Selasa, 25 Jun 2013

.

.


Takdir Menimpa Husam Bawa Hikmah Kepada Pas Kelantan

Posted: 24 Jun 2013 04:34 AM PDT

TAFSIR PERISTIWA                                                    

Benar dan sahih setiap takdir atau peristiwa yang berlaku di atas muka bumi ini membawa rahmat dan hikmah tertentu. Ia ada rahsia tersendiri. Tunggu lagi sejauh mana manusia menggunakan mata hati dan pandangan kerohaniannya untuk menilai segala hikmah dan rahmat di sebaliknya. Rahmat dan hikmah ini hanya dapat dilihat oleh mereka yang mempunyai mata zahir dan mata batin yang tajam.

Kepada yang buta atau bermata 'ikan kering' tetap tidak tampak apa-apa di sebaliknya. Turunlah berapa banyak peristiwa dan kejadian ia tetap dilihat dalam warna yang sama dan makna serupa.

Demikian kejadian yang agak menyayat dan mengejutkan mengenai penahanan Naib Presiden Pas Husam Musa oleh polis. Husam ditahan Sabtu lalu untuk disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 ekoran satu ucapannya di Ketereh. Husam yang ditahan di Kuala Lumpur dibawa dengan kereta ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu di Pengkalan Chepa, dan remen selama dua hari.

Penahanan itu tidak dinafikan satu masalah dan penafian hak asasi ke atas Husam selaku ahli politik. Husam yang dalam perjalanan ataupun bersiap sedia untuk menghadiri kemuncuk himpunan Black505 di Padang Merbok ditahan di Kampung Pandan, Ampang.

Penahanan itu menyebabkan Husam antara pemimpin yang akan berucap dan dinanti-nantikan oleh kalangan anak muda gagal hadir. Setiap yang hadir tertanya-tanya ke mana Husam hingga pengumuman beliau diserkop polis dibuat.

Dari makrifat biasa manusia, kejadian itu mengilankan dan ia dengan mudah ditanggap sebagai satu penganiayaan dan kejahatan pihak polis. Polis dituduh sebagai menghalang Husam atau sengaja menyekat Husam dari menghadiri himpunan berkenaan. Al maklumlah Husam merupakan pemimpin yang menjadi kegilaan dan kesayangan anak-anak muda masa kini. Justeru ada beranggapan penahanan Husam itu atas motif politik dan tindakan malafide.

Kenapa ia dianggap sebagai penahanan bermotif politik? Waran untuk tahan Husam bertarikh 21 Jun tetapi kenapa Husam ditangkap pada 22 Jun. Polis boleh menahan Husam dalam tempoh 24 jam semasa beliau berada di Kota Bharu lagi, dan kalau itu dilakukan ia tidak 'menyakitkan' batang tubuh Husam yang terpaksa dibawah ke Kelantan dengan kenderaan polis. Husam khabarnya demam semasa ditangkap.

Namun seperti dinyatakan tadi kejadian itu, tindakan polis menahan Husam ada hikmahnya yang bukan mudah dan tidak payah untuk difahami. Seperti saya katakan kalau kita mempunyai mata batin yang tajam kita akan mulai merasai hikmah dan kebaikan di sebalik kejadian itu.

Bagi Husam sendiri penahanan beliau itu menjadi satu ujian buat dirinya dan juga untuk beliau mengenali siapa kawan dan siapa lawan. Beliau boleh melihat berapa ramai yang menyokong dan simpati kepadanya dan berapa ramai pula yang ketawa dan mujur dengan kejadian itu.

Husam tidak perlu membuat kaji selidik untuk mengetahui sejauh mana orang sayang atu tidak kepadanya. Peristiwa ditahan polis itu menjadi satu kayu ukur terbaik buatnya. Hari ini Husam mulai mengenali sahabat dan penyokong sejati. Husam juga mengenal dan menyedari bahawa sesetengah tanggapan dan tuduhan para penyokong fanatiknya adalah tidak benar. Tidak seperti mana yang dianggap.

Atas takdir itu kita dapat melihat beberapa keadaan yang mungkin disalah suluh sebelum ini. Tanggapan bahawa Husam dianiaya atau ada pihak-pihak tertentu berlaku kejam terhadapnya dengan menikam dari belakang terutama berhubung pengguguran beliau dari barisan Exco terjawab dengan sendiri. Bahawa tidak berlaku seperti mana dianggapkan itu. Tidak ada siapa yang membenci dan mengkhianati Husam dalam soal itu seperti mana disangka. Tidak ada kawan yang makan kawan dalam Pas Kelantan.

Ini terbukti bila mana 'saing sobat'nya mengambil berat berhubung nasib malang diterima Husam itu. Semua pimpinan Pas di Kelantan mengambil peduli kepada apa yang berlaku itu. Mereka tidak membiarkan Husam meringuk sendirian dalam lokap tanpa bertanya mengenainya. Tokguru Nik Aziz Nik Mat sendiri sebaik mengetahui apa yang berlaku, berdoa dan meminta Husam dan keluarganya bersabr. Saya yakin kalau Tokguru sihat beliau akan turut sama hadir ke IPD untuk minta berjumpa dengan Husam.

Begitu juga MB Ahmad Yakob, turun sendiri ke IPD di Pengkalan Chepa untuk berjumpa dengan Husam. Ahmad bersama para penyokong Husam menanti di IPD. Kedatangan Ahmad Yakob itu satu teladan yang baik dan menyerlahkan akan prihatin dan tanggungjawab Ahmad Yakob sebagai ketua kerajaan dan ketua parti. Sikap Ahmad Yakob itu benar-benar menjadi pengganti kepada Nik Aziz. Begitu juga dengan pimpinan-pemimpin lain yang dilihat tidak berapa mesra dengan Husam sebelum ini turut sama bertanya khabar.

Dewan Pemuda Pas, Dewan Ulama semua memberi respon melahirkan simpati kepada Husam, kecuali Dewan Muslimat. Ketua Pemuda, Abdul Latif Abdul Rahman mendesak agar Husam dibebaskan segera. Dewan Ulama pula melalui Pemangku ketuanya, Ustaz Hasan Mahmod ikut sama ke IPD untuk menjenguk dan bertanya khabar Husam Musa.

Demikian halnya TMB Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah individu yang ditohmoh mengkhianati Husam atau merampas jawatan Husam (TMB) ekoran ketiadaan Husam dalam barisan Exco, tanpa melihat prejudis kepadanya turut sama mengambil perhatian terhadap apa dialami Husam dengan meminta membebaskan segera Husam. Mohd Amar telah membuat kenyataan memberi tahu Pas akan menyediakan barisan peguam terbaik untuk membela Husam. Jelas tindakan dan keprihatinan Mohd Amar itu menandakan setiakawan yang baik.

Manakala Speakar Dun Kelantan, Abdullah Yakob pula ke IPD lewat petang ini bersama Exco Nasaruddin Daud untuk menjenguk Husam. Walaupun tidak dibenarkan pelawat berjumpa Husam kecuali peguam dan isteri, tetapi atas jasa baik polis, Nasaruddin dan Abdullah dibenarkan berjumpa dengan Husam sebelum dibebaskan lewat petangnya.

Jelaslah komitmen dan kepedulian itu menunjukkan semangat uhkwah Islamiyah di kalangan pemimpin Pas Kelantan masih utuh dan padu. Musuh akan menangis kekeringan air mata untuk melihat Pas berpecah selepas Nik Aziz tidak lagi menjadi MB. Sebenarnya apa yang berlaku ini ia merupakan satu testimoni kepada semua pihak dalam Pas Kelantan sejauh manakah iltizam dan semangat setiakawan di kalangan mereka.

Adalah diharap perkembangan yang membanggakan ini akan memulakan era baru kepada Pas Kelantan. Rasa hormat dan kasih sayang sesama sendiri hendaklah dijadikan bibit bagi menguatkan Pas Kelantan demi memastikan Pas akan terus memerintah Kelantan pada masa akan datang.

Mungkin satu konsesus baru di kalangan Pas Kelantan juga boleh dibuat selepas ini. Apabila Husam dirihatkan untuk mentadbir Kelantan secara langsung kerana tidak menjadi anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pas Kelantan boleh melupakan segala tetek bengit sebaliknya kembali kepada semangat ukhwah sebenarnya. Pas Kelantan kena fokus kepada manifesto yang dijanjikan kepada rakyat. Untuk tujuan itu Pas boleh menyusun semula hirerki kepimpinnanya baik di peringkat negeri maupun penglibatan Pas di peringkat nasional.

Misalnya dalam keadaan hari ini Pas Kelantan boleh terus memberi kepercayaan dan kerjasama kepada Ahmad Yakob dan Mohd Amar Nik Abdullah untuk memimpin Kelantan. Manakala Husam pula dilepas untuk menjana Pas di peringkat pusat. Dengan pencapaian ataupun pengaruh yang dimiliki Husam hari ini beliau sudah wajar untuk mencuba sekali lagi Husam diletakkan di kerusi Timbalan Presiden. Kredibiliti yang ada kepada Husam juga melayakkan beliau untuk memimpin Pas diperingkat pusat yang mana suatu hari nanti boleh diangankan dia menjadi perdana menteri.

Sekiranya Pas Kelantan berminat untuk mencuba sekali lagi meletakkan Mohd Amar di kerusi Naib Presiden ia tidak menjadi masalah kerana cadangan itu tidak bertindih dengan Husam. Saya yakin kalau kesemua 14 kawasan Pas Kelantan seiya sekata dalam soal ini kedua-dua tokoh pelapis Pas Kelantan itu akan memperolehi kemenangan. Peristiwa pada muktamar tiga tahun lepas tidak akan berulang di mana kedua-duanya tewas dalam pertandingan merebut jawatan tertinggi Pas.

Nah jadilah takdir yang menimpa Husam itu sebagai iktibar dan titik mula ke arah untuk mengemaskan lagi ikatan ukhwan Islamiyah di dalam Pas Kelantan. Yakin dan percayalah Allah tidak sia-sia mentakdirkan sesuatu peristiwa itu asalkan saya kita bijak mentasirkannya. [wm.kl.7:31 pm 24/06/13]

Tiada ulasan: