bukit, Kampung Tebing, Kampung Natoi, Paya Ason dan Kubang Betong. Salah seorang pesawah terlibat, Wan Saad Wan Daud berkata hujan lebat Khamis lepas menyebabkan air sungai berdekatan melimpah sekali gus merosakkan anak padi yang berusia kira-kira sebulan. Wan Saad, 70, berkata keadaan sungai yang sempit dan ditambah kuantiti air terlalu banyak dari Sungai Sintok, menyebabkan air melimpah masuk dan menenggelamkan sawah sedalam satu meter. "Kami rugilah kalau keadaan terus macam ni. Air dalam bendang (sawah) ni akan ambil masa lebih seminggu untuk kering dan kami terpaksa bajak semula dan tabur padi," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Natoi, Mukim Hosba, dekat Jitra hari ini. Tinjauan Bernama mendapati kawasan sawah padi yang ditenggelami air seperti tasik menyebabkan kawasan itu mengambil masa lebih seminggu untuk dikeringkan memandangkan keadaan sawah yang rendah daripada sungai berdekatan. Pesawah Abdullah Ali, 48, berkata keadaan sungai berdekatan iaitu Sungai Bata yang sempit menyebabkan sawah padinya sering terdedah kepada banjir sejak sejak lama. Dia berharap pihak bertanggungjawab seperti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengambil tindakan segera bagi menangani masalah tersebut. Abdullah berkata sebelum ini mereka telah membuat aduan kepada JPS dan kerja-kerja pembersihan sungai dibuat namun masalah yang mereka hadapi gagal diselesaikan apabila sawah mereka sering ditenggelami air. "Selalunya bulan November dan Disember iaitu ketika musim hujan di negeri ini, sawah kami akan tenggelam sebab air sungai terlalu banyak. "Saya harap pihak terlibat prihatin dengan nasib yang menimpa kami. Hulurkan bantuan untuk ringankan beban kami yang bergantung sumber pendapatan kepada hasil padi sahaja," katanya.-Bernama | ||||
Exco negeri Johor letak semua jawatan dalam MCA Posted: 15 Jun 2013 04:16 PM PDT Exco kerajaan negeri Johor yang bertanggungjawab bagi Pelancongan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Tee Siew Kiong meletak semua jawatan dalam MCA, sebaliknya hanya mengekalkan keanggotaan seumur hidup beliau dalam parti itu. Tee berkata beliau berbuat demikian bagi mengelak sesetengah anggota parti itu terus mengeksploitasi pelantikannya sebagai exco Johor. "Saya kesal kerana sesetengah anggota parti menjadikan pelantikan saya sebagai isu dan pada masa sama, bukan sekadar menjadikan saya sebagai sasaran malah bertujuan memusnahkan perpaduan parti. "Bagaimanapun, saya tidak akan sesekali meninggalkan parti kerana saya sudah menjadi sebahagian daripada anggota keluarga besar ini untuk tempoh lebih 30 tahun," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Beliau meletak jawatan sebagai setiausaha penganjur nasional, anggota majlis presiden, anggota jawatankuasa pusat, anggota jawatankuasa pemandu pilihan raya, anggota jawatankuasa perhubungan MCA negeri Johor, timbalan pengerusi jawatankuasa pemandu pilihan raya MCA Johor dan pengerusi bahagian MCA Pontian. Tee juga akan menghadiri pendengaran jawatankuasa disiplin MCA pada 17 Jun untuk menjelaskan penerimaan jawatan sebagai exco Johor. Sebagai anak Johor, katanya, beliau tidak boleh mengingkari arahan Sultan. "Arahan Sultan menyebut bahawa mesti ada wakil daripada setiap kaum dalam anggota majlis kerajaan negeri, jadi saya diarah mewakili masyarakat Cina," katanya. Tee juga berkata beliau sememangnya tidak pernah berhasrat menentang keputusan parti untuk menolak semua jawatan dalam kerajaan jika MCA gagal mempamer prestasi lebih baik dalam pilihan raya ke-13 berbanding pada 2008.- Bernama | ||||
Hampir seluruh petugas tinggalkan TMI Posted: 15 Jun 2013 04:13 PM PDT Selepas berbulan-bulan dilanda spekulasi, portal berita The Malaysian Insider (TMI) hari ini menyaksikan hampir seluruh kakitangannya meninggalkan syarikat itu. Penghijrahan, yang diketuai oleh editor eksekutif TMI, Leslie Lau, yang akan menyaksikan pewujudan sebuah portal berita baru, The Malay Mail Online (MMO), yang dijangka mula operasi pada 1 Julai. "Kami mengambil semua orang (untuk menyertai MMO) - semua sub-editor dan wartawan - kecuali tiga wartawan Bahasa Malaysia yang masih mahu (bersama TMI) pada saat-saat akhir," katanya. Leslie Lau, bersama dengan editor urusan Joan Lau, akan mengendalikan portal berita baru itu yang akan berfungsi secara berasingan dan bebas daripada Malay Mail versi cetak. "Saya rasa pasukan itu telah menunjukkan bahawa ia berkemampuan dan kita ingin membina satu jenama dan perniagaan baru. Itu adalah cabaran peribadi saya," katanya. Kakitangan terbabit, yang sepatutnya secara rasmi menamatkan perkhidmatan mereka di TMI esok, secara tiba-tiba menamatkan operasi petang ini. "Saya bekerja pagi ini, tetapi sesuatu berlaku, jadi saya umumkan cuti untuk kakitangan dan kita pergi menonton filem," kata Lau. Beliau enggan mengulas lanjut sama ada berlaku konflik antara kakitangan yang akan meninggalkan TMI dengan Ketua Pegawai Eksekutif TMI, Jahabar Sadiq (kiri). Dalam satu kenyataan di TMI petang ini, Jahabar berkata jenama berusia lima tahun itu akan terus beroperasi. TMI dipercayai dibiayai oleh seorang ahli perniagaan dari Pulau Pinang dan Malaysiakini memahami ini menjadi satu punca konflik di kalangan editor utamanya sebelum penghijrahan tersebut. Menurut sumber yang mengetahui, TMI telah berjaya memperbaharui pembiayaan dan akan terus beroperasi dengan pasukan baru. Portal berita dijangka mengambil editor dan wartawan baru dari media arus perdana. Kumpulan pertama dijangka mula bertugas minggu depan. Pada masa ini ditulis, senarai 23 kakitangan asal TMI telah dikeluarkan dari lamanwebnya, dan hanya tinggal nama tiga wartawan meja bahasa Melayu dan editor serta nama Jahabar sendiri. Usaha untuk menghubungi Jahabar tidak dijawab. |
You are subscribed to email updates from DIALOG RAKYAT To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan