Isnin, 17 Jun 2013

"BERANI KERANA BENAR!"

"BERANI KERANA BENAR!"


Jihad media setengah dari jihad perang

Posted: 17 Jun 2013 12:35 AM PDT

Oleh USTAZ BADRUL TAMAM

UNGKAPAN “orang yang menguasai media dialah yang menguasai dunia” bukan sebarangan. Ini salah satu langkah musuh-musuh Islam untuk memenangi perang peradaban melawan Islam. Mereka berhasil memenangkan perang dan menguasai dunia dengan wasilah media. Sehingga Islam tergambar buruk. Pejuangnya disebut teroris. Syiar-syiar Islam dianggap simbol keterbelakangan.

Melalui media, golongan kuffar menguasai pandangan umum masyarakat. Mengarahkan ke mana yang mereka kehendaki. Bahkan kepada kesesatan, baik secara ideologi atau keyakinan.Mereka berhasil memutarbalikkan fakta dan arah kecenderungan masyarakat melalui pandangan media. Sehingga gendang perang terhadap Islam yang mereka lakukan mendapat dukungan masyarakat global. Bahkan sebahagiannya dari negara-negara orang Islam dan kalangan masyarakat Muslim terikut sama.

Allah mengisyaratkan pentingnya umat Islam untuk menguasai media. Baik untuk membentuk pandangan positif terhadap Al-Haq (Islam), juga sebagai pandangan balas terhadap media-media anti-Islam. Terlebih dalam jihad Islam, keberadaan media menjadi saranan yang tak boleh diremehkan. Ini kerana tersebarnya pandangan buruk terhadap Islam dan pejuangnya dapat melemahkan kekuatan jiwa Muslimin.

Allah Subhanahu Wa Taala berfirman, maksudnya: “Adapun orang-orang yang kafir, sebahagian mereka menjadi pendukung bagi sebahagian yang lain. Jika kamu (hai para Muslimin) tidak melaksanakan apa yang telah diperintahkan Allah itu, nescaya akan terjadi kekacauan di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (QS. Al-Anfal: 73)

Sikap setiakawan sesama kafir juga berlaku dalam perang global terhadap Islam. Angkatan-angkatan perang kafir dan pelaku media mereka bekerjasama dan saling mendukung dalam perang Salib moden ini. Bahkan sebelum gerakan ketenteraan dimulai, mereka sudah menyerang melalui serangan pendapat melalui corong-corong media mereka. Sehingga semakin lengkaplah fitnah dan semakin dahsyat kerosakan yang timbul. Maka jika umat Islam tidak juga menggarap media –sebagaimana mereka telah mengupayakannya- maka pasti benar-benar terjadi fitnah (kekufuran dan kesyirikan) dan kerosakan yang besar di muka bumi ini.

Pengaruh kerja media dapat kita lihat berdasarkan Perang Uhud. Ketika Muslimin mendapat serangan balik dan terdesak, gugurlah sebahagian daripada pasukan Islam. Namun mereka tetap semangat dan terus berjuang memerangi musuh. Lalu tiba-tiba tersebarlah kabar yang dihembuskan syatan, “Ketahuilah, sesungguhnya Muhammad telah terbunuh.” Dan hal itu benar-benar membuat lemah dan jatuh semangat sebahagian besar pasukan mujahidin. Lihatlah pengaruh pandangan buruk melalui berita yang tersebar berhasil membuat peta peperangan berubah dan menjatuhkan mental para kesatria Islam.

Oleh sebab itu, pasukan jihad Islam harus memberikan perhatian yang serius terhadap media, baik cetak maupun elektronik. Dan sekarang sudah muncul media yang fleksibel dan dapat menjangkau tempat di seluruh penjuru dunia, yakni media 'online'. Ini untuk mendukung kerja jihad, menguatkan semangat mujahidin, dan melemahkan pasukan kafirin.

Bagi umat, jangan ragu lagi untuk membiayai media-media Islam yang mengumandakan dakwah dan perjuangan Islam. Sungguh pahalanya tak berbeza daripada menyalurkan infak untuk jihad fisabilillah, kerana jihad media adalah setengah daripada jihad perang. Bahkan perananan jihad media sudah memulai perang sebelum terjadinya perang fizikal, dan ini berlanjut saat berkecamuknya perang dan pasca perang. Media berperanan menjaga nama baik Islam dan mujahidin, serta membangun pandangan positif di tengah-tengah umat. - voa-islam.com

Segera berbekal sebelum mati

Posted: 16 Jun 2013 11:38 PM PDT

Oleh ZAINUDIN HASHIM

PERSOALAN mati, seksa kubur, hari manusia dibangkitkan, masalah syafaat pada hari kiamat adalah antara perkara yang jarang sekali dibicarakan termasuklah di kalangan umat Islam sendiri. Ini kerana perkara-perkara tersebut tidak dibahaskan sama ada mereka jahil atau gerun untuk dibincangkan dalam mereka sendiri.

Inilah antara fenomena yang melanda umat Islam di mana-mana mereka berada, termasuklah dalam kalangan umat Arab yang boleh dikatakan fasih mengenai al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang diturunkan dalam bahasa mereka. Ia bukan masalah tidak faham, akan tetapi masalah hidayah Allah, atau dengan kata lain mereka tidak mendapat petunjuk kebenaran agama Islam.

Justeru, segenap tindakan, cara berfikir, penampilan mereka sedikit pun tidak memperlihatkan mereka sebagai umat Muslim yang baik yang sepatutnya menjadi ‘role model’ kepada bangsa manusia sejagat. Namun apa yang dapat disaksikan, merekalah punca ramai dalam kalangan manusia tidak berminat kepada Islam.

Sebenarnya mereka lupa, hidup ini hanyalah sementara sahaja, yang kekal adalah di alam akhirat, akibat daripada tidak mengaji dengan menadah kitab dan sering keuzuran untuk duduk dalam majlis ilmu agama, menyebabkan mereka rasa tidak penting ilmu-ilmu agama yang boleh menyelamatkan mereka nanti di akhirat.

Mereka seolah-olah merasakan, bahawa golongan muda seperti tidak akan jadi tua, yang tua pula rasa tidak akan mati, kehidupan dunia perlu diteruskan dengan berseronok tanpa mengambil kira persoalan halal dan haram. Agama ibarat penghalang untuk mencapai kemajuan, maka ia tidak perlu diutamakan, hidup hanya sekali perlu diteruskan walaupun menyalahi tuntutan agama.

Akibat daripada tidak mendalami ilmu-ilmu agamalah, manusia jadi hamba dunia, tanpa mengira hukum-hakam agama. Rukun Iman yang enam tidak lagi menjadi bahan peringatan untuk takut kepada Allah yang akhirnya tidak membuat persiapan untuk menghadapi alam akhirat atau bekalan untuk menjawab soalansoalan kubur.

Bagaimanapun manusia akan mati walau mereka tidak bersedia menghadapinya, mereka akan tinggal keseorangan dalam kubur yang gelap gelita. Semua harta benda dan orang yang dikasihi akan ditinggalkan. Hanya amal ibadat menemaninya di alam berkenaan. Selepas itu, mereka diangkat semula pada hari pembalasan kelak.

Justeru, marilah kita renungkan satu riwayat yang menyebut, umat Nabi Muhammad akan dibahagikan kepada 12 kumpulan di Padang Mahsyar kelak dan seterusnya akan ditentukan sama ada akan ke syurga atau neraka berdasarkan amalan mereka di dunia.

Kumpulan pertama: Mereka akan diiring dari kubur mereka tanpa tangan dan kaki, kemudian ada suara menyatakan: “Mereka adalah orang yang selalu menyakiti tetangga, maka inilah balasannya.”

Kumpulan kedua: Mereka diiring dari kubur dengan bentuk seperti babi hutan kemudian terdengar suara menyatakan: “Mereka adalah orang yang meremehkan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

Kumpulan ketiga: Mereka diiringi dari kubur dengan perut seperti gunung penuh dengan ular dan kala jengking, maka terdengar suara yang menyatakan: “Mereka adalah orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat, maka inilah pembalasannya dan nerakalah tempat kembali.”

Kumpulan keempat: Mereka diiring dari kubur mereka dan mengalir dari mulutnya darah, maka terdengarlah suara yang menyatakan: “Mereka adalah orang yang curang dalam jualbeli, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

Kumpulan kelima: Mereka diiring dari kubur seperti hembusan angin dengan bau busuk, lebih busuk daripada bangkai, maka terdengarlah suara dari Yang Maha Pemurah: “Mereka adalah orang yang selalu berbuat maksiat kerana takut kepada manusia bukan kepada Allah, kemudian mati. Maka inilah pembalasannya dan neraka adalah tempat kembali mereka.”

Kumpulan keenam: Mereka diiring dari kubur dengan leher dan tengkuk terputus, maka ada suara dari Yang Maha Pemurah: “Mereka adalah orang yang memberikan saksi palsu dan inilah balasannya, serta neraka adalah tempat kembali mereka.”

Kumpulan ketujuh: Mereka diiring dari kubur tanpa mempunyai mulut dan dari tempat mulutnya keluar muntah dan darah, maka terdengarlah suara: “Mereka adalah orang yang tidak mahu bercakap benar, maka inilah balasannya dan nerakalah tempat kembali mereka.

Kumpulan kelapan: “Mereka adalah orang yang berbuat zina dan mereka diiring dengan kaki ke atas, kepala ke bawah dan neraka adalah tempat kembali mereka.” Kumpulan kesembilan: Mereka diiring dengan wajah hitam, mata biru dan perut penuh dengan api, maka terdengarlah suara Yang Maha Pemurah: “Mereka adalah orang yang makan harta anak yatim.”

Kumpulan kesepuluh: Mereka diiring dengan penuh penyakit kusta, maka terdengar suara: “Mereka adalah orang yang derhaka kepada kedua-dua orang tua mereka.”

Kumpulan kesebelas: Mereka diiring dalam keadaan buta mata, hati dan giginya seperti tanduk kerbau, bibirnya memanjang sampai ke dada, lidahnya menjulur panjang dan dari perutnya keluar kotoran, kemudian terdengar suara dari sisi Allah: “Mereka adalah orang yang minum arak.”

Kumpulan kedua belas: Mereka diiring dari kubur seperti bulan purnama. Mereka adalah orang yang berbuat kebaikan dan amal salih, menjauhi perbuatan jahat, sentiasa takut membuat dosa serta mendapat keampunan daripada Allah.

Itulah antara balasan orang yang membuat mungkar di muka bumi seperti meninggalkan sembahyang, berzina, derhaka kepada ibu bapa dan memakan harta anak yatim.

Rasulullah bersabda, bermaksud: “Sesiapa yang meninggalkan sembahyang atau bermudah-mudah dengannya nescaya diseksa Allah dengan sembilan perkara. Enam perkara di dunia, tiga perkara di waktu matinya, tiga perkara di dalam kuburnya dan tiga perkara di hadapan Tuhannya di akhirat nanti.”

Lalu sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, apa dia seksa di atas dunia ini?” Jawab Rasulullah: “Dibuang Allah berkat pada umurnya yang menyebabkan hidupnya terumbang-ambing, tidak mendapat kebahagiaan yang sejati, hidupnya diibaratkan seperti buih di atas permukaan air yang mengikut arus aliran air.

“Diangkat Allah berkat pada rezekinya walaupun dia mempunyai harta yang banyak tetapi dibelanjakan pada perkara yang tidak memberi faedah.

“Diangkat padanya tanda orang yang salih. Tiada terpelihara baginya agama Islam, iaitu ditakuti mati dalam kekufuran. Amalan menjadi siasia kerana tiap amal kebajikan dilakukan tidak diterima oleh Allah dan tidak diberi pahala olehnya serta doa tidak diangkat ke langit.”

Bertanya sahabat lagi: “Ya Rasulullah, apa seksa pada waktu matinya?” Jawab Rasulullah s.a.w.: “Dimatikannya dalam keadaan hina, dimatikannya dalam keadaan sangat lapar dan dimatikannya dalam keadaan sangat dahaga, iaitu jika diberi minum air tujuh lautan sekalipun, tidak hilang rasa dahaganya.”

Bertanya sahabat lagi; “Apa seksa di dalam kubur itu ya Rasulullah?” Jawab baginda: “Disempitkan tubuhnya hingga sempit dua tulang rusuknya, disuruh Allah dua malaikat untuk menyeksanya hingga hari kiamat.”

“Yang menyeksakan orang yang meninggalkan solat itu ialah ular diberi nama ‘Sujaulakraa’, iaitu dua mata daripada api neraka, dua kuku malaikat yang menyeksa itu daripada besi Kharsari dan panjang kuku itu perjalanan sehari semalam.

“Pada tangannya itu satu tingkat daripada besi lantas berkata malaikat itu kepada mayat atau roh orang yang mati itu, aku disuruh oleh Tuhanku supaya aku memukul engkau kerana meninggalkan sembahyang Subuh hingga Zuhur, Zuhur hingga Asar, Asar hingga Maghrib, Maghrib hingga Isyak dan Isyak hingga Subuh.

“Maka setiap kali pukulan itu terbenamlah mayat tadi ke dalam bumi hingga 70 hasta lalu diangkat dengan kukunya pada permulaan, begitulah seterusnya hingga ke hari kiamat.”

Islam penyelamat semua

Posted: 16 Jun 2013 06:48 PM PDT

Oleh USTAZ ZAINUDIN HASHIM

SESUNGGUHNYA Islam yang merupakan agama terakhir yang dibawa oleh Nabi terakhir, Muhammad s.a.w. menjanjikan keselamatan secara mutlak kerana ia adalah agama yang diperakui oleh Allah SWT Yang Maha Sempurna dalam segenap tindak-tanduk-Nya yang tidak dikongsi sama oleh makhluk-makhluk yang ada di muka bumi ini.

Agama Islam yang menjanjikan keselamatan mesti dicari oleh golongan Muslim dengan menidakkan konsep kebangsaan yang lebih menjurus kepada kepentingan bangsa, terutama menjelangnya pilihan raya umum ke-13 ini walaupun agama dianaktirikan, kerana yang membabitkan bangsa adalah satu konsep yang sama sekali tidak ada kena mengena dengan ajaran Islam yang murni ini dan tidak dijamin keselamatan oleh Allah SWT.

Justeru, konsep ‘selamat’ yang ada dalam Islam seperti yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w. bukan satu perkara retorik, malah ia dilakukan oleh baginda sendiri setelah berada di kota Madinah dengan mengutus para utusannya dengan membawa surat khas baginda menyatakan kepada para pembesar negara ketika itu dengan kata-kata ‘kamu masuk Islam, pasti akan selamat’.

Keselamatan yang dijanjikan oleh baginda Nabi dengan Islam kepada mereka adalah satu kebenaran sesuai dengan maksud perkataan ‘Islam’ itu sendiri yang membawa erti selamat, iaitu selamat di dunia dan akhirat, dalam menjalani tribulasi kehidupan yang penuh dengan pelbagai bentuk ujian daripada Allah SWT.

Manusia ketika menaiki kapal untuk menuju ke suatu destinasi, tiba-tiba dalam perjalanan di tengah-tengah lautan bergelora berlaku ombak besar yang menenggelamkan kapal tersebut, maka pada waktu itu para penumpang menumpukan perhatian untuk menyelamatkan diri masing-masing lebih daripada diri orang lain, apatah lagi mereka yang tidak mahir berenang.

Dan begitulah juga dengan kehidupan ramai manusia di dunia ini yang masing-masing hanya memikirkan agar diri mereka selamat daripada pelbagai bentuk mara bahaya yang mungkin akan menimpa mereka seperti ribut taufan, angin kencang, puting beliung, gempa bumi dan lain-lain di mana manusia terdedah dengan pelbagai hukuman tersebut.

Sesungguhnya keselamatan yang dijanjikan oleh Allah SWT apabila manusia mengikut segenap peraturan syariat- Nya, melaksanakan konsep amar makruf nahi mungkar, menyampaikan kebenaran dalam konteks bernegara, apabila mereka melakukan sebaliknya, maka Allah SWT menghukum mereka dengan tidak memberi keselamatan kepada mereka.

Perkara ini ditegaskan oleh Allah SWT menerusi ayat 96-99 surah al-‘Araf maksudnya: “Dan (Tuhan berfirman lagi): sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (96) Patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman (selamat) daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? (97) Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta merasa aman (selamat) daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermainmain? (98) Patutkah mereka (bersukaria) sehingga mereka merasa aman (selamat) akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? kerana sebenarnya tidak ada yang merasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi. (99).”

Faktor selamat di dunia, akhirat Islam tidak membiarkan penganutnya terumbang-ambing menjalani kehidupan di dunia melainkan menyediakan bagi mereka garis panduan, tunjuk ajar menuju jalan sempurna dengan segala ajaran Islam yang telah pun tersurat di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. seperti banyak membaca, mengkaji, menyelidiki, mengamalkan isi-isi kandungan al-Quran, menghidupkan Sunnahsunnah baginda Rasulullah s.a.w., memahami Sirah Rasulullah, atau dengan kata lain mempelajari ilmu-ilmu fardu ain dengan baik sebagai alat untuk memahami serta melaksanakan Islam atas perintah Allah SWT.

Beramal dengan Islam, sebenarnya akan menyelamatkan seseorang itu daripada terjerumus dalam kancah penentangan terhadap Allah, sebagai contoh, terdapat seorang sahabat yang bernama Uqal berkata bahawa dia telah mendengar Nabi s.a.w. bersabda: “Tidak zuhud seseorang itu di dunia melainkan Allah menumbuhkan hikmah di dalam hatinya dan Allah petahkan (lancarkan) lidah dia untuk bertutur dan Allah memperlihatkan kepadanya keaiban dunia dan ubat untuk merawat dunia dan Allah akan membawa dia keluar dari dunia menuju Darus-Salam (syurga) dengan selamat.”

Perbezaan antara orang yang beriman dan tidak beriman dalam menanggapi dunia ini ialah; mereka yang beriman itu zuhud terhadap dunia, tidak mencintai kekayaan dan pangkat kemegahan. Mereka menggunakan harta sebagai wasilah untuk melaksanakan perintah Allah SWT kerana banyak daripada syariat Allah memerlukan sokongan harta kekayaan dan juga pangkat kedudukan bagi mentadbir dan mengislahkan dunia yang telah diamanahkan kepada hamba-Nya yang beriman. Harta dan pangkat adalah amanah Allah yang akan dipertanggung-jawabkan di akhirat kelak nanti.

Manakala orang yang tidak beriman memandang dunia ini sebagai matlamat dan tujuan yang terakhir dalam kehidupan.

Mereka merebut kekayaan dunia dengan apa cara sekalipun.

Mereka memburu pangkat dan kedudukan untuk memudahkan cita-cita mereka meraih dan menguasai pelbagai keistimewaan di dunia seperti kesenangan, kemewahan dan kemegahan.

Zuhud atau berpada-pada terhadap dunia itu bukan bererti melupakan tanggungjawab mencari harta kerana harta adalah ibarat najis binatang yang kadangkala diperlukan sebagai baja untuk menyuburkan pokok.

Harta mesti dicari untuk menjadi alat bagi menyuburkan akhirat, tanpa harta mana mungkin manusia boleh mengurus negara, rumah tangga dengan baik. Jika harta dihimpun untuk bersenang-senang di dunia, bererti mereka seumpama orang yang lupa menggunakan najis binatang untuk membajai pokok.

Zuhud bukan bererti orang itu tidak memiliki harta bahkan ia merupakan orang yang banyak harta tetapi dia tidak merasakan harta itu miliknya seorang.

Orang lain boleh menumpang sama atas hartanya, tidak bakhil untuk memberikan hartanya kepada sesiapa yang memerlukan walaupun secara percuma atau hutang.

Dengan hikmah yang dianugerahkan Allah kepada manusia yang zahid, akhirnya Allah akan menyelamatkannya daripada fitnah dunia untuk menuju ke Darus-Salam. Oleh kerana hatinya zuhud terhadap dunia, ia akan menemui akhir hayatnya dengan damai tanpa sebarang soal jawab akibat tiada dosa yang berkaitan dengan dunia.

Lantaran insan hebat ini telah berjaya menambat dunia di luar hatinya, maka dunia dan pangkat kedudukan menjadi seperti ombak besar yang mengganas di luar bahtera. Selama ia berjaya menjaga kekuatan dinding bahtera, pasti ia akan terselamat daripada bahaya ombak ganas itu. Sebaliknya ombak ganas tersebut akan menyerbu kedalam hati manusia yang tidak zuhud, maka bagaimanakah mereka akan terselamat daripada serangan ombak ganas yang akan menenggelamkan mereka.

Petua atasi marah

Posted: 16 Jun 2013 06:44 PM PDT

MARAH seringkali dilihat sebagai satu perasaan yang negatif dan tidak membawa manfaat. Sebenarnya, apa sahaja bentuk perasaan yang Allah ciptakan untuk manusia adalah untuk kebaikan manusia itu sendiri. Kita boleh marah asalkan kemarahan itu kerana Allah dan atas perkara yang Allah izinkan sahaja.

Kita marah apabila orang mempermainkan agama, melakukan dosa dan maksiat, menzalimi dan menganiaya, mengambil atau menyekat hak kita, dan seumpamanya. Namun, marah itu mestilah kena pada orangnya, tempatnya, masanya dan caranya. Usah marah membuta tuli hanya kerana dorongan nafsu atau tanpa kawalan kerana ia akan membawa lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

Apabila marah dan kecewa sekali pun, perasaan itu masih perlu disampaikan secara beradab. Sebab, perlakuan tersebut mencerminkan keperibadian kita. Tidak salah merasa marah, tidak salah meluahkan kekecewaan, namun orang yang beriman akan lakukannya dengan cara yang beradab.

Tindakan segera

ketika rasa marah

1 Baca ta'awwuz dengan bermaksud 'aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam'. Sebab orang yang sedang marah itu syaitan masuk ke dalam urat darahnya lalu menguasai pemikirannya.

2 Mengubah posisi dan kedudukan. Misalnya, kalau marah ketika duduk maka berdirilah, jika sedang berdiri maka duduklah.

3 Tinggalkan situasi tegang itu segera. Cuba tangguhkan perasaan marah buat seketika dengan meninggalkan situasi yang sukar dikawal itu.

4 Mengambil wuduk. Marah itu bagaikan api yang menyala dan hanya mampu dipadamkan dengan air.

5 Diam. Usah berkata apa-apa sebaliknya diamkan diri, kosongkan fikiran dan lakukan gambaran minda yang positif dengan fokus kepada mencari hikmah dengan bertanya pada diri sendiri, "Kenapa Allah izinkan situasi ini berlaku? Apa hikmahnya? Apa yang boleh dipelajari daripadanya?"

6 Banyakkan berzikir dan selawat.

7 Tarik nafas dalam-dalam dan lepaskan perlahan-lahan sambil kosongkan fikiran.

8 Ingat, bukan kita sahaja boleh marah,orang lain pun boleh marah. Malah orang lain marahnya mungkin lagi hebat daripada kita.

Tindakan jangka panjang

Bagi seseorang yang tahu bahawa dirinya memang jenis pemarah atau panas baran maka eloklah mengambil langkah-langkah jangka panjang seperti berikut:

1 Melakukan amalan seperti solat taubat, buat baik, membaca al-Quran, puasa sunat, bayar zakat, sedekah dan sebagainya.

2 Menjaga diet pemakanan termasuk makan sayur-sayuran dan buah-buahan, kurangkan daging merah, banyakkan daging putih seperti ayam dan makanan laut, elakkan makanan yang ada bahan pengawet.

3 Kegiatan Fizikal - badan yang sihat lebih mampu mengawal emosi.

4 Rajin buat kerja-kerja amal bagimembunuh kesombongan diri seperti mengutip sampah, mencuci tandas (terutamanya tandas masjid), mengutip derma dan seumpamanya..

5 Banyakkan membaca buku-buku motivasi bagi membantu diri sendiri.

6 Bergaullah dengan orang yang berilmu dan berjaya kerana mereka mampu berfikir sebelum bertindak dan lebih bijak membezakan sesuatu perkara yang baik dan buruk.

Tiada ulasan: